Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, November 30, 2015

Uruslah perbezaan dengan segera

7:38 AM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
(Sinar Harian 30.11.15)

Kedudukan Islam, Raja-Raja Melayu, bangsa Melayu (bumiputera) dan hak istimewanya serta Bahasa Melayu (BM), sudah muktamad dan dimaktubkan dalam perlembagaan. Kenapa perlu dibangkitkan lagi? Ke mana arah negara ini hendak dibawa. Apakah tidak perlu ada langsung identiti? Malang sungguh negara ini yang asal-usul berasaskan sistem kenegaraan Melayu, identiti hilang begitu sahaja, disebabkan oleh tangan-tangan jahat. 

Akhirnya, kita rugi, ultra kiasu untung besar dan menjadi semakin bongkak. Ruang dan peluang digunakan oleh ultra kiasu dalam psywar dan psyop mereka secara strategik dan terancang. Wakil-wakil mereka berada merata tempat, dalam kerajaan, luar kerajaan.

Lihatlah bagaimana mereka memanipulasikan isu JAKIM, BM vs Bahasa Inggeris (BI), sehinggakan negara ini seolah-olah tidak ada perlembagaan. Apa sudah jadi dengan Melayu?

Justeru, bangunlah wahai umatku, sekat kemaraan ultra kiasu ini sebelum terlambat. Pertamanya, jika mereka berkuasa nanti, jawatan-jawatan penting akan dibolot adalah Timbalan Perdana Menteri, Menteri Kewangan, Menteri Kerja Raya, Menteri Kesihatan, Menteri Luar dan lain-lain kementerian strategik. Segala polisi mereka yang tentukan seperti Pulau Pinang.

Kedua, negara ini akan menjadi semakin sekular. Akan bermaharajalelalah segara kemungkaran dan kemaksiatan. Arak, judi, kelab malam, rumah pelacuran, LGBT dan lain-lain akan berleluasa.

Ketiga, kebanyakan agensi Islam yang sedangkan beroperasi seperti JAKIM, YADIM, Jabatan Agama dan lain-lain berkaitan dengan Islam tidak mustahil akan ditutup. 

Keempat, peruntukan sekolah-sekolah agama akan dikurangkan. Begitu juga dengan masjid dan surau. Akan melambaklah lagi rumah ibadat bukan Islam dikatakan masih tidak cukup, walaupun di kawasan yang sangat minoriti.

Kelima, lebih banyak Sekolah Jenis Kebangsaaan, Sekolah Persendirian dan Sekolah Antarabangsa akan dibina. UEC diiktiraf tanpa syarat. Mereka akan masuk dalam semua perkhidmatan kerajaan, meskipun gagal BM. Ketika itu, orang Melayu menggigit jari.

Keenam, mereka akan berpakat dengan ultra kiasu negara jiran, untuk menghenyak orang Melayu agar tidak boleh bangun lagi.

Ketujuh, BM akan pupus, kerana bagi mereka tidak penting. BI dan bahasa ibunda sahaja yang penting. Lihatlah kenyataan ultra kiasu Sarawak dalam Parlimen.

Kelapan, ultra kiasu akan terus membina banyak rumah sehingga tidak mampu dibeli oleh orang Melayu. Jika adapun yang mampu, Melayu mengambil keputusan berhijrah. Kerana memang budaya Melayu tidak tahan tinggal bersama ultra kiasu. Lihatlah taman perumahan hari ini, berapa ramai Melayu yang ada daya tahan tinggal di sana.

Banyak lagi faktor lain. Justeru, negara tercinta ini mesti dielakkan daripada jatuh kepada mereka. Ingatlah, Melayu hanya ada 50 peratus, pecah tiga, empat, dan tidak mustahil berpuluh kumpulan, berbanding dengan ultra kiasu yang sangat bersatu hati. Saya memuji ada yang tidak ultra kiasu yang bangun menentang keputusan  mereka di DUN Pulau Pinang. Inilah warganegara yang perlu diperbanyakkan, tidak terlalu kiasu.

Melayu mesti bersatu. Ya, sukar menyatukan Melayu. Tetapi Melayu mesti pandai MENGURUS PERBEZAAN. Pada saya, politik Pas, Umno dan segelintir Melayu PKR, mutakhir ini semakin matang. Kenal siapa kawan dan lawan. Perkara ini juga hendaklah berlaku dalam jabatan kerajaan dan NGO Melayu. Bila saya sebut Melayu itu bermaknanya orang Islamlah. Jangan tuduh saya lebih Melayu dari Melayu. Tidakkah kita mengambil iktibar bagaimana kedutaan Amerika mengumpul orang-orang tertentu berjumpa Obama?

Lawan sebenar kita adalah ultra kiasu. Saya tidak merujuk ultra kiasu ini kepada orang Cina. Tetapi kepada mereka yang mahu menghancurkan Melayu dan Islam, dan perkara berkaitan dengannya seperti yang para satu artikel ini.

Saya tabik Menteri Komunikasi dan Multimedia yang begitu berani mempertahankan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan perpaduan. BM merupakan bahasa penyatuan rakyat pelbagai kaum di Sabah dan menjadi bahasa lingua franca masyarakat majmuk negeri ini sejak awal kemerdekaan. Sabah berada di jalan yang betul dalam memartabatkan BM tanpa meminggirkan BI. Inilah sifat negarawan sebenar. Layak menjadi PM pada masa akan datang.

Peranan bahasa tidak hanya boleh dilihat dari sudut bisnes atau nilai komersial semata. Tetapi ianya hendaklah disebagai warisan khazanah tamadun sesuatu bangsa. Jika negara tidak maju, bukan salah bahasa, tetapi sikap Melayu yang tidak mahu berubah.

Saya tidak pernah dengar pemimpin besar dunia seperti China, Jepun, Turki, Korea dan lain-lain, ketika berucap di PBB menggunakan BI, melainkan dalam bahasa kebangsaan mereka. Mereka berjaya menjadikan bangsa dan bahasa mereka penting, berdarjat dan bermaruah. Bait-bait kata ibarat mutiara mesti didengari dan ketahui. Siapa yang menterjemahkan bahasa mereka di PBB?


Bangsa lain tidak perlu gusar dengan bahasa ibunda mereka, kerana negara bangsa China dan India akan terus wujud. Tetapi jika BM pupus, maka akan pupuslah Melayu itu. Sebab itu, slogan bahasa jiwa bangsa, bukan perkara main-main, tetapi amat serius. 

Monday, November 23, 2015

Siapa pandai, siapa bodoh?

7:37 AM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
(Sinar Harian, 16.11.15)

Berkaitan dengan pengiktirafan UEC, siapa bodoh? Yang bercakap itu bodoh atau kerajaan? Jangan kerana mahu popular atau laparkan undi, maka matlamat menghalalkan cara. Sebagai negarawan, lebih baik buat kajian dahulu atau bertanya kepada menteri berkaitan kenapa hingga kini kerajaan tidak meluluskan UEC?

Bakat (talent) sudah tidak penting lagi jika tidak ada kesetiaan (loyal). Kita tidak perlukan rakyat yang belot, walaupun bagus, jika tidak menjunjung agenda negara, sebaliknya menjunjung agenda negara asing.

Sama juga tindakan ultra kiasu mahukan nama Bagan Nakhoda Omar ditukar kepada nama Bagan Cina, hanya kerana tidak ada orang Melayu tinggal di kampung itu. Bukankah sejarah negara ini bermula dengan nama Tanah Melayu (Rezab Melayu), jadi apa masalahnya. Siapa pandai, siapa bodoh?

Di Thailand, langsung tidak ada nama Cina (termasuk kampung Cina), walaupun di sana ramai juga Cina. Begitu juga di Indonesia. Pasal apa Cina tidak membantah? Kembalilah kepada sejarah. Kadangkala ada betulnya kata-kata balik tongsan, kerana kita tidak pernah terfikir berada di Malaysia.

Berbalik kepada isu UEC, saban kali saya tulis, ikut sahajalah arahan yang ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan (KPM). Kenapa berdegil sangat? Sijil sekolah kita (contoh, SPM dan STPM) semua diiktiraf di peringkat antarabangsa. Kenapa terlalu kecinaan? Kita tinggal di mana sebenarnya?

Jangan hanya mendengar pendapat ultra kiasu. Panggillah wakil Menteri KPM sama. Tanyalah pakar pendidikan. Saya juga menawarkan diri. Jangan sedap mulut bercakap tindakan kerajaan pusat bodoh. Yang bercakap itu, pandai sangatkah? Ketika berada dalam kabinet suatu ketika dahulu, kenapa menikus? Tidak semua ahli politik pakar? Sekadar ada ijazah asas, masih belum pakar. Maka, rujuklah pakar. Bukan buat kelakar.

Saya tidak akan sebegitu lantang jika UEC mematuhi arahan KPM dan menjunjung agenda negara. Masalahnya mereka engkar, setelah begitu banyak peluang diberikan. KPM hanya mensyaratkan agar UEC memenuhi keperluan Dasar Pendidikan Kebangsaan, seperti yang ditakrifkan dalam Akta Pendidikan 1996. Selain itu, standard komponen Bahasa Malaysia UEC tidak setaraf dengan SPM, liputan kurikulum sejarah UEC bagi sejarah negara ini juga terhad. Pendek kata, syaratnya amat mudah. Mereka hanya mahukan kecinaan itu dikekalkan. Apakah kita patut benarkan perbuatan membina negara dalam negara?

Pakar Perlembagaan, Shad Saleem Faruqi berkata, perlembagaan hanya membenarkan hak untuk belajar bahasa ibunda, bukan hak belajar dalam bahasa ibunda. Dengarlah nasihat pakar kalau kita tidak pakar. Jika semua mahu mengakui pakar, siapa yang pakar? Ini bukan sifat negarawan.

Jika UEC sangat baik, sila ambil SPM bersekali, dapat dua sijil. Kenapa tidak berani? Bersusahlah sedikit. Kenapa kerajaan juga dipersalahkan? Justeru, saya amat memuji dan menyanjung tinggi bumiputera Sabah dan Sarawak kerana tidak menuntut sekolah berasaskan etnik. Jika tidak, ribuan sekolah berasaskan etnik akan wujud. Inilah kelebihan bumiputera di sana, berbanding ultra kiasu. Berperangai seperti Yahudi. Bila dapat tempat, mula lupa diri. Dia ingat negara ini dia yang empunya.

Kenapa kita hanya bercakap soal pengiktirafan antarabangsa, tetapi langsung tidak bercakap soal pembangunan negara bangsa, pembinaan jati diri dan semangat patriotisme? Mana ada pendidikan caca merba di dunia ini, kecuali Malaysia? Hebat sungguh toleransi kita meraikan kepelbagaian. Malangnya tidak dihargai. Terus mencari dan mencipta masalah. Kemudian salahkan kerajaan.

Justeru, saya mohon kepada ahli politik, berhentilah bercakap perkara bodoh dan menuduh kerajaan bodoh. Jika kerajaan bodoh, sudah tentu siapa yang duduk dalam kerajaan juga bodoh. Adakah kita hanya menjadi pandai setelah keluar dari sistem?

Saya masih ingat pesanan ilmuan Islam. Pertama, jadilah orang tahu, dia tahu, yang dia tahu. Ini yang terbaik. Jika tidak pun, jadilah orang yang kedua, dia tahu, tetapi dia tak tahu, bahawa dia tahu. Masih lagi boleh diubati bersama kategori ketiga, dia tidak tahu, tetapi dia tahu, bahawa dia tidak tahu. Amat malang jika kita jatuh dalam kategori ini, keempat, dia tidak tahu, dia tidak tahu bahawa dia tidak tahu. Kelima, dia tidak tahu, buat-buat tahu, yang dia tahu, sebenarnya dia tidak tahu. Berat sungguh kategori akhir ini. Tanyalah pakar agar jadi pandai.

Kadangkala saya sedih melihat ahli politik, apabila bercakap atau bertindak dia tidak berfikir terlebih dahulu, sehingga terserlah kebobrokkannya. Sama juga ultra kiasu yang mahukan nama kampung Melayu ditukar kepada nama Cina, hanya kerana tidak ada Melayu tinggal di situ. Ini bukan soal Cina atau soal Melayu, ini soal sejarah Melayu. Jika tidak faham, pergi masuk ke sekolah.

Dalam Islam, Nabi suruh kita berfikir kerana berfikir seminit lebih baik dari sembahyang sunat berpuluh rakaat. Berfikir itu adalah proses yang paling tinggi dalam pembelajaran. Membaca, belajar, menelaah dan berbincang masih belum cukup, jika kita tidak berfikir. Berfikirlah, barulah pandai.




Monday, November 16, 2015

Bila agamawan dibadutkan

7:07 AM Posted by RIDHUAN TEE 7 comments
Apabila agamawan dibadutkan (Sinar Harian 16.11.15)

Ramai yang tidak selesa apabila saya menyentuh soal program realiti TV agama apabila agamawan dibadutkan ketika beraksi di pentas realiti atas nama kononnya untuk mencari bakat. Bakat apa yang dicari? Agamawan diperalatkan untuk mencari keuntungan. Malang sekali jika agamawan tidak menyedari.

Orang kampungpun boleh berfikir lebih jauh. Yang dicari di sini bukan pelakon, penyanyi atau pelawak tetapi bakal pendakwah? Maka, sepatutnya yang diuji adalah teknik, intonasi, bahasa dan gaya penyampaian yang melibatkan seni pengucapan awam, athos, pathos dan logos, bukan yang lain.

Walaupun saya belum dengar lagi istilah-istilah tersebut,  termasuk dari juri, tidak mengapalah. Tetapi cara latihan yang dibuat dengan membadutkan peserta-peserta agak sukar untuk diterima. Adakah program realiti ini akademi lakonan? Pasti mereka yang terlibat tahu jawapannya.

Hina sekali apabila menonton tajuk penyampaian berkaitan dengan syaitan, maka muka seperti diconteng seperti syaitan dengan mempunyai tanduk. Siapa pernah melihat syaitan? Adakah pengarah pentas, tenaga pengajar atau juri disebabkan kealimannya?

Lebih dahsyat lagi, ada cubaan untuk melakonkan keadaan sebenar syurga dan neraka. Nasib baik ada yang protes. Siapakah pernah memasuki syurga atau neraka? Saya, tenaga pengajar dan juri pun belum tentu. Apatah lagi krew. Ditakdirkan dilakonkan juga, apakah juri akan mengatakan; “bagus penyampaian dan lakonan itu, apa orang nak kata, lantak dia oranglah?” Ini bukan soal siapa nak kata, lantak atau tidak? Apakah Islam layak digambarkan sedemikian rupa? Apakah matlamat dakwah sebenarnya? Mencari glamour?

Saya tidak menyalahkan stesen penyiaran, kerana mereka tidak tahu halal haram. Mereka hanya mengejar keuntungan dan rating. Halal haram  sudah tidak penting. Sebab itu, ketika peserta diujibakat, juri yang dilantik hanya sebagai syarat sahaja.

Melalui pengalaman, peserta yang pilihan juri, diketepikan begitu sahaja. Stesen penyiaran, mereka hanya mahukan menarik perhatian penonton. Ilmu bukan lagi sandaran.  Pengucapan awam bukan begitu ekstrem sehingga tidak boleh melawak dan mungkin menyanyi. Boleh diselitkan, tetapi biar berpada. Nyanyilah dan lawaklah dengan ilmu, tetapi bukan badut.

Justeru, saya ingin mencadangkan. Pertama, tenaga pengajar dan juri yang terlibat, haruslah mempunyai dan mempelajari ilmu asas pengucapan awam. Bahan-bahan melambak dalam internet. Bacalah. Cuba banding dengan komen juri program realiti di barat, ternyata kualitinya sangat berbeza. Keilmuannya terpancar.

Kedua, letakkan syarat, sekurang-kurang mereka yang terlibat ada ijazah asas. Ini tidak, kadang kala peserta ada ijazah, mereka yang terlibat, termasuk juri langsung tiada. Komen berasaskan kepada pengalaman. Kelayakan dinilai dengan air liur dan pengalaman berceramah. Adakah mereka ini layak dikategorikan sebagai pakar? Pakar apa? Bukankah pelik jika pelajar sarjana diseliakan oleh pemegang sarjana muda atau sijil.

Ketiga, siapakah penasihat agama di sebalik program realiti di stesen tv ini? Jika ada, sejauhmana suara mereka didengar? Pihak JAKIM mesti dibawa bersama. Serlahlah keterlibatan JAKIM, supaya jangan ada orang kata, JAKIM tidak buat kerja dan patut ditutup. Kata-kata sebegini amat kurang ajar. Orang sebegini patut dihumban dipenjara, walaupun anak seorang pembesar seperti kumpulan pesara kerajaan yang berpengaruh kononnya. Tidak semestinya anak pembesar ini bagus dan boleh dipercayai. Masih ramai yang jahil murakab. Tetapi itulah sasaran ultra kiasu untuk diwawancara bagi meliberalkan negara ini.

Keempat, juri atau tenaga pengajar yang dilantik hendaklah dibuat dengan berhati-hati kerana ini program agama. Kita tidak mahu lihat ada makhluk dua alam. Di pentas agama, bukan main ayu dan santun penampilannya, seperti seolah-olah seperti insan tidak berdosa. Tetapi apabila menjadi tenaga pengajar atau juri realiti hiburan tv, penampilan sangat jauh berbeza. Hilang habis keayuan dan kesantunannya.  Yo sana yo sini.

Kelima, produk akhir realiti tv ini nanti, sudah tentu pemenangnya akan menjadi rebutan masyarakat. Akhir-akhir ini saya sudah tidak nampak. Mereka seolah-olah hilang ditelan zaman. Kenapa? Logiknya mudah, kerana keilmuannya tidak terserlah. Rupanya mereka diajar menghafal, bukan membaca.

Keenam, kita berada di alam realiti bukan fantasi. Apakah mungkin apabila finalis ini nanti dijemput berceramah, misalnya mengenai alam kubur, maka mereka akan datang dengan pakaian kafan, batu nisan dan kubur. Kemudian menyanyi lagu, “bila izrael datang memanggil, jasad terbujur di pembaringan.... Kemudian datang mungkar nangkir, kita pun berlari ke belakang pentas, bertukar baju untuk melakonkan watak malaikat. Lantaklah biarlah apa orang nak kata!

Saya tidak akan menjejakkan  kaki ke program realiti sebegini, sehingga format realiti tv sebegini tidak berubah dan keilmuannya tidak terpancar. Orang Kedah kata “kita tidak kelapaq”. Bukan cara ini kita buat duit. Saya pun tidak pasti ianya halal ke tidak?


Apapun saya memuji, penggunaan teknik multimedia, muzik dan props yang tidak berlebihan yang menceriakan program realiti tv. Hak lain-lain itu fikirkanlah.

Monday, November 09, 2015

Siapa Lebih Jantan

8:02 AM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment
Siapa lebih jantan? (Sinar Harian 9.11.15)

Ultra kiasu yang selama ini berlagak seperti anak jantan, tiba-tiba hilang kejantanannya apabila cabaran berdebat disahut. Tidak semena-mena mahu menjadi moderator pulak, hanya mahu bertanyakan soalan. Sekadar moderator, serahkan pada saya sahaja. Tidak perlu bersusah payah.

Bertindaklah seperti anak jantan. Sahut cabaran yang ditelah dilontarkan. Janganlah kokok berderai-derai ekor bergemulang tahi. Jika saya menjadi ultra kiasu, saya akan sahut cabaran tokoh tersebut walaupun pencabarnya seorang pendebat. Tidak semestinya pendebat itu hebat. Semuanya bergantung kepada fakta dan angka. Datanglah pendebat sehebat manapun

Berani kerana benar, takut kerana salah. Dalam perdebatan sebegini, apa yang dinilai bukan lagi athos, pathos dan logosnya, tetapi hujah dan fakta. Tidak perlu dikorek latar belakang seseorang. Lagipun yang akan mengadili bukan pendebat, tetapi rakyat yang penonton. Kalau tidak mampu berhadapan, tidak perlu gatal mencabar.

Mutakhir ini, ultra kiasu menjadi semakin bongkak apabila berjaya menambah kerusi dalam dua PRU lalu. Apatah lagi berjaya memikat segelintir Melayu celup menyertai partinya. Hujahnya ini dijaja, kononnya, rakyat sudah menerima mereka sebagai parti berbilang kaum. Sebab itu, mereka begitu yakin laluan ke Putrajaya. Saya harap Melayu lain lebih jantan dalam memilih parti. Psywarnya amat jelas.

Mereka tidak akan meletakkan Melayu celup ini bertanding di kawasan majoriti Cina, tetapi di kawasan 50-50, atau 60-40, di kawasan Pas dan Umno. Mudah sungguh Melayu diperalatkan, hanya dengan kerusi, menentang saudara seagama. Siapa lebih jantan?

Itulah Melayu, mudah dibeli dengan wang dan kerusi. Perjuangan agama, bangsa dan negara diletak ketepi. Kononnya mahu memperjuangkan Islam Melayu melalui ultra kiasu. Apakah perjuangan tersebut dapat dilaksanakan dalam keadaan mereka menentang Islam yang menjadi tunggak negara?

Awal-awal lagi mereka sudah war-warkan akan bertanding di kawasan Pas, terutama di Selangor, kerana mereka mengimpikan jawatan Menteri Besar. Salah satu kerusinya adalah di Lembah Jaya, kawasan pengundian saya. Silakan. Saya akan kempen habis-habisan menentang ultra kiasu supaya mereka tidak akan menang kerusi tersebut.

Inilah nafsu rakus ultra kiasu. Tidak pernah puas. Tidak salah dari dulu sampai sekarang saya labelkan, supaya rakyat kenal siapa mereka sebenarnya. Mereka ini bukan sahaja musuh politik, tetapi juga musuh agama, musuh negara. Kita tidak tahu berapa banyak rahsia negara yang mengalirkan kepada rakan karibnya di selatan tanahair. Apa yang kita tahu, mereka selalu berkunjung ke sana.

Terbaharu, protes mereka terhadap RTM agar mengekalkan siaran berita mandarin waktu perdana jam 8.00 malam, ekoran masalah mereka timbulkan sendiri. Mereka turut memperalatkan pelajar. Mereka kata ini bertentangan dengan perlembagaan? Apakah yang berlaku selama ini pun telah bertentangan dengan perlembagaan kerana BM tidak didaulatkan? Kerajaan sanggup ‘melanggar’ perlembagaan hanya kerana mahu meraikan kepelbagaian.

Dahulu, semua rangkaian tv dan radio diwajibkan menyiarkan berita dalam BM pada waktu perdana. Sekarang ini tidak lagi. Inilah toleransi yang tidak ada tolok bandingnya. Kera di hutan di susukan, anak di rumah mati tak makan.

Tidak sepatutnya berita asing disiarkan pada waktu perdana, selain bahasa kebangsaan. Lagipun tidak ramai yang menonton. Pergilah ke rumah-rumah mereka. Lakukanlah kajian. Kebanyakannya menonton siaran Hong Kong dan Taiwan.

Apabila slot tersebut diberikan April 2009, maka bertapaklah mereka. Tidak boleh disentuh lagi. Jika disentuh, maka melompatlah mereka seperti yang sedang berlaku. Saya sudah masak dengan psywar mereka sama ada berada dalam parti pembangkang atau kerajaan.

Selain itu, ultra kiasu sedaya upaya mahu menendang Pas keluar dari Exco kerajaan negeri Selangor. Macam-macam cara dilakukan. Mereka ingat negeri Selangor kepunyaan bapaknya. Nasib baik MB agak rasional. Ingat! negeri ini bersultan, bukan republik.   

Mereka menjadi semakin gila melihat Pas mengeluarkan kenyataan tidak menyokong menolak budget 2016, bersedia menjadi penasihat BN. Mereka mempersoalkan sejak bila Pas menjadi pakar? Apatah lagi pakar ekonomi? Rupanya selama ini mereka memandang rendah kepada Pas, parti pak lebai dan berserban? Tidakkah mereka tahu dalam Pas, selain lebai, Pas tidak kurang profesional, pakar ekonomi, kewangan, nuklear dan lain-lain.

Pas bukan bukan seperti dahulu, meskipun segelintir profesional telah keluar Pas membentuk PAN. Pas bukan seperti PAN. PAN mudah diperalatkan, Pas tidak. Pas ada pendiriani, bukan lembu dicucuk hidung.  Kematangan Pas berpolitik cukup lama berbanding PAN. Pas sudah nampak kebobrokan ultra kiasu, berbanding PAN.


PAN sangat percayakan ultra kiasu, sehingga sanggup ‘membunuh’ saudara sendiri, meskipun sebangsa dan seagama. Siapakah yang akan menolong mereka nanti, kalau bukan Umno atau Pas? Lihatlah realiti yang ada, antara sektor swasta dan sektor awam. Siapakah yang lebih terbuka mengambil pekerja berlainan bangsa? Kajian demi kajian dibuat, sektor swasta dan awam yang diterajui Melayu lebih terbuka kepada bukan Melayu berbanding sebaliknya. Contoh, bank-bank, universiti awam-universiti swasta dan lain-lain. Ini belum termasuk universiti swasta secara sengaja memberikan kelulusan cemerlang kepada ultra kiasu untuk elakkan membayar PTPTN. Masih buta?

Monday, November 02, 2015

Islam bukan agama ekstrem

7:35 AM Posted by RIDHUAN TEE 3 comments
(SH 2 November 2015)

Saya tertarik untuk mengulas kenyataan PM minggu lalu, hanya pendekatan wasatiyyah dapat membendung liberalisme dan ekstremisme. Menurut Profesor Kamal Hasan, wasatiyyah mengandungi tiga unsur iaitu adil, cemerlang dan seimbang. Adil bermakna tidak memihak kepada sesiapa selain kebenaran, cemerlang dalam pelbagai bidang, dan seimbang seperti yang ditunjukkan Nabi. Tidak melampau dalam pengamalan agama. Misalnya,  Nabi puasa dan berbuka, solat dan tidur, berkahwin dan lain-lain.

Ketika menyampaikan syarahan di UniSZA, beliau berkata; Islam adalah agama sederhana yang terletak antara ekstremisme (sikap melampau) dan rendah akhlak (laxity). Ia tidak menganjurkan pengganasan dan tidak pula kelekaan, sebaliknya agama yang menekankan perdamaian dan keamanan (salam), toleransi dan menghormati hak agama lain. Bersumberkan Al-Quran dan Sunah.

Menurutnya lagi, berimbang dalam pelbagai aspek kehidupan seperti, menegakkan keadilan dan membuat kebaikan. Tidak kikir dan tidak boros dan membazir. Tidak sombong dan riyak. Menjaga hubungan baik dengan semua orang (agama). Membela dengan bersebab. Menerima hak penganut lain mengamalkan agama. Pelbagai akhlak dan sikap santun seperti yang dipaparkan Nabi (seperti berdiri menghormati mayat Yahudi). Masyarakat Melayu-Islam di rantau ini telah memaparkan wasatiyyah dan toleransi.

Saya amat bersetuju dengan kenyataan ini. Apatah lagi jika dikaitkan tolerasi orang Melayu-Islam dengan bukan Islam. Rumah ibarat bukan Islam sepuluh kali ganda bilangan masjid surau, meskipun Islam agama persekutuan. Patung-patung dan gereja yang ada, adalah antara yang tertinggi dan terbesar di dunia, seperti boleh kita dilihat di Kuala Lumpur, Selangor dan Kelantan, walaupun penganutnya tidak ramai. Selain itu, kita dapat lihat juga seni bina masjid Cina berbentuk pagoda yang diperjuangkan oleh Persatuan Cina Muslim Malaysia. 

Dalam banyak kes di mahkamah melibatkan ketegangan agama seperti perebutan mayat, hak penjagaan anak dan sebagainya, umat Islam akan mengalah apabila mahkamah membuat keputusan. Jika ada yang masih berkeras, itu kes terpencil. Pokoknya, umat Islam tidak akan merusuh seperti yang berlaku di negara lain.

Janganlah bandingkan dengan tindakan taliban yang memusnahkan patung Buddha di Afghanistan. Mungkin mereka berpandangan, buat apa lagi patung itu, jika penganutnya hampir tiada. Agama ini untuk diamalkan, bukan dimuziumkan.

Buktikan, contoh-contoh keganasan yang dilakukan oleh umat Islam. Jika adapun, ia adalah respon kepada ketidakadilan dunia yang sedang memerangi dan menindas umat Islam. Apakah wajar umat Islam Palestin diganyang sewenang-wenangnya tanpa ada senjata. Peperangan yang gentlement adalah peperangan yang melibatkan kekuatan persenjataan masing-masing.

Cuba buat perbandingan antara minoriti bukan Islam yang tinggal dalam negara Islam dengan minoriti Islam tinggal dalam negara bukan Islam. Siapakah yang lebih mendapat keuntungan dan nikmat keamanan? Jangan pergi jauh, lihat sahaja wasatiyyah di Malaysia. Hampir keseluruhan kekayaan negara ini milik bukan Islam. Masih perlukah kita menganjurkan seminar wasatiyyah bagi menunjukkan Islam agama sederhana?

Lihat kehebatan Salahuddin al-Ayubi, bagaimana tentera bukan Islam yang cedera turut berikan rawatan, walaupun mereka kalah dalam peperangan. Berbanding sebelum itu, apabila tentera Islam kalah, bukan sahaja mereka dibunuh, malah umat Islam yang masih hidup yang mahu tinggal di sana, turut diuji keIslamannya. Ada yang dipaksa makan babi, bagi membuktikan bahawa keIslamannya telah cair. Sebahagian cerita ini telah didokumenkan oleh produser barat sendiri dalam filem Kingdom of Heaven. Tontonilah.

Inilah pendekatan yang telah dibawa oleh pemimpin hari ini, tetapi malang ultra kiasu telah memanipulasikan semua kebaikan yang diberikan. Beri betis nak peha. Keadaan ini juga yang menyebabkan saya terpaksa melabelkan kumpulan ini. Jika tidak, buat apa mencari susah dalam hidup ini. Saban hari mendengar caci maki orang. Sebagai insan kerdil, idealnya saya tidak mahu mencari musuh. 

Cabaran besar hari ini adalah bagaimana mahu melahirkan pemimpin politik yang berilmu, mahir dalam selok-belok sosio-ekonomi dan politik. Segala kerosakan yang berlaku adalah disebabkan pemimpin politik, bukan rakyat. Terutama yang bertindak dan mengeluarkan kenyataan yang tidak menampakkan kematangan dalam berpolitik. Dapat kuasa lupa diri.

Amat sedih sekali mendengar kata-kata bekas menteri, umat Islam hari ini hanya sensitif soal arak, tetapi tidak dalam isu korupsi. Untuk makluman pemimpin jahil tersebut, kami sensitif dalam semua perkara. Jangan kerana kita suka minum arak, maka kita mahu cover dengan 1MDB. Perkara ini masih lagi dalam siasatan. Kebenaran pasti akan terbongkar. Sabarlah dahulu. Ini tidak, bila sudah tidak berjawatan, bukan main lantang lagi. Ketika berjawatan, kenapa menikus?


Saya harap pemimpin sebegini, belajar Islam sebagai ajaran rahmatan lilalamin. Jika jahil dan gagap baca Quran, pergilah mengaji dan bertanya kepada orang lain. Islam bukan setakat hafal rukun iman dan rukun Islam, tetapi sebagai way of life, ada keseimbangan dunia dan akhirat, menjaga hubungan Islam – bukan Islam. Kajilah. 

Monday, October 26, 2015

Ilmu Asas Program Realiti TV

5:21 PM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
(Sinar Harian, 26.10.15)

Apa matlamat program realiti TV terutama program realiti agama? Mencungkil bakat baharu? Mewarnakan dunia dakwah? Mencari glamour? Atau mahu mencari keuntungan lumayan dengan memperalatkan agama? Ini yang menjadi kebimbangan.

Kebelakangan ini, program realiti TV agama semakin mendapat sambutan,  Semua stesen TV berlumba-lumba menerbitkannya. Para peserta tidak dipilihkan berasaskan kepada kehebatan ilmunya, tetapi lebih kepada kebolehan melawak dan menyanyi. Ketika beraksi di pentas, penampilan mereka seolah-olah seperti Mr Bean. Penghibur atau pelawak ummah?

Sedih! bila melihat, buka sahaja mulut, tiba-tiba dah melawak, tiba-tiba dah sedih.  Apo ko bendo ni! Perlu diingat, asas program realiti adalah ilmu dan dakwah. Kebolehan dan kepintaran menyampaikan sesuatu dengan baik, itulah kehebatannya.  

Pengucapan awam adalah suatu cabang ilmu dan seni. Seperti juga seni suara yang memerlukan kepada kemahiran vocal dan pitching. Ianya perlu dipelajari. Nasihat pakar. Bukan pakai terjah. Terus ke pentas semborono, walaupun tidak dinafikan ada yang berjaya.

Amat malang sekali apabila tenaga pengajar tidak dapat memberikan konsep-konsep asas dalam pengucapan awam seperti athos, pathos dan logos. Walaupun teori ini datang dari barat, mahu tidak mahu kita perlu menimbanya. Sudah tentu kita akan menjadi lebih hebat apabila dikaitkan dengan teknik pengucapan awam Baginda Rasulullah SAW.

Sedih sekali apabila kita hanya mengajar peserta program realiti menghafal apa yang mahu mereka ucapkan. Sehari suntuk kerjanya menghafal. Bila terlupa skrip, mulalah terkial-terkial. Apabila soalan ditanyakan secara spontan, menjadi terkulat-kulat. Begitulah canggungnya bila ilmu tidak mantap.

Juri yang memberi komenpun satu hal. Ada yang baru setahun jagung dalam dunia dakwah, sudah terlebih pandai memberi komen menjela-jela. Asas ilmu pengucapan awam tidak ada. Komen mereka berasaskan kepada pengalaman melalui trial and error. Ada yang langsung tidak ada sijil asas akademik, tetapi disebabkan pandai mencuit hati penonton, mereka menjadi terkenal. Sanggup meminta RM10K untuk sekali (kurang 2 jam) berceramah.

Pelopor teori pengucapan awam, Socrates mengemukakan tiga konsep dalam ilmu pengucapan awam iaitu ethos, pathos, dan logos. Tiga konsep komunikasi ini sangat berguna dan bermanfaat bagi kita semua dalam dalam bidang sekalipun. Bacalah wahai para pendakwah untuk memantapkan lagi dunia dakwah.

Ethos adalah karakter (kredibiliti) dari seorang penceramah. Sebelum penceramah memulakan syarahannya, persoalan berikut perlu diajukan. Adakah orang mempercayai diri kita? Justeru, diri kita mesti baik dan boleh dicontohi. Cakap mesti serupa bikin. Jadilah diri sendiri dan bukannya meniru orang lain. Tingkatkan kepakaran ilmu dan keterampilan. Tonjolkan keaslian diri atau personal branding, ditambah dengan disiplin diri yang tinggi.

Manakala pathos adalah emotional appeals. Kebolehan penceramah mempengaruhi emosi penonton melalui gaya bahasa dan ketrampilannya. Kita seolah-olah terpukau dengan ceramah yang disampaikan. Kadangkala air mata membasahi pipi tanpa disedari, tanpa dibuat-buat, seperti yang berlaku dalam realiti hari ini, termasuk penceramah yang dikategorikan terkenal. Penggunaan cerita, lawak jenaka, visual (gambar atau video), bahasa badan, penekanan kata atau intonasi boleh menarik perhatian.

Logos adalah bukti logik dengan sokongan fakta dan statistik yang disampaikan oleh penceramah. Elakkan cakap kosong atau mengada-ngadakan cerita tanpa bukti logik. Sebagai seorang Islam, sudah tentu sandaran al-Quran dan Hadis amat dialu-alukan.

Justeru, bagaimana mengembangkan logos ketika berceramah? Pastikan ada tiga perkara, mudah difahami, hujah yang konkrit, dan disertakan dengan bukti fakta dan statistik.

Elakkan memberi fakta yang sulit dan rumit sehingga sukar difahami dan diterima logik. Jika tidak cerita tidak masuk akal, maka tidak perlulah dijaja semata-mata untuk menarik emosi seseorang. Misalnya, cerita-cerita Israeliyyat dan hadis palsu yang selalu dibawa oleh seorang ustazah kampung.

Yakinlah! sesuatu hujah yang berlandaskan fakta dan contoh-contoh konkrit cenderung  lebih mudah diterima oleh penonton. Semakin baik fakta yang ditunjukkan maka semakin besar pula kepercayaan penonton terhadap diri kita.

Amat malang sekali mendengar ceramah, tiba-tiba, belum apa-apa penceramah sudah menangis, seolah-olah dibuat. Sedangkan tangisan itu perlu datang dari hati, barulah kita boleh mempengaruhi penonton.

Jika semua tiga komponen ini ada, kita tidak perlu ada rasa bimbang terhadap kepercayaan penonton. Namun, jika sebaliknya, buatlah atau berilah latihan sebanyak dan selama mana sekali, peserta program realiti tidak akan ke mana, hanya menjadi mangsa keadaan, mengikut kehendak stesen TV terbabit yang hanya mahukan keuntungan dan rating.


Begitu juga celebriti (artis) yang bertanya soalan atau para juri. Apabila berada dalam pentas agama, mereka seolah-olah seperti malaikat, bertanyakan soalan yang cukup Islamik. Keluar dari dewan realiti agama, sudah menjadi orang lain. Apakah Islam ini seperti cerita filem, adakalanya berlakon baik, adakalanya jahat. Masuk masjid jadi mujahid, keluar masjid menjadi mujahat. Ini bentuk Islam yang ingin ditonjolkan? Tidakkah Islam itu way of life? Insaflah semua, kembalilah kepada jalan yang benar. 

Monday, October 19, 2015

Apa Lagi MCA Mahu?

9:35 AM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
Apa lagi MCA mahu? (Sinar Harian 19.10.15)

MCA perlu membuktikan bahawa mereka mendapat sokongan Cina, barulah boleh menuntut ini dan itu. Jika tidak, tidak perlu tertalu bising sangat, buat kerja-kerja asas dahulu untuk memenangi hati orang Cina.  Siasat dahulu sebelum menuduh. Malu jika pemimpin buat kenyataan semberono.  

Cadangan, buatlah kajian akademik kenapa MCA, mahupun Gerakan dan SUPP tidak mendapat perhatian orang Cina. Isu Cina babi dan Sekolah Vernakular yang dibangkitkan, perlu juga dilihat secara positif, kenapa Melayu memberi respon sedemikian, tentu ada sebab.

Melayu Islam yang saya kenali tidak akan mengeluarkan kata-kata kesat jika mereka tidak marah. Jika mereka marah, usahkan Cina babi, macam-macam lagi yang lebih teruk dari babi yang akan keluar. Ini perkara biasa, Melayu pantang dicabar dan rasa tercabar. Cuba fahami psiki orang Melayu sebagaimana saya fahami.

Sudah acap kali saya sebut dalam ceramah dan tulisan bahawa  saya amat tidak bersetuju dengan kata-kata kesat stereotaip seperti Cina babi, Cina mampus, dan sebagainya.

Tidak kurang pula yang memuji seperti Cina rajin, Cina pandai berniaga dan pujian positif yang lain. Justeru, janganlah terlalu sensitif, sehingga terlalu memaksa.  

Apabila PM berkata, SJKC akan terus kekal dalam sistem pendidikan, maka buatlah penambahbaikan supaya operasi tidak terlalu kecinaan, sehingga lebih Cina daripada Cina di negara China.

Biar pelat sedikit dalam basa ibunda, tak apa? Asalkan bahasa Kebangsaan dimartabatkan. Begitu juga, jika mahu UEC diiktiraf, maka ikutlah syarat-syarat KPM. Kenapa sudah sangat mahu memenuhi permintaan KPM? Bukan mahu mengasimilasikan orang Cina.

Pernahkah kajian dibuat, kenapa pelajar berada dalam Universiti Awam mahupun Swasta, masih lagi hidup dalam kotak perkauman. Pergi kekelas, duduk sesama mereka, keluar kelas, ke kantin sesama mereka. Boleh dikatakan, kita akan nampak dengan jelas tompok, putih, hitam, antara keduanya, di dalam dan di luar kelas.

Bila Presiden MCA berucap "negara kita sedang diancam", sebenarnya dituju kepada siapa? Siapa mengancam siapa? Ancaman kepada keselamatan nasional adalah apabila agenda negara tidak dihayati. Misalnya, soal bahasa, semangat patriotisme dan sebagainya.

Terlalu obses dengan jawatan dan mahukan itu dan ini juga membahayakan sebab mencabar kesabaran Melayu. Mana tidaknya, kekuatan tidak seberapa, masih tidak sedar diri. Orang Melayu diminta berkorban, sedangkan diri sendiri tidak menampakkan pengorbanan tersebut.

Ikutlah tindak-tanduk Parti Progresif Penduduk (PPP), bersedia mlepaskan kerusi yang ditandinginya kepada Gerakan jika itu yang diminta. PPP bukan sebuah parti yang mementingkan kerusi. Sebaliknya mementingkan perpaduan dalam BN dan semangat kerjasama untuk memastikan kemenangan BN.

Pada PRU-13, PPP gagal memenangi semua kerusi yang diambil dari Gerakan. Apakah Gerakan boleh memenangi kerusi tersebut jika diberi semula? Jangan haraplah. Gerakan jangan takbur. Seperti syor saya minggu lalu kepada MCA, Gerakan juga tidak layak untuk menduduki kerusi kabinet berasaskan kepada prestasinya. Namun, diberi juga atas nama setiakawan.

Berbalik kepada MCA, cadangan agar kerajaan mewujudkan Majlis Rekonsilasi Tadbir Urus Politik, Hal Ehwal Agama dan Perpaduan bagi menyelesaikan isu ketegangan kaum, perbezaan fahaman agama dan sosioekonomi masyarakat, tidak perlu kerana kita sudah ada Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Perkukuhkan JPNIN. Ketuanya juga adalah orang Cina.

MCA juga mendesak mahu menubuhkan sebuah Bank Koperasi Kojadi bagi memperkasakan pembangunan ekonomi dan transformasi secara berkesan. Mungkin MCA mahu mencontohi kejayaan Bank Rakyat. Tak puas lagi dengan apa yang ada? Apa lagi MCA mahu?

Bayangkan selepas ini semua parti BN mahu menubuhkan bank koperasi, apakah kerajaan juga akan tunduk? Cadangan saya, jutawan-jutawan MCA yang telah dikayakan oleh kerajaan, tampillah membantu orang Cina. Jangan hanya kayakan keluarga sendiri sahaja. Bayangkan daripada 40 terkaya di Malaysia, hampir 30 adalah orang Cina yang dikayakan oleh kerajaan, masih tidak mampukah untuk bantu orang Cina yang lain sehingga terpaksa tubuh bank?

Zaman globalisasi hari ini kerajaan sibuk untuk mengecilkan bilangan bank, MCA pulak mahu menambah bank kerana gatal punggung melihat kejayaan bank rakyat. Kenapa begitu ultra kiasu.

MCA janganlah terlalu fokus kepada ekonomi sangat kerana kedudukan orang Cina secara puratanya sudah teguh. Jika mahu fokuspun, tumpukan kepada Cina yang masih gelandangan atau mereka yang berpendapatan RM3000 ke bawah. Tidak perlu menyenangkan lagi yang sudah kenyang.

Fokus utama kini adalah fikirkan bagaimana mahu merapatkan hubungan kaum Cina-Melayu terutama melalui pendidikan. Bantulah kerajaan untuk memberikan kefahaman kepada NGO ultra kiasu, terutama penambahbaikan SJKC  supaya operasinya tidak terlalu kecinaan seperti saya syorkan minggu lalu.

Jika asimilasi itu sudah ditolak sepenuhnya, integrasi dan akomodasi yang menjadi keutamaan, lakukan yang terbaik untuk menjunjung agenda negara, bukan mewujudkan negara dalam negara.

Jika perkara ini tidak diperbaiki, tidak mustahil akan muncul banyak lagi perhimpunan baju merah melawan kuning. Perkataan yang lebih kesat akan keluar. Ketika itu tidak guna lagi beremosi.




Monday, October 12, 2015

Soalan untuk dijawab MCA

7:35 AM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
(Sinar Harian 12.10.15)

Pemimpin MCA berkata saya buta politik dan mahukan saya masuk dalam parti mereka untuk diajar lebih mendalam tentang politik dan cara hidup orang Cina. Sila semak daftar ahli MCA.

Sebelum MCA mahu mengajarkan saya, saya cadangkan MCA baca bahan ilmiah saya bertajuk persepsi Cina terhadap Umno, untuk mengetahui sama ada saya memahami budaya politik Cina atau tidak.

Saya sebenarnya bukan mahu jadi begini, sebagaimana dipersepsikan oleh MCA dan ultra kiasu yang lain. Saya tetap Cina sampai mati kerana itulah hakikat ciptaan Allah. Tidak ada ertinya saya memeluk Islam jika saya anti Cina.

Saya terpaksa jadi begini, sehingga dituduh rasis atau anti Cina, kerana ultra kiasu terlalu mengasak Islam, sehingga ruang untuk Islam bernafas menjadi sempit. Berpolitik boleh, tetapi jangan campurtangan dalam hal ehwal Islam, kerana kami tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal agama lain.

Suka atau tidak, MCA dan ultra kiasu yang lain kena menerima hakikat bahawa warna-warni Malaysia tidak dapat lari dari bertunjangkan kepada sistem kenegaraan Melayu Islam (Malay polity atau Malaya canopy). Itulah sejarah dan asal-usul semua negara yang berasaskan bangsa.

Apapun, sebelum MCA mahu mengajar saya tentang politik Cina, mohon jawab dahulu beberapa persoalan ringkas yang saya kemukakan.

Pertama, soalan politik. Apakah kerusi yang dimenangi hari ini kerusi kawasan majoriti Cina atau Melayu? Majoriti undi yang diperolehi di kawasan yang ditandingi sebelum ini, sebelum dipinjamkan kepada Umno, terutama kerusi Kuantan, Gelang Patah dan Wangsa Maju, undi Cina atau undi Melayu yang memberi kelebihan? Kepada siapa MCA sepatutnya berterima kasih?

Apakah MCA mempunyai pengaruh di kalangan orang Cina? Jika MCA kuat, kenapa semua kerusi yang ditandingi kawasan majoriti Cina, kalah teruk? Kenapa tidak meletakkan calon Cina Muslim bertanding kawasan majoriti Melayu? Adakah MCA prejudis terhadap Islam?

Kedua, soalan Pendidikan. Kenapa MCA bersekongkol dengan ultra kiasu bermati-matian mempertahankan operasi SJKC dengan menolak penambahanbaikan oleh Kementerian Pendidikan (KPM)? Kenapa SJKC tidak mahu ikut arahan kerajaan agar masa Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) Bahasa Melayu BM) ditambah?

Ketika KPM mencadangkan agar subjek sejarah yang baru diperkenalkan di semua Sekolah Rendah diajar dalam BM, kenapa MCA tidak memberikan sokongan, malahan bersekongkolkan dengan ultra kiasu agar ia diajar dalam bahasa ibunda sehingga KPM terpaksa tunduk?

Kenapa Sekolah Wawasan (SW) gagal mendapat perhatian orang Cina walaupun SJKC ada di situ? Kenapa MCA tidak berkempen memperbanyakkan SW daripada SJKC? Kenapa MCA turut bersetuju dengan tuntutan ultra kiasu agar guru Melayu yang mengajar BI dan BM di SJKC, mesti  mendapat kredit dalam bahasa mandarin di peringkat SPM? Kenapa syarat kredit mandarin dimestikan sehingga KPM terpaksa akur?

Kenapa MCA hanya senyap apabila silibus dan peperiksaan BM di SJKC lebih mudah daripada Sekolah Kebangsaan (SK)? Kenapa silibus dan peperiksaan BM tidak diseragamkan supaya kita berlaku adil? Mana lebih utama, BM atau bahasa ibunda?

Apakah MCA tidak tahu bahawa orang Melayu (Islam) yang menghantar anaknya ke SJKC bertujuan untuk menguasai bahasa lain bagi tujuan dakwah, bukan terlalu obses dengan SJKC seperti yang saya lakukan sendiri? Kenapa hujah ini selalu dijaja?

Jika MCA mengatakan sekolah vernakular bukan punca masalah perkauman, bolehkah MCA berikan statistik berapa ramai pelajar-pelajar yang gagal BM dalam UPSR dan berapa ramai pula yang langsung tidak boleh bertutur dalam BM. Termasuk juga di kalangan orang dewasa?

MCA, Gerakan dan ultra kiasu selalu mendesak kerajaan mengiktiraf sijil peperiksaan bersepadu (UEC) sekolah persendirian Cina. Bolehkah MCA jelaskan apakah bentuk silibus dan kurikulumnya? Kenapa UEC tidak patuh kepada kehendak KPM?

Kini, Kerajaan Sarawak telah mengiktriraf UEC. Kenapa MCA mendesak agar kerajaan pusat mengikut langkah kerajaan Sarawak? Tidakkah MCA tahu bahwa EUC tidak berkiblatkan silibus dan kurikulum KPM? Majlis Peperiksaan UEC bukan datang dari KPM? Apakah kita boleh membina peperiksaan dalam peperiksaan, sama seperti membina negara dalam negara?

Hayati apa yang dikatakan oleh Prof Dr Shad Saleem Faruqi, The Chinese and Tamil schools are actually not protected under the constitution. The constitution only permits the right to learn the language but doesn't give you the right to learn in the language. There's a difference. Non-Malays conceded an electoral system with the rural weightage, they conceded the fact that there would be Islam, Malay language, Malay special position and that the royalty is all Malay (The Star  5 Mei 2013).


Kepada orang Melayu, fahamilah, bahawa ultra kiasu terpaksa bertindak sebegini kerana populasi mereka semakin sedikit disebabkan mereka tidak beranak ramai. Populasi mereka akan semakin mengecil dari tahun ke tahun. Jika trend terus berlaku, bermakna hak mereka akan semakin sedikit. Inilah yang menjadikan mereka terpaksa menjadi sedemikian rupa.  

Monday, October 05, 2015

MCA perlu jadi jambatan

7:38 AM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
(Sinar Harian 5 Okt 2015)

MCA dalam kenyataannya baru-baru ini mahukan kembali kerusi Parlimen yang ‘dipinjamkan’ kepada Umno dalam PRU 13 iaitu Gelang Patah, Wangsa Maju dan Kuantan. Sebelum MCA merancang nak ambil kerusi tersebut, cermin diri dahulu. Kuatkah MCA pada hari ini? Kerusi yang dimenangi selama ini di kawasan majoriti Melayu atau Cina?

Jika rasakan diri kuat, menangi dahulu kerusi-kerusi majoriti Cina di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Petaling Jaya dan lain-lain lagi. Jika boleh menang, baharulah boleh cakap besar. Ini tidak, berkokok keterlaluan, menyakitkan hati. Apatah lagi kenyataan memutuskan hubungan dengan PM oleh Pemuda MCA Pasir Gudang. Siapa MCA? Belajarlah berterima kasih, kerana kerusi yang dimenangi selama ini adalah undi ehsan Melayu.

Hari ini bukan soal kerusi yang penting, tetapi membina kekuatan, kerja keras untuk rakyat, bukan terlalu berbisnes atau berpolitik. Nasihat ini bukan sahaja untuk MCA tetapi komponen BN yang lain. Jangan hanya menang sorak.

Kelakar apabila mendengar MCA sedia 'menggempur' pemimpin veteran ultra kiasu Parlimen Gelang Patah pada PRU akan datang. Jangan mimpilah untuk menang.

Pada PRU Ke-13, ultra kiasu menewaskan bekas Menteri Besar Johor, Abdul Ghani Othman dengan majoriti 14,762 undi. Alasan mengatakan ultra kiasu tidak melaksanakan tanggungjawabnya atau tidak, bukan isu, kerana ultra kiasu tahu siapa yang harus dipilih.

Selama mereka menjadi ahli parlimen kebanyakan kerusi di Kuala Lumpur, pernahkah wakil rakyat ultra kiasu melaksanakan tanggungjawab mereka? Kuala Lumpur terus membangun kerana tugasnya telah diambil alih oleh DBKL.

MCA tidak berpijak di bumi nyata. Tidak faham isu sebenar. Tidak mustahil ahlinya turut mengundi ultra kiasu dalam PRU lalu.

MCA perlu mengatur strategi dan bertindak seperti pengasasnya,  Tun Omar Ong Yoke Lin, yang tidak terlalu perkauman. Apabila Tun Omar mengambil keputusan memeluk Islam 1961, beliau dimomokkan hendak menjadi Melayu.

Menurut Adam Kadir, momokan ini mempunyai unsur rasisme. Satu pihak bertekad menjatuhkan maruah dan kredibiliti Tun Omar. Pihak satu lagi rasa terhina dari segi jati diri kerana ras diungkit. Namun sehingga akhir hayatnya, identiti beliau tetap Cina dan agamanya kekal Islam, tanpa terjejas oleh  momokan tersebut.

MCA menjadi kuat sebelum ini kerana tidak terlalu perkauman. Boleh dikatakan MCA dekat di hati Melayu. Hari ini tidak, pantang ada orang cuit sahaja pasal sekolah vernakular, melompat tidak tentu pasal, tanpa menyiasat hujung pangkal. Sudah tentu tindakan sebegini tidak disenangi oleh orang Melayu.

Sudah sampai masanya MCA memikirkan strategi untuk meramaikan pemimpin seperti Tun Omar. Salah satu strategi adalah dengan menubuh Biro Agama Islam, kalangan Cina Islam yang berada dalam MCA.

Biro ini boleh menjadi jambatan kepada MCA supaya bertindak secara berhemah, terutama ketika berhadapan dengan orang Melayu. Saya fikir, orang Melayu tidak mempunyai masalah untuk memberi sokongan kepada MCA, jika MCA tidak terlalu celupar.

Selama inipun, walaupun MCA kalah banyak kerusi, kerusi menteri dan timbalan menteri masih diberikan kepada mereka mengikut kuota yang disediakan walaupun sebenarnya, MCA tidak layak menduduki kerusi tersebut berdasarkan kepada kerusi yang dimenangi dalam PRU.

Kedua, sudah sampai masanya MCA meletakkan calon Cina Muslim di kawasan yang majoriti Melayu, yang ditandinginya. Jika MCA meletakkan juga calonnya yang terlalu kecinaan, memang sukar untuk menang.

Maaf cakap, ramai calon MCA yang BM mereka tunggang-langgang. Apatah lagi untuk memahami selok belok adat dan budaya Melayu. Calon sebegini menempah tiket untuk kalah.

Ketiga, MCA tidak boleh mengharapkan lagi untuk dilantik menjadi senator bagi menduduki kerusi menteri atau timbalan menteri pada masa akan datang, jika gagal membuktikan kekuatannya.

Saya ingin mencadangkan kepada PM supaya melantik kalangan wakil Cina yang terdiri daripada ahli bisnes atau ahli akademik, menggantikan MCA jika gagal menunjukkan prestasinya. Saya amat yakin, keadaan ini jauh lebih baik daripada berpolitik yang tidak mendapat sokongan. Menghabiskan beras sahaja.

Saya tidak pasti sama ada Umno mahu menerima pandangan saya atau tidak. Tetapi PRU akan datang adalah penentu kepada hidup matinya BN. Jika BN terus meletakkan calon Cina totok MCA di kawasan majoriti Melayu, BN akan kalah.

Bagi kawasan majoriti Melayu pula, tidak semua kerusi perlu ditandingi oleh Umno. Jika Pas berkeras mahukan Kelantan, berikanlah.Tandingi kawasan yang boleh dimenangi sahaja. Selebihnya serahkan kepada Pas. Umat tidak akan rugi sedikitpun memberikan Kelantan kepada Pas. Jalan perpaduan perlu direntasi, barulah hasilnya dapat dirasai.


Kadang kala kita begitu bersemangat untuk merampas Kelantan, sedangkan Pulau pinang yang menjadi lubuk ultra kiasu dibiarkan begitu sahaja. Sesama Melayu bergocoh, musuh dibiarkan berseronok bertepuk tangan.