Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, November 21, 2010

Berkorbanlah untuk bersatu

7:14 AM Posted by RIDHUAN TEE 99 comments
Mingguan Malaysia, 21 November 2010

Ajakan Ahmad Maslan, Ketua Penerangan Umno agar Pas menyertai Barisan Nasional ditolak mentah-mentah oleh Idris Ahmad, Ketua Penerangan Pas. Menurut Idris, Pas tidak memerlukan Umno, kerana Pas akan berusaha untuk memikat ahli-ahli Umno khususnya dan orang Melayu Islam untuk menyertai parti komponen Pakatan Rakyat (PR) itu. Setiausaha Agung PKR menyifatkan ajakan Umno itu sebagai hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong. Sebelum inipun Presiden Pas pernah mengeluarkan kenyataan meminta Umno supaya berundur secara terhormat jika kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Pada hemat saya, ini bukan soal hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong atau tidak. Ini berkaitan dengan masa depan umat Islam. Pas dan PKR janganlah terlalu yakin untuk mengambil Putrajaya. Jika ditakdir mereka berjaya, saya tidak fikir mereka mampu mendapat majoriti dua pertiga. Apatah lagi untuk menegakkan negara Islam. Paling hebatnya mereka hanya akan mendapat kelebihan beberapa kerusi. Senarionya mungkin lebih kurang sahaja seperti apa yang berlaku hari ini. Jika Umno kalah sekalipun, tidaklah sampai kehilangan semua kerusi. Apapun, kita tunggu dan lihat kekuatan masing-masing nanti.

Cuma, janganlah terlalu sombong dalam menilai kekuatan parti. Setiap parti ada kelebihan dan pengaruh masing-masing. Secara peribadi, saya mengenali kesemua tokoh ini tersebut. Kita bukan bercakap soal siapa menang atau siapa akan kalah dalam pilihan raya. Pilihan raya hanya alat untuk mendapatkan kuasa dan menjadi parti yang memerintah kerajaan. Siapa yang dipilih oleh rakyat, kita perlu menghormati keputusan tersebut. Apa yang lebih penting adalah masa depan agama, bangsa dan negara yang akan diwarisi oleh anak cucu cicit kita. Ke syurgakah mereka atau ke neraka ketika di bawah pemerintahan kita, itu yang lebih penting?

Apa guna menang pilihan raya jika maruah agama dan kampung tergadai. Pilihan raya bukanlah segala-galanya dalam kehidupan umat Islam. Di negara-negara maju, jatuh bangun sesebuah parti dalam pilihan raya adalah perkara biasa. Bezanya kita dengan mereka, kalah atau menang dalam pilihan raya, kedudukan agama dan bangsa mereka tidak terjejas, malah terus gagah dan bermaruah. Tetapi tidak kita pada hari ini, seolah-olah menang mahu jadi arang, kalah jadi abu.

Belumpun apa-apa kita sudah dapat rasakan bagaimana agama dan bangsa kita dipijak-pijak. Apakah ini yang kita mahu? Umno hanya mempelawa, kalau tidak setuju tidak mengapa. Tolaklah dengan cara baik. Tetapi jangan menyakitkan hati orang dengan kenyataan-kenyataan seperti kapal karamlah, hidung tak mancunglah dan sebagainya. Hebat sangatkah kita?

Secara peribadi saya amat kecewa dengan umat Islam hari ini. Tidakkah kita ini semuanya bersaudara tanpa mengira bangsa dan ideologi politik? Tidakkah kapal yang bocor dan hendak karam itu perlu diselamatkan demi survival umat Islam secara keseluruhan. Apakah kita tidak belajar daripada kejatuhan empayar-empayar Islam sebelum ini? Akibat dendam kesumat dan perbuatan menyakitkan hati sesama sendiri, kita terus berpecah tiada kesudahan, sehingga ke tahap sanggup menikam sesama sendiri.

Selaku Cina Muslim yang tidak ada apa-apa kepentingan dalam soal bangsa Melayu, melainkan agama Islam, berbincanglah dahulu pelawaan Ahmad Maslan itu. Tidakkah Islam menganjurkan kita bermesyuarah. Sesuatu kejayaan bermula dengan langkah pertama. Mungkin selepas ini pertemuan boleh diaturkan dengan Perdana Menteri. Apakah formula dan konsep yang boleh dipersetujui bersama demi masa depan umat Islam? Apakah jawatan yang mungkin boleh ditawarkan kepada Pas. Jika tidakpun jawatan Perdana Menteri, mungkin jawatan Timbalan Perdana Menteri. Apakah Pas terlalu yakin bahawa mereka akan diberikan jawatan penting apabila PR ditakdirkan memerintah nanti?

Jika itulah jawapannya, sudah tentu Pas akan diberikan jawatan penting di bawah kerajaan Pulau Pinang. Tetapi adakah ia berlaku? Di manakah kedudukan Pas setelah PR memerintah Pulau Pinang? Begitu juga kedudukan Pas, apabila PKR memerintah Selangor. Apakah mungkin akan diberikan jawatan menteri besar Selangor selepas PRU 13? Jauh panggang dari api. Dalam PKR hari ini pun masih berantakan untuk merebut jawatan parti. Tujuannya tidak lain, bila menang jawatan dalam parti, peluang untuk memegang jawatan tertinggi peringkat negeri dan negara adalah lebih besar. Sebab itu macam-macam perkara berlaku dalam parti pemilihan parti yang tidak perlu disebut lagi.

Saya boleh bersetuju dengan kata-kata Idris Ahmad bahawa ada pemimpin Umno yang cuba menggelapkan berita kebaikan Pas dalam memberikan bantuan kepada mangsa banjir di Kedah. Perkara ini turut ditegur oleh Sultan Kedah. Adalah suatu yang silap jika Umno mengeluarkan kenyataan sedemikian apatah mereka yang berjawatan. Sepatutnya kita bertolong-tolongan sesama kita tanpa mengira latar belakang. Jangan mangsakan rakyat disebabkan mereka memilih Pas. Hormati keputusan rakyat buat masa ini. Jika Umno mahu bertahan dalam PRU 13, Umno mesti berlaku adil dan menghulurkan bantuan kepada semua termasuk negeri yang ditadbir oleh pembangkang. Umno perlu menunjukkan bahawa ia adalah parti untuk rakyat, bukan hanya untuk pengikutnya sahaja seperti yang selalu disebut Perdana Menteri.

Jika ada masalah timbul atau perkara yang tidak dipersetujui antara parti, eloklah diselesaikan secara berhemah. Kita boleh bersetuju untuk tidak bersetuju, tetapi tidak perlulah sehingga menyakiti hati orang lain. Elok juga diteliti cadangan beberapa sahabat sebagai langkah pertama ke arah penyatuan. Jika kita semua mengakui benar-benar memperjuangkan Islam, sahutlah ingatan Allah SWT yang berbunyi:

“Maka dengan segala rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka (mengenai kesalahan yang mereka lakukan terhadapmu), pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan (peperangan dan hal-hal keduniaan) itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihani orang-orang yang bertawakkal kepadaNya (Al-Imran: 159)

Allah mengingatkan kita supaya bersikap lemah lembut dalam sesama manusia. Tidakkah itu yang menjadi dasar dakwah Pas selama ini. Jika kita berkeras dan berkasar, tidakkah Umno akan lari dari Pas. Hari ini kita hanya bercakap soal perpaduan umat Islam. Bagaimanakah kita dapat menyampaikan dakwah kepada bukan Islam, jika sesama Islam kita terus bercakaran.

Kelebihan Pas berbanding Umno, adalah Pas selalu berhujah menggunakan ayat-ayat Quran dan Hadis. Syabas diucapkan. Namun, perlu diingatkan juga sebanyak manapun Quran dan Hadis dihujahkan, jika pendekatan kita menyakitkan hati orang, sesiapa pun akan lari daripada kita. Cubalah ambil iktibar pengajaran yang diturunkan oleh Allah SWT kepada Nabi Musa dan Harun. Allah mengingatkan kedua-dua Nabi Allah ini supaya berlemah lembut hatta kepada Firaun (Surah Taha: 43-44). Apakah Umno itu lebih buruk daripada Firaun? Harap anggapan ini tidak ada dalam pemikiran kita.

Jika Umno bersalah selama ini, tidak bolehkah kita memaafkannya. Tidakkah boleh kita berbicara secara berhikmah dengannya. Benar, kita boleh berbeza pendapat, tetapi janganlah sampai putus tali persaudaraan dan membawa perpecahan yang menakutkan. Ingatan Allah SWT ini perlu dijadikan pedoman:

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib (Surah Fussilat: 34, lihat juga surah Al-Fath: 29).

Jika ada masalah, kita amat digalakkan bermesyuarat. Janganlah terlalu menyalah orang lain. Tidakkah kita sedar, ada kalangan kita yang menolak sesuatu kebaikan, bukan kerana mereka jahil, tetapi mungkin disebabkan mereka masih berserabut dengan budaya politik yang menyukarkan keadaannya. Budaya politik secara asuhan sejak kecil menjadikan pemikiran mereka jumud sehingga sukar untuk menolak pembaharuan. Tidak kurang juga, perasaan ego yang menghantui diri untuk mengakui bahawa apa yang dilakukan selama ini sebenarnya adalah mungkin tidak kena atau kurang tepat. Justeru, inilah peluang untuk menyampaikan sesuatu yang benar atau berdakwah, bukan mendakwa.

Bermesyuaratlah, dalam maksud, kita mendengar pendapat mereka, menyampaikan pendapat kita dan kemudian, bersama-sama mencari kebenaran. Ada kalanya mereka salah, kita benar atau mungkin sebaliknya mereka benar, kita yang salah. Kita hanya manusia biasa, bukan malaikat.

Setelah itu, bertawakkallah kepada Allah setelah kita berusaha. Perkara asas yang perlu diingat oleh Pas adalah, tanggungjawab berdakwah dan menyampaikan sebagaimana yang dilakukan oleh para anbiya. Bukannya memaksa orang menerima apa yang didakwahkan atau menghukum jika mereka tidak mahu menerima. Jika kita memilih sedemikian, pengorbanan kita terhadap Islam tidak sebesar mana, niat murni kita untuk membetulkan mereka pada awalnya tidak kesampaian, dan paling ditakui sampai ke tahap berdosa. Berkorbanlah untuk bersatu. Itulah iktibar yang paling besar setiap kali datangnya hari raya korban.

Namun, jika kita telah melaksanakan tanggungjawab, mereka tidak mahu menerima atau berubah, maka tugas kita selain bertawakkal adalah mencari jalan, di manakah silapnya dan kekurangan sehingga kita gagal. Apakah agenda seterusnya bagi memastikan kita akan beroleh kejayaan? Kenapa orang masih menjauhkan diri daripada sunnah Rasulullah? Adakah yang menjadi faktor penggagal itu sunnah para anbiya atau pendekatan kita sendiri dalam usaha cuba menegakkan sunnah tersebut?

Inilah perkara-perkara yang perlu difikirkan oleh semua parti umat Islam hari ini yang berlumba-lumba untuk mendapat kuasa dan menang pilihan raya. Pada saya, anggaplah pelawaan Ahmad Maslan sebagai titik tolak untuk mencari jalan penyelesaian atas kemelut yang melanda. Jika tidak sudi, tolaklah dengan cara baik daripada mengeluarkan kenyataan yang menyakiti hati.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Thursday, November 18, 2010

Patriotikkah kita?

7:50 AM Posted by RIDHUAN TEE 19 comments
Ahad lalu saya ke KLIA, berpeluang menjemput seorang akademia tersohor dalam bidang keamanan dan konflik dari Universiti Otago, New Zealand, Profesor Kevin Clements. Selain mengikuti syarahan berkaitan Indeks Keamanan Global (Global Peace Index), banyak pandangannya mengenai Malaysia yang patut dikongsi bersama. Melalui kajiannya, Malaysia adalah negara keempat teraman kalangan negara-negara Asian, selepas New Zealand, Australia dan Jepun, meninggalkan Singapura di tempat kelima. Di peringkat dunia pula, daripada 144 negara, Malaysia menduduki tangga ke 22 negara teraman. Bersyukur saya mendengar dan melihat kajian yang dibuat. Orang luar melihat apa yang kita ada dengan begitu baik. Sedangkan kita sendiri tidak pernah bersyukur, mahupun menghargai. Kita asyik mengutuk negara sendiri. Apa yang dilakukan semuanya salah, tidak ada yang betul, sehingga mewujudkan budaya atau rakyat dalam keadaan serba salah. Adakah di situ ada semangat patriotisme?

Buat baik salah, buat jahat sudah tentu salah. Menang pilihan raya salah, kalahpun salah. Membantu mangsa banjir salah, tidak bantu sudah tentu salah. Bantu negeri pembangkang salah, tidak bantu, lagi salah. Tubuhkan inkues salah, tidak tubuhpun salah. Berterus terang salah, tak berterus terang salah. Cakap salah, tak cakap salah. Pendek kata, semua yang dilakukan, salah.

Nampaknya, masyarakat kita hari ini dirundung budaya semuanya salah atau blaming culture, selagi tidak menyebelahi mereka atau datang daripada kumpulan mereka. Pendek kata, orang lain semua salah, mereka sahaja yang betul. Inilah budaya salah menyalah yang tidak ada kesudahan dan membuang masa. Pembangunan negara terbantut. Tidakkah sepatutnya, kita bersangka baik dan boleh menarik nafas lega dan berkata Alhamdulillah.

