Sejak kebelakangan ini parlimen sudah jadi lebih teruk daripada pasar. Seolah-olah melihat sarkis dan badut. Memalukan. Inikah standard perbahasan wakil rakyat kita. Bahasa unparliamentary digunakan tanpa segan silu. Unparliamentary atau dalam bahasa Tamil disebut Makkal manrattil payanpatuttat takuti arra, bermaksud, kata-kata yang dihemburkan bertentangan dengan peraturan dan prosedur Parlimen atau lebih tepat menggunakan bahasa kesat, lucah dan kurang ajar, seperti p.....k, f..k, pelacur dan lain-lain lagi.
Saya semakin menjadi tidak faham, kenapa kedudukan parlimen yang mulia dipenuhi segelintir wakil rakyat yang tidak bertamadun? Lebih pelik lagi, bagaimana rakyat boleh memilih mereka sebagai wakil rakyat. Lagaknya seperti samseng. Malah, sanggup mengajak orang bertumbuk di luar. Ada keberanian atau sekadar mengacah? Fikir dahulu sebelum bertindak atau bercakap. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.
Memang tidak dinafikan ada unsur provokasi yang ditimbulkan oleh segelintir ahli parlimen. Biarkan mereka. Berstrategilah untuk berhadapan dengan mereka. Kebaikan pasti dapat mengalahkan kejahatan. Bukan dengan bertindak unparliamentary.
Saya sempat meneliti perbahasan wakil rakyat parlimen negara-negara maju, ternyata perbahasan mereka begitu matang. Bahasa unparliamentary memang dilarang sama sekali. Mereka sangat faham. Kenapa kita tidak boleh lakukan, sedangkan semua itu dalam kawalan kita. Kitakan beragama.
Sebab itu, Yang Dipertua (speaker) Dewan Rakyat dan timbalannya, mesti dapat mengawal perbahasan dan bertindak di mana perlu. Secara ringkas, saya senaraikan tanggungjawab speaker secara umum:
Pertama, mengawasi persidangan supaya berjalan dengan lancar. Kedua, mengatur perbahasan supaya tidak menyimpang dari isu-isu yang dibincangkann. Ketiga, membuat keputusan mengenai aturan urusan mesyuarat sekiranya berlaku perbalahan. Keempat, memeriksa sama ada petisyen, rang dan pindaan undang-undang boleh diterima atau tidak.
Speaker juga mempunyai kuasa untuk menentukan bila sidang bermula dan berakhir, dan boleh menangguhnya sementara jika perlu. Speaker juga bertanggungjawab memastikan perlembagaan dihormati. Speaker turut berkuasa mendisiplinkan ahli-ahli dewan, menentukan siapa yang berhak bersuara, memanggil undi dan memeriksa korum setiap kali bersidang. Speaker cuma mengundi sekiranya ada undi yang berakhir dengan seri.
Jika speaker tidak dapat menghadiri persidangan Dewan Rakyat, tugas dan fungsinya dipikul oleh salah seorang daripada dua timbalannya. Begitu ruang lingkup dan besarnya kuasa speaker.
Di negara maju, ahli parlimen tidak boleh menyebut perkataan seperti tidak beradab, lucah dan kesat. Antara yang jelas tidak boleh disebut adalah ass, blackguard, coward, git, guttersnipe, hooligan, hypocrite, idiot, ignoramus, pipsqueak, rat, slimy, sod, squirt, stoolpigeon, swine, tart, traitor, wart dan sebagainya. Termasuk nama binatang tertentu yang boleh dikaitkan dengan manusia. Disiplin ini begitu dipatuhi.
Kenapa orang barat boleh, kita di sini yang terkenal dengan budaya ketimuran (beragama Islam) tidak boleh? Apa kurangnya kita? Apa lebihnya barat? Kita sengaja merosakkan diri sendiri.
Begitu juga etika berpakaian. Mereka yang ingin masuk ke parlimen mesti mengikut garis panduan dan tatacara parlimen. Tidak membawa masuk sami masuk ke dewan tanpa kebenaran dan mengikut pakaian yang ditetapkan. Apatah lagi memakai baju-t berbelang-belang. Pendek kata, parlimen sangat dihormati dan dimuliakan.
Justeru, kita mohon supaya speaker bertindak tegas. Tidak cukup sekadar berkata, “tarik balik Yang Berhormat”, sedangkan bahasa unparliamentary mengambil masa begitu lama untuk ditarik balik. Jika mereka tidak tarik balik, termasuk yang melakukan provokasi, halau sahaja keluar dewan. Mereka tidak layak duduk dalam dewan yang mulia itu.
Pernahkah kita terfikir kenapa di dalam Parlimen tidak boleh bertepuk tangan? Sedangkan tepuk tangan itu adalah amalan biasa, tanda penghormatan dan tidak ada yang bersalahanpun. Tetapi tidak dibenarkan, kerana di parlimen kita bercakap soal adab dewan. Parlimen mesti berbeza dengan dewan-dewan yang lain. Bayangkan jika tepuk tangan dibenarkan di parlimen, seolah-olah parlimen boleh menjadi konsert.
Pernah berlaku beberapa kali dalam parlimen di barat perbuatan bertepuk tangan secara spontan selepas ahli parlimen berucap. Ia dibenarkan kerana di luar kawalan. Itupun dicatatkan dalam hansard parlimen sebagai ‘gangguan”.
Speaker perlu memperbetulkan keadaan ini semula. Bertindak tegas. Jika tidak, tidak ada guna ada speaker.
The rules are laid out in the Parliamentary etiquette bible Erskine May, which says: "Members must not disturb a Member who is speaking by hissing, chanting, clapping, booing, exclamations or other interruption." (Brian Wheeler, 2015)
Rupanya, ada sebab kenapa Islam tidak menggalakkan bertepuk tangan. Begitulah mulianya parlimen kepada wakil rakyat negara lain. Kepada kita yang beragama Islam, Parlimen bukanlah al-Quran. Tetapi kedudukan Parlimen sebagai institusi politik negara mesti dijaga dan dimuliakan.
Rakyat sedang dan ingin melihat wakil rakyat yang mereka pilih membahaskan isu-isu serius, isu-isu negara, isu-isu rakyat dan sebagainya, bukan melihat sarkis dan badut beraksi mengeluarkan kata-kata yang tidak bertamadun.
Lebih hodoh lagi apabila bahasa yang digunakan bercampur-campur. Ada wakil rakyat yang tidak boleh berbahasa kebangsaan dengan baik. Tanpa segan silu menggunakan bahasa Inggeris. Mohon speaker supaya mengingatkan semua wakil rakyat menggunakan bahasa kebangsaan. Jika tidak mereka tidak layak menjadi ahli parlimen. Ini Malaysia, bukan negara orang putih.
Sudah sampai masanya syarat minima kelayakan menjadi wakil rakyat dikenakan. Paling kurang ada sijil dan mendapat kredit dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu SPM bukan bahasa Melayu UEC.
Mohon speaker bertindak tegas. Jika keluar lagi perkataan lucah seperti f..k, p…..k, dan tidak ditarik balik dengan segera, maka halau mereka keluar dewan.
Justeru, kita mohon agar perbahasan di Parlimen dapat dikawal secara profesional. Jika tidak, parlimen akan menjadi sarkis dan menjadi bahan ketawa dunia. Bukan itu sahaja, malah memalukan, apabila ditonton oleh anak-anak kita. Inikah standard parlimen kita.
0 comments:
Post a Comment