Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, August 27, 2018

Sejak bila parti politik Malaysia ada kerajaan?

12:08 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2018/08/27/sejak-bila-pula-parti-politik-malaysia-ada-kerajaan/


SEJAK bila Pakatan Harapan (PH) ada kerajaan atau Barisan Nasional (BN) ada kerajaan? Kerajaan adalah kerajaan. Tidak ada istilah kerajaan baharu, kerajaan lama, kerajaan PH, kerajaan BN.

Ada ke nama kerajaan baharu, kerajaan lama? Kerajaan PH atau kerajaan BN, kerajaan PAS atau apa lagi? Yang hanya adalah Kerajaan Malaysia, kerajaan negeri-negeri dan kerajaan tempatan. Kerajaan wujud terlebih dahulu sebelum yang lain, seperti parti politik.

Definisi ‘government’ atau kerajaan adalah sekumpulan manusia (Kabinet) yang bertanggungjawab menguruskan negara secara rasmi. Dalam maksud, kerajaan itu bukan parti politik. Parti politik adalah salah satu unsur, termasuk mengurus dan mentadbir kerajaan.

Justeru, gunakanlah dengan betul. Jika tidak ditertawakan orang. Kerajaan sudah wujud apabila tertegaknya sebuah negara, seperti Kerajaan Melayu Melaka dahulu.
Saya kadang-kadang naik malu apabila ramai wakil rakyat dan pembaca berita menyebut kerajaan baru dan kerajaan PH. Kerajaan adalah kerajaan, PH atau BN bukan kerajaan, PH adalah ‘ruling party’ atau ‘governing party’ kepada kerajaan atau parti yang memegang tampok pemerintahan kerajaan.

Kerajaan Malaysia sudah sedia ada. Parti politik datang dan pergi untuk menguruskannya. Sebutlah dengan betul KERAJAAN MALAYSIA. Rakyat tahu ‘ruling party’ atau ‘governing party’ Kerajaan Malaysia adalah PH.

Apabila mewakili negara ke luar negara nanti, bukankah kita mewakili Kerajaan Malaysia, bukan kerajaan PH. Tetapi jika disebut juga kerajaan PH, maka terserlah sangat kebodohannya. Begitu penggunaan ketika BN dahulu apabila meletakkan papan tanda ‘INI PROJEK KERAJAAN BARISAN NASIONAL’, memang terserlah kebodohannya. Sejak bila BN ada kerajaan. Tulislah dengan betul.

Saya menawarkan diri untuk memberikan kursus asas sains politik kepada wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat, sebab bidang saya bidang sains politik, politik dan kerajaan serta pengajian strategi. Saya bukanlah ustaz atau orang agama, seperti yang disebut-sebut.

Mohon bacalah buku yang ditulis oleh Milner bertajuk ‘Kerajaan: Malay Political Culture on the Eve of Colonial Rule’ (1982). Saya fikir sudah sampai masa wakil rakyat banyakkan membaca dan mendatangi kelas asas sains politik agar layak digelar wakil rakyat. Jika tidak, mereka akan bercakap merapu tatkala Dewan Rakyat bersidang.

Bercakap merapu di Parlimen sehingga keluar bahasa kurang ajar dan isyarat lucah seperti kepala bapak, p*****k, f**k dan sebagainya. Kadang kala, peguam pun bodoh juga bila menggunakan isyarat lucah.

Dahulu, kita terperangkap dengan kontroversi agama. Ada Islam Hadhari, ada yang tidak Islam. Islam adalah Islam. Tidak timbul ada Islam Hadhari atau Islam versi baharu atau Islam Badawi atau Islam versi lama. Seperti yang Tun Dr Mahathir akta, Islam adalah Islam. Di sini saya bersetuju dengan Tun Dr Mahathir apabila berkata ketika mempengerusikan mesyuarat Perkim.

Jika mahu juga gunakan baharu dan pengunaan PH. Maka sebut dengan betul Kerajaan Malaysia baharu. Sebut terlebih dahulu Kerajaan Malaysia. Kerajaan Malaysia PH. Baharulah cun dan betul. Kadang kala saya lihat dalam soal ini, negara Indonesia lebih terkehadapan. Mereka tahu menggunakan istilah dan penggunaan bahasa yang betul.

Misalnya, apabila memberikan gelaran nama rakyatnya. Indonesia menggunalah istilah orang Indonesia. Orang Indonesia Tionghua, orang Indonesia Acheh, orang Indonesia Jawa dan lain-lain. Nama negara didahulukan berbanding yang lain.

Kita di Malaysia tidak. Apabila ditanya, kamu orang apa? Maka jawabnya: “saya orang Cina, Melayu, India, Iban dan lain-lain”. Tidakkah boleh disebut saya orang Malaysia Cina, saya orang Malaysia India, begitulah seterusnya.

Lebih malang lagi, ada dalam kalangan kita yang pergi keluar negara, malu untuk mengaku sebagai ‘orang Malaysia’. Apabila ditanya oleh orang luar, mereka menjawab, ‘I am Chinese’, ‘I am Indian’, ‘I am Malay’ bukannya ‘I am Malaysian’. Sebab itulah semangat patriotik kita berbanding orang Indonesia jauh ketinggalan.

Saya amat yakin semangat patriotik orang Indonesia sangat tinggi meskipun mereka berada di rantau orang. Sebab itu mereka tetap kekal jati diri dan semangat keindonesiaannya. Ke mana kita pergi dan lihat, budayda dan bahasa Indonesia mereka begitu pekat dan mereka tidak segan silu mengatakan mereka orang Indonesia meskipun bekerja sebagai buruh.

Berbanding dengan kita rakyat Malaysia, minta maaf cakap. Kita rasa malu untuk berbahasa Melayu atau mengaku orang Malaysia. Kita rasa ‘inferiority complex’ atau perasaan rasa diri kecil atau tidak bagus.

Lebih menjengkelkan lagi, loghat bahasa atau bunyi bahasa kita berubah apabila bercakap dengan bangsa lain. Bila bertemu Cina atau India, bahasa Melayu kita menjadi bunyi Cina atau bunyi India. Buktinya, akan kedengaran suara, ‘tokey, ini balang belapa halega?’, bahasa betulnya, berapakah harga barang ini?

Begitu juga apabila kita bertemu dengan orang Indonesia, bahasa kita masuk ke dalam bahasa mereka, akan kedengaran kata-kata; ‘mau ke mana dong’, ‘sila mampir dulu’. Jika masuk dalam bahasa Indonesia tidak mengapa lagi sebab serumpun. Tetapi apabila bercakap dengan bangsa asing, bahasa sendiri menjadi asing. Apa sudah jadi?

Sebab itu, tajuk minggu ini walaupun kecil, sebab ada merasakan tidak penting kerana hanya berbahas soal istilah, tetapi inilah asas-asas kenegaraan atau asas-asas menanamkan semangat patriotik. Bayangkan jika kita selalu menggunakan istilah, saya orang Melayu, saya orang Cina, saya orang India, saya Bumiputera Sabah dan Sarawak.

Bila masakah istilah Malaysia akan keluar? Kita hanya bercakap soal bangsa, bukan lebih besar daripada itu iaitu soal negara. Kita hanya bercakap soal parti, parti PH atau BN, bukan lebih besar daripada itu iaitu soal negara. Negara Malaysia. Ini belum saya bahaskan lagi soal agama yang menjadi lebih fundamental.

Kita semua faham, diakhirat nanti, bangsa atau identiti bernegara, tidak ada apa-apa makna. Allah akan menilai apa sumbangan kita kepada agama. Sebab itu, apabila berkata, turutan menyebut, sumbangan kepada agama, negara dan bangsa, bukannya, bangsa, negara dan agama.

Di akhirat nanti, Allah tidak melihat kita dengan rupa paras, bangsa atau apa? Tetapi Allah hanya menilai dengan iman dan takwa iaitu sumbangan kita kepada agama.
Justeru, saya mohon, panjang lebar saya membahaskan istilah, maka gunakanlah istilah ini dengan betul supaya tidak ditertawakan orang.

Cukup-cukuplah bercakap soal parti, cakaplah yang lebih besar dan betul. Kerajaan Malaysia, orang Malaysia, bukannya kerajaan PH, BN, orang Cina, India dan Bumiputera. Kita adalah rakyat Malaysia, orang Malaysia, yang hanya dibezakan dengan bangsa.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


0 comments: