https://www.ismaweb.net/2018/08/20/judi-hak-orang-bukan-islam-satu-ungkapan-salah/
SAYA ucapkan tahniah kepada
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mujahid Yusof Rawa,
kerana berani berkata benar meskipun pahit mengenai haramnya judi, termasuk di
Genting Highland. Ini barulah amanah dengan jawatan dan saya boleh berlembut
hati menyebut parti Amanah.
Sekalung tahniah juga kepada wakil PAS, Datuk Nik Muhammad Zawawi
Salleh (PAS-Pasir Puteh) yang menimbulkan persoalan ini untuk dijawab di
Parlimen. Antara cadangan beliau supaya setiap kementerian membentuk satu
jawatankuasa bagi membolehkan semua wakil agama mengadakan perbincangan
mengenai judi dan memperkenalkan hukuman oleh semua agama secara selari bagi
kesalahan judi.
Cuma, saya ini menambah, bukan sekadar isu judi, tetapi perkara
lain yang diharamkan oleh semua agama, bukan sahaja Islam, seperti arak, zina,
seks bebas, pergaulan tanpa batas, pusat hiburan melampau, seks songsang, LGBT
dan banyak lagi. Saya nak tengok berapa ramai Ahli Parlimen yang betul-betul
sayangkan agama, termasuk bukan Islam, terutama mereka yang mahu berebut-rebut
menggunakan kalimah Allah.
Albert Einstein pernah berkata, ‘God does not play dice with the
universe. If God isn’t a gambler, are his followers?’
Kata-kata ini membuatkan saya
amat teruja dengan kenyataan mengenai judi yang dikatakan adalah hak orang
bukan Islam.
Persoalannya, dari sumber manakah fakta itu diperoleh? Atau
kenyataan itu sekadar mahu mengambil hati atau menjaga hati orang lain? Kita
tidak seharusnya membuat generalisasi bahawa amalan budaya sesuatu kaum adalah
hak mereka, tanpa merujuk kepada sumber asasi atau berautoriti.
Jika kita tidak rajin membaca,
sekurang-kurangnya tanyalah mereka yang lebih arif serta pakar, seperti pakar
perbandingan agama atau sami Buddha, Hindu, paderi Kristian dan sebagainya.
Budaya merujuk pakar perlu ada dalam melahirkan masyarakat yang maju, berilmu
dan mempunyai daya intelektual yang tinggi.
Sepanjang pengetahuan saya mengkaji perbandingan agama sehinggalah
memeluk Islam, tidak ada satupun agama yang menghalalkan judi.
Mari kita melihat hujah-hujah agama selain Islam. Judi
dikategorikan sebagai dosa besar dan kerja-kerja syaitan. Sila baca pandangan
Kristian dalam 1 Timothy 6:9, Matthew 6:13; 26:41, James 4:3; Matthew 18:6-9. 1
Corinthians 15:33.
Pandangan Buddha dalam Digha Nikaya, Sigalovada Sutta: The
Layman’s Code of Discipline, Dighajanu Sutta, Anguttara Nikaya VIII.54.
Pndangan Hindu dalam Tirukkural, 94: 931-940 (http://www.buddhanet.net/e-learning/ethics_s.htm).
Tidak ketinggalan, amalan judi juga diharamkan dalam agama Yahudi.
(http://www.beliefnet.com/News/2003/01/Does-God-Play-Dice.aspx).
Istilah-istilah moden yang merujuk kepada judi seperti kasino, loteri, mesin
slot, dan judi bola sepak, menurut pengamal-pengamal Kristian adalah haram dan
berdosa. Jadi, dimanakah hujah untuk menghalalkannya?
Sila layari http://gospelway.com/morality/gambling.php. Saya
merasa pelik kenapa kita takut untuk berkata benar.
Persoalannya, tatkala agama lain bersependapat dengan kita, kenapa
kita pula bertindak melawan arus mahu menghalalkan judi, termasuk judi bola?
Pada hemat saya, yang haram tidak boleh disahkan, kerana implikasi haram akan
menerbitkan keputusan yang haram juga.
Logiknya mudah, bila halal + halal, jawapan halal tidak ragu-ragu
lagi. Namun, jika haram + halal, jawapannya masih lagi haram. Jika tidak haram
pun, ia akan menimbulkan sangsi dan was-was. Apatah lagi jika haram + haram,
sudah tentu menjadi lebih haram.
Justeru, oleh kerana tidak ada satu pun agama yang membenarkan
judi, eloklah kita fikirkan semula bagaimanakah kesannya, jika ianya dibenarkan
atau dilesenkan.
Berasaskan pengalaman saya ketika tidak Islam dan pernah berjudi
secara haram, judi langsung tidak mendatangkan kebaikan, malahan akan
menimbulkan ketagihan walaupun judi itu tidak boleh dimakan, rasa tidak puas
hati akan menimbulkan ketagihan. Apatah jika menjadi sumber rezeki, seterusnya
menjadi darah daging.
Saya tidak pernah lihat ada tauke judi yang bankrap atau jatuh
miskin disebabkan oleh perniagaan haram ini. Yang jelas, rata-rata masyarakat
atau rakyat menjadi mangsa.
Jika dilihat dari sudut mana sekalipun tidak ada satu pun kebaikan
hasil perjudian. Menang sekali setelah ratusan kali dan ribuan kali kalah. Judi
telah mengakibatkan penderitaan dan reputasi seseorang. Soal mereka masih
melakukannya, sehingga menjadi amalan hidup, itu adalah soal individu.
Adalah tidak wajar dikaitkan dengan peradaban dan agama mereka
sehingga kita sanggup mengatakan bahawa ia adalah hak mereka, tidak boleh
diganggu-gugat.
Sebelum memeluk Islam, saya pernah melihat dengan mata kepala saya
sendiri bahana judi. Ada yang terpaksa melacurkan isteri kerana kalah berjudi
kerana tidak dapat melangsaikan hutang judi. Tidak kurang pula yang membunuh
diri. Ada juga yang sanggup menggadaikan harta benda dan tanah pusaka.
Justeru, apakah altenatif kepada penjudi-penjudi ini. Pada saya,
cukuplah dengan apa yang telah ada. Tidak perlulah ditambah lagi. Jika dapat
dikurangkan dan dihapuskan lagi baik kerana tidak ada agama yang menyetujuinya.
Jangan mengundang bala, takut-takut nanti dimurkai Tuhan. Tatkala
itu, mereka yang mengharamkan judi atau tidak pernah berjudi pun akan terpalit
sama kerana bala Tuhan tidak mengenal tempat atau orang tertentu sahaja.
Tsunami yang melanda Lombok tidak hanya kena pada mereka yang
engkar dengan Tuhan, tetapi membabitkan ramai orang baik yang tidak berdosa,
termasuk rumah ibadat seperti surau dan masjid. Janganlah kita anggap, jika
bala turun ia hanya akan kena pada mereka yang melakukan maksiat sahaja.
Saya yakin kepimpinan negara kita akan melihat perkara ini dengan
serius. Biarlah mereka yang berjudi haram ditangkap polis. Sekurang-kurangnya
kita dapat memberikan mereka pengajaran daripada terus berjudi seumur hidup.
Kajian yang dibuat ke atas bandar-bandar utama di Amerika Syarikat
seperti Washington, Minnesota, Mississippi, California, Colorado, Connecticut,
Las Vegas, Wisconsin dan sebagainya, menunjukkan bahawa apabila pusat judi
dibuka, kadar jenayah dalam pelbagai bidang meningkat serta-merta sehingga 500
peratus.
Menurut John Curran, kadar jenayah ragut, rogol, rompak, serangan
dan bunuh meningkat mendadak apabila kasino dibuka. Statistik Federal Bureau of
Investigation (FBI) mempamerkan, kadar jenayah daripada 1,000 orang penduduk
meningkat daripada 134.3 pada tahun 1978 kepada tahap menakutkan iaitu 450.3
pada tahun 1988.
Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh kajian Keith Copher, Ketua
Penguatkuasaan, Lembaga Pengawasan Judi, Nevada, yang mendedahkan antara 450
hingga 500 pekerja ditangkap setahun kerana terbabit dalam aktiviti perjudian
haram dalam satu daerah.
Menurut
Schaff, Counselor for the Department of Corrections in Wisconsin “In the most
desperate phase of compulsive gambling, they will do anything to gamble,” “They
start stealing money from their spouses, family . . . they’ll get money anyhow,
anywhere. They’ll do forgeries, embezzlements, thefts. It’s mostly white-collar
crime.”
Tidak ketinggalan, judi turut menjejaskan kadar percukaian negara.
Menurut Tom Grey, President of National Coalition Against Legalized Gambling,
“We have studies that show for every dollar you bring in gambling revenue,
you’ll lose $1.90 in costs to the taxpayer,” he said. It’s as simple as ABC,
“the addiction, the bankruptcy, the crime and corruption that you already have
will just multiply with this expansion.” … “If you’re not fighting it, it’s
like cancer and will metastasize and take you over,”. Sila rujuk
http://www.citizenlink.org/FOSI/gambling/cog/A000002180.cfm
Semua bukti ini menunjukkan
bahawa judi langsung tidak mendatangkan kebaikan kepada negara, apatah lagi
kepada individu yang terbabit.
Justeru, tunaikan hak semua agama dan hak rakyat untuk mendapatkan
kebaikan dan hidup aman damai. Saya yakin ia bertepatan dengan manifesto
Pakatan Harapan. Saya juga yakin masyarakat Islam akan memberikan sokongan yang
tidak berbelah-bahagi kepada pentadbiran yang ada pada hari ini jika kita
bertegas.
Segerakanlah penubuhan jawatan kuasa membabitkan semua agama untuk
membincangkan isu yang telah menjadi barah ini. Baharulah dikatakan Amanah
bukan PAN lagi.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment