(Sinar Harian, 26.10.15)
Apa
matlamat program realiti TV terutama program realiti agama? Mencungkil bakat
baharu? Mewarnakan dunia dakwah? Mencari glamour? Atau mahu mencari keuntungan
lumayan dengan memperalatkan agama? Ini yang menjadi kebimbangan.
Kebelakangan
ini, program realiti TV agama semakin mendapat sambutan, Semua stesen TV berlumba-lumba menerbitkannya.
Para peserta tidak dipilihkan berasaskan kepada kehebatan ilmunya, tetapi lebih
kepada kebolehan melawak dan menyanyi. Ketika beraksi di pentas, penampilan mereka
seolah-olah seperti Mr Bean. Penghibur atau pelawak ummah?
Sedih!
bila melihat, buka sahaja mulut, tiba-tiba dah melawak, tiba-tiba dah
sedih. Apo ko bendo ni! Perlu diingat,
asas program realiti adalah ilmu dan dakwah. Kebolehan dan kepintaran
menyampaikan sesuatu dengan baik, itulah kehebatannya.
Pengucapan
awam adalah suatu cabang ilmu dan seni. Seperti juga seni suara yang memerlukan
kepada kemahiran vocal dan pitching. Ianya perlu dipelajari. Nasihat pakar.
Bukan pakai terjah. Terus ke pentas semborono, walaupun tidak dinafikan ada
yang berjaya.
Amat
malang sekali apabila tenaga pengajar tidak dapat memberikan konsep-konsep asas
dalam pengucapan awam seperti athos, pathos dan logos. Walaupun teori ini
datang dari barat, mahu tidak mahu kita perlu menimbanya. Sudah tentu kita akan
menjadi lebih hebat apabila dikaitkan dengan teknik pengucapan awam Baginda
Rasulullah SAW.
Sedih
sekali apabila kita hanya mengajar peserta program realiti menghafal apa yang
mahu mereka ucapkan. Sehari suntuk kerjanya menghafal. Bila terlupa skrip,
mulalah terkial-terkial. Apabila soalan ditanyakan secara spontan, menjadi terkulat-kulat.
Begitulah canggungnya bila ilmu tidak mantap.
Juri
yang memberi komenpun satu hal. Ada yang baru setahun jagung dalam dunia dakwah,
sudah terlebih pandai memberi komen menjela-jela. Asas ilmu pengucapan awam
tidak ada. Komen mereka berasaskan kepada pengalaman melalui trial and error. Ada yang langsung tidak
ada sijil asas akademik, tetapi disebabkan pandai mencuit hati penonton, mereka
menjadi terkenal. Sanggup meminta RM10K untuk sekali (kurang 2 jam) berceramah.
Pelopor
teori pengucapan awam, Socrates mengemukakan tiga konsep dalam
ilmu pengucapan awam iaitu ethos, pathos, dan logos. Tiga konsep komunikasi ini
sangat berguna dan bermanfaat bagi kita semua dalam dalam bidang sekalipun. Bacalah
wahai para pendakwah untuk memantapkan lagi dunia dakwah.
Ethos adalah karakter (kredibiliti) dari seorang penceramah. Sebelum penceramah
memulakan syarahannya, persoalan berikut perlu diajukan. Adakah orang
mempercayai diri kita? Justeru, diri kita mesti baik dan boleh dicontohi. Cakap
mesti serupa bikin. Jadilah diri sendiri dan bukannya meniru orang lain.
Tingkatkan kepakaran ilmu dan keterampilan. Tonjolkan keaslian diri atau personal
branding, ditambah dengan disiplin diri yang tinggi.
Manakala pathos adalah emotional
appeals. Kebolehan penceramah mempengaruhi emosi penonton melalui gaya
bahasa dan ketrampilannya. Kita seolah-olah terpukau dengan ceramah yang
disampaikan. Kadangkala air mata membasahi pipi tanpa disedari, tanpa
dibuat-buat, seperti yang berlaku dalam realiti hari ini, termasuk penceramah
yang dikategorikan terkenal. Penggunaan cerita, lawak jenaka, visual (gambar
atau video), bahasa badan, penekanan kata atau intonasi boleh menarik perhatian.
Logos adalah bukti logik dengan sokongan fakta dan statistik yang disampaikan
oleh penceramah. Elakkan cakap kosong atau mengada-ngadakan cerita tanpa bukti
logik. Sebagai seorang Islam, sudah tentu sandaran al-Quran dan Hadis amat
dialu-alukan.
Justeru, bagaimana mengembangkan logos ketika berceramah? Pastikan ada tiga
perkara, mudah difahami, hujah yang konkrit, dan disertakan dengan bukti fakta
dan statistik.
Elakkan memberi fakta yang sulit dan rumit sehingga sukar difahami dan
diterima logik. Jika tidak cerita tidak masuk akal, maka tidak perlulah dijaja
semata-mata untuk menarik emosi seseorang. Misalnya, cerita-cerita Israeliyyat
dan hadis palsu yang selalu dibawa oleh seorang ustazah kampung.
Yakinlah! sesuatu hujah
yang berlandaskan fakta dan contoh-contoh konkrit cenderung lebih mudah
diterima oleh penonton. Semakin baik fakta yang ditunjukkan maka semakin besar
pula kepercayaan penonton terhadap diri kita.
Amat malang sekali mendengar ceramah, tiba-tiba, belum apa-apa penceramah
sudah menangis, seolah-olah dibuat. Sedangkan tangisan itu perlu datang dari
hati, barulah kita boleh mempengaruhi penonton.
Jika semua tiga komponen ini ada, kita tidak perlu ada rasa bimbang
terhadap kepercayaan penonton. Namun, jika sebaliknya, buatlah atau berilah
latihan sebanyak dan selama mana sekali, peserta program realiti tidak akan ke
mana, hanya menjadi mangsa keadaan, mengikut kehendak stesen TV terbabit yang
hanya mahukan keuntungan dan rating.
Begitu juga celebriti (artis) yang bertanya soalan atau para juri. Apabila
berada dalam pentas agama, mereka seolah-olah seperti malaikat, bertanyakan
soalan yang cukup Islamik. Keluar dari dewan realiti agama, sudah menjadi orang
lain. Apakah Islam ini seperti cerita filem, adakalanya berlakon baik,
adakalanya jahat. Masuk masjid jadi mujahid, keluar masjid menjadi mujahat. Ini
bentuk Islam yang ingin ditonjolkan? Tidakkah Islam itu way of life? Insaflah
semua, kembalilah kepada jalan yang benar.
2 comments:
Terpulang niat masing masing.
Sangat setuju dgn apa yg dr.ridhuan tee cuba sampaikan..
Post a Comment