Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, October 05, 2015

MCA perlu jadi jambatan

7:38 AM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
(Sinar Harian 5 Okt 2015)

MCA dalam kenyataannya baru-baru ini mahukan kembali kerusi Parlimen yang ‘dipinjamkan’ kepada Umno dalam PRU 13 iaitu Gelang Patah, Wangsa Maju dan Kuantan. Sebelum MCA merancang nak ambil kerusi tersebut, cermin diri dahulu. Kuatkah MCA pada hari ini? Kerusi yang dimenangi selama ini di kawasan majoriti Melayu atau Cina?

Jika rasakan diri kuat, menangi dahulu kerusi-kerusi majoriti Cina di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Petaling Jaya dan lain-lain lagi. Jika boleh menang, baharulah boleh cakap besar. Ini tidak, berkokok keterlaluan, menyakitkan hati. Apatah lagi kenyataan memutuskan hubungan dengan PM oleh Pemuda MCA Pasir Gudang. Siapa MCA? Belajarlah berterima kasih, kerana kerusi yang dimenangi selama ini adalah undi ehsan Melayu.

Hari ini bukan soal kerusi yang penting, tetapi membina kekuatan, kerja keras untuk rakyat, bukan terlalu berbisnes atau berpolitik. Nasihat ini bukan sahaja untuk MCA tetapi komponen BN yang lain. Jangan hanya menang sorak.

Kelakar apabila mendengar MCA sedia 'menggempur' pemimpin veteran ultra kiasu Parlimen Gelang Patah pada PRU akan datang. Jangan mimpilah untuk menang.

Pada PRU Ke-13, ultra kiasu menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi. Alasan mengatakan ultra kiasu tidak melaksanakan tanggungjawabnya atau tidak, bukan isu, kerana ultra kiasu tahu siapa yang harus dipilih.

Selama mereka menjadi ahli parlimen kebanyakan kerusi di Kuala Lumpur, pernahkah wakil rakyat ultra kiasu melaksanakan tanggungjawab mereka? Kuala Lumpur terus membangun kerana tugasnya telah diambil alih oleh DBKL.

MCA tidak berpijak di bumi nyata. Tidak faham isu sebenar. Tidak mustahil ahlinya turut mengundi ultra kiasu dalam PRU lalu.

MCA perlu mengatur strategi dan bertindak seperti pengasasnya,  Tun Omar Ong Yoke Lin, yang tidak terlalu perkauman. Apabila Tun Omar mengambil keputusan memeluk Islam 1961, beliau dimomokkan hendak menjadi Melayu.

Menurut Adam Kadir, momokan ini mempunyai unsur rasisme. Satu pihak bertekad menjatuhkan maruah dan kredibiliti Tun Omar. Pihak satu lagi rasa terhina dari segi jati diri kerana ras diungkit. Namun sehingga akhir hayatnya, identiti beliau tetap Cina dan agamanya kekal Islam, tanpa terjejas oleh  momokan tersebut.

MCA menjadi kuat sebelum ini kerana tidak terlalu perkauman. Boleh dikatakan MCA dekat di hati Melayu. Hari ini tidak, pantang ada orang cuit sahaja pasal sekolah vernakular, melompat tidak tentu pasal, tanpa menyiasat hujung pangkal. Sudah tentu tindakan sebegini tidak disenangi oleh orang Melayu.

Sudah sampai masanya MCA memikirkan strategi untuk meramaikan pemimpin seperti Tun Omar. Salah satu strategi adalah dengan menubuh Biro Agama Islam, kalangan Cina Islam yang berada dalam MCA.

Biro ini boleh menjadi jambatan kepada MCA supaya bertindak secara berhemah, terutama ketika berhadapan dengan orang Melayu. Saya fikir, orang Melayu tidak mempunyai masalah untuk memberi sokongan kepada MCA, jika MCA tidak terlalu celupar.

Selama inipun, walaupun MCA kalah banyak kerusi, kerusi menteri dan timbalan menteri masih diberikan kepada mereka mengikut kuota yang disediakan walaupun sebenarnya, MCA tidak layak menduduki kerusi tersebut berdasarkan kepada kerusi yang dimenangi dalam PRU.

Kedua, sudah sampai masanya MCA meletakkan calon Cina Muslim di kawasan yang majoriti Melayu, yang ditandinginya. Jika MCA meletakkan juga calonnya yang terlalu kecinaan, memang sukar untuk menang.

Maaf cakap, ramai calon MCA yang BM mereka tunggang-langgang. Apatah lagi untuk memahami selok belok adat dan budaya Melayu. Calon sebegini menempah tiket untuk kalah.

Ketiga, MCA tidak boleh mengharapkan lagi untuk dilantik menjadi senator bagi menduduki kerusi menteri atau timbalan menteri pada masa akan datang, jika gagal membuktikan kekuatannya.

Saya ingin mencadangkan kepada PM supaya melantik kalangan wakil Cina yang terdiri daripada ahli bisnes atau ahli akademik, menggantikan MCA jika gagal menunjukkan prestasinya. Saya amat yakin, keadaan ini jauh lebih baik daripada berpolitik yang tidak mendapat sokongan. Menghabiskan beras sahaja.

Saya tidak pasti sama ada Umno mahu menerima pandangan saya atau tidak. Tetapi PRU akan datang adalah penentu kepada hidup matinya BN. Jika BN terus meletakkan calon Cina totok MCA di kawasan majoriti Melayu, BN akan kalah.

Bagi kawasan majoriti Melayu pula, tidak semua kerusi perlu ditandingi oleh Umno. Jika Pas berkeras mahukan Kelantan, berikanlah.Tandingi kawasan yang boleh dimenangi sahaja. Selebihnya serahkan kepada Pas. Umat tidak akan rugi sedikitpun memberikan Kelantan kepada Pas. Jalan perpaduan perlu direntasi, barulah hasilnya dapat dirasai.


Kadang kala kita begitu bersemangat untuk merampas Kelantan, sedangkan Pulau pinang yang menjadi lubuk ultra kiasu dibiarkan begitu sahaja. Sesama Melayu bergocoh, musuh dibiarkan berseronok bertepuk tangan. 

4 comments:

Anonymous said...

Pada saya, pada sa'at ini, tak perlu MCA nak lawan DAP di kawasan kawasan yang dah lama jadi kubu kubu mereka. Coba menangkan kawasan yang MCA pegang dulu saja pun dah memuaskan. Jangan ha nya 7 kawasan Parlimen saja. Memalukan. Tak setimbal dengan jawatan Menteri yang di peruntukkan.

MCA rebeh amat sangat bila pecah koyak rabak akibat perang antara puak puak mahukan jawatan Presiden. Sekarang dah lama selesai, MCA patut dah mula kuat, coba tarik balik Cina yang ikut Chinese tsunami.

Tapi tak sengar atau terbaca MCA ngentam DAP secara sustainable, systematic and co-ordinated attacks. Ha nya sekali sekala orang ini cakap itu, orang itu cakap ini. Mengapa? Pastu nak marah UMNO/BN. Apa daaaaaaa.

Anonymous said...

Melayu berpecah, Cina pun berpecah juga - MCA, Gerakan, DAP. Tapi di PRU13, nyata Cina di heret dek propaganda benci membenci DAP sehingga berlaku tsunami Cina.

Jika MCA dan Gerakan tak cuba lesapkan pengaruh DAP kpd kaum Cina itu, selagi itu lah UMNO/BN merepes, MCA dapat ha nya 7 kerusi Parlimen.

Apa cara pun, MCA dan Gerakan mesti eksploitasi apa saja bagi melemahkan mereka. Segala kelemahan, sgala tanda perpecahan dalam DAP, segala "abandonment of the so-called fight against Hudud" mesti di eksploitasi bertalu talu di sana sini bila bila masa pun.

Nyata DAP sekarang tak boleh main apa apa peranan mendapatkan PAS ketepikan acara Hudud mereka. Kalau dulu dalam Pakatan, boleh juga Cina tsunami percaya DAP boleh mempengaruhi, sekarang DAP dah tendang PAS, apa lagi boleh di harapkan dari segi itu. Korek, putar, belit itu semua tiap tiap masa yang sesuai. Malang nya jarang di dengar atau di baca. Apa kah ada di berita bahasa Cina?

Anonymous said...

"MCA sedia 'menggempur' pemimpin veteran ultra kiasu Parlimen Gelang Patah pada PRU akan datang. Jangan mimpilah untuk menang." -

Saya menunggu dengan hati bergobar gobar. With baited breath, bak kata Omputih. Rasa caya tak caya. Kalau MCA tak "tampar" DAP dengan berbagai cara, tak usah cakap lah. Mahu lihat bukti. Jangan cakap tak serupa bikin, mcm DAP selalu buat.

Anonymous said...

"MCA tidak berpijak di bumi nyata. Tidak faham isu sebenar. Tidak mustahil ahlinya turut mengundi ultra kiasu dalam PRU lalu." -

Saya pun rasa begitu. Nampak mcm depa tak ada sasaran yang tepat, acara yang kukuh, terancang dan terperinci bagi menyerang DAP. Seolah olah depa takut atau memikir DAP sama tujuan dgn MCA, jadi diamkan saja, berkerja sama dengan cara rahsia.