Apabila agamawan dibadutkan (Sinar Harian 16.11.15)
Ramai yang tidak selesa apabila saya menyentuh soal program realiti TV
agama apabila agamawan dibadutkan ketika beraksi di pentas realiti atas nama
kononnya untuk mencari bakat. Bakat apa yang dicari? Agamawan diperalatkan untuk
mencari keuntungan. Malang sekali jika agamawan tidak menyedari.
Orang kampungpun boleh berfikir lebih jauh. Yang dicari di sini bukan
pelakon, penyanyi atau pelawak tetapi bakal pendakwah? Maka, sepatutnya yang
diuji adalah teknik, intonasi, bahasa dan gaya penyampaian yang melibatkan seni
pengucapan awam, athos, pathos dan logos, bukan yang lain.
Walaupun saya belum dengar lagi istilah-istilah tersebut, termasuk dari juri, tidak mengapalah. Tetapi
cara latihan yang dibuat dengan membadutkan peserta-peserta agak sukar untuk
diterima. Adakah program realiti ini akademi lakonan? Pasti mereka yang
terlibat tahu jawapannya.
Hina sekali apabila menonton tajuk penyampaian berkaitan dengan syaitan,
maka muka seperti diconteng seperti syaitan dengan mempunyai tanduk. Siapa
pernah melihat syaitan? Adakah pengarah pentas, tenaga pengajar atau juri
disebabkan kealimannya?
Lebih dahsyat lagi, ada cubaan untuk melakonkan keadaan sebenar syurga
dan neraka. Nasib baik ada yang protes. Siapakah pernah memasuki syurga atau
neraka? Saya, tenaga pengajar dan juri pun belum tentu. Apatah lagi krew. Ditakdirkan
dilakonkan juga, apakah juri akan mengatakan; “bagus penyampaian dan lakonan
itu, apa orang nak kata, lantak dia oranglah?” Ini bukan soal siapa nak kata,
lantak atau tidak? Apakah Islam layak digambarkan sedemikian rupa? Apakah
matlamat dakwah sebenarnya? Mencari glamour?
Saya tidak menyalahkan stesen penyiaran, kerana mereka tidak tahu halal
haram. Mereka hanya mengejar keuntungan dan rating. Halal haram sudah tidak penting. Sebab itu, ketika peserta
diujibakat, juri yang dilantik hanya sebagai syarat sahaja.
Melalui pengalaman, peserta yang pilihan juri, diketepikan begitu
sahaja. Stesen penyiaran, mereka hanya mahukan menarik perhatian penonton. Ilmu
bukan lagi sandaran. Pengucapan awam
bukan begitu ekstrem sehingga tidak boleh melawak dan mungkin menyanyi. Boleh
diselitkan, tetapi biar berpada. Nyanyilah dan lawaklah dengan ilmu, tetapi
bukan badut.
Justeru, saya ingin mencadangkan. Pertama, tenaga pengajar dan juri yang
terlibat, haruslah mempunyai dan mempelajari ilmu asas pengucapan awam.
Bahan-bahan melambak dalam internet. Bacalah. Cuba banding dengan komen juri
program realiti di barat, ternyata kualitinya sangat berbeza. Keilmuannya
terpancar.
Kedua, letakkan syarat, sekurang-kurang mereka yang terlibat ada ijazah
asas. Ini tidak, kadang kala peserta ada ijazah, mereka yang terlibat, termasuk
juri langsung tiada. Komen berasaskan kepada pengalaman. Kelayakan dinilai
dengan air liur dan pengalaman berceramah. Adakah mereka ini layak
dikategorikan sebagai pakar? Pakar apa? Bukankah pelik jika pelajar sarjana
diseliakan oleh pemegang sarjana muda atau sijil.
Ketiga, siapakah penasihat agama di sebalik program realiti di stesen tv
ini? Jika ada, sejauhmana suara mereka didengar? Pihak JAKIM mesti dibawa bersama.
Serlahlah keterlibatan JAKIM, supaya jangan ada orang kata, JAKIM tidak buat
kerja dan patut ditutup. Kata-kata sebegini amat kurang ajar. Orang sebegini
patut dihumban dipenjara, walaupun anak seorang pembesar seperti kumpulan
pesara kerajaan yang berpengaruh kononnya. Tidak semestinya anak pembesar ini
bagus dan boleh dipercayai. Masih ramai yang jahil murakab. Tetapi itulah
sasaran ultra kiasu untuk diwawancara bagi meliberalkan negara ini.
Keempat, juri atau tenaga pengajar yang dilantik hendaklah dibuat dengan
berhati-hati kerana ini program agama. Kita tidak mahu lihat ada makhluk dua
alam. Di pentas agama, bukan main ayu dan santun penampilannya, seperti seolah-olah
seperti insan tidak berdosa. Tetapi apabila menjadi tenaga pengajar atau juri
realiti hiburan tv, penampilan sangat jauh berbeza. Hilang habis keayuan dan
kesantunannya. Yo sana yo sini.
Kelima, produk akhir realiti tv ini nanti, sudah tentu pemenangnya akan
menjadi rebutan masyarakat. Akhir-akhir ini saya sudah tidak nampak. Mereka
seolah-olah hilang ditelan zaman. Kenapa? Logiknya mudah, kerana keilmuannya
tidak terserlah. Rupanya mereka diajar menghafal, bukan membaca.
Keenam, kita berada di alam realiti bukan fantasi. Apakah mungkin
apabila finalis ini nanti dijemput berceramah, misalnya mengenai alam kubur,
maka mereka akan datang dengan pakaian kafan, batu nisan dan kubur. Kemudian
menyanyi lagu, “bila izrael datang memanggil, jasad terbujur di pembaringan....
Kemudian datang mungkar nangkir, kita pun berlari ke belakang pentas, bertukar
baju untuk melakonkan watak malaikat. Lantaklah biarlah apa orang nak kata!
Saya tidak akan menjejakkan kaki
ke program realiti sebegini, sehingga format realiti tv sebegini tidak berubah
dan keilmuannya tidak terpancar. Orang Kedah kata “kita tidak kelapaq”. Bukan
cara ini kita buat duit. Saya pun tidak pasti ianya halal ke tidak?
Apapun saya memuji, penggunaan teknik multimedia, muzik dan props yang
tidak berlebihan yang menceriakan program realiti tv. Hak lain-lain itu
fikirkanlah.
7 comments:
Saya pun naik meluat.
Jika dr segi syariatnya tiada yg haram, maka terpulang niat masing masing.
Kaedah berdakwah mungkin berbeza beza seorg individu dgn indivudu yg lain.
Anyway program realiti tak sesuai utk dijadikan sumber atau rujukan utk mendptkan ilmu.
Apa nak buat? Sekarang ini ada title 'Ustaz" adalah lubuk duit.
Awalnya saya menonton tapi saya dok peghati benda ni seperti ada yang tidak kena maka saya pun tidak menonton lagi. sedih rasa diperbodohkan atas nama agama.
Rncangan apa tu?
Sejak dari mula saya tidak berminat ikuti program ini dan yg serupa dgnnya. Ini semua satu commercial enterprise.
Assalamualaikum Prof....saya selalu mengikuti blog prof. saya membaca dr pelbagai sudut dan pandangan awam. mmg bnr kata org kalau nak cari buruk dan silap kita akan jumpa yag buruk dan silap sahaja. akan tetapi jika hendak mencari kebaikan amatlah payah. program realiti berunsurkan keagaamaan ni nampaknya mmg positif. saya amat bersetuju dgn pandangan prof bahawa perlaksanaan program ini sbnrnya telah lari dr matlamat asal. serupa juga seperti membuat kuih, cetaknya sama tapi hiasannya lain.
Post a Comment