Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, August 27, 2018

Sejak bila parti politik Malaysia ada kerajaan?

12:08 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2018/08/27/sejak-bila-pula-parti-politik-malaysia-ada-kerajaan/


SEJAK bila Pakatan Harapan (PH) ada kerajaan atau Barisan Nasional (BN) ada kerajaan? Kerajaan adalah kerajaan. Tidak ada istilah kerajaan baharu, kerajaan lama, kerajaan PH, kerajaan BN.

Ada ke nama kerajaan baharu, kerajaan lama? Kerajaan PH atau kerajaan BN, kerajaan PAS atau apa lagi? Yang hanya adalah Kerajaan Malaysia, kerajaan negeri-negeri dan kerajaan tempatan. Kerajaan wujud terlebih dahulu sebelum yang lain, seperti parti politik.

Definisi ‘government’ atau kerajaan adalah sekumpulan manusia (Kabinet) yang bertanggungjawab menguruskan negara secara rasmi. Dalam maksud, kerajaan itu bukan parti politik. Parti politik adalah salah satu unsur, termasuk mengurus dan mentadbir kerajaan.

Justeru, gunakanlah dengan betul. Jika tidak ditertawakan orang. Kerajaan sudah wujud apabila tertegaknya sebuah negara, seperti Kerajaan Melayu Melaka dahulu.
Saya kadang-kadang naik malu apabila ramai wakil rakyat dan pembaca berita menyebut kerajaan baru dan kerajaan PH. Kerajaan adalah kerajaan, PH atau BN bukan kerajaan, PH adalah ‘ruling party’ atau ‘governing party’ kepada kerajaan atau parti yang memegang tampok pemerintahan kerajaan.

Kerajaan Malaysia sudah sedia ada. Parti politik datang dan pergi untuk menguruskannya. Sebutlah dengan betul KERAJAAN MALAYSIA. Rakyat tahu ‘ruling party’ atau ‘governing party’ Kerajaan Malaysia adalah PH.

Apabila mewakili negara ke luar negara nanti, bukankah kita mewakili Kerajaan Malaysia, bukan kerajaan PH. Tetapi jika disebut juga kerajaan PH, maka terserlah sangat kebodohannya. Begitu penggunaan ketika BN dahulu apabila meletakkan papan tanda ‘INI PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL’, memang terserlah kebodohannya. Sejak bila BN ada kerajaan. Tulislah dengan betul.

Saya menawarkan diri untuk memberikan kursus asas sains politik kepada wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat, sebab bidang saya bidang sains politik, politik dan kerajaan serta pengajian strategi. Saya bukanlah ustaz atau orang agama, seperti yang disebut-sebut.

Mohon bacalah buku yang ditulis oleh Milner bertajuk ‘Kerajaan: Malay Political Culture on the Eve of Colonial Rule’ (1982). Saya fikir sudah sampai masa wakil rakyat banyakkan membaca dan mendatangi kelas asas sains politik agar layak digelar wakil rakyat. Jika tidak, mereka akan bercakap merapu tatkala Dewan Rakyat bersidang.

Bercakap merapu di Parlimen sehingga keluar bahasa kurang ajar dan isyarat lucah seperti kepala bapak, p*****k, f**k dan sebagainya. Kadang kala, peguam pun bodoh juga bila menggunakan isyarat lucah.

Dahulu, kita terperangkap dengan kontroversi agama. Ada Islam Hadhari, ada yang tidak Islam. Islam adalah Islam. Tidak timbul ada Islam Hadhari atau Islam versi baharu atau Islam Badawi atau Islam versi lama. Seperti yang Tun Dr Mahathir akta, Islam adalah Islam. Di sini saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir apabila berkata ketika mempengerusikan mesyuarat Perkim.

Jika mahu juga gunakan baharu dan pengunaan PH. Maka sebut dengan betul Kerajaan Malaysia baharu. Sebut terlebih dahulu Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia PH. Baharulah cun dan betul. Kadang kala saya lihat dalam soal ini, negara Indonesia lebih terkehadapan. Mereka tahu menggunakan istilah dan penggunaan bahasa yang betul.

Misalnya, apabila memberikan gelaran nama rakyatnya. Indonesia menggunalah istilah orang Indonesia. Orang Indonesia Tionghua, orang Indonesia Acheh, orang Indonesia Jawa dan lain-lain. Nama negara didahulukan berbanding yang lain.

Kita di Malaysia tidak. Apabila ditanya, kamu orang apa? Maka jawabnya: “saya orang Cina, Melayu, India, Iban dan lain-lain”. Tidakkah boleh disebut saya orang Malaysia Cina, saya orang Malaysia India, begitulah seterusnya.

Lebih malang lagi, ada dalam kalangan kita yang pergi keluar negara, malu untuk mengaku sebagai ‘orang Malaysia’. Apabila ditanya oleh orang luar, mereka menjawab, ‘I am Chinese’, ‘I am Indian’, ‘I am Malay’ bukannya ‘I am Malaysian’. Sebab itulah semangat patriotik kita berbanding orang Indonesia jauh ketinggalan.

Saya amat yakin semangat patriotik orang Indonesia sangat tinggi meskipun mereka berada di rantau orang. Sebab itu mereka tetap kekal jati diri dan semangat keindonesiaannya. Ke mana kita pergi dan lihat, budayda dan bahasa Indonesia mereka begitu pekat dan mereka tidak segan silu mengatakan mereka orang Indonesia meskipun bekerja sebagai buruh.

Berbanding dengan kita rakyat Malaysia, minta maaf cakap. Kita rasa malu untuk berbahasa Melayu atau mengaku orang Malaysia. Kita rasa ‘inferiority complex’ atau perasaan rasa diri kecil atau tidak bagus.

Lebih menjengkelkan lagi, loghat bahasa atau bunyi bahasa kita berubah apabila bercakap dengan bangsa lain. Bila bertemu Cina atau India, bahasa Melayu kita menjadi bunyi Cina atau bunyi India. Buktinya, akan kedengaran suara, ‘tokey, ini balang belapa halega?’, bahasa betulnya, berapakah harga barang ini?

Begitu juga apabila kita bertemu dengan orang Indonesia, bahasa kita masuk ke dalam bahasa mereka, akan kedengaran kata-kata; ‘mau ke mana dong’, ‘sila mampir dulu’. Jika masuk dalam bahasa Indonesia tidak mengapa lagi sebab serumpun. Tetapi apabila bercakap dengan bangsa asing, bahasa sendiri menjadi asing. Apa sudah jadi?

Sebab itu, tajuk minggu ini walaupun kecil, sebab ada merasakan tidak penting kerana hanya berbahas soal istilah, tetapi inilah asas-asas kenegaraan atau asas-asas menanamkan semangat patriotik. Bayangkan jika kita selalu menggunakan istilah, saya orang Melayu, saya orang Cina, saya orang India, saya Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bila masakah istilah Malaysia akan keluar? Kita hanya bercakap soal bangsa, bukan lebih besar daripada itu iaitu soal negara. Kita hanya bercakap soal parti, parti PH atau BN, bukan lebih besar daripada itu iaitu soal negara. Negara Malaysia. Ini belum saya bahaskan lagi soal agama yang menjadi lebih fundamental.

Kita semua faham, diakhirat nanti, bangsa atau identiti bernegara, tidak ada apa-apa makna. Allah akan menilai apa sumbangan kita kepada agama. Sebab itu, apabila berkata, turutan menyebut, sumbangan kepada agama, negara dan bangsa, bukannya, bangsa, negara dan agama.

Di akhirat nanti, Allah tidak melihat kita dengan rupa paras, bangsa atau apa? Tetapi Allah hanya menilai dengan iman dan takwa iaitu sumbangan kita kepada agama.
Justeru, saya mohon, panjang lebar saya membahaskan istilah, maka gunakanlah istilah ini dengan betul supaya tidak ditertawakan orang.

Cukup-cukuplah bercakap soal parti, cakaplah yang lebih besar dan betul. Kerajaan Malaysia, orang Malaysia, bukannya kerajaan PH, BN, orang Cina, India dan Bumiputera. Kita adalah rakyat Malaysia, orang Malaysia, yang hanya dibezakan dengan bangsa.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Friday, August 24, 2018

JUDI HAK BUKAN ISLAM?

10:36 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2018/08/20/judi-hak-orang-bukan-islam-satu-ungkapan-salah/

SAYA ucapkan tahniah kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa, kerana berani berkata benar meskipun pahit mengenai haramnya judi, termasuk di Genting Highland. Ini barulah amanah dengan jawatan dan saya boleh berlembut hati menyebut parti Amanah.

Sekalung tahniah juga kepada wakil PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh (PAS-Pasir Puteh) yang menimbulkan persoalan ini untuk dijawab di Parlimen. Antara cadangan beliau supaya setiap kementerian membentuk satu jawatankuasa bagi membolehkan semua wakil agama mengadakan perbincangan mengenai judi dan memperkenalkan hukuman oleh semua agama secara selari bagi kesalahan judi.

Cuma, saya ini menambah, bukan sekadar isu judi, tetapi perkara lain yang diharamkan oleh semua agama, bukan sahaja Islam, seperti arak, zina, seks bebas, pergaulan tanpa batas, pusat hiburan melampau, seks songsang, LGBT dan banyak lagi. Saya nak tengok berapa ramai Ahli Parlimen yang betul-betul sayangkan agama, termasuk bukan Islam, terutama mereka yang mahu berebut-rebut menggunakan kalimah Allah.
Albert Einstein pernah berkata, ‘God does not play dice with the universe. If God isn’t a gambler, are his followers?’

Kata-kata ini membuatkan saya amat teruja dengan kenyataan mengenai judi yang dikatakan adalah hak orang bukan Islam.
Persoalannya, dari sumber manakah fakta itu diperoleh? Atau kenyataan itu sekadar mahu mengambil hati atau menjaga hati orang lain? Kita tidak seharusnya membuat generalisasi bahawa amalan budaya sesuatu kaum adalah hak mereka, tanpa merujuk kepada sumber asasi atau berautoriti.

Jika kita tidak rajin membaca, sekurang-kurangnya tanyalah mereka yang lebih arif serta pakar, seperti pakar perbandingan agama atau sami Buddha, Hindu, paderi Kristian dan sebagainya. Budaya merujuk pakar perlu ada dalam melahirkan masyarakat yang maju, berilmu dan mempunyai daya intelektual yang tinggi.

Sepanjang pengetahuan saya mengkaji perbandingan agama sehinggalah memeluk Islam, tidak ada satupun agama yang menghalalkan judi.

Mari kita melihat hujah-hujah agama selain Islam. Judi dikategorikan sebagai dosa besar dan kerja-kerja syaitan. Sila baca pandangan Kristian dalam 1 Timothy 6:9, Matthew 6:13; 26:41, James 4:3; Matthew 18:6-9. 1 Corinthians 15:33.

Pandangan Buddha dalam Digha Nikaya, Sigalovada Sutta: The Layman’s Code of Discipline, Dighajanu Sutta, Anguttara Nikaya VIII.54.
Pndangan Hindu dalam Tirukkural, 94: 931-940 (http://www.buddhanet.net/e-learning/ethics_s.htm).

Tidak ketinggalan, amalan judi juga diharamkan dalam agama Yahudi. (http://www.beliefnet.com/News/2003/01/Does-God-Play-Dice.aspx). Istilah-istilah moden yang merujuk kepada judi seperti kasino, loteri, mesin slot, dan judi bola sepak, menurut pengamal-pengamal Kristian adalah haram dan berdosa. Jadi, dimanakah hujah untuk menghalalkannya?

Sila layari http://gospelway.com/morality/gambling.php. Saya merasa pelik kenapa kita takut untuk berkata benar.

Persoalannya, tatkala agama lain bersependapat dengan kita, kenapa kita pula bertindak melawan arus mahu menghalalkan judi, termasuk judi bola? Pada hemat saya, yang haram tidak boleh disahkan, kerana implikasi haram akan menerbitkan keputusan yang haram juga.

Logiknya mudah, bila halal + halal, jawapan halal tidak ragu-ragu lagi. Namun, jika haram + halal, jawapannya masih lagi haram. Jika tidak haram pun, ia akan menimbulkan sangsi dan was-was. Apatah lagi jika haram + haram, sudah tentu menjadi lebih haram.

Justeru, oleh kerana tidak ada satu pun agama yang membenarkan judi, eloklah kita fikirkan semula bagaimanakah kesannya, jika ianya dibenarkan atau dilesenkan.

Berasaskan pengalaman saya ketika tidak Islam dan pernah berjudi secara haram, judi langsung tidak mendatangkan kebaikan, malahan akan menimbulkan ketagihan walaupun judi itu tidak boleh dimakan, rasa tidak puas hati akan menimbulkan ketagihan. Apatah jika menjadi sumber rezeki, seterusnya menjadi darah daging.

Saya tidak pernah lihat ada tauke judi yang bankrap atau jatuh miskin disebabkan oleh perniagaan haram ini. Yang jelas, rata-rata masyarakat atau rakyat menjadi mangsa.

Jika dilihat dari sudut mana sekalipun tidak ada satu pun kebaikan hasil perjudian. Menang sekali setelah ratusan kali dan ribuan kali kalah. Judi telah mengakibatkan penderitaan dan reputasi seseorang. Soal mereka masih melakukannya, sehingga menjadi amalan hidup, itu adalah soal individu.

Adalah tidak wajar dikaitkan dengan peradaban dan agama mereka sehingga kita sanggup mengatakan bahawa ia adalah hak mereka, tidak boleh diganggu-gugat.

Sebelum memeluk Islam, saya pernah melihat dengan mata kepala saya sendiri bahana judi. Ada yang terpaksa melacurkan isteri kerana kalah berjudi kerana tidak dapat melangsaikan hutang judi. Tidak kurang pula yang membunuh diri. Ada juga yang sanggup menggadaikan harta benda dan tanah pusaka.

Justeru, apakah altenatif kepada penjudi-penjudi ini. Pada saya, cukuplah dengan apa yang telah ada. Tidak perlulah ditambah lagi. Jika dapat dikurangkan dan dihapuskan lagi baik kerana tidak ada agama yang menyetujuinya.

Jangan mengundang bala, takut-takut nanti dimurkai Tuhan. Tatkala itu, mereka yang mengharamkan judi atau tidak pernah berjudi pun akan terpalit sama kerana bala Tuhan tidak mengenal tempat atau orang tertentu sahaja.

Tsunami yang melanda Lombok tidak hanya kena pada mereka yang engkar dengan Tuhan, tetapi membabitkan ramai orang baik yang tidak berdosa, termasuk rumah ibadat seperti surau dan masjid. Janganlah kita anggap, jika bala turun ia hanya akan kena pada mereka yang melakukan maksiat sahaja.

Saya yakin kepimpinan negara kita akan melihat perkara ini dengan serius. Biarlah mereka yang berjudi haram ditangkap polis. Sekurang-kurangnya kita dapat memberikan mereka pengajaran daripada terus berjudi seumur hidup.

Kajian yang dibuat ke atas bandar-bandar utama di Amerika Syarikat seperti Washington, Minnesota, Mississippi, California, Colorado, Connecticut, Las Vegas, Wisconsin dan sebagainya, menunjukkan bahawa apabila pusat judi dibuka, kadar jenayah dalam pelbagai bidang meningkat serta-merta sehingga 500 peratus.

Menurut John Curran, kadar jenayah ragut, rogol, rompak, serangan dan bunuh meningkat mendadak apabila kasino dibuka. Statistik Federal Bureau of Investigation (FBI) mempamerkan, kadar jenayah daripada 1,000 orang penduduk meningkat daripada 134.3 pada tahun 1978 kepada tahap menakutkan iaitu 450.3 pada tahun 1988.

Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh kajian Keith Copher, Ketua Penguatkuasaan, Lembaga Pengawasan Judi, Nevada, yang mendedahkan antara 450 hingga 500 pekerja ditangkap setahun kerana terbabit dalam aktiviti perjudian haram dalam satu daerah.

Menurut Schaff, Counselor for the Department of Corrections in Wisconsin “In the most desperate phase of compulsive gambling, they will do anything to gamble,” “They start stealing money from their spouses, family . . . they’ll get money anyhow, anywhere. They’ll do forgeries, embezzlements, thefts. It’s mostly white-collar crime.”
Tidak ketinggalan, judi turut menjejaskan kadar percukaian negara. Menurut Tom Grey, President of National Coalition Against Legalized Gambling, “We have studies that show for every dollar you bring in gambling revenue, you’ll lose $1.90 in costs to the taxpayer,” he said. It’s as simple as ABC, “the addiction, the bankruptcy, the crime and corruption that you already have will just multiply with this expansion.” … “If you’re not fighting it, it’s like cancer and will metastasize and take you over,”. Sila rujuk http://www.citizenlink.org/FOSI/gambling/cog/A000002180.cfm

Semua bukti ini menunjukkan bahawa judi langsung tidak mendatangkan kebaikan kepada negara, apatah lagi kepada individu yang terbabit.

Justeru, tunaikan hak semua agama dan hak rakyat untuk mendapatkan kebaikan dan hidup aman damai. Saya yakin ia bertepatan dengan manifesto Pakatan Harapan. Saya juga yakin masyarakat Islam akan memberikan sokongan yang tidak berbelah-bahagi kepada pentadbiran yang ada pada hari ini jika kita bertegas.
Segerakanlah penubuhan jawatan kuasa membabitkan semua agama untuk membincangkan isu yang telah menjadi barah ini. Baharulah dikatakan Amanah bukan PAN lagi.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Monday, August 13, 2018

Parlimen bukan sarkas

7:58 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Parlimen bukan tempat sarkis dan badut

Sejak kebelakangan ini parlimen sudah jadi lebih teruk daripada pasar. Seolah-olah melihat sarkis dan badut. Memalukan. Inikah standard perbahasan wakil rakyat kita. Bahasa unparliamentary digunakan tanpa segan silu. Unparliamentary atau dalam bahasa Tamil disebut Makkal manrattil payanpatuttat takuti arra,  bermaksud, kata-kata yang dihemburkan bertentangan dengan peraturan dan prosedur Parlimen atau lebih tepat menggunakan bahasa kesat, lucah dan kurang ajar, seperti p.....k, f..k, pelacur dan lain-lain lagi.

Saya semakin menjadi tidak faham, kenapa kedudukan parlimen yang mulia dipenuhi segelintir wakil rakyat yang tidak bertamadun? Lebih pelik lagi, bagaimana rakyat boleh memilih mereka sebagai wakil rakyat. Lagaknya seperti samseng. Malah, sanggup mengajak orang bertumbuk di luar. Ada keberanian atau sekadar mengacah? Fikir dahulu sebelum bertindak atau bercakap. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. 

Memang tidak dinafikan ada unsur provokasi yang ditimbulkan oleh segelintir ahli parlimen. Biarkan mereka. Berstrategilah untuk berhadapan dengan mereka. Kebaikan pasti dapat mengalahkan kejahatan. Bukan dengan bertindak unparliamentary.

Saya sempat meneliti perbahasan wakil rakyat parlimen negara-negara maju, ternyata perbahasan mereka begitu matang. Bahasa unparliamentary memang dilarang sama sekali. Mereka sangat faham. Kenapa kita tidak boleh lakukan, sedangkan semua itu dalam kawalan kita. Kitakan beragama. 

Sebab itu,  Yang Dipertua (speaker) Dewan Rakyat dan timbalannya, mesti dapat mengawal perbahasan dan bertindak di mana perlu. Secara ringkas, saya senaraikan tanggungjawab  speaker secara umum:

Pertama, mengawasi persidangan supaya berjalan dengan lancar. Kedua, mengatur perbahasan supaya tidak menyimpang dari isu-isu yang dibincangkann. Ketiga, membuat keputusan mengenai aturan urusan mesyuarat sekiranya berlaku perbalahan. Keempat, memeriksa sama ada petisyen, rang dan pindaan undang-undang boleh diterima atau tidak.

Speaker juga mempunyai kuasa untuk menentukan bila sidang bermula dan berakhir, dan boleh menangguhnya sementara jika perlu. Speaker juga bertanggungjawab memastikan perlembagaan dihormati. Speaker turut berkuasa mendisiplinkan ahli-ahli dewan, menentukan siapa yang berhak bersuara, memanggil undi dan memeriksa korum setiap kali bersidang. Speaker  cuma mengundi sekiranya ada undi yang berakhir dengan seri.

Jika speaker tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Rakyat, tugas dan fungsinya dipikul oleh salah seorang daripada dua timbalannya. Begitu ruang lingkup dan besarnya kuasa speaker.

Di negara maju, ahli parlimen tidak boleh menyebut perkataan seperti tidak beradab, lucah dan kesat. Antara yang jelas tidak boleh disebut adalah ass, blackguard, coward, git, guttersnipe, hooligan, hypocrite, idiot, ignoramus, pipsqueak, rat, slimy, sod, squirt, stoolpigeon, swine, tart, traitor, wart dan sebagainya. Termasuk nama binatang tertentu yang boleh dikaitkan dengan manusia. Disiplin ini begitu dipatuhi.

Kenapa orang barat boleh, kita di sini yang terkenal dengan budaya ketimuran (beragama Islam) tidak boleh? Apa kurangnya kita? Apa lebihnya barat? Kita sengaja merosakkan diri sendiri.

Begitu juga etika berpakaian. Mereka yang ingin masuk ke parlimen mesti mengikut garis panduan dan tatacara parlimen. Tidak membawa masuk sami masuk ke dewan tanpa kebenaran dan mengikut pakaian yang ditetapkan. Apatah lagi memakai baju-t berbelang-belang. Pendek kata, parlimen sangat dihormati dan dimuliakan.

Justeru, kita mohon supaya speaker bertindak tegas. Tidak cukup sekadar  berkata, “tarik balik Yang Berhormat”, sedangkan bahasa unparliamentary mengambil masa begitu lama untuk ditarik balik. Jika mereka tidak tarik balik, termasuk yang melakukan provokasi, halau sahaja keluar dewan. Mereka tidak layak duduk dalam dewan yang mulia itu.

Pernahkah kita terfikir kenapa di dalam Parlimen tidak boleh bertepuk tangan? Sedangkan tepuk tangan itu adalah amalan biasa, tanda penghormatan dan tidak ada yang bersalahanpun. Tetapi tidak dibenarkan, kerana di parlimen kita bercakap soal adab dewan. Parlimen mesti berbeza dengan dewan-dewan yang lain. Bayangkan jika tepuk tangan dibenarkan di parlimen, seolah-olah parlimen boleh menjadi konsert.

Pernah berlaku beberapa kali dalam parlimen di barat perbuatan bertepuk tangan secara spontan selepas ahli parlimen berucap. Ia dibenarkan kerana di luar kawalan. Itupun dicatatkan dalam hansard parlimen sebagai ‘gangguan”.

Speaker perlu memperbetulkan keadaan ini semula. Bertindak tegas. Jika tidak, tidak ada guna ada speaker.

 The rules are laid out in the Parliamentary etiquette bible Erskine May, which says: "Members must not disturb a Member who is speaking by hissing, chanting, clapping, booing, exclamations or other interruption." (Brian Wheeler, 2015)

Rupanya, ada sebab kenapa Islam tidak menggalakkan bertepuk tangan. Begitulah mulianya parlimen kepada wakil rakyat negara lain. Kepada kita yang beragama Islam, Parlimen bukanlah al-Quran. Tetapi kedudukan Parlimen sebagai institusi politik negara mesti dijaga dan dimuliakan. 

Rakyat sedang dan ingin melihat wakil rakyat yang mereka pilih membahaskan isu-isu serius, isu-isu negara, isu-isu rakyat dan sebagainya, bukan melihat sarkis dan badut beraksi mengeluarkan kata-kata yang tidak bertamadun.

Lebih hodoh lagi apabila bahasa yang digunakan bercampur-campur. Ada wakil rakyat yang tidak boleh berbahasa kebangsaan dengan baik. Tanpa segan silu menggunakan bahasa Inggeris. Mohon speaker supaya mengingatkan semua wakil rakyat menggunakan bahasa kebangsaan. Jika tidak mereka tidak layak menjadi ahli parlimen. Ini Malaysia, bukan negara orang putih.

Sudah sampai masanya syarat minima kelayakan menjadi wakil rakyat dikenakan. Paling kurang ada sijil dan mendapat kredit dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu SPM bukan bahasa Melayu UEC.

Mohon speaker bertindak tegas. Jika keluar lagi perkataan lucah seperti f..k, p…..k, dan tidak ditarik balik dengan segera, maka halau mereka keluar dewan.

Justeru, kita mohon agar perbahasan di Parlimen dapat dikawal secara profesional. Jika tidak, parlimen akan menjadi sarkis dan menjadi bahan ketawa dunia. Bukan itu sahaja, malah memalukan, apabila ditonton oleh anak-anak kita. Inikah standard parlimen kita.

Monday, August 06, 2018

Siapa pendatang sebenarnya?

11:34 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2018/08/06/siapa-pendatang-sebenarnya/

Saya membaca dengan teliti terjemahan ucapan pemimpin India ultra kiasu, antaranya berbunyi: "Ramai orang, apabila ditanya tentang sejarah kita (mereka kata) sejarah (kita) bermula 120 hingga 130 tahun lalu. "Tak betul. Kita datang ke sini (ialah) 2,500 tahun lalu. Buktinya ada di Lembah Bujang. Ada kuil disana.... tertanam."Mereka yang pendatang, bukan kita pendatang. Mereka dan kita adalah sama.

Siapakah yang dirujukkan sebagai ‘mereka’ jika bukan orang Melayu? Tidak mungkin sama sekali merujuk kepada orang Cina atau bumiputera Sabah Sarawak. Sudah terang lagi bersuluh, mereka yang dimaksudkan adalah orang Melayu. Jika orang Melayu pendatang? Bagaimana dengan bangsa lain? Sudah tentu lagi jelas pendatang sebab wajah dan rupa fizikal mereka jauh berbeza dalam kalangan bangsa asal yang tinggal di alam kepulauan Melayu.

Lihat rupa Melayu di Kepulauan Melayu, bandingkan dengan rupa India dan Cina. Jauh sekali berbeza. Satu berkulit gelap, satu lagi berkulit putih. Melayu di tengah-tengah tidak gelap dan tidak putih. Inilah rata-rata orang yang tinggal di Kepulauan Melayu merangkumi Malaysia, Indonesia, Thailand, Filipina dan yang berdekatan. Justeru, siapa sebenar pendatang? Siapa pula yang mendatang sesama mereka?

Saya tidak pernah dengar lagi rantau nusantara ini dikenali sebagai kepulauan Hindu, kepulauan India, atau kepulauan apa. Jika ada pun nama Laut China Selatan, bukan Laut India Selatan. Yang saya tahu, seantero dunia mengenali kepulauan ini sebagai kepulauan Melayu atau Malay Archipelago. Sebab itu, saya sangat pelik apabila ada ekstremis LTTE boleh mengatakan bahawa ini tanah kita bersama daripada segi asal-usul. Saya tidak menafikan jika dilihat daripada sudut agama, kerana agama Hindu lebih lama bertapak di kepulauan ini, tetapi bukan bangsa.

Sejarah setiap bangsa ada tanahnya sendiri, bangsa Cina membentuk negara China. Bangsa India membentuk negara India. Begitu juga dengan negara-negara Arab dan negara-negara lain di dunia. Raut wajah mereka membentuk bangsa dan negara mereka.

Tiba-tiba rantau yang sudah dikenali dunia sebagai Nusantara atau kepulauan Melayu, ultra kiasu tidak mahu mengiktiraf sebagai kawasan kepunyaan bangsa Melayu. Malah, sanggup merujuk Melayu sebagai pendatang. Cubalah tukar DNAnya.

Lebih jahil lagi ada yang berkata Sarawak atau Sabah tidak termasuk dalam rumpun kepulauan Melayu. Memang asal-usul Melayu majoritinya beragama Hindu, tetapi apabila Islam datang, rajanya memeluk Islam, diikuti seluruhnya rakyat jelata, maka senyaplah legasi agama Hindu yang bertapak di Alam Melayu. Jika lihat dari segi pengaruh dan tinggalan akeologi, ajaran Buddha lebih mendapat sambutan di kepulauan Melayu, bukan Hindu. Dalam sejarah kami diajar mengaruh pengaruh Buddha-Hindu, bukan Hindu-Buddha. Contohnya di Thailand dan negara berjiran, boleh dikatakan semuanya berfahaman Buddha. Begitu juga di Indonesia. Lembah Bujang hanya contoh yang sangat ultra kiasu. 

Saya tidak mahu terlibat dalam polimek asal-usul Melayu sebagaimana yang diceritakan oleh pakar sejarah Melayu seperti Profesor Nik Hasan Shuhaimi dan antropologi, Profesor Wan Hashim Wan Teh. Sebab kedua-duanya orang Melayu. Ultra kiasu tidak teruja.

Lebih molek jika saya merujuk kepada sarjana berkulit putih, yang lebih meyakinkan ultra kiasu seperti Dr. Steven Oppenheimer (1999), pakar Paleontologi dalam bukunya bertajuk, Eden in the East, The Drowned Continent of Southeast Asia. Beliau yang juga tenaga pengajar di Universiti Oxford turut mengemukakan teori bahawa migrasi moyang kepada rumpun Melayu dari kabilah Negrito, Asli Semang dan Senoi adalah secara terus menerus dari benua Afrika melalui Timur Tengah ke benua Melayu Sunda.

Secara umumnya terdapat beberapa teori tentang asal usul Melayu, Pertama, asal usul orang Melayu adalah berdasarkan teori penghijrahan beramai-ramai orang Melayu daripada Yunnan, Selatan China dan keluar melalui Sungai Mekong ke Laut Cina Selatan, yang dikenali sebagai "Teori Keluar Dari Yunnan" (1890).

Kedua, Melayu lahir akibat kahwin campur antara Cina, India dan Arab. Orang Melayu dikatakan bekerja sebagai kelasi kapal dan buruh kepada pedagang antarabangsa yang terdiri daripada orang Arab, China dan India lebih kurang 2,000 tahun lalu, dikenali sebagai teori "Keluar Dari New Guinea" (1965). Interaksi dan perkahwinan campur dengan bangsa India, China dan Arab, menghasilkan sebuah bangsa baharu yang dikenali sebagai bangsa Melayu. Teori ini agak keterlaluan kerana mengandungi unsur penghinaan.

Ketiga, berdasarkan teori lingustik oleh Peter Bellwood dan disokong bukti arkeologi oleh pakar arkeologi, Eusibio Dizon, menerusi buku, The Austronesian (1997), dikenali sebagai "Teori Keluar dari Taiwan" dan juga  "Teori Keretapi Ekpress ke Polynesia".

Teori ini mengatakan bahawa orang Melayu-Polynesian atau Astronesian atau rumpun Melayu berasal daripada Taiwan. Orang Melayu, telah keluar daripada Taiwan sejak 6,000 tahun dahulu, dan kemudiannya merantau ke serata dunia. Mereka dikatakan merantau dari Pulau Madagascar di Timur sehingga ke Pulau Easter di Barat. Seterusnya merentas Jepun di utara sehingga ke New Zealand di selatan.

Lanjutan daripada itu, Oppenheimer, Wilhelm G. Solheim dan Arysio Nunes dos Santos (1999) menggunakan bukti-bukti geologi dan mitologi, dan digabungkan dengan bukti arkeologi, genetik dan linguistik. Mereka bersetuju orang Melayu sebenarnya berasal dari sebuah tamadun yang hilang, yang dinamakan Benua Melayu Sunda atau Tamadun Sunda. Bangsa ini hakikatnya telah wujud sejak 15,000 tahun Sebelum Masihi.

Menurut mereka lagi, Asia Tenggara kuno disatukan oleh Pentas Sunda yang menghubungkan Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Jawa, Borneo dan Filipina. Asia Tenggara ketika itu bercantum sebagai satu benua dengan tanah besar Asia dan Pentas Sahul iaitu pentas benua Australia-New Guinea.

Kawasan perairannya yang cetek dan mudah dilalui telah menghubungkan beberapa laluan penghijrahan bebas untuk manusia dan haiwan di tanah besar Asia, yang dikenali sebagai Gugusan Kepulauan Melayu Nusantara. Keluasan gugusan ini atau Benua Sunda adalah dua kali lebih besar daripada Benua India. Kawasan laut Champa, Teluk Siam dan Laut Jawa, pada ketika itu kering kontang dan menjadi dataran pelantar bagi menghubungkan beberapa bahagian benua tersebut.

Menurut Oppenheimer lagi, Benua Sunda inilah bermulanya tamadun manusia yang menyuburkan budaya-budaya hebat di China, India, Mesopotamia, Mesir dan Kepulauan Crete (Greek) lebih kurang 6,000 tahun lampau.

Ini bermakna, bangsa Melayu itu bukan bangsa baharu yang selalu dikaitkan bermula selepas penjajahan Barat. Secara tidak langsung bukti ini menolak dakwaan Anthony Reid yang mengatakan bangsa Melayu hanya berpusat di Selat Melaka. Sekali gus menolak "Teori Keluar Dari Taiwan" dan "Teori Dari New Guinea".

Dalam erti kata lain, Jawa adalah Melayu, Siam adalah Melayu, Moro adalah Melayu, Minang adalah Melayu, Dusun adalah Melayu, Iban adalah Melayu, Filipina adalah Melayu dan Dayak adalah juga Melayu. Suku kaum kepada etnik bangsa Melayu adalah sebaka dan serumpun. Bermakna, Melayu Asli (orang asal) bukanlah berasal dari Yunnan atau Taiwan. Sebaliknya orang Taiwan dan Yunnan itu sebahagian besarnya adalah berasal dari Asia Tenggara.

Nyata sekali bahawa kelima-lima teori ini (enam termasuk oleh sejarahwan Melayu) tidak ada langsung kaitan dengan India. Paling kuatpun dengan Cina. Justeru, apakah justifikasi ultra kiasu India tersebut mengatakan bahawa orang Melayu dan India adalah sama iaitu pendatang.

Paling menarik membaca buku John Russell Denyes bertajuk Malaysia, terbitan tahun 1919, yang terdapat di perpustakaan, University of Illinois. Muka pertama tertulis Malaysia is off the southeast corner of Asia, 1500 miles south of China, 1500 miles east of India. It includes the Malay Peninsula and the islands of Sumatra, Java, Borneo, Celebes, Timor, the Moluccas, New Guinea, and a thousand smaller islands. The country gets its name from the Malay people who live there.

Pendapat beliau tentang India, the Indians who come to Malaysia are mostly Tamils from Madras Presidency and Ceylon. Bishop Oldham describes them as “noisy, exceedingly talkative, faithful, devout, obedient to order, capable of patiently bearing much hardship”.

Justeru, atas landasan apakah dan rujukan apakah ultra kiasu mengatakan Melayu itu pendatang? Kesemua teori di atas saya boleh terima. Tetapi saya sama sekali menolak bahawa Melayu, Cina dan India sama-sama pendatang. Jika ditakdirkan semua itu pendatang, siapakah yang mula-mula membentuk kerajaan di Alam Melayu. Orang Indiakah? Hairan sungguh saya apabila seorang  yang bergelar peguam tidak dapat menerima hakikat ini.

Ini belum dibuktikan lagi dengan bangsa apakah yang begitu lantang menentang penjajahan British di Tanah Melayu. Cinakah? Indiakah? Wajah-wajah bukan Melayu hanya muncul menjelang kemerdekaan, sebelum itu wajah siapa? Wajah Parti Komunis Malaya? Wajah MPAJA? Wajah siapa lagi?

Tidak lain dan tidak bukan wajah Melayu, seperti Tok Janggut, Dato Maharaja Lela, Abdul Rahman Limbung dan lain-lain lagi. Ini tidak termasuk Melayu yang berhaluan kiri, seperti Ahmad Boestaman, Burhanuddin Helmi, Pak Sako, Pendeta Zaaba, Ibrahim Yaakub dan ramai lagi. Tidak perlulah dibincangkan lagi peranan Dato Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman dan lain-lain lagi. Wajah-wajah hanya muncul menjelang kemerdekaan, apabila British mensyaratkan bahawa kemerdekaan hanya diberikan jika semua kaum dapat disatukan melalui persetujuan pemimpin mereka yang dikenali sebagai kontrak sosial. Maka muncullah nama-nama seperti Tan Cheng Lock, Tun Sambanthan dan lain-lain.

Sebab itu saya mohon ultra kiasu menghentikan provokasi sebegini kerana ia tidak baik untuk pembangunan negara bangsa. Provokasi ini hanya akan meninggalkan luka yang amat mendalam. Ingatlah! Dengan Islam, Melayu itu lembut orangnya, bersopan santun dan berbudi bahasa. Melayu bersedia menerima orang lain meskipun warna berbeza. Justeru, jangan keterlaluan, celupar dan kurang ajar, dibimbangi kelembutan dan kesantunan itu hilang

Akhirnya, saya ingin simpulkan bahawa sejarah manusia bukan bermula dari keturunan beruk menjadi manusia. Sebaliknya manusia berasal dari Nabi Adam. Nabi Adam diturunkan ke bumi sekitar 4000 hingga 5000 SM. Apa yang berlaku ialah penyongsangan fakta untuk membenarkan idea Darwinisma iaitu manusia dari beruk. Ini dibuktikan bahawa DNA manusia hari ini berbeza dengan manusia beruk seperti Cro Magnon, Neoderhenthal, Perak Man, Peking Man dan sebagainya. Perbezaan DNA adalah 85 peratus iaitu kromoson manusia Adam tidak sama dengan manusia asal beruk. Menurut Hamka, manusia dari Nabi Adam seperti yang dinyatakan dalam Al quran. Tetapi manusia yang dijumpai seakan-akan beruk itu adalah penciptaan genetik awal dan belum sempurna. Maka tidak layak dipanggil manusia kerana lebih mirip dari haiwan daripada manusia Adam. Jadi, saya noktahkan di sini bahawa Melayu asal dari bani Nabi Ibrahim.



Monday, July 30, 2018

Ultra kiasu tidak layak memimpin kementerian pendidikan

11:15 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments
https://www.ismaweb.net/2018/07/30/ultra-kiasu-tak-layak-memimpin-kementerian-pendidikan1/


Ultra kiasu tidak layak memimpin kementerian pendidikan

Tersangat sedih mendengar apabila pemimpin ultra kiasu yang bertanggungjawab dalam menentukan masa depan pendidikan negara berkata minggu lalu bahawa, syarat lulus mata pelajaran sejarah tidak akan dimasukkan dalam pengiktirafan UEC selaras dengan manifesto PH yang mewajibkan hanya mata pelajaran Bahasa Melayu perlu mendapat kredit (kepujian). Mana lebih penting antara manifesto PH dengan pembinaan negara bangsa? Naif sungguh apabila ada pemimpin lebih mementingkan manifesto daripada masa depan negara.

Lebih naif lagi jika keluar dalam kalangan mereka dilantik menjaga Kementerian Pendidikan. Subjek sejarah yang amat besar ertinya kepada rakyat Malaysia, mahu dilupakan begitu sahaja hanya kerana mahukan pengiktirafan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang lebih bersifat minoriti. Jika sejarah negara sudah dilupakan, apa lagi yang tinggal? Cuba tanya ultra kiasu terdiri, sejarah diri dia dan sejarah parti dia, penting atau tidak? Bila dilahirkan, di mana, masa bila dan macam-macam lagi.

Berulang kali PM telah katakan, manifestonya bukan kitab suci. Tidak semestinya dipatuhi. Ketika dirangka dahulu, tidak terjangkau atau tidak terfikir akan rasionalnya, kerana emosi menguasai. Justeru, jangan terlalu obsess. Banyak isu yang lebih besar lagi yang perlu difikirkan. Kenapa Menteri dan timbalan Menteri serta pemimpin NGO Cina, dalam kepala otak mereka hanya ada Cina, Cina dan Cina. Mereka selalu berkata, kita semua ini adalah Malaysian. Maka, berfikirlah secara Malaysian. Jika tidak, jangan salahkan orang Melayu jika mereka terlebih obsess pasal, Melayu, Melayu dan Melayu termasuk ketuanan Melayu. Sejarah membuktikan Melayu adalah tuan (penduduk asal) bumi bertuah ini. Justeru, saya tidak hairan, orang Melayu terlebih Melayu. Yang menjadi kebimbangan apabila orang Cina terlebih Cina dalam sebuah negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu.

Apakah kita sengaja lupa bahawa negara ini asalnya  bernama Tanah Melayu, terletak di Kepulauan Melayu atau Malay Archipelago? Sejarah asal usul Melayu sudah termaktub dalam sejarah dunia sebagaimana sejarah Tanah Besar China dan India. Justeru, jangan diungkit lagi. Kejahilan ini berlaku disebabkan oleh buta sejarah. Sebab itu, suka atau tidak, mahu tidak mahu, subjek sejarah mesti diwajibkan dan wajib lulus (kredit) dalam semua sekolah beroperasi di negara ini, agar yang buta tidak terus buta. Jika tidak mahu patuh, sila cari sekolah di negara lain, yang mengecualikan subjek sejarah ini.

Berbalik kepada desakan ultra kiasu mahukan SPMC mahu setanding dengan sekolah arus perdana dan dikecualikan subjek sejarah, sejarawan negara Khoo Kay Kim berkata, subjek tersebut perlu ada dalam setiap peperiksaan ataupun sijil bagi memastikan rakyat tidak lupa sejarah penting yang pernah berlaku di negara ini. Pakar sejarah tersebut turut mengirim soalan sejarah untuk dijawab oleh timbalan Menteri ultra kiasu tersebut yang saya yakin beliau tidak akan dapat menjawabnya.  Soalan berkaitan kenapa gelaran Raja Selangor tidak digunakan sebaliknya Sultan Selangor. Melopong. Ultra kiasu tidak tahu semua ini. Mereka hanya hadam sejarah partinya sahaja yang bersifat ultra kiasu.

Sejak dulu lagi menjadi kebimbangan kepada saya apabila ultra kiasu memerintah. Mereka tidak mahu atau tidak pentingkan sejarah. Lebih malang lagi, jika mereka terdiri dalam kalangan ahli parlimen dan berjawatan Menteri atau timbalan. Ingin juga saya kirimkan soalan seperti Khoo Kay Kim, ultra kiasu itu tahu atau tidak sejarah parlimen dan sejarah di pilihan raya di Malaysia? Saya yakin, ultra kiasu ini tidak dapat menjawabnya kerana mereka hanya obsess sejarah China sahaja.

Saya fikir, mereka tidak layak bergelar ahli parlimen atau bergelar menteri jika mengatakan bahawa sejarah itu tidak penting, dan tidak perlu diwajibkan kepada sekolah, terutama SPMC. Setelah saya membuat sedikit kajian mengenai silibus sibjek sejarah di SPMC, ternyata dan terbukti, bahawa subjek sejarah di SPMC begitu menekankan sejarah negara China daripada negara Malaysia sendiri, tempat lahirnya nenek moyang mereka. Jika begitulah keadaan, saya cadangkan mereka ini baliklah ke negara China, untuk belajar sejarah China dan sejarah kenapa dan mengapa sistem beraja China pupus dan digantikan dengan sistem komunis. Lepas itu, bila dah hadam, baliklah semula di negara bertuah ini, untuk mengetahui betapa bertuahnya kita hidup di negara tercinta ini.

Menteri Pendidikan benar apabila berkata pada 26 Julai lalu, bahawa KPM tidak menyediakan peruntukan bagi sekolah dan murid yang belajar di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) kerana SMPC tidak digolong di bawah mana-mana kategori institusi pendidikan dalam sistem pendidikan nasional. Saya sangat sanjung tinggi jawapan ini. Selaras dengan perlembagaan.

Malangnya, beberapa jam selepas itu, ultra kiasu bersatu hati, mengecam dan menyeroyok Menteri Pendidikan atas kenyataannya itu. Mereka turut menyarankan kepada PM agar menukar Menteri Pendidikan kerana sudah melencong daripada Manifesto PH yang mengiktiraf UEC (SPMC). 

Tidak lama selepas itu, Menteri Pendidikan serta merta menarik balik kenyataan dan terus berkata KPM akan membiayai SMPC seperti sekolah arus perdana yang lain. Ingin saya tegaskan, tidak ada dalam mana-mana peruntukan dan undang-undang negara ini mengatakan kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk membiayai sekolah persendirian (swasta).

Dalam kenyataan sama, ultra kiasu yang merupakan ADUN Bercham, berkata ramai ibu bapa daripada kaum Melayu dan India menghantar anak-anak mereka ke SMPC, manakala UEC diiktiraf secara meluas di peringkat antarabangsa. Saya cabar ultra kiasu ini, tunjukkan statistik kepada saya berapa ramai orang Melayu di SPMC? Seperti yang saya sebut minggu lalu, bilangan orang Melayu di SPMC teramat kecil. Mungkin dalam lingkungan 10 orang. SPMC tidak boleh disamakan sama sekali dengan SJKC. Hampir mustahil untuk pelajar Melayu di SJKC melanjutkan pelajaran ke SMPC. Jika adapun, mereka lebih memilih SMJKC. Tidak usahlah menipu wahai ultra kiasu.

Tanpa bantuan kerajaan selama ini, SPMC tetap gah dan mewah. Jutawan-jutawan Cina pakat-pakat membantu sekolah ini, sama seperti mereka membantu SJKC meskipun SJKC dibiayai oleh kerajaan sepenuhnya. Pergilah melihat prasana di SJKC dan SMJKC, bandingkan dengan sekolah aliran arus perdana.

Saya beri satu contoh yang sangat jelas betapa ketinggalannya sekolah aliran kebangsaan dengan  sekolah Cina. Misalnya, SJKC Pei Yu, sekolah bantuan penuh kerajaan. SJKC ini terletak sekitar kawasan Bertam, berhampiran Hotel Sri Malaysia, Kepala Batas.

Berdekatan SJKC Pei Yu, paling kurang terdapat tujuh buah sekolah iaitu, SK Hashim Awang, SMK Dato Haji Abdul Kadir, SJKT Palaniandy, SMK Dato Hj Ahmad Badawi, SK Sheikh Abdullah Fahim, SMK Bertam Perdana, dan SMK Bertam Indah. Kesemua sekolah ini tidak ada dewan yang begitu canggih dengan segala kelengkapan seperti dewan SJKC Pei Yu. SJKC ini mendapat peruntukan khas membina dewan tertutup serba canggih bernilai lebih RM3 juta. SJKC ini jauh lebih gah daripada sekolah bantuan penuh kerajaan di sekelilingnya, meskipun kawasan tersebut di bawah bekas PM sebelum ini, Pak Lah.  Hanya kerana ada nama SJKC, menjadikan ia sangat istimewa.

Sekolah lain bersebelahan yang  ingin menggunakan dewan tersebut akan dikenakan sewa. Begitulah hebatnya ultra kiasu bersatu hati dalam pembangunan pendidikan anak bangsanya. Bayangkan jika kerajaan terus menyalurkan dana dan memberikan bantuan sepenuhnya. Sudah tentu sekolah-sekolah Cina ini akan menjadi sekolah mewah, penuh segala kelengkapan, meninggalkan sekolah aliran kebangsaan, termasuk sekolah berasrama penuh.  Jangan ada yang membandingkan dengan sekolah agama. Pasti akan mengalir air mata.

Umum mengetahui bahawa ekonomi negara ini dikuasai oleh orang Cina. Kekayaan yang dimiliki turut memperkayakan NGO-NGO mereka. Jika tidak masakan NGO-NGO mereka boleh membina dan memiliki bangunan sendiri. Jika tidak pergilah menejeling akaun-akaun persatuan PIBG SJKC, SMJKC, SMPC, Hua Zong, Dong Zong, Dong Jiao Zong dan lain-lain.  

Jangan pergi jauh, cuba lihat bangunan Persatuan Cina, Hua Zong, Serdang, tepi lebuh raya Utara Selatan, 20 tingkat. Di situ juga menempatkan Kolej Persendirian Cina. Ini tidak termasuk Sekolah Persendirian Cina di bangunan Minlon terletak berdekatan. Sebelum PRU14, bekas PM, Najib Razak telah meluluskan hampir dua ekar tanah kepada SMPC Choong Hwa, Sentul bagi tujuan membina Kompleks Sukan sekolah tersebut. Tidak lama lagi kompleks sukan tersebut akan berdiri megah. Dari manakah mereka mendapat sumber kewangan yang begitu banyak untuk membina kompleks sukan tersebut? Sila baca artikel saya sebelum ini di sini,   https://www.ismaweb.net/2018/04/23/bagilah-lagi-apa-yang-cina-mahu/

Saya cadangkan Menteri Pendidikan, memberikan saya dana untuk membuat penyelidikan khusus mengenai sekolah Cina di Malaysia, terutama SPMC dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Saya juga memohon dana untuk membuat kajian ke atas lima buah Sekolah Wawasan yang telah dibina di Pekan Baru, Parit Buntar, Taman Aman, Alor Setar, Tasik Permai, Pulau Pinang, USJ 15, Subang Jaya dan Pundut, Sri Manjung. Kenapa dan mengapa idea sekolah yang sangat baik konsep yang dibina ketika zaman PM Tun Mahathir, tidak menarik perhatian orang Cina. Kenapa orang Cina mahu menjadi secina-cinanya, langsung tidak boleh dicairkan walaupun sedikit.

Ingatlah kata-kata Pakar Perlembagaan, Prof Dr. Saleem Shad Faruqi, perlembagaan hanya membenarkan HAK BELAJAR BAHASA IBUNDA, BUKANNYA HAK BELAJAR DALAM BAHASA IBUNDA. Masih tidak faham? Rakyat Malaysia berhak menyaman kerajaan jika kerajaan bertindak di luar batasan undang-undang, termasuk menyalurkan wang rakyat untuk membantu Sekolah Persendirian yang tidak termaktub dalam Perlembagaan dan Akta Pendidikan. Saya tidak hanya merujuk kepada kerajaan hari ini, malahan kepada kerajaan sebelum ini yang sewenang-wenangnya menggunakan wang rakyat di luar rangka perlembagaan dan undang-undang.