Kita sepatutnya berfikiran positif, jika betul katakan betul. Jika salah, perbetulkan. Bukannya, menyalahkan yang betul, membiarkan yang salah, terus salah. Tidakkah kita perlu belajar membiasakan yang betul, membetulkan yang biasa. Terbaru, beberapa buah persatuan berasaskan bangsa menyalahkan Finas kerana menerbitkan iklan hari perayaan tanpa mengambil kira sensitiviti agama bangsa tersebut. Kumpulan ini marah, kerana menonjolkan watak bukan Islam yang memeluk Islam. Kenapa tidak sebaliknya yakni orang Islam yang memeluk bukan Islam. Sebenarnya, jika difahami dengan niat baik, iklan itu membawa mesej keamanan, sesuai dengan roh perlembagaan, orang Islam tidak boleh menukar agama. Saya sempat menonton iklan tersebut. Saya tidak nampak adanya niat jahat seperti yang didakwa. Nampaknya semua dilakukan oleh pihak berwajib dengan niat baik atau tidak, semuanya salah. Budaya serba salah semakin menjadi-jadi sejak akhir-akhir ini terutama apabila kerajaan hari ini tidak mendapat dua pertiga.

Contoh lain, apabila Menteri Pertahanan mengatakan orang bukan Melayu kurang mempunyai semangat patriotism kerana bilangan mereka yang menyertai pasukan tentera amat sedikit, tiba-tiba golongan yang makan cili ini terasa pedasnya. Sepatutnya, kita cari punca dan cuba atasi tersebut. Ini tidak, kita terikut-ikut rentak parti ultra kiasu menyalah menteri tersebut tidak tentu pasal. Sama ada kita patriotik atau tidak, Tuhan sahaja yang tahu. Namun, kita juga boleh menilai melalui tindak-tanduk seperti sikap kita. Misalnya, sikap kita terhadap sekolah satu sistem, mendaulatkan bahasa kebangsaan dan lagu kebangsaan, dan sebagainya.

Ukuran patriotisme agak subjektif dan amat mendalam pengertiannya. Patriotisme menuntut kesungguhan, keyakinan, keberanian dan kecintaan kepada negara. Kepentingan negara mesti diutamakan bagi melindungi nyawa, agama dan maruah. Semangat ini mesti dipupuk agar kestabilan dan keamanan negara terus terjamin. Rakyat kita mesti diajar untuk berkorban jiwa raga demi negara tercinta. Jika semangat patriotisme tidak dipupuk, lambat laun perasaan cintakan negara akan terus lenyap dan mereka suatu hari nanti akan hilang identiti dan sudah tidak tahu siapa sebenarnya diri mereka. Inilah maksud yang cuba diketengahkan Menteri Pertahanan. Namun, segelintir daripada kita cuba mengambil kesempatan dengan menyalah kenyataan ini yang pada saya mempunyai kaitan langsung dengan semangat patriotisme. Malangnya, mereka yang makan cili itu terasa pedasnya.

Dalam hal ini, saya memuji sikap masyarakat Jepun. Pariotisme mereka amat tinggi. Walaupun mereka tidak Islam, tetapi budaya yang betul itu betul, yang salah itu salah, telah berjaya membawa negara ini ke tahap negara maju. Hatta, bukan itu sahaja, sikap rakyat mereka turut membantu mereka menjadi mereka lebih hebat. Bukan setakat itu sahaja, rakyat Jepun sanggup berkorban jiwa raga untuk kepentingan negara dan masa depan. Berapa banyak syarikat milik individu, dimiliknegarakan untuk rakyat Jepun secara keseluruhan. Individu keluarga tersebut hanya mengambil sebahagian sahaja yang mereka cari selama ini. Pada rakyat Jepun, diri mereka tidak penting, yang lebih penting adalah negara dan rakyat Jepun secara keseluruhan. Adakah kita berfikir dan bertindak sedemikian? Hari ini kita lebih kepada membina empayar keluarga dan bangsa sendiri. Segala kekayaan tidak disimpan di negara ini, tetapi disalurkan dan disimpan di negara luar. Patriotikkah kita?

Jepun juga telah meluluskan undang-undang yang mewajibkan semua sekolah Jepun mengajar murid mereka untuk menjadi lebih patriotik ketika berhadapan dengan remaja mereka yang rata-rata tidak mempedulikan rentetan sejarah negara mereka. Malaysia haruslah belajar daripada strategi dan amalan negara ini apabila berhadapan dengan masalah semangat patriotik, jati diri dan kekentalan jiwa rakyat mereka luntur. Maka tidak hairanlah negara Jepun menjadi contoh terbaik sebagai sebuah negara yang telah berjaya membentuk pemikiran rakyat mereka yang membolehkan setiap ancaman dan tohmahan ditepis dengan begitu mudah. Jati diri rakyat mereka diasuh dengan begitu teliti dan bersistematik bukan hanya pada hari sambutan kemerdekaan tetapi juga melalui program sepanjang tahun bermula dari sekolah rendah hinggalah ke peringkat seterusnya. Rakyat Jepun menerima seadanya tanpa salah menyalah.

Tidak seperti kita, asyik-asyik menyalahkan orang lain tanpa mahu mengkoreksi diri. Sebelum ini kita pernah mendengar insiden yang berlaku pada 4 September lalu. Seorang wanita bukan Melayu membuat aduan polis kerana tidak berpuas hati dengan tindakan polis yang mengeluarkan kenyataan ‘balik negeri’ kerana tidak boleh menulis report dalam bahasa Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu. Wanita tersebut telah meminta pertolongan anaknya. Malangnya anakpun tidak dapat bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu dengan baik. Maka report tersebut ditulis dalam bahasa Inggeris. Maka keluarlah kata-kata yang tidak sepatutnya.

Memang kata-kata tersebut tidak wajar, tetapi cerminlah diri sama, di mana kesilapan kita juga. Ini tidak, wanita tersebut terus memanipulasikan isu tersebut dan membuat aduan kepada sebuah parti politik kiasu untuk memperbesarkan isu ini. Sekali lagi isu ini dimanipulasikan. Yang salah adalah polis, wanita tersebut langsung tidak bersalah dan dianggap sebagai juara. Patriotikkah kita setelah 53 merdeka, dasar kebangsaan ini masih tidak difahami dan dipedulikan? Justeru, cadangan untuk mewajibkan mata pelajaran sejarah sudah tepat pada masanya.

Baru-baru ini juga dilaporkan, beberapa persatuan bukan Melayu mahukan kerajaan memberi tanah bagi tujuan membina lebih banyak lagi sekolah menengah vernakular untuk menampung permintaan yang semakin bertambah daripada 60 buah sekolah menengah vernakular yang sedia ada. Menurut mereka sekolah menengah vernacular yang ada di Kuala Lumpur dan Selangor, tidak dapat menampung lagi permintaan yang begitu banyak.

Persoalan saya, kenapa kita perlu salah orang lain. Apakah sekolah menengah kebangsaan yang sedia ada begitu haprak sehingga kita tidak mahu menghantar anak kita ke sana? Kenapa akhirnya kerajaan juga yang salah kerana tidak dapat menampung pendidikan perkauman di peringkat menengah? Tidak cukupkah lagi pendidikan vernakular di peringkat rendah? Siapa yang patut disalahkan? Patriotikkah kita dengan perjuangan sekolah perkauman ini? Di manakah kita boleh cari sekolah vernakular seumpama ini di dunia lain? Apakah ukuran patriotisme sebenarnya?

Kita selalu bertindak seperti kisah Lukman Hakim, anaknya dan keldai, menuju ke satu destinasi. Lukman Hakim menaiki keldai manakala anaknya berjalan di belakang. Orang ramai yang memandang menyalahkan sibapa tidak bertimbangrasa kerana membiarkan anaknya berjalan sedangkan dia menaiki kaldai. Maka Lukman Hakim pun berjalan, dan anaknya menyuruh anaknya menaiki keldai. Berkata pula orang lain, menyalahkan anaknya kerana membiarkan bapanya berjalan manakala si anak menaiki keldai. Maka Lukman Hakim dan anaknya sama-sama menunggang keldai itu. Namun, masih ada juga orang menyalahkan kedua-dua anak beranak ini kerana bertindak kejam tergamak menunggang keldai yang kecil itu sehingga terseksa. Akhirnya kedua-duanya berjalan bersama-sama dengan keldai itu. Orang lain pun berkata juga, kebodohan kedua beranak itu kerana tidak menunggangi keldai tersebut. Inilah contoh budaya serba salah yang masih berleluasa.

Kisah Lokman bin Hakim mempunyai kaitan rapat dengan kisah alam Melayu mengenai cerita lagu bangau oh bangau kenapa engkau kurus? Bagaimana aku tak kurus, ikan tak mahu timbul. Menuding jari disebabkan si bangau kurus sahaja, akhirnya berterusan hinggalah kepada punca masalah iaitu ular yang berani mengaku katak adalah makanannya. Kenapa ular begitu berani? Jawapannya, semua pihak tahu, terutama bangau tidak mahu berfikir jauh sedikit, apabila ikan tidak timbul. Bangau malas berusaha untuk mencari ikan di tempat lain atau lubuk yang banyak ikan, dengan kemudahan sayap yang membolehkan ia terbang. Jalan paling mudah adalah dengan menyalahkan ikan. Ikan pula salahkan rumput. Rumput salahkan kerbau dan seterusnya. Apakah kita terus mahu melihat ular terus bermajarajalela, sedangkan bangau masih terus dibuai mimpi?

Justeru, budaya salah menyalah ini hendaklah dikurangkan atau dihentikan, dalam usaha untuk memacu negara menjadi sebuah negara maju. Ambillah peluang keamanan yang wujud hari ini untuk kita terus bergerak ke hadapan, menjadi sebuah negara yang lebih aman. Malaysia perlu menjadi juara keamanan di peringkat Asian. Seterusnya terus meningkat hingga ke peringkat dunia. Profesor Kevin Clements begitu yakin kita mampu melakukannya. Jika kita berjaya membuktikannya, kitalah negara pertama di dunia, yang mana majoriti-minoriti yang kaumnya tidak besar (60-40), tetapi berjaya menjaga rakyatnya hidup aman damai. Namun, ianya perlu bermula dengan sikap tidak saling salah menyalah dan mempunyai semangat patriotism yang tinggi.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, November 07, 2010

Bahasa Melayu dan sekolah vernakular

7:06 AM Posted by RIDHUAN TEE 72 comments
Mingguan Malaysia 7 Nov 2010

Desakan ahli Parlimen Bukit Mertajam, mahukan guru Melayu yang mengajar bahasa Melayu di Sekolah Cina (SJKC) mesti menguasai bahasa Cina bagi memudahkan pengajaran dan pembelajaran jelas menunjukkan siapa mereka sebenarnya. Lebih ekstrim lalu, beliau mengambil contoh bagaimana sukarnya guru bahasa Cina mengajar mandarin di sekolah kebangsaan jika tidak memahami bahasa Melayu. Dua isu yang jauh berbeza.

Pertanyaan saya, di manakah negara manakah kita berada sebenarnya? Anak-anak bukan Melayu sepatutnya sejak kecil sudah menguasai bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan. Kenapa perlu perkenalkan guru bahasa Melayu sedemikian rupa di sekolah vernakular? Bahasa Melayu di peringkat sekolah adalah untuk tujuan pemantapan, bukannya untuk belajar mengeja dan belajar bertutur. Tidakkah kita sedar bahawa bahasa Melayu adalah bahasa nombor satu negara yang mesti dikuasai dan dituturkan sejak anak-anak ini masih rebung?

Selaku ahli parlimen yang bertanggungjawab, sepatutnya beliau memberikan input untuk memperkasakan sekolah kebangsaan, bukan sekolah perkauman. Pemantapan masa depan amat penting generasi akan datang. Sekolah perkauman tidak akan menyumbang kepada perpaduan nasional sebaliknya akan menjarakkan lagi hubungan yang sedia ada, jika tidak diperbaiki dan di atasi kelemahan yang sedia ada. Saya teramat sedih melibat kerajaan masih lagi berpolitik dalam isu ini.

Apa yang dicadangkan oleh kerajaan untuk memperkasakan anak bangsa dan rakyat negara ini semuanya ditentang. Semuanya tidak betul. Bayangkan jika mereka memerintah, sudah tentu guru-guru bahasa Melayu, yang kebanyakannya guru Melayu, akan dipaksa untuk memperkasakan sekolah vernakular. Maklum sahajalah guru bukan Melayu tidak mahu mengambil option bahasa Melayu sebab tidak ada nilai komersial. Apakah mungkin sekolah kebangsaan juga akan ‘divernakularkan’?

Persoalannya, susah sangatkah belajar bahasa Melayu? Cuba kita buat perbandingan bagaimana mereka yang datang ke negara kita untuk mencari rezeki seperti pekerja Bangladesh, India dan sebagainya, bagaimanakah mereka dapat menguasai bahasa Melayu dalam masa begitu cepat tidak sampai setahun. Hari ini kita bukan bercakap jangka masa setahun, tetapi sudah lebih 53 tahun negara mencapai kemerdekaan, masih ada, malah ramai lagi rakyat Malaysia yang langsung tidak boleh berbahasa Melayu? Kalau ada yang boleh, cara percakapannya amat meloyakan.

Begitu juga jika kita pergi belajar di negara seperti German, Perancis, Rusia dan negara luar yang lain, kenapa dalam masa setahun kita dapat menguasai bahasa tersebut tanpapun bahasa tersebut diterjemahkan dalam bahasa lain untuk difahami mereka yang mendatang? Logiknya amat mudah, tidak perlu dibahaskan di parlimen, kerana kita ada kepentingan. Kita paksakan diri untuk belajar. Berbeza dengan di sini, kita tidak ada kepentingan, bahasa tidak ada nilai komersial, boleh berbahasa Melayu atau tidak, tidak meninggalkan sebarang kesan atau menjamin apa-apa. Jadi kita mengambil jalan mudah, tidak perlu belajar. Bahasa Melayu tidak ada kaitan dengan semangat patriotism, apatah lagi untuk dikomersialkan.

Mungkin cadangan saya ini nampak ultra kiasu, satu istilah yang saya tidak mahu lagi gunakan untuk golongan ini, tetapi sudah sampainya penguasaan bahasa kebangsaan dikuatkuasakan melalui undang-undang secara paksaan, seperti mana di negara-negara jiran kita amalkan. Jika telah diberi peluang, tidak ada perubahan juga, faham-faham sahajalah apa yang perlu dilakukan.

Parti ini selalu mencanangkan bahawa mereka memperjuangkan kepentingan semua kaum, begitu juga dengan keahliannya. Siapa yang rasis sebenarnya? Semangat patriotism kita berada pada tahap yang begitu rendah. Malang sekali ada juga orang Melayu yang menyertai parti. Lebih malang, mereka langsung tidak bersuara, apabila jatidirinya dirobek-robek. Di manakah maruah kita sebenarnya? Saya menyeru kepada orang Melayu keluarlah daripada parti rasis ini. Ia tidak mendatang kebaikan untuk masa depan, apatah untuk Islam dan bahasa kebangsaan. Bayangkan apabila mereka memerintah nanti, apa akan terjadi kepada guru-guru bahasa Melayu yang akan dipaksa untuk mempelajari bahasa yang bukan optionnya. Saya tidak nafikan menguasai bahasa asing adalah satu kredit, tetapi janganlah terlampau ekstrim, sehingga bahasa negara diketepikan. Orang Melayu yang tidak sedar diri tidak juga kurang bilangannya.

Parti ini terlalu marah kepada mereka yang berkata I am Malay first, sebab pada mereka, sepatutnya I am Malaysian first. Malangnya, tindak tanduk mereka langsung tidak mencerminkan I am Malaysian first. Kita seolah-olah menjunjung langit lain. Jika kita benar-benar Malaysian, mari kita bersama-sama memperkasakan masa depan negara ini, terutama dalam isu bahasa, dan sejarah sistem pendidikan kebangsaan. Kepentingan negara mesti diutamakan, apatah lagi ia yang telah menyinari perlembagaan.

Kenapa kita tidak mahu mengakui kelemahan sekolah vernakular dan sistem yang sedia ada. Kita tidak serius dan langsung tidak mahu bertolak ansur. Sebarang idea kerajaan untuk campurtangan dan memartabatkan bahasa Melayu di sekolah vernakular di anggap sebagai menggugat bahasa ibunda. Misalnya, isu tambahan masa bahasa Melayu, penyeragaman silibus bahasa Melayu dan sebagainya. Saya yakin suara ini bukan suara satu parti ini sahaja. Inilah politik senyap atau bersatu dalam senyap yang tidak ada dalam parti politik orang Melayu yang mendakwa mereka semuanya memperjuangkan Islam.

Sesungguhnya perjuangan memartabatkan bahasa Melayu di bumi sendiri adalah teramat pahit. Apatah lagi sejarah bumi bertuah ini tidak difahami dan mahu diputarbelitkan. Langkah kerajaan untuk memperkasakan dan mewajibkan mata pelajaran adalah amat tepat dan perlu disegerakan tanpa bertangguh lagi. Apatah lagi melayan kerenah-kerenah golongan yang tidak sedar diuntung ini. Mereka tidak mahu sejarah negara ini diceritakan dalam konteks sebenarnya. Pada mereka, sejarah harus menekankan kerjasama dan sumbangan semua, terutama sumbangan ekonomi.

Umum mengetahui bahawa kerjasama erat antara kaum hanya dapat dijalin ketika menjelang kemerdekaan negara. Sebelum itu, kehidupan kita terpisah-pisah berasaskan bangsa, daerah dan kegiatan ekonomi masing-masing. Kesannya masih dirasai hingga ke hari ini. Nama-nama seperti Tan Cheng Lock, Tan Siew Sin dan Sambanthan, hanya kedengaran dan popular ketika tahun-tahun 1950an. Bermakna, sejarah sumbangan kaum ini adalah sebahagian kecil daripada sejarah Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, dalam sejarah yang begitu panjang.

Memang tidak dapat dinafikan sumbangan bukan Melayu kepada perkembangan ekonomi negara sebelum merdeka. Tanpa mereka, bandar-bandar utama negara kita hari ini mungkin masih belum membangun sepenuhnya. Tetapi kita perlu sedar juga, mereka turut mengaut keuntungan dan dapat mengubah diri di bumi bertuah ini. Ada timbal baliknya. Bayang jika tidak berlaku penghijrahan, apakah nasib mereka sama seperti apa yang mereka rasai hari ini? Bacalah sejarah faktor-faktor penghijrahan dan keadaan yang berlaku di negara-negara asal-usul mereka ketika itu.

Apa yang berlaku ke atas mereka juga berlaku ke atas keluarga nenek moyang saya. Mereka turut berhijrah bersama, disebabkan tekanan dan kemelaratan yang berlaku. Saya amat bertuah dengan penghijrahan tersebut. Tanpa penghijrahan tersebut, apakah saya masih ada peluang untuk menghirup udara di bumi bertuah ini. Apa yang saya rasai hari ini adalah disebabkan oleh ruang dan peluang serta toleransi pribumi yang menerima kami dan seterusnya membenarkan kami menjadi kaya tanpa ada rasa cemburu. Ini yang menjadikan saya semakin bersyukur, bukannya kufur nikmat.

Saya bersuara bukan kerana saya menentang bangsa saya, sekadar mengajak mereka supaya belajar bersyukur dan berterima kasih, tetapi bukan menjadi pak turut atau ‘yes man’ atau pembodek sehingga tidak dapat membezakan antara baik dan buruk. Tegurlah dan tentanglah kerajaan dan kepimpinan yang ada, jika mereka ada kelemahan dan melakukan kesalahan, serta menyeleweng daripada demokrasi. Cuma satu yang saya pohon, jangan runtuhkan apa yang selama ini kita bina bersama. Meruntuhkan memang mudah, tetapi membina kembali mengambil masa yang begitu lama.

Cubalah fahami sejarah akar negara ini, tanpa mengungkit secara keterlaluan sejarah sumbangan kita. Pada saya, sejarah yang menjadi akar dan tidak kurang pentingnya, adalah sejarah kebangkitan nasionalisme Melayu menentang penjajah. Setelah orang Melayu di jajah ratusan tahun, orang Melayu bangkit berasaskan bangsa sendiri dengan agama Islam yang menjadi pegangan. Mereka sanggup berkorban jiwa dan raga. Berapa ramai yang telah gugur syahid mempertahankan bumi tercinta. Tokoh-tokoh seperti Tok Janggut dan Datuk Maharaja Lela adalah nama-nama besar yang tidak mungkin dalam terpadam dalam sejarah, bagaimana pribumi sanggup menggadaikan nyawa demi ibu pertiwi. Adakah sejarah ini pernah dialami oleh bangsa lain sebelum dan selepas itu? Apa yang saya tahu bangsa lain, mendapat perlindungan daripada penjajah barat demi kepentingan ekonomi mereka. Bangsa yang merana adalah bangsa Melayu. Mereka bangun kerana mereka tidak rela bumi bertuah ini dirobek-robek penjajah, tanpa bermusuh dengan yang berhijrah.

Adakah silibus ini langsung tidak boleh disentuh atau dimasukkan sebagai teras sejarah negara ini? Sedangkan negara lain, silibus seperti ini yang menjadi asas dan teras. Negara Singapura sedang cuba dan telahpun memadamkan asas sebegini. Kenapa parti-parti politik ini tidak memberitahu kerajaan Singapura, jangan padamkan sejarah ini.

Sudah sampai masanya, saya fikir parti-parti politik tidak perlu campur tangan dalam soal akademik. Biar orang akademik yang melakukan mengikut bidang kepakaran masing-masing. Kepada orang politik, pergi jaga kawasan dan kerusi masing-masing, serta laksanakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat.

Saya masih teringat ketika Tuanku Azlan Shah menerima ijazah kehormat kedoktoran undang-undang daripada Universiti Malaya, semasa menjadi Ketua Hakim Negara kira-kira 30 tahun lalu, baginda ada bertitah bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat dan resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu beringat, dan jika tidak ingat, maka seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mesti ada ada satu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita. Dalam konteks ini Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah oleh Portugis dalam tahun 1511. Perkataan “Negeri-Negeri Melayu Bersekutu” dan “Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu” dan “Persekutuan Tanah Melayu” masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain-lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisma Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Berdasarkan kepada hakikat itulah, maka Perlembagaan Malaysia digubal (Firdaus Abdullah, 24 & 25 Jun 2009)

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, October 31, 2010

Sifat toleransi kerana Islam

10:50 AM Posted by RIDHUAN TEE 59 comments
Mingguan Malaysia 31 Oktober 2010

Dalam tempoh sebulan ini kenyataan beberapa pemimpin parti-parti politik menarik perhatian saya. Tidak semena-mena Penasihat Parti Gerakan melenting dan meletakkan jawatan, marahkan Presidennya kerana dikatakan tidak lagi memperjuangkan kepentingan parti. MCA dan DAP tidak jemu-jemu terus menekan UMNO supaya mengambil tindakan kepada pengetua dan penolong pengarah BTN yang disifatkan sebagai ‘rasis’, serta mendesak UMNO supaya pihak yang menyentuh sekolah Cina dikenakan di bawah Akta Hasutan dan menghapuskan pemilikan 30 ekuiti Melayu dan Bumiputera.

MIC pula mahukan tambahan satu lagi lagi kerusi menteri penuh, menjadi dua, diberikan pemimpin mereka. Sebelum ini, PPP turut mendesak kerusi menteri kabinet yang sama seperti MIC. Persoalannya, siapakah yang patut korbankan kerusi kabinet yang diminta dan mengalah atas desakan tersebut?

Umum mengetahui, bahawa selama ini UMNOlah terlalu banyak berkorban kerusi dan mengalah. Kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri dan kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu, sebahagiannya diserahkan kepada parti-parti komponen BN, terutama MCA, Gerakan dan MIC, tidak ketinggalan PPP, untuk bertanding dalam pilihan raya. Beruntungnya mereka, kebanyakan kerusi yang dimenangi adalah di kawasan majoriti Melayu, manakala kawasan majoriti bukan Melayu, mereka kalah teruk dengan DAP. Kenapakah toleransi ini tidak dihargai?

Sesiapa yang mengkaji psiki orang Melayu mengetahui bahawa, agak sukar dan berat untuk Melayu mengundi orang bukan Islam di kawasan majoriti Melayu. Tetapi atas dasar kerjasama dan toleransi, UMNO tetap memberi laluan, sehingga terpaksa menerima kekalahan pilihan raya umum ke 12. Saya fikir, belum tentu PKR boleh menang mudah, jika mereka bertanding di kawasan majoriti Melayu, satu lawan satu. Maka tidak hairanlah, keputusan pilihan raya umum 12 telah menjadikan parti politik ini menjadi bongkak dengan kemenangan mereka, wal hal sebenarnya mereka tidaklah sekuat mana.

Kebongkakan ini menjadikan mereka begitu celupar sehingga begitu berani menyindir mantan Perdana Menteri, Mahathir Mohamed dengan menggunakan istilah ‘tersungkur’ gara-gara kesihatan negarawan tersebut terjejas sedikit sehingga dimasukkan ke hospital. Bukan itu sahaja, PKR terus mencanangkan untuk memboikot akhbar Utusan Melayu. Selain dari Mahathir, mereka juga mahu melihat akhbar ini ‘tersungkur’. Melayu sesama Melayu suka melihat saudara mereka sendiri tersungkur. Pertelingkahan tidak pernah selesai seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian.

Saya tidak bertujuan untuk mempertahankan Utusan, hanya kerana diberi peluang untuk menulis dalam kolum setiap hujung minggu. Apa ingin saya suarakan adalah, akhbar Utusan tidak pula berkempen supaya memboikot akhbar suara Keadilan ataupun Harakah. Walaupun tidak kurang hebatnya kedua akhbar ini mengkritik Utusan dan kerajaan. Atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi, saya nampak akhbar Utusan lebih terbuka. Mungkin ada yang berkata, Utusan adalah akhbar UMNO atau akhbar kerajaan BN. Jika begitulah keadaan, Keadilan, Rocket dan Harakah, juga adalah akhbar parti. Berita-berita mereka, walaupun didakwa benar dan tidak ada putar belit, mereka tetap menentang dan mengkritik UMNO dan kerajaan yang dipimpinnya. Malang sungguh akhbar orang Melayu terpaksa berhadapan dengan orang Melayu sendiri. Sedangkan akhbar orang lain asyik bekerjasama dan jarang bergaduh atau saling kutuk mengutuk. Apa yang jelas, mereka saling sokong-menyokong dan begitu bersatu hati mempertahankan hak-hak mereka.

Seperti mana perjuangan contoh lima parti bukan Melayu agak berbeza dengan perjuangan parti Melayu Islam. Parti bukan Melayu begitu menjaga kepentingan dan kebajikan bangsa dan anak buah mereka. Sementara, parti Melayu Islam yang rata-rata berpecah, tidak habis-habis mengeluarkan kenyataan menyakitkan hati saudaranya sendiri. Begini cara kita berpolitik. Marahkan nyamuk kelambu dibakar. Dendam kesumat yang tidak berkesudahan. Sedangkan orang lain bergaduh macam adik-beradik, kita bergaduh berpatah arang, berkerat rotan. Kita seolah-olah bangga dengan bertindak sedemikian dan menjadi bongkak serta ego bila merasakan ada sedikit kekuatan. Wal hal, mereka ini tidaklah sekuat mana, kokok saja berderai-derai, ekor kadang kala bergemulang tahi.

Sampai bilakah perkara sebegini akan berterusan? Tidakkah kita sedar bahawa perpecahan sebegini bukan lagi rahmah, tetapi sudah sampai ke peringkat haram berpecah, kerana kepentingan umat Islam semakin tergugat. Sedangkan orang lain melihat ruang dan mengintai peluang serta sentiasa mengambil kesempatan. Masih butakah mata kita?

Cuba kita bandingkan akhbar-akhbar Melayu dan akhbar bukan Melayu, ternyata perjuangannya jauh berbeza. Akhbar bukan Melayu begitu kuat mengperjuang hak-hak bukan Melayu. Apakah salah akhbar Melayu memperjuangkan hak-hak Melayu dan Islam. Maaf, saya banyak menggunakan perkataan Melayu, sebab Melayu dan Islam memang tidak dapat dipisahkan, ibarat lagu dan irama.

Ketika membentang kertas kerja bertajuk Persepsi bukan Melayu terhadap politik Melayu, di Universiti Malaya baru-baru ini, saya telah membangkitkan bahawa budaya politik bukan Melayu hari ini ialah wang (ekonomi) dan kuasa (politik), atau more money, more power, more talk. Sedangkan orang Melayu, sudahlah wang tidak banyak, kuasa semakin terhakis dan menipis, ditakuti juga mungkin terlepas, no money, no power, no talk. Dalam keadaan seperti inipun, mereka masih berani bercakap besar dan tinggi egonya. Namun, saya masih boleh bernafas, kerana orang Melayu masih sensitif dengan Islam dan meletakkannya di tempat yang sewajarnya.

Saya memuji seorang peserta bukan Melayu dalam seminar tersebut yang begitu bersyukur tinggal di bumi bertuah dan mahukan bukan Melayu mengubah persepsi mereka terhadap kepimpinan Melayu Islam. Toleransi Melayu dikatakan begitu tinggi sehingga bukan Melayu masih boleh mengekalkan identiti mereka tanpa langsung diasimilasikan. Peserta bukan Melayu ini bukan main lagi marah terhadap sesetengah kumpulan ektrim yang sibuk mempertahankan bahasa dan jati diri mereka sehingga melupakan tanggungjawab sebenar terhadap pembinaan sebuah negara bangsa. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak dipedulikan. Bahasa ibunda pertahankan bermati-matian sehingga menimbulkan masalah pembinaan negara bangsa. Bila saya selidiki latar belakang peserta bukan Melayu tersebut ternyata, beliau berlatarbelakangkan sejarah. Beliau begitu memahami sejarah Tanah Melayu dan sejarah Malaysia. Tidak mustahilkan beliau bersikap sedemikian.

Maka tidak hairanlah kita lihat orang bukan Melayu yang memahami sejarah seperti Prof. Kay Kim dan Prof. Teo Kok Seong, agak berbeza pandangannya berbanding bukan Melayu yang lain. Malangnya, tokoh ilmuan tidak dipernah disukai oleh bangsanya. Mereka tahu bahawa rakyat yang memahami sejarah, sikap mereka akan menjadi lebih lunak atau tidak ekstrim. Pendek kata, dengan memahami sejarah, ia boleh membantu menurunkan ego seseorang. Kejahilan sejarah akan menjadi mereka bongkak dan tidak sedar diri.

Menurut Khoo Kay Kim lagi, punca sebenar mengapa kebelakangan kini terdapat pihak-pihak yang mempersoalkan mengenai hak-hak dan keistimewaan yang dinikmati oleh orang Melayu adalah kerana masyarakat pada masa kini sudah buta sejarah. Justeru, menurut Khoo Kay Kim, rakyat khususnya kaum-kaum lain, perlu sama-sama menghormati hak Islam dan keistimewaan orang Melayu yang termaktub dalam Perlembagaan kerana pada ketika ia digubal dahulu, kaum lain sendiri sudah bersetuju dengan perkara-perkara yang dimasukkan dalam Perlembagaan tersebut. Kedudukan istimewa orang Melayu dan Islam telah bermula sejak dahulu dan berasaskan sistem kerajaan yang wujud di Semenanjung Tanah Melayu. Di Semenanjung, sejak tahun 1895 sudah ada sembilan kerajaan Islam yang kekal sampai ke hari ini.

Katanya Kay Kim lagi, sejarah perlembagaan telah dirangka berdasarkan nasihat daripada Suruhanjaya Reid yang telah melakukan kajian pada tahun 1956, Perlembagaan itu kemudian berkuatkuasa apabila negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957. Perkara 153 Perlembagaan Malaysia memberi hak kepada Yang di-Pertuan Agong, bertanggungjawab menjaga hak-hak dan keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera mana-mana negeri Borneo (Sabah dan Sarawak) serta kepentingan-kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan perkara ini. Ia juga secara terperinci menjelaskan bagaimana kerajaan persekutuan mempertahankan kepentingan orang Melayu (Islam) dan Bumiputera dengan menetapkan kuota untuk kemasukan perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam, pemberian permit dan lesen perniagaan.

Ternyata, dengan memahami sejarah yang benar, berperanan besar untuk menurunkan ego seseorang. Berbeza dengan orang Melayu, yang menurunkan ego mereka, bukan sahaja sejarah, tetapi agama Islam itu sendiri. Peranan agama begitu kuat mengikut sejarah Melayu. Dahulu saya pernah berkata, kerana Islamnya orang Melayu 600 tahun lalulah, yang menjadi mereka insan yang cukup bertoleransi, kurang ego dan mantap perpaduannya. Bayangkan jika Melayu masih lagi tidak Islam sehingga ke hari ini dan egonya tidak dapat ditundukkan. Adakah sama penerimaan dan toleransi mereka terhadap orang bukan Melayu? Dengan sebab itu, apapun berlaku orang Melayu Islam tidak terus berprasangka, tetapi terus bersangka baik.

Pada hemat saya, selagi kita tidak memahami sejarah sebenar pahit maung membina negara tercinta ini, selagi itulah ego kita tetap akan tinggi. Kita terus tidak akan berpuas hati dan terus mendesak dan mengugut sehingga matlamat tercapai, tanpa mahu menghormati hak orang lain. Apatah lagi bagi mereka yang sudah tidak percaya kepada agama. Yang mereka percaya hanya menjaga orang sendiri dan membina empayar kekayaan keluarga sendiri. Saya amat bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa politik ekonomi Jepun lebih menepati kehendak Islam daripada politik ekonomi bangsa lain yang hanya mementingkan bangsanya sendiri sahaja.

Rakyat Jepun yang telah menjadi kaya raya akan memiliknegarakan sebahagian besar segala harta mereka untuk kepentingan negara seperti syarikat kereta ternama Toyota. Keluarga mereka hanya memiliki sebahagian kecil saham syarikat gergasi ini, sebahagian besarnya dimiliknegaraknan demi rakyat dan negara Jepun.

Berbanding dengan kita hari ini, kita mahu mengumpul dan mengaut kekayaan sebanyak mungkin tanpa memperdulikan kepentingan negara. Dalam pemikiran kita hanya mahu memperkesarkan empayar bangsa dan kekayaan keluarga. Kalau boleh kita mahu mandi dengan harta dunia ini. Kenapa rakyat Jepun boleh berfikiran dan bertindak sedemikian? Hujahnya mudah, rakyat Jepun meletakkan kepentingan negara di hadapan, sejarah dan agama mereka mengikat mereka.

Persamaannya dengan Islam, konsep infaq dan wakaf mengikat umat Islam. Inilah yang saya katakan bagaimana Islam mengikat ego seseorang sehingga menjadikan mereka tidak terlalu mementingkan diri sendiri.

Justeru, bagi mereka yang tidak mempercayai agama, sejarah yang benar mesti mengikut mereka. Saya mencadangkan mata pelajaran sejarah diwajibkan kepada semua pelajar sama ada pelajar aliran sains atau sastera. Mata pelajaran Malaysia Negaraku yang ingin diperkenalkan di semua sekolah, mesti diajarkan dalam bahasa Melayu. Kerajaan tidak boleh tunduk kepada tekanan mata pelajaran ini diajar dalam bahasa ibunda di sekolah jenis kebangsaan, kerana ia tidak akan membawa kepada pembinaan jati diri.

Kita tidak mahu wujud adanya pemikiran segelintir masyarakat kita yang beranggapan sejarah itu tidak penting, sebab tidak membawa pulangan hasil kewangan atau mendatangkan kekayaan. Memahami sejarah tidak akan menjadikan seseorang itu kaya. Dengan sebab itu, tidak ramai pelajar ini yang mengambil kursus sastera dan sains sosial kerana tidak mendatangkan pulangan berbanding dengan ekonomi, perniagaan dan sains. Akhirnya, lahirkan masyarakat yang hanya mementingkan diri sendiri.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Tuesday, October 26, 2010

Sejarah bagaimana yang kita mahu?

6:11 PM Posted by RIDHUAN TEE 38 comments
Utusan Malaysia, 4 November 2010

Selaku seorang akademia berbangsa Cina, saya amat sedih dengan pemikiran parti-parti politik seperti DAP, MCA dan Gerakan. Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan yang amat menghiris, mahukan kerajaan mengkaji semula silibus sejarah yang akan diwajibkan ke atas pelajar sekolah rendah dan menengah tidak lama lagi.

Hujah mereka amat simplistik, sejarah yang sedia ada tidak mencerminkan sejarah yang sebenar. Sejarah yang sebenar mesti mempamerkan sumbangan dan kerjasama kaum. Pada mereka, sumbangan kaum bukan Melayu mesti dimasukkan dan dijadikan teras sejarah. Saya cuba elakkan menggunakan istilah ultra kiasu terhadap golongan ini, biarlah kita berbincang secara adik-beradik.

Saya tidak menafikan sejarah sumbangan bukan Melayu terhadap negara, tetapi perlu diingatkan bahawa sumbangan dan kerjasama kaum adalah sebahagian kecil sahaja dalam urutan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Ada aspek yang lebih besar lagi yang perlu ditonjolkan, seperti sejarah asal usul Tanah Melayu sebelum kedatangan imigran-imigran ke alam Melayu.

Sesiapa yang mengkaji dan faham sejarah Malaysia, ianya mesti merangkumi asal-usul Tanah Melayu, zaman kegemilangan dan kejatuhan kesultanan Melayu, zaman penjajahan dan kemasukan imigran, kebangkitan nasionalisme Melayu, Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu, penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Kemerdekaan Tanah Melayu, sehinggalah membawa kepada Penubuhan Malaysia. Seterusnya, diikuti dengan dasar-dasar kerajaan selepas peristiwa 13 Mei 1969 sehinggalah ke hari ini.

Kumpulan-kumpulan ekstrim ini asyik-asyik hanya bercakap soal sumbangan bukan Melayu, soal penentangan bukan Melayu terhadap Jepun 1942-45. Sedangkan kita sedia maklum, sejarah penentangan terhadap Jepun juga penuh dengan kontroversi fakta dan dipertikaikan. Adakah benar orang Cina mempertahankan Tanah Melayu atau sekadar membalas dendam terhadap Jepun?

Berkali-kali telah saya nyatakan bahawa penentangan terhadap Jepun, tidak banyak kaitan dengan kemerdekaan, tetapi adalah disebabkan oleh dendam kedua belah pihak yang telah mengalami perang sebelum ini. Sila rujuk sejarah perang China-Jepun 1894-95 dan 1937.

Jangan terlalu obses dengan sumbangan Bintang Tiga atau MPAJA dan Parti Komunis Malaya (PKM), sehingga kita sengaja lupakan sejarah yang sebenar? Maka tidak hairan hari ini tugu MPAJA dibina sebesar-besarnya di Taman Peringatan Nilai. Yang amat pelik, Majlis Perbandaran dan Arkib Negara kurang serius dalam memantau pembinaan tugu dan memorial seperti ini.

Jika benar-benar orang bukan Melayu mahu memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu selepas pengunduran Jepun, kenapa Malayan Union yang cuba diperkenalkan oleh British pada tahun 1946, tidak ditentang? Kenapa hanya orang Melayu sahaja yang bangun menentang? Ini menunjukkan perjuangan menentang kemerdekaan amat diragui sebelum detik tahun 1957.

Pada saya, kita serahkan semua sejarah kita kepada ahli sejarah. Janganlah doktor perubatan dan ahli ekonomi memandai-mandai bercakap banyak dalam isu ini. Wal hal ilmu sejarah mereka amat cetek, hanya berasaskan kepada pandangan dan laporan ibu bapa murid yang tidak puas hati dengan silibus yang sedia ada.

Mereka yang bukan berlatarbelakangkan sejarah, duduk diam-diam, tidak perlu berkokok keterlauan. Bagaimana kita menghormati profesion orang lain, begitu juga orang lain mesti menghormati profesion kita, barulah itulah dinamakan professional. Janganlah terlalu bertindak ekstrim dalam hal ini. Banyak masa terbuang dan tidak banyak membawa faedah.

Pada saya, sejarah sistem kenegaraan sesebuah negara mesti diajar. Sama seperti negera China dan India. Mereka mesti mempunyai sejarah sistem kenegaraan China dan India tersendiri. Begitu juga dengan sistem kenegaraan Melayu, mesti ada sejarah sistem kenegaraan Melayu tersendiri. Adakah silibus ini langsung tidak boleh disentuh atau dimasukkan sebagai teras sejarah negara ini? Sedangkan negara lain, silibus seperti ini yang menjadi asas.

Negara Singapura sedang cuba dan telahpun memadamkan asas sebegini. Saya fikir MCA, DAP dan Gerakan, tidak perlu campur tangan dalam soal akademik. Biar orang akademik yang melakukan. Mereka orang politik, jaga sahaja kawasan dan kerusi masing-masing, serta tanggungjawab mereka terhadap rakyat.

Saya bukan bertujuan untuk menjadi jaguh membela orang Melayu, sebab saya orang Cina. Tetapi saya suka berkata benar, sebab saya adalah seorang pengkaji.

Ketika Tuanku Azlan Shah menerima ijazah kehormat kedoktoran undang-undang daripada Universiti Malaya, semasa menjadi Ketua Hakim Negara kira-kira 30 tahun lalu, baginda ada bertitah bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat dan resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu beringat, dan jika tidak ingat, maka seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mesti ada ada satu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita.

Dalam konteks ini Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah oleh Portugis dalam tahun 1511. Perkataan “Negeri-Negeri Melayu Bersekutu” dan “Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu” dan “Persekutuan Tanah Melayu” masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain-lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisma Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Berdasarkan kepada hakikat itulah, maka Perlembagaan Malaysia digubal (Firdaus Abdullah, 24 & 25 Jun 2009)

Sejarah sistem kenegaraan Melayu adalah akar umbi kepada sejarah negara ini. Bermula dengan perkataan “Melayu” atau “Tanah Melayu” itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985: 85).

Hujah ini menunjukkan bahawa dari abad ke-6 hingga ke-10, perkataan Melayu adalah nama tempat dan bukannya nama khusus bagi rumpun bangsa. Hanya pada abad ke-11 barulah perkataan Melayu mulai dipakai bagi menamakan rumpun bangsa. Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini menunjukkan bahawa Tanah Melayu (Malaysia) adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu (Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985). Namun, kedatangan penjajah British telah merubah lanskap politik Tanah Melayu. Tanah Melayu yang dahulunya dihuni oleh orang Melayu di kepulauan Melayu telah menjadi sebuah negara berbilang bangsa.

Menurut Milner (2009), walaupun bilangan orang Melayu di Malaysia hanya dalam lingkungan 15 juta orang, kurang dari 0.5 peratus daripada jumlah 350 juta orang yang tergolong dalam rumpun Melayu, namun telah memberikan pengiktirafan kepada bumi Melayu di negara yang bernama Malaysia:

Although Malaya (and its expanded form Malaysia) has in many ways been the ‘Malay’ success story - an experiment in nation building founded (at least in large part) on ‘Malay’ ethnic sentiment - this outcome was not inevitable.” (Milner, 2009: 151)

Milner turut merakamkan antara peristiwa yang memperlihatkan keyakinan rumpun Melayu terhadap kepimpinan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) adalah;

“Some 250,000 people signed a petition to the United Nations with the aim of incorporating Pattani and other southern Muslim provinces (Yala, Narathiwat and Satun) in the emerging Malaya.” (Milner, 2009: 168).

Huraian dan analisis Milner sebahagian besarnya ditumpukan kepada Malaysia, serta dinamika politik yang berlaku di Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang komposisi warganya terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik dan budaya tetapi termaktub di dalam Perlembagaan negara status agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu serta keistimewaan dan perlindungan kepada bangsa Melayu. Menurut Raja Nazrin (10 Mac 2009), Milner mengiktiraf bahawa Raja Melayu itu adalah institusi penting warisan bangsa Melayu.

Sesungguhnya sejarah mencatatkan Istana Raja Melayu itu berperanan sebagai pusat berkembangnya tamadun bangsa. Istana memperlihatkan sehalus budaya - mencerminkan secantik bahasa, melindungi khazanah tamadun bangsa - menyimpan kekayaan budaya bangsa. Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan negara - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara tempat rakyat tumpang berteduh. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Raja itu adalah lambang Kerajaan. Rakyat yang memahami ‘budaya rakyat beraja - negeri bersultan’ memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, melindungi kepentingan bangsa Melayu.

Dalam konteks bangsa Melayu di Malaysia, menurut Raja Nazrin (10 Mac 2009), elemen-elemen Melayu terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya yang berada di bawah payung naungan dan perlindungan Raja-Raja Melayu mengikut yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Klausa-klausa menyentuh agama Islam, institusi Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Takrif bangsa Melayu diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Itulah resipi kekuatan Melayu di bumi ini. Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut.

Tunku Abdul Rahman (2007) pernah mengatakan, negara ini telah diakui oleh semua kaum lain yang tinggal di sini sebagai sebuah negara yang asalnya negara Melayu. Hakikat ini akan terus diakui melainkan orang Melayu sendiri mengambil keputusan untuk menunggang terbalikkannya dan menjadikannya sebagai sebuah neraka untuk kita semua. Tidak ada sesiapapun yang membangkang usaha-usaha kerajaan untuk menolong orang Melayu kerana semua orang yang siuman insaf bahawa dari zaman berzaman orang Melayu telah terbiar dalam negara mereka sendiri.

Menurut Tunku Abdul Rahman lagi, pada tahun 1953, orang Cina melalui MCA telah menerima dan mengikhtiraf negara ini sebagai negara Melayu dan segala hak kepada orang Melayu tidak boleh dipersoalkan lagi. Tujuan Tunku meletakkan syarat ini adalah untuk menarik kesedaran pihak MCA tentang taraf orang Melayu yang sebenar, sambil menguji tentang kejujuran pemimpin-pemimpin MCA dalam perhubungannya dengan UMNO.

Akhirnya pihak MCA telah menerima dan mengakui hakikat itu serta bersetuju rundingan tersebut berjalan atas dasar yang telah ditetapkan (Mansor et al, 2006). Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh Chandra Muzaffar dengan menyatakan, sebuah negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada mereka yang berhak tanpa mengira latar belakang. Keterbukaan itu harus difahami oleh semua pihak kerana melalui proses akomodasi para pemimpin pada masa itu lebih sejuta orang bukan Melayu, sebahagian besarnya imigran, diterima secara automatis sebagai warganegara dan diberikan jus soli. Ini sesuatu yang luar biasa.

Melalui proses kewarganegaraan yang dikatakan sebagai stroke of a pen ini demografi negara berubah serta-merta - hampir 40 peratus daripada warganegaranya ialah orang bukan Melayu. Sebuah negara Melayu tiba-tiba menjadi masyarakat berbilang kaum. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Nasionalisme bangsa Filipina dan Vietnam melahirkan negara Filipina dan Vietnam tetapi nasionalisme Melayu yang diperjuangkan lama sebelum kemunculan UMNO sebaliknya tidak melahirkan sebuah negara Melayu. Inilah sifat negara ini yang harus kita fahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Negara ini berbilang kaum dengan bahasa dan agama yang pelbagai diiktiraf dalam Perlembagaan.

Tetapi Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem beraja. Ini adalah satu pengiktirafan terhadap sejarah sistem kenegaraan Melayu sebelum zaman penjajah dan sistem politik yang wujud sepanjang zaman. Apa yang menyedihkan saya, tidak ramai di kalangan kita memahami keadaan ini. Ketika masyarakat bukan Melayu perlu memahami kedudukan polity Melayu dan pengaruhnya kepada negara, kaum bumiputera sebaliknya harus pula memahami hakikat masyarakat berbilang kaum. Mereka juga ada hak dan cita-cita; mereka lama bermastautin, lahir dan membesar di sini. Kedua-dua pihak harus saling memahami. (Mingguan Malaysia, 28 Ogos 2005). Apakah sejarah ini perlu dipadamkan?

Malaysia juga tidak sama dengan negara-negara lain yang menjadi berbilang kaum kerana tekanan kolonialisme. Ini kerana polity Melayu itu jauh lebih kukuh sebagai sistem kenegaraan. Kerajaan Melayu Melaka dan selepas itu Johor diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ciri-ciri polity itu diterima sebagai ciri-ciri sebuah negara dan sistem pemerintahan. Ini adalah sebahagian daripada ingatan kolektif masyarakat Melayu. Perkara ini tidak difahami bukan saja oleh ahli-ahli politik malah sebahagian besar cendekiawan serta mereka yang boleh mempengaruhi pandangan umum termasuk media.

Itu sebabnya dari masa ke masa timbul isu-isu yang menjadi kontroversi menyentuh soal bahasa, agama dan sistem pendidikan. Ini kerana tidak ada kefahaman tentang latar belakang sejarah dan polity Melayu dan pengaruhnya terhadap sistem kenegaraan Melayu. Malangnya, tidak ada usaha di kalangan pemimpin masyarakat untuk memahami perkara ini - bahawa kita masyarakat berbilang kaum yang berakar umbi dalam polity Melayu. Menurut Chandra lagi, Malaysia lebih mudah untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam konteks masyarakat berbilang kaum sekiranya memahami sejarah ini. Jika ada yang menafikannya, sengaja tidak mahu memahami, sukar untuk menjalinkan hubungan kaum yang harmonis.

Oleh kerana wujudnya polity Melayu dalam sejarah maka bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan raja-raja menjadi ketua negeri dan negara. Sejarah sebegini perlu difahami. Oleh kerana adanya polity Melayu dan sebahagian besar masyarakat Melayu dan pribumi begitu miskin dan mundur pada tahun 1957, dan dalam keadaan begitu kewarganegaraan dianugerahkan dengan begitu liberal, masyarakat Melayu dan pribumi itu memerlukan perlindungan. Itu adalah tuntutan yang sah dalam konteks pembentukan negara. Perlindungan yang dipersetujui itu adalah untuk memperbaiki kedudukan masyarakat Melayu dari segi sosioekonomi.

Frank Swettenham yang agak lama tinggal di Tanah Melayu turut mengakui negara ini adalah negara Melayu, beliau turut memuji orang Cina dengan mengatakan:

Under present conditions the Chinese are the bone and sinew of the Malay states. They are the labourers, the miners, the principal shopkepers, the capitalist, the holders of the revenue farms, the contributors to almost the whole of the revenue; we cannot do without them (Tan Teong Jin et al, 2005: vii)

Tanpa menafikan sumbangan bukan Melayu, penggunaan perkataan “Malay states” jelas menunjukkan bahawa Swettenham mengakui bahawa Malaysia adalah negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak timbul soal negara ini bukan negara warisan Melayu. Pernyataan ini turut diperkemaskan oleh Hassan Ahmad dengan mengatakan; Orang Melayu mungkin mengenang akan kuasa yang diwarisi oleh orang Melayu dari sejarah pemerintahan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu.

Sejarah sebelum kemerdekaan menunjukkan bahawa sejak zaman berzaman, sebelum kedatangan penjajah Inggeris, yang memerintah di Tanah Melayu bukan orang lain tetapi orang Melayu, kerajaan Melayu, raja-raja Melayu, pembesar-pembesar Melayu. Walaupun Perjanjian Pangkor tahun 1874 dilihat seolah-olah British mulai ‘mencampuri’ urusan pentadbiran negeri Melayu, terutama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Federated Malay States. Tetapi sejarah itu tidak menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan Melayu jatuh sepenuhnya ke tangan kuasa baru, iaitu kuasa British.

Raja Melayu tetap tidak diturunkan dari takhtanya dan memerintah walaupun dengan ‘nasihat’ pegawai British. Di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, pentadbiran masih hampir sepenuhnya berada dalam tangan raja Melayu, menteri besar Melayu dan para pegawai pentadbir Melayu. British cuma menjadi ‘penasihat’. Tetapi akhirnya kerana kelemahan raja-raja dan golongan bangsawan Melayu yang memerintah bersama-sama British itu, kuasa politik Melayu semakin lama makin merosot sehinggalah sampai pada tahun 1946 apabila British kembali ke Tanah Melayu (selepas Jepun kalah Perang) untuk mentadbir semula Tanah Melayu dan kemudian cuba mengubah status Tanah Melayu atau ‘British Malaya’ menjadi ‘koloni British’ melalui rancangan Malayan Unionnya (Hassan Ahmad, 26 Sept 2010).

Milner (2009) mencatatkan, kerajaan-kerajaan berpaksikan Melayu itu adalah kerajaan yang mempunyai raja baik di Riau, Lingga, Deli, Siak, Langkat, Kampar dan Inderagiri di Sumatera begitu juga di negeri-negeri Kutei, Bulangan, Puntianak, Landak, Mempawah dan Sambas di Kalimantan. Di Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu diiktiraf bukan sahaja menjadi asas berkerajaan malah terlibat langsung dalam gerakan menentang Malayan Union. Demikian juga berperanan penting dalam usaha memperjuangkan dan mencapai kata sepakat menuntut kemerdekaan. Kesembilan Raja Melayu memberikan perkenan untuk ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan turut berkenan untuk dilantik salah seorang daripada baginda-baginda itu menjadi Ketua Negara secara bergilir-gilir dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Semua pandangan ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak dapat lari daripada sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak hairanlah bagi mereka yang memahami sejarah akan menghormati bukti-bukti dan seterusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan lunak, berhikmah dan begitu bertoleransi.

Negara-negara lain tidak perlu menggunakan menonjolkan sistem kenegaraan bangsa mereka disebabkan oleh nama bangsa itu sudah mencerminkan sistem kenegaraan mereka. Nama negara sudah melambangkan identiti bangsa. Misalnya, nama Siam (Thai) menjadi Thailand. Difahamkan ada ura-ura untuk mengembalikan nama Thailand kepada Siam. Kerana perkataan Thai kurang mencerminkan keSiaman Thai. Begitu juga dengan contoh yang lain bangsa India – negara India, bangsa Cina – negara China, bangsa Arab – negara-negara Arab, bangsa Vietnam – negara Vietnam dan lain-lain negara di dunia ini semuanya berasal darisatu satu bangsa, dan nama bangsa ini dijadikan nama negara.

Malang di Malaysia, bangsa Melayu yang dahulu menerbitkan nama Tanah Melayu, telah berubah, setelah Sabah dan Sarawak menyertai Tanah Melayu. Maka nama Tanah Melayu (Malaya Land) berubah kepada Malaysia. Nama Malaysia sudah tidak banyak melambang identiti kenegeraan Melayu berbanding nama Tanah Melayu.

Namun, walaupun negara Tanah Melayu telah bertukar menjadi Malaysia, perlembagaan masih lagi mengekalkan ciri-ciri keMelayuan seperti agama Islam, bahasa Melayu, hak-hak istimewa Melayu, raja-raja Melayu, tanah rezab Melayu dan sebagainya. Persoalannya, sejauhmanakah ciri-ciri sistem kenegaraan Melayu ini berjalan dengan baik? Inilah soalan yang masih belum terjawab. Apakah sejarah sebegini tidak perlu difahami dan diceritakan kepada anak-anak berbilang kaum di negara kita? Adakah cukup sekadar menceritakan sumbangan dan kerjasama Melayu-Cina-India yang ada untuk membangunkan negara tercinta ini?

Jika benar-benar kita ikhlas dalam memahamkan sejarah, jauhkan penglibatan orang politik, biarkan ilmuan dan ahli akademik yang berhujah dan menulis fakta. Keadaan hari ini menjadi kelam kabut kerana kita terlalu banyak berpolitik. Setiap parti politik mahu menjadi jaguh bangsa, bukannya mahu berkata benar walaupun pahit.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, October 17, 2010

Nasib bahasa Melayu di bumi Melayu

7:54 AM Posted by RIDHUAN TEE 101 comments
Mingguan Malaysia 17 Oktober 2010

Saya amat musykil kenapa kita perlu menyambut bulan bahasa kebangsaan peringkat kebangsaan, satu bahasa yang sedia termaktub dalam perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan yang mesti dikuasai oleh setiap rakyat Malaysia tanpa berkecuali. Kenapa perlu kita mengadakan program sebegini setelah 53 tahun merdeka? Tidakkah tanggungjawab asas ini mesti difahami dan perlu dipikul oleh setiap rakyat Malaysia? Kenapa baru hari ini kita mahu kuatkuasakan iklan dan papan tanda dalam bahasa Melayu? Tidakkah kita merasa jelek selama ini melihat papan-papan tanda menggunakan bahasa yang pelik-pelik? Sebenarnya, kita tidak sensitif dengan identiti atau jati diri kita sendiri. Kita rasa lebih berlagak kerana dapat memahami bahasa (budaya) orang lain daripada bahasa (budaya) bangsa sendiri.

Sejak dahulu lagi isu ini telah dibangkitkan oleh pejuang-pejuang bahasa, tetapi ia tidak diendahkan, baharu sekarang kita mahu mengambil berat. Apakah sudah terlambat? Yang selalu kedengaran adalah kelantangan Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong dalam mempertahankan bermatian-matian akan bahasa ibunda mereka. Kita baru mula insaf setelah nasi menjadi bubur. Orang lain bukan sahaja sudah insaf lama, tetapi mereka langsung tidak pernah mengenal erti putus asa. Namun, saya tetap bersangka baik, daripada tiada langsung, lebih baik ada.

Kadangkala saya tidak menyalah bangsa lain, kerana tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Kita sahaja yang tidak mahu menggunakan peruntukan dan kuasa yang ada untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini. Saya tidak pasti sejauhmanakah kita mengimplementasikan syarat wajib lulus dalam bahasa Melayu mendapatkan kerja di sektor swasta? Apa yang saya tahu, langsung tidak ada pengawalan. Sama ada mereka lulus atau gagal bahasa Melayu, atau mungkin langsung tidak tahu berbahasa Melayu, sudah tidak menjadi ukuran. Yang penting adalah Malaysia boleh! Kenapakah kepentingan masa depan ini tidak dilihat secara serius?

Sebelum inipun, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah membangkitkan dan membidas sikap segelintir pihak yang ghairah memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan. Baginda menyifatkan golongan tersebut sebagai cetek akal dan hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Kebimbangan tentang nasib dan masa depan orang Melayu akibat berpecah-belah di negara ini pernah diutarakan oleh raja-raja Melayu yang lain seperti Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah dalam ucapan-ucapan baginda.

Sehingga ke hari ini, saya amat tertanya-tanya, apa yang menjadi masalah kepada kita untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara? Negaranya berasal dari Tanah Melayu, Raja-rajanya adalah Melayu, mempunyai kuasa ke atas Islam dan Melayu, Tanah rezab Melayu, majoriti rakyatnya orang Melayu, dan banyak lagi yang berkaitan dengan Melayu yang sudah sedia termaktub dalam perlembagaan. Sudah terang lagi bersuluh. Persoalannya, kenapa semua ini seolah-olah ianya boleh ‘terlepas’ ataupun sudahpun ‘terlepas’. Sepanjang pengamatan saya, negara-negara lain di dunia ini, tidak ada masalah langsung untuk memperkasakan perkara-perkara asas berkaitan dengan pembinaan masa depan dalam sebuah negara bangsa, kerana mereka tahu perlembagaan asas kepada hidup mati sesebuah negara? Rosak perlembagaan, rosaklah negara dan rakyatnya.

Perlu diingat, jika kitab suci itu adalah pegangan hidup beragama, maka perlembagaan adalah asas pegangan hidup bernegara. Dalam konteks yang lebih kecil, perlembagaan adalah asas kepada penubuhan sesebuah persatuan atau organisasi. Tanpa perlembagaan, persatuan atau organisasi tidak boleh ditubuh secara sah. Jika kita tidak setuju dengan perlembagaan tersebut, kita mesti kita mengambil jalan untuk keluar daripada pertubuhan tersebut. Begitulah dalam konteks bernegara, jika perlembagaan tidak dipatuhi, kita mesti mengambil jalan untuk keluar. Carilah tempat-tempat yang mana perlembagaannya dapat memenuhi selera dan nafsu kita.

Ini asas-asas bernegara dan berpersatuan yang mesti difahami. Saya berasa amat pelik kenapa ada segelintir daripada kita tidak langsung mengendahkan arahan kerajaan supaya kurikulum sekolah jenis kebangsaan dan sijil sekolah jenis persendirian dirombak mengikut kurikulum atau silibus kenegaraan, agar penguasaan bahasa Melayu menjadi lebih mantap. Namun, sudahlah arahan tersebut tidak diikuti, mereka lebih sibuk dan takut jika kurikulum dan silibus tersebut tidak diikhtraf oleh negara lain yang menjadi kiblat mereka selama ini?

Semua ini berlaku disebabkan oleh kita terlalu banyak berpolitik daripada memikirkan agenda membina negara berasaskan identiti nasional. Kita terlalu takut kalah pilihan raya, kita terlalu takut hilang kuasa. Tidak pernah berlaku dalam dunia lain, satu bahasa yang menjadi bahasa negara tetapi merempat di bumi sendiri.

Kebiasaannya, kempen bulan bahasa tidak dilakukan ke atas bahasa kebangsaan kerana rakyat Malaysia wajib menguasai bahasa ini sama ada suka atau tidak. Kempen bahasa kebangsaan sepatutnya giat dijalankan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil atau di tempat-tempat bahasa Melayu tidak didaulatkan. Begitu juga dengan kempen ke atas bahasa-bahasa sampingan yang lain bagi menyemarakkan penguasaan bahasa-bahasa sampingan tersebut, seperti bahasa Inggeris.

Lihat sahaja negeri China, Jepun, Perancis, Amerika, Australia, Thailand, Vietnam dan sebagainya, bahasa mereka begitu mendominasi negara tanpa berkecuali. Kenapa negara kita tidak bersifat sedemikian? Baru-baru ini saya dikunjungi oleh seorang guru senior India yang mengajar bahasa Inggeris, di Kuala Lumpur, menggelarkan dirinya cikgu Siva Malaysia. Beliau amat terkenal di sekolahnya disebabkan cara hidup beliau yang amat berjiwa Malaysia berakarkan semangat kebangsaan kenegaraan yang begitu kuat. Bahasa Melayunya amat fasih mengalah orang Melayu sendiri. Saya fikir cara dan akhlak beliau seperti orang Islam, walaupun hakikatnya beliau masih belum Islam.

Beliau melahirkan kebimbangannya mengenai politik Malaysia yang amat bersifat perkauman. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak didaulatkan, apatah lagi dikuasai. Selaku seorang Kristian yang selalu ke gereja, katanya, sesetengah gereja turut bersifat perkauman. Menyindir dan mengutuk bangsa dan agama lain adalah perkara biasa.

Isu video klip mengenai ceramah seorang Cina Muslim, mengenai agama Buddha dengan ‘King Kong’, sengaja diperbesar-besarkan oleh laman web Malaysian Insider, begitu jelas berniat hajat. Memang tidak nafikan pandangan tersebut tidak wajar. Apa kata kita jika orang bukan Islam turut melakukan perkara yang sama. Namun, laman web tersebut sengaja menjadi isu ini, untuk membalas dendam atas tindakan memperbesar-besarkan isu paderi Kristian menghina Islam di dalam gereja. Isu paderi gereja menghina Islam, bukan isu baru. Saya minta kita biasakan pergi sama buat siasatan di tempat-tempat lain seperti gereja, apakah mereka tidak mengutuk agama dan bangsa lain?

Apapun, Cikgu Siva amat bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana dapat menjaga negeri bertuah ini dengan aman damai. Dengan adanya pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang bertungkus lumus menjaga keselamatan negara, orang bukan Islam berasa aman untuk menunaikan ibadat di rumah ibadat masing-masing.

Beliau turut memuji ceramah-ceramah oleh para agamawan Islam yang memberi ceramah dan kuliah-kuliah, yang mana mereka jarang mengutuk atau menghentam orang bukan Islam. Yang selalu diajar adalah untuk bagaimana caranya untuk menyeru bukan Islam supaya kembali memeluk Islam. Pendekatan yang kasar sedemikian, amat jarang sekali diajar di rumah Allah itu, kecuali beberapa kes terpencil.

Beliau amat menghargai toleransi umat Islam. Katanya lagi, kes pembunuhan Datuk Sosilawati adalah satu contoh jelas toleransi tersebut. Umat Islam dapat menerimanya secara terbuka tanpa menyalahkan mana-mana kaum. Pihak keselamatan pula, awal-awal telah membuat kenyataan bahawa ia tidak ada kaitan dengan isu perkauman. Begitulah seterusnya dengan kenyataan demi kenyataan dikeluarkan supaya kita bertenang dan bertenang. Umat Islam menerima ketentuan takdir ini, tanpa rasa permusuhan dan benci terhadap orang India.

Bayangkan, andai kata peristiwa ini berlaku sebaliknya, menimpa orang bukan Melayu, yang melakukannya adalah orang Melayu. Apakah bukan Melayu akan menerimanya sebagaimana penerimaan orang Melayu? Apakah berita seperti ini tidak akan disensasikan dalam akhbar-akhbar mereka atau internet? Begitulah toleransi yang amat saya puji, bila kena pada orang Melayu (Islam), atas dasar toleransi, orang Melayu tidak banyak bicara. Namun, bila kena pada orang lain, bagaimana kesudahannya? Selama kes ini disiasat pun, ada suara-suara sumbang yang menyalahkan kerajaan dan pihak polis. Persoalannya, kenapa kita tidak menghormati toleransi seperti ini? Apakah lagi jenis toleransi yang kita harapkan lagi?

Apakah tidak ada langsung kredit patut diberikan kepada kedudukan orang Melayu dan bahasa Melayu? Hari ini, tidak ada cara berlembut lagi untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, melainkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti dikuatkuasakan mengikut peruntukan yang terdapat dalam undang-undang seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Teringat saya cerita rakan-rakan yang tinggal di Selatan Thailand suatu ketika dahulu. Mereka akan didenda jika bercakap selain daripada bahasa Siam, bergantung kepada berapa patah perkataan asing digunakan. Satu patah asing digunakan akan didenda 20 sen. Begitu kuatnya orang Siam untuk mengSiamkan rakyatnya. Keadaan kita amat berlainan sama sekali. Sudahlah bahasa kebangsaan langsung tidak digunakan, mereka yang tidak tahu langsung berbahasa Melayu boleh hidup senang lenang tanpa gangguan dan tindakan. Saya fikir, sudah sampai masa kita melakukan ke tahap sebagaimana negara-negara lain yang begitu bertegas dalam soal memperkasakan bahasa dan negara.

Sudah sampai masanya juga, kuasa penuh diberikan kepada badan-badan bahasa dan Majlis Perbandaran untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang merendah-rendah bahasa kebangsaan tanpa ada campurtangan politik. Majlis rasmi, tidak kira pertubuhan Melayu atau bukan, mesti menggunakan bahasa Melayu. Paling kurangpun jika dwi bahasa digunakan, bahasa Melayu mesti didahulukan, kemudian diikuti dengan terjemahannya dalam bahasa ibunda. Penggunaan seratus peratus menggunakan bahasa ibunda dalam upacara rasmi hendaklah dipantau.

Media cetak dan elektronik yang bersifat perkauman mesti menterjemahkan bahasa ibunda mereka ke dalam bahasa kebangsaan. Saya teramat sedih membaca sebuah artikel akhbar perkauman baru-baru ini, yang mengatakan bahawa perpaduan bukan matlamat, tetapi hanyalah alat. Ternyata orang seperti ini tidak tahu sejarah negara, perlembagaan dan gagasan 1Malaysia. Mereka tidak mementing agenda nasional, kerana mereka lebih mementingkan bangsa. Dalam gagasan 1Malaysia disebut dengan jelas, bahawa matlamat akhir 1Malaysia adalah perpaduan. Kerana hanya dengan adanya perpaduan, negara akan aman, stabil dan mendapat kepercayaan pelabur-pelabur.

Semuanya kena bermula dengan bahasa kebangsaan kerana bahasalah yang akan menyatukan kita semua, kerana kita semua berlainan agama. Jika tidak, bagaimanakah interaksi dan komunikasi akan berlaku. Janganlah kita terlalu berpolitik dan menjaga kuasa kerana ia tidak kekal lama. Apakah identiti dan jati diri yang akan kita tinggalkan kepada anak cucu cicit kita nanti?

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Thursday, October 14, 2010

Meyakini kekuatan sendiri

1:31 PM Posted by RIDHUAN TEE 31 comments
Artikel Ahad lalu tidak disiarkan oleh Mingguan Malaysia kerana kekurangan ruang. Ahad ini artikel yang telah dihantar akan disiarkan seperti biasa. Sebagai tanda terima kasih atas ingatan sdr putrarahman, saya masukkan artikel untuk minggu ini.

Meyakini kekuatan diri

Artikel saya seringkali di ‘cut’ and ‘paste’ oleh laman web ultra kiasu seperti Malaysianinsider. Tujuannya tidak lain, laman web tersebut suka melihat saya dikutuk oleh pengunjung-pengunjung mereka yang juga ultra kiasu. Komen-komen yang positif tidak disiarkan, manakala komen yang negatif dibiarkan sahaja, langsung tidak ditapis.Terima kasih atas ‘publisiti’ itu.

Sedangkan mereka yang mengikuti penulisan saya mengetahui bahawa saya hanya cuba membawa kita semua menghayati sejarah dan perlembagaan serta menginsafi akan makna keadilan yang sebenar, bertunjangkan kepada kekuatan yang sedia ada pada kita. Kepelbagaian inilah sebenarnya yang menjadi sumber kekuatan kita berbanding negara lain selaras dengan gagasan 1Malaysia. Kekuatan ini yang sepatutnya digembelingkan, menjadi satu asset negara dan bukannya diputar belitkan.

Saya amat yakin Allah SWT merahmati negara kita. Kita jarang ditimpa bencana seperti negara lain. Malah kita dianugerah dengan pelbagai kekayaan sumber dan hasil masyhul serta bumi yang subur. Bayangkan jika apa yang ada ini, ditambah dengan kepelbagaian etnik yang menghayati sejarah, berpegang kepada perlembagaan dan norma kehidupan beragama serta mempunyai semangat patriotisma yang tinggi, sudah tentu kita boleh keluar sebagai negara Islam contoh terhebat di rantau ini dan negara Islam keseluruhannya sebagaimana yang diramalkan oleh Alvin Toffler. Mari kita melayari kehebatan kita satu persatu.

Lihat sahaja tanaman getah, kopi, kelapa sawit dan sebagainya. Tanaman ini bukan berasal daripada negara kita, tetapi berasal daripada Afrika. Bila dibawa masuk dan ditanamkan di sini, ianya hidup begitu subur dan menambahkan kekayaan negara kita sehingga boleh dieksport setanding dengan negara asal tanaman ini.

Begitu juga dengan tumbuhan herba dan rempah ratus. Baru-baru ini saya berkesempatan melawat ladang kepunyaan Haji Nasuha Kasian di Pagoh. Boleh dikatakan kebanyakan herba dan rempah ratus yang ditanam, datang daripada negara luar, namun ia tumbuh dengan suburnya apabila ditanam di sini bertuah ini, ibarat fajar di bumi permata. Pendek kata, letak apa sahaja biji benih di bumi ini, boleh dikatakan semuanya menjadi. Saya amat kagum dengan nikmat anugerah ini. Malangnya berapa ramai yang mensyukurinya. Teringat saya akan kata-kata hukama, haram membiarkan tanah terbiar selama tiga tahun begitu sahaja, hukumnya berdosa.

Di Thailand, setiap inci tanah dimanfaatkan. Di hadapan rumah mereka di tanam dengan berbagai jenis tanaman, sedangkan kita sibuk dengan mencantikkan rumah dengan menanam pokok-pokok bunga. Orang lain sanggup berjemur dan mencangkul di bawah kabel elektrik menanam sayur-sayuran. Sedangkan kita terus menjadi pembeli kepada sayur tersebut. Bekalan daging lembu, kambing, ayam, beras, buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya masih lagi tidak mencukupi untuk menampung keperluan tempatan. Sedangkan kita tahu bahawa tanah kita amat subur kepada boleh dikatakan sesuai untuk semua jenis tanaman dan ternakan. Kita selalu mengamalkan budaya tidak kisah, janji makan minum cukup.

Selain itu, mengikut kajian yang dijalankan ke atas produk tempat kita seperti limau dari segi kandungan vitaminnya, ia lebih banyak daripada buah-buahan import. Menurut FAMA, masyarakat kita memandang rendah kepada buah-buahan tempatan seperti jambu, ciku, nanas, mempelam, betik serta buah-buahan bermusim seperti durian, langsat, duku, pulasan, rambutan, cempedak dan pelbagai buah yang lain. Ada yang menganggap buah-buahan ini boleh mengundang penyakit. Kita lebih berbangga dengan buah import. Pada hal buah-buahan tempatan tersebut mengandungi khasiat dan serat yang tinggi. Misalnya, salah tanggap terhadap durian sebagai buah ‘penyakit’ patut diperbetulkan. Ramai yang tidak tahu raja buah itu sangat kaya dengan potassium. Namun perlu diambil secara sederhana, jangan pula terlalu ultra atau ekstrim.

Kajian ini dibuktikan lagi melalui kenyataan Pengerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Toh Puan Dr Aishah Ong. Menurutnya, buah tempatan mempunyai khasiat yang tinggi berbanding dengan buah yang diimport. Bahkan, Allah SWT juga menjadikan buah-buahan sebegini secara bermusim. Durian misalnya mengandungi fiber yang tinggi, kaya dengan vitamin C dan Vitamin A. Jika ada orang kata makan durian panas badan, Allah jadikan manggis sebagai penyejuknya, itulah sebabnya manggis dan durian boleh didapati pada musim yang sama.

Buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku, pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding buah-buahan import seperti epal, pir dan lai. Misalnya, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan ini turut menyumbangkan serat.

Begitulah nikmat anugerah yang tidak ternilai. Masalah hari ini kita agak tidak yakin dengan kekuatan sendiri. Media pulak tidak banyak membantu mempromosikannya. Buah-buahan import lebih banyak digunakan menghiasi iklan akhbar dan majalah daripada buah-buahan tempatan seperti ruangan kesihatan. Buah-buahan import dikatakan ada kelas dan berprestij, sedangkan buah tersebut mungkin mengandungi pengawet dan tidak segar lagi berbanding buah-buahan tempatan yang masih segar dan bebas bahan awetan.

Hujah ini menunjukkan kita seolah-olah tidak bangga dengan produk sendiri. Perkara ini berlaku dalam banyak hal. Kita lebih mempercayai kekuatan orang lain daripada kekuatan sendiri. Kita selalu memperkenalkan anak-anak kita dengan budaya-budaya dan bahan-bahan luar daripada jati diri kita sendiri. Akhirnya budaya sendiri dan produk sendiri tidak terdaulat di bumi sendiri. Orang lain menguasai kita. Kita hanya menjadi pengguna. Tidakkah kita merasa berdosa?

Tidakkah kita sedar bahawa kita mempunyai budaya yang unggul, tetapi kenapa budaya kita tidak tertonjol? Lagu-lagu Melayu dan etnik lain tidak kurang hebatnya berbanding dengan lagu-lagu barat. Persoalannya, kenapa lagu rock, hip hop, RnB dan berbagai lagi rentak barat menjadi pilihan? Ada yang beranggapan seolah-olah menyanyikan lagu etnik nampak lekeh dan konservatif, manakala bila menyanyi lagu barat nampak moden dan up to date. Inilah pemikiran yang perlu diubah.

Hari ini saya amat jarang mendengar, ahli korporat dan kadangkala ahli politik kita menggunakan bahasa Melayu bila berbicara atau ditanya oleh wartawan. Lebih menjengkelkan lagi ada wartawan yang bertanya dalam bahasa Melayu dijawab selamba sahaja dalam bahasa Inggeris.

Kita seolah-olah hendak menunjukkan kehebatan kita bahawa dengan berbahasa Inggeris, biar nampak bagus. Sebenarnya kita tidak sehebat manapun. Kita tidak akan ke mana-mana dengan hanya berbahasa Inggeris, jika perangai atau sikap tidak berubah. Lagipun bahasa Inggeris bukannya penentu kejayaan seseorang dunia, apatah lagi di akhirat. Allah tidak akan tanya, apakah kita pandai berbahasa Inggeris atau tidak? Apalah ertinya jika kita cair dengan bahasa Inggeris tetapi gagap bila membaca al-Quran, apatah lagi untuk memahaminya. Paling baik kita menguasai kedua-duanya atau lebih dari itu. Tetapi janganlah terlebih bahasa Inggeris sehingga identiti sendiri hilang entah ke mana. Bahasa Inggeris penting sebagai bahasa kemajuan, tetapi janganlah pula beranggapan dengan berbahasa Inggeris sahaja kita boleh maju. Sekadar menguasai bahasa Melayu kita tidak ke mana-mana.

Kenapa kita tidak bertindak seperti presiden Iran? Ke mana sahaja beliau pergi, bahasa Iran yang dijajanya, walaupun beliau fasih berbahasa Inggeris. Beliau amat arif mempamerkan kehebatan bangsanya dengan meletakkan ia di tempat yang betul. Bila mana beliau berucap dalam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam bahasa Iran, orang lain kelam kabut untuk menterjemahkannya. Mereka terlalu ingin tahu apa yang akan disampaikan oleh Mahmoud Ahmadinejad. Kenapa perkara ini berlaku? Jawapannya, Mahmoud Ahmadinejad telah berjaya meletakkan satu tanda aras atau standard pada diri dan bangsa serta bahasanya, sehingga barat terpaksa mempelajari bahasa Iran. Inilah standard yang perlu kita tonjolkan dalam budaya sendiri.

Saya amat yakin pelancong-pelancong yang datang ke negara kita mahu melihat kelainan berbanding dengan apa yang ada di negara mereka. Jika berhibur, mereka mahu melihat dan mendengar budaya dan lagu-lagu rentak kita. Bila mahu makan minum, mereka mahukan makanan dan minuman kita. Saya yakin mereka mahu merasa cendul, ais kacang dan laici kang. Bukannya menghidangkan mereka dengan arak kerana di negara mereka arak ibarat lautan. Mereka boleh minum dan mandi arak. Kenapa kita begitu perasan bahawa pelancong datang ke sini mahu minum arak dan mendengar lagu-lagu rentak barat?

Saya teramat sedih apabila melihat dalam kursus induksi perkhidmatan awam, kita diajar dengan teliti tatacara makan minum mengikut tradisi dan budaya barat dan Cina. Modul ini diwajibkan para peserta memahaminya. Malangnya apabila ditanya bilakah modul cara makan minum mengikuti tradisi dan budaya Melayu Islam mahu diajar? Maka jawapannya, ia tidak ada dalam modul dan tidak perlu diajar. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu, kita sendiri yang melenyapkan budaya sendiri.

Sebenarnya kita terlalu kebaratan dan tidak yakin dengan kekuatan sendiri. Sedangkan orang lain yang datang amat menghargai kekuatan itu. Oleh kerana, kita tidak menghargai, maka kesempatan ini digunakan oleh orang lain untuk meluntur budaya kita sendiri.

Hari ini kita seolah-olah dilanda dengan inferioriti kompleks. Kita tidak percaya bahawa apa yang ada pada kita hebat. Kita percaya kepada kehebatan orang lain. Dengan sebab itu kita tidak hargai dengan apa yang kita ada, dan mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang datang daripada barat. Kita tidak mengamalkan kata-kata budaya sendiri didahulukan, budaya orang lain dikemudiankan, yang jelas kelihatan budaya orang lain semakin mendominasi, budaya sendiri merempat di bumi sendiri, tidak mendapat publisiti.

Kadangkala saya terfikir, apakah kurangnya sensitiviti ini mempunyai kaitan dengan halal dan haram yang masuk ke perut, sehingga menyebabkan hati kita menjadi buta? Kita tidak lagi kisah mengunjungi hotel atau kopitiam halal atau tidak? Sama ada mendapat pengikhtirafan sijil halal JAKIM atau tidak? Yang pentingnya sedap, ada gaya dan glamour.

Penemuan kaki katak dalam makanan di salah sebuah kopitiam seharus menjadi pengajaran kepada kita. Ada orang sanggup buat apa sahaja untuk mengaut keuntungan dan seterusnya menutup keputihan pintu hati kita. Apakah kita sudah tidak ada pilihan sehingga terpaksa memilih perkara yang was-was daripada yang sudah terjamin halalnya? Sedapkah sangatkah makanan di tempat tersebut sehingga kita terlupa kepada tanggungjawab fardu kifayah kita? Pada saya, sebelum menolong orang lain, kita sepatutnya menolong orang kita dahulu. Sebelum membudayakan budaya orang lain, tidakkah kita patut berbangga dan mengutamakan kekuatan yang kita ada terlebih dahulu. Cintailah kekuatan yang kita ada sebelum ianya lenyap ditelan zaman.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, October 03, 2010

Meneruskan legasi pemimpin terdahulu

7:10 AM Posted by RIDHUAN TEE 124 comments
Mingguan Malaysia 3 Oktober 2010

Pihak yang mengambil kesempatan terus memperbesar-besarkan perang mulut yang berlaku antara sebuah akhbar dengan seorang pemimpin yang disukainya. Saat-saat inilah yang paling ditunggu-tunggu oleh mereka yang menahan lukah di pergentingan. Perkara ini adalah suatu yang biasa dalam politik. Saling ingat mengingati barulah ada check and balance. Tetapi ia terus berlarutan seolah-olah tidak kesudahan. Orang lain bertepuk tangan melihat kita bertelingkah dalam serba-serbi.

Sikap terlalu defensif tidak akan menyelesaikan masalah. Lebih baik dibawa berbincang, kerana itu lebih menepati kehendak Islam dan membawa banyak manfaat kepada perpaduan umat Islam.

Cukup sudahlah kita berpecah disebabkan oleh perbezaan parti politik dan ideologi, janganlah pula terbawa-bawa kepada sentimen sebegini. Bincanglah apa yang betul, apa yang salah, daripada menuding jari siapa yang betul, siapa yang salah. Cerminlah diri masing-masing, apakah sumbangan kita selama ini?

Sudahkah kita lupa kata-kata seorang ahli falsafah Cina yang berbunyi, jika anda mahu menjadi pemimpin negara, terlebih dahulu pastikan keluarga sendiri berada dalam keadaan baik. Bagi memastikan keluarga sendiri baik, pastikan diri sendiri perlu baik. Bagi memastikan diri sendiri baik, pastikan hati dijaga demgan baik. Bagi memastikan hati sentiasa baik, ia perlu bermula dengan keikhlasan. Cuba tanya pada diri kita, apakah kita ikhlas menjadi seorang pemimpin?

Nilai balik apakah sumbangan kita kepada agama, bangsa dan negara? Atau mungkinkan penyertaan kita dalam politik sekadar untuk membuncitkan perut dan membesarkan poket? Inilah pertanyaan-pertanyaan yang perlu dijawab oleh setiap pemimpin yang diberikan amanah oleh rakyat hari, tidak kira sama ada pemerintah atau pembangkang. Jika ada jawapannya, tidak perlulah terlalu risau akan pilihan raya umum akan datang.

Seringkali kita dengar, mereka yang menyertai politik, tidak ada agenda agama, bangsa dan negara. Agenda utama mereka adalah untuk mendapatkan kuasa dan pangkat, setelah itu mudah untuk mendapatkan tender dan projek melalui kroni-kroni yang akan dibela. Pemikiran seperti ini perlu dibuang jauh-jauh jika ada.

Tagline Gagasan 1Malaysia, “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”, perlu difahami oleh setiap wakil rakyat tanpa berkecuali. Rakyat perlu diutamakan dalam segala hal. Tanpa rakyat siapalah pemimpin kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat (dengan izin Allah). Itulah falsafah demokrasi yang saya fikir tidak bercanggah dengan sumber ajaran Islam jika diurus dengan baik berpandukan perlembagaan. Janganlah memperalatkan gagasan 1Malaysia untuk menutupi atau mengaburi tindakan kita, tetapi laksanakan gagasan tersebut sebagaimana yang dicitrakan oleh Perdana Menteri.

Malangnya, ketika Perdana Menteri mengajak rakyat memahami keutamaan, masih ramai umat Islam lebih menekankan hal remeh temeh daripada isu pokok. Bergaduh tidak tentu pasal. Mempertahankan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum. Niat tidak lain, supaya dirinya nampak hebat, wal hal diri dan sumbangannya tidak seberapa. Ada kalanya kita menjadi pemimpin, bukan kerana kita bagus atau berwibawa, tetapi kadangkala kerana bernasib baik. Sedangkan ramai yang lebih layak daripada kita. Tetapi disebabkan mereka tidak pandai membodek dan mengampu, mereka tidak terpilih sebagai pemimpin.

Sedangkan mereka yang berfikiran seperti pandir dan tidak ada daya intelektual, begitu cepat naik dan berkuasa kerana nasib menyebelahi mereka, bukan kewibawaan dirinya. Sedangkan orang sebegini, boleh dikatakan kosong. Keluarga tidak terjaga dan terbela. Diri sendiri penuh dengan kontroversi dan sebagainya. Jika dikorek-korek nanti, keburukan yang dilakukan, lebih banyak dari kebaikan dan boleh dibuat buku. Bagaimana kita boleh harapkan orang sebegini boleh menjaga rakyat. Justeru, mereka yang ingin menjadi pemimpin atau dipilih menjadi wakil rakyat, mesti pandai menjaga diri dan keluarga terlebih dahulu. Selepas itu, barulah senang untuk bercakap soal menjaga rakyat dan menjaga kerajaan. Inilah aspirasi dan inspirasi 1Malaysia Perdana Menteri.

Jika tidak, kita akan menjadi bahan kutukan orang. Saya sudah tidak mampu lagi mendengar kata-kata seperti, “keluarga sendiri berterabur, tidak terjaga, bagaimana nak jadi pemimpin dan , menjaga rakyat”. Inilah kata-kata yang sindiran kerap kedengaran. 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sudah tentu tidak mahu memimpin yang sebegini. 1Malaysia mahukan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan berakhlak mulia untuk meneruskan legasi pemimpin yang terdahulu. Ingatlah wahai saudaraku, rakyat hari ini bukan seperti dahulu, mereka sudah boleh membezakan mata dia intan, mana dia kaca.

Jika dahulu, tunggul kayupun kalau diletakkan sebagai calon mereka akan undi. Hari ini, tunggul kayu tersebut akan campaknya jauh entah ke mana, malah tidak lagi dipandang untuk menjadi kayu api.

Sudah sampai masanya gagasan 1Malaysia meletakkan KPI atau tanda aras untuk mereka yang mahu menjadi pemimpin. Pertama, saya ingin cadangkan supaya pemimpin tersebut boleh memimpin dirinya sendiri, meletakkan Allah ditempat pertama, diikuti dengan Rasulullah dan keluarganya. Setelah dirinya terpimpin berasaskan prinsip tersebut, barulah akan terpancar integritinya, tidak rasuah dan tidak korup.

Kita tidak mahu pemimpin yang rumahtangganya berantakan, anak-anaknya pula bertaburan. Ingatlah pesanan yang mengatakan rakyat (termasuk anak-anak) menilai (lebih terpengaruh) dengan apa yang kita buat, bukan apa yang kita cakap. Tidak ada gunanya jika cakap tidak serupa bikin. Hanya pandai bercakap tetapi apa yang dicakap tidak ditunaikan atau dikotakan. Kata mesti dikota.

Kedua, pemimpin mereka mempunyai ilmu. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu memahami keutamaan. Keutamaan jamaah (rakyat) berada di hadapan berbanding keutamaan diri. Jangan terlalu menjaga dan mementing diri sendiri atau terlalu mengikut emosi sehingga melupakan kepentingan rakyat. Memperbesarkan perkara kecil sehingga tertinggal perkara besar. Terlalu menjaga politik diri sendiri supaya tercalon lagi, sehingga terlupa akan agenda anak bangsa sendiri. Berikanlah laluan kepada mereka yang benar-benar mahu dan mampu memimpin.

Ketiga, pemimpin sebaik-baiknya mesti bebas atau tidak dilihat daripada dosa besar dan dosa kecil. Paling baik tidak melakukan apa-apa dosa. Sudah tentu ini adalah mustahil sebab kita bukan Rasul atau Malaikat. Kita tidak dapat lari daripada kesalahan. Namun, jangan lah kita terjebak dalam dosa-dosa yang rakyat boleh mempertikaikan kredibiliti kita. Misalnya seperti minum arak, kaki perempuan, kaki judi dan macam-macam kaki lagi. Ingatlah, rakyat melihat apa yang kita buat.

Keempat, pemimpin mesti mempunyai jiwa agama dan dapat menjaga amanah bangsa. Tidak semestinya mereka mempunyai latar belakang agama atau lulusan pengajian Islam. Kepemimpinan Islam boleh terdiri daripada mereka yang professional. Kadangkala sedih juga bila melihat bila ada ‘orang agama’ menjadi pemimpin, kepemimpinan dan pandangan mereka terlalu jumud dan tidak berpijak di bumi nyata. Sikit-sikit berhujah berbalik kepada Quran dan Hadis, tetapi modus operandi entah di mana. Justeru, orang agama perlu diprofesionalkan.

Apapun jika golongan professional mahu menjadi pemimpin, mereka mesti mempunyai jiwa agama atau mengulamakan professionalism nya itu. Jangan sampai pemimpin kita tidak boleh dilihat menjadi imam. Paling kurangpun pemimpin tersebut mesti boleh memimpin bacaan doa, keupayaan berdoa adalah petanda awal menunjukkan kita mengerjakan sembahyang. Dengan makna, pemimpin tersebut mesti bersolat sebagai asas utama nilaian akhlaknya dengan Tuhan. Ingatlah, sesiapa yang sensitif dengan Allah, pasti dia akan sensitif dengan orang lain (rakyat).

Inilah ‘kalahnya’ UMNO dengan pemimpin sebuah parti yang mendakwa diri mereka memperjuangkan Islam. Pemimpin parti Islam ini telah menarik ramai professional, termasuk orang UMNO yang berjiwa Islam. Profesional ini boleh menjalankan tanggungjawab ulama seperti membaca khutbah, menjadi imam, baca doa, sembahyang mayat dan sebagainya. Banding dengan sebahagian pemimpin UMNO hari ini, ada yang membaca al-Quran pun tidak betul. Bagaimana mereka boleh berdoa? Mungkin ada yang tersinggung dengan tulisan saya ini, saya pohon ampun dan maaf. Hari ini professional parti Islam ini begitu berpengaruh sehingga menimbulkan kebimbangan pemimpin bersifat ‘taliban’ dalam parti Islam tersebut. Sebenarnya UMNO tidak ketandusan orang agama dan professional, resepinya semua sudah ada. Hasil yang mahu dilihat adalah, laksanakan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Berkata benar walaupun pahit. Jika UMNO mahukan meneruskan legasinya pada masa akan datang, UMNO tidak ada pilihan melainkan mesti dapat dilihat bersih, cekap, amanah dan dapat dilihat melaksanakan ciri-ciri kepimpinan Islam tersebut. Di sinilah yang dikatakan ‘kekuatan’ parti Islam yang sukar ditandingi UMNO.

Mereka sanggup berjemur, berjaga dan bercekang ketika pilihan raya dan melakukan kerja suka rela, tanpa meminta sebarang habuan. Tetapi tidak UMNO. Ada sebahagian mereka yang tidak ikhlas. Wang dan harta telah mengaburi mereka. Kerja sedikit, mereka mahukan habuan. Sudah sampai masanya kita latih mereka yakni kerja kerana Allah demi menjaga amanah agama, bangsa dan negara.

Jika inilah pemimpin UMNO yang bakal lahir, jangan harap parti-parti lain dapat menambah kerusi. Tetapi jika perkara asas ini diabaikan, maka tunggu kekalahan yang bakal menjelma. UMNO mesti serius dalam meletakkan kepentingan agama di hadapan berbanding kepentingan bangsa. Kebaikan mesti diutamakan daripada keburukan. Manakala jika berlaku pertembungan dua keburukan, maka kita mesti tahu memilih antara dua keburukan tersebut, mana satukah yang kurang mudaratnya. Misalnya, antara menyentuh (atau makan) babi dengan makan rasuah (atau riba). Sudah tentu implikasi makan rasuah atau makan riba, lebih buruk daripada menyentuh (makan) babi, sebab makan babi melibatkan dosa individu, sedangkan makan rasuah melibatkan orang ramai dan boleh meruntuhkan agama dan negara, sehingga sampai ke tahap boleh diperangi. Jangan pulak ada yang salah faham sehingga sanggup makan babi selepas ini.

Jika semua ini dapat difahami keadaan tidaklah seteruk hari ini. Teringat saya bila membaca buku Syed Hussein Alatas, bertajuk Mitos Pribumi Malas, antara punca kelemahan umat Islam (Melayu) hari ini, disebabkan oleh ada sebahagian pemimpin yang dipilih itu lemah, tidak ada daya intelektual. Ketiadaan daya keintektualan ini menjadikan mereka ini hanya mampu menjadi pengampu dan pembodek. Justeru, sudah sampai masa kita dapat membezakannya agar boleh bangun menjadi bangsa hebat dan digeruni.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis