Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, March 28, 2011

Komitmen kepada model politik baharu

6:48 PM Posted by RIDHUAN TEE 57 comments
Telah dua kali Perdana Menteri bercakap mengenai model politik baharu. Sebelum ini kepada UMNO, kali ini pula kepada Barisan Nasional. Alangkah indahnya, jika semua pihak dapat memahaminya sama ada secara tersurat mahupun tersirat.

Apabila Perdana Menteri bercakap soal model politik baharu, maka semua orangpun bercakap tentangnya tanpa berkecuali. Apabila Perdana Menteri menegaskan perlunya Barisan Nasional dan pemimpinnya perlu berubah mengikut peredaran masa dan zaman, maka semua menyokong mengatakan ya. Persoalannya, apakah langkah seterusnya? Bagaimana memastikan agar idea ini mengalir dan difahami hingga ke akar umbi? Apakah mereka yang bercakap itu faham dan berjanji akan mengotakan hasrat murni Perdana Menteri?

Pada saya, ingatan ini tepat pada masanya, terutama kepada UMNO yang menjadi teraju utama Barisan Nasional. Apapun model politik baharu yang diperbahaskan, asasnya mesti tidak dapat lari unsur-unsur tradisi yang sedia termaktub dalam perlembagaan yang selama ini menunjangi dan menjadi paksi pemerintahan negara. Misalnya, kedudukan agama Islam, bahasa Melayu, hak istimewa Melayu dan bumiputera serta kedudukan raja-raja Melayu. Kesemua unsur ini amat sensitif sekiranya diungkit dan dicabar. Ianya mesti dipertahankan. Diharapkan semua kaum dapat memahami perkara asas ini.

Model politik baharu yang dicadang oleh Perdana Menteri perlu memfokuskan manusia yang menjadi modal insan yang bersifat dinamik itu. Ini kerana, yang menjadikan sesebuah parti atau organisasi itu statik adalah manusia yang memimpinnya. Rosaknya Umno dan parti komponen yang lain hari ini disebabkan ada segelintir pemimpinnya yang rakus, tamak haloba dan mementing diri sendiri. Agenda agama, bangsa dan negara diketepikan. Sedih juga hari ini melihat pemimpin-pemimpin mengumpul harta, sedangkan rakyat masih lagi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Justeru, Perdana Menteri mesti memastikan pemimpin-pemimpin Barisan Nasional yang telah dan bakal dilantik adalah terdiri daripada mereka yang ikhlas, bertanggungjawab, bersih dan berintegriti selaras dengan kata-kata rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Bukannya, diri sendiri didahulukan, kroni diutamakan dan poket dipenuhkan. Kita tidak mahu dengar pemimpin dan parti Umno dilabelkan sebagai parti rasuah, zalim, kroni dan sebagainya, seperti sebelum ini. Ini modal pembangkang yang tidak pernah habis. Perjuangan Umno memperkasakan bangsa tidak salah, yang salah adalah segelintir manusia yang memimpin Umno.

Inilah perkara asas yang mesti diperbetulkan. Realiti politik Malaysia adalah, kebanyakan parti politik yang wujud adalah berasaskan kepada perjuangan bangsa (kebangsaan). Adakah wajar Umno begitu terbuka, sedangkan parti-parti lain hanya fokus kepada bangsa mereka sahaja? Saya bimbang agenda Melayu akan ketinggalan, apabila Umno menjadi begitu terbuka.

Lihat sahaja organisasi yang dipunyai oleh bukan Melayu seperti universiti-universiti berasaskan parti politik yang wujud, berapa ramaikah muka-muka Melayu yang diambil bekerja bermula daripada jawatan Canselor, Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, hinggalah jawatan dekan dan pengarah? Sedangkan kita tahu, universiti-universiti (IPTA) semakin terbuka dan ramai bukan Melayu telah dilantik ke jawatan tinggi?

Hari ini, kita lihat Umno, selaku peneraju kerajaan, diasak kiri dan kanan, supaya lebih terbuka, sampai ke tahap dituntut supaya menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu dan dibuka kepada sama rata dan sama rata dalam apa jua sektor, terutama sektor kerajaan. Polisi sekarang dikatakan telah menyebabkan mereka yang berbakat dan berkebolehan telah dilamar oleh negara lain seperti Singapura (kes Tan Zhongsan, pelajar kelas satu yang memenangi hadiah Cambridge) dan ada yang tidak mahu kembali ke Malaysia, setelah senang-lenang dengan pendapatan yang lumayan di luar negara.

Kita tidak perlu terlalu mengfokuskan kes-kes terpencil sebegini. Kita tidak perlu terlalu merasai kehilangan. Ramai lagi rakyat negara kita yang setia, berbakat dan berkebolehan untuk diketengahkan. Lagipun, kehebatan seseorang tidak hanya dinilai pada kecerdasan minda semata-mata, kecerdasan emosi sebenarnya tunggak kepada kekuatan kecerdasan minda.

Pada hemat saya, selagi nasib umat Islam tidak terbela, selagi itulah politik Malaysia tidak akan reda. Hebatnya Amerika hari ini disebabkan nasib kulit putih telah terbela. Selepas itu, mereka beralih arah kepada kulit hitam. Kini, kulit putih dan kulit hitam sudah boleh bekerjasama, walaupun masih wujud sedikit diskriminasi.

Fokus hari ini adalah pada Umno. Bagaimana tranformasi itu boleh berlaku supaya nasib Melayu di bumi Melayu dapat diselesaikan dengan cepat, dengan adanya pemimpin-pemimpin yang mempunyai kesedaran dan keinsafan yang tinggi. Begitu juga dengan bangsa lain yang perlukan kepada pembelaan.

Ambil contoh negara jiran kita Singapura. Negara kecil ini tetap maju kerana pemimpinnya mahukan perubahan, walaupun prinsip perjuangan asal mereka tetap tidak berubah. Integriti dan komitmen mereka begitu tinggi. Wasiat mendiang Kwa Geok Choo, isteri kepada Lee Kuan Yew, sebelum meninggal dunia perlu dijadikan ingatan.

Mendiang mengingatkan Kuan Yew supaya jangan mempercayai Umno sebab politik pemimpin Melayu Umno berasaskan bangsa dan agama. Politik Melayu katanya selalu menggunakan isu perjanjian air untuk menekan dan memberikan ancaman kepada Singapura.

Inilah yang prinsip perjuangan dan budaya politik ultra kiasu Singapura yang tidak pernah berubah, walaupun zaman sudah berubah. Modal insan ultra kiasu terus ditanamkan dan didogmatikkan kepada setiap warga mereka supaya jangan sesekali tunduk kepada kita, selagi kita tidak tunduk kepada kehendak mereka. Ternyata, mereka telah berjaya. Terlepas Pulau Batu Putih milik kita, adalah kejayaan paling besar kepada mereka.

Hari ini terbukti, Singapura begitu berjaya dalam menanamkan modal insan ultra kiasu ini. Bekas negara kepunyaan Tanah Melayu ini, sentiasa mahu menang. Justeru, segala kekuatan digembeling dan dijana, manakala kelemahan awal-awal dicegah sebelum menjadi barah, kerana kelemahan boleh menggugat kedudukan mereka yang berjiran dengan kita. Maka tidak hairanlah indeks rasuah dan korupsi berada pada tahap yang begitu rendah berbanding negara kita dan negara dunia ketiga yang lain. Ahli politik mereka, tidak perlu merasuah untuk mendapatkan kuasa, sebab hukumannya berat dan rakyat mereka diajar supaya menjaga maruah negara. Profesion ahli politik tidak menjadi rebutan seperti kita hari ini, sebab menyertai politik bukan jaminan untuk kaya.

Berbeza kita di sini, menyertai politik adalah tiket untuk jadi kaya raya. Dengan menyertai politik, segala tender dan projek kita bolot sehingga ahli politik hilang fokus terhadap perjuangan anak bangsa dan membina negara. Lihat sahaja, ketua-ketua kampung, ketua cawangan dan ketua bahagian, jangan dibandingkan dengan ketua pusat, boleh dikatakan rumah mereka seperti mahligai. Jarang kita lihat pemimpin-pemimpin ini hidupnya serba sederhana.

Bukan maksud saya, kita tidak boleh jadi kaya. Boleh, umat Islam mesti menjadi kaya raya untuk memimpin dunia, tetapi biarlah kita sebagai pemimpin nampak tidak kaya, walaupun sebenarnya kita kaya.

Justeru, model politik baharu BN yang dikemukakan Perdana Menteri amat tepat. Yang perlu dilakukan perubahan oleh Perdana Menteri adalah merubah cara orang Umno berfikir dan berjuang. Perjuangannya mereka mesti melihat legasi pemimpin terdahulu yang meletakkan kepentingan agama, bangsa dan negara di hadapan berbanding kepentingan lain.

Mereka sanggup berbasikal ke sana ke mari untuk merubah anak bangsa, bukannya berlagak dengan kereta mewah tanpa memperdulikan rakyat marhaen. Pilihlah barisan pemimpin-pemimpin yang bersih latar belakangnya, tanpa ada isu kontroversi yang menakutkan. Kadangkala kita pelik, kenapa pemimpin yang bukan sahaja latarbelakangnya buruk, malahan sudah terbukti bersalah, tetapi masih dikekalkan tunggul kayu ini. Tidakkah ia akan menjadi beban kepada Umno?

Umno tidak bersalah, yang bersalah adalah segelintir pemimpin daripada peringkat rendah hinggalah peringkat atas. Cubalah sesekali bawa berbincang dengan pimpinan di peringkat bawahan seperti ketua kampung atau ketua cawangan Umno, dalam kepala mereka tidak ada lain projek dan habuan. Agenda untuk memperjuangkan dan membela nasib anak bangsa boleh dikatakan langsung tidak difikirkan.

Umno tidak hanya boleh dilihat terlalu mengejar dunia atau kebendaan. Umno mesti juga bergerak kepada keIslaman atau keakhiratan. Prinsip wasatiyyah atau berimbang yang war-warkan oleh Perdana Menteri mesti difahami. Ulamak-ulamak Umno harus berani memberikan tafsiran baru yang dinamik dan tidak hanya menjadi pak turut, terikat dengan pandangan lama. Sebagai contoh, masih ada ulamak yang berpandangan, yang datang daripada Melayu itu semua Islamik. Jika datang dari bukan Melayu tidak Islamik.

Misalnya, baru-baru ini, salah seorang pemimpin Persatuan Cina Muslim Malaysia, mencadangkan kepada sebuah pertubuhan Islam yang berpengaruh, supaya mencetak buku berkaitan dialog antara peradaban iaitu mengenai Konfucius, sebagai alat dakwah kepada orang Cina. Sedihnya, orang agama yang bergelar ustaz dalam pertubuhan itu berkata, tindakan tersebut tidak Islamik. Konfucius adalah orang Cina. Ajarannya tidak sesuai diwacanakan. Sedangkan kita tahu bahawa ajaran Konfucius tidak bertentangan dengan Islam, dan masih boleh dibahaskan dan didialogkan. Dialog peradaban sebegini amat penting dalam konteks berbilang kaum di negara kita.

Lebih menyedihkan lagi ada juga yang berpandangan masjid bersenibinakan Cina itu tidak Islamik. Yang Islamik adalah masjid senibina berkubah. Sedangkan seluruh dunia tahu bahawa senibina kubah bukan senibina yang datang daripada Islam, tetapi senibina Moorish-Indian. Senibina Islam adalah senibina semua bangsa. Islam menerima semua jenis senibina selagi mana ia tidak bertentangan dengan prinsip asas Islam. Logiknya mudah, oleh kerana semua bangsa yang ada di muka bumi ini adalah ciptaan Allah, sudah tentu akan terdapat perbezaan dan kelainan. Islam menerima semua kepelbagaian ini selagi tidak bertentangan dengan prinsip Islam dan tidak mensyirikkan Allah.

Inilah model politik baru yang perlu diperjuangkan oleh Perdana Menteri. Memastikan nilai-nilai kesejagatan Islam itu dimiliki, difahami dan diterima semua manusia, tidak hanya terhad kepada segelintir puak dan suku.

Selain itu, Perdana Menteri juga hendaklah memastikan politik bodek-membodek, kipas-mengipas dan budaya ‘yes man’ tidak lagi berlaku. Kita perlu menilai seseorang berasaskan merit dan kehebatan amalannya, bukan yang lain. Kelebihan ini mesti dimanfaatkan tanpa mengira latar belakang kerana ia adalah anugerah Allah. Saya bimbang jika kita ketepikan asas ini, mereka yang berkebolehan akan memencilkan diri dan mungkin berhijrah ke tempat lain. Siapakah yang rugi? Yang tinggal adalah sisa-sisa yang tidak tahu erti perjuangan yang sebenar. Cukuplah kita telah mewarisi semua keburukan ini. Sudah sampai masanya kita berubah sebelum rebah. Syabas kita ucapkan kepada Perdana Menteri atas keberanian ini!

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Monday, March 21, 2011

Bahana bincang perkara remeh

3:51 PM Posted by RIDHUAN TEE 49 comments
Pepatah bahasa Inggeris ada berkata minda besar bincang idea (proaktif), minda sederhana bincang peristiwa (telah berlaku), minda kecil bincang hal orang (mengumpat). Inilah yang berlaku apabila isu akad nikah di masjid sebagai lokasi dikatakan menyimpang dari amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis.

Pada saya, isu ini adalah isu terpencil dan amat kecil. Tidak timbul isu nikah di masjid ini meniru budaya Kristian, kerana cara bernikah itu berbeza. Agama Islam mempunyai identiti dan cara tersendiri dalam ijab kabul. Persoalan tempat atau lokasi tidaklah terlalu penting berbanding dengan nikah itu sendiri.

Daripada mereka bernikah di tempat lain seperti rumah pengantin atau mungkin juga di hotel-hotel sehingga berlaku pembaziran dan tidak menampakkan ciri-ciri keIslaman, lebih baik mereka bernikah di masjid.

Sekali lagi, pada saya tidak kiralah nikah di rumah pengantin, di dewan, di masjid atau di mana sahaja, yang penting bukan tempatnya, tetapi nikahnya. Paling baik dipermudahkan.

Sekurang-kurang menikah di masjid menjadikan kita lebih beradab sopan dan menjaga tata susila. Paling tidak, mendekatkan mereka yang tidak pernah atau jarang-jarang ke masjid menghampiri atau mendekati masjid.

Jika kita menjaga adab-adab dan tatasusila berada di masjid, saya tidak nampak di mana salahnya. Dalam hal ini, sudah tentu kes-kes terpencil, seperti pernikahan beberapa orang artis yang menyebabkan kemuliaan masjid tercemar, gara-gara pernikahan mereka ditaja bagi tujuan mengaut untung, glamour dan publisiti, perlu diberikan perhatian.

Lagipun masjid adalah kawasan lapang yang amat sesuai kepada para hadirin yang hadir sama ada dari segi tempat pakir mahupun kemudahan yang lain dan keselesaan.

Baru-baru ini, anak lelaki sulung saya melangsungkan pernikahannya dalam usia muda (hampir 20 tahun), sebelum pulang semula ke Mesir untuk menyambung pelajaran bidang perubatan yang tergendala akibat revolusi. Maaf kepada rakan-rakan yang tidak terjemput, maklumlah baru selesaikan yang wajib dahulu, kenduri belum lagi.

Pernikahan tersebut berlangsung di masjid Universiti Islam Antarabangsa. Kesannya begitu besar. Sekurang-kurang saya dapat memperkenalkan kepada adik-beradik dan saudara mara saya yang belum Islam tentang apa itu masjid dan peranan masjid. Selama ini dalam pemikiran mereka, di dalam masjid ada berhala.

Dengan pengenalan nikah ini, setidak-tidaknya dapat menyampaikan dakwah secara tidak langsung. Menjinakkan bukan Islam dengan masjid. Saya yakin mualaf lain yang bernikah di masjid berkongsi pengalaman yang sama,

Bayangkan seperti yang dicadangkan, jika upacara nikah diadakan di rumah pangsa satu atau dua bilik atau rumah teres atau rumah banglo. Betapa sukar dan susahnya juru nikah untuk menikahkan pasangan tersebut dalam keadaan rumah yang sempit dan tetamu yang ramai.

Saya tidak kata majlis akad nikah tidak boleh diadakan di rumah kediaman. Tetapi majlis keramaian sedemikian kurang sesuai diadakan di rumah. Justeru, saya tidak nampak, jika nikah di masjid dikatakan meniru cara dan budaya Kristian.

Sama ada mengikut sunnah atau tidak, saya tidak fikir nikah di masjid akan menimbulkan dosa atau menjadikan seseorang masuk neraka. Malah menjadi lebih pahala jika ramai yang mendirikan solat sunat tahiyyat masjid, mengingatkan kita kepada masjid dan terpaut hati dengan masjid.

Dalam kes saya, betapa besarnya pahala yang mungkin diperolehi, jika dengan membawa saudara mara bukan Islam mendekati masjid melalui majlis pernikahan, suatu hari nanti mungkin akan terbuka hati mereka untuk menerima Islam.

Lagi pula, nikah di masjid dapat dilakukan secara serentak beberapa pasangan. Bayangkan jika nikah dibuat dari rumah ke rumah, berapa ramai juru nikah yang perlu dilantik untuk memenuhi keperluan tersebut. Apapun, persoalan nikah di mana, bukanlah persoalan pokok dan sepatutnya tidak timbul perbincangan isu di sini.

Jika dilihat kepada fungsi masjid di zaman Nabi, masjid bukan sahaja pusat mengerjakan ibadat solat semata-mata tetapi pusat segala-galanya. Pendek kata, masjid juga berfungsi sebagai pusat pentadbiran dan pengurusan.

Zaman Nabi tidak ada computer di dalam masjid. Justeru, adakah dengan meletakkan computer dan melayari internet di dalam masjid hukumnya bidaah dan masuk neraka? Maka tidak hairanlah banyak negara Islam masih lagi mundur kerana pemikiran mereka masih tidak berubah dan suka kepada perkara remeh temeh.

Ini yang dikatakan minda kecil bincang perkara-perkara kecil yang tidak membangunkan minda. Pada saya jika masjid tidak mahu dijadikan pusat nikah, tidak mengapa, buatlah di mana sahaja yang mungkin boleh membawa kita ke syurga. Tetapi jangan keluarkan kenyataan yang tidak meningkat minda dan tidak mewujudkan percambahan ilmu.

Malangnya sungguh umat Islam hari ini kerana terlalu banyak membincangkan perkara yang kecil daripada permasalahan ummah yang lebih besar dan tidak pernah-pernah selesaikan.

Apakah selepas ini kita akan mengatakan membaca khutbah juga meniru ajaran Kristian, sebab agama Kristian wujud lebih lama daripada Islam dan amalan berkhutbah atau sermon telah dipraktiskan sekian lama. Saya cukup bimbang dengan budaya sikit-sikit dikaitkan meniru budaya agama lain, bidaah sana, bidaah sini. Sedangkan perkara pokok tidak pernah selesai.

Golongan agama sepatutnya menghentikan menimbulkan kontroversi atau membincangkan isu yang remeh temeh. Lebih baik masa digunakan untuk membicarakan isu-isu masa depan ummah dan masa depan agama Islam.

Saya cukup takut dan bimbang dengan trend hari ini di kalangan orang agama yang bergelar ustaz dan ustazah yang suka membangkitkan atau membawa isu-isu remeh temeh atau cerita-cerita bodoh untuk mendapat perhatian atau menjadi penonton ketawa.

Lebih menggelikan lagi menonton rancangan suami isteri yang dihoskan oleh pasangan ustaz dan ustazah yang begitu meloyakan dengan panggilan-panggilan ling (darling), yang (sayang), bang (abang) dan sebagainya. Ya, kita tidak nafikan panggilan manja itu baik, tetapi janganlah terlalu over atau berbau gatal. Kita tidak mahu nanti digelar sebagai ustaz atau ustazah yang over atau menggatal.

Saya kadang kala amat muak mendengar lawak-lawak bodoh dan cerita-cerita sedih tidak masuk akal semata-mata untuk memikat dan menjadikan penonton menangis dan berbagai lagi aksi over yang meloyakan. Tindakan sebegini, akan menjadi otak kita tidak berkembang, jumud dan tumpul.

Golongan ini tidak banyak berfikir atau membaca, tetapi hanya mencuri idea-idea orang lain agar dapat dipandang hebat.

Golongan agama sepatutnya tampil ke hadapan menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh umat Islam dalam politik, kegawatan masalah sosial dan juga bagaimana cara untuk keluar daripada kemelut kemiskinan.

Daripada membincangkan isu-isu tidak mempercambahkan minda, paling tidakpun kita bincang pasal penentangan Dap terhadap keputusan kerajaan negeri Kelantan untuk mengharamkan loteri. Akibat desakan tersebut, dikatakan kerajaan Kelantan mula memikirkan kembali akan keputusannya itu. Kita akan lihat perkembangan lanjut.

Dap percaya pengharaman penjualan tiket loteri dan larangan sambutan hari kekasih (valentine day) memberi kesan kepada pengundi Cina dalam pilihanraya kecil Kerdau dan Merlimau. Saya amat hairan, kenapa Pas masih lagi sanggup bekerjasama dan boleh percaya dengan parti seperti ini.

Orang Cina yang baik-baik dan berpegang kepada agama, tidak pernah suka kepada judi dan gejala yang merosakkan. Apa yang diharamkan dalam Islam, turut diharamkan dalam agama mereka seperti isu judi, arak, zina dan sebagainya

Jika Pas mengambil pendekatan dakwah dan berazam mengIslamkan Dap, beritahu Dap bahawa isu judi dan hari kekasih bukan lagi soal hak asasi manusia, kerana hak ini bercanggah dengan hak Tuhan. Adakah hidup berTuhan hanya untuk orang Islam sahaja? Jawapannya, tidak. Tidak ada satu agama di dunia ini yang menghalalkan loteri atau judi?.

Ingin saya bertanya kepada Pas, berapa ramaikah orang Dap yang telah memeluk hasil usaha dakwah Pas. Sukar juga untuk dibuktikan.

Jika difikir secara logik, berapa kerat sangat orang bukan Islam di Kelantan? Kenapa Dap dan sekutunya begitu menentang? Jawapannya mudah sahaja, mereka takutkan Islam. Mereka takutkan undang-undang Islam. Mereka tidak mahu semuanya ini menjadi precedent. Setelah sekian lama berkawan dengan Pas, masih gagal lagikah Pas memberikan kefahaman Islam kepada Dap.

Selepas ini, saya yakin hujah ini akan dipatahkan dengan mengatakan, Umno sekian lama berkawan dengan MCA dan Gerakan, kenapa sehingga hari ini mereka masih tidak faham atau memeluk Islam?

Pada saya, sama ada ada lama atau tidak kita berkawan dengan seseorang, itu adalah tidak penting. Yang lebih penting, adakah kita menjalankan peranan kita masing-masing.

Daripada terus berkawan dengan mereka yang tidak mahukan nilai-nilai agama Islam (termasuk agama bukan Islam) dilaksanankan, sudah sampai masanya, Pas membantu kerajaan memberi idea dan memperkukuhkan agenda transformasi ekonomi, politik dan sosial yang sedang rancak berjalan.

Pemimpin-pemimpin negara mesti disedarkan dan dapat menunjukkan contoh yang baik. Dasar-dasar yang dilaksanakan mesti dapat dilihat memberikan manfaat kepada rakyat.

Kerajaan mesti berlapang dada menerima pandangan-pandangan daripada pembangkang jika benar-benar ikhlas dan tidak ada agenda sebaliknya. Jangan semuanya ditolak. Jika ada kebenaran dan justifikasinya, tidak salah kita menerimanya walaupun datang daripada orang yang kita tidak suka. The most important thing in any relationship is not what you get, but what you give.

Kita mungkin berkawan dengan orang yang kita tidak suka, tetapi jika kita layan orang yang kita tidak suka seperti orang yang kita suka, ianya akan berakhir dengan kejayaan. Kita mungkin berkawan dengan orang yang kita suka, tetapi jika kita layan mereka seperti orang yang kita tidak suka, ianya akan berakhir dengan kegagalan.

Perkara pokok yang perlu kita fikirkan hari ini adalah cara kita bertindak terhadap idea-idea yang bernas yang diketengahkan. Berbanding dengan melayan isu-isu picisan yang membuang masa seperti mempertikaikan nikah sama ada di dalam masjid atau tidak.

Namun begitu, jika kita sudah sedia maklum akan strategi musuh untuk terus menghancurkan, maka ketika itu kita perlulah bertindak sewajarnya. Begitu juga dengan golongan agama hari ini sepatutnya tampil membantu menyelesaikan masalah umat Islam daripada membincangkan perkara remeh-temeh.

Monday, March 14, 2011

Transformasi pemikiran Melayu

9:02 AM Posted by RIDHUAN TEE 85 comments
Sabtu 12 Mac 2011, saya dijemput untuk menjadi panel bercakap mengenai Agenda Transformasi Ekonomi Melayu Islam anjuran Majlis Perundingan Melayu. Dalam kalangan peserta, mungkin hanya saya seorang sahaja yang bukan Melayu, tetapi mungkin Melayu mengikut perlembagaan. Saya amat tertarik dengan pembentangan Tan Sri Mohd Ali Hashim, bekas Ketua Eksekutif Johor Corp. mengenai wakaf korporat.

Umum mengetahui bahawa Ali Hashim adalah tokoh yang banyak berjasa, terutama kepada negeri Johor khususnya, Malaysia amnya, tidak ketinggalan peringkat antarabangsa. Visi dan misinya cukup jelas. Sumbangan beliau dalam membangunkan ekonomi Melayu Islam, perlu dijadikan teladan. Dirinya sendiri tidak sekaya orang lain yang mendapat peluang menerajui syarikat kerajaan seperti ini. Beliau layak digelar tokoh pejuang pembangunan ekonomi Islam melalui jihadnya menyedarkan umat Islam akan kepentingan ekonomi dan bisnes.

Saya yakin jika orang lain yang menerajui perbadanan ekonomi negeri yang begitu besar dan kaya, belum tentu dapat melepasi godaan dan ujian wang dan harta. Namun, tidak kepada Ali Hashim. Slogan jihad bisnesnya tidak pernah layu, walaupun jawatannya telah dilayukan. Adalah amat diharapkan anak didiknya di Johor Corp akan mewarisi perjuangan beliau dengan agenda jihad bisnes meningkatkan ekonomi umat Islam.

Bila disebut jihad, maka ia tidak dipisahkan dengan tuntutan Islam. Justeru, umat Islam mestilah serius dan bersungguh-sungguh dalam kerja laksana berada di medan perang. Begitu juga dengan agenda transformasi ekonomi Melayu Islam sedang rancak diperkatakan. Orang Melayu Islam mesti menjadikan agenda transformasi ekonomi ini sebagai satu jihad, jika mahu membela nasib anak bangsa di bumi sendiri.

Kenapa jihad itu penting? Kerana jihad itu adalah makam yang begitu tinggi apabila menilai pengorbanan insan yang bernama Muslim kepada Penciptanya. Jihad berkait rapat dengan keseriusan hidup Muslim yang ingin berkorban untuk mendapatkan keredhaan Allah SWT atau mardhotillah dalam mengimarahkan bumi ini.

Di sinilah kita dapat lihat keunikan Ali Hashim. Beliau begitu berani melakukan transformasi dengan mengambil pendekatan Islam dalam membangunkan tradisi korporat, pelaburan, pembangunan dana dan wakaf. Jika orang lain, mereka mungkin rasa takut sedikit. Almaklumlah pendekatan Islam selalu dipersepsikan sebagai kuno, konservatif dan selangkah ke belakang.

Pendekatan Islam ini dikaitkan dengan imej segelintir orang agama yang bergelar ustaz dan ustazah yang tidak dapat menunjukkan contoh yang baik. Lebih menyedihkan ada yang berusaha mendapat publisiti murahan. Ilmu yang tidak sedalam mana, digunakan untuk untuk memukau orang ramai melalui kepetahan bercakap dan menggunakan lawak-lawak bodoh dan cerita rekaan yang tidak masuk akal. Tujuannya tidak lain agar orang ramai terpengaruh dengan cerita-cerita yang dibawa. Golongan ini tidak sedar akan implikasi akibat tindakan tersebut.

Ibarat nila setitik rosak susu sebelanga, tindakan sebegini akan menimbulkan persepsi negatif terhadap Islam. Sukar untuk kita menarik kepercayaan orang ramai tentang dinamika Islam. Sebut sahaja Islam, dalam pemikiran mereka, Islam ini jumud, tidak progresif, suka cerita-cerita tidak masuk akal dan sebagainya. Lebih meloyakan lagi apabila ada seorang ustazah baru-baru ini mengaitkan valentine day atau hari kekasih dengan amalan agama Kristian. Berdua-duan atau coupling lelaki perempuan tanpa nikah dikatakan sumber ajaran tersebut.

Kenyataan ini sudah tentu menyimpang dari landasan ilmu kehidupan manusia beragama, tidak kira apa jua agama anutannya. Kenyataan sebeginilah saya fikir menjadikan orang bukan Islam, termasuk orang Islam keliru dengan pendekatan Islam. Maka tidak hairan jika ada yang tidak yakin bahawa pendekatan Islam itulah yang terbaik. Termasuk dalam memperkatakan pengurusan dan pentadbiran ekonomi Islam seperti isu wakaf.

Kadangkala saya merasa pelik, kenapa kita memandang rendah pada pendekatan Islam atau cara Islam menangani sesuatu permasahanan. Kita terhegeh-hegeh melihat pendekatan barat. Pada mereka, pendekatan baratlah atau mungkin juga timur yang terbaik. Wal hal, pendekatan Islam yang menjadi darah dagingnya tidak pernah dikaji. Sedangkan, pendekatan Islam pernah menjadi altenatif dan berjaya. Zaman kemuncak keagungan Islam telah membuktikannya.

Golongan yang taksub dengan pendekatan barat ini tidak pernah terfikir bahawa Islam pernah menyumbang kepada perkembangan tamadun dunia. Mereka tidak sedar, apa yang disumbang oleh barat hari ini, adalah hasil daripada sumbangan Islam terdahulu. Cuma pendekatan tersebut telah dimatikan oleh orientalis barat.

Dalam Islam, perniagaan bukan hanya dibangunkan untuk merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi tetapi juga melakukan kebajikan kepada rakyat dan membina kesejahteraan negara. Islam amat mementingkan muafakat, rasa kepunyaan dan rasa kekitaan sehingga transformasi ekonominya bukan hanya memberikan manfaat kepada orang Islam tetapi juga kepada bukan Islam.

Namun, sifat ini mula hilang daripada diri kita, seolah-olah nilai-nilai Islam sudah tercabut. Sedangkan di barat, jutawan muda seperti Mark Zuckerberg (pengasas facebook), Bill Gates, Warren Buffet dan sebagainya, menjihadkan sebahagian daripada harta mereka untuk kepentingan awan dan orang ramai. Kita tidak bersikap sedemikian, pantang kaya sedikit, mulalah kawin dua, tiga dan empat. Jika sudah melebihi empat, sanggup ceraikan yang lama.

Lebih menyedihkan lagi, kedengaran ada yang sanggup menggunakan helikopter untuk bertemu kekasihnya. Hidup nafsu-nafsi. Wang ditaburkan dan dibazirkan. Berlagak tidak tentu pasal. Sama ada perbuatan tersebut salah atau tidak, nilaikanlah sendiri.

Inilah bentuk pemikiran Melayu Islam yang mesti diubah apabila bercakap soal transformasi ekonomi Melayu Islam. Jika tidak, cakaplah sampai bebuih-buihpun, hasilnya tetap sama. Balik semula kepada perangai lama. Transformasi ekonomi tidak seiring dengan transformasi cara berfikir dan cara bertindak.

Pendekatan jihad bisnes dan wakaf pada saya adalah transformasi yang mesti dilakukan segera. Meletakkan kepentingan Melayu Islam secara keseluruhan berbanding kepentingan diri atau kepentingan lain. Ura-ura Johor Corp untuk menjual Kulim Berhad, melihat kepentingan KFC (Kentucky Fried Chicken) hendaklah dihentikan. Tindakan ini bukanlah cara untuk melangsaikan hutang Johor Corp kerana ia melibat kepentingan ekonomi umat Islam secara keseluruhannya.

Jika berlaku juga penjualan syarikat ini, kita meminta dan merayu agar syarikat kerajaan (GLC) seperti Petronas, Tabung Haji, PNB dan sebagainya dalam membeli kepentingan syarikat tersebut.

Yusuf al-Qaradawi menggariskan beberapa perkara untuk mentransformasikan pemikiran umat Islam. Antaranya, mendahulukan perkara yang pasti berbanding yang masih ragu-ragu. Kedua, mendahulukan perkara yang besar berbanding yang kecil. Ketiga, mendahulukan kepentingan umat (Islam) berbanding diri. Keempat, mendahulukan kepentingan berpanjangan berbanding kepentingan sementara. Kelima, mendahulukan kepentingan utama berbanding kepentingan yang rasmi (protokol), dan akhirnya, mendahulukan kepentingan masa depan berbanding masa kini.

Kesemua transformasi yang digariskan oleh Yusuf al-Qaradawi ini mesti diberikan perhatian oleh umat Islam hari ini jika mereka benar-benar mahu melakukan agenda perubahan. Transformasi tidak akan berlaku jika tidak disertai dengan cara berfikir dan tindakan. Apa gunanya bangunan bertingkat-tingkat jika maksiat tumbuh macam kulat. Apa gunakan pendapatan rakyat meningkat, jika umat Islam terlalu mengejar dunia sehingga melupakan akhirat. Apapun transformasi yang dilakukan, pendekatan berimbang atau wasatiyyah mesti diambil kira.

Yang pasti, umat Islam mesti boleh bersaing dan tidak boleh ketinggalan. Apapun yang berlaku, kepentingan masa depan mesti diambil kira. Jika tidak, Melayu Islam pasti menyesal suatu hari nanti.

Ingatlah, Allah melimpah ruahkan kekayaan di bumi Melayu. Sumber yang sedia ada sudah cukup untuk membangunkan orang Melayu untuk menjadi bangsa hebat. Jangan biarkan Melayu terus melayu. Anak-anak muda mesti dibangunkan mindanya.

Jika Melayu Islam diberi pilihan, manakah lebih afdal dan lebih banyak pahalanya, kaya tetapi bersyukur atau menjadi orang miskin tetapi bersabar? Dalam kata lain, menjadi orang kaya tetapi tidak bersyukur atau menjadi orang miskin tetapi bersabar? Pada para ulamak, kaya tetapi bersyukur itu adalah lebih utama. Namun, untuk menjadi kaya tetapi mahu bersyukur bukanlah sesuatu yang mudah, seperti mana firman Allah SWT, …dan sedikit sekali dari hamba-hamba Ku yang berterima kasih (surah Saba’: 13)

Semua ini menjadikan saya teringat kepada kejayaan May Kay Ash, jutawan kosmetik di Amerika. Apabila ditanya resepi kejayaan, jawapannya adalah ikut susunan prioriti iaitu letakkan Tuhan di tempat pertama, keluarga di tempat kedua dan ketiga adalah syarikat Kosmetik Mary Kay. Transformasi sebegini katanya membawa berkat kepada syarikatnya. Justeru, sudah tentu dalam transformasi ekonomi Melayu, agenda Islam tidak boleh dilupakan. Agenda Islam itu tidak dapat lari daripada jihad bisnes dan wakaf korporat.

Kadangkala saya amat jelik dengan segelintir Melayu Islam yang mula naik tocang dan lupa diri apabila terasa diri pandai sedikit atau kaya sedikit atau mempunyai kuasa sedikit. Segelintir golongan ini mahu menunjuk pandai sehingga tergadai jati diri. Terlalu bertolak ansur, sehingga akhirnya ditolak secara beransur-ansur. Akibatnya, jati diri, maruah dan hak umat Islam menjadi semakin hancur.

Monday, March 07, 2011

Beza antara politik Melayu dan Cina

8:13 AM Posted by RIDHUAN TEE 90 comments
Orang nombor dua PKR baru-baru ini begitu marahkan Pas kerana Pas dikatakan turut mengintai kawasan PKR dalam pilihan raya umum akan datang. Beliau terus mengeluarkan kenyataan bahawa dalam Pakatan Rakyat, tiada lagi formula Pas akan bertanding di kawasan majoriti Melayu, Dap di kawasan Majoriti Cina dan PKR di kawasan bercampur. Sekarang, Pas dikatakan juga mahu kawasan bercampur.

Umum mengetahui, secara tradisinya, selama ini Pas bertanding di kawasan majoriti Melayu. Kekalahan Pas dalam beberapa pilihan raya kecil akhir-akhir ini, menjadikan PKR begitu bernafsu mengintai kawasan Pas. PKR merasakan mereka kuat. Sedangkan pada masa sama mereka tahu, kekuatan mereka bergantung kepada Pas.

Kini Pas mempertaruhkan dua kerusi di DUN Kerdau dan Merlimau, kawasan majoriti Melayu. Keputusannya telahpun diketahui. Pas boleh dikatakan ‘kalah teruk’. Selepas ini, PKR akan berkata, mereka lebih layak bertanding di kawasan Pas, daripada Pas bertanding di kawasan PKR. Nampaknya, PKR begitu bernafsu besar untuk menambah kerusi bagi menguasai beberapa negeri lain dan impian mereka untuk menguasai Putrajaya. Mampukah mereka?

Tanpa menamakan kawasan terlibat, orang nombor dua PKR berkata, mahukan kerusi mereka lebih banyak daripada Pas, sama ada di kawasan majoriti Melayu mahupun bercampur. Saya yakin, isu pembahagian kerusi antara PKR dan Pas akan menjadi hangat menjelang PRU 13 akan datang. Tidak mustahil kedua-dua parti ini mengintai kerusi yang sama.

Sebagai parti yang lebih tua dan lebih tersusun daripada PKR, sudah tentu Pas memerlukan lebih kredit berbanding PKR. Tetapi PKR tidak berfikir sebegitu. PKR juga akan melihat pada kerusi-kerusi yang Pas dan Dap tewas, meskipun kedua-dua parti tertua itu mempunyai sokongan akar umbi di bahagian yang majoriti pengundinya ialah Melayu dan Cina.

Pandangan rakus pemimpin PKR telah menimbulkan kemarahan pimpinan Pas. Pas mengingatkan orang nombor dua PKR itu, supaya jangan cakap sesuka hati sebelum dibincangkan di peringkat tertinggi Pakatan Rakyat. Jawatan kanan yang dimenangi akhir tahun lalu, bukanlah petanda yang beliau bagus dan mendapat sokongan akar umbi.

Setiausaha Agung Pas berkata, PKR seharusnya menyuarakan isu-isu sensitif seperti pembahagian kerusi antara komponen Pakatan Rakyat dalam mesyuarat tertinggi parti, bukannya secara terbuka melalui media.

Pas mengingatkan pemimpin PKR tersebut bahawa beliau tidak layak bercakap dan mendakwa Pas mahu mengintai kawasan PKR kerana isu tersebut tidak pernah muncul dalam perbincangan pemimpin tertinggi parti Islam itu sebelum ini.

Dalam mengulas isu ini, ternyata parti setahun jagung ini merasakan dirinya cukup kuat setelah mendapat kemenangan yang tidak disangka-sangka pada PRU 12 tahun 2008. Walaupun Selangor jatuh ke tangan mereka, itu bukan bermakna mereka kuat. Mereka tidak tahu bagaimana susah payahnya Pas berjuang hingga ke hari ini. Sepatutnya Pas tidak memberikan laluan kepada PKR di Kedah, Kelantan dan Terengganu. Tetapi ada dasar kesepakatan, Pas memberikan laluan untuk mereka bertanding.

Adalah tidak mustahil Pas turut mengintai kawasan bercampur memandangkan sokongan pengundi Melayunya mengalami kemerosotan. Pilihan raya kecil kerusi DUN Tenang di Johor bulan lalu menyaksikan 80 peratus pengundi Melayu memihak kepada Umno. Begitu juga kerusi di Hulu Selangor, Galas dan Manek Urai semasa diadakan pilihan raya kecil tahun lalu dan 2009.

Pas perlu berhati-hati dengan rakan sepakatannya. Keputusan di Merlimau dan Kerdau sudah membuktikan segalanya. Kekalahan ini akan dijadikan hujah utama bahawa Pas tidak mendapat sokongan politik dalam konteks sebenar atau mungkin tidak relevan. Isyarat ini akan memberi makna bahawa PKR lah sebenarnya parti altenatif kepada Pas.

Inilah rata-rata persepsi PKR sekarang. Mungkin benar, mungkin tidak. Jika benar, saya cadangkan Pas memberikan laluan kepada PKR, kita lihat sejauhmanakah kekuatan mereka? Saya yakin jika dibuat kajian secara jujur, bukan Islam (Dap) lebih selesa dan mempercayai PKR daripada Pas. Hujahnya mudah, PKR tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan, berbanding Pas.

Maka, tidak hairan jika agenda Islam tidak menonjolkan di negeri yang perintah oleh Dap dan PKR. Bantuan kepada sekolah agama dan urus tadbir Umar Abdul Aziz hanya wayang untuk mencairkan orang Melayu. Cadangan Pas untuk mengharamkan judi loteri di Kelantan begitu ditentang hebat oleh Dap dari segala peringkat. Juga tidak ketinggalan parti bukan Islam yang lain.

Pas nampaknya tidak ada pilihan, terpaksa akur. PAS tidak boleh menang jika bersendirian. Umno tidak menjadi pilihan Pas. Pada Pas, Umno lebih bahaya daripada Dap. Selaku parti yang senior, sepatutnya PAS bertindak lebih matang dalam menangani politik Malaysia secara keseluruhan, terutama dua pilihan raya kecil ini. Pendekatan terlalu keras terhadap Umno tidak menguntung Islam, juga orang Melayu. Jika Pas bisikkan kepada Umno akan haramnya judi dan nombor ekor, sekurang-kurangnya Umno akan dengar, walaupun mungkin pengharamannya belum dapat dilaksanakan.

Benar, kita tidak diminta dilahir menjadi Melayu (Cina, India dan lain-lain), yang penting adalah Islam. Tetapi tidakkah kita sedar bahawa perlembagaan menetapkan Melayu itu Islam, Islam itu Melayu. Maknanya, dua-dua perlu diberikan perhatian kerana dua dalam satu (Islam). Lemah satu, lemahlah satu lagi, kerana Melayu dan Islam telah sinonim.

Lihatlah bagaimana orang bukan Melayu berpolitik. DUN Tenang telah terbukti, kini beralih ke Merlimau. Pada waktu getir inilah segala tuntutan dikemukakan oleh bukan Melayu demi kepentingan dan survival bangsa. Pada mereka kepentingan bangsa mesti diutamakan berbanding yang lain. Segala ruang dan peluang digunakan sepenuhnya. Tidak seperti kita, agenda bangsa dan agama entah ke mana.

Seperti yang dijangka, ketika penamaan calon DUN Merlimau, 106 NGO Cina di Melaka di bawah naungan Dong Lian (sepupu Dong Zong dan Dong Jiao Zong) mengemukakan empat tuntutan pilihan raya (suqiu). Sokongan undi Cina dikatakan bergantung sejauhmanakah tuntutan dapat dipenuhi?

Saya selaku orang Cina, amat mengharapkan masyarakat Cina dapat berfikir dan bertindak secara matang, jika mereka benar-benar inginkan masa depan negara yang lebih bermakna. Politik gertak dan ugut sebegini amat tidak sihat dalam masyarakat majmuk.

Trend pengundian Cina hari ini bukan lagi berasaskan parti dan calon tetapi sejauhmanakah tuntutan mereka dipenuhi, terutama di kawasan majoriti Melayu, yang mana undi mereka akan menjadi undi penentu kejayaan parti politik yang bertanding.

Sikap ini tidak menyerlah jika pertandingan berlaku di kawasan majoriti Cina, kerana pilihan mereka sudah jelas. Jika sikap ini diterjemahkan juga, maka akan lebih terserlah dan terbuktilah dapatan saya selama ini bahawa sikap ultra kiasu menguasai segalanya. Jangan bertindak seperti gergaji dua mata, kiri kanan mau makan.

Jelas di sini bahawa cara orang Melayu dan bukan Melayu berfikir dan berpolitik begitu berbeza. Hala tuju dan matlamat mereka amat jelas. Malangnya, kita masih kabur. Ada yang masih bertindak begitu fanatik calon dan fanatik kepartian.

Antara tuntutan Dong Lian di Merlimau adalah: pertama, layanan sama rata sekolah kebangsaan dan sekolah vernacular. Kedua, kerajaan mesti mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC). Ketiga, kerajaan mesti membantu lima Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina di Melaka dan akhirnya mengembalikan status warganegara kepada pejuang kebangsaan Cina, mendiang Lim Lian Geok yang ditarik balik pada tahun 1961.

Isu sekolah vernacular dan UEC tidak perlu saya terangkan lagi kerana ramai sudah mengetahuinya melalui penulisan saya sebelum ini. Namun, saya yakin tidak ramai kalangan kita yang mengenali mendiang Lian Geok. Kenapa nama beliau begitu penting dan sentiasa berkumandang? Elok juga kita lihat untuk dijadikan teladan.

Lian Geok yang meninggal pada tahun 1985, dianggap pejuang yang amat berjasa kepada kaum Cina, terutama ketika memimpin Dong Jiao Zong. Setiap tahun ada saja sambutan mengingati perjuangan dan jasa beliau tanpa berkecuali. Beliau adalah ikon. Perjuangan mempertahankan kewujudan sekolah vernakular adalah satu jihad dan hidup matinya.

Bila membaca belangsukawanya, saya pun rasa ‘kagum’ dalam konteks kenapa umat Islam tidak mempunyai ‘pemikiran’ seperti beliau. Semangat dan perjuangan memartabatkan pendidikan Cina tidak pernah luntur. Lian Geok meletakkan agenda bahasa dan bangsa di tempat pertama, sehingga terpaksa melupakan kemewahan hidup. Berbanding kita hari ini, agenda memperkasakan bangsa dan bahasa kebangsaan masih tunggang langgang.

Kata-kata keramat Lian Geok yang terus menjadi pegangan orang Cina adalah: “orang Cina mesti menghantar anak mereka ke sekolah Cina. Sekolah Cina adalah ibarat nyawa dan roh. Jika orang Cina mahu memastikan mereka tetap Cina, tidak ada cara lain melainkan bersekolah Cina. Ini amat penting bagi mengekalkan identiti Cina, sayangkan bangsa Cina, budaya Cina, bahasa Cina, bangga menjadi Cina, dan lebih penting lagi tahu asal usul atau akar Cina”.

Patrioat yang sebenar pada Lian Geok bukanlah setakat mengibarkan bendera ketika merdeka, tetapi mereka yang berkorban untuk kebenaran, keadilan dan persamaan. Pada Lian Geok, beliau adalah seorang patrioat. Perjuangan beliau menjadi sumber inspirasi kepada majoriti persatuan Cina hari ini. Sama ada wajar atau tidak, kita fikirlah sendiri.

Maka tidak hairanlah Presiden MCA baru-baru ini menggunakan psikologi berbalik dengan mencabar kerajaan yang dipimpin Pakatan Rakyat supaya mengambil lulusan UEC sebagai pegawai atau kakitangan kerajaan pimpinan mereka, daripada terus mendesak Umno supaya menambah sekolah dan mengiktiraf sekolah vernakular terbabit. Jika Pakatan Rakyat menyahut cabaran ini, ia akan menjadi precedent.

Namun, Pakatan Rakyat tidak mampu melakukannya kerana tertakluk kepada undang-undang kerajaan pusat. Terbaharu, Dap pula memulangkan paku buah kerasnya dengan meminta MCA dan Gerakan supaya mendesak kerajaan pusat (UMNO) mengiktiraf dan mengambil lulusan UEC di sektor awam. Kita tunggu tindakan mereka selanjutnya.

Insiden yang sama berlaku seperti yang dilaporkan oleh akhbar Sin Chew, di SJKC Hau Lim, Muar, Johor. Persatuan Cina mendesak supaya guru bahasa Melayu yang tidak menguasai bahasa Mandarin supaya ditukarkan serta merta. Mereka mahukan guru yang mengajar bahasa Melayu mesti menguasai bahasa Mandarin pada masa sama.

Guru Bahasa Melayu di sana dikatakan terpaksa meminta bantuan murid Cina untuk menterjemahkan subjek bahasa Melayu yang diajar ke dalam bahasa Mandarin. Persoalan saya, apa sebenarnya yang diajar dan dipertuturkan oleh ibubapa ketika berada di rumah? Mereka telah tahu, anak mereka tidak boleh berbahasa Melayu, tidak adakah inisiatif dibuat untuk memandaikan mereka dalam bahasa Melayu? Apa kewajipan kita sebenarnya sebagai warganegara terhadap bahasa kebangsaan yang jelas termaktub dalam perlembagaan?

Satu lagi kebimbangan Dong Jiao Zong adalah ada kalangan segelintir ibu bapa dan pelajar Cina mulai menentang tindakan mewajibkan mereka mengambil subjek bahasa Mandarin di peringkat SPM seperti yang berlaku di salah sebuah sekolah di Selangor. Jika dibiarkan, masa depan bahasa mandarin dan SJKC akan tergugat. Saya amat pelik, mereka tidak pernah bimbang anak mereka gagal bahasa Melayu, tetapi mereka amat bimbang jika anak mereka tidak mengambil subjek bahasa Mandarin. Kemudian mendesak supaya kerajaan mengiktiraf UEC. Adakah tindakan ini wajar? Fikirkanlah secara waras wahai bangsaku.

Pada saya suara generasi baru Cina ini perlu didengar. Masyarakat yang terlalu cauvanis tidak akan membawa kita ke mana-mana.

Tuesday, March 01, 2011

Cuba fahami aspirasi pelajar

7:05 AM Posted by RIDHUAN TEE 53 comments
Selaku bekas pemimpin pelajar, saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Saifuddin Abdullah, kerana benar-benar memahami aspirasi para pelajar di institusi pengajian tinggi. Saya yakin semua ini berlaku kerana, Saifuddin yang saya kenal rapat, adalah juga bekas pemimpin pelajar yang aktif suatu ketika dahulu. Maka, tidak hairan jika Perdana Menteri memberikan kepercayaan kepada beliau, bersama ketuanya untuk menjaga institusi akademik yang begitu bermakna kepada agama, bangsa dan negara ini. Jarang-jarang saya berjumpa pemimpin seperti ini yang begitu memahami aspirasi pelajar. Dihormati kawan dan lawan.

Kenyataan yang paling menyentuh hati saya apabila Saifudin mengatakan “Jangan nanti orang anggap kita seperti Burma yang tidak mengiktiraf Aung San Suu Kyi, jangan orang anggap kita seperti Palestin yang tidak mengiktiraf kemenangan Hamas”.

Saifuddin berpendapat universiti terbabit sepatutnya mengiktiraf kemenangan pelajar yang bertanding menerusi saluran sah iaitu pilihan raya kampus yang dipantau oleh bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP). Pada saya, nasihat Saifuddin amat wajar, supaya pentadbir universiti bertindak secara profesional, bukan kerana menjaga pangkat. Jika ada masalah, bawalah berbincang. Apalah sangat pilihan raya kampus jika dibandingkan dengan pilihan raya umum negara. Ibarat langit dengan bumi. Saya tidak nampak pemimpin pelajar begitu mudah dapat mempengaruhi minda pelajar apabila menguasai politik kampus. Majlis Perwakilan Pelajar sentiasa dipantau dari masa ke semasa, sama ada oleh pelajar itu sendiri mahupun pentadbir.

Perlu dingat, universiti tidak ada wujud tanpa pelajar. Pelajar adalah pelanggan utama. Hebat pelajar, hebatlah pentadbir dan ahli akademiknya. Saya dahulu juga adalah pemimpin pelajar yang aktif. Kewujudan kumpulan-kumpulan yang membawa aspirasi masing-masing adalah perkara biasa. Tetapi kita adalah manusia waras dan rasional. Allah kurniakan akal kepada kita untuk berfikir yang mana baik dan yang mana buruk. Begitu juga untuk memilih parti kerajaan atau parti pembangkang.

Saya minta pentadbir universiti, bacalah buku “Mahasiswa Menggugat” oleh Profesor Muhammad Abu Bakar. Cubalah selami dan fahami suara hati pelajar dan mereka yang pernah memimpin gerakan pelajar.

Pelajar adalah orang muda. Rasulullah amat serius apabila memperkatakan zaman muda. Maka kita diingatkan mempergunakan masa muda sebelum tua. Kepentingan ketika muda disebut dalam al-Quran yang bermaksud:

“kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad ) perihal mereka dengan benar. Sesungguhnya mereka itu adalah anak-anak muda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan mereka dengan hidayah. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian) semasa mereka bangun dan menegaskan tauhid lalu berkata “ Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan dan mentadbir langit dan bumi. Kami sekali-kali tidak akan menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui yang jauh daripada kebenaran.” (Al-Kahfi : 13-14)

Universiti adalah tempat anak-anak muda menambah ilmu, belajar erti kehidupan dan menguji kematangan berorganisasi. Bacalah bersama Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN). Berikanlah mereka kebebasan dalam ruang lingkup yang dibenarkan. Saya yakin latihan yang mereka dapati dan perolehi akan menjadikan mereka insan yang berguna bila keluar dari alam kampus nanti. Masyarakat di luar sana akan bertanya siapakah profesor yang membimbing anda!

Sama ada mereka akan memilih untuk menyertai kerajaan atau pembangkang. Itu adalah hak mereka dalam sebuah negara demokrasi. Kenapa kita terlalu takut dengan bayang-bayang sendiri. Yakinlah, jika kita di landasan yang benar, orang lain tidak akan lari daripada kita. Banyak kes yang kita telah lihat dengan mata kepala sendiri. Allah bersama-sama orang yang benar.

Jangan terlalu mengongkong pelajar. Semakin kita kongkong mereka, semakin mereka memberontak. Ibarat memerah santan menggunakan tangan. Santan akan memercik daripada celahan jari-jari jika terlalu kuat ditekan. Perkara ini mesti difahami. Manusia, jika terlalu ditekan mereka akan bertindak balas. Inilah yang berlaku di dunia Arab hari ini. Paling jelas di Mesir dan Libya. Jadikan ia sebagai pengajaran. Tidakkah Allah menyuruh kita berbuat demikian?

Kita tidak wajar ‘mengUMNOkan’ atau ‘memPASkan’ atau ‘memPKRkan’ atau ‘menDAPkan’ institusi akademik. Apabila institusi akademik dipolitikkan, maka tunggulah kehancurannya. Apa yang penting adalah meneruskan tradisi keilmuan, agar institusi pengajian tinggi dipandang tinggi di peringkat lokal dan internasional. Kita mahukan ahli akademik kita dipandang tinggi oleh kawan dan lawan, apatah lagi mereka yang bergelar profesor, melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang hebat.

Parti-parti yang berkepentingan pula janganlah pula mengambil kesempatan menangguh ketika air keruh. Mentang-mentang ada kemudahan dan kebebasan diberikan, maka kita gunakan peluang untuk menghasut, merosakkan dan meracun minda pelajar.

Tenaga akademik dan pentadbir yang diletakkan di bahagian HEP seharusnya mempunyai pengalaman dalam gerakan pelajar. Baharulah mereka faham aspirasi sebenar pelajar. Bergelumang dunia akademik belum cukup untuk menjadikan kita pemimpin hebat. Pengalaman mendewasakan kita. Apalah salahnya kita mengalah sedikit, berjumpa dengan pelajar tersebut dan berbincang. Tidak berlakulah insiden kecederaan yang menyedihkan.

Kadangkala kita sebagai pentadbir perlu menurunkan sedikit ego demi kepentingan awam atau orang ramai. Ketika menjadi pemimpin pelajar, saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Terus terang, saya dahulu pun terlibat sama dalam menentang pentadbir universiti jika mereka bertindak di luar batasan kemanusiaan atau dipengaruhi oleh politik.

Apa yang ada pada saya hari ini adalah disebabkan oleh latihan yang saya terima dahulu daripada institusi pengajian tinggi. Terima kasih Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Islam Antarabangsa. Saya begitu banyak belajar menjadi seorang manusia daripada IPTA ini.

Apalah sangat yang hendak kita takutkan dengan pemimpin pelajar. Mereka juga manusia. Tidak semua pelajar akan bersetuju dengan mereka. Apatah lagi dipengaruhi. Mereka tetap tertakluk kepada undang-undang. Kita, di bahagian HEP sepatutnya membimbing, mendidik dan memimpin mereka. Tunjukkan yang mana betul, yang mana salah. Bukan menyalahkan mereka setiap kali menjelang pilihan raya kampus. Kawal selia mereka dengan berhemah. Saya yakin, mereka akan menghormati kita, tidak kira apa juga fahaman dan pemikirannya.

Manusia yang rasional akan menerima kebaikan dan menolak kejahatan. Jika kita di pihak yang benar, apakah kita yakin pelajar akan menentang kita? Jawapannya, tidak. Kebenaran akan berjaya menumbangkan kejahilan. Itulah sunnahtullah.

Kita bukan seperti Mesir dan negara Arab lain yang mengamalkan pemerintahan ditaktor. Kita adalah sebuah negara demokrasi. Demokrasi berteraskan kepada kebebasan yang terpimpin. Beri peluang orang muda bersuara. Kita dengar suara mereka. Kata-kata Sukarno masih terngiang-ngiang di telinga: “ Beri aku sepuluh pemuda akan kugegarkan dunia”.

Hari ini kita lihat rata-rata pelajar mempunyai pelbagai karakter. Ada watak anak muda yang baik soleh dan solehah. Tidak kurang watak unggul penuh dan sopan, watak antagonis penuh parut di muka, watak ulat buku, watak muka selamba apabila mendengar bayi dibuang merata-rata dan sebagainya. Ada juga yang asyik berhibur hingga leka, berlagak dengan kemewahan. Mati rasa, mati jiwa. Tidakkah kumpulan ini wajar dibimbing dan digerakkan menyertai gerakan pelajar secara sah? Siapa sangka tahap kreatif dan inovatif mereka boleh menggoncang dunia. Semuanya telah dibuktikan sebelum ini.

Cuba kita imbau kembali sejarah orang muda seperti Saidina Ali. Sanggup menggantikan Rasulullah saw di tempat tidurnya ketika peristiwa Hijrah. Hebatnya Asma’ Abu Bakr meredah padang pasir menghantar bekalan ke Gua Tsur tempat Baginda bersembunyi. Begitu juga dengan keberanian Syuhaib Al Rumi dan Salman Al-Farisi. Lihatlah betapa anak-anak muda ini berani dengan penuh keimanan dan kekuatan akidah membantu pemimpin mereka, Rasulullah saw dalam gerakan dakwahnya.

Inilah bakal pemimpin muda yang sepatutnya kita jana. Sebagai pentadbir di unversiti kita hendaklah bertindak menolak fahaman sekular yang telah bertapak dalam minda segar mereka. Zaman muda bukanlah zaman serba boleh dan serba mungkin. Buat apa sahaja asalnya seronok.

Ingat! Jika kita mahu lihat dunia hari depan, lihatlah orang mudanya hari ini. Tenaga orang muda mesti digembelingkan, bukan dibiarkan berlalu sia-sia. Kepada para pelajar, ketika muda, rebutlah peluang kerana orang muda ada tenaga, ada kreativiti dan memahami rakan sebaya. Pelajar mampu memberi alternatif yang baik untuk mengatasi masalah sesama mereka. Inilah kekuatan dan kepentingan anak muda dalam arena politik kampus masa kini.

Watak pemuda yang berani mengislahkan diri. Melahirkan orang muda yang boleh melakukan tranformasi seperti yang disebut oleh Perdana Menteri. Bertindak di luar kotak kebiasaan. Bila keluar rumah, menjaga adab sopan. Bila berhibur tahu batasan, bila bersukan tidak berlebihan, bila bersosial tahu di mana had batas sempadan.

Ketika rakan sebaya sibuk dengan irama hip hop, pop dan rock, terkinja-kinja dengan tarian shuffle, pemimpin muda pelajar tampil memberi bimbingan. Inilah generasi harapan yang kita letakkan kepada pimpinan pelajar muda. Mengekalkan tradisi keilmuan, bukannya berpolitik murahan tidak tentu pasal. Keterlibatan golongan ini penting terutama dalam memenangi hati rakan sebaya dengannya.

Pemimpin-pemimpin pelajar perlu didedahkan dan diberikan kebebasan untuk mencari jalan keluar fenomena ini mengikut cita rasa muda mereka. Pengalaman saya ketika menjadi pemimpin pelajar, setidak-tidaknya latihan yang saya terima menjadikan saya seperti adanya hari ini. Saya tidaklah sehebat pemimpin negara, apatah lagi jika dibanding dengan Saifuddin, tetapi sekurang-kurangnya hadirnya kita boleh membawa sedikit makna, sebagai bekalan menemui Yang Maha Esa.

Gagasan 1Malaysia memerlukan sentuhan pimpinan orang muda. Jangan pandang rendah keupayaan mereka, kerana mereka bakal mewarisi perjuangan kita dan menggegarkan dunia.

