Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, October 26, 2015

Ilmu Asas Program Realiti TV

5:21 PM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
(Sinar Harian, 26.10.15)

Apa matlamat program realiti TV terutama program realiti agama? Mencungkil bakat baharu? Mewarnakan dunia dakwah? Mencari glamour? Atau mahu mencari keuntungan lumayan dengan memperalatkan agama? Ini yang menjadi kebimbangan.

Kebelakangan ini, program realiti TV agama semakin mendapat sambutan,  Semua stesen TV berlumba-lumba menerbitkannya. Para peserta tidak dipilihkan berasaskan kepada kehebatan ilmunya, tetapi lebih kepada kebolehan melawak dan menyanyi. Ketika beraksi di pentas, penampilan mereka seolah-olah seperti Mr Bean. Penghibur atau pelawak ummah?

Sedih! bila melihat, buka sahaja mulut, tiba-tiba dah melawak, tiba-tiba dah sedih.  Apo ko bendo ni! Perlu diingat, asas program realiti adalah ilmu dan dakwah. Kebolehan dan kepintaran menyampaikan sesuatu dengan baik, itulah kehebatannya.  

Pengucapan awam adalah suatu cabang ilmu dan seni. Seperti juga seni suara yang memerlukan kepada kemahiran vocal dan pitching. Ianya perlu dipelajari. Nasihat pakar. Bukan pakai terjah. Terus ke pentas semborono, walaupun tidak dinafikan ada yang berjaya.

Amat malang sekali apabila tenaga pengajar tidak dapat memberikan konsep-konsep asas dalam pengucapan awam seperti athos, pathos dan logos. Walaupun teori ini datang dari barat, mahu tidak mahu kita perlu menimbanya. Sudah tentu kita akan menjadi lebih hebat apabila dikaitkan dengan teknik pengucapan awam Baginda Rasulullah SAW.

Sedih sekali apabila kita hanya mengajar peserta program realiti menghafal apa yang mahu mereka ucapkan. Sehari suntuk kerjanya menghafal. Bila terlupa skrip, mulalah terkial-terkial. Apabila soalan ditanyakan secara spontan, menjadi terkulat-kulat. Begitulah canggungnya bila ilmu tidak mantap.

Juri yang memberi komenpun satu hal. Ada yang baru setahun jagung dalam dunia dakwah, sudah terlebih pandai memberi komen menjela-jela. Asas ilmu pengucapan awam tidak ada. Komen mereka berasaskan kepada pengalaman melalui trial and error. Ada yang langsung tidak ada sijil asas akademik, tetapi disebabkan pandai mencuit hati penonton, mereka menjadi terkenal. Sanggup meminta RM10K untuk sekali (kurang 2 jam) berceramah.

Pelopor teori pengucapan awam, Socrates mengemukakan tiga konsep dalam ilmu pengucapan awam iaitu ethos, pathos, dan logos. Tiga konsep komunikasi ini sangat berguna dan bermanfaat bagi kita semua dalam dalam bidang sekalipun. Bacalah wahai para pendakwah untuk memantapkan lagi dunia dakwah.

Ethos adalah karakter (kredibiliti) dari seorang penceramah. Sebelum penceramah memulakan syarahannya, persoalan berikut perlu diajukan. Adakah orang mempercayai diri kita? Justeru, diri kita mesti baik dan boleh dicontohi. Cakap mesti serupa bikin. Jadilah diri sendiri dan bukannya meniru orang lain. Tingkatkan kepakaran ilmu dan keterampilan. Tonjolkan keaslian diri atau personal branding, ditambah dengan disiplin diri yang tinggi.

Manakala pathos adalah emotional appeals. Kebolehan penceramah mempengaruhi emosi penonton melalui gaya bahasa dan ketrampilannya. Kita seolah-olah terpukau dengan ceramah yang disampaikan. Kadangkala air mata membasahi pipi tanpa disedari, tanpa dibuat-buat, seperti yang berlaku dalam realiti hari ini, termasuk penceramah yang dikategorikan terkenal. Penggunaan cerita, lawak jenaka, visual (gambar atau video), bahasa badan, penekanan kata atau intonasi boleh menarik perhatian.

Logos adalah bukti logik dengan sokongan fakta dan statistik yang disampaikan oleh penceramah. Elakkan cakap kosong atau mengada-ngadakan cerita tanpa bukti logik. Sebagai seorang Islam, sudah tentu sandaran al-Quran dan Hadis amat dialu-alukan.

Justeru, bagaimana mengembangkan logos ketika berceramah? Pastikan ada tiga perkara, mudah difahami, hujah yang konkrit, dan disertakan dengan bukti fakta dan statistik.

Elakkan memberi fakta yang sulit dan rumit sehingga sukar difahami dan diterima logik. Jika tidak cerita tidak masuk akal, maka tidak perlulah dijaja semata-mata untuk menarik emosi seseorang. Misalnya, cerita-cerita Israeliyyat dan hadis palsu yang selalu dibawa oleh seorang ustazah kampung.

Yakinlah! sesuatu hujah yang berlandaskan fakta dan contoh-contoh konkrit cenderung  lebih mudah diterima oleh penonton. Semakin baik fakta yang ditunjukkan maka semakin besar pula kepercayaan penonton terhadap diri kita.

Amat malang sekali mendengar ceramah, tiba-tiba, belum apa-apa penceramah sudah menangis, seolah-olah dibuat. Sedangkan tangisan itu perlu datang dari hati, barulah kita boleh mempengaruhi penonton.

Jika semua tiga komponen ini ada, kita tidak perlu ada rasa bimbang terhadap kepercayaan penonton. Namun, jika sebaliknya, buatlah atau berilah latihan sebanyak dan selama mana sekali, peserta program realiti tidak akan ke mana, hanya menjadi mangsa keadaan, mengikut kehendak stesen TV terbabit yang hanya mahukan keuntungan dan rating.


Begitu juga celebriti (artis) yang bertanya soalan atau para juri. Apabila berada dalam pentas agama, mereka seolah-olah seperti malaikat, bertanyakan soalan yang cukup Islamik. Keluar dari dewan realiti agama, sudah menjadi orang lain. Apakah Islam ini seperti cerita filem, adakalanya berlakon baik, adakalanya jahat. Masuk masjid jadi mujahid, keluar masjid menjadi mujahat. Ini bentuk Islam yang ingin ditonjolkan? Tidakkah Islam itu way of life? Insaflah semua, kembalilah kepada jalan yang benar. 

