Mitos
Melayu Malas 3M vs 3D (Sinar Harian 22.2.16)
Mampukah
belia Melayu menceburi bidang kerja 3D (Dirty, Difficult dan Dangerous) seperti
yang dilakukan oleh buruh asing, kaitan dengan cadangan untuk membawa masuk 1.5
juta Bangladesh? Jawapannya, sudah tentu mampu jika Melayu sedar diri dan mahu
berubah.
Bacalah
buku Pendeta Za’ba (2009), khusus untuk Melayu, perangai bergantung kepada diri
sendiri. Mitos Pribumi Malas (Syed Hussein alatas, 1989). Jika nak sesuatu itu
berubah, mesti datang dari diri sendiri terlebih dahulu. Yang lain, hanya boleh
membantu. Jangan pergi jauh, sektor pembantu rumah, berapa ramai orang Melayu
yang sanggup bekerja? Hampir tiada.
Mengenali
hakikat kejadian manusia, tidak ada satu bangsapun yang Allah jadikan dengan
serba kekurangan. Kita adalah sebaik-baik makhluk. Bacalah sejarah manusia dan
sejarah Melayu. Setiap insan atau bangsa ada kelebihan tertentu, sama ada sedar
atau tidak. Tidak timbul isu, hanya Cina sahaja rajin, Melayu tidak. Masa
Melayu, selalu lambat, orang lain tidak. Kita memperlekehkan dan memandang
rendah bangsa sendiri. Sedangkan proses kejadian manusia sangat hebat. Jika
tidak, apa beza kita dengan haiwan? Jika sekadar belajar untuk belajar, bekerja
untuk bekerja, binatang di hutan juga belajar dan bekerja.
Masalahnya,
bukan berkaitan dengan bangsa tetapi sikap. Mahu berubah atau tidak? Apa pula
tanggungjawab pemimpin terhadap umatnya. Kenapa Melayu di luar negara boleh
berjaya? Kenapa tidak dalam negara? Apa punca masalahnya?
Ya,
tidak dinafikan segelintir Melayu hanya mahu kerja glamour. Yakinlah! Jika ada
program realiti pastinya orang Melayu yang berbaris panjang, walaupun mungkin bakat
seni tidak ada. Sebabnya, mereka mahu jadi glamour, popular dan kaya. Lihat
sahaja bagaimana jutawan Melayu begitu bersungguh menaja program realiti
hiburan TV. Siapa yang menjadikan Melayu sedemikian, kalau bukan kita?
Justeru,
mari bersama kita cari ubat Melayu. Pertama, ubatilah hatinya agar sikapnya
merubah. Hati yang bersih tanpa hasad dengki. Tidak saling jatuh-menjatuh,
tikam-menikam. Bersangka baik sesama sendiri. Letih kadangkala membaca grup
WhatsApp Melayu. Asyik menfitnah dan mengeji. Semua berpunca dari hati. Tanpa
hati yang tulus ikhlas, Melayu akan tetap sebegini. Melayu perlu belajar erti
hati ikhlas. Ikhlas dalam perjuangan, ikhlas menjadi pemimpin.
Konsep
ikhsan mesti dikhatam dan dihadam. Bekerja seolah-olah Allah nampak kita
walaupun kita tidak nampak Allah. Hari ini mesti lebih baik dari semalam. Esok
mesti baik daripada hari ini. Kata-kata siapakah itu?
Kedua,
Melayu mesti menolong Melayu berasaskan Islam. Agama Islam sangat mulia dan
terpuji. Praktikkanlah. Sediakan sekumpulan pakar untuk mengajar subjek agama
Islam sebagai agama yang positif dan dinamik. Islam sangat menentang sikap
bermalas-masalan. Tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima. Jika
boleh, masukkan kurikulum dan kursus kahwin, bukan hanya pendidikan seks
semata.
Mereka
yang berkebolehan, berbakat dan berilmu mesti diketengahkan. Jangan
dipetiaiskan kerana takut memberi ancaman. Ada pemimpin politik (menteri) takut
melantik orang yang lebih pandai daripadanya, takut-takut akan dicantas. Maka
dilantiklah ahli yang lebih bodoh daripadanya agar mudah diperkudakan. Kerjanya
asyik membodek dan kata ‘yes’. Maka kekallah dia sebagai pemimpin sampai mati. Inilah
yang berlaku di peringkat cawangan dan bahagian. Hati dan sikap Melayu sebegini
perlu diubati.
Ketiga,
sikap Melayu (Attitude). ATTITUDE jika disusun susun huruf A = 1 markah
sehingga Z = 25, hasilnya 100%. 1(A)+20(T)+20(T)+I(9)+T(20)+U(21) +D(4)+E(5)=100.
Susunlah perbuatan lain, tidak dapat 100 peratus. Inilah perkara lama yang
telah dibincangkan saban hari. Bagaimana nak ubah sikap, juga berpunca dari
hati.
Dalam
Islam, apa jua sektor kerja yang diceburi, yang paling penting, HALAL, baharulah berkat. Sanggupkah kita cuci
longkang, potong rumput, bina bangunan di tengah panas terik matahari. Sanggup.
Pokoknya, bayaran mesti setimpal. Kenapa kebanyakan orang suka berhijrah
mencari pekerjaan di tempat lain? Bayarannya berbaloi. Jika Melayu diberikan
gaji minima RM2000 dan insentif lain, pasti ada yang sanggup. Negara untung,
duit tidak mengalir keluar. Gejala sosial boleh dikurang, kerana pekerja asing
selalu dahagakan seks.
Keempat,
terdapat begitu banyak institusi berkaitan Melayu dan Islam di negara ini dan
dibiayai kerajaan kerana perlembagaan membenarkan, termasuk Majlis Profesor
Negara. Buatlah kajian. Kerajaan dengarlah. Kenapa sampai sekarang masih
membincangkan isu Melayu. Apa kita buat? Sudah berapa lama merdeka?
Lihat
NGO-NGO Cina, segala jenis persatuan mereka ada. Persatuan bahasa (dialek),
ikan, ayam, itik, sayur, buah, lori bas dan sebagainya. Bersatu dan dinamik. Sekali
mereka gegar... kecut! Ramai yang tunduk.
Kita
asyik bergaduh. Dalam semua sektor. Kalangan cendekiawan, agamawan, penjawat
awam, orang pencen dan lain-lain tidak kurang politikingnya. Bila ada masa
untuk membincangkan kekuatan Melayu. Melayu semakin melayu.
Kelima,
teringat kata hikmah Ungku Aziz, (1) rajin bercakap-rajin bekerja=bagus, (2) rajin
bekerja-malas bercakap=kena buli, (3) malas bekerja-rajin bercakap=wayang Cina,
(4) malas bekerja-malas bercakap=tak guna, (5) malas bekerja-suka
mengadu=nyanyuk, (6) malas bekerja-selalu ponteng=baik berhenti, (7) malas
bekerja-suka menyibuk=baik mati. Kategori mana duduk Melayu? Jarang yang duduk
pada 1. Rata-rata berada 2-7. Biar papa asal bergaya
Melayu
tidak boleh berlengah lagi. Perlu ada perancangan strategik jangka panjang
dengan memberikan keutamaan kepada isu yang mendesak. Lakarkan visi strategik
untuk melayari masa depan. Melayu juga perlu gigih mencari kumpulan pemimpin
yang lebih baik yang mampu mewakili mereka
dengan lebih berkesan dalam memperjuangkan kepentingan dan aspirasinya.
1 comments:
Jika yang bernama Melayu itu sanggup menerima segala kelemahan dan segera berubah, pasti Islam di Malaysia juga akan berubah...menjadi lebih baik.
Post a Comment