Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, June 29, 2015

Chauvinisme ultra kiasu

1:32 AM Posted by RIDHUAN TEE 10 comments
(Sinar Harian, 29.6.15)

Sedar atau tidak, sejak akhir-akhirnya laman web dan akhbar ultra kiasu sengaja mensensasikan isu-isu tertentu yang ada kena-mengena dengan Islam, memburuk imej Islam, seolah-olah menampakkan negara Malaysia mengamalkan dasar ‘taliban’.

Psywar dan psyop ultra kiasu adalah, apa sahaja perkara yang merugikan Islam akan disensasikan, agar orang jauh dari Islam. Strateginya, kepada  orang Islam, meliberalkan mereka. Manakala, kepada bukan Islam, menjauhkan mereka dari Islam, agar mereka tidak mudah tertarik kepada agama Islam dan seterusnya beralih kepada agama lain.  

Misalnya, isu berpakaian tidak sopan (menjolok mata) ketika berurusan dengan pejabat kerajaan. Ini bukan isu baharu. Sudah lama peringatan dan  kenyataan dipaparkan. Mereka sengaja gatal dan mahu menguji kita. Mahu jadikan Malaysia lebih barat dari barat.

Malangnya jabatan kerajaan terbabit, tanpa usul periksa dan takut hilang jawatan, cepat melatah, terus meminta maaf, apabila pengawal keselamatan melaksanakan tangungjawabnya. Adakah peraturan itu salah? Adakah suatu masa nanti, bila ultra kiasu bertelanjang ke pejabat, baru nak bertindak? Tidak ada agama yang membenarkan pakaian menjolok mata.

Ini bukan soal kita suka melihat bahagian atas atau bawah wanita. Saya tidak berminat, nak termuntah. Persoalannya, kenapa suka sangat dedah dan belah? Tidak takut digigit serangga? Kelakar sungguh melihat mereka yang berskirt terlalu pendek, apabila duduk dalam kenderaan awam seperti bas dan LRT, terkulat-kulat mengapit pehanya serta cuba menarik skirtnya agar turun sedikit, supaya tidak nampak anunya. Kenapa tidak biarkan terbuka dan terkangkang, biar orang tengok?

Selalu saya lihat, kalangan mereka suka memakai baju nampak ketiak dan berseluar tersangat pendek, sehingga nampak yang tersurat tersirat. Apa yang nak ditunjukkan? Bila kena raba, marah! Apa semua ini! Nak show off kah? 

Inilah perjuangan ultra kiasu, ke arah negara sekular, demokrasi tanpa had dan hak asasi mutlak. Begitu juga soal seks bebas, LGBT dan sebagainya. Apakah umat Islam yang menyokong dan menyertai ultra kiasu tidak sedar bahawa tindakan mereka boleh menjejaskan akidah?

Amat tepatlah sekali kenyataan Presiden Pas bahawa partinya akan hanya bekerjasama  dengan semua orang, kecuali mereka yang chauvinis atau chauvinis ultra kiasu.

Dalam konteks politik dan kenegaraan, chauvinis merujuk kepada seseorang yang sangat yakin partinya sahaja yang betul dan dengan fanatik menyerang sesiapa sahaja yang tidak ‘sebulu’ atau berbeza pandangan dengannya.

Manakala dalam konteks kaum pula, chauvinis bermaksud terlalu cinta dan bangga akan bangsanya sendiri sehingga menganggap bangsanya sahaja yang ada kelas (kasta tertinggi), dengan memandang rendah kepada bangsa lain.

Chauvinisme juga merujuk kepada kesetiaan ekstrim terhadap suatu pihak atau keyakinan tanpa mahu mempertimbangkan pandangan alternatif. Inilah ultra kiasu, semua orang salah, mereka sahaja yang betul. Sekadar makluman, istilah chauvinis diambil dari nama Nicolas Chauvin, seorang perajurit, yang hidup pada zaman Napoleon Bonaparte.

Peliknya, kenapa ultra kiasu Pas yang dikenali sebagai G18 begitu mempertahankan ultra kiasu chauvinis, sehingga tergamak memberi tempoh 100 hari kepada ulama Pas agar menarik balik keputusan yang telah dibuat sebelum ini, iaitu bercerai. Dalam al-Quran pun ada satu surah bernama at-talaq. Dah cuba bersatu, tak boleh juga, maka ketika itu bercerai adalah lebih baik.

Kenapa ultra kiasu Pas tidak nampak semua itu? Dalam kepala mereka hanya mahu jatuhkan Umno dan jadi menteri. Malah, mereka sanggup menubuhkan parti baharu, dan tidak segan silu memberi amaran kepada ulama Pas, supaya cermin diri dan membaca perlembagaan ultra kiasu yang sebenarnya tidak chauvinis.

Nak kenal seseorang itu chauvinis atau tidak, tak cukup sekadar membaca perlembagaan. Tindak-tanduk mereka sudah jelas. Apatah lagi membaca sejarah Peristiwa 13 Mei 1969 dan perjuangan Malaysian Malaysia

Dalam Islam, matlamat tidak menghalalkan cara. Pas tidak rugi melepaskan duri dalam daging ini. Malah pengaruh Pas akan menjadi semakin kuat, meskipun ultra kiasu chauvinis tidak mengundi Pas selepas ini. Pas tidak mengemis simpati kepada musuh Islam.

Cuma, Pas perlu lebih bijak dan berstrategi dalam percaturan ini agar tidak terperangkap, kerana dalam politik segala kemungkinan boleh berlaku. Kenalilah siapa kawan sebilik, rakan serumah dan di luar rumah, serta musuh di luar rumah.

Rakan serumah dan di luar rumah tidak boleh dibawa ke bilik, kerana tidak mustahil mereka bersekongkol dengan musuh di luar rumah. Mereka ini belum tentu mengundi Pas dalam pilihan raya. Mereka hanya memperalatkan Pas untuk menjatuhkan Umno, bagi memudahkan laluan ke Putrajaya, seterusnya melepaskan ketua mereka dari penjara. 

Mulai sekarang, berbincanglah dengan kawan sebilik, apakah jalan terbaik untuk menyelamat negara ini daripada jatuh kepada ultra kiasu chauvinis, yang mahukan mereka yang datang berurusan dengan pejabat kerajaan dalam keadaan bertelanjang.


Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA

Monday, June 22, 2015

Ultra kiasu dan masjid

6:45 AM Posted by RIDHUAN TEE 20 comments
(Sinar Harian, 22.6.15)

Hampir 2 minggu berada di Tanah Suci, bersama 48 rakan lain, menjadi tetamu Raja Saudi, termasuk boss Sinar Harian, kini saya kembali semula. Hati membuak-buak untuk memberikan komen perkembangan semasa politik negara setelah menumpukan perhatian menjalani ibadah di sana.  

Hebat sungguh ultra kiasu, lagak anak ‘jantan’ dalam PR, memutuskan hubungan dengan Pas secara total. Tidak malu dengan keputusan itu, malahan mereka sanggup pergi ke Kelantan dan menawar diri untuk membina masjid di sana, setelah kononnya ‘berjaya’ membina beberapa buah ‘rumah’ untuk penduduk Gua Musang yang dilanda banjir tidak lama dahulu. Macamlah kerajaan Kelantan begitu haprak sehingga tidak mampu untuk membina masjid di buminya sendiri.

Begitu juga dengan adegan mual lagak sasterawan Melayu ultra kiasu mengambil kesempatan mengisytiharkan diri menyertai parti ultra kiasu secara rasmi. Konon katanya mahu menjadi ‘hamba’ dan tidak mendambakan jawatan dan pangkat, apatah lagi untuk dicalonkan menjadi wakil rakyat. Hebat Melayu ultra kiasu ini sehingga, tidak memilih parti Melayu seperti Pas dan Umno, sebagai wadah, tetapi parti ultra kiasu. Nasihat saya, bila berpolitik (atau bekerja), pastikan wadah politik boleh membawa kita ke syurga. Apatah lagi ketika usia rumah kata pergi, kubur kata mari. Dekatilah masjid dan surau.

Berbalik kepada tawaran ultra kiasu membina masjid, apakah kerajaan Kelantan tidak mampu atau membina mengikut ikut keperluan, bukan ikut suka pacak sahaja? Apakah ultra kiasu tidak nampak patung Buddha kedua terbesar di dunia terbaring di negeri Kelantan, walaupun bilangan penganutnya sangat minoriti. Kenapa Kerajaan Kelantan membenarkan dan membantu pembinaannya walaupun jika dilihat dari segi bilangan, sememang tidak layak untuk mendapat kemudahan seperti itu? Inilah toleransi terhebat umat Islam yang tidak ada di negara lain.

Masih tidak tahu psywar dan psyop ultra kiasu? Siapakah yang mahu membina masjid tersebut? Kerajaan Pulau Pinang atau hartawan ultra kiasu yang telah menjadi kaya-raya setelah dibantu oleh kerajaan pusat selama ini. Selepas ini tidak mustahil ultra kiasu akan menaja umat Islam untuk menunaikan umrah atau haji, bagi menunjukkan mereka begitu prihatin terhadap nasib umat Islam yang ‘terbiar’ di bawah BN.

Kepada umat Islam yang akan menerima bantuan tersebut, usah ditanya sumber kewangan yang ingin didermakan, hasil halalkah atau haramkah? Bukan kita tidak tahu. Apa yang penting, ambil duit ultra kiasu itu dahulu, kerana duit mereka itu juga adalah hasil duit rakyat juga. Ultra kiasu tidak akan jadi kaya tidak umat Islam tidak membantu ekonomi mereka. 

Kejayaan mereka membina empayar ekonomi disebabkan oleh kemurahan kita juga. Siapa yang memberi AP gula kepada mereka? Konsesi balak? Sebuah bukit untuk berniaga judi dan macam-macam kemudahan lagi?

Sebab itu, saya sangat bersyukur bila PR telah disytiharkan mati. Tahniah Pas kerana berani membuat keputusan dan tidak lagi dibuli oleh ultra kiasu. Ya, kita tidak nafikan memang sukar untuk parti Melayu (Umno dan Pas) untuk memerintah tanpa sokongan atau berpakat dengan bukan Islam. Sebab itu, Umno perlukan BN, manakala Pas perlukan PR. Namun, dalam soal prinsip kita tidak boleh bertolak ansur.

Lanskap politik saling bergantung dan mengharap ini boleh berubah jika Umno dan Pas bersatu. Kenapa tidak dirintiskan kerjasama ini, seperti yang pernah dilakukan sebelum ini? Kenapa begitu kuat berdendam? Berbaik dengan musuh, menolak persaudaraan sesama sendiri?

Saya tidak nafikan sifat tolak ansur amat penting untuk dijalin dan diteruskan. Tetapi kita perlu melihat jenis bukan Islam yang macam mana. Jika mereka terus memusuhi Islam seperti ultra kiasu, adakah persahabatan ini perlu diteruskan?

Sejak dari awal berkawan dengan Pas, ultra kiasu asyik membuli Pas. Pas tetap bersabar. Ultra kiasu tidak henti terus menyerang. Akhirnya, kepemimpinan Pas membuat keputusan. Saya yakin, melihat kepada kealiman ulama Pas, tidak mustahil mereka telah melakukan solat isytikarah, minta pertunjuk Allah, sebelum membuat keputusan yang ‘pahit’ ini.

Peliknya, kenapa segelintir pimpinan yang tidak rajin atau mungkin jarang sekali pernah solat isytikarah, kecuali ketika mahu beristeri dua atau lebih, tidak dapat menerima keputusan ulamanya ini? Siapa lagi yang ingin didengari kalau bukan ulama yang menjadi sanjungan Pas selama ini? Hebat sangatkah profesional yang ada dalam Pas, sehingga mengenepikan keputusan ulama mereka yang saya fikir pasti meminta petunjuk Allah?

Saya amat yakin jika almarhum Fadzil Noor dan Nik Abdul Aziz masih hidup, saya tidak yakin mereka sedia atau sudi bekerjasama dengan ultra kiasu lagi, seperti yang didakwa oleh anak-anak mreka. Kejahatan ultra kiasu, ternyata tidak boleh didakwahkan lagi. Ultra kiasu begitu bongkak dan takabbur setelah mendapat kuasa. Bayangkan jika mereka berjaya mendapat Putrajaya selepas ini.

Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA



Monday, June 15, 2015

Insaflah, jangan terlalu bereotrik

9:44 PM Posted by RIDHUAN TEE 14 comments
Sinar Harian 15.6.15

SEORANG 
profesor Melayu pencen begitu marah apabila saya mengingatkan Melayu. Katanya, jangan dikutuk bangsa Melayu. Bangsa Melayu pernah menjadi hebat ribuan tahun yang lalu.

Kasihan sungguh, berbangga dengan masa lalu, tetapi tidak pernah risau dengan masa kini dan akan datang. Apakah tidak sedar bangsa Melayu hanya menjadi hebat apabila menerima Islam sebagai cara hidup, lebih kurang 600 tahun lalu, bukannya 70,000 tahun dahulu?

Melayu pertama mengelilingi dunia pada zaman bila? Tanpa Islam, Melayu tidak ada apa. Lagi pula, masa lalu tidak penting lagi, kerana ia telah berlalu. Apa yang lebih penting adalah masa hadapan anak cucu-cicit kita.

Retorik masa lalu tidak menguntungkan kita, kerana ia tidak akan kembali semula. Baca buku fiqh memahami keutamaan pada usia pencen ini untuk menaikkan martabat Melayu, bukan beretorik.

Ingatlah gurindam ini. Wahai Melayu, cepatlah bertaubat, sebelum terlambat. Masa semakin singkat. Tak banyak yang boleh dibuat. Sebab, orang lain dah banyak rembat. Sehingga Melayu rengkat. Tak ada lagi tongkat. Ada yang dah patah semangat, sebab dah naik meluat. Cakap, tetapi tak buat.

Lihatlah ultra kiasu, hidup mereka sangat muafakat. Duit mereka berlipat-lipat. Tak perlu terperanjat, itulah hakikat. Kita pula, penuh dengan dendam kesumat. Justeru, ambillah nasihat, berhentilah buat maksiat, sebelum kena laknat.

Buatlah kerja untuk rakyat, keluarkan mereka dari melarat. Jadikan mereka bangsa hebat, bangsa berdarjat, di bumi berdaulat.

Ingat, kuasa hanya sebagai alat, bukan matlamat, demi maslahat umat, yang makin tenat. Mari kita pakat beringat, ALLAH akan tanya apa yang kita perbuat. Masa di dunia, banyak baik atau jahat. Dapat jawab, selamat. Jika tidak, tamatlah riwayat.

Melihat kepada situasi Melayu masa kini, perpecahan yang semakin menakutkan, rosaknya Melayu, kerana Melayu, bukan orang lain, seperti saya tulis dalam artikel lalu. Orang lain hanya mengambil kesempatan, menangguk di air yang keruh. Dalam segala aspek Melayu bermasalah.

Pendek kata, kalau ditulis masalah Melayu, tidak akan jadi artikel kolum minggu ini, semuanya akan dipenuhi dengan masalah Melayu. Bersambung-sambung. Bangsa lain tidak bermasalahkah? Baik sangatkah?

Bangsa lain, ada juga masalah, tetapi tidak setenat Melayu. Demi bangsa mereka masih bersatu, meskipun mereka tidak ada al-Quran dan al-hadis. Kita kata mereka masuk neraka jika tidak memeluk Islam.

Sejahat-jahat Melayu, dek kerana dia beragama Islam, maka akan masuk syurga juga akhirnya setelah diseksa di dalam neraka. Benarkah? Apakah Melayu tidak syirik apabila bertuhankan manusia, harta dan takhta? Apakah mungkin setelah diseksa, boleh kembali ke syurga atau terus kekal di neraka? Fikirkan...

Sedarlah, peringatan ini tidak akan saya luahkan jika Melayu tidak beragama Islam. Dek kerana kita seagama, seterusnya bersaudara, seperti yang ALLAH firmankan, maka saya luahkan semua ini, walaupun ia sangat perit dan pahit, kerana pasti bangsa lain akan akan terus mengutuk dan menghina saya, termasuk saudara-mara terdekat.

Ingat wahai Melayu, jangan bertindak nafsu, tetapi bertindak dengan melihat sejauh ia menguntungkan agama dan bangsa. Jangan terlalu beremosi, sehingga hilang rasional.

Melayu kini bertindak tanpa mengambil kira kepentingan rakyat. Hanya kerana seorang dua individu yang tidak disukai, Melayu sanggup menghancurkan keseluruhan Melayu.

Melayu hari ini mesti bangun mencipta kegemilangan, sebagaimana yang telah dicipta pada masa lalu. Beretorik kegemilangan masa lalu tidak akan membawa kita ke mana-mana, kerana masa yang berlalu tidak boleh diambil kembali, hanya boleh dijadikan iktibar sebagai ingatan ALLAH dalam surah Al-Hasyr, 59, ayat 2.

Masa untuk kita bangkit dan mencipta kegemilangan sudah tidak banyak, kerana orang lain sudah jauh meninggalkan kita. Mereka asyik merebut ruang dan peluang, meskipun peluang itu hak milik kita sendiri.

Malangnya, kita masih membincangkan masalah, sehingga terlepas peluang, kerana asyik berbalah. Lebih malang lagi, kita berbalah kerana mempertahankan musuh Islam, seperti yang berlaku dalam Pas dan Umno.

Musuh pun mengambil kesempatan memecahkan kita melalui psywar dan psyopnya. Berbaloikah? Sesama bangsa, berbeza parti, tidak nampak lagi jalan penyatuan. Ini belum termasuk, sesama bangsa, sesama parti pula, asyik tikam-menikam, saling menjatuhkan sesama sendiri demi kepentingan diri.

Bangunlah, jangan biarkan masalah terus membelenggu. Selesaikan masalah tersebut sebelum terlambat. Bangsa lain jauh berada di hadapan. Mencipta kegemilangan, seperti yang dilakukan pada masa lalu. Kedudukan mereka sangat kukuh hari ini sehingga sukar untuk digoyah.

* Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA

Wednesday, June 10, 2015

Cerita mengembek dan orang kafir (8.6.15)

11:03 AM Posted by RIDHUAN TEE 10 comments
Cerita mengembek dan orang kafir (8.6.15)

Saya amat teruja membaca cerita seorang ustaz, mengenai seorang pemuda mengembek, gara-gara menghina janggut Almarhum bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul (TGNA), yang menjadi viral. Pemuda itu berhenti mengembek setelah meminum air yang ditawarkan oleh TGNA.

Begitu juga, sebelum ini, cerita mayat bertukar menjadi khinzir, dan macam-macam lagi cerita pelik dari mulut orang Islam, termasuk ustaz, Hujahnya amat simplistik, sebagai balasan terhadap perbuatannya. 

Tidakkah sepatutnya cerita-cerita sebegini berlaku kepada orang kafir, atau mereka yang lebih zalim? Termasuk penentang tegar Islam, seperti ultra kiasu? Bukan itu sahaja, mereka juga pemakan tegar khinzir,  peminum  arak tegar, pemain tegar judi dan lain-lain tegar lagi?

Tidak pernah pula kedengaran. Malah sepanjang saya menziarahi  kematian orang kafir, termasuk mereka yang ‘zalim’, tidak pernah juga nampak perubahan wajah mereka, termasuk bertukar menjadi khinzir, anjing, kucing dan sebagainya. Malah, mayat mereka kelihatan cantik selepas  disolekkan, sebelum dikebumi.

Apakah Allah hanya akan seksa atau membalas kejahatan orang kafir ketika berada di alam kubur? Manakala, orang Islam, ketika di dunia sudah ditunjukkan balasannya?

Peliknya, kita selalu didedahkan dengan insiden pelik berlaku ke atas umat Islam, dengan dosa mereka tidak seberapa. Sedangkan orang kafir, yang kejahatan sangat ketara dan bermaharajalela tidak pula dinampakkan? Isshhhhh, peliknya

Apakah selepas ini bila Presiden Mesir, Al-Sisi, meninggal dunia, almaklumlah kejahatannya kepada Ikhwan, wajah dan bentuk mayatnya akan bertukar menjadi babi? Jika begitulah keadaan, saya fikir, selepas ini tidak ada orang jahat atau menjadi kafir.

Semua pakat bertaubat dan memeluk Islam kerana nampak balasan Allah di depan mata. Sebagai orang Islam yang beriman dan percaya dengan kekuasaan Allah SWT, saya tidak tolak ‘cerita pelik’ sebegini. Tetapi  terus terang saya tidak selesa, apabila kalangan cerdik pandai yang menjaja cerita ini. Kita bimbang, ada orang mungkin percaya, ada manusia lain yang lebih hebat dari Nabi.

Nabi, sebagai utusan Allah, maksum, lagi hebat, tidak pula menggunakan mukjizatnya untuk melembut atau mengIslamkan musuh-musuh Islam. Malah orang kafir terus menjadi penentang tegar Islam? Kenapa mereka tidak mengembek atau mengembu seperti kambing dan lembu kerana menentang Nabi? Allah tidak berkuasakah?

Jika isu hina janggut inilah yang menyebabkan seseorang itu mengembek, sudah tentu bapak segala musuh Islam seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan segala Abu yang lain, termasuk pemimpin-pemimpin Amerika yang sangat kuat menghina Islam akan mengembek terlebih dahulu. Tetapi, tidak pula berlaku, malah mereka semakin jahat.

Secara peribadi, saya amat menghormati kewarakan dan sifat tawaduk Almarhum TGNA. Tetapi dalam kes mengembek ini, saya perlu simpan dahulu, kerana cerita sebegini terlalu peribadi, sekirapun benar. Tidak perlulah diceritakan di khalayak. Apa tujuannya? Begitu juga cerita berjumpa Rasulullah, jika pun benar,  simpan untuk diri sendiri.

Saya bimbang, cerita-cerita sebegini akan menimbulkan implikasi lain. Mengenali orang Melayu yang mudah menjadi fanatik dan suka mengambil jalan pintas, tidak mustahil, cerita sebegini, boleh membawa manusia bertuhankan manusia atau memuliakan manusia tertentu. Ada manusia tidak mulia, ada manusia yang mulia. Serahkan kepada Allah untuk menentukan segala.

Ingatlah, agama Islam agama Allah. Jika Allah mengkehendaki, Allah boleh gunakan kuasanya untuk menyelamat agamaNya dan umatNya tanpa disentuh atau dijentik oleh sesiapapun. Malah, Allah boleh terus beri balasan di depan mata dan sekelip mata, sebagai tindak balas. Kenapa dan mengapa kita terus diuji dan dicuba?

Pelarian Islam Rohingya dengan penderitaan yang teramat sangat. Mereka diseksa dan dibunuh sewenang-wenangnya. Kenapa pemimpin junta Nyanmar tidak mengembek atau mengambing? Malah semakin zalim.

Begitu juga pembunuhan sesama umat Islam di Syria dan Mesir. Saya belum dengar lagi Syiah yang membunuh tukar bertukar suara menjadi suara kambing. Jika sayalah dijemput untuk mencerita kehebatan seseorang yang untold story, saya akan tonjolkan segala kebaikan dengan hujah akademik, bukan simplistik, kerana ada implikasi lain.

Justeru, saya minta kepada para ilmuan dan agamawan, tidak perlu menjual air jampi, termasuk air zam-zam. Kita jaja cerita, jika air ini diminum, maka yang gelap hati menjadi terang, jahat bertukar baik.

Jika begitu mudahnya Islam, senang kerja kita. Tidak perlu bersusah payah berjuang dan berdakwah. Pakat-pakat pakai jampi sahaja. Hembus sana, hembus sini. Kita juga boleh kumpulkan, para huffaz seluruh negara, bawa mereka ke kolam tadahan air yang disalurkan ke setiap rumah. Jampi kolam air tersebut dengan 30 juz bacaan al-Quran.

Sudah pasti air tersebut akan diminum oleh orang kafir dan ultra kiasu. Keesokannya, mereka berduyun-duyun menyerbu pejabat agama untuk memeluk Islam dan seterusnya mengundi Pas, dan menolak Umno. Adakah semua ini boleh berlaku?

Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA


Monday, June 01, 2015

Waspada psywar ultra kiasu

8:25 AM Posted by RIDHUAN TEE 16 comments
(Sinar Harian 1.6.15)

Capture their minds and their hearts and souls will follow. Inilah strategi ultra kiasu untuk mendapat kuasa. Masih tidak sedar?

Psywar atau perang saraf adalah satu proses komunikasi, saling melakukan kegiatan propaganda antara satu watak politik dengan watak politik yang lain, antara kelompok dengan kelompok yang lain, antara satu negara dengan negara yang lain, bertujuan saling memberikan tekanan, bagi menjatuhkan nama orang, kelompok atau negara tersebut.

Manakala psyop atau perang gerak saraf  adalah suatu operasi komunikasi yang terancang dan sistematik melalui media, yang berupaya mempengaruhi emosi, mengubah sikap, pendapat atau perilaku kelompok tersebut, bagi meraih kemenangan atau mencapai sesuatu matlamat.

Ultra kiasu bukan sahaja menggunakan strategi ini berperang dengan Putrajaya (Umno), tetapi juga dengan Pas. Inilah juga taktik ini digunakan oleh Tsun Tzu dan Hitler. Dahulu ultra kiasu marah saya apabila memetik kata-kata Hitler. Hari ini mereka menggunakan strategi Hitler. Tidak kenal lagi?

Mereka akan gunakan apa jua cara, supaya kerajaan nampak buruk, mereka itu seperti malaikat. Nak tunjuk ikhlas konon. Bila ada isu yang merugikan mereka cepat-cepat beri alasan. Misalnya, cadangan penempatan pelarian Rohingya di Pulau Pinang. Mendengar sahaja cadangan tersebut, dengan pantas mereka menolak, di pulau tidak sesuai tetapi di Tanah Besar.

Isu-isu lain yang melibatkan kepentingan mereka akan disenyapkan seperti isu arak, judi, kelab hiburan, zina, pelacuran dan lain-lain. Kita lihat apa yang mereka lakukan terhadap Pas. Mereka menggunakan Islam yang diperjuangkan Pas untuk menentang dan menjatuhkan pemimpin Pas, Haji Hadi. Katanya, agama Islam pentingkan sifat ramah, bukan marah. Apakah kita tidak boleh marahkan langsung? Malah terus berlembut dengan kafir harbi? Mahukan dalil al-Quran?

Ultra kiasu sedang menabur racun untuk wujudkan suasana ragu-ragu supaya khalayak melihat merekalah malaikat. Setelah berjaya menanamkan ragu-ragu ini, maka akan dihebohkan supaya khalayak terpengaruh dan seterus diyakinkan.

Apakah benar hudud tidak sesuai dalam masyarakat berbilang kaum? Kenapa tidak melawat ke Brunei yang mempunyai hampir 30 peratus bukan Islam? Kenapa hanya fokus kepada Jordan dan Mesir? Tidakkah mereka tahu siapa pemimpin di sana?

Pas meletakkan agenda Islam melebihi PR. Tidak salah jika benar Pas ‘mungkir janji’. ‘Mungkir janji Pas’ dibenarkan jika memberi ancaman dan  memudarat kepada Islam. Apakah ultra kiasu tidak mungkir janji dengan merobek kontrak sosial dan perlembagaan? Mempertikaikan perkara sensitif, apabila kerakyatan telah diberikan?

Ultra kiasu mempertikaikan, kenapa Haji Hadi tidak marah kepada orang lain yang turut menentang hudud? Kenapa sasarkan ultra kiasu sahaja? Jawapannya, sebab ultra kiasu musuh tegar Islam. Setelah diberi penerangan, masih tegar menentang Islam.

Malah, ultra kiasu melalui psywar dan psyop, memberikan enam hujah supaya khalayak nampak keburukan Pas. Pertama, dalam PRU 13 Pas, bertanding di kawasan yang telah diperuntukkan kepada PKR. Tidakkah ultra kiasu sedar bahawa semua kerusi tersebut adalah kerusi yang ditandingi Pas sebelum ini? Kenapa PKR yang baharu setahun jagung begitu ghairah untuk bertanding?

Kedua, penolakan pimpinan Pas terhadap Wan Azizah untuk menjadi MB Selangor adalah hak Pas. Kenapa perlu dipertikaikan? Strategi Kajang tidak dibawa berbincang dengan Pas. Hanya dipersetujui di kalangan ultra kiasu.

Ketiga, siapakah ultra kiasu untuk memberi pandangan terhadap Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 1995 yang mesti terlebih dahulu dibentangkan kepada PR sebelum dibentangkan di Parlimen? Adakah ianya akan diterima sekalipun dibentangkan kepada pucuk pimpinan PR? Adakah dalam ultra kiasu ada ulamak? Ulamak ultra kiasu sudah jadi model.

Keempat, apakah kerajaan negeri Pulau Pinang mahu pun Selangor, membentangkan perancangan mereka kepada pucuk pimpinan Pas. Pernahkah pucuk pimpinan ultra kiasu mengambil kira sensitiviti Pas apabila mengadakan Pesta arak, October Fest? Minum dikhalayak dan menunjuk-nunjuk? Adakah kemaksiatan itu dirujuk kepada PR?

Kelima dan keenam, adakah cadangan pemilihan ahli majlis melalui pilihan raya tempatan dibawa berbincang dengan Pas? Begitu juga dengan pembentukan kabinet bayangan, adakah pendapat Pas diambil kira? Ultra kiasu tidak perlulah mengingatkan Pas bahawa mereka sedang dipermainkan Umno. Pas bukan bodoh. Pas sangat matang.

Pas Cuma mengambil pendekatan yang berhemah seperti yang dikehendaki Islam. Pas ada perkiraan syurga neraka dalam sebarang tindakan, berbanding ultra kiasu yang melanggar kesemuanya. Tidak ada kamus halal haram. Apa yang penting adalah matlamat menumbangkan Putrajaya, kuasa. Inilah kelicikan ultra kiasu.

Inilah psywar dan psyop ultra. Mereka tahu, kedudukan mereka dalam kabinet bayangan. Kabinet bayangan akan menimbulkan kemarahan rakyat. Biarkan kemarahan itu semakin meluap, mereka akan tampil memberi kenyataan bahawa itu bukan idea mereka tetapi PKR. Berwaspadalah.

Jika hudud Kelantan bertentangan dengan perlembagaan, biarlah mahkamah yang tentukan bukan ultra kiasu. Ultra kiasu bukan hakim.

Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA


Monday, May 25, 2015

Bersihkan Pas dari ultra kiasu

11:23 PM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments
Sinar Harian (25 Jun 2015)

Pas mendesak ketua ultra kiasu memohon maaf di atas kenyataan celuparnya, mengkritik hudud ketika berceramah di pentas Pas Kota Bharu. Peliknya, kenyataan tersebut dikeluarkan dalam majlis Pas sendiri. Apa motif Ketua Pas Kota Bharu menjemput ketua ultra kiasu itu sedangkan Pas sudah tahu pendiriannya terhadap hudud? Tidak mungkin Pas buta? Seluruh dunia tahu pemimpin ultra kiasu dan majoriti pengikutnya adalah penentang tegar hudud?

Lebih pelik lagi, kenyataan ketua ultra kiasu turut dipertahankan oleh pemimpin ultra kiasu dalam Pas sendiri atas alasan ketua ultra kiasu tersebut tidak faham Islam. Sekian lama berkawan, apakah ultra kiasu masih tidak faham lagi tentang hudud yang diperjuang Pas? Apa yang ultra kiasu Pas lakukan selama ini? Sibuk berpolitik hingga lupa berdakwah?

Ultra kiasu sangat faham. Tetapi sengaja buat tidak faham. Sudah menjadi dasar mereka menentang apa juga program berkaitan Islam. Pendek kata, mereka adalah musuh Islam dan tidak mahu ikhtiraf keistimewaan Islam dalam perlembagaan.

Ultra kiasu turut memberi alasan, lawatan mereka ke Jordan dan Mesir membuktikan negara yang seratus peratus Islam pun tidak melaksanakan hudud, kenapa Pas mahu melaksanakannya dalam negara berbilang kaum?. Kenapa tidak melawat Brunei yang dihuni lebih 20 peratus orang Cina? 

Lawatan mereka ke Timur Tengah, bukan semata untuk menghasut dan mempengaruhi pelajar-pelajar kita di sana, tetapi mencari hujah untuk memperlekehkan perjuangan Pas. Apakah ini sifat seorang rakan sepakatan?

Pemimpin ultra kiasu Pas yang menyokong ketua ultra kiasu itu ada agenda lain. Mereka  mahu dilantik menjadi menteri apabila ultra kiasu berjaya merampaskan Putrajaya suatu masa nanti.

Justeru, saya harap pimpinan tertinggi Pas dapat membersihkan ultra kiasu Pas yang semakin menjadi barah dalam Pas. Pas mesti buang ultra kiasu Pas ini. Pastikan mereka akan kalah dalam pemilihan Pas akan datang. Jika tidak, Pas tidak akan dihormati lagi.

Islam bukan lagi menjadi keutamaan kepada pemimpin ultra kiasu Pas. Selain agenda peribadi, matlamat mereka adalah untuk membalas dendam terhadap Umno. Sebab itu, dia sanggup lakukan apa sahaja untuk pastikan ultra kiasu akan kekal dalam PR dan menang dalam PRK dan PRU, meskipun terpaksa menggadaikan prinsip, termasuk berbaik dengan penentang tegar Islam.

Tuan Guru Haji Hadi, janganlah berharap akan dilantik menjadi menteri kanan, kalau ditakdirkan ultra kiasu berjaya merampas Putrajaya. Mungkin sekadar menteri hal ehwal Islam sahaja.

Ultra kiasu tidak pernah percaya kepada Pas. Mereka berbaik dengan Pas semata-mata untuk kuasa dan undi. Ditakdirkan, tidak ada PKR, saya yakin sudah lama Pas ditendang keluar dari PR.

Justeru, sebelum Pas tersingkir, lebih baik Pas singkirkan dahulu ultra kiasu Pas yang menjadi duri dalam daging. Selama ini, tanpa sokongan ultra kiasu, Pas masih boleh bertahan. Paling tidak di Kelantan. Apakah Pas sanggup berkawan dengan musuh yang jelas musuh?. Tetapi tidak langsung menghulur tali untuk bersama saudara sendiri, seperti Umno?

Saya harap pemimpin dapat merenung sejenak artikel saya ini. Amaran demi amaran telah dikeluarkan oleh ultra kiasu agar Pas keluar dari PR jika masih mahu perjuangkan hudud. Sebelum ultra kiasu berbuat demikian, saya sarankan ultra kiasu tanya dulu kepada PKR, apakah PKR rela melepaskan Pas dari PR.

Saya amat yakin mati hidup balik pun, PKR tidak akan sanggup melepaskan Pas, walaupun apa cara sekalipun. Ini kerana, PKR sedar, tanpa sokongan Pas, mereka akan putih mata untuk memerintah Selangor. Sebab itu, setiap kali, ultra kiasu mahu Pas disingkirkan, PKR terus merayu agar krisis dalaman ini diselesaikan secara baik.

Terbaharu, salah seorang Exco ultra kiasu Selangor menyarankan agar Pas tidak menganjurkan sebarang program di Selangor kerana negeri itu yang tidak melaksanakan hudud. “Selangor bukan rumah kamu! Bila kamu menghormati Selangor?

Ini tamparan yang amat hebat, bukan sahaja kepada Pas, tetapi juga kepada rakyat Selangor yang bukan ultra kiasu. Apakah ultra kiasu menganggap negeri Selangor negeri bapaknya?

Saya juga tinggal di Selangor, ingin memberitahu ultra kiasu, bahawa walak kami bukan kepada kerajaan Selangor, tetapi kepada Sultan Selangor. Kami tinggal di Selangor, sebab kami masih ada Sultan. 

Yang sepatutnya tidak datang ke Selangor, adalah ultra kiasu, kerana Sultan adalah ketua agama Islam dan sentiasa mendaulatkan Islam yang selalu dikotori ultra kiasu.

Kepada pemimpin ultra kiasu dalam Pas, ingatlah pesan Haron Din, Mursyidul Am Pas, musuh Islam sentiasa akan mencari ruang untuk menyebut perkara negatif tentang Islam. Kalau kita ingin lihat Islam dihormati maka kita yang memberikan penjelasan, tidak boleh membiarkan musuh Islam campur tangan dalam perkara besar.


Prof Dr. Mohd Ridhuan Tee Bin Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA

Monday, May 18, 2015

Kenapa tidak ambil pengajaran?

9:15 AM Posted by RIDHUAN TEE 3 comments
(Sinar Harian 18.5.15)

Allah berfirman, ambillah (kejadian itu) untuk menjadi pelajaran, hai orang-orang yang mempunyai wawasan.” (Al-Hasyr, 59: 2)

Peristiwa MAS terpaksa berpatah balik, ekoran seorang penumpang (German) mabuk sepatutnya menjadi pengajaran kepada kita semua, sebagai rakyat, dalam sebuah negara Islam, Malaysia. Kenapa tidak belajar dari peristiwa buruk yang berlaku?

Tidak dinafikan ada sedikit kebaikan arak, kerana ada proses penapaian. Tetapi keburukan arak mengatasi kebaikannya, sebab itu ia diharamkan. Mereka bertanya kepadamu mengenai arak dan judi. Katakanlah (Muhammad) pada keduanya ada dosa yang cukup besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya... (Al-Baqarah 2;219). Lihat juga an-Nisaa': 43,  Al-Maidah: 90.

Nabi turut memberi amaran, arak adalah ibu daripada segala kejahatan, sama ada diambil secara berdikit atau pun banyak.

Nabi mengingatkan lagi, Allah akan melaknat sepuluh kumpulan manusia termasuk yang menjual atau memudahkan transaksi membekalkan arak,  penghasil, penjual, penghantar, penolong membeli, pelayannya, pengguna wang hasil jualan arak, orang yang membelinya dan juga orang yang membeli arak daripada seseorang

Begitu juga dalam bible, minuman keras membuat orang mabuk dan merepek. Bodohlah orang yang menjadi mabuk (Proverb 20:1). Lihat juga  Proverb 31:6-7, Ephesians 5:18.

Pendek kata, arak punca segala kejahatan. Arak telah menyebabkan masalah sosial dan hubungan kejiranan, kadar jenayah dan perceraian meningkat.

Justeru, apakah justifikasi ultra kiasu, mahukan arak dihalalkan, kalau bukan ada perancangan lain. Teringat kata-kata Jomo Kenyatta, perdana menteri dan presiden pertama Kenya menjadikan saya tersentak.

When the Missionaries arrived, the Africans had the Land and the Missionaries had the Bible. They taught us how to pray with our eyes closed. When we opened them, they had the land and we had the Bible

Bila berjumpa doktor, selain dari merokok, soalan lain yang ditanya adalah “minum” atau tidak? Jika arak itu baik, beri wanita mengandung meminumnya. Begitu juga mereka yang memandu, termasuk pilot.

Sama juga dengan sokongan mereka ke atas COMANGO. Saya yakin mereka tahu bahawa pemangsanya adalah orang Islam. Maka, mereka mahukan mangsakan kita semua agar kita tidak lagi sensitif terhadap agama, maka mudahlah bagi mereka untuk menghancurkan kita semua.  

Manusia dibawah pengaruh arak, tidak lagi sedar diri, seperti dadah. Otaknya tidak lagi rasional. Tidak hairan mereka bertindak ganas dan mengeluarkan kata-kata yang kotor.

Kes pelacuran, rogol, sumbang mahram, dan AIDS, salah satu puncanya adalah dari arak. Mengikut kaji di U.S. Department of Justice,  setiap hari kes rogol berlaku disebabkan perogol dalam keadaan mabuk.

Lapan peratus rakyat Amerika melakukan sumbang mahram, 1 daripada 12 rakyat mereka terlibat. Begitu juga dengan penularan penyakit AIDS. Pesakit utamanya adalah peminum arak.

Selain itu, pelbagai kajian telah dibuat mengenai mudarat arak.  Antaranya, penyakit limpa dan hati, kanser kerongkong, kepala, leher, hati, usus dan sebagainya.

Begitu juga dengan tekanan darah tinggi, kerosakan hati, strok, sawan dan pelbagai jenis penyakit. Pendek kata, namakan sahaja apa penyakit, arak adalah antara penyumbang besar.

Kajian juga membuktikan, arak bermula dengan parti sosial (social drinker). Tidak ada peminum arak berniat menjadi peminum arak sejati. Tidak ada hujah untuk mengatakan kita tidak akan mabuk walaupun biasa minum arak.

Peliknya kenapa bila kerajaan negeri Melaka mahu mengharamkan arak di premis kedai 24 jam ditentang hebat oleh ultra kiasu. Akibatnya umat Islam terpaksa mengalah atas alasan hak asasi manusia. Nasib baiklah Terengganu dan Kelantan sudah lama melaksanakan.

Saya cadangkan tutup sahaja kilang arak yang tidak mendatangkan manfaat kepada manusia. Apatah lagi menghidangkannya dalam pesawat atau di mana sahaja, seperti yang dilakukan oleh Brunei. Ini kerana, semua agama menentang arak.

Tidak bolehkah semua kerajaan negeri lain turut mengikut langkah kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan, terutama di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang. Jika Kristian di Sabah dan Sarawak yang turut menggunakan kalimah Allah, apakah mereka tidak takut dilaknat Allah membenarkan arak atas hal asasi manusia?  

Kadangkala saya amat pelik, kita mengaku mahukan hak-hak agama, tetapi tindak-tanduk kita tidak menunjukkan sedemikian. Sebenarnya, kita mahukan agama atau tidak?

Kalau nak sangat minum arak, pastikan masuk syurga di akhirat nanti, kerana arak di sana ibarat air sungai yang mengalir. Minumlah sepuas-puasnya. Tetapi di dunia, tidak boleh, sebab membawa kerosakan. Ambillah pengajaran.

Profesor Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah,

INSPIRE/PPI, UNISZA

Monday, May 11, 2015

Ada apa dengan Bahasa Melayu?

7:19 AM Posted by RIDHUAN TEE 13 comments
Sinar Harian, 12.5.15

Ramai ultra kiasu yang tidak berpuas hati apabila saya mencadangkan agar calon wakil rakyat perlu mempunyai kelayakan minima kredit BM dalam SPM, sebelum dibenarkan bertanding dalam pilihan raya.

Ultra kiasu kata itu tidak penting. Fasih BM tidak semestinya boleh jadi wakil rakyat baik dan berintegriti. Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (JPKP) yang mereka cadangkan itu lebih utama dari yang lain-lain. Cadangan saya itu dikatanya bodoh (stupid). Ada aku kisah!

Siapa yang lebih bodoh sebenarnya? Adakah bodoh mendaulatkan bahasa negara? Cadangan penambaikan JPKP SPR lebih bersifat politik, tidak banyak memberi kesan kepada pembangunan negara berbanding soal asas bernegara, seperti soal bahasa.

Tidak dinafikan bahawa wakil rakyat mesti menjadi YB yang sebenar, iaitu Yang Berkhidmat atau Yang Berkorban. Meletakkan kepentingan rakyat lebih utama dari diri sendiri. Inilah YB yang sebenar. Namun, bahasa adalah asas kenegaraan. Tanpa menafikan kepentingan belajar bahasa lain.

Setiap negara di dunia ini ada bahasa kebangsaan mereka sendiri dan wajib dikuasai. Kenapa BM begitu sukar kuasai atas alasan berbilang bangsa? Apakah bahasa negara perlu menjadi rojak hanya kerana berbilang bangsa. Banyak juga negara berbilang bangsa, tetapi bahasa negara mereka tetap didaulatkan. Kenapa kita terlalu bebas, sehingga agenda negara tidak dipedulikan?

Apakah kita sudah lupa, apabila banci dilakukan pada 2010, sebahagian yang tinggal di bandar tidak boleh bercakap, memahami dan membaca BM?

Saya amat yakin, mereka takut adalah kalangan mereka yang tidak layak bertanding nanti? Percakapan mereka lebih buruk daripada orang Bangladesh yang baharu bekerja di sini.

Ada yang berkata, jika idea ini dilaksanakan, ramai wakil rakyat yang tidak layak kerana pada masa dahulu mereka tidak mengambil SPM. Mereka hanya ada sijil MCE dan HSC, yang tidak mengandungi kertas BM. Ada juga yang langsung tidak ada sijil.

Cetek sungguh pemikiran. Cadangan saya itu untuk masa akan datang, bukan masa kini. Generasi tua hari ini akan bersara tidak lama lagi. Bukankah kita perlu bergerak ke hadapan? 

Kenapa BM faktor yang sangat penting dalam pembangunan negara bangsa? Pertama, kerana ia bahasa negara. Sangat pelik apabila wakil rakyat tidak dapat bertutur dengan baik dalam BM, walaupun telah bergenerasi tinggal di Malaysia. Apa masalah kita sebenarnya? Kenapa memandang remeh dalam BM?

Negara barat tidak menetapkan bahasa sebagai syarat kerana, bahasa negara mereka dikuasai dengan baik oleh semua rakyat mereka. Sebab itu, semangat patriotisme mereka sangat tinggi. Sanggup mati untuk negara. Kita belum tentu lagi. Ditakdirkan kita diuji, mungkin ada yang lari lintang-pukang dan tidak mustahil ada yang belot.

Apa yang menyatukan Amerika Syarikat hari ini jika bukan bahasa? Mereka mempunyai 322 jenis bahasa. Jika dibiarkan setiap etnik menjuarai bahasa masing-masing, apakah Amerika seperti adanya hari ini? Bagi mencapai matlamat nasional, maka dipaksakan bahasa Inggeris sebagai bahasa negara satu-satunya.

Bukan itu sahaja, bukti menunjukkan, ekonomi kalangan pendatang (imigran) juga meningkat melalui penguasaan bahasa negara. Kenapa dalam banyak hal kita mahu belajar dari Amerika? Kenapa tidak dalam soal memperkasakan bahasa?

Kedua, dalam sesebuah negara, selain sempadan, nama, bendera, atau mata wang, apa yang menjadikan sesebuah negara yang dihormati dan unik, adalah bahasa kebangsaannya.

Bahasa kebangsaan adalah petunjuk jelas yang mewakili identiti sesebuah negara. Bahasa adalah sebahagian daripada warisan dan sejarah negara. Apakah Malaysia tidak ada sejarahnya? Apakah asal-usul Malaysia berbilang bangsa sejak azalinya?

Untuk memahami dan menembusi hati sesebuah masyarakat, seseorang sepatutnya mampu untuk bercakap dan memahami bahasa masyarakat tersebut. Kefasihan dalam bahasa kebangsaan pasti akan membolehkan orang untuk memahami sepenuhnya sesebuah bangsa itu. Jika kita mengakui kita adalah bangsa Malaysia, apakah elemen utama jika bukan bahasanya.

Bahasa kebangsaan adalah nadi perpaduan nasional, yang membezakan kita dengan negara lain. Sejarah membuktikan bahawa setiap pemimpin yang hebat, akan mencari jalan terbaik untuk mengukuhkan bahasa kebangsaannya.

Misalnya, pemimpin revolusi China, Mao Zedong, memberi penghormatan yang sangat tinggi terhadap bahasa sendiri. Walau pun mengetahui bahasa-bahasa lain, dia tidak pernah menggunakannya. Mao lebih suka menggunakan bahasa Cina sebagai medium komunikasi beliau.

Begitu juga negara lain seperti Jerman, Iran, Perancis dan sebagainya, komitmen kecintaan kepada bahasa dan kesusasteraan mereka sangat tinggi dan berjaya melonjakkan pembangunan negara. Malah, negara ini jauh lebih maju dan lebih kuat melalui semangat kebangsaannya.
Tidakkah kita nampak segak berucap dalam BM ketika Perhimpunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu? Lagi pula mereka ada penterjemahnya.

Akhirnya, apakah tentangan terhadap syor saya disebabkan oleh terlalu ramai yang pelat atau tidak berbahasa Melayu? Jika begitulah keadaannya, sudah sampai masanya undang-undang dikuatkuasakan untuk mendaulatkan bahasa negara.

Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA


Monday, May 04, 2015

Hati Ali, Pedang Muawiyah

8:07 AM Posted by RIDHUAN TEE 34 comments
(Sinar Harian 4 Mei 2015)

Minggu lalu saya dijemput oleh Gabungan NGO Prihatin dalam bercakap dalam program Bicara Negarawan bersama Tun Mahathir (Tun M). Jemputan dibuat kerana pihak penganjur mahu orang akademik bercakap kerana mereka sudah muak dengan orang politik. Atas dasar sangka baik, saya menerima jemputan tersebut. Saya diberi peluang untuk bercakap selama 15 minit sebelum Tun M bercakap.

Saya tidak berpihak mana-mana. Intipati ucapan saya adalah krisis yang berlaku antara Tun M dan PM tidak menguntungkan umat Islam. Sudah tentu ultra kiasu yang untung besar dan mengambil kesempatan. Bincanglah apa yang benar, apa yang salah, bukannya siapa benar, siapa salah. Tidak semestinya saya terikat dengan pandangan Tun, terutama dalam isu hudud. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, meskipun saya diberitahu supaya bercakap senada dengan Tun.  

Tiba-tiba portal ultra kiasu melaporkan saya terlibat menganjurkan program tersebut dan setuju dengan Tun M agar PM meletak jawatan. Bila pula saya berkata demikian. Ini adalah pembohongan. Hati-hati.

Negara ini mesti diselamatkan daripada jatuh ke tangan ultra kiasu dalam krisis Tun-PM. Umat Islam mesti bersatu atas nama kebenaran, tidak kira Umno atau Pas. Kita sudah tidak ada banyak masa. Perbalahan yang tidak menguntungkan mesti dihentikan sebelum terlambat.

Ketika pertikaian antara 2 sahabat mulia Nabi, Saidina Ali dan Muawiyah dalam Perang Sifin, umat Islam berpecah dan hati berbelah bahagi. Hati bersama Ali, pedang bersama Muawiyah. Mana satu nak dipilih? Inilah dilema yang dihadapi oleh umat Islam masa kini.

Ali dan Muawiyah, kedua-duanya dijamin syurga. Tidak berani saya untuk jatuhkan hukuman siapa benar, siapa salah. Iktibarnya dari peristiwa ini adalah, kepentingan umat Islam mesti diutamakan daripada individu. Masa hadapan lebih penting dari masa kini.

Pemimpin datang dan pergi. Tetapi kerajaan, negara dan rakyatnya tetap kekal, sehingga kiamat. Apa pun juga tindakan kita, pastikan tidak merugikan generasi akan datang. Cadangan saya adalah, PM dan seluruh pemimpin tertinggi Umno, serta mereka yang ikhlas, duduklah semeja dan berbincang, apakah jalan terbaik untuk  menyelamatkan negara ini.

Berkorbanlah untuk agama, bangsa dan negara. Jika benar kita salah, mengakulah. Jika tidak, teruskanlah. Jangan terus menerus menegakkan benang yang basah. Rakyat sudah muak dengan permainan ini.

Saya tidak boleh bayangkan jika kepemimpinan negara ini jatuh ke tangan ultra kiasu. Paling kurang pun mereka akan minta jawatan Timbalan PM. Mereka akan desak sekolah perkauman, rumah ibadat ditambah. Sijil UEC diiktiraf. Tanah-tanah yang diduduki secara haram, diberikan pajakan 999 tahun. Begitu juga dengan ladang khinzir, kilang arak, judi, kelab malam (persundalan/aktiviti seks) akan bertambah.

Bukanlah kita hendak menidakkan hak golongan minoriti. Tetapi apa yang ada pada hari ini sudah lebih dari mencukupi. Tidak ada negara dalam dunia ini yang begitu bertolak ansur selain dari Malaysia dalam soal menjaga hak majoriti-minoriti. Meskipun kita mendaulatkan Islam.  

Saya tidak kata, apa yang Umno BN lakukan sehingga kini semuanya betul. Masih banyak yang perlu diperbaiki, terutama dalam aspek integriti. Cuma saya tidak dapat menerima, apabila kita terus berpecah berhadapan ultra kiasu, yang terus bersatu.

Sekiranya rally bersama Tun diteruskan, umat Islam akan terus bersepai. Sebelum ini, Tun selalu mengingatkan kita, umat Islam akan menjadi semakin lemah jika terus berpecah. Hari ini bukan sahaja sudah berpecah, tetapi retak menanti belah.

Memahami budaya politik Melayu, pengikut masing-masing mudah menjadi fanatik. Lebih malang lagi apabila tidak dapat membezakan mana benar, mana salah. Menyorak dan mengutuk sehingga tidak sedar diri.

Saya tidak nafikan selama 22 tahun Tun menjadi PM, banyak perubahan dan pembangunan yang kita nikmati. Saya setuju dengan kenyataan Tun, kita nampak wang yang ‘hilang’ itu. Namun, lagak Tun menyerang lagak PM sama seperti ultra kiasu, agak menakutkan saya.

Pada satu ketika Tun pernah berkata, tidak akan menyebelahi atau bersama pembangkang meskipun menentang pemimpin Umno BN.  Hari ini ceramah Tun rata-rata dipenuhi pembangkang dan bekas pemimpin Umno yang menyertai pembangkang. Sehingga ada bekas menteri yang menunggu seawal 7.00 pagi, sebelum Tun sampai pada jam 10.00 pagi. Bekas menteri tersebut turut menyarankan agar tidak menjemput saya lagi dalam rally akan datang. Pinggan tak retak nasi tak dingin.

Akhirnya, krisis ini langsung tidak menguntung umat Islam. Berubahlah sebelum rebah seperti yang PM kata. Jika ada yang dikatakan Tun itu betul, maka perbetulkanlah dengan segera, sebelum parah. Jika ada yang dibangkitkan itu serkap jarang, maka perjelaskanlah.

Dilema antara hati bersama Ali dan senjata bersama Muawiyah mesti diselesaikan. Jangan sampai terperangkap dalam kelicikan ultra kiasu. Jika tidak, pasti kita akan menyesal kemudian hari. 


Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UNISZA