Monday, October 19, 2015

Apa Lagi MCA Mahu?

9:35 AM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
Apa lagi MCA mahu? (Sinar Harian 19.10.15)

MCA perlu membuktikan bahawa mereka mendapat sokongan Cina, barulah boleh menuntut ini dan itu. Jika tidak, tidak perlu tertalu bising sangat, buat kerja-kerja asas dahulu untuk memenangi hati orang Cina.  Siasat dahulu sebelum menuduh. Malu jika pemimpin buat kenyataan semberono.  

Cadangan, buatlah kajian akademik kenapa MCA, mahupun Gerakan dan SUPP tidak mendapat perhatian orang Cina. Isu Cina babi dan Sekolah Vernakular yang dibangkitkan, perlu juga dilihat secara positif, kenapa Melayu memberi respon sedemikian, tentu ada sebab.

Melayu Islam yang saya kenali tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat jika mereka tidak marah. Jika mereka marah, usahkan Cina babi, macam-macam lagi yang lebih teruk dari babi yang akan keluar. Ini perkara biasa, Melayu pantang dicabar dan rasa tercabar. Cuba fahami psiki orang Melayu sebagaimana saya fahami.

Sudah acap kali saya sebut dalam ceramah dan tulisan bahawa  saya amat tidak bersetuju dengan kata-kata kesat stereotaip seperti Cina babi, Cina mampus, dan sebagainya.

Tidak kurang pula yang memuji seperti Cina rajin, Cina pandai berniaga dan pujian positif yang lain. Justeru, janganlah terlalu sensitif, sehingga terlalu memaksa.  

Apabila PM berkata, SJKC akan terus kekal dalam sistem pendidikan, maka buatlah penambahbaikan supaya operasi tidak terlalu kecinaan, sehingga lebih Cina daripada Cina di negara China.

Biar pelat sedikit dalam basa ibunda, tak apa? Asalkan bahasa Kebangsaan dimartabatkan. Begitu juga, jika mahu UEC diiktiraf, maka ikutlah syarat-syarat KPM. Kenapa sudah sangat mahu memenuhi permintaan KPM? Bukan mahu mengasimilasikan orang Cina.

Pernahkah kajian dibuat, kenapa pelajar berada dalam Universiti Awam mahupun Swasta, masih lagi hidup dalam kotak perkauman. Pergi kekelas, duduk sesama mereka, keluar kelas, ke kantin sesama mereka. Boleh dikatakan, kita akan nampak dengan jelas tompok, putih, hitam, antara keduanya, di dalam dan di luar kelas.

Bila Presiden MCA berucap "negara kita sedang diancam", sebenarnya dituju kepada siapa? Siapa mengancam siapa? Ancaman kepada keselamatan nasional adalah apabila agenda negara tidak dihayati. Misalnya, soal bahasa, semangat patriotisme dan sebagainya.

Terlalu obses dengan jawatan dan mahukan itu dan ini juga membahayakan sebab mencabar kesabaran Melayu. Mana tidaknya, kekuatan tidak seberapa, masih tidak sedar diri. Orang Melayu diminta berkorban, sedangkan diri sendiri tidak menampakkan pengorbanan tersebut.

Ikutlah tindak-tanduk Parti Progresif Penduduk (PPP), bersedia mlepaskan kerusi yang ditandinginya kepada Gerakan jika itu yang diminta. PPP bukan sebuah parti yang mementingkan kerusi. Sebaliknya mementingkan perpaduan dalam BN dan semangat kerjasama untuk memastikan kemenangan BN.

Pada PRU-13, PPP gagal memenangi semua kerusi yang diambil dari Gerakan. Apakah Gerakan boleh memenangi kerusi tersebut jika diberi semula? Jangan haraplah. Gerakan jangan takbur. Seperti syor saya minggu lalu kepada MCA, Gerakan juga tidak layak untuk menduduki kerusi kabinet berasaskan kepada prestasinya. Namun, diberi juga atas nama setiakawan.

Berbalik kepada MCA, cadangan agar kerajaan mewujudkan Majlis Rekonsilasi Tadbir Urus Politik, Hal Ehwal Agama dan Perpaduan bagi menyelesaikan isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan sosioekonomi masyarakat, tidak perlu kerana kita sudah ada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Perkukuhkan JPNIN. Ketuanya juga adalah orang Cina.

MCA juga mendesak mahu menubuhkan sebuah Bank Koperasi Kojadi bagi memperkasakan pembangunan ekonomi dan transformasi secara berkesan. Mungkin MCA mahu mencontohi kejayaan Bank Rakyat. Tak puas lagi dengan apa yang ada? Apa lagi MCA mahu?

Bayangkan selepas ini semua parti BN mahu menubuhkan bank koperasi, apakah kerajaan juga akan tunduk? Cadangan saya, jutawan-jutawan MCA yang telah dikayakan oleh kerajaan, tampillah membantu orang Cina. Jangan hanya kayakan keluarga sendiri sahaja. Bayangkan daripada 40 terkaya di Malaysia, hampir 30 adalah orang Cina yang dikayakan oleh kerajaan, masih tidak mampukah untuk bantu orang Cina yang lain sehingga terpaksa tubuh bank?

Zaman globalisasi hari ini kerajaan sibuk untuk mengecilkan bilangan bank, MCA pulak mahu menambah bank kerana gatal punggung melihat kejayaan bank rakyat. Kenapa begitu ultra kiasu.

MCA janganlah terlalu fokus kepada ekonomi sangat kerana kedudukan orang Cina secara puratanya sudah teguh. Jika mahu fokuspun, tumpukan kepada Cina yang masih gelandangan atau mereka yang berpendapatan RM3000 ke bawah. Tidak perlu menyenangkan lagi yang sudah kenyang.

Fokus utama kini adalah fikirkan bagaimana mahu merapatkan hubungan kaum Cina-Melayu terutama melalui pendidikan. Bantulah kerajaan untuk memberikan kefahaman kepada NGO ultra kiasu, terutama penambahbaikan SJKC  supaya operasinya tidak terlalu kecinaan seperti saya syorkan minggu lalu.

Jika asimilasi itu sudah ditolak sepenuhnya, integrasi dan akomodasi yang menjadi keutamaan, lakukan yang terbaik untuk menjunjung agenda negara, bukan mewujudkan negara dalam negara.

Jika perkara ini tidak diperbaiki, tidak mustahil akan muncul banyak lagi perhimpunan baju merah melawan kuning. Perkataan yang lebih kesat akan keluar. Ketika itu tidak guna lagi beremosi.




Monday, October 12, 2015

Soalan untuk dijawab MCA

7:35 AM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
(Sinar Harian 12.10.15)

Pemimpin MCA berkata saya buta politik dan mahukan saya masuk dalam parti mereka untuk diajar lebih mendalam tentang politik dan cara hidup orang Cina. Sila semak daftar ahli MCA.

Sebelum MCA mahu mengajarkan saya, saya cadangkan MCA baca bahan ilmiah saya bertajuk persepsi Cina terhadap Umno, untuk mengetahui sama ada saya memahami budaya politik Cina atau tidak.

Saya sebenarnya bukan mahu jadi begini, sebagaimana dipersepsikan oleh MCA dan ultra kiasu yang lain. Saya tetap Cina sampai mati kerana itulah hakikat ciptaan Allah. Tidak ada ertinya saya memeluk Islam jika saya anti Cina.

Saya terpaksa jadi begini, sehingga dituduh rasis atau anti Cina, kerana ultra kiasu terlalu mengasak Islam, sehingga ruang untuk Islam bernafas menjadi sempit. Berpolitik boleh, tetapi jangan campurtangan dalam hal ehwal Islam, kerana kami tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal agama lain.

Suka atau tidak, MCA dan ultra kiasu yang lain kena menerima hakikat bahawa warna-warni Malaysia tidak dapat lari dari bertunjangkan kepada sistem kenegaraan Melayu Islam (Malay polity atau Malaya canopy). Itulah sejarah dan asal-usul semua negara yang berasaskan bangsa.

Apapun, sebelum MCA mahu mengajar saya tentang politik Cina, mohon jawab dahulu beberapa persoalan ringkas yang saya kemukakan.

Pertama, soalan politik. Apakah kerusi yang dimenangi hari ini kerusi kawasan majoriti Cina atau Melayu? Majoriti undi yang diperolehi di kawasan yang ditandingi sebelum ini, sebelum dipinjamkan kepada Umno, terutama kerusi Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju, undi Cina atau undi Melayu yang memberi kelebihan? Kepada siapa MCA sepatutnya berterima kasih?

Apakah MCA mempunyai pengaruh di kalangan orang Cina? Jika MCA kuat, kenapa semua kerusi yang ditandingi kawasan majoriti Cina, kalah teruk? Kenapa tidak meletakkan calon Cina Muslim bertanding kawasan majoriti Melayu? Adakah MCA prejudis terhadap Islam?

Kedua, soalan Pendidikan. Kenapa MCA bersekongkol dengan ultra kiasu bermati-matian mempertahankan operasi SJKC dengan menolak penambahanbaikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM)? Kenapa SJKC tidak mahu ikut arahan kerajaan agar masa Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu BM) ditambah?

Ketika KPM mencadangkan agar subjek sejarah yang baru diperkenalkan di semua Sekolah Rendah diajar dalam BM, kenapa MCA tidak memberikan sokongan, malahan bersekongkolkan dengan ultra kiasu agar ia diajar dalam bahasa ibunda sehingga KPM terpaksa tunduk?

Kenapa Sekolah Wawasan (SW) gagal mendapat perhatian orang Cina walaupun SJKC ada di situ? Kenapa MCA tidak berkempen memperbanyakkan SW daripada SJKC? Kenapa MCA turut bersetuju dengan tuntutan ultra kiasu agar guru Melayu yang mengajar BI dan BM di SJKC, mesti  mendapat kredit dalam bahasa mandarin di peringkat SPM? Kenapa syarat kredit mandarin dimestikan sehingga KPM terpaksa akur?

Kenapa MCA hanya senyap apabila silibus dan peperiksaan BM di SJKC lebih mudah daripada Sekolah Kebangsaan (SK)? Kenapa silibus dan peperiksaan BM tidak diseragamkan supaya kita berlaku adil? Mana lebih utama, BM atau bahasa ibunda?

Apakah MCA tidak tahu bahawa orang Melayu (Islam) yang menghantar anaknya ke SJKC bertujuan untuk menguasai bahasa lain bagi tujuan dakwah, bukan terlalu obses dengan SJKC seperti yang saya lakukan sendiri? Kenapa hujah ini selalu dijaja?

Jika MCA mengatakan sekolah vernakular bukan punca masalah perkauman, bolehkah MCA berikan statistik berapa ramai pelajar-pelajar yang gagal BM dalam UPSR dan berapa ramai pula yang langsung tidak boleh bertutur dalam BM. Termasuk juga di kalangan orang dewasa?

MCA, Gerakan dan ultra kiasu selalu mendesak kerajaan mengiktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina. Bolehkah MCA jelaskan apakah bentuk silibus dan kurikulumnya? Kenapa UEC tidak patuh kepada kehendak KPM?

Kini, Kerajaan Sarawak telah mengiktriraf UEC. Kenapa MCA mendesak agar kerajaan pusat mengikut langkah kerajaan Sarawak? Tidakkah MCA tahu bahwa EUC tidak berkiblatkan silibus dan kurikulum KPM? Majlis Peperiksaan UEC bukan datang dari KPM? Apakah kita boleh membina peperiksaan dalam peperiksaan, sama seperti membina negara dalam negara?

Hayati apa yang dikatakan oleh Prof Dr Shad Saleem Faruqi, The Chinese and Tamil schools are actually not protected under the constitution. The constitution only permits the right to learn the language but doesn't give you the right to learn in the language. There's a difference. Non-Malays conceded an electoral system with the rural weightage, they conceded the fact that there would be Islam, Malay language, Malay special position and that the royalty is all Malay (The Star  5 Mei 2013).


Kepada orang Melayu, fahamilah, bahawa ultra kiasu terpaksa bertindak sebegini kerana populasi mereka semakin sedikit disebabkan mereka tidak beranak ramai. Populasi mereka akan semakin mengecil dari tahun ke tahun. Jika trend terus berlaku, bermakna hak mereka akan semakin sedikit. Inilah yang menjadikan mereka terpaksa menjadi sedemikian rupa.  

Monday, October 05, 2015

MCA perlu jadi jambatan

7:38 AM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
(Sinar Harian 5 Okt 2015)

MCA dalam kenyataannya baru-baru ini mahukan kembali kerusi Parlimen yang ‘dipinjamkan’ kepada Umno dalam PRU 13 iaitu Gelang Patah, Wangsa Maju dan Kuantan. Sebelum MCA merancang nak ambil kerusi tersebut, cermin diri dahulu. Kuatkah MCA pada hari ini? Kerusi yang dimenangi selama ini di kawasan majoriti Melayu atau Cina?

Jika rasakan diri kuat, menangi dahulu kerusi-kerusi majoriti Cina di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Petaling Jaya dan lain-lain lagi. Jika boleh menang, baharulah boleh cakap besar. Ini tidak, berkokok keterlaluan, menyakitkan hati. Apatah lagi kenyataan memutuskan hubungan dengan PM oleh Pemuda MCA Pasir Gudang. Siapa MCA? Belajarlah berterima kasih, kerana kerusi yang dimenangi selama ini adalah undi ehsan Melayu.

Hari ini bukan soal kerusi yang penting, tetapi membina kekuatan, kerja keras untuk rakyat, bukan terlalu berbisnes atau berpolitik. Nasihat ini bukan sahaja untuk MCA tetapi komponen BN yang lain. Jangan hanya menang sorak.

Kelakar apabila mendengar MCA sedia 'menggempur' pemimpin veteran ultra kiasu Parlimen Gelang Patah pada PRU akan datang. Jangan mimpilah untuk menang.

Pada PRU Ke-13, ultra kiasu menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi. Alasan mengatakan ultra kiasu tidak melaksanakan tanggungjawabnya atau tidak, bukan isu, kerana ultra kiasu tahu siapa yang harus dipilih.

Selama mereka menjadi ahli parlimen kebanyakan kerusi di Kuala Lumpur, pernahkah wakil rakyat ultra kiasu melaksanakan tanggungjawab mereka? Kuala Lumpur terus membangun kerana tugasnya telah diambil alih oleh DBKL.

MCA tidak berpijak di bumi nyata. Tidak faham isu sebenar. Tidak mustahil ahlinya turut mengundi ultra kiasu dalam PRU lalu.

MCA perlu mengatur strategi dan bertindak seperti pengasasnya,  Tun Omar Ong Yoke Lin, yang tidak terlalu perkauman. Apabila Tun Omar mengambil keputusan memeluk Islam 1961, beliau dimomokkan hendak menjadi Melayu.

Menurut Adam Kadir, momokan ini mempunyai unsur rasisme. Satu pihak bertekad menjatuhkan maruah dan kredibiliti Tun Omar. Pihak satu lagi rasa terhina dari segi jati diri kerana ras diungkit. Namun sehingga akhir hayatnya, identiti beliau tetap Cina dan agamanya kekal Islam, tanpa terjejas oleh  momokan tersebut.

MCA menjadi kuat sebelum ini kerana tidak terlalu perkauman. Boleh dikatakan MCA dekat di hati Melayu. Hari ini tidak, pantang ada orang cuit sahaja pasal sekolah vernakular, melompat tidak tentu pasal, tanpa menyiasat hujung pangkal. Sudah tentu tindakan sebegini tidak disenangi oleh orang Melayu.

Sudah sampai masanya MCA memikirkan strategi untuk meramaikan pemimpin seperti Tun Omar. Salah satu strategi adalah dengan menubuh Biro Agama Islam, kalangan Cina Islam yang berada dalam MCA.

Biro ini boleh menjadi jambatan kepada MCA supaya bertindak secara berhemah, terutama ketika berhadapan dengan orang Melayu. Saya fikir, orang Melayu tidak mempunyai masalah untuk memberi sokongan kepada MCA, jika MCA tidak terlalu celupar.

Selama inipun, walaupun MCA kalah banyak kerusi, kerusi menteri dan timbalan menteri masih diberikan kepada mereka mengikut kuota yang disediakan walaupun sebenarnya, MCA tidak layak menduduki kerusi tersebut berdasarkan kepada kerusi yang dimenangi dalam PRU.

Kedua, sudah sampai masanya MCA meletakkan calon Cina Muslim di kawasan yang majoriti Melayu, yang ditandinginya. Jika MCA meletakkan juga calonnya yang terlalu kecinaan, memang sukar untuk menang.

Maaf cakap, ramai calon MCA yang BM mereka tunggang-langgang. Apatah lagi untuk memahami selok belok adat dan budaya Melayu. Calon sebegini menempah tiket untuk kalah.

Ketiga, MCA tidak boleh mengharapkan lagi untuk dilantik menjadi senator bagi menduduki kerusi menteri atau timbalan menteri pada masa akan datang, jika gagal membuktikan kekuatannya.

Saya ingin mencadangkan kepada PM supaya melantik kalangan wakil Cina yang terdiri daripada ahli bisnes atau ahli akademik, menggantikan MCA jika gagal menunjukkan prestasinya. Saya amat yakin, keadaan ini jauh lebih baik daripada berpolitik yang tidak mendapat sokongan. Menghabiskan beras sahaja.

Saya tidak pasti sama ada Umno mahu menerima pandangan saya atau tidak. Tetapi PRU akan datang adalah penentu kepada hidup matinya BN. Jika BN terus meletakkan calon Cina totok MCA di kawasan majoriti Melayu, BN akan kalah.

Bagi kawasan majoriti Melayu pula, tidak semua kerusi perlu ditandingi oleh Umno. Jika Pas berkeras mahukan Kelantan, berikanlah.Tandingi kawasan yang boleh dimenangi sahaja. Selebihnya serahkan kepada Pas. Umat tidak akan rugi sedikitpun memberikan Kelantan kepada Pas. Jalan perpaduan perlu direntasi, barulah hasilnya dapat dirasai.


Kadang kala kita begitu bersemangat untuk merampas Kelantan, sedangkan Pulau pinang yang menjadi lubuk ultra kiasu dibiarkan begitu sahaja. Sesama Melayu bergocoh, musuh dibiarkan berseronok bertepuk tangan. 

Monday, September 28, 2015

Siapa lebih lama makan babi?

7:43 AM Posted by RIDHUAN TEE 15 comments
(Sinar Harian 28 Sep 2015)

Lama sudah saya tidak mendengar kata-kata “Cina babi”, kecuali selepas perhimpunan merah 16 September. Menyamakan manusia, Cina dengan binatang (babi), adalah perbuatan manusia tidak bertamadun. Orang sebegini tidak layak memimpin dan menjadi pemimpin.  

Atas apa jua alasan, sama ada orang Cina suka makan babi atau tidak, perkataaan ini sepatutnya tidak boleh sama sekali dikeluarkan di khalayak. Apa kata, kalau orang lain berkata, Melayu lembu. Apabila ada yang protes, maka kita pun jawab, ia tidak sensitif, kerana orang Melayu memang suka makan lembu.

Saya harap orang yang mencari alasan sebegini, bertaubatlah. Perbuatan kamu tidak menguntungkan dakwah, malah merugikan. Ya, memang saya tidak nafikan, saya turut melabelkan segelintir Cina dengan istilah ultra kiasu, tetapi saya merujuk kepada sikap mereka, yang asyik mahu menang, tanpa sedikitpun mahu kalah. Tidak kira sama ada Cina atau Melayu atau lain-lain.

Perlu diingat, tidak semua Cina makan babi. Ada Cina Islam dan segelintir Kristian yang tidak makan babi. Terdapat lebih 80 juta Cina Islam di Negara China, 5 kali ganda jumlah Melayu Islam di Malaysia, yang tidak pernah menyentuh babi, kerana mereka beragama Islam.

Malah, orang Cina di China, menerima Islam lebih awal daripada kita. Orang Melayu menerima Islam 600 tahun yang lalu. Orang Cina telah menerima Islam hampir 1400 tahun yang lalu. Malah, sejarah pengIslaman orang Melayu, turut dilakukan oleh pendakwah Cina.

Tanpa orang Cina datang ke berdakwah dan berdagang ke Alam Melayu (selain Arab dan India), mungkin pengIslaman orang Melayu secara besar-besaran menjadi tidak sempurna. Justeru, berhati-hatilah apabila membabikan orang lain. Mungkin sebelum Islam dahulu, orang Melayu turut memakan dan bermain dengan binatang ini. Persoalan saya, berdasar sejarah, siapa lebih lama makan babi? Siapa mengajar siapa supaya menjauhi babi? Cina atau Melayu?

Saya jarang sekali memohon maaf kepada seseorang, tetapi dalam insiden kali ini menjadikan saya malu dan terasa ingin memohon maaf kepada orang Cina yang tidak ultra kiasu, atas keceluparan orang yang mengaku Islam, menggunakan kata-kata kesat.

Saya melakukan sebegini kerana saya amat faham tentang sifat dan makhluk yang Allah jadikan. Babi sekalipun, haram dimakan atau dipelihara oleh orang Islam, namun sifatnya sebagai makhluk ciptaan mesti dihormati, kerana ia ciptaan Allah, bukan syaitan. Hatta, syaitan sekalipun adalah ciptaan Allah, sekali pun ia musuh kepada manusia dan bertugas menyesatkan manusia.

Apakah salah Allah menjadikan syaitan? Begitu juga dengan orang Yahudi. Benar, Allah melaknati Yahudi dalam al-Quran, kita pun sebut Yahudi laknatullah. Pada masa sama, Allah memberi kelebihan kepada Yahudi. Yahudi menguasai dunia dan ekonomi. Kenapa Allah lakukan sedemikian? Patutkah kita menyalahkan Allah? Yahudi tidak salah, tetapi sikap Yahudi itu yang perlu ditangani.

Terkadang kala saya amat sedih melihat orang Melayu yang mengaku Islam, menganiaya makhluk yang tidak berdosa seperti yang anjing, yang turut menjadi sensitif kepada orang Melayu, sehingga kita sanggup menyamak beratus-ratus troli, sedangkan perkara yang lebih haram seperti rasuah dan riba dibiarkan berleluasa, malah diambil menjadi darah daging.

Justeru, saya memohon supaya kita tidak terlalu beremosi. Ya, memang kita menentang sikap ultra kiasu. Tetapi itu bukan bermakna kita mengambil sikap memusuhi mereka, kecuali ia memberikan ancaman terhadap Islam.

Ambillah iktibar, cerita ibu bapa saya yang berniaga di kawasan orang Melayu suatu ketika dahulu. Ibu saya sanggup ‘mencuri’ beras, yakni mengambil beras tanpa pengetahuan bapa saya dan memberikannya kepada orang Melayu yang mempunyai ramai anak atas dasar belas kasihan.

Saya tidak boleh bayangkan betapa besarkan jasa ibu bapa saya ‘membesarkan’ orang Melayu yang kesusahan di kampung saya, dengan memberikan mereka berhutang, sehinggakan buku hutang bertapok-tapok tidak berbayar, sehinggakan ada hutang yang ditulis didinding-dinding kedai. Orang kampung membesar dengan hutang kepada ibu bapa ayah. Ramai anak mereka berjaya masuk universiti, hutang masih tidak berbayar. 

Bacalah kisah Hajijah Saini mengambil upah menjaga dua anak Cina sejak mereka masih bayi lagi sehingga memberi gelaran nama yang sinonim dengan bangsa Melayu dan Islam iaitu ‘Hassan dan Abu’. Hajijah menjaga dan menyayangi anak Cina ini seperti anak sendiri. Makan bersuap, tidur di riba, mandi diurus. Adakah wajar kita membenci Cina kerana dia Cina?

Begitu juga kisah seorang Cina tua tinggal seorang diri, membeli nasi lemak daripada peniaga Melayu. Melihat keadaan Cina tua itu, peniaga Melayu ini memberikan nasi lemak secara percuma kepadanya.


Kesimpulan, saya tidak melarang kebebasan berhimpun, jika ada tujuannya. Tetapi jagalah akhlak dan mulut. Jika bersalah, mengakulah. Tidak perlu mencari alasan yang tidak munasabah. Itu ultra kiasu namanya. Ultra kiasu hanya ada pada orang Cina, tetapi kepada orang Melayu juga. Berhimpunlah secara baik, tonjolkan imej baik Islam seperti yang dikehendaki pimpinan negara kita.  

Monday, September 21, 2015

Bila matlamat menghalalkan cara

8:01 AM Posted by RIDHUAN TEE 5 comments
(Sinar Harian, 21 Sept 2015)

Dalam politik, segala kemungkinan boleh berlaku. Kawan menjadi lawan. Lawan menjadi kawan. Pendek kata, untuk mendapatkan kuasa, segalanya boleh berlaku. Janganlah terlalu mempercayai. Baiahpun dipermainkan. Inilah realiti politik, tidak kira di mana kita berada.