Sunday, February 20, 2011

Ikuti jejak adik Wee Soo Yen

7:55 AM Posted by RIDHUAN TEE 99 comments
Mingguan Malaysia 20 Februari 2011

Sejuk hati apabila melihat penerima tokoh Maulidur Rasul adik Wee Soo Yen, 16, pelajar Cina daripada Kelantan kerana mendapat A subjek Bahasa Arab Komunikasi dan semua A subjek yang lain dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) lalu. Apabila diwawancara, cara beliau berbahasa Melayu begitu fasih sekali.

Bertambah manis dan anggun berbaju kurung berselendang bersama ahli keluarganya. Langsung tidak kekok berakulturasi dengan budaya Melayu. Malangnya, ada segelintir daripada kita, mungkin ramai, apabila disyorkan supaya memakai songkok ketika pembukaan parlimen di hadapan sultan, mereka melakukan protes tidak tentu pasal kerana takut diasimilasikan.

Sedangkan kita tahu ketika Tahun Baharu Cina, pemimpin Melayulah yang paling hebat menyepit, mengacau dan menghayun tinggi Yee Sang sehingga kelihatan lebih Cina dari Cina. Maaf, saya gunakan istilah ini kerana ada yang menuduh saya lebih Melayu dari Melayu, terutama pemimpin PAS Shah Alam yang sanggup merakamkan sidang video khas dalam you tube untuk mematahkan hujah artikel saya sebelum ini. Terima kasih atas publisiti itu.

Apa yang dilakukan Adik Soo Yen, pada saya, langsung tidak menggugat identiti kecinaannya. Adik Soo Yen tetap kaum Cina, seperti saya. Saya tidak pasti beliau boleh berbahasa mandarin atau tidak, tetapi saya yakin, majoriti masyarakat kita amat selesa dengan penampilannya. Inilah yang dikatakan 1Malaysia.

Walaupun saya tidak mengenai adik Soo Yen, dalam hati saya berkata jika ramailah rakyat Malaysia seperti beliau, sudah pasti kesepaduan sosial (social cohesion) mudah terjalin. Ini tidak, kita asyik berpolitik tidak pernah habis, mendesak dan menuntut dan seperti apa yang dibuat oleh persatuan Dong Zong minggu lalu.

Persatuan ini mengancam akan mengadakan protes dengan menggantung banner atau mungkin berdemonstrasi jika Kementerian Pelajaran terus menghantar guru kaunselor dan guru Bahasa Melayu ke Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), tanpa boleh berbahasa Mandarin. Jika saya berada di kementerian, memang sukar sekali memenuhi tuntutan sebegini. Berapa ramai guru dan kaunselor Melayu yang boleh berbahasa mandarin.

Dalam kata lain, kaunselor dan guru Bahasa Melayu tidak layak berada di SKJC jika tidak menguasai dwi bahasa. Inilah dilema sistem pendidikan kita sejak dari dahulu. Akta demi akta diwujudkan dan dipinda, untuk meraikan orang lain. Tetapi, langsung tidak dihargai dan mereka tidak pernah bersyukur. Sekian lama merdeka, kita asyik terus bermain tarik tali. Tidak ada ketegasan dalam memperkasakan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Kedudukan bahasa Melayu terus terumbang-ambing, ibarat diluar mati bapak, ditelan mati emak. Lihatlah sekeliling adakah martabat bahasa kebangsaan terangkat?

Ada yang mengatakan kelunakan polisi dan dasar kerajaan ada kaitannya dengan soal undi dan pilihan raya. Kerajaan takut kehilangan undi bukan Melayu. Suka atau tidak, terima sahaja apa jua tuntutannya. Pegawai yang berada di kementerian berkaitan menjadi mangsa dan tertekan. Dari satu segi, memang ada kebenarannya, tetapi ditinjau dari sudut lain, inilah yang dikatakan keterbukaan kepimpinan negara untuk mencapai kesepaduan sosial.

Pada saya, apapun yang dilakukan, jangan sampai perlembagaan diketepikan, terutama soal bahasa kebangsaan. Jika adik Soo Yen boleh membuktikannya, saya tidak fikir orang lain tidak boleh atau terlalu sukar melaluinya. Tidakkah sepatutnya ia merupakan satu kebanggaan bangsa Malaysia?

Alasan kenapa kaunselor dan guru bahasa Melayu mesti mengusai dwi-bahasa cukup simplistik, pelajar sekolah vernakular tidak dapat memahami bahasa Melayu jika tidak diterjemahkan. Ini sudah tentu memberatkan mereka. Kesihan sungguh bahasa Melayu, selaku bahasa kebangsaan, masih ada rakyat Malaysia yang tidak faham. Ini kerana, kita beranggapan di peringkat sekolah rendah, kita tidak perlu berusaha bersungguh-sungguh mempelajari bahasa kebangsaan ini kerana bahasa ibunda lebih utama.

Sebelum ini mereka mendesak supaya kerajaan mengikhtiraf peperiksaan piawai yang dikenali sebagai Sijil Peperiksaan Bersama (Unified Examination Certificate/UEC) yang dikendalikan oleh mereka. Sesetengah pelajar di sekolah ini turut menduduki peperiksaan SPM sebagai calon persendirian. Program UEC dikendalikan oleh Dong Jiao Zong sejak tahun 1975.

Sijil UEC tidak diikhtiraf oleh Kerajaan Malaysia kerana tidak mematuhi kurikulum dan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran. Sijil ini tidak melayakkan mereka untuk masuk kemasukan ke IPTA Malaysia. Namun, sijil ini diakui sebagai kelayakan kemasukan di beberapa universiti luar negara seperti Singapura, Australia, Taiwan, China dan sesetengah negara Eropah.

Isu Sekolah Persendirian Cina kerap menimbulkan kontroversi kerana Dong Jiao Zong terus menerus mendesak kerajaan Malaysia supaya mengikhtiraf sijil ini. Permasalahan ini dapat diselesaikan jika mereka mematuhi kurikulum dan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh kerajaan Malaysia. Tetapi mereka terus berdegil. Mereka sanggup bersusah payah mendapat pengikhtirafan antarabangsa, tetapi di dalam negara menggunakan taktik ugut dan ancam.

Pada hemat saya, sudah sampai masanya kerajaan tegas dalam soal dasar. Tidak ada kompromosi. Langkah awal dengan menukar nama Sekolah Rendah kepada Sekolah Dasar, bersesuaian dengan makna Primary School dalam bahasa Inggeris, seperti yang dipraktiskan di Indonesia. Nama Sekolah Dasar lebih membawa signifikan yang perlu difikirkan bersama. Bila disebut Sekolah Dasar, membawa maksud kita mahu memupuk anak-anak bangsa kita memahami jati diri, mengerti asas-asas hidup bersama, dan menghayati dasar-dasar negara.

Jika sekolah dasar tidak diperkasakan masalah tidak akan selesai. Sebelum inipun, Dong Jiao Zong begitu kuat menentang hasrat kerajaan untuk menyeragamkan silibus bahasa Melayu di semua sekolah rendah. Untuk makluman, silibus Bahasa Melayu di sekolah vernakular lebih mudah berbanding dengan silibus Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan.

Alasannya adalah, pelajar-pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan tidak boleh diberatkan lagi silibus Bahasa Melayu yang agak sukar seperti di Sekolah Kebangsaan. Pelajar-pelajar sekolah vernakular telah dibebankan dengan tiga bahasa iaitu bahasa mandarin sebagai utama, bahasa Melayu sebagai bahasa kedua dan bahasa Inggeris sebagai bahasa ketiga.

Pengunjung blog saya melontarkan pengalaman dan luahan hatinya mengajar pelajar-pelajar sekolah vernacular. Katanya, majoriti pelajar ini tidak dapat berkomunikasi dalam bahasa Melayu, juga bahasa Inggeris. Keadaan ini menjadi mereka merasa inferioriti kompleks. Ini menjadi pergaulannya terhad dan malu untuk bergaul dengan bangsa lain.

Pada beliau, jika orang Melayu ke sekolah vernacular, ia adalah satu kredit kerana mereka dapat belajar berinteraksi dengan bukan Melayu. Tetapi pelajar-pelajar sekolah vernacular hanya berinteraksi sesama mereka. Jika selepas ini mereka terus melanjutkan pengajian ke sekolah menengah vernacular dan universiti vernacular, bayangkan bagaimanakah bentuk manusia yang dilahirkan.

Justeru, kadang kala sukar golongan ini menjadi pemimpin peringkat negara walaupun mereka berwibawa. Mereka hanya diterima menjadi ketua persatuan perkauman dan mengemukakan tuntutan yang karut marut. Kita lihat sekarang inipun ramai ahli politik yang tidak boleh berbahasa Melayu dengan baik. Bila didekati wartawan, kelam kabut menggunakan bahasa lain.

Benar, perjuangan bahasa Cina adalah antara rukun utama politik kaum Cina. Tetapi pasa masa sama, perlu juga menghargai toleransi dan sikap kerajaan yang begitu lunak selama ini. Janganlah terlalu mendesak sehingga apa juga tindakan kerajaan akan ditentang habis-habisan, walaupun sudah dirasionalkan. Kajian tidak dibuat secara serius tentang keberkesanan produk sekolah-sekolah vernacular ini, terutama dari segi kebolehan berbahasa dan interaksi dengan rakyat majoriti negara ini.

Justeru, saya meminta kerajaan supaya membuat kajian yang serius dan intensif tentang keberkesanan bahasa Melayu di sekolah vernacular dan produknya di kelas peralihan, supaya kita boleh bertindak berasaskan fakta, bukan berasaskan tuntutan dan desakan atau rayuan undi. Jika kementerian pelajaran tidak ada masa, kami selaku tenaga akademik boleh merentas kajian ini, tetapi sediakanlah dana yang mencukupi. Berdasarkan pengamatan awal, saya berani mengatakan ramai produk sekolah vernacular tidak boleh berbahasa kebangsaan. Jengoklah kelas beralihan di Sekolah Menengah Kebangsaan di sekitar Ampang. Di sini kita boleh mendapat jawapan kajian preliminari.

Kajian sebegini amat penting kerana pada saat inilah masa yang paling penting untuk mendidik anak bangsa selaras dengan peri bahasa, melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Pada sesetengah pihak biar mereka jahil bahasa kebangsaan tidak mengapa, asalnya mereka menguasai bahasa ibunda. Bila masalah ditimbulkan, masing-masing cuba menegakkan benang yang basah. Saling salah menyalah. Persoalan pokok tidak juga selesai.

Kita sebenarnya perlu belajar daripada adik Soo Yen yang mahu belajar bahasa lain, selain bahasa ibunda. Sama seperti orang Melayu yang ingin belajar bahasa Mandarin dengan menghantar anak-anak mereka ke sekolah vernakular. Persoalannya, sampai bilakah pelajar-pelajar sekolah vernakular akan terus kekal dengan kevernakularannya? Ini perlu difikirkan secara bersama. Gagasan 1Malaysia mahu kita melonggarkan sedikit sifat kevernakularan ini supaya masyarakat idaman (imagined society) dapat dilahirkan.

Artikel terbaharu Kua Kia Soong menuntut beberapa perkara berikut dilaksanakan dalam merealisasikan gagasan 1Malaysia. Menghapuskan semua bentuk diskriminasi berasaskan kaum, menghapuskan parti politik berasaskan kaum, menggubal akta hubungan kaum dan menubuhkan suruhanjaya untuk memberi peluang samarata, perkhidmatan kerajaan mesti diwakili oleh semua kaum dan semua sekolah dilayan sama rata dari segi bantuan kewangan dan prasarana.

Cadangan ini agak baik, walaupun kita tahu makna yang tersirat disebalik. Tetapi sebelum dilaksanakan, buktikan dahulu bahawa kita lebih mengutamakan agenda nasional daripada agenda terlalu mementingkan bangsa. Barulah gagasan 1Malaysia dapat direalisasikan.

Sunday, February 13, 2011

Jangan menang sorak

8:47 AM Posted by RIDHUAN TEE 142 comments
Mingguan Malaysia 13 Feb 2011

Unity in diversity memang sedap disebut dan asyik didengar. Bagi yang berkepentingan, kata-kata ini dijaja merata-rata. Namun, bagi yang mengkaji, pahit untuk dibicara, jika fakta akademik terus disembunyikan demi kepentingan politik.

Lihatlah keberanian Perdana Menteri Britain, David Cameron minggu lalu, kenyataannya mengenai “multi-culturalism” yang selama ini menjadi polisi negara itu telah gagal dalam pembinaan negara bangsa. Katanya, kebebasan keterlaluan mengikut budaya dan cara hidup masing-masing secara berasingan tidak berjaya membentuk rakyat Britain yang diidamkan. Budaya yang dimaksudkan itu termasuk undang-undang dan peraturan peraturan yang sedia ada.

Kini, mereka yang ingin tinggal di Britian didesak supaya menghormati budaya British (majoriti), yang dikenali dalam sejarah sebagai “luas pemandangan” atau liberal. Kerajaan Britain bertindak mengejar mereka yang tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan kerana menimbulkan banyak masalah.

Walaupun ucapan tersebut dirujuk kepada orang Islam, tetapi implementasinya adalah untuk semua yang ingin mendiami di sana. Dalam kata lain, gesaan Cameron itu tidak banyak bezanya dengan kenyataan Tun Mahathir baru-baru ini yang berbunyi “Tanah Melayu adalah milik orang Melayu”. “Negara British adalah untuk orang British”. Justeru, budaya dan bahasa majoriti mesti didaulatkan dan diterima bagi mereka yang ingin hidup bersama dalam sebuah negara.

Secara kebetulan pula, saya baru sahaja menonton cerita Shaolin yang sedang hangat ditayangkan di pawagam. Kata-kata “negara China milik orang Cina” begitu jelas sekali diungkapkan oleh hero filem Shaolin, Andy Lau. Babak tersebut langsung tidak dipotong oleh Lembaga Penapis Filem, walaupun dari sudut pembinaan jati diri, babak tersebut sepatutnya boleh dipotong. Begitulah liberalnya kita hidup dalam negara berbilang kaum. Saling hormat-menghormati.

Justeru, apakah salah jika Tun Dr Mahathir berkata “Tanah Melayu adalah milik orang Melayu” dari segi fakta akademik? Sama ada Mahathir Melayu tulin atau tidak, serangan peribadi yang selalu dilakukan, itu bukanlah persoalan utama. Sejarah memang tidak boleh dipadamkan, walaupun diungkap oleh sesiapapun. Ia mesti diperakui seperti kata Einstein. Itulah hakikat kejadian manusia yang dijadikan oleh Allah SWT.

Setiap negara ada sejarahnya sendiri. Rakyat Malaysia mesti mengakui negara ini adalah asal usulnya milik orang Melayu, termasuk Singapura. Sepatutnya, kita hendaklah berlapang dada menerima budaya dan bahasa masyarakat yang mendominasi itu.

Berbilang bangsa bukan berlaku secara semulajadi atau telah wujud berbilang bangsa sejak dunia ini diciptakan. Kajilah negara mana sekalipun yang berbilang bangsa, semuanya berlaku disebabkan oleh migrasi. Dengan makna, setiap negara atau sesebuah kepulauan, ada ‘penunggu’nya. Persoalannya, kenapa setiap kenyataan atau ungkapan hendak dipolitikkan?

Saya berada begitu mual apabila pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat (PR) menggesa Perdana Menteri agar respons kepada kenyataan Mahathir mendakwa Malaysia hanya milik orang Melayu dan kaum-kaum lain perlu menghormati kedaulatan orang Melayu negara ini. Pendapat David Cameron pun hampir sama dengan Mahathir. Kenapa Cameron tidak dipertikaikan oleh mereka yang tinggal di sana? Saya yakin, pemimpin Britain berjaya melahirkan rakyat yang bersyukur.

Perdana Menteri tidak perlu memberi respon, kerana itu bukan pendapatnya? Ia datang daripada bekas Perdana Menteri, pendapat peribadi seorang negarawan. Mahathir bebas memberikan pendapat dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi, seperti mana pembangkang dan orang lain memberikan pendapat.

Bacalah pendapat dan komen-komen dalam laman web Malaysianinsider, Malaysiakini, Malaysiatoday, cpiasia dan sebagainya. Pendapat mereka langsung tidak bertamadun. Tetapi ia terus disiarkan dengan megah oleh laman web tersebut dan diberi markah yang tinggi. Tiada tindakan diambil. Saya yakin jika mereka berada di Singapura, sudah lama dihumbankan ke dalam penjara. Kenapa mereka bebas menulis, orang seperti Mahathir tidak boleh?

Inilah nasib yang menimpa penulis seperti kami. Setiap kali menulis, keturunan kami dihina dan diungkit. Cacian dan makian yang kotor dihemburkan tanpa meneliti fakta terlebih dahulu. Saya tidak hairan, sebab masyarakat kita telah ditanam dengan pemikiran etnosentrik, prejudis dan stereotaip, yakni memandang rendah kepada cara hidup atau budaya orang lain. Pada segelintir golongan ini, budaya mereka sahaja yang baik, orang lain tidak.

Yang lebih memelikkan, kenapa bila DAP (termasuk PAP) mempertikaikan tentang kedudukan Islam dan menghina Islam, pemimpin Pakatan Rakyat tidak ditanya supaya memberi respon akan pendapat sekutunya itu? Malah dipuji pula pendapatnya.

Lebih menjijikkan, bila ada sahaja pendapat yang agak kontroversi, gagasan 1Malaysia dijadikan batu loncatan untuk mematahkan apa juga perkara yang dikira bertentangan dengan pendirian ultra kiasu ini. Tidakkah gagasan 1Malaysia mesti difahami dalam konteks sejarah negara ini dan perlembagaan yang telah dipersetujui bersama?

Saya boleh bayangkan jika tiadalah idea gagasan 1Malaysia, mereka akan cari seribu satu alasan untuk menghalalkan tindakan mereka.

Bukankah lebih baik kata-kata Mahathir itu dikaji dan hujahkan dari sudut akademik daripada memaki dan mencaci? Sekurang-kurangnya berlaku percambahan ilmu. Ini tidak, mereka seolah-olah tiada kerja lain, hanya mencari kesalahan dan kelemahan orang lain.

Saya ingin mencadangkan, selain daripada mengkaji sejarah asal-usul Tanah Melayu, pada masa sama, perbandingan sejarah hendaklah juga dibuat dengan negara lain.

Jika tidak mahu lihat negara jiran yang berdekatan, cuba tinjau negara yang berjauhan seperti New Zealand, Fiji, Australia dan sebagainya. Adakah negara ini berbilang bangsa dari segi asal-usul. Saya tidak perlu ulang lagi akan sejarah asal-usul Tanah Melayu, kerana nanti pembaca akan mengatakan seolah-olah saya sudah tidak ada idea lagi untuk menulis.

Di New Zealand, pribumi Maori tidak memerintah, tetapi diperintah oleh Pakeha, imigran kulit putih. Begitu juga di Fiji. Pribumi Fijian diperintah oleh imigran India. Namun, hak-hak pribumi tetap dijaga dan dipelihara, supaya tidak timbul konflik.

Malangnya, Maori dan Fijian telah terlambat, kerana mereka tidak memerintah tetapi telah diperintah. Apalah erti hak terjaga, jika kampung telah tergadai. Iktibar di dua negara ini perlu dijadikan teladan. Inilah yang menjadi ketakutan orang Melayu, setelah terlepasnya Singapura.

Saya yakin selepas ini, pihak ultra kiasu akan berhujah, pribumi Tanah Melayu adalah orang Asli, sama seperti Maori di New Zealand. Jika itulah hujahnya, maka saya berani mengatakan semua negara ada orang Asli.

Mahathir berkata lagi, nenek moyang negara ini memberikan orang Cina dan India taraf kewarganegaraan sebab mereka mengharapkan kedua-dua komuniti itu akan menghormati kedaulatan orang Melayu.

Kenyataan tersebut adalah benar berasaskan fakta sejarah. Ia tidak boleh diubah. Mahathir juga menekankan, bukan Melayu mesti menerima konsep Bangsa Malaysia untuk membantu memperkukuhkan perpaduan nasional. Jika orang Cina dan India terus melihat diri mereka berdasarkan negara asal mereka, maka ia bermakna mereka adalah imigran ke negara ini.

Dalam konteks politik, kenyataan ini memang tidak boleh dinafikan. Kiblat kita mesti Malaysia, bukan lagi negara lain jika benar-benar gagasan 1Malaysia hendaklah direalisasikan dengan jayanya. Pengorbanan setiap bangsa mesti dihargai, terutama pengorbanan orang Melayu.

Pengorbanan paling besar saya lihat apabila orang Melayu memberi laluan kepada bukan Melayu untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu, terutama kepada orang India (juga orang Cina). Mereka (India) langsung tidak ada kawasan majoriti, tetapi tetap diberi laluan untuk bertanding. Inilah toleransi yang tidak ada tolok bandingnya. Begitu juga pengorbanan bangsa lain dalam membangunkan bumi tercinta ini.

Malangnya toleransi sebegini tidak dihargai. Misalnya, ugutan dan desakan terus menerus dibuat. Kes novel Interlok adalah contoh jelas. Novel tersebut tidak kurangnya mengkritik orang Melayu yang dikatakan sebagai bangsa yang malas. Orang Melayu menerima seadanya. Tidak ada protes yang dibuat. Saya yakin kalau stereotaip ini dirujuk kepada bangsa lain, sudah tentu mereka akan lagi melompat.

Tindakan orang India menentang novel Interlok yang telah berusia 40 tahun, tanpa hujah kukuh, telah mengundang ketidakselesaan orang Melayu. Akibatnya, gabungan 138 NGO Melayu yang bernaung di bawah Majlis Perundingan Melayu (MPM) baru-baru ini, berikrar tidak akan memberikan sokongan kepada pemimpin India daripada pelbagai parti dalam mana-mana pilihan raya selepas ini.

MPM berpendapat, pemimpin dan aktivis kaum India telah memutarbelit dan berjaya mempengaruhi kerajaan untuk tunduk kepada ugutan dan tekanan dalam menangani kontroversi novel Interlok.

Inilah yang dikatakan menang pada sebelah pihak. Walaupun tuntutan ekstrim itu tidak terima sepenuhnya, yakni supaya novel Interlok diharamkan sebagai teks rujukan sekolah, tetapi mereka tetap menang. Kerana strategi mereka amat jelas iaitu buat tuntutan seekstrim-ekstrimnya, mereka tahu kerajaan tidak akan menerima semua yang diminta atau bersetuju sepenuhnya. Tetapi, kerajaan akan memberi sedikit atau bersetuju sebahagian. Pemberian sedikit atau sebahagian itu sebenarnya adalah kemenangan mutlak mereka.

Ini menunjukkan betapa lemahnya kita dalam menangani isu-isu etnik yang terlalu berkompromi dengan mereka ini sehingga sanggup mengenepikan apa jua analisis rasional dan akademik yang dihasilkan, bagi menangkis ugutan dan tuntutan mereka itu. Kita sanggup menggadaikan prinsip untuk meraikan orang lain. Tindakan ini seolah-olah menampakkan orang lain yang membuat kajian itu salah, orang politik yang bertindak betul.

Saya fikir tindakan MPM wajar difikirkan. Tidak timbul soal mereka mahu menimbulkan sentimen hasutan untuk membenci kaum India tetapi bagi menyatakan kekesalan terhadap kelemahan kerajaan yang tunduk dengan mudah kepada ugutan dan tekanan. Malah, tiada sebarang tindakan diambil terhadap kumpulan yang membakar novel Interlok dan gambar poster penulis novel tersebut, yang berbau hasutan. Bayangkan jika orang Melayu yang melakukannya.

Inilah yang dikatakan, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan. Menang sorak kampung tergadai.

Semua orang tahu, baik macam mana sesuatu perkara itu, sekiranya ada campur tangan politik, bagi memenuhi kepentingan sesetengah pihak, dengan mudahnya perkara tersebut akan berubah. Pihak yang mempolitikkan isu ini adalah satu hal. Pihak yang berpolitik satu hal yang lain. Sebenarnya, perkara inilah yang mencemar perpaduan negara yang telah terbina sekian lama.

Novel ini bukan satu ancaman kepada perpaduan negara, tetapi manusia yang cetek akal inilah ancaman sebenar. Sayangnya ilmu yang mereka miliki tidak mampu untuk melihat keindahan yang cuba dibawa oleh penulis novel ini. Jika kelemahan yang dicari, maka kelemahanlah yang dijumpai. Sebaliknya, jika kebaikan yang menjadi kunci, maka kemuliaanlah akan ditemui.

Sunday, February 06, 2011

Memahami politik kaum Cina

7:42 AM Posted by RIDHUAN TEE 111 comments
Mingguan Malaysia 6 Feb 2011

Pilihan raya Dewan Undangan Negeri Tenang telahpun berakhir. Prestasi Barisan Nasional lebih baik berbanding tahun 2008, terutama peningkatan undi Melayu. MCA mengatakan undi Cina kepada BN meningkat. Sebaliknya DAP pula mendakwa sebaliknya. Pengaruh MCA dikatakan semakin merosot kalangan masyarakat Cina. Siapakah yang berkata benar? Buatlah post-mortem dan kajian, daripada bercakap kosong bagi menunjukkan seolah-olah kita bagus atau boleh buat kerja.

Apapun, pada saya sama ada undi Cina terhadap BN meningkat atau merosot tidaklah penting sangat, kerana amalan demokrasi membenarkannya. Rakyat bebas memilih parti yang disukainya. Cuma yang amat menyedihkan adalah cara berpolitik dengan memberi tekanan atau mengungut kerajaan.

Ketika kempen pilihan raya tersebut berlangsung, Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Johor, Hua Zong, yang turut disokong oleh MCA, memberi kata dua kepada kerajaan supaya membuka semula Sekolah Menengah Persendirian Cina di Segamat. Jika tidak, orang Cina akan beralih arah atau tidak mengundi BN. Ugutan ini seolah-olah menampakkan selama ini mereka mengundi BN. Apakah benar?

Saya berani mengatakan bahawa majoriti Cina tidak mengundi BN. Tidak perlu buat kajian, lihat jumlah undi yang diperolehi oleh BN di kawasan bandar selama ini. Kenapa DAP terus dan begitu mendominasi?

Taktik mengatakan bahawa orang Cina tidak akan mengundi BN adalah taktik basi. Ini bukanlah kali pertama persatuan ini mengamalkan taktik licik sedemikian. Mereka akan mencari seribu alasan, menggunakan segala ruang dan peluang untuk menambah sesuatu yang telahpun mereka dapat. Malangnya, kajian tidak dibuat, kita terus tunduk kepada tuntutan dan desakan.

Rukun

Sebelum saya menulis lebih lanjut, eloklah sama-sama kita memahami tiga rukun atau sangga utama yang menjadi pegangan masyarakat Cina atau perjuangan hidup matinya. Sama ada wajar atau tidak, kita fikirkan bersama. Apa yang penting, bagaimanakah kita boleh memanipulasikan rukun-rukun ini untuk sama-sama menjayakan gagasan 1Malaysia.

Rukun pertama adalah mempertahankan pendidikan Cina. Melibatkan 1300 Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan 60 Sekolah Menengah Persendirian Cina di seluruh negara. Sudah tentu jumlah sekolah ini akan bertambah dari tahun ke tahun. Menurut badan penyelidikan MCA (INSAP), perjuangan pendidikan Cina oleh orang Cina sama seperti perjuangan menegakkan Islam oleh orang Melayu.

Rukun kedua, mempertahankan penerbitan akhbar Cina yang melibatkan 6 akhbar harian di Semenanjung dan 8 di Sabah Sarawak. Akhbar bahasa Cina adalah akhbar yang paling banyak dalam pasaran berbanding akhbar bahasa lain, termasuk akhbar berbahasa Melayu. Kenapa bahasa Melayu kurang dibaca oleh bukan Melayu, jawablah sendiri, tepuklah dada?

Manakala, rukun ketiga mempertahankan persatuan-persatuan Cina (Huatuan). Melibatkan lebih 8000 buah persatuan seperti persatuan rumah ibadat, puak (clan) dan bahasa, persatuan politik dan pendidikan, persatuan perniagaan dan perdagangan. Dalam banyak-banyak persatuan ini yang paling berpengaruh bukannya parti-parti politik mereka, tetapi adalah persatuan bahasa dan pendidikan, seperti Hua Zong, Dong Zong dan Dong Jiao Zong.

Ketiga-tiga rukun ini majoritinya mempengaruhi orang Cina di Malaysia dan tidak boleh disentuh. Mereka bersatu dan berpadu jika hak mereka tergugat. Sesiapa yang mengkaji proses sosialisasi politik, agen-agen ini amat berpengaruh dalam membentuk persepsi dan pendirian seseorang. Hasil sosialisasi inilah yang telah melahirkan bentuk masyarakat Malaysia yang ada pada hari ini.

Bukan Melayu

Bagi bukan Melayu atau minoriti yang lain, saya percaya, mereka juga berpegang kepada rukun tersebut, tetapi tidaklah sekuat pegangan orang Cina. Misalnya, bagi orang India, agama amat penting pada mereka. Justeru, sensitiviti perlu dijaga.

Begitu juga orang Melayu. Perkara berkaitan dengan Islam, seperti iman dan Islam seseorang, kalimah Allah, Rasulullah, babi, dan sebagainya adalah amat sensitif. Kenyataan Lee Kuan Yew yang mahukan umat Islam supaya tidak berpegang kuat kepada Islam dikira amat sensitif. Kontroversi semakin menjadi bertambah hangat apabila Tuan Guru Nik Abdul Aziz menyokong kenyataan tersebut. Pendapat Kuan Yew dikatakan lebih baik daripada perjuangan UMNO yang bersifat nasionalis. Dalam kata lain, pendapat Kuan Yew itu tentang Islam itu betul, perjuangan Melayu dan Islam UMNO itu salah.

Pandangan sebegini perlu dibuat dengan berhati-hati. Seteruk mana pun orang Melayu, mereka amat pantang jika ada seseorang yang mempertikaikan keIslamannya. Kerana bagi orang Melayu tidak kira UMNO atau PAS, agama adalah nombor satu dan tidak boleh diperlekehkan.

Orang Melayu amat sensitif dengan agama, sama seperti sensitiviti orang Cina terhadap bahasa. Dengan sebab itu, sehingga ke hari ini, pemerkasaan terhadap Islam lebih menonjolkan berbanding pemerkasaan bahasa Melayu itu sendiri, walaupun kedua-dua perkara ini jelas termaktub dalam perlembagaan. Pendek kata, agama Islam lebih banyak diarusperdanakan, berbanding kedudukan bahasa Melayu itu sendiri sebagai bahasa kebangsaan.

Malang sungguh kedudukan bahasa kebangsaan ini. Tidak banyak usaha dibuat untuk mendaulatkannya, kerana bagi kita ia tidak penting. Lagi pula menguasai bahasa Melayu tidak dapat membawa kita ke mana-mana. Inilah rata-rata persepsi kita. Lebih menyedihkan lagi apabila membaca iklan temuduga jawatan. Antara syaratnya mesti fasih berbahasa mandarin dan Inggeris.

Maka tidak hairanlah jika bancian penduduk baru-baru ini, membuktikan bahawa penguasaan bahasa Melayu di kalangan orang Cina masih lemah, sehingga terpaksa menggunakan khidmat penterjemah. Semua ini ada kaitan dengan tiga rukun tersebut. Benar, bahasa itu jiwa bangsa. Tetapi perlu juga dibezakan antara kepentingan bahasa negara bahasa bangsa. Yang mana satukah lebih utama?

Berbalik kepada tuntutan dan desakan mendirikan sekolah menengah vernacular, pada saya cukuplah dengan sekolah rendah vernacular yang sedia ada dan bertambah dari tahun ke tahun. Enam tahun dipisahkan sejak kecil adalah suatu jangka masa yang lama untuk mereka mensosialisasikan diri dengan persekitaran selanjutnya. Jika mereka terus berada di sekolah menengah vernacular, apakah sosialisasi begini sihat untuk membina bangsa Malaysia dan menjayakan gagasan 1Malaysia?

Ketua Pemuda MCA pernah berhujah bahawa enam tahun di sekolah rendah vernacular adalah jangka masa yang pendek berbanding dengan sekolah menengah dan pengajian tinggi. Justeru, pada beliau, menyalahkan pendidikan rendah vernacular adalah tidak wajar. Hujah ini menampakkan seolah-olah beliau menyalahkan pendidikan kebangsaan yang sedia ada.

Terus terang, saya masih boleh bersetuju dengan pendapat ini. Persoalannya, apakah kita mahu memisahkan mereka lagi dengan penambahan pendidikan menengah vernacular? Kenapa desakan ini begitu kuat bergema di Tenang dan mungkin juga pilihan raya kecil DUN Merlimau?

Komitmen

Perlu diingat, komitmen kerajaan terhadap sekolah vernacular amat tinggi dan belum pernah dilakukan oleh negara-negara lain. Perdana Menteri secara telus mengatakan pendidikan vernacular adalah sebahagian daripada pendidikan nasional. Bermakna, kewujudan sekolah vernakular telahpun diiktiraf. Ia merupakan satu kredit kepada bangsa Malaysia kerana dapat menguasai bahasa mandarin. Apatah lagi pasaran akan datang akan didominasikan oleh pasaran negeri China.

Malah, ketika Perdana Menteri menjadi Menteri Pelajaran, kedudukan sekolah vernacular terus diperkukuhkan pada tahun 1996. Inilah toleransi yang tidak ada tolok bandingnya. Di Johor sahaja, sekolah vernacular mendapat peruntukan tahunan sebanyak RM1.5 juta. Mana ada satu sistem di dunia ini sekolah berasaskan kaum dibiayai oleh kerajaan?

Dilihat dari sudut positif, memang benar ia suatu kelebihan. Namun, pada masa sama, kita perlu tangani pula kesan negatifnya apabila bahasa kebangsaan tidak dikuasai. Malangnya, setiap kali kerajaan bercadang untuk memperkasakan bahasa Melayu di sekolah vernacular, idea ini terus ditentang habis-habisan oleh persatuan tersebut.

Benar, kita akan berkata selama inipun, sejak kewujudan sekolah vernacular, kita masih tidak berkonflik. Masih berlaku kesepaduan sosial atau social cohesion. Kita hanya bertikam lidah. Masih lagi tidak berlaku parang-memarang atau parang wagging. Dengan maksud, keadaan masih lagi baik.

Persoalan saya, kenapa kita tidak cari jalan untuk mencapai yang terbaik? Bukan maksud saya dengan menghapuskan sekolah vernacular. Tetapi perancangan mesti dibuat, bagaimana sekolah kebangsaan dan sekolah vernacular dapat berinteraksi? Apakah program dan aktiviti yang perlu disusun agar berlaku silang budaya antara sekolah-sekolah ini? Misalnya program lawatan sambil belajar, perlawanan persahabatan, kempen bahasa kebangsaan dan sebagainya.

Saya hanya akan bersetuju dengan pembinaan sekolah menengah vernacular jika benar-benar bahasa Melayu dapat diperkasakan dalam 60 buah sekolah menengah vernakular yang sedia ada. Buatlah kajian akan kesannya terhadap pembinaan negara bangsa. Untuk sementara ini, janganlah terlalu menggugut dan mendesak kerajaan.

Tindakan sebegini akan menyebabkan kaum lain menyimpan rasa dan dendam. Dendam inilah yang akan menjadi bara api perkauman, yang tidak pernah padam. Inilah yang bahaya.

Ketika pilihan raya kecil Tenang berlangsung, saya sempat berada di bandar Tangkak untuk beberapa jam. Apa yang menyedihkan adalah melihat pembinaan semula sebuah rumah ibadat yang menaranya betul-betul sebaris dengan longkang jalan utama.

Saya amat musykil bagaimana Majlis Daerah boleh meluluskan pembinaan tersebut. Saya tidak bermaksud menghalang pembinaan rumah ibadat tersebut. Tetapi pembinaan menaranya sebaris dengan jalan utama sudah tentu tidak mengikuti garis panduan atau spesifikasi perancangan bandar, yakni sebaik-baiknya 40 kaki daripada jalan utama atau sekurang-kurang 20 kaki. Apakah perkara ini juga ada kaitannya dengan politik desak dan ugut seperti di Tenang?

Kebebasan beragama dan menghormati kepelbagaian juga hendaklah berpandu kepada undang-undang. Kita sepatutnya bersyukurlah kerana dikebanyakan di dunia seperti Jerman, Perancis, Indonesia, Thailand dan sebagainya, mereka mengamalkan konsep keseragaman atau unity is uniformity untuk mencapai perpaduan. Dalam kata lain, 1 bangsa, 1bahasa dan 1negara.

Sudah pasti kita tidak dapat melakukannnya kerana kita mengamalkan kepelbagaian atau unity in diversity bagi mencapai perpaduan. Bagi kita kepelbagaian merupakan satu kekuatan. Namun, terlalu banyak berbezapun menimbulkan masalah juga. Bolehkah kita satukan masyarakat yang sejak kecil telah dipisahkan? Jika ditambah lagi dengan pendidikan vernacular peringkat menengah seterusnya diikuti dengan memasuki IPTS berasaskan kaum, apakah citra gagasan 1Malaysia akan tercapai?

Sunday, January 30, 2011

Manfaatkan Tahun Baru Cina

7:06 AM Posted by RIDHUAN TEE 114 comments
Mingguan Malaysian 30 Januari 2011

Tahun Baru Cina menjelang tiba. Malah, bahangnya begitu dirasai apabila limau mandarin diagih-agihkan ketika kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Tenang sehinggalah hari pengundian pada hari ini.

Ramai yang bertanya bolehkah umat Islam bersama-sama orang Cina menyambut Tahun Baru Cina. Saya ingin menegaskan di sini, boleh. Tidak timbul masalah selagi kita pandai menjaga batas-batas sebagai seorang Islam.

Tahun Baru Cina adalah perayaan budaya, tidak ada kena-mengena dengan agama. Malah digalakkan jika mahu menyambutnya demi dakwah, terutama saudara Muslim Cina yang telah memeluk Islam.

Hari raya orang Cina adalah Tahun Baru Cina. Berbeza dengan Islam, tahun baru Islam dikenali sebagai tahun baru hijrah atau Maal Hijrah, tidak akan kaitan dengan hari raya. Manakala hari raya dalam Islam adalah hari raya puasa dan hari raya kurban. Dari segi signifikannya, sambutan hari raya lebih membawa banyak erti, kerana nasnya jelas, berbanding sambutan tahun baru.

Bagi orang Cina, tahun baru membawa signifikan yang cukup bermakna. Jika mahu melihat orang Cina berhenti bekerja atau cuti rehat, tahun baru akan menyaksikan segala. Selebihnya masa setahun digunakan untuk bekerja. Kerja keras tanpa kenal erti penat. Sikap sebegini perlu dicontohi oleh umat Islam, jika mahu dipandang hebat. Malangnya, ada yang hanya bekerja sehari, mahu hidup sebulan atau setahun, dengan menggunakan jalan pintas seperti mengambil rasuah.

Sebagai Cina Muslim, saya tidak ketinggalan, saban tahun ‘menyambut’ tahun baru bersama-sama ahli keluarga seperti ibu tercinta dan sanak saudara. Matlamatnya tidak lain, dakwah. Sambutan ini penting untuk menunjukkan bahawa apabila memeluk Islam, kita tidak menjadi ekstrim atau meninggalkan cara hidup lama yang tidak bertentangan dengan Islam.

Walaupun menjelang sambutan Tahun Baru Cina, ada upacara sembahyang. Itu hanya sebagai tanda ingatan kepada nenek moyang, tidak ada kaitan dengan agama. Sebagai Cina Muslim, kami tidak campur tangan dalam upacara tersebut.

Dakwah

Pada saya, daripada menyambut tahun baru Masehi, lebih baik kita menyambut Tahun Baru Cina. Kerana impak dakwahnya lebih besar dan bertepatan dengan gagasan 1Malaysia. Lagipun cara sambutannya tidaklah seghairah menyambut tahun masehi yang penuh dengan hiburan.

Tidak dinafikan bahawa tahun masihi dijadikan tarikh utama di dalam kalendar masyarakat antarabangsa. Boleh menyambutnya jika tahu menjaga adab sopan. Apa yang menyedihkan, setiap tahun menjelang masuk tahun baru masihi, berbagai acara sambutan secara besar-besaran diadakan sehingga tidak menampakkan nilai keilmuan dan ketimuran.

Justeru, jika ada pilihan antara dua perayaan ini, saya lebih prefer untuk ‘menyambut’ tahun baru Cina kerana signifikan dakwahnya lebih besar serta menyumbang kepada matlamat gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri.

Sebenarnya cara orang Islam dan orang Cina mengira atau menghitung hari atau tahun baru pendekatan yang hampir sama, walaupun cara sambutan berbeza. Kalendar Islam dan kalendar Cina disebut sebagai kalendar kamari (bulan) atau kalendar lunar, yakni berasaskan kepada peredaran bulan.

Perayaan Tahun Baru Cina lahir dari rasa takut dan mitos. Legenda berbicara tentang binatang liar bernama Nien (juga membawa makna "tahun") yang muncul di akhir setiap tahun di Tanah Besar China suatu ketika dahulu. Nien dikatakan bertindak menyerang dan membunuh penduduk kampung. Cara untuk menghalau dan menakut-nakutkan Nien adalah dengan menggunakan bunyi letupan (mercun) dan cahaya terang benderang (bunga api).

Kejayaan menewaskan Nien ini telah disambut sebagai permulaan kepada tahun baru Cina dengan mengambil kira nama 12 jenis binatang terpilih yang silih berganti setiap tahun. Perayaan yang bersamaan dengan permulaan kepada musim bunga di China adalah permulaan kepada bulan baru dan zodiak baru.

Terdapat berbagai versi cerita bagaimana binatang ini dipilih. Antaranya, lagenda meriwayatkan, bahawa suatu masa dahulu Gautama Buddha telah menjemput semua binatang untuk mengadapnya, tetapi cuma 12 binatang sahaja berkumpul.

Sebagai penghargaan dari Buddha, kesemua binatang ini diberi penghormatan menjadi zodiak yang mulia bagi masyarakat Cina. Binatang-binatang itu ialah anjing, khinzir, tikus, monyet, harimau, kambing, ayam, kuda, ular, naga, lembu dan arnab.

Ada yang percaya mereka yang lahir dalam tahun-tahun ini akan mewarisi sifat dan untung nasib binatang tersebut. Tahun ini pula jatuh pada tahun arnab.

Tidak perlulah saya huraikan sama ada tahun arnab membawa tuah atau tidak, kerana tidak semua mempercayainya, apatah kita sebagai umat Islam. Takdir, ajal maut, susah senang adalah di bawah qada dan qadar Allah. Kita hanya berusaha, Tuhan sahajalah yang menentukannya. Tetapi yakinlah, Allah tidak akan sia-siakan usaha orang yang ingin merubah hidup, tidak kira pada tahun apa sekalipun.

Namun, jika ada orang Cina percaya kepada untung nasib tahun binatang yang silih berganti itu maka hormatilah kepercayaan hidup mereka.

Makan besar

Pada orang Cina, tahun baru melambangkan titik permulaan dalam nasib dan kehidupan. Lantaran itu, permulaan tahun baru disambut pada waktu menjelang maghrib (kalendar kamari) dengan makan besar atau reunion dinner sebagai tanda perjumpaan besar atau persaudaraan.

Makan tradisi akan dihidangkan seperti daging itik, daging salai, sosej, kuih pulut dan limau mandarin. Tidak ketinggalan yee sang dan kuih bakul. Rumah akan dibersihkan dan dihiasi. Bersama-sama dengan warna merah, tanglung, mercun dan pakaian tradisi, yang menjadi simbol tradisi kemeriahan masyarakat Cina. Budaya ini telah diwarisi turun temurun.

Mercun dibakar pada tengah malam bagi menandakan bermulanya tahun baru dan menghalau hantu dan perkara tidak baik. Ucapan Gong Xi Fa Cai atau Kiong Hi Huat Chai (Hokkien) lazim kedengaran maksud tahniah! Semoga bertambah atau dimurahkan rezeki.

Terdapat juga keluarga yang mengundang tarian singa sebagai upacara simbolik untuk menyambut tahun baru sambil menghalau puaka dan musibah dari rumah. Juga tidak dibenarkan menyapu sampah kerana ada yang percaya seolah-olah menolak rezeki atau menyapu rezeki keluar.

Golongan muda pula akan melawat golongan tua dan menerima wang ang pau dalam sampul merah bagi melambangkan nasib baik, yang diberikan oleh orang yang berkeluarga kepada mereka yang masih belum kahwin. Budaya ini juga turut diikuti orang Melayu ketika menyambut hari raya dengan warna ang pau yang berbeza (hijau).

Budaya

Di Malaysia, telah diisytiharkan bahawa dua hari pertama bagi Tahun Baru Cina adalah cuti umum. Namun, hari kesembilan (juga tahun baru bagi orang hokkien) dan kelima belas atau ‘Chap Goh Mei’ tidak kurang pentingnya. Ia adalah hari terakhir bagi bulan penuh, menandakan penutup bagi perayaan ini.

Islam tidak melarang menyambut perayaan budaya ini. Begitu juga memakan yee sang menggunakan sepit, dan makanan yang lain, selagi mana ia halal. Inilah universaliti Islam. Meniru atau mengikut budaya atau cara hidup orang lain tidak salah. Kerana kejadian berbangsa-bangsa ini adalah ciptaan Allah SWT. Selagi mana budaya tersebut tidak bercanggah dengan Islam, selagi itu kita boleh raikan. Termasuk menggantung lampu tanglung.

Jangan pulak jika ada saudara kita Cina Muslim yang menggantung lampu tanglung, kita tuduh mereka tidak Islamik kerana saya belum pernah melihat orang Arab berhari raya menggantung lampu pelita, lampu ketupat dan bulan bintang. Ini adalah hanya budaya bangsa Melayu. Budaya setiap bangsa saling berbeza.

Bangsa Arab ada identiti lampunya tersendiri dan cara menghiasi rumah. Sama juga dengan seni reka bentuk masjid yang berkubah dan tidak berkubah. Kita tidak boleh kata seni reka bentuk Pagoda tidak Islamik. Kerana senibina kubah yang ada rata-rata pada masjid hari ini bukan senibina Arab atau Islam tetapi seni bina Moorish-Indian. Justeru, di manakah senibina Islam? Jawapannya, universaliti Islam menerima segala bentuk budaya dan seni reka selagi tidak bercanggah dengan asas Islam. Dengan sebab itu, Islam tidak ada lambang khusus yang menentukan kita Islamik atau tidak. Yang penting iman dan takwa. Lambang tidak penting seperti orang Yahudi.

Berbangsa-bangsa

Pendek kata, berbangsa-bangsa adalah ciptaan Allah SWT. Allah yang menjadi Melayu, Cina, India, bumi putera Sabah Sarawak dan semua bangsa di dunia ini. Mereka ada cara hidup dan budaya sendiri. Tidak salah mengamalkan jika tidak keterlaluan atau bercanggah dengan Islam.

Cuma satu sahaja saya ingatkan supaya umat Islam tidak terlibat dalam hiburan melalaikan, walaupun tidak salah kita meraikan bersama atas semangat 1Malaysia. Ini digambarkan oleh firman Allah SWT dalam surah Al-A’raf ayat 51 yang bermaksud “Orang-orang kafir itu ialah orang-orang yang menjadikan perkara-perkara agama mereka sebagai hiburan yang melalaikan dan permainan, dan orang-orang yang telah terpedaya dengan kehidupan dunia (segala kemewahannya dan kelazatannya)”.

Ingatan Allah SWT ini amat jelas supaya kita tidak melampaui batas. Rasulullah SAW bersabda: Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum itu, maka dia dianggap salah seorang dari kalangan mereka” (Riwayat Al-Imam Abu Daud).

Justeru, pada saya menyambut tahun baru Cina tidak salah, kerana ia adalah perayaan 1Malaysia. Tetapi pandai-pandailah menjaga batas-batasnya. Sama juga menyambut Hari raya puasa dan hari raya korban adalah ibadah. Tetapi jika cara kita sambut sehingga terkeluar dari norma-norma Islam, maka ibadah akan bertukar kepada padah. Pahala bertukar kepada dosa. Pendek kata, bukan soal perayaan itu yang menjadi masalah tetapi cara kita menyambut perayaan tersebut. Jika kita isi dengan hiburan yang melalaikan sudah tentu sambutan yang awalnya bersifat ibadah, tidak mendatangkan pahala lagi melainkan dosa dan musibah.

Akidah adalah perkara yang sangat penting dalam agama Islam yang mesti dipelihara dan dijaga dengan sebaik-baiknya oleh semua umat Islam. Oleh itu, sebagai umat Islam kita janganlah terikut-ikut kepada perkara-perkara yang boleh merosakkan akidah kita. Kita juga hendaklah berhati-hati dan berwaspada agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah SWT.

Kepada seluruh masyarakat Cina saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Tahun Cina, Gong Xi Fa Cai, maaf dipohon jika penulisan saya selama ini ada mengguris hati kalian.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, January 23, 2011

Selesaikan masalah menerusi dialog

7:20 AM Posted by RIDHUAN TEE 72 comments
Mingguan Malaysia 23 Januari 2011

Nampaknya hari demi hari isu-isu agama sentiasa menghantui masyarakat kita, seolah-olah tidak pernah habis. Belumpun reda isu azan dan novel interlok, kini timbul isu pelatih PLKN beragama sikh dipotong rambutnya oleh pelatih-pelatih lain sekhemah dengannya. Sama ada benar atau tidak, atau sengaja dibuat-buat, kita tunggu hasil siasatan. Saya yakin selepas ini akan timbul lagi, lagi dan lagi. Punca dan tujuan dibangkitkan Tuhan sahaja yang tahu. Tetapi kita tidak boleh duduk diam.

Apakah kita akan terus dilingkungi dengan masalah-masalah sebegini? Tidakkah lebih baik masa yang ada digunakan untuk memikirkan bagaimana menjayakan gagasan 1Malaysia yang bermatlamatkan perpaduan? Di manakah titik toleransi untuk kita bekerjasama?

Pada saya, sudah sampai masanya dialog antara agama dan peradaban mengambil tempat seperti yang dipelopori Islam sejak zaman berzaman. Dialog bukan bertujuan untuk mencari siapa yang salah atau siapa yang betul. Tetapi pendekatan lebih kepada untuk mencari kebenaran. Dialog tidak boleh mendabik dada dengan mengatakan kita sahajalah yang terbaik, sedangkan orang lain tidak. Jika itulah kesudahannya, dialog tidak akan mencapai persetujuan. Yang wujud adalah pertegangan leher antara kedua belah pihak. Gagasan 1Malaysia perlu menjadikan dialog sebagai agenda utama.

Sebagai agama yang bersifat universal, kepentingan dan keperluan dialog amat jelas dan tuntas dalam Islam. Menurut Ramli Awang (2008), Islam sentiasa menyeru supaya penganutnya berfikiran bebas, tidak bertaklid membuta tuli kepada mana-mana manusia. Umat Islam diseru supaya hidup bersama orang lain dengan saling menjaga keamanan satu sama lain.

Dalam sejarah Islam, banyak terjadi perbahasan dan dialog antara para cendekiawan Islam dengan cendekiawan agama-agama lain. Bekas Presiden Iran, Mohammed Khatami, telah mengemukakan dialog antara peradaban kepada masyarakat dunia. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga telah menamakan tahun 2004 sebagai tahun Dialog Antara Peradaban.

Menurut Diez-Hochleitner (2009) pemimpin-pemimpin negara (dunia) jangan sesekali berhenti untuk melibatkan diri dalam dialog, dan bekerjasama atas nama kewujudan bersama secara harmoni. Barat seharusnya berhadapan dengan Timur secara bersemuka atas dasar sama rata.

Walaupun kita mempunyai asal usul budaya dan kepercayaan yang berbeza, kita telah menunjukkan di dalam dialog, bahawa betapa luasnya titik persamaan kesefahaman kita dalam usaha untuk memberi khidmat kepada manusia dan juga alam semula jadi. Daripada terlibat dalam pertembungan peradaban, lebih bermakna lagi jika kita memberi tumpuan kepada berdialog dan bekerjasama, terutama pada ketika seluruh dunia sedang mengalami ketidakpastian dan kebimbangan yang semakin menjadi-jadi akibat dominasi kuasa-kuasa besar.

Islam telah mempelopori dialog sejak dahulu lagi. Dialog pertama antara Muslim dan Kristian telah berlaku semasa hijrah pertama umat Islam ke Habsyah. Disebabkan umat Islam ditindas dan ditekan oleh kaum Musyrikin Mekah. Menurut Menurut Martin Lings atau nama Islamnya, Abu Bakr Siraj Ad-Din, rombongan tersebut disertai oleh 14 orang lelaki dan empat orang perempuan termasuk Uthman bin Affan dan isterinya Ruqaiyyah, Jaafar bin Abu Talib dan isterinya lebih 1400 tahun dahulu (Ramli Awang, 2008). Justeru, tidak timbul soal Islam tidak bersifat terbuka dan mengambil pendekatan esktrim seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Ramai percaya dalam syarat-syarat berdialog, kedua pihak mesti bersetuju mempunyai kesefahaman dengan kepercayaan orang lain, menghormati perbezaan fikiran dan keyakinan, berilmu, menjaga adab dialog, bebas memilih, dan tidak menggunakan pendekatan teologi. Pun begitu, jika pendekatan teologi mahu digunakan haruslah jangan sampai menghina agama lain.

Namun demikian, dalam keadaan-keadaan tertentu, kadangkala dialog tidak mampu mengambil tempat, terutama apabila adanya tangan-tangan zalim yang dengan tidak semena-mena menyerang dan merompak kekayaan sesebuah negara.

Dalam situasi sebegini, Islam menyarankan pembelaan diri dan meminta kepada pihak yang dizalimi agar bangkit untuk melawan semampunya untuk merebut kembali hak mereka yang dirampas. Misalnya, keadaan yang berlaku di Palestin. Dialog antara peradaban tidak dapat mengambil tempat kerana hak umat Islam telah dirampas oleh Yahudi Zionis. Lebih dahsyat lagi, umat Islam telah dibunuh saban hari. Tidak ada gunanya dialog, melainkan dengan berjihad. Malangnya, umat Islam hanya melihat apa yang berlaku di sana.

Maka tidak hairanlah jika dialog tidak dapat mengambil tempat kerana ada pihak yang mengambil pendekatan berat sebelah. Dalam hal ini, adalah tidak mustahil jika pandangan Samuel Huntington (1997) dan Francis Fukuyama (1992) ditolak kerana kecenderungannya lebih kepada dendam dan bersifat monopoli. Pendirian kedua-dua cendekiawan Amerika Syarikat ini mendapat protes meluas dari banyak pemikir dan cendekiawan dunia, termasuk orang Barat sendiri. Akhirnya, Huntington dan Fukuyama terpaksa membetulkan pandangannya dan mengakui akan kemungkinan kebangkitan peradaban Islam.

Justeru, sebagai sebuah negara yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, kita perlu mengambil langkah ke hadapan. Dialog perlu dijadikan budaya masyarakat, bukan mengambil pendekatan hentam keromo.

Dialog ini penting kerana terdapatnya perbezaan fahaman dan amalan agama, kecurigaan kepada mereka yang berlainan agama dan didorong oleh keperluan menyebarkan dakwah. Lantaran itu, dialog antara agama perlu dijadikan medan untuk bertukar-tukar pandangan tentang masalah dan kehidupan kemanusiaan yang berlandaskan agama masing-masing. Realitinya, agak sukar untuk dialog berjalan dengan baik selagi masing-masing penganut masih diselaputi bibit-bibit prasangka dan kecurigaan.

Untuk mengurangkan sifat negatif ini, dialog harus memiliki tujuan yang positif bagi mengikis rasa curiga, memahami orang lain, merapatkan hubungan kemanusiaan, membina tamadun manusia yang utuh, menjelaskan hakikat sebenar tuduhan, memupuk rasa saling menghormati, mengakhiri dendam kesumat dan permusuhan, menciptakan persatuan dan mengeratkan silaturrahim, dan membimbing manusia ke jalan yang benar.

Jika perkara ini dapat difahami, saya yakin matlamat gagasan 1Malaysia akan menjadi realiti. Kita tidak mahu perkara yang telah selesai dipertikaikan. Permohonan maaf isu azan yang menimbul keributan baru-baru ini bukan bermakna, perkara ini tidak akan berbangkit lagi. Masih banyak lagi yang terpendam sebenarnya. Puncanya jelas, kita kurang memahami sensitiviti hidup umat Islam dan kedudukan Islam dalam perlembagaan.

Di pihak Islam pula, jika isu azan jika tidak ditangani dengan betul akan merugikan dakwah Islam. Sudahlah bilangan yang memeluk Islam kalangan bukan Islam kurang daripada satu peratus, mewakili setiap bangsa di negara kita, jika dipolitikkan lagi, sudah tentu minat untuk mendekati Islam semakin menurun.

Saya tidak pasti sama ada orang bukan Islam masih tidak dapat membezakan antara azan, tarhim, bacaan Quran dan zikir, yang selalu berkumandang pada pembesar suara masjid dan surau. Begitu juga dengan ceramah yang menggunakan pembesar suara.

Namun, jika azan itu tidak dapat dibezakan, alangkah malangnya setelah lebih 54 tahun merdeka perkara ini masih tidak difahami sedangkan ia dialunkan saban hari. Maka, sudah menjadi kewajipan kepada kita semua untuk menerangkan kepada orang bukan Islam hakikat yang sebenar.

Kadangkala saya tidak menyalahkan bukan Islam, kerana kita yang mengelirukan ajaran Islam yang sebenar. Saya masih lagi mencari jawapan kenapa tarhim, zikir, bacaan Quran dan wirid selalu diperdengarkan dengan kuat pada awal-awal pagi sebelum masuk azan solat subuh? Wajarkah amalan peribadi ini tersebut menggunakan pembesar suara?

Sedangkan Rasulullah SAW mengajar kita adab menghormati jiran. Sehinggakan jika bacaan Quran yang kuat boleh mengganggu jiran, maka kita disuruh perlahankan suara. Inilah pula menggunakan pembesar suara dihening pagi yang amat kerap dilakukan di surau-surau dan masjid-masjid.

Sepanjang bacaan saya, tidak ada nas yang membenarkan menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu orang lain. Islam adalah agama yang sentiasa menghormati orang lain dan hak mereka. Walaupun bacaan Quran, wirid dan zikir amat baik, tetapi kita tidak boleh memaksa orang lain untuk mendengarnya. Apatah lagi semuanya dikategorikan sebagai amalan individu.

Nabi SAW sendiri telah melarang orang menguatkan bacaan al-Quran dalam masjid sehingga mengganggu jamaah lain.

Bayangkan ketika kita membaca Quran dengan kuat, masih ada kalangan jamaah yang masih bersolat, sudah tentu bacaan kita mengganggu kekhusukan mereka yang bersolat. Saya tidak mengambil peduli jika semua penduduk sekitarnya beragama Islam. Namun, jika di kawasan tersebut dihuni oleh mereka yang berbilang kaum, maka tindakan ini perlu difikirkan semula. Dalam kariah saya, terdapat surau dan masjid, empat puluh minit sebelum masuk waktu subuh, akan dikumandangkan tarhim, bacaan Quran, zikir dan wirid dengan kuat. Tindakan ini adalah tidak wajar dan harus difikirkan semula?

Satu pesanan saya hargailah toleransi yang ada seperti pesan Perdana Menteri dan Timbalannya. Pada masa sama, belajarlah memahami sejarah dan perlembagaan. Bukan apa, kadangkala kita mempertikaikan sesuatu yang terlah termaktub dalam perlembagaan yang sudah tidak perlu didialogkan. Misalnya, bacaan doa dalam majlis rasmi. Islam selaku agama rasmi dan agama persekutuan, perlu mendapat tempat dalam majlis-majlis rasmi. Dengan sebab itu, kita lihat ada bacaan doa. Takkan bacaan doa itupun mahu dipertikaikan.

Akhirnya, dialog boleh mengambil tempat mengenai boleh atau tidak, umat Islam bekerja di premis yang menjual arak. Apakah tindakan itu dikira bersubahat? Sama juga umat Islam yang bekerja di bank konvensional. Jika semuanya bersubahat, apakah bidang kerja yang sesuai untuk umat Islam? Apakah mungkin nanti akan wujud pasaraya Islam dan pasaraya bukan Islam?

Saya amat bimbang jika kita tidak dialogkan masalah ini dan terus menjatuhkan hukum, apakah altenatif yang dapat disediakan kepada umat Islam yang ingin mendapatkan rezeki yang halal? Bagaimana pula dengan paramugari yang bekerja di atas kapal terbang yang dihidangkan dengan arak? Halal atau haram? Ini belum termasuk soal pakaian mereka yang kurang bersopan yang direkabentuk sedemikian rupa seperti Air Asia dan Firefly.

Paramugari tidak salah kerana mereka terpaksa mencari rezeki di bawah majikan yang ramai Islam, tetapi tidak ada roh Islam dalam jiwanya. Sedangkan paramugari Singapore Airlines dan Thai Airways masih kekal dengan pakaian tradisi yang begitu bersopan walaupun mereka tidak Islam tetapi nampak lebih Islamik. Apakah perkara ini juga perlu didialogkan? Sama-sama kita mencari kebenaran!

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis