Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Tuesday, October 26, 2010

Sejarah bagaimana yang kita mahu?

6:11 PM Posted by RIDHUAN TEE 38 comments
Utusan Malaysia, 4 November 2010

Selaku seorang akademia berbangsa Cina, saya amat sedih dengan pemikiran parti-parti politik seperti DAP, MCA dan Gerakan. Kenyataan demi kenyataan dikeluarkan yang amat menghiris, mahukan kerajaan mengkaji semula silibus sejarah yang akan diwajibkan ke atas pelajar sekolah rendah dan menengah tidak lama lagi.

Hujah mereka amat simplistik, sejarah yang sedia ada tidak mencerminkan sejarah yang sebenar. Sejarah yang sebenar mesti mempamerkan sumbangan dan kerjasama kaum. Pada mereka, sumbangan kaum bukan Melayu mesti dimasukkan dan dijadikan teras sejarah. Saya cuba elakkan menggunakan istilah ultra kiasu terhadap golongan ini, biarlah kita berbincang secara adik-beradik.

Saya tidak menafikan sejarah sumbangan bukan Melayu terhadap negara, tetapi perlu diingatkan bahawa sumbangan dan kerjasama kaum adalah sebahagian kecil sahaja dalam urutan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Ada aspek yang lebih besar lagi yang perlu ditonjolkan, seperti sejarah asal usul Tanah Melayu sebelum kedatangan imigran-imigran ke alam Melayu.

Sesiapa yang mengkaji dan faham sejarah Malaysia, ianya mesti merangkumi asal-usul Tanah Melayu, zaman kegemilangan dan kejatuhan kesultanan Melayu, zaman penjajahan dan kemasukan imigran, kebangkitan nasionalisme Melayu, Malayan Union, Persekutuan Tanah Melayu, penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Kemerdekaan Tanah Melayu, sehinggalah membawa kepada Penubuhan Malaysia. Seterusnya, diikuti dengan dasar-dasar kerajaan selepas peristiwa 13 Mei 1969 sehinggalah ke hari ini.

Kumpulan-kumpulan ekstrim ini asyik-asyik hanya bercakap soal sumbangan bukan Melayu, soal penentangan bukan Melayu terhadap Jepun 1942-45. Sedangkan kita sedia maklum, sejarah penentangan terhadap Jepun juga penuh dengan kontroversi fakta dan dipertikaikan. Adakah benar orang Cina mempertahankan Tanah Melayu atau sekadar membalas dendam terhadap Jepun?

Berkali-kali telah saya nyatakan bahawa penentangan terhadap Jepun, tidak banyak kaitan dengan kemerdekaan, tetapi adalah disebabkan oleh dendam kedua belah pihak yang telah mengalami perang sebelum ini. Sila rujuk sejarah perang China-Jepun 1894-95 dan 1937.

Jangan terlalu obses dengan sumbangan Bintang Tiga atau MPAJA dan Parti Komunis Malaya (PKM), sehingga kita sengaja lupakan sejarah yang sebenar? Maka tidak hairan hari ini tugu MPAJA dibina sebesar-besarnya di Taman Peringatan Nilai. Yang amat pelik, Majlis Perbandaran dan Arkib Negara kurang serius dalam memantau pembinaan tugu dan memorial seperti ini.

Jika benar-benar orang bukan Melayu mahu memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu selepas pengunduran Jepun, kenapa Malayan Union yang cuba diperkenalkan oleh British pada tahun 1946, tidak ditentang? Kenapa hanya orang Melayu sahaja yang bangun menentang? Ini menunjukkan perjuangan menentang kemerdekaan amat diragui sebelum detik tahun 1957.

Pada saya, kita serahkan semua sejarah kita kepada ahli sejarah. Janganlah doktor perubatan dan ahli ekonomi memandai-mandai bercakap banyak dalam isu ini. Wal hal ilmu sejarah mereka amat cetek, hanya berasaskan kepada pandangan dan laporan ibu bapa murid yang tidak puas hati dengan silibus yang sedia ada.

Mereka yang bukan berlatarbelakangkan sejarah, duduk diam-diam, tidak perlu berkokok keterlauan. Bagaimana kita menghormati profesion orang lain, begitu juga orang lain mesti menghormati profesion kita, barulah itulah dinamakan professional. Janganlah terlalu bertindak ekstrim dalam hal ini. Banyak masa terbuang dan tidak banyak membawa faedah.

Pada saya, sejarah sistem kenegaraan sesebuah negara mesti diajar. Sama seperti negera China dan India. Mereka mesti mempunyai sejarah sistem kenegaraan China dan India tersendiri. Begitu juga dengan sistem kenegaraan Melayu, mesti ada sejarah sistem kenegaraan Melayu tersendiri. Adakah silibus ini langsung tidak boleh disentuh atau dimasukkan sebagai teras sejarah negara ini? Sedangkan negara lain, silibus seperti ini yang menjadi asas.

Negara Singapura sedang cuba dan telahpun memadamkan asas sebegini. Saya fikir MCA, DAP dan Gerakan, tidak perlu campur tangan dalam soal akademik. Biar orang akademik yang melakukan. Mereka orang politik, jaga sahaja kawasan dan kerusi masing-masing, serta tanggungjawab mereka terhadap rakyat.

Saya bukan bertujuan untuk menjadi jaguh membela orang Melayu, sebab saya orang Cina. Tetapi saya suka berkata benar, sebab saya adalah seorang pengkaji.

Ketika Tuanku Azlan Shah menerima ijazah kehormat kedoktoran undang-undang daripada Universiti Malaya, semasa menjadi Ketua Hakim Negara kira-kira 30 tahun lalu, baginda ada bertitah bahawa Malaysia ialah sebuah negara berbilang kaum, berbilang bangsa, berbilang agama, berbilang adat dan resam. Tetapi walau bagaimanapun, kita perlu beringat, dan jika tidak ingat, maka seharusnyalah diperingatkan, bahawa dalam negara yang semuanya berbilang itu, mesti ada ada satu asas di mana kita mesti menumpukan perhatian kita.

Dalam konteks ini Malaysia telah wujud hasil dari cantuman tiga wilayah Persekutuan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Persekutuan Tanah Melayu pula diasaskan atas tapak kesultanan Melayu Melaka sebelum Melaka dijajah oleh Portugis dalam tahun 1511. Perkataan “Negeri-Negeri Melayu Bersekutu” dan “Negeri-Negeri Melayu Tak Bersekutu” dan “Persekutuan Tanah Melayu” masih wujud dalam undang-undang kita. Dengan lain-lain perkataan, negara Malaysia adalah berteraskan sejarah Melayu, evolusi politik Melayu, nasionalisma Melayu yang hidup subur dalam kepulauan Melayu yang mempunyai sejarah kebudayaan Melayu. Berdasarkan kepada hakikat itulah, maka Perlembagaan Malaysia digubal (Firdaus Abdullah, 24 & 25 Jun 2009)

Sejarah sistem kenegaraan Melayu adalah akar umbi kepada sejarah negara ini. Bermula dengan perkataan “Melayu” atau “Tanah Melayu” itu sendiri yang bermaksud wilayah dan kepulauan di rantau ini. Nama-nama ini terkenal di kalangan negeri-negeri China, India dan Barat seperti Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur (inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R (Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis) (R. Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985: 85).

Hujah ini menunjukkan bahawa dari abad ke-6 hingga ke-10, perkataan Melayu adalah nama tempat dan bukannya nama khusus bagi rumpun bangsa. Hanya pada abad ke-11 barulah perkataan Melayu mulai dipakai bagi menamakan rumpun bangsa. Ringkasnya, istilah-istilah Tanah Melayu, Melayu dan Malaysia dan Malaya adalah jelas merujuk kepada negeri-negeri Melayu atau Tanah Melayu atau Land of the Malays. Fakta ini menunjukkan bahawa Tanah Melayu (Malaysia) adalah kepunyaan satu bangsa yang bernama Melayu (Suntharalingam dan Abdul Rahman Haji Ismail, 1985). Namun, kedatangan penjajah British telah merubah lanskap politik Tanah Melayu. Tanah Melayu yang dahulunya dihuni oleh orang Melayu di kepulauan Melayu telah menjadi sebuah negara berbilang bangsa.

Menurut Milner (2009), walaupun bilangan orang Melayu di Malaysia hanya dalam lingkungan 15 juta orang, kurang dari 0.5 peratus daripada jumlah 350 juta orang yang tergolong dalam rumpun Melayu, namun telah memberikan pengiktirafan kepada bumi Melayu di negara yang bernama Malaysia:

Although Malaya (and its expanded form Malaysia) has in many ways been the ‘Malay’ success story - an experiment in nation building founded (at least in large part) on ‘Malay’ ethnic sentiment - this outcome was not inevitable.” (Milner, 2009: 151)

Milner turut merakamkan antara peristiwa yang memperlihatkan keyakinan rumpun Melayu terhadap kepimpinan Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) adalah;

“Some 250,000 people signed a petition to the United Nations with the aim of incorporating Pattani and other southern Muslim provinces (Yala, Narathiwat and Satun) in the emerging Malaya.” (Milner, 2009: 168).

Huraian dan analisis Milner sebahagian besarnya ditumpukan kepada Malaysia, serta dinamika politik yang berlaku di Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang komposisi warganya terdiri daripada pelbagai agama, kumpulan etnik dan budaya tetapi termaktub di dalam Perlembagaan negara status agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu serta keistimewaan dan perlindungan kepada bangsa Melayu. Menurut Raja Nazrin (10 Mac 2009), Milner mengiktiraf bahawa Raja Melayu itu adalah institusi penting warisan bangsa Melayu.

Sesungguhnya sejarah mencatatkan Istana Raja Melayu itu berperanan sebagai pusat berkembangnya tamadun bangsa. Istana memperlihatkan sehalus budaya - mencerminkan secantik bahasa, melindungi khazanah tamadun bangsa - menyimpan kekayaan budaya bangsa. Raja Melayu itu adalah lambang kedaulatan negara - simbol kekuatan warga - payung mahkota negara tempat rakyat tumpang berteduh. Raja Melayu itu memberi identiti kepada negara bangsa. Raja itu adalah lambang Kerajaan. Rakyat yang memahami ‘budaya rakyat beraja - negeri bersultan’ memahami akan falsafah pemerintahan beraja, akan peranan Raja secara tersirat di sebalik yang tersurat, melindungi kepentingan bangsa Melayu.

Dalam konteks bangsa Melayu di Malaysia, menurut Raja Nazrin (10 Mac 2009), elemen-elemen Melayu terdiri daripada faktor-faktor agama, bahasa dan budaya yang berada di bawah payung naungan dan perlindungan Raja-Raja Melayu mengikut yang termaktub di dalam Perlembagaan Negara. Klausa-klausa menyentuh agama Islam, institusi Raja Melayu, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. Takrif bangsa Melayu diperkemas, diikat dengan adat, disimpul dengan bahasa, disalut dengan agama. Itulah resipi kekuatan Melayu di bumi ini. Hari ini telah timbul usaha-usaha radikal daripada kalangan yang tidak mendalami muslihat di sebalik yang tersirat yang mahu mengubah resipi tersebut.

Tunku Abdul Rahman (2007) pernah mengatakan, negara ini telah diakui oleh semua kaum lain yang tinggal di sini sebagai sebuah negara yang asalnya negara Melayu. Hakikat ini akan terus diakui melainkan orang Melayu sendiri mengambil keputusan untuk menunggang terbalikkannya dan menjadikannya sebagai sebuah neraka untuk kita semua. Tidak ada sesiapapun yang membangkang usaha-usaha kerajaan untuk menolong orang Melayu kerana semua orang yang siuman insaf bahawa dari zaman berzaman orang Melayu telah terbiar dalam negara mereka sendiri.

Menurut Tunku Abdul Rahman lagi, pada tahun 1953, orang Cina melalui MCA telah menerima dan mengikhtiraf negara ini sebagai negara Melayu dan segala hak kepada orang Melayu tidak boleh dipersoalkan lagi. Tujuan Tunku meletakkan syarat ini adalah untuk menarik kesedaran pihak MCA tentang taraf orang Melayu yang sebenar, sambil menguji tentang kejujuran pemimpin-pemimpin MCA dalam perhubungannya dengan UMNO.

Akhirnya pihak MCA telah menerima dan mengakui hakikat itu serta bersetuju rundingan tersebut berjalan atas dasar yang telah ditetapkan (Mansor et al, 2006). Hujah ini diperkukuhkan lagi oleh Chandra Muzaffar dengan menyatakan, sebuah negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 memberikan kewarganegaraan secara terbuka kepada mereka yang berhak tanpa mengira latar belakang. Keterbukaan itu harus difahami oleh semua pihak kerana melalui proses akomodasi para pemimpin pada masa itu lebih sejuta orang bukan Melayu, sebahagian besarnya imigran, diterima secara automatis sebagai warganegara dan diberikan jus soli. Ini sesuatu yang luar biasa.

Melalui proses kewarganegaraan yang dikatakan sebagai stroke of a pen ini demografi negara berubah serta-merta - hampir 40 peratus daripada warganegaranya ialah orang bukan Melayu. Sebuah negara Melayu tiba-tiba menjadi masyarakat berbilang kaum. Ini tidak pernah berlaku dalam sejarah. Nasionalisme bangsa Filipina dan Vietnam melahirkan negara Filipina dan Vietnam tetapi nasionalisme Melayu yang diperjuangkan lama sebelum kemunculan UMNO sebaliknya tidak melahirkan sebuah negara Melayu. Inilah sifat negara ini yang harus kita fahami - berbilang kaum tetapi berakar umbi dalam sistem kenegaraan Melayu. Negara ini berbilang kaum dengan bahasa dan agama yang pelbagai diiktiraf dalam Perlembagaan.

Tetapi Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem beraja. Ini adalah satu pengiktirafan terhadap sejarah sistem kenegaraan Melayu sebelum zaman penjajah dan sistem politik yang wujud sepanjang zaman. Apa yang menyedihkan saya, tidak ramai di kalangan kita memahami keadaan ini. Ketika masyarakat bukan Melayu perlu memahami kedudukan polity Melayu dan pengaruhnya kepada negara, kaum bumiputera sebaliknya harus pula memahami hakikat masyarakat berbilang kaum. Mereka juga ada hak dan cita-cita; mereka lama bermastautin, lahir dan membesar di sini. Kedua-dua pihak harus saling memahami. (Mingguan Malaysia, 28 Ogos 2005). Apakah sejarah ini perlu dipadamkan?

Malaysia juga tidak sama dengan negara-negara lain yang menjadi berbilang kaum kerana tekanan kolonialisme. Ini kerana polity Melayu itu jauh lebih kukuh sebagai sistem kenegaraan. Kerajaan Melayu Melaka dan selepas itu Johor diiktiraf di peringkat antarabangsa. Ciri-ciri polity itu diterima sebagai ciri-ciri sebuah negara dan sistem pemerintahan. Ini adalah sebahagian daripada ingatan kolektif masyarakat Melayu. Perkara ini tidak difahami bukan saja oleh ahli-ahli politik malah sebahagian besar cendekiawan serta mereka yang boleh mempengaruhi pandangan umum termasuk media.

Itu sebabnya dari masa ke masa timbul isu-isu yang menjadi kontroversi menyentuh soal bahasa, agama dan sistem pendidikan. Ini kerana tidak ada kefahaman tentang latar belakang sejarah dan polity Melayu dan pengaruhnya terhadap sistem kenegaraan Melayu. Malangnya, tidak ada usaha di kalangan pemimpin masyarakat untuk memahami perkara ini - bahawa kita masyarakat berbilang kaum yang berakar umbi dalam polity Melayu. Menurut Chandra lagi, Malaysia lebih mudah untuk menghadapi cabaran-cabaran dalam konteks masyarakat berbilang kaum sekiranya memahami sejarah ini. Jika ada yang menafikannya, sengaja tidak mahu memahami, sukar untuk menjalinkan hubungan kaum yang harmonis.

Oleh kerana wujudnya polity Melayu dalam sejarah maka bahasa Melayu menjadi bahasa kebangsaan, agama Islam sebagai agama rasmi dan raja-raja menjadi ketua negeri dan negara. Sejarah sebegini perlu difahami. Oleh kerana adanya polity Melayu dan sebahagian besar masyarakat Melayu dan pribumi begitu miskin dan mundur pada tahun 1957, dan dalam keadaan begitu kewarganegaraan dianugerahkan dengan begitu liberal, masyarakat Melayu dan pribumi itu memerlukan perlindungan. Itu adalah tuntutan yang sah dalam konteks pembentukan negara. Perlindungan yang dipersetujui itu adalah untuk memperbaiki kedudukan masyarakat Melayu dari segi sosioekonomi.

Frank Swettenham yang agak lama tinggal di Tanah Melayu turut mengakui negara ini adalah negara Melayu, beliau turut memuji orang Cina dengan mengatakan:

Under present conditions the Chinese are the bone and sinew of the Malay states. They are the labourers, the miners, the principal shopkepers, the capitalist, the holders of the revenue farms, the contributors to almost the whole of the revenue; we cannot do without them (Tan Teong Jin et al, 2005: vii)

Tanpa menafikan sumbangan bukan Melayu, penggunaan perkataan “Malay states” jelas menunjukkan bahawa Swettenham mengakui bahawa Malaysia adalah negara berasaskan sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak timbul soal negara ini bukan negara warisan Melayu. Pernyataan ini turut diperkemaskan oleh Hassan Ahmad dengan mengatakan; Orang Melayu mungkin mengenang akan kuasa yang diwarisi oleh orang Melayu dari sejarah pemerintahan Melayu di negeri-negeri Tanah Melayu.

Sejarah sebelum kemerdekaan menunjukkan bahawa sejak zaman berzaman, sebelum kedatangan penjajah Inggeris, yang memerintah di Tanah Melayu bukan orang lain tetapi orang Melayu, kerajaan Melayu, raja-raja Melayu, pembesar-pembesar Melayu. Walaupun Perjanjian Pangkor tahun 1874 dilihat seolah-olah British mulai ‘mencampuri’ urusan pentadbiran negeri Melayu, terutama di Negeri-negeri Melayu Bersekutu atau Federated Malay States. Tetapi sejarah itu tidak menunjukkan bahawa kuasa pemerintahan Melayu jatuh sepenuhnya ke tangan kuasa baru, iaitu kuasa British.

Raja Melayu tetap tidak diturunkan dari takhtanya dan memerintah walaupun dengan ‘nasihat’ pegawai British. Di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, pentadbiran masih hampir sepenuhnya berada dalam tangan raja Melayu, menteri besar Melayu dan para pegawai pentadbir Melayu. British cuma menjadi ‘penasihat’. Tetapi akhirnya kerana kelemahan raja-raja dan golongan bangsawan Melayu yang memerintah bersama-sama British itu, kuasa politik Melayu semakin lama makin merosot sehinggalah sampai pada tahun 1946 apabila British kembali ke Tanah Melayu (selepas Jepun kalah Perang) untuk mentadbir semula Tanah Melayu dan kemudian cuba mengubah status Tanah Melayu atau ‘British Malaya’ menjadi ‘koloni British’ melalui rancangan Malayan Unionnya (Hassan Ahmad, 26 Sept 2010).

Milner (2009) mencatatkan, kerajaan-kerajaan berpaksikan Melayu itu adalah kerajaan yang mempunyai raja baik di Riau, Lingga, Deli, Siak, Langkat, Kampar dan Inderagiri di Sumatera begitu juga di negeri-negeri Kutei, Bulangan, Puntianak, Landak, Mempawah dan Sambas di Kalimantan. Di Persekutuan Tanah Melayu, Raja-Raja Melayu diiktiraf bukan sahaja menjadi asas berkerajaan malah terlibat langsung dalam gerakan menentang Malayan Union. Demikian juga berperanan penting dalam usaha memperjuangkan dan mencapai kata sepakat menuntut kemerdekaan. Kesembilan Raja Melayu memberikan perkenan untuk ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu dan turut berkenan untuk dilantik salah seorang daripada baginda-baginda itu menjadi Ketua Negara secara bergilir-gilir dengan gelaran Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Semua pandangan ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak dapat lari daripada sistem kenegaraan Melayu. Justeru, tidak hairanlah bagi mereka yang memahami sejarah akan menghormati bukti-bukti dan seterusnya mengeluarkan kenyataan-kenyataan lunak, berhikmah dan begitu bertoleransi.

Negara-negara lain tidak perlu menggunakan menonjolkan sistem kenegaraan bangsa mereka disebabkan oleh nama bangsa itu sudah mencerminkan sistem kenegaraan mereka. Nama negara sudah melambangkan identiti bangsa. Misalnya, nama Siam (Thai) menjadi Thailand. Difahamkan ada ura-ura untuk mengembalikan nama Thailand kepada Siam. Kerana perkataan Thai kurang mencerminkan keSiaman Thai. Begitu juga dengan contoh yang lain bangsa India – negara India, bangsa Cina – negara China, bangsa Arab – negara-negara Arab, bangsa Vietnam – negara Vietnam dan lain-lain negara di dunia ini semuanya berasal darisatu satu bangsa, dan nama bangsa ini dijadikan nama negara.

Malang di Malaysia, bangsa Melayu yang dahulu menerbitkan nama Tanah Melayu, telah berubah, setelah Sabah dan Sarawak menyertai Tanah Melayu. Maka nama Tanah Melayu (Malaya Land) berubah kepada Malaysia. Nama Malaysia sudah tidak banyak melambang identiti kenegeraan Melayu berbanding nama Tanah Melayu.

Namun, walaupun negara Tanah Melayu telah bertukar menjadi Malaysia, perlembagaan masih lagi mengekalkan ciri-ciri keMelayuan seperti agama Islam, bahasa Melayu, hak-hak istimewa Melayu, raja-raja Melayu, tanah rezab Melayu dan sebagainya. Persoalannya, sejauhmanakah ciri-ciri sistem kenegaraan Melayu ini berjalan dengan baik? Inilah soalan yang masih belum terjawab. Apakah sejarah sebegini tidak perlu difahami dan diceritakan kepada anak-anak berbilang kaum di negara kita? Adakah cukup sekadar menceritakan sumbangan dan kerjasama Melayu-Cina-India yang ada untuk membangunkan negara tercinta ini?

Jika benar-benar kita ikhlas dalam memahamkan sejarah, jauhkan penglibatan orang politik, biarkan ilmuan dan ahli akademik yang berhujah dan menulis fakta. Keadaan hari ini menjadi kelam kabut kerana kita terlalu banyak berpolitik. Setiap parti politik mahu menjadi jaguh bangsa, bukannya mahu berkata benar walaupun pahit.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, October 17, 2010

Nasib bahasa Melayu di bumi Melayu

7:54 AM Posted by RIDHUAN TEE 101 comments
Mingguan Malaysia 17 Oktober 2010

Saya amat musykil kenapa kita perlu menyambut bulan bahasa kebangsaan peringkat kebangsaan, satu bahasa yang sedia termaktub dalam perlembagaan sebagai bahasa kebangsaan yang mesti dikuasai oleh setiap rakyat Malaysia tanpa berkecuali. Kenapa perlu kita mengadakan program sebegini setelah 53 tahun merdeka? Tidakkah tanggungjawab asas ini mesti difahami dan perlu dipikul oleh setiap rakyat Malaysia? Kenapa baru hari ini kita mahu kuatkuasakan iklan dan papan tanda dalam bahasa Melayu? Tidakkah kita merasa jelek selama ini melihat papan-papan tanda menggunakan bahasa yang pelik-pelik? Sebenarnya, kita tidak sensitif dengan identiti atau jati diri kita sendiri. Kita rasa lebih berlagak kerana dapat memahami bahasa (budaya) orang lain daripada bahasa (budaya) bangsa sendiri.

Sejak dahulu lagi isu ini telah dibangkitkan oleh pejuang-pejuang bahasa, tetapi ia tidak diendahkan, baharu sekarang kita mahu mengambil berat. Apakah sudah terlambat? Yang selalu kedengaran adalah kelantangan Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong dalam mempertahankan bermatian-matian akan bahasa ibunda mereka. Kita baru mula insaf setelah nasi menjadi bubur. Orang lain bukan sahaja sudah insaf lama, tetapi mereka langsung tidak pernah mengenal erti putus asa. Namun, saya tetap bersangka baik, daripada tiada langsung, lebih baik ada.

Kadangkala saya tidak menyalah bangsa lain, kerana tidak dapat menguasai bahasa Melayu. Kita sahaja yang tidak mahu menggunakan peruntukan dan kuasa yang ada untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini. Saya tidak pasti sejauhmanakah kita mengimplementasikan syarat wajib lulus dalam bahasa Melayu mendapatkan kerja di sektor swasta? Apa yang saya tahu, langsung tidak ada pengawalan. Sama ada mereka lulus atau gagal bahasa Melayu, atau mungkin langsung tidak tahu berbahasa Melayu, sudah tidak menjadi ukuran. Yang penting adalah Malaysia boleh! Kenapakah kepentingan masa depan ini tidak dilihat secara serius?