Terbaharu, PKR telah mencuri beberapa pemimpin dan wakil rakyat Pas yang berpengaruh bagi mengukuhkan kedudukan kuasa mereka. Tindakan terdesak itu mungkin dilakukan setelah mendapat arahan surat dari penjara.

Aneh! bukankah mereka lebih cenderung menyertai GHB atau PAN dari PKR sebelum ini? Sama-sama saksikan kehadiran mereka memberi kredit atau sebaliknya kepada PKR? Masalah dalaman PKR tidak kurang hebatnya. 

Ketika Khalid Ibrahim, bekas menteri besar Selangor, ditendang keluar dari PKR, ada ura-ura mengatakan beliau mahu memilih Pas sebagai wadah perjuangan. Pas cepat-cepat mengeluarkan kenyataan menolak, hanya kerana mahu menjaga hati kawan, supaya tidak menjadi lawan.

Tidak semena-mena, bila tiba giliran PKR, sudahlah tidak beritahu Pas, malahan membuat kenyataan akhbar secara terang akan kemasukan kedua tokoh tersebut dalam parti mereka. Lebih dahsyat, diumumkan bersekali dengan jawatan penting dan strategik yang diberikan.Terdesak sangatkah?

Inilah politik rakus, apabila Islam tidak menjadi asas, matlamat menghalalkan cara. Nampaknya, apa yang dinyatakan oleh Machiavelli, lebih 500 tahun lalu menjadi kenyataan. Demi kuasa, manusia sanggup lakukan apa jua cara, sekalipun terpaksa menikam rakan sendiri. Orang agama atau bergelar ustaz juga tidak berkecuali. Saya dapat merasakannya.

Tidakkah mereka takut dengan syurga neraka? Bukankah perkara ini yang menjadi buah mulut dan dijaja ketika ceramah. Kenapa mudah sangat kita bercakap tetapi tidak mengotakan?

Makna politik yang begitu suci, telah tercemar dan ternoda dengan tangan-tangan jahat manusia. Inilah perkara yang perlu ditangani  demi mengembalikan semula kesucian politik itu.

Lebih pelik lagi ada yang berani mengeluarkan fatwa sendiri. Baiah yang disumpahi, mahu dilanggar sesuka hati. Bila terkena batang hidung, merekapun berkata, serahkan pada Allah, syurga neraka bukan terletak di tangan Pas. Sedapnya mulut!

Dahulu ketika mahu bertanding atas tiket Pas, kenapa tidak dibangkitkan soal ini? Sekian lama kewujudan Pas, pimpinan silih berganti, baiah terus disepakati.

Tiba-tiba apabila mereka mahu keluar daripada Pas, dengan mudah mahu membatalkan baiah tersebut dengan hanya merujuk kepada seorang dua mufti yang dirasakan memihak kepada mereka.

Apakah ulama-ulama yang selama ini berada dalam Pas, ilmunya tidak setanding mufti pada hari ini? Misalnya, Fadzil Noor, Nik Aziz, Harun Taib, Yahya Othman, Dr. Daeng Sanusi, Dr. Mahfoz, Dr. Harun Din, dan ramai lagi, sama ada masih hidup atau telah pergi, ilmu mereka tidak setanding mufti Perlis misalnya? Siapakah ulama siku lutut? Saya masih tercari-cari.

Maka, benarlah kata Hans J. Morgenthau, apabila kebenaran mengancam kuasa, kuasa mengancam kebenaran, truth threatens power, and power threatens truth, maka segala cara akan dicari untuk menghalalkannya.

Inilah dilema Melayu. Mereka telah ditimpa masalah. Tetapi jalan keluar masih tidak dicari. Terus menyalahkan orang lain, hasil masalah yang dicipta sendiri. Saya tidak nafikan orang lain turut menimbul dan memberikan masalah, seperti ultra kiasu.

Terbaharu, gara-gara pilihan raya kampus, seorang pemimpin pelajar (Melayu), 22 tahun, mengalami kecederaan selepas diserang menggunakan senjata tajam dan disimbah cat, dalam kawasan kampus sendiri. Apa sudah jadi dengan Melayu, kerana kuasa, sehingga dalam kampus pun mereka masih ‘tikam-menikam’. Adakah troli yang disamak boleh mengembalikan kekuatan orang Melayu?

Perhimpunan baju merah 16 September 2015 adalah perhimpunan Melayu. Seramai mana pun baju merah turun, sehingga menenggelamkan bandaraya Kuala Lumpur, ia masih belum meyakinkan saya kekuatan Melayu yang sebenar, kerana realitinya Melayu tidak kuat akibat perpecahan.

Jika sekadar nak menunjukkan bahawa bilangan baju merah yang turun lebih ramai daripada kuning, memang tidak ada masalah. Kerahkan mereka turun, bagi bas dan sedikit habuan, melambak mereka turun. Apa yang kita dapat selepas itu?  Patutlah tidak ramai bukan Islam masuk Islam di negara kita (kurang satu peratus), rupa-rupanya kita lebih tunjukkan warna  daripada menonjolkan Islam.

Apa guna merah kelihatan banyak jika tidak bersatu, berbanding kuning yang lebih sedikit tetapi bersatu, realitinya? Kuning tidak akan takut kepada merah selagi merah tidak bersatu.

Air mata saya mengalirkan membaca kata-kata Musli Oli dalam FBnya. Saya hadir dua himpunan. Kuning dan Merah. Hasil pemerhatian, peserta Kuning ramai di kalangan anak muda elite dan golongan profesional minum di Starbucks, makan di Subway dan Nandos. Manakala peserta Merah ramai orang veteran parti yang sarapannya nasi dagang, nasi lemak dan ubi rebus. Mereka telah berjuang sekian lama pertahankan kerajaan tetapi cuma dapat tapak gerai untuk berniaga di bulan Ramadan. Sedih tengok Pakcik dan Makcik terhencot-hencot berarak dari PWTC kerana alignment sudah lari. Saya merayu kepada pemimpin-pemimpin Melayu, perjuangkanlah nasib mereka dengan ikhlas dan jujur kerana golongan ini sanggup bergadai nyawa dan harta pertahankan kuasa kamu.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UniSZA


Wednesday, September 16, 2015

Menang sorak kampung tergadai

11:28 PM Posted by RIDHUAN TEE 11 comments
(Sinar Harian 14.9.15)

Saya kurang bersetuju apabila kumpulan merah mahu berhimpun pada 16 September 2015, sebagai respon kepada kumpulan kuning, Bersih 4.0. Jika kita tidak mahu dilihat seperti mereka, kenapa mesti kita mengikut atau respon kepada mereka. Mahu tunjuk siapa lebih ramai atau siapa lebih kuat? Apa yang akan kita dapat selepas itu? Menang sorak?

Menang sorak sahaja tidak cukup jika kampung tergadai. Inilah pepatah warisan nenek moyang sekian lama. Lebih baik tumpukan perkara yang lebih berfaedah.

Ultra kiasu berani kerana mereka sudah berada di tempat yang kukuh. Kewangan mereka mantap, perpaduan mereka kukuh. Melayu pula bagaimana? Ekonomi jauh ketinggalan. Perpaduan entah ke mana? Merempit dan mendadah sana sini. Berpecah hampir kepada berpuluh kumpulan. Sesama kumpulan tikam-menikam. Masing-masing mahu berkuasa. Pendek kata, senaraikan masalah Melayu, menjela-jelalah jawabnya.

Kenapa kita tidak pernah belajar daripada ultra kiasu? Sekurang-kurangnya ambillah pengajaran. Misalnya, kenyataan seorang menteri di Singapura ketika berkempen menjelang hari pengundian pilihan raya mereka 11 September 2015.

Dengan jelas beliau berkata dan menyindirkan kita. Katanya, nasib baik bapanya mendarat di Singapura dari negara China, dan kini dia menjadi warga Singapura. Jika dia mendarat di Tanah Melayu, sudah tentu dia menjadi warga Malaysia selepas berpisah pada tahun 1965. Malaysia dituduh sebagai negara rasuah, rasis dan berbagai lagi yang negatif.

Hebat sangatkah Singapura hari ini? Tidak hairan Singapura maju kerana saiznya sekangkang kera. Bolehkah Singapura maju tanpa kita? Apakah orang Melayu selaku penduduk asal tidak dipinggirkan? Kenapa Dr. Lily Zubaidah tidak dibenarkan pulang ke Singapura? Saya diberitahu, ketika sambutan kemerdekaan negara mereka baru-baru ini, video pendek yang ditayangkan langsung tidak menggambarkan keadaan sebenar bahawa Singapura adalah sebahagian daripada Tanah Melayu. Kenapa sejarah ini perlu dipadamkan? Inilah ultra kiasu yang perlu kita belajar, bukan bertindak sama seperti mereka.

Saya harap orang Melayu membuka mata supaya jangan terlalu beremosi.
Berhentilah melakukan kerja-kerja kurang bermanfaat ini. Ia bukan medan untuk menunjuk siapa lebih buat? Tumpukan perhatian untuk membangunkan anak bangsa agar menjadi manusia berguna.

Fikirkan bagaimana hendak melahirkan lebih ramai orang Islam menjadi pengeluar, bukan pengguna semata-mata. Hari ini, boleh dikatakan kita rata-rata menjadi pengguna.
Tidak mustahil terambil, terbeli, atau termakan benda-benda yang haram, mengandungi babi. Kadangkala saya merasa pelik, kita begitu sensitif dalam soal menyamak bekas atau troli terkena anjing. Tidakkah kita sedar kadangkala kita termakan benda haram secara sedar, apabila kita bukan pengeluar. Seringkali kita dengar makanan yang sengaja dicampur babi dan benda haram yang lain.

Misalnya, tindakan ahli Jawatankuasa Masjid Plentong, Johor Bahru menyamak dengan air tanah, 500 buah troli di sebuah pasaraya selepas ia dicemari air kencing anjing. Pada saya, tidak perlulah disamak, cukuplah disiram dengan air bersih. Lagi pula yang terkena satu dua sahaja. Anak kita tidak akan menjadi jahat, jika terpegang troli tersebut. Ramai yang merempit hari ini, walaupun tidak memegang troli tersebut?

Saya tidak nafikan bahawa pihak pasaraya terbabit bersalah kerana tidak memahami sensitiviti orang Melayu. Pihak pasaraya sepatut menegah mana-mana pelanggan membawa binatang peliharaan. Ini bukan perkara luar biasa, tetapi norma antarabangsa. Ramai bukan Islam yang memberi komen menentangnya.  

Jika kita benar-benar sensitif dengan najis ini, yang perlu ‘disamak’ adalah perut-perut pemberi dan penerima rasuah, makan hasil hutang tidak berbayar dan pemakan riba. Itu benar-benar haram.

Saya masih teringat orang-orang kampung yang berhutang dengan bapa saya. Buku hutang mereka bertingkat-tingkat, sampai ada yang ditulis di dinding-dinding kedai bapa saya. Anak-anak mereka yang berhutang dengan bapa saya kebanyakan masuk universiti, hutang tidak pernah bayar. Tidakkah perut mereka dan anak-anaknya perlu “disamak”?

Bila tiba bab anjing, kita begitu teliti. Pada saya, berpahala menolong anjing babi dalam kesusahan, berdosa menolong dan bersubahat dengan  perasuah dan pemakan riba dan siberhutang yang tidak membayar hutangnya.

Soal anjing ini soal sensitiviti, bukan terlalu bersifat hukum. Saya bukanlah mahu mempermudahkan hukum, tetapi pendekatan kita dan publisiti sebegini tidak menguntungkan dakwah. Saya tidak fikir mereka yang membela anjing bagi tujuan keselamatan (menjejaki penjenayah), malaikat tidak masuk ke rumah. Malaikat tidak masuk adalah mereka yang kufur dengan Allah, tidak solat dan melakukan aktiviti haram seperti rasuah, riba, berhutang tanpa bayar. Lebih malang jika ada yang berkata tipu Cina tak apa, tipu Melayu jangan, kerana mereka saudara seagama.

Sudah sampai masanya kita lebih banyak bertindak daripada berteori. Kita hanya menang di atas kertas, realitinya kita kalah. Justeru, hentikanlah perhimpunan ini. Tumpukanlah usaha bagaimana memartabatkan agama, bangsa dan negara sebelum terlambat.


Monday, September 07, 2015

Jangan benci Cina kerana dia Cina

9:43 PM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment
(Sinar Harian, 7 Sept 2015)

Bersih 4.0 nyata berbeza dengan bersih sebelum ini. Jika sebelum ini, majoriti  pesertanya adalah orang Melayu (Islam). Tetapi pada kali ini berbeza sekali. Ultra kiasu paling ramai. Sedangkan angka yang paling ditakuti mereka adalah angka 4 (si) bermakna mati. Lihat di mana-manapun mereka berada, rumah, tingkat bangunan, lif dan sebagainya, nombor 4 pasti akan diganti dengan nombor 3A.

Kenapa nombor 4 (si) atau mati sudah tidak lagi menakutkan? Adakah kerana ketuanya Cina Muslim? Saya tidak fikir dia tidak percaya kepada angka kerana darah Cina masih mengalir dalam badannya, sama seperti saya. Sampai sekarang saya masih fobia kerana pembawaan sejak kecil. Kenapa kali ini jadi tidak percaya? Jawapannya, demi kuasa, mereka sudah tidak takut mati. Sebab, yang mahu “dimatikan”, bukan dia tetapi orang  lain.

Watak yang ingin “dimatikan” adalah PM dan Presiden Pas. Sebab itu, penganjur Bersih 4.0 tidak merasa bersalah ke atas insiden memijak gambar  kedua pemimpin ulung ini, oleh anak muda mereka. Inilah generasi yang dilahirkan oleh ultra kiasu hari ini. Mahukan orang lain mati, mereka sahaja yang hidup dan dapat berkuasa.

Ada beranggapan bahawa memijak gambar itu perkara kecil. Jika sekadar memijak gambar Mat Sabu atau mungkin gambar saya, ya... itu mungkin kecil. Tetapi PM adalah pemimpin tertinggi negara. Manakala Presiden Pas, adalah presiden parti Islam dan juga Naib Ketua, Kesatuan Ulama’ Sedunia.

Lebih menjengkelkan apabila pemimpin GHB mengatakan insiden ini  tidak perlu diperbesarkan, kerana ia akan menjadi pengundi Cina jauh dari Pas. Apakah kewujudan Pas hanya untuk mendapat undi dan kuasa sama seperti parti lain? Tidakkah kewujudan Pas lebih dari itu? Tanggungjawab, dakwah, kuasa dan lain-lain. Jika Pas kebulurkan kuasa, sudah lama Pas menjilat ultra kiasu. Kenapa hubungan Pas dengan PR terputus?

Nampak sangat GHB ini jahil dalam memahami dan menyertai Pas sekian lama. Perjuangan mereka semata-mata untuk kuasa, bukan yang lain. Sepatutnya awal-awal ini orang sebegini ditendang keluar. Orang sebegini tidak boleh dipercayai, sama seperti ultra kiasu.

Dalam diri mereka penuh kebencian terhadap kerajaan. Sehinggakan  mereka tidak boleh bezakan antara parti memerintah (ruling party) dengan kerajaan. Ini akibatnya apabila tidak mengaji ilmu politik.

Mereka boleh benci kepada parti, tetapi mereka tidak sama sekali benci dengan kerajaan, kerana kedua-duanya adalah perkara berbeza. Umno (BN) adalah parti yang memerintah kerajaan, sama seperti Pas di Kelantan, PKR di Selangor dan ultra kiasu di Pulau Pinang.

Kerajaan Malaysia, kerajaan Kelantan, Kerajaan manapun, kerajaan tidak bersalah, kerajaan sudah tertegak apabila negara sudah berdaulat atau merdeka. Kerajaan sudah wujud sebelum parti politik wujud.

Saya boleh benci pimpinan ultra kiasu, tetapi saya tidak boleh benci kepada kerajaan Pulau Pinang atau Selangor. Kerajaan tidak bersalah, tetapi orang yang menerajui kerajaan itu yang salah kerana menyalahgunakan kuasa.

Amat memalukan apabila menonton klip video di luar negara, kerana marahkan Perdana Menteri, mereka sanggup berkata “shame on you Malaysian government”. Orang sebegini tidak sepatutnya menjadi warganegara dan sepatutnya dihalang masuk Malaysia. Gunakan akta baharu, POTA untuk tujuan itu.  

Perdana Menteri mengetuai kerajaan. Beliau dipilih secara sah melalui saluran demokrasi. Jika tidak suka, tunggu sahaja PRU akan datang, seperti yang disebut oleh Presiden Pas. Platform Bersih hanya boleh menyuarakan, bukan menjatuhkan.

Racun-racun kebencian terhadap kerajaan yang ditanam oleh ultra kiasu dalam minda kaum Cina di negara ini hanya akan merosakkan nama orang dan kaum Cina yang tidak bersalah.

Ramai rakan WhatApp saya begitu benci dengan orang Cina selepas Bersih 4.0, sehingga sanggup mengeluarkan kata-kata tersangat kesat. Saya respon, Islam tidak mengajar kita benci sebegini. Jangan benci orang Cina kerana dia Cina. Orang Cina juga adalah makhluk jadian Allah. Mereka adalah khalifah seperti kita juga. Khalifah lebih mulia dari makhluk lain. Bezanya hanya tidak seagama. Jika tidak, sudah tentu mereka lebih mulia dari kita, kerana mereka menyahut seruan Allah untuk bersatu.

Yang kita benci hanya sikap ultra kiasunya. Sikap itu yang perlu diperbetulkan, bukan membenci orang Cina. Jika kita benci Cina, bermakna kita benci kepada makhluk Allah. Hatta, babi yang diharamkan Allah untuk dimakan pun kita tidak boleh benci. Kerana babi tetap makhluk Allah. Menjadi kewajipan kita membantu babi jika memerlukan pertolongan, walaupun namanya babi. Sama juga orang Cina, menjadi kewajipan kepada kita membantu mereka jika mereka kesusahan atau memerlukan pertolongan. Saya amat mengharapkan kita tidak terlalu beremosi selepas Bersih 4.0.  


Saya amat tertarik dengan pendapat Cheah Sin Chong, kebanyakan masyarakat Cina yang menyokong ultra kiasu tidak dapat berfikir secara matang dan rasional berikutan hidup mereka mewah dan tidak merasai kesusahan. Tidak ramai orang seperti Sin Cheong di Malaysia.