Sebelum inipun, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar telah membangkitkan dan membidas sikap segelintir pihak yang ghairah memperjuangkan kaum sendiri dan mempertikaikan hak keistimewaan orang Melayu yang termaktub di dalam perlembagaan. Baginda menyifatkan golongan tersebut sebagai cetek akal dan hanya bercakap mengikut selera sendiri tanpa meneliti sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan. Kebimbangan tentang nasib dan masa depan orang Melayu akibat berpecah-belah di negara ini pernah diutarakan oleh raja-raja Melayu yang lain seperti Sultan Perak, Sultan Azlan Shah; Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah dalam ucapan-ucapan baginda.

Sehingga ke hari ini, saya amat tertanya-tanya, apa yang menjadi masalah kepada kita untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara? Negaranya berasal dari Tanah Melayu, Raja-rajanya adalah Melayu, mempunyai kuasa ke atas Islam dan Melayu, Tanah rezab Melayu, majoriti rakyatnya orang Melayu, dan banyak lagi yang berkaitan dengan Melayu yang sudah sedia termaktub dalam perlembagaan. Sudah terang lagi bersuluh. Persoalannya, kenapa semua ini seolah-olah ianya boleh ‘terlepas’ ataupun sudahpun ‘terlepas’. Sepanjang pengamatan saya, negara-negara lain di dunia ini, tidak ada masalah langsung untuk memperkasakan perkara-perkara asas berkaitan dengan pembinaan masa depan dalam sebuah negara bangsa, kerana mereka tahu perlembagaan asas kepada hidup mati sesebuah negara? Rosak perlembagaan, rosaklah negara dan rakyatnya.

Perlu diingat, jika kitab suci itu adalah pegangan hidup beragama, maka perlembagaan adalah asas pegangan hidup bernegara. Dalam konteks yang lebih kecil, perlembagaan adalah asas kepada penubuhan sesebuah persatuan atau organisasi. Tanpa perlembagaan, persatuan atau organisasi tidak boleh ditubuh secara sah. Jika kita tidak setuju dengan perlembagaan tersebut, kita mesti kita mengambil jalan untuk keluar daripada pertubuhan tersebut. Begitulah dalam konteks bernegara, jika perlembagaan tidak dipatuhi, kita mesti mengambil jalan untuk keluar. Carilah tempat-tempat yang mana perlembagaannya dapat memenuhi selera dan nafsu kita.

Ini asas-asas bernegara dan berpersatuan yang mesti difahami. Saya berasa amat pelik kenapa ada segelintir daripada kita tidak langsung mengendahkan arahan kerajaan supaya kurikulum sekolah jenis kebangsaan dan sijil sekolah jenis persendirian dirombak mengikut kurikulum atau silibus kenegaraan, agar penguasaan bahasa Melayu menjadi lebih mantap. Namun, sudahlah arahan tersebut tidak diikuti, mereka lebih sibuk dan takut jika kurikulum dan silibus tersebut tidak diikhtraf oleh negara lain yang menjadi kiblat mereka selama ini?

Semua ini berlaku disebabkan oleh kita terlalu banyak berpolitik daripada memikirkan agenda membina negara berasaskan identiti nasional. Kita terlalu takut kalah pilihan raya, kita terlalu takut hilang kuasa. Tidak pernah berlaku dalam dunia lain, satu bahasa yang menjadi bahasa negara tetapi merempat di bumi sendiri.

Kebiasaannya, kempen bulan bahasa tidak dilakukan ke atas bahasa kebangsaan kerana rakyat Malaysia wajib menguasai bahasa ini sama ada suka atau tidak. Kempen bahasa kebangsaan sepatutnya giat dijalankan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil atau di tempat-tempat bahasa Melayu tidak didaulatkan. Begitu juga dengan kempen ke atas bahasa-bahasa sampingan yang lain bagi menyemarakkan penguasaan bahasa-bahasa sampingan tersebut, seperti bahasa Inggeris.

Lihat sahaja negeri China, Jepun, Perancis, Amerika, Australia, Thailand, Vietnam dan sebagainya, bahasa mereka begitu mendominasi negara tanpa berkecuali. Kenapa negara kita tidak bersifat sedemikian? Baru-baru ini saya dikunjungi oleh seorang guru senior India yang mengajar bahasa Inggeris, di Kuala Lumpur, menggelarkan dirinya cikgu Siva Malaysia. Beliau amat terkenal di sekolahnya disebabkan cara hidup beliau yang amat berjiwa Malaysia berakarkan semangat kebangsaan kenegaraan yang begitu kuat. Bahasa Melayunya amat fasih mengalah orang Melayu sendiri. Saya fikir cara dan akhlak beliau seperti orang Islam, walaupun hakikatnya beliau masih belum Islam.

Beliau melahirkan kebimbangannya mengenai politik Malaysia yang amat bersifat perkauman. Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak didaulatkan, apatah lagi dikuasai. Selaku seorang Kristian yang selalu ke gereja, katanya, sesetengah gereja turut bersifat perkauman. Menyindir dan mengutuk bangsa dan agama lain adalah perkara biasa.

Isu video klip mengenai ceramah seorang Cina Muslim, mengenai agama Buddha dengan ‘King Kong’, sengaja diperbesar-besarkan oleh laman web Malaysian Insider, begitu jelas berniat hajat. Memang tidak nafikan pandangan tersebut tidak wajar. Apa kata kita jika orang bukan Islam turut melakukan perkara yang sama. Namun, laman web tersebut sengaja menjadi isu ini, untuk membalas dendam atas tindakan memperbesar-besarkan isu paderi Kristian menghina Islam di dalam gereja. Isu paderi gereja menghina Islam, bukan isu baru. Saya minta kita biasakan pergi sama buat siasatan di tempat-tempat lain seperti gereja, apakah mereka tidak mengutuk agama dan bangsa lain?

Apapun, Cikgu Siva amat bersyukur dan amat berterima kasih kepada kerajaan Malaysia kerana dapat menjaga negeri bertuah ini dengan aman damai. Dengan adanya pasukan keselamatan seperti polis dan tentera yang bertungkus lumus menjaga keselamatan negara, orang bukan Islam berasa aman untuk menunaikan ibadat di rumah ibadat masing-masing.

Beliau turut memuji ceramah-ceramah oleh para agamawan Islam yang memberi ceramah dan kuliah-kuliah, yang mana mereka jarang mengutuk atau menghentam orang bukan Islam. Yang selalu diajar adalah untuk bagaimana caranya untuk menyeru bukan Islam supaya kembali memeluk Islam. Pendekatan yang kasar sedemikian, amat jarang sekali diajar di rumah Allah itu, kecuali beberapa kes terpencil.

Beliau amat menghargai toleransi umat Islam. Katanya lagi, kes pembunuhan Datuk Sosilawati adalah satu contoh jelas toleransi tersebut. Umat Islam dapat menerimanya secara terbuka tanpa menyalahkan mana-mana kaum. Pihak keselamatan pula, awal-awal telah membuat kenyataan bahawa ia tidak ada kaitan dengan isu perkauman. Begitulah seterusnya dengan kenyataan demi kenyataan dikeluarkan supaya kita bertenang dan bertenang. Umat Islam menerima ketentuan takdir ini, tanpa rasa permusuhan dan benci terhadap orang India.

Bayangkan, andai kata peristiwa ini berlaku sebaliknya, menimpa orang bukan Melayu, yang melakukannya adalah orang Melayu. Apakah bukan Melayu akan menerimanya sebagaimana penerimaan orang Melayu? Apakah berita seperti ini tidak akan disensasikan dalam akhbar-akhbar mereka atau internet? Begitulah toleransi yang amat saya puji, bila kena pada orang Melayu (Islam), atas dasar toleransi, orang Melayu tidak banyak bicara. Namun, bila kena pada orang lain, bagaimana kesudahannya? Selama kes ini disiasat pun, ada suara-suara sumbang yang menyalahkan kerajaan dan pihak polis. Persoalannya, kenapa kita tidak menghormati toleransi seperti ini? Apakah lagi jenis toleransi yang kita harapkan lagi?

Apakah tidak ada langsung kredit patut diberikan kepada kedudukan orang Melayu dan bahasa Melayu? Hari ini, tidak ada cara berlembut lagi untuk menguatkuasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, melainkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan mesti dikuatkuasakan mengikut peruntukan yang terdapat dalam undang-undang seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Teringat saya cerita rakan-rakan yang tinggal di Selatan Thailand suatu ketika dahulu. Mereka akan didenda jika bercakap selain daripada bahasa Siam, bergantung kepada berapa patah perkataan asing digunakan. Satu patah asing digunakan akan didenda 20 sen. Begitu kuatnya orang Siam untuk mengSiamkan rakyatnya. Keadaan kita amat berlainan sama sekali. Sudahlah bahasa kebangsaan langsung tidak digunakan, mereka yang tidak tahu langsung berbahasa Melayu boleh hidup senang lenang tanpa gangguan dan tindakan. Saya fikir, sudah sampai masa kita melakukan ke tahap sebagaimana negara-negara lain yang begitu bertegas dalam soal memperkasakan bahasa dan negara.

Sudah sampai masanya juga, kuasa penuh diberikan kepada badan-badan bahasa dan Majlis Perbandaran untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang merendah-rendah bahasa kebangsaan tanpa ada campurtangan politik. Majlis rasmi, tidak kira pertubuhan Melayu atau bukan, mesti menggunakan bahasa Melayu. Paling kurangpun jika dwi bahasa digunakan, bahasa Melayu mesti didahulukan, kemudian diikuti dengan terjemahannya dalam bahasa ibunda. Penggunaan seratus peratus menggunakan bahasa ibunda dalam upacara rasmi hendaklah dipantau.

Media cetak dan elektronik yang bersifat perkauman mesti menterjemahkan bahasa ibunda mereka ke dalam bahasa kebangsaan. Saya teramat sedih membaca sebuah artikel akhbar perkauman baru-baru ini, yang mengatakan bahawa perpaduan bukan matlamat, tetapi hanyalah alat. Ternyata orang seperti ini tidak tahu sejarah negara, perlembagaan dan gagasan 1Malaysia. Mereka tidak mementing agenda nasional, kerana mereka lebih mementingkan bangsa. Dalam gagasan 1Malaysia disebut dengan jelas, bahawa matlamat akhir 1Malaysia adalah perpaduan. Kerana hanya dengan adanya perpaduan, negara akan aman, stabil dan mendapat kepercayaan pelabur-pelabur.

Semuanya kena bermula dengan bahasa kebangsaan kerana bahasalah yang akan menyatukan kita semua, kerana kita semua berlainan agama. Jika tidak, bagaimanakah interaksi dan komunikasi akan berlaku. Janganlah kita terlalu berpolitik dan menjaga kuasa kerana ia tidak kekal lama. Apakah identiti dan jati diri yang akan kita tinggalkan kepada anak cucu cicit kita nanti?

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Thursday, October 14, 2010

Meyakini kekuatan sendiri

1:31 PM Posted by RIDHUAN TEE 31 comments
Artikel Ahad lalu tidak disiarkan oleh Mingguan Malaysia kerana kekurangan ruang. Ahad ini artikel yang telah dihantar akan disiarkan seperti biasa. Sebagai tanda terima kasih atas ingatan sdr putrarahman, saya masukkan artikel untuk minggu ini.

Meyakini kekuatan diri

Artikel saya seringkali di ‘cut’ and ‘paste’ oleh laman web ultra kiasu seperti Malaysianinsider. Tujuannya tidak lain, laman web tersebut suka melihat saya dikutuk oleh pengunjung-pengunjung mereka yang juga ultra kiasu. Komen-komen yang positif tidak disiarkan, manakala komen yang negatif dibiarkan sahaja, langsung tidak ditapis.Terima kasih atas ‘publisiti’ itu.

Sedangkan mereka yang mengikuti penulisan saya mengetahui bahawa saya hanya cuba membawa kita semua menghayati sejarah dan perlembagaan serta menginsafi akan makna keadilan yang sebenar, bertunjangkan kepada kekuatan yang sedia ada pada kita. Kepelbagaian inilah sebenarnya yang menjadi sumber kekuatan kita berbanding negara lain selaras dengan gagasan 1Malaysia. Kekuatan ini yang sepatutnya digembelingkan, menjadi satu asset negara dan bukannya diputar belitkan.

Saya amat yakin Allah SWT merahmati negara kita. Kita jarang ditimpa bencana seperti negara lain. Malah kita dianugerah dengan pelbagai kekayaan sumber dan hasil masyhul serta bumi yang subur. Bayangkan jika apa yang ada ini, ditambah dengan kepelbagaian etnik yang menghayati sejarah, berpegang kepada perlembagaan dan norma kehidupan beragama serta mempunyai semangat patriotisma yang tinggi, sudah tentu kita boleh keluar sebagai negara Islam contoh terhebat di rantau ini dan negara Islam keseluruhannya sebagaimana yang diramalkan oleh Alvin Toffler. Mari kita melayari kehebatan kita satu persatu.

Lihat sahaja tanaman getah, kopi, kelapa sawit dan sebagainya. Tanaman ini bukan berasal daripada negara kita, tetapi berasal daripada Afrika. Bila dibawa masuk dan ditanamkan di sini, ianya hidup begitu subur dan menambahkan kekayaan negara kita sehingga boleh dieksport setanding dengan negara asal tanaman ini.

Begitu juga dengan tumbuhan herba dan rempah ratus. Baru-baru ini saya berkesempatan melawat ladang kepunyaan Haji Nasuha Kasian di Pagoh. Boleh dikatakan kebanyakan herba dan rempah ratus yang ditanam, datang daripada negara luar, namun ia tumbuh dengan suburnya apabila ditanam di sini bertuah ini, ibarat fajar di bumi permata. Pendek kata, letak apa sahaja biji benih di bumi ini, boleh dikatakan semuanya menjadi. Saya amat kagum dengan nikmat anugerah ini. Malangnya berapa ramai yang mensyukurinya. Teringat saya akan kata-kata hukama, haram membiarkan tanah terbiar selama tiga tahun begitu sahaja, hukumnya berdosa.

Di Thailand, setiap inci tanah dimanfaatkan. Di hadapan rumah mereka di tanam dengan berbagai jenis tanaman, sedangkan kita sibuk dengan mencantikkan rumah dengan menanam pokok-pokok bunga. Orang lain sanggup berjemur dan mencangkul di bawah kabel elektrik menanam sayur-sayuran. Sedangkan kita terus menjadi pembeli kepada sayur tersebut. Bekalan daging lembu, kambing, ayam, beras, buah-buahan, sayur-sayuran dan sebagainya masih lagi tidak mencukupi untuk menampung keperluan tempatan. Sedangkan kita tahu bahawa tanah kita amat subur kepada boleh dikatakan sesuai untuk semua jenis tanaman dan ternakan. Kita selalu mengamalkan budaya tidak kisah, janji makan minum cukup.

Selain itu, mengikut kajian yang dijalankan ke atas produk tempat kita seperti limau dari segi kandungan vitaminnya, ia lebih banyak daripada buah-buahan import. Menurut FAMA, masyarakat kita memandang rendah kepada buah-buahan tempatan seperti jambu, ciku, nanas, mempelam, betik serta buah-buahan bermusim seperti durian, langsat, duku, pulasan, rambutan, cempedak dan pelbagai buah yang lain. Ada yang menganggap buah-buahan ini boleh mengundang penyakit. Kita lebih berbangga dengan buah import. Pada hal buah-buahan tempatan tersebut mengandungi khasiat dan serat yang tinggi. Misalnya, salah tanggap terhadap durian sebagai buah ‘penyakit’ patut diperbetulkan. Ramai yang tidak tahu raja buah itu sangat kaya dengan potassium. Namun perlu diambil secara sederhana, jangan pula terlalu ultra atau ekstrim.

Kajian ini dibuktikan lagi melalui kenyataan Pengerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia, Toh Puan Dr Aishah Ong. Menurutnya, buah tempatan mempunyai khasiat yang tinggi berbanding dengan buah yang diimport. Bahkan, Allah SWT juga menjadikan buah-buahan sebegini secara bermusim. Durian misalnya mengandungi fiber yang tinggi, kaya dengan vitamin C dan Vitamin A. Jika ada orang kata makan durian panas badan, Allah jadikan manggis sebagai penyejuknya, itulah sebabnya manggis dan durian boleh didapati pada musim yang sama.

Buah-buahan tempatan seperti belimbing besi, betik, ciku, pisang mempunyai khasiat yang lebih tinggi berbanding buah-buahan import seperti epal, pir dan lai. Misalnya, pisang rastali mempunyai kandungan vitamin C lebih 2 kali ganda berbanding epal hijau. Betik eksotika pula mempunyai kandungan vitamin A hampir 10 kali ganda berbanding limau mandarin. Selain sumbangan vitamin dan mineral, buah-buahan ini turut menyumbangkan serat.

Begitulah nikmat anugerah yang tidak ternilai. Masalah hari ini kita agak tidak yakin dengan kekuatan sendiri. Media pulak tidak banyak membantu mempromosikannya. Buah-buahan import lebih banyak digunakan menghiasi iklan akhbar dan majalah daripada buah-buahan tempatan seperti ruangan kesihatan. Buah-buahan import dikatakan ada kelas dan berprestij, sedangkan buah tersebut mungkin mengandungi pengawet dan tidak segar lagi berbanding buah-buahan tempatan yang masih segar dan bebas bahan awetan.

Hujah ini menunjukkan kita seolah-olah tidak bangga dengan produk sendiri. Perkara ini berlaku dalam banyak hal. Kita lebih mempercayai kekuatan orang lain daripada kekuatan sendiri. Kita selalu memperkenalkan anak-anak kita dengan budaya-budaya dan bahan-bahan luar daripada jati diri kita sendiri. Akhirnya budaya sendiri dan produk sendiri tidak terdaulat di bumi sendiri. Orang lain menguasai kita. Kita hanya menjadi pengguna. Tidakkah kita merasa berdosa?

Tidakkah kita sedar bahawa kita mempunyai budaya yang unggul, tetapi kenapa budaya kita tidak tertonjol? Lagu-lagu Melayu dan etnik lain tidak kurang hebatnya berbanding dengan lagu-lagu barat. Persoalannya, kenapa lagu rock, hip hop, RnB dan berbagai lagi rentak barat menjadi pilihan? Ada yang beranggapan seolah-olah menyanyikan lagu etnik nampak lekeh dan konservatif, manakala bila menyanyi lagu barat nampak moden dan up to date. Inilah pemikiran yang perlu diubah.

Hari ini saya amat jarang mendengar, ahli korporat dan kadangkala ahli politik kita menggunakan bahasa Melayu bila berbicara atau ditanya oleh wartawan. Lebih menjengkelkan lagi ada wartawan yang bertanya dalam bahasa Melayu dijawab selamba sahaja dalam bahasa Inggeris.

Kita seolah-olah hendak menunjukkan kehebatan kita bahawa dengan berbahasa Inggeris, biar nampak bagus. Sebenarnya kita tidak sehebat manapun. Kita tidak akan ke mana-mana dengan hanya berbahasa Inggeris, jika perangai atau sikap tidak berubah. Lagipun bahasa Inggeris bukannya penentu kejayaan seseorang dunia, apatah lagi di akhirat. Allah tidak akan tanya, apakah kita pandai berbahasa Inggeris atau tidak? Apalah ertinya jika kita cair dengan bahasa Inggeris tetapi gagap bila membaca al-Quran, apatah lagi untuk memahaminya. Paling baik kita menguasai kedua-duanya atau lebih dari itu. Tetapi janganlah terlebih bahasa Inggeris sehingga identiti sendiri hilang entah ke mana. Bahasa Inggeris penting sebagai bahasa kemajuan, tetapi janganlah pula beranggapan dengan berbahasa Inggeris sahaja kita boleh maju. Sekadar menguasai bahasa Melayu kita tidak ke mana-mana.

Kenapa kita tidak bertindak seperti presiden Iran? Ke mana sahaja beliau pergi, bahasa Iran yang dijajanya, walaupun beliau fasih berbahasa Inggeris. Beliau amat arif mempamerkan kehebatan bangsanya dengan meletakkan ia di tempat yang betul. Bila mana beliau berucap dalam di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dalam bahasa Iran, orang lain kelam kabut untuk menterjemahkannya. Mereka terlalu ingin tahu apa yang akan disampaikan oleh Mahmoud Ahmadinejad. Kenapa perkara ini berlaku? Jawapannya, Mahmoud Ahmadinejad telah berjaya meletakkan satu tanda aras atau standard pada diri dan bangsa serta bahasanya, sehingga barat terpaksa mempelajari bahasa Iran. Inilah standard yang perlu kita tonjolkan dalam budaya sendiri.

Saya amat yakin pelancong-pelancong yang datang ke negara kita mahu melihat kelainan berbanding dengan apa yang ada di negara mereka. Jika berhibur, mereka mahu melihat dan mendengar budaya dan lagu-lagu rentak kita. Bila mahu makan minum, mereka mahukan makanan dan minuman kita. Saya yakin mereka mahu merasa cendul, ais kacang dan laici kang. Bukannya menghidangkan mereka dengan arak kerana di negara mereka arak ibarat lautan. Mereka boleh minum dan mandi arak. Kenapa kita begitu perasan bahawa pelancong datang ke sini mahu minum arak dan mendengar lagu-lagu rentak barat?

Saya teramat sedih apabila melihat dalam kursus induksi perkhidmatan awam, kita diajar dengan teliti tatacara makan minum mengikut tradisi dan budaya barat dan Cina. Modul ini diwajibkan para peserta memahaminya. Malangnya apabila ditanya bilakah modul cara makan minum mengikuti tradisi dan budaya Melayu Islam mahu diajar? Maka jawapannya, ia tidak ada dalam modul dan tidak perlu diajar. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu, kita sendiri yang melenyapkan budaya sendiri.

Sebenarnya kita terlalu kebaratan dan tidak yakin dengan kekuatan sendiri. Sedangkan orang lain yang datang amat menghargai kekuatan itu. Oleh kerana, kita tidak menghargai, maka kesempatan ini digunakan oleh orang lain untuk meluntur budaya kita sendiri.

Hari ini kita seolah-olah dilanda dengan inferioriti kompleks. Kita tidak percaya bahawa apa yang ada pada kita hebat. Kita percaya kepada kehebatan orang lain. Dengan sebab itu kita tidak hargai dengan apa yang kita ada, dan mudah terpengaruh dengan apa sahaja yang datang daripada barat. Kita tidak mengamalkan kata-kata budaya sendiri didahulukan, budaya orang lain dikemudiankan, yang jelas kelihatan budaya orang lain semakin mendominasi, budaya sendiri merempat di bumi sendiri, tidak mendapat publisiti.

Kadangkala saya terfikir, apakah kurangnya sensitiviti ini mempunyai kaitan dengan halal dan haram yang masuk ke perut, sehingga menyebabkan hati kita menjadi buta? Kita tidak lagi kisah mengunjungi hotel atau kopitiam halal atau tidak? Sama ada mendapat pengikhtirafan sijil halal JAKIM atau tidak? Yang pentingnya sedap, ada gaya dan glamour.

Penemuan kaki katak dalam makanan di salah sebuah kopitiam seharus menjadi pengajaran kepada kita. Ada orang sanggup buat apa sahaja untuk mengaut keuntungan dan seterusnya menutup keputihan pintu hati kita. Apakah kita sudah tidak ada pilihan sehingga terpaksa memilih perkara yang was-was daripada yang sudah terjamin halalnya? Sedapkah sangatkah makanan di tempat tersebut sehingga kita terlupa kepada tanggungjawab fardu kifayah kita? Pada saya, sebelum menolong orang lain, kita sepatutnya menolong orang kita dahulu. Sebelum membudayakan budaya orang lain, tidakkah kita patut berbangga dan mengutamakan kekuatan yang kita ada terlebih dahulu. Cintailah kekuatan yang kita ada sebelum ianya lenyap ditelan zaman.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, October 03, 2010

Meneruskan legasi pemimpin terdahulu

7:10 AM Posted by RIDHUAN TEE 124 comments
Mingguan Malaysia 3 Oktober 2010

Pihak yang mengambil kesempatan terus memperbesar-besarkan perang mulut yang berlaku antara sebuah akhbar dengan seorang pemimpin yang disukainya. Saat-saat inilah yang paling ditunggu-tunggu oleh mereka yang menahan lukah di pergentingan. Perkara ini adalah suatu yang biasa dalam politik. Saling ingat mengingati barulah ada check and balance. Tetapi ia terus berlarutan seolah-olah tidak kesudahan. Orang lain bertepuk tangan melihat kita bertelingkah dalam serba-serbi.

Sikap terlalu defensif tidak akan menyelesaikan masalah. Lebih baik dibawa berbincang, kerana itu lebih menepati kehendak Islam dan membawa banyak manfaat kepada perpaduan umat Islam.

Cukup sudahlah kita berpecah disebabkan oleh perbezaan parti politik dan ideologi, janganlah pula terbawa-bawa kepada sentimen sebegini. Bincanglah apa yang betul, apa yang salah, daripada menuding jari siapa yang betul, siapa yang salah. Cerminlah diri masing-masing, apakah sumbangan kita selama ini?

Sudahkah kita lupa kata-kata seorang ahli falsafah Cina yang berbunyi, jika anda mahu menjadi pemimpin negara, terlebih dahulu pastikan keluarga sendiri berada dalam keadaan baik. Bagi memastikan keluarga sendiri baik, pastikan diri sendiri perlu baik. Bagi memastikan diri sendiri baik, pastikan hati dijaga demgan baik. Bagi memastikan hati sentiasa baik, ia perlu bermula dengan keikhlasan. Cuba tanya pada diri kita, apakah kita ikhlas menjadi seorang pemimpin?

Nilai balik apakah sumbangan kita kepada agama, bangsa dan negara? Atau mungkinkan penyertaan kita dalam politik sekadar untuk membuncitkan perut dan membesarkan poket? Inilah pertanyaan-pertanyaan yang perlu dijawab oleh setiap pemimpin yang diberikan amanah oleh rakyat hari, tidak kira sama ada pemerintah atau pembangkang. Jika ada jawapannya, tidak perlulah terlalu risau akan pilihan raya umum akan datang.

Seringkali kita dengar, mereka yang menyertai politik, tidak ada agenda agama, bangsa dan negara. Agenda utama mereka adalah untuk mendapatkan kuasa dan pangkat, setelah itu mudah untuk mendapatkan tender dan projek melalui kroni-kroni yang akan dibela. Pemikiran seperti ini perlu dibuang jauh-jauh jika ada.

Tagline Gagasan 1Malaysia, “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”, perlu difahami oleh setiap wakil rakyat tanpa berkecuali. Rakyat perlu diutamakan dalam segala hal. Tanpa rakyat siapalah pemimpin kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat (dengan izin Allah). Itulah falsafah demokrasi yang saya fikir tidak bercanggah dengan sumber ajaran Islam jika diurus dengan baik berpandukan perlembagaan. Janganlah memperalatkan gagasan 1Malaysia untuk menutupi atau mengaburi tindakan kita, tetapi laksanakan gagasan tersebut sebagaimana yang dicitrakan oleh Perdana Menteri.

Malangnya, ketika Perdana Menteri mengajak rakyat memahami keutamaan, masih ramai umat Islam lebih menekankan hal remeh temeh daripada isu pokok. Bergaduh tidak tentu pasal. Mempertahankan kepentingan peribadi daripada kepentingan umum. Niat tidak lain, supaya dirinya nampak hebat, wal hal diri dan sumbangannya tidak seberapa. Ada kalanya kita menjadi pemimpin, bukan kerana kita bagus atau berwibawa, tetapi kadangkala kerana bernasib baik. Sedangkan ramai yang lebih layak daripada kita. Tetapi disebabkan mereka tidak pandai membodek dan mengampu, mereka tidak terpilih sebagai pemimpin.

Sedangkan mereka yang berfikiran seperti pandir dan tidak ada daya intelektual, begitu cepat naik dan berkuasa kerana nasib menyebelahi mereka, bukan kewibawaan dirinya. Sedangkan orang sebegini, boleh dikatakan kosong. Keluarga tidak terjaga dan terbela. Diri sendiri penuh dengan kontroversi dan sebagainya. Jika dikorek-korek nanti, keburukan yang dilakukan, lebih banyak dari kebaikan dan boleh dibuat buku. Bagaimana kita boleh harapkan orang sebegini boleh menjaga rakyat. Justeru, mereka yang ingin menjadi pemimpin atau dipilih menjadi wakil rakyat, mesti pandai menjaga diri dan keluarga terlebih dahulu. Selepas itu, barulah senang untuk bercakap soal menjaga rakyat dan menjaga kerajaan. Inilah aspirasi dan inspirasi 1Malaysia Perdana Menteri.

Jika tidak, kita akan menjadi bahan kutukan orang. Saya sudah tidak mampu lagi mendengar kata-kata seperti, “keluarga sendiri berterabur, tidak terjaga, bagaimana nak jadi pemimpin dan , menjaga rakyat”. Inilah kata-kata yang sindiran kerap kedengaran. 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri sudah tentu tidak mahu memimpin yang sebegini. 1Malaysia mahukan pemimpin yang benar-benar berwibawa dan berakhlak mulia untuk meneruskan legasi pemimpin yang terdahulu. Ingatlah wahai saudaraku, rakyat hari ini bukan seperti dahulu, mereka sudah boleh membezakan mata dia intan, mana dia kaca.

Jika dahulu, tunggul kayupun kalau diletakkan sebagai calon mereka akan undi. Hari ini, tunggul kayu tersebut akan campaknya jauh entah ke mana, malah tidak lagi dipandang untuk menjadi kayu api.

Sudah sampai masanya gagasan 1Malaysia meletakkan KPI atau tanda aras untuk mereka yang mahu menjadi pemimpin. Pertama, saya ingin cadangkan supaya pemimpin tersebut boleh memimpin dirinya sendiri, meletakkan Allah ditempat pertama, diikuti dengan Rasulullah dan keluarganya. Setelah dirinya terpimpin berasaskan prinsip tersebut, barulah akan terpancar integritinya, tidak rasuah dan tidak korup.

Kita tidak mahu pemimpin yang rumahtangganya berantakan, anak-anaknya pula bertaburan. Ingatlah pesanan yang mengatakan rakyat (termasuk anak-anak) menilai (lebih terpengaruh) dengan apa yang kita buat, bukan apa yang kita cakap. Tidak ada gunanya jika cakap tidak serupa bikin. Hanya pandai bercakap tetapi apa yang dicakap tidak ditunaikan atau dikotakan. Kata mesti dikota.

Kedua, pemimpin mereka mempunyai ilmu. Ilmu yang dimaksudkan di sini adalah ilmu memahami keutamaan. Keutamaan jamaah (rakyat) berada di hadapan berbanding keutamaan diri. Jangan terlalu menjaga dan mementing diri sendiri atau terlalu mengikut emosi sehingga melupakan kepentingan rakyat. Memperbesarkan perkara kecil sehingga tertinggal perkara besar. Terlalu menjaga politik diri sendiri supaya tercalon lagi, sehingga terlupa akan agenda anak bangsa sendiri. Berikanlah laluan kepada mereka yang benar-benar mahu dan mampu memimpin.

Ketiga, pemimpin sebaik-baiknya mesti bebas atau tidak dilihat daripada dosa besar dan dosa kecil. Paling baik tidak melakukan apa-apa dosa. Sudah tentu ini adalah mustahil sebab kita bukan Rasul atau Malaikat. Kita tidak dapat lari daripada kesalahan. Namun, jangan lah kita terjebak dalam dosa-dosa yang rakyat boleh mempertikaikan kredibiliti kita. Misalnya seperti minum arak, kaki perempuan, kaki judi dan macam-macam kaki lagi. Ingatlah, rakyat melihat apa yang kita buat.

Keempat, pemimpin mesti mempunyai jiwa agama dan dapat menjaga amanah bangsa. Tidak semestinya mereka mempunyai latar belakang agama atau lulusan pengajian Islam. Kepemimpinan Islam boleh terdiri daripada mereka yang professional. Kadangkala sedih juga bila melihat bila ada ‘orang agama’ menjadi pemimpin, kepemimpinan dan pandangan mereka terlalu jumud dan tidak berpijak di bumi nyata. Sikit-sikit berhujah berbalik kepada Quran dan Hadis, tetapi modus operandi entah di mana. Justeru, orang agama perlu diprofesionalkan.

Apapun jika golongan professional mahu menjadi pemimpin, mereka mesti mempunyai jiwa agama atau mengulamakan professionalism nya itu. Jangan sampai pemimpin kita tidak boleh dilihat menjadi imam. Paling kurangpun pemimpin tersebut mesti boleh memimpin bacaan doa, keupayaan berdoa adalah petanda awal menunjukkan kita mengerjakan sembahyang. Dengan makna, pemimpin tersebut mesti bersolat sebagai asas utama nilaian akhlaknya dengan Tuhan. Ingatlah, sesiapa yang sensitif dengan Allah, pasti dia akan sensitif dengan orang lain (rakyat).

Inilah ‘kalahnya’ UMNO dengan pemimpin sebuah parti yang mendakwa diri mereka memperjuangkan Islam. Pemimpin parti Islam ini telah menarik ramai professional, termasuk orang UMNO yang berjiwa Islam. Profesional ini boleh menjalankan tanggungjawab ulama seperti membaca khutbah, menjadi imam, baca doa, sembahyang mayat dan sebagainya. Banding dengan sebahagian pemimpin UMNO hari ini, ada yang membaca al-Quran pun tidak betul. Bagaimana mereka boleh berdoa? Mungkin ada yang tersinggung dengan tulisan saya ini, saya pohon ampun dan maaf. Hari ini professional parti Islam ini begitu berpengaruh sehingga menimbulkan kebimbangan pemimpin bersifat ‘taliban’ dalam parti Islam tersebut. Sebenarnya UMNO tidak ketandusan orang agama dan professional, resepinya semua sudah ada. Hasil yang mahu dilihat adalah, laksanakan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan.

Berkata benar walaupun pahit. Jika UMNO mahukan meneruskan legasinya pada masa akan datang, UMNO tidak ada pilihan melainkan mesti dapat dilihat bersih, cekap, amanah dan dapat dilihat melaksanakan ciri-ciri kepimpinan Islam tersebut. Di sinilah yang dikatakan ‘kekuatan’ parti Islam yang sukar ditandingi UMNO.

Mereka sanggup berjemur, berjaga dan bercekang ketika pilihan raya dan melakukan kerja suka rela, tanpa meminta sebarang habuan. Tetapi tidak UMNO. Ada sebahagian mereka yang tidak ikhlas. Wang dan harta telah mengaburi mereka. Kerja sedikit, mereka mahukan habuan. Sudah sampai masanya kita latih mereka yakni kerja kerana Allah demi menjaga amanah agama, bangsa dan negara.

Jika inilah pemimpin UMNO yang bakal lahir, jangan harap parti-parti lain dapat menambah kerusi. Tetapi jika perkara asas ini diabaikan, maka tunggu kekalahan yang bakal menjelma. UMNO mesti serius dalam meletakkan kepentingan agama di hadapan berbanding kepentingan bangsa. Kebaikan mesti diutamakan daripada keburukan. Manakala jika berlaku pertembungan dua keburukan, maka kita mesti tahu memilih antara dua keburukan tersebut, mana satukah yang kurang mudaratnya. Misalnya, antara menyentuh (atau makan) babi dengan makan rasuah (atau riba). Sudah tentu implikasi makan rasuah atau makan riba, lebih buruk daripada menyentuh (makan) babi, sebab makan babi melibatkan dosa individu, sedangkan makan rasuah melibatkan orang ramai dan boleh meruntuhkan agama dan negara, sehingga sampai ke tahap boleh diperangi. Jangan pulak ada yang salah faham sehingga sanggup makan babi selepas ini.

Jika semua ini dapat difahami keadaan tidaklah seteruk hari ini. Teringat saya bila membaca buku Syed Hussein Alatas, bertajuk Mitos Pribumi Malas, antara punca kelemahan umat Islam (Melayu) hari ini, disebabkan oleh ada sebahagian pemimpin yang dipilih itu lemah, tidak ada daya intelektual. Ketiadaan daya keintektualan ini menjadikan mereka ini hanya mampu menjadi pengampu dan pembodek. Justeru, sudah sampai masa kita dapat membezakannya agar boleh bangun menjadi bangsa hebat dan digeruni.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, September 26, 2010

Asas kemajuan umat

9:28 AM Posted by RIDHUAN TEE 125 comments
26 Sept 2010

Keperluan memahami keutamaan (prioriti) dalam dunia serba mencabar hari ini, adalah suatu yang mendesak jika umat Islam ingin maju, mampu bersaing dengan bangsa lain dan memartabatkan agama Islam tercinta. Untuk memahaminya, kita perlu mengetahui maslahat dan pembahagiannya seperti yang telah diadun dengan teliti oleh cendekiawan Islam.

Pertama, ad-dharuriyyat, keperluan utama manusia, satu kemestian, tanpanya manusia akan hancur. Misalnya menjaga kepentingan agama, termasuk kewajipan menyebar dan menjaganya dari ancaman musuh. Menjaga nyawa, dan kewajipan menjaganya dari segala jenis ancaman. Menjaga akal, bagi tujuan mengenal Allah dan menjaganya dari rosak, begitulah seterusnya dalam memahami keperluan lain.

Kedua, disebut sebagai al-hajiyyat, sesuatu perkara yang manusia boleh hidup tanpanya tetapi dalam keadaan yang amat sukar, seperti keperluan kepada tempat tinggal, kenderaan dan sebagainya. Ketiga, at-tahsiniyyat, perkara sampingan bagi manusia serta sebagai pelengkap dan hiasan, seperti keperluan rumah, kereta dan sebagainya. Dengan adanya kedua dan ketiga ini, hidup menjadi lebih sempurna dan lebih selesa serta dipandang tinggi.

Ketiga-tiga perkara ini penting, Islam tidak menolak salah satu, tetapi perlu difahami dengan jelas, susunan kepentingannya. Sejarah membuktikan bahwa keperluan memahami keutamaan atau prioriti dalam hidup adalah asas kejayaan kepada umat Islam. Jika tidak, umat Islam akan terus ketinggalan kerana tidak bertindak sepatutnya. Perkara yang penting tidak berikan perhatian, manakala yang kurang penting dilakukan bersungguh-sungguh. Dalam kata lain, perkara yang mendatangkan banyak pahala tidak direbut, sebaliknya yang sedikit pahala berebut-rebut, akhirnya kehidupan menjadi berserabut.

Umat Islam perlu sedar bahawa tanggungjawab memelihara Islam dan tuntutannya mesti ditunaikan dengan melupakan perbezaan latar belakang dan ideologi politik. Penerusan kecemerlangan Islam, bergantung kepada perpaduan umat Islam. Jika umat Islam berpecah belah, sudah tentu kesan terhadap Islam amat dirasai seperti hari ini. Kalau dahulu sebut sahaja Islam, agama ini amat digeruni, dengan maksud Islam amat dihargai dan dihormati.

Tetapi tidak kini, kedaulatan Islam mula diperlekehkan dan diperkotak-katikkan. Puncanya kerana umat sudah menjadi lemah. Perpaduan yang sepatutnya mengikat kuat umat Islam bertukar menjadi perpecahan yang nyata. Keutamaan meletakkan kepentingan Islam telah bertukar menjadi kepentingan meletakkan puak, suku, parti dan ideologi menguasai diri kita berbanding akidah itu sendiri. Kesannya, masalah tidak dapat diselesaikan, malah terus datang bertimpa-timpa.

Tagline Gagasan 1Malaysia, “rakyat didahulukan pencapaian diutamakan”, adalah contoh jelas dalam memahami keutamaan, bahawa rakyat perlu diutamakan dalam segala hal. Tanpa rakyat siapalah pemimpin, kerajaan dari rakyat untuk rakyat. Itulah falsafah demokrasi yang saya fikir tidak bercanggah dengan sumber ajaran Islam jika diurus dengan baik berpandukan perlembagaan.

Malangnya, ketika Perdana Menteri mengajak rakyat memahami keutamaan, masih ramai umat Islam lebih menekankan hal remeh temeh daripada isu pokok. Lebih memahami perkara sunat dari fardu. Terlalu memahami fardu kifayah sehingga terlepas pandang fardu ain. Terlalu menjaga hak peribadi sehingga melupakan kepentingan jamaah. Memperbesarkan perkara kecil sehingga tertinggal perkara besar. Terlalu menekan agenda masa kini sehingga terlupa akan agenda masa hadapan.

Apabila perkara asas ini tidak difahami maka apabila berlaku pertembungan Umat Islam seolah-olah hilang punca. Mereka tidak tahu memilih, sebab sudah timbul rasa was-was. Akhirnya, terpilih perkara yang kurang mendatangkan manfaat. Mereka lebih memilih untuk berpecah dari bersatu. Maka hari ini, suka atau tidak, umat Islam mesti bijak memilih keutamaan.

Pertama, kepentingan maslahat umat Islam secara keseluruhan lebih utama daripada puak atau kelompok atau parti. Kita tidak boleh terlalu taksub kepada satu-satu parti atau ideologi sehingga melupakan tanggungjawab terhadap rakyat keseluruhannya. Faedah yang dinikmati oleh ramai diutamakan dari maslahat yang hanya dinikmati oleh seorang atau kumpulan yang lebih kecil. Cukuplah pengajaran yang kita lalui, kalau dahulu Dasar Ekonomi Baru dikatakan hanya memperkayakan segelintir golongan, sudah tentu kita mahu melihat Model Ekonomi Baru yang bakal dilaksanakan dapat memakmurkan keseluruhan rakyat bersumberkan perlembagaan, tanpa ada yang tersisih.

Kita perlu melakukan sesuatu yang sudah jelas sumbernya daripada melakukan sesuatu ikut-ikutan yang kita sendiri tidak tahu asal-usul sumber ilmunya. Begitu juga mengutamakan ilmu yang jelas daripada ilmu yang tidak jelas atau masih kabur. Dalam kata lain, maslahat yang yakin boleh dicapai diutamakan dari maslahat yang masih samar. Maslahat yang lebih besar kesannya diutamakan dari yang kecil kesannya. Maslahat yang boleh berkekalan diutamakan dari maslahat yang terputus dan cepat hilangnya. Maslahat masa depan yang diyakini diutamakan dari maslahat semasa yang lemah. Maslahat akhirat di utamakan dari maslahat dunia. Semuanya ini boleh diadun dalam gagasan 1Malaysia jika benar-benar kita mahu melihat ia berjaya dilaksanakan.

Sudah tentu dalam hal ini, ilmu, pengalaman dan kepakaran yang didasari al-Quran dan Sunnah diperlukan bagi menentukan tahap keseriusan sesuatu keburukan yang mungkin timbul daripada sesuatu tindakan. Ini kerana, sebagaimana kebaikan yang berbeza-beza tingkat kekuatannya, demikian juga keburukan yang berbeza tingkatan kesan keseriusannya.

Maka setelah penentuan tahap keseriusan mudarat dibuat, kaedah berikut boleh digunakan pakai apabila berlaku pertembungan dalam dua jenis mudarat. Islam menggariskan beberapa kaedah dalam menyelesaikan pertembungan ini. Misalnya, bila mana haram (mudarat) bertemu haram (mudarat), yang manakah lebih haram (mudarat)? Antara menyentuh makan babi dengan makan rasuah. Sudah tentu implikasi makan rasuah atau makan riba, lebih buruk daripada makan babi, sebab makan babi melibatkan dosa individu, sedangkan makan rasuah melibatkan orang ramai dan boleh meruntuhkan agama dan negara, sehingga sampai ke tahap boleh diperangi.

Sama juga halnya apabila makruh bertemu makruh yang mendekati haram. Antara makan bawang, makan petai atau jering dengan menghisap rokok yang masih dikategorikan hukumnya makruh, walaupun hukum sebenar adalah haram. Sudah tentu merokok mesti ditinggalkan daripada memakan petai atau jering. Malah tidak ada siapa yang akan melarang kita makan jering dan petai berkati-katipun, kerana mudarat mudarat hampir tiada, cuma baunya yang kurang menyenangkan, berbanding rokok yang sudah tentu memudaratkan hingga ke akar umbi. Malangnya peringatan demi peringatan diberikan, umat Islam masih memilih rokok.

Umat Islam tidak ketandusan dari segi bilangannya, ramai, tetapi tidak berkualiti, lebih memilih rokok dari makanan yang kurang memudaratkan. Justeru, keutamaan kualiti lebih utama berbanding kuantiti. Kita tidak mahu melihat umat Islam bilangannya laksana buih di waktu banjir, banyak, tetapi kosong. Biarlah sedikit seperti bilangan umat Islam dalam Perang Badar, namun perpaduannya amat mantap sehingga boleh mengalahkan musuh yang begitu ramai. Hari ini bilangan kita terlalu ramai, sudahlah kurang berkualiti, ditambah lagi dengan perpecahan yang tidak seolah-olah tiada penghujung. Perkara titik bengik diperbesarkan. Bacalah ingatan Allah SWT dalam surah al-Ankabut:63 ; al-‘Araf: 187 ; al-Baqarah: 243 ; al-An’am : 116 2, Shod: 24; Anfal:26 ; Hud: 116.

Dalam menyelesaikan kemelut keutamaan ini, sudah tentu memerlukan kepada kekuatan ilmu. Tanpa ilmu semua perkara tidak menjadi. Khalifah Umar bin Abd Aziz berkata sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka kerosakan lebih banyak dihasilkan daripada kebaikan. Keutamaan ilmu sudah tentu mengatasi amal. Beramal tanpa ilmu akan menyebabkan kesesatan.

Lantaran itu, Islam amat menekankan keutamaan memahami berbanding hafalan. Bila ada kefahaman, kita akan menjadi lebih teliti. Keputusan yang dibuat lebih tepat daripada membuat perubahan tergesa-gesa atau mendadak. Berkata Khalifah Umar Ab Aziz lagi kepada anaknya apabila didesak untuk membuat perubahan drastik tatkala beliau memegang tampuk pemerintahan. “Jangan tergesa-gesa wahai anakku, sesungguhnya Allah mencela arak di dalam al-Quran dua kali, dan mengharamkannya di kali yang ketiga, dan aku bimbang kiranya aku membawa kebenaran ini kepada manusia secara sekaligus (drastik), maka mereka meninggalkannya juga sekaligus, maka berlakulah fitnah”. Begitulah indahnya bagaimana Islam menangani sesuatu isu mengikut keutamaan. Alangkah baiknya jika umat Islam dapat memahami. Setiap kali timbul masalah, ajaklah berdialog daripada keji mengeji atau hina menghina. Janganlah ditolak jemputan ini sebelum bersemuka.

Keutamaan berdialog dengan orang yang jahil dari terus mengenepikan mereka dan menyerang mereka dengan makian dan cacian. Inilah kaedah yang perlu difahami oleh umat Islam hari ini.
Keutamaan mengislah muslim lebih utama berbanding dakwah non-muslim. Apalah ertinya dakwah berkembang jika umat Islam terus berpecah dan bergaduh sesama sendiri sehingga boleh menggugat kedaulatan agama dan negara. Biarlah kita mulakan sedikit asalkan berterusan (istiqamah) daripada mula secara agresif tetapi terputus-putus. Sabda Rasulullah, sebaik-baik amalan di sisi Allah adalah amalan yang berterusan walaupun sedikit.

Sabda Rasulullah SAW lagi, adakah kamu ingin aku sebutkan apakah amalan yang terlebih baik dari darjat solat (sunat seorang diri) dan puasa dan sedekah? Itulah usaha pemurnian kefahaman Islam dalam ahli keluarga dan sahabat handai, sesungguhnya kerosakan kefahaman mereka adalah pencukur.

Jika kita memahami keutamaan, kita tidaklah seteruk perpecahan yang berlaku hari ini. Kita lebih mengutamakan orang lain dari orang sendiri. Semua ini boleh berlaku jika kita mempunyai keupayaan intelektual (ilmu) yang tinggi. Teringat saya bila membaca buku Syed Hussein Alatas, bertajuk Mitos Pribumi Malas, antara punca umat Islam (Melayu) lemah, disebabkan oleh pemimpinnya lemah, tidak ada daya intelektual, yang ada hanya pengampu dan pembodek. Justeru, sudah sampai masa umat Islam membezakan keutamaan ini supaya boleh bangun menjadi bangsa hebat dan digeruni. Pada saya, kewajipannya sudah sampai ke tahap ad-dharuriyyat.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, September 19, 2010

Islam semai semangat patriotisme

7:32 AM Posted by RIDHUAN TEE 86 comments
Mingguan Malaysia 20 Sept 2010

Tahun ini hari raya aidil fitri bertemu hari jumaat. Seperti sebelumnya, apabila hari kebesaran ini bertemu dengan jumaat, maka umat Islam bertangungjawab mengerjakan dua solat berjemaah. Satu, solat sunat idul fitri dan kedua, solat fardu jumaat. Solat sunat jika dikerjakan mendapat pahala, ditinggalkan tidak berdosa. Manakala solat fardu, dikerjakan sudah tentu dapat pahala, ditinggalkan berdosa besar.

Memang tidak dinafikan ada hadis yang menyebut, apabila bertemu dua kewajipan solat ini, maka kewajipan solat jamaah fardu jumaat dilonggarkan digantikan dengan solat fardu zohor. Persoalannya, perlukah kita memilih antara salah satu daripada dua tuntutan solat ini? Tidakkah kita boleh berkorban sedikit sebagai tanda kasih sayang kita kepada Allah SWT?

Rata-rata kita lihat, ketika solat sunat idul fitri, jemaahnya melimpah ruah sehingga tidak cukup ruang, ada yang terpaksa membentang sejadah di atas jalan. Malangnya tidak sedemikian kita lihat solat jemaah fardu jumaat.

Sama juga dengan solat sunat terawih dengan solat fardu isyak. Boleh dikatakan rata-rata jemaah solat sunat Terawih jauh meninggalkan jemaah solat fardu Isyak. Sedangkan kita tahu status pahala solat sunat tidaklah sebesar pahala solat fardu, termasuk juga jamaahnya. Pendek kata, kita begitu beriya-iya melakukan perkara sunat dengan membelakangkan kewajipan fardu. Apakah pemahaman ini punca kepada kemunduran umat Islam?

Lebih menyedihkan lagi, jalan raya menjadi sesak ketika menunaikan tanggungjawab solat jemaah ini. Ada kalangan kita yang sanggup meletakkan kenderaan di tengah-tengah jalan sehingga jalan yang mempunyai banyak lorong menjadi satu lorong, menyukarkan kenderaan untuk bergerak lancar. Maka menyumpahlah orang bukan Islam dan mereka yang tidak solat berjamaah, disebabkan perbuatan kita yang menyusahkan orang lain.

Sudah menjadi budaya kita tidak mahu bersusah sedikit, asyik mahu ambil jalan pintas dan kalau boleh, mereka mahu memakir kenderaan di depan tangga masjid, walaupun datang lewat berjemaah. Tidakkah lebih baik kita memakirkan kenderaan agak jauh sedikit, tidak menyusahkan orang lain dan pahala kita dikira sejauh mana kita berjalan menuju ke masjid.

Perbuatan yang dibincangkan di atas, menunjukkan bahawa masyarakat kita masih tidak dapat membezakan keutamaan atau priority dalam hidup, terutama antara kewajipan fardu dan sunat, antara kepentingan individu dan kepentingan masyarakat.

Persoalannya, kenapa begitu lama berada dalam agama Islam, kita masih lagi tidak memahami untuk memilih keutamaan ini? Antara kepentingan adat dan juga ibadat. Antara kepentingan agenda individu dan agenda negara. Antara bahasa kebangsaan dengan bahasa kaum. Antara semangat perkauman dengan semangat dengan semangat patriotisme.

Apabila saya membangkitkan isu minggu lalu, ramai yang sinis. Bahasa kebangsaan bukanlah asas kepada patriotism, seolah-olah tidak ada kaitan dengan Islam. Inilah pemikiran yang langsung tidak pernah mahu bersyukur. Sengaja tidak mahu faham apakah maksud patriotism yang sebenar? Mereka masih mahu menafikan bahawa cintakan negara atau mengutamakan agenda besar negara adalah satu kefarduan seperti mana kita menjaga ibadat kita. Jika negara kucar kacir atau tidak aman, apakah kita boleh beribadat dengan sempurna?

Jika ibadat itu adalah asas dalam kehidupan beragama, maka semangat patriotism adalah asas kepada kehidupan bernegara, tidak dapat dipisahkan dengan Islam. Sayangkan tanahair dan cintakan agenda besar negara adalah dalam lingkungan makna patriotism. Kita tidak boleh mengambil sebahagian dan tinggalkan sebahagian. Sayangkan tanahair, tetapi tidak sayangkan bahasa tanahair, agama tanahair, jati diri tanahair, lagu tanahair, bendera tanahair, raja dan sebagainya. Islam menuntut kita beramal secara menyeluruh, sebagaimana firman Allah SWT, “wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya” (Al-Baqarah: 208).

Rasulullah adalah contoh individu yang terlalu sayangkan tanahair, kota kelahirannya. Baginda menitiskan air mata apabila meninggalkan kota tanahairnya semasa berhijrah ke Madinah. Nabi Ibrahim pernah berdoa untuk negeri Mekah dengan doanya di dalam surah Al Baqarah “Wahai Tuhanku, jadikanlah negeri ini aman makmur”. Cendekiawan Islam,Yusuf al Qardhawi pernah menyebut: “Bagaimanakah kita hendak mempertikaikan kecintaan kepada negara sedangkan Nabi SAW sewaktu keluar berhijrah daripada Mekah, Baginda berkata kepada kota Mekah: “Sesungguhnya kamu adalah tanah Allah yang paling aku cintai, kalaulah bukan kerana pendudukmu mengeluarkanku daripadanya, nescaya aku tidak akan keluar daripadanya”. Apabila sebahagian sahabat menyebutkan tentang Mekah sewaktu mereka di Madinah, tergelenang air mata Rasulullah dan Baginda bersabda: “Biarkanlah hati ini memperakuinya”. Begitulah semangat patriotism yang ingin diungkapkan.

Saya fikir umat Islam sudah sampai ke tahap wajib membaca buku Yusuf al-Qaradawi bertajuk fiqh-awlawiyyat atau memahami keutamaan. Adalah tidak wajar kita melakukan amalan secara terbalik. Yang sunat diutamakan, yang wajib dikemudiankan. Maka tidak hairanlah jika kita tidak dapat merasai nikmat iman dan Islam. Sepatutnya, yang wajib didahulukan, yang sunat tidak ditinggalkan. Adalah suatu yang ganjil jika ianya diterbalikkan atau kadangkala yang fardu tidak dikerjakan langsung.

Apakah ini punca kepada permasalahan dan kemunduran yang dihadapi oleh umat Islam pada hari ini? Mereka rela bekerjasama dengan bukan Islam, secara sengaja mengenepikan umat Islam? Akibatnya agenda agama, bangsa dan negara tidak menonjolkan. Kita sibuk menjaga kuasa dan melayan tuntutan orang lain.

Pada hemat saya, ini adalah kaitan dengan cara hidup kita yang memahami Islam secara terpisah-pisah, tidak mengikut keutamaan. Kita memahami ibadat terlebih dahulu sebelum memahami Islam. Tidakkah sepatutnya kita memahami Islam sebagai satu cara hidup dahulu, selepas itu memahami tuntutan ibadah dalam Islam secara bersepadu. Misalnya, cara kita memahami ibadat puasa sebelum memahami Islam. Akibatnya kita begitu berjaga-jaga di bulan puasa sehingga terlupa tanggungjawab kepada Islam secara keseluruhan di bulan-bulan lain. Akibatnya, bulan puasa dilihat sebagai bulan ibadat, manakala bulan lain bulan berjahat.

Sikap seperti ini mesti diubah jika umat Islam mahu mencapai kejayaan dunia akhirat dan maju ke hadapan. Umat Islam mesti memahami keutamaan dalam hidup. Mengutamakan Allah lebih daripada mengutamakan manusia. Kita sanggup menghabiskan wang ringgit melancong ke sana ke mari, tetapi tidak pernah terlintas di hati untuk berkunjung ke rumah Allah? Maka tidak hairan pelancong yang datang ke sini, disaji dengan cara hidup mereka berbanding cara hidup kita. Kita lebih selesa mempersembahkan lagu rock, hip hop dan rnb di depan mereka berbanding caklempong, lagu-lagu asli, dondang sayang, dan sebagainya. Kita lebih utamakan budaya orang lain berbanding budaya sendiri.

Kita bersungguh-sungguh memandaikan anak bangsa berbahasa Inggeris tetapi kita tidak takut mereka sudah mula pelat berbahasa Melayu atau bahasa kebangsaan. Jika di barat bandaraya atau kota metropolitan mereka mula lengang selepas jam 12 tengah malam, malangnya ada segelintir daripada kita, terus berhibur tanpa mengira siang atau malam. Akibatnya, jati diri sendiri tidak terdaulat di bumi sendiri

Siapakah yang bersalah dalam hal ini? Apakah kita akan terus menyalahkan pengaruh barat atau pengaruh Yahudi daripada menyalahkan diri sendiri. Bila saya sebut bahasa Melayu adalah bahasa perpaduan. Ada segelintir yang mengatakan ia tidak penting. Yang lebih penting adalah tsunami politik yang berlaku pada 2008.

Pada mereka, patriotism adalah dengan mengundi pembangkang dan menolak kerajaan yang ada pada hari ini. Pemikiran kita masih berselingkung dengan politik kepartian yang amat sempit. Tsunami politik 2008, menjadikan kita leka akan agenda negara. Kita tidak fikirkan maslahah umat Islam secara keseluruhan. Dalam pemikiran kita, dia orang kita atau bukan. Jika bukan, kita tolak, jika orang kita, kita layan dia, dengan mengenepikan bakat dan merit yang ada pada seseorang.

Justeru, sudah sampai masanya kita menubuhkan satu badan atau institusi seperti yang pernah dicadangkan oleh pakar hubungan etnik, Shamsul Amri Baharuddin yang mahukan kerajaan menubuhkan Majlis Sains Sosial dan Kemanusiaan Kebangsaan bagi membolehkan semangat patriotism disemai dan dididik melalui tindakan kasih sayang. Sama ada mereka sayang kepada negara atau tidak, itu satu perkara yang sukar dan tidak ada negara dalam dunia dapat mengukur nilai ini. Apa yang penting adalah untuk menyemai keutamaan ini. Penjelmaan mengutamakan agenda negara seperti bahasa kebangsaan, menerima sistem yang boleh menyatupadukan, menggalakkan perbincangan lebih terbuka mengenai hal-hal ini, bukan hanya leka dengan kepentingan masing-masing, tanpa memikirkan kepentingan tentang masa depan.

Penubuhan majlis ini penting bagi negara kerana ia akan membawa pemahaman lebih mendalam tentang makna perpaduan itu sendiri. Kerangka kita berbincang tentang perpaduan sebenarnya masih belum jelas. Hal ini dapat meletakkan satu kedudukan ilmu sains sosial itu dalam konteks sebenar. Dalam memperkatakan tentang perpaduan, masyarakat perlu melihatnya secara menyeluruh, bukan hanya selapis. Buat masa ini, kita mungkin telah mempunyai wadah (wacana) tetapi wahananya masih tiada. Sebenarnya, ia adalah ‘tiang seri’ kepada perpaduan rakyat. (Mingguan Malaysia, Ahad, 26 Ogos 2007).

Mencegah lebih baik dari merawat. Elakkan tindakan action-oriented. Kita seharusnya belajar daripada kejayaan orang lain, walaupun kadang kala terpaksa menggunakan kekerasan. Kerajaan Jepun misalnya, di bawah pimpinan Shinzo Abe secara berani meluluskan undang-undang yang mewajibkan sekolah mengajar anak-anak Jepun erti patriostime ketika berhadapan dengan remaja mereka yang sudah mula tidak mempedulikan sejarah negara. Jepun maju kembalikan semangat Nagasaki dan Hiroshima yang pernah menjadi padang jarak padang tekukur dalam Perang Dunia Kedua. Berbekalkan semangat patriostime yang tinggi Jepun berjaya bangun semula dengan megahnya.

Begitu juga dengan bagaimana negara Singapura mengajarkan rakyat mereka erti patriotism setelah berpisah dengan Malaysia. Semangat patriotism inilah yang menjadi negara ini berjaya, bukan sistem merit atau colour-blind seperti yang dilaporkan baru-baru ini. Malaysia haruslah belajar daripada strategi dan amalan negara ini apabila berhadapan dengan masalah semangat patriotik, jati diri dan kekentalan jiwa rakyat mereka dari luntur, demi survival agama, bangsa dan negara. Jati diri rakyat Singapura diasuh dengan begitu teliti dan bersistematik bukan hanya pada hari sambutan kemerdekaan tetapi juga melalui program sepanjang tahun bermula dari sekolah rendah hinggalah kepada program khidmat negara.

Begitu juga apa yang berlaku di Amerika. Semangat patriotism adalah asas kepada kejayaan negara kuasa besar ini. Patriotisme rakyat mereka terhadap tentera dan sejarah negara mereka sememangnya tidak dapat ditandingi oleh rakyat negara lain. Pada tarikh 4 Julai setiap tahun, rakyat Amerika dengan mudah menunjukkan sikap cintakan negara dan patriotisme secara spontan tanpa dipaksa. Apakah kita masih mahu berpeluk tubuh melayan kerenah dan terus berpolitik yang merugikan?

Semuanya bermula dengan memahami yang keutamaan dalam hidup. Ingatlah pesan M Jegathesan pelari terpantas Asia 1996 yang menerima Anugerah Merdeka baru-baru ini. Katanya keadaan sebelum dan selepas merdeka begitu berbeza: “Lapan tahun saya terpaksa berdiri menghormati lagu God Saves the Queen dan bendera Union Jack di sekolah. Jadi apabila kita merdeka dan mempunyai lagu dan bendera sendiri, semangat kemerdekaan 1957 itu masih terasa sehingga hari ini”.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, September 12, 2010

Apabila agenda kaum diutamakan

10:00 AM Posted by RIDHUAN TEE 113 comments
Mingguan Malaysia 12 Sept 2010

Kebelakangan ini kedengaran suara-suara sumbang ultra kiasu yang mahukan saya dan beberapa orang lagi, dikenakan tindakan di bawah Akta Hasutan, hanya kerana membangkitkan beberapa isu berkaitan agenda negara, yang semakin tidak dipedulikan, berbanding dengan agenda bangsa yang semakin mengasak. Specis ini lebih suka kita membuang terus jati diri negara ini kerana bagi mereka tidak penting, yang lebih penting adalah jati diri bangsa.

Bukanlah sesuatu yang pelik jika ada pihak polis yang mengeluarkan kata-kata “balik negeri” seperti yang berlaku baru-baru ini kerana ada yang masih tidak boleh memahami bahasa jiwa bangsa ini. Apalah erti tinggal dalam sebuah negara merdeka ini, jika agenda negara langsung tidak pedulikan. Inilah akibatnya apabila kita dipisahkan sejak kecil melalui sistem pendidikan perkauman (vernacular). Lebih malang lagi ada di antara kita yang tidak sanggup merombak kurikulum Unified Examination Certificate (UEC) untuk sesuaikan dengan jati diri negara, hanya kerana jika rombakan dilakukan, sijil tersebut tidak akan diikhtiraf oleh negara luar seperti China dan Taiwan.

Baru-baru ini saya menghadiri Majlis Dialog Selangor Blueprint bagi tempoh 2011-2013 Pihak Berkuasa Tempatan, ada kalangan peserta yang langsung tidak boleh berbahasa dan memahami bahasa Melayu. Saya seolah-olah tidak berasa berada di Malaysia yang menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Mereka lebih mengambil berat soal pilihan raya bagi memilih ahli majlis daripada agenda negara yang lebih besar. Di manakah kiblat kita sebenarnya? Saya amat bimbang apa yang berlaku di sini dipantau oleh kuasa besar di luar sana?

Agak-agaknya berapa ramaikah sebenarnya mereka yang benar-benar boleh faham dan menulis dalam bahasa Melayu. Inilah bezanya dengan bangsa saya yang tinggal di Sabah dan Sarawak. Saya amat bersetuju dengan kata-kata Perdana Menteri bahawa 1Malaysia telah lama bertapak di sana berbanding dengan Semenanjung yang begitu kental dengan perkauman. Di sini kita lebih mementingkan agenda bangsa berbanding agenda negara.

Saya yakin pihak polis yang mengeluarkan kata-kata “balik negeri” adalah perkara yang sudah lama terpendam. Mereka sudah tidak tahan dengan sikap sesetengah pihak yang membelakangkan agenda nasional. Lebih 53 tahun merdeka, kita masih tidak menguasai bahasa kebangsaan, sedangkan bahasa asing dikuasai begitu bersungguh-sungguh. Apakah makna semua ini? Dimanakah semangat patriotism yang kita laung-laung selama ini? Adakah ia tidak kaitan langsung dengan soal penguasaan bahasa kebangsaan?

Sedarkah kita, tidak ramai yang bercerita dan melaporkan betapa sukarnya pembanci 2010 untuk membuat bancian kerana didapati ada kalangan warganegara kita yang tidak dapat memahami bahasa Melayu, selaku bahasa utama dan pertama negara. Saya tidak perlu melabelkan siapa, kerana saya yakin para pembaca sudah dapat menekanya. Pelik sungguh, sekian lama merdeka, rupa-rupa masih ramai lagi orang sebegini. Apakah ini satu kesilapan atau kegagalan kita menguatkuasakan undang-undang sedia ada? Sejak dahulu lagi artikel saya tidak henti-henti mengulangi masalah negara ini. Malangnya saya dituduh lebih Melayu dari Melayu. Sedangkan saya menulis soal pembangunan negara bangsa, semangat patriotisme dan pembangunan jati diri.

Menurut Jabatan Perangkaan, sepanjang gerakan Banci Penduduk dan Perumahan 2010 sehingga kini, masih ramai yang tidak tahu berbahasa Melayu dan Inggeris. Mereka hanya tahu berbahasa bangsa sendiri. 70 peratus daripada mereka yang tidak memberikan respon adalah masyarakat Cina. Perkara ini tidak seharusnya terjadi dalam sebuah negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Saya masih menunggu jawapan daripada pejuang-pejuang bahasa ibunda, sekolah vernakular dan parti-parti politik ultra kiasu, sebab musabab perkara ini berlaku.

Lebih malang lagi ada yang sanggup melepaskan beberapa ekor anjing bagi menghalang pembanci mendekati rumah mereka. Elok juga bancian dibuat, jika tidak, ramai lagi yang akan menuduh saya mengkhianati bangsa sendiri atau sengaja mereka-reka cerita.

Saya mohon supaya jabatan perangkaan mengambil tindakan terhadap mereka yang enggan memberi kerjasama berdasarkan Akta Banci 1960. Pada masa sama, catitkan bilangan mereka yang tidak boleh langsung berbahasa Melayu. Selepas itu kita boleh kemukakan data-data ini kepada kerajaan, parti politik dan NGO perkauman untuk mereka bertindak menanamkan semangat jati diri dan patriotism kepada golongan ini. Saya sudah lama mencadangkan agar kajian rapi dibuat untuk melihat berapa peratuskah sebenarnya rakyat negara, termasuk sekolah vernakular yang benar-benar dalam menguasai bahasa kebangsaan ini?

Amat menyedihkan sehingga Jabatan Perangkaan terpaksa mendapatkan kerjasama media berbahasa Cina, penterjemah Cina dan persatuan-persatuan mewakili bangsa Cina bagi memberi respon kepada pembanci. Kebanyakan mereka yang buta bahasa kebangsaan adalah mereka yang tinggal di bandar dan mendapat akses kemudahan pendidikan. Itupun specis ini tidak mengambil inisiatif langsung untuk mempelajari bahasa kebangsaan. Mereka masih boleh senang-lenang walaupun tidak memperdulikan langsung agenda membina negara. Bandingkan dengan negara lain, apakah kita masih ada harapan untuk menjadi penduduk tetap, apatah lagi menjadi warganegara? Saya yakin di kalangan ahli politik dan korporat ultra kiasu, masih ramai yang tidak dapat menguasai bahasa jiwa bangsa ini dengan baik.

Kita selalu mendesak kerajaan melaksanakan gagasan 1Malaysia untuk mendapatkan sama rata dan sama rasa atau setaraf dalam semua sektor, terutama sektor ekonomi, pendidikan, politik dan sebagainya. Persoalannya, kenapa tidak dalam dalam soal bahasa jiwa bangsa?

Kita memandang rendah terhadap bahasa Melayu sebab persepsi umum mengatakan bahawa bahasa Melayu tidak akan membawa kita ke mana-mana. Bahasa Melayu tidak ada nilai komersial. Menguasai bahasa Melayu adalah langkah mundur ke belakang berbanding bahasa-bahasa lain yang lebih penting dan ada nilai komersial. Apakah negara maju yang ingin dicapai pada 2020 nanti akan menenggelamkan jati diri ini? Jika itulah yang berlaku, negara pertama di dunia yang terkubur jati dirinya adalah Malaysia?

Bayangkan dalam negara sekecil Malaysia yang hanya mempunyai sejumlah 28.3 juta penduduk, kita tidak dapat menyelesaikan masalah besar negara ini. Bandingkan jika negara kita sebesar Indonesia, China, India, Amerika dan sebagainya. Tidakkah kita boleh mengambil iktibar bagaimana negara-negara besar ini memperkasakan bahasa jiwa bangsa demi survival dan masa depan negara mereka? Perlukah diulang berkali-kali untuk diingatkan?

Jika dibandingkan dengan negara-negara lain di dunia ini, mereka tidak menghadapi masalah dan kerumitan seperti kita. Masalah asas seperti isu bahasa kebangsaan telah lama selesai. Ia dikuatkuasakan melalui undang-undang. Sesiapa yang engkar akan dihantar pulang. Tindakan tegas ini ternyata membuahkan hasil. Tetapi tidak kita. Kita terlalu berlembut sehingga kaduk naik junjung. Saya yakin, hasrat murni Perdana Menteri melalui gagasan 1Malaysia tidak akan kesampaian jika soal pokok ini tidak selesaikan segera.

Semua masalah ini berpunca disebabkan oleh sistem kita yang terlalu bersifat perkauman, bermula dengan pendidikan yang menjadi asas, sehingga kepada perkara lain seperti media cetak, elektronik, parti politik dan sebagainya. Dari manakah datangnya semangat patriotisme jika bahasa kebangsaan bukan kayu ukurnya?

Justeru marilah kita muhasabah diri dalam hal ini. Sebagai warganegara Malaysia, jika saya tidak mempunyai pilihan, saya rela tidak dapat menguasai bahasa asing, tetapi jangan sampai bahasa negara tidak dikuasai dan tidak fahami. Namun, jika kita mempunyai pilihan, sudah tentu kita dituntut menguasai sebanyak mungkin bahasa kerana ia merupakan satu kredit dan amat digalakkan oleh agama Islam dan begitu juga agama lain.

Apa yang berlaku di negara kita tidak pernah berlaku di negara lain di dunia ini. Kita sahaja yang terlalu liberal dan terlalu bertolak ansur. Justeru, ultra kiasu mengambil kesempatan. Maka tidak hairanlah berita ini tidak mendapat perhatian laman ultra kiasu seperti laman web Malaysianinsider, Malaysiakini, CPI dan sebagainya. Saya yakin jika diberi pilihan antara bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, selain bahasa ibunda yang semestinya akan dipertahankan, mereka tidak akan memilih bahasa Melayu. Saya yakin kolumnis CPI akan bersetuju dengan saya.

Apakah kita masih mahu memejamkan mata mendengar rintihan pembanci-pembanci ini. Kita perlu memikirkan perkara ini dengan serius dalam merealiasikan gagasan 1Malaysia. Jika perlembagaan perlu dipinda untuk memperkasakan bahasa kebangsaan, sudah sampai masanya kita berbuat demikian seperti mana yang dilakukan oleh negara lain? Sekadar berkempen, ia tidak akan menyelesaikan masalah, disebabkan perlambakan media perkauman dan bahasa asing yang langsung tidak dapat dikawal.

Saya sebenarnya sudah malas menulis isu kerana tidak mahu dituduh dan dihina lagi. Tetapi inilah realiti yang berlaku yang mesti difahami oleh kita semua dan saya tidak boleh menghentikan pena ini. Saya tidak salahkan orang bukan Melayu semuanya seratus-peratus kerana mereka pandai mengambil kesempatan. Satu persoalan saya, apa yang kita lakukan selama ini, terutama kementerian-kementerian yang berwajib? Kita terlalu banyak berpolitik sehingga masa depan negara terabai. Kita hanya mementingkan kepentingan masa kini daripada masa hadapan. Sedangkan masa hadapan lebih penting daripada masa kini. Masa hadapan akan diwarisi oleh anak cucu kita.

Lihat sahaja sekeliling kita. Tonton dan dengar siaran televisyen dan radio, lihat sahaja iklan-iklan dan kain rentang yang digantung dan ditampal di sana sini, sekeliling bandar raya dan juga kenderaan-kenderaan awam termasuk kenderaan transit aliran ringan (LRT) dan Express Rail Link (ERL). Berapa banyak bahasa Melayu digunakan? Jawablah sendiri.

Ini tidak termasuk pejabat-pejabat GLC dan pejabat korporat yang dipunyai oleh orang Melayu sendiri. Pandang kiri dan kanan, lihatlah berapa peratuskah bahasa Melayu digunakan berbanding dengan bahasa Inggeris. Saya tidak perlu menyebut syarikat atau kementerian yang diketuai oleh bukan Melayu, kerana penggunaan bahasa Melayu teramat menyedihkan, langsung tidak dipedulikan. Jika tidak percaya, pergilah melawat kementerian- kementerian di bawah jagaan mereka, dengarlah bahasa apa yang dipertuturkan. Bayangkan kita berada di Malaysia atau tidak. Pendek kata, daripada perkara sebesar-besarnya sehingga sekecil-kecilnya pun, bahasa Melayu ini tidak didaulatkan. Masuk sahaja dalam lif, akan kedengaranlah kata-kata going up, going down daripada lif naik dan lif turun.

Dalam pemikiran kita, barat dan bangsa sendiri adalah ukuran segalanya. Ada kalangan kita yang sudah malu jika berbahasa Melayu. Tampak kuno dan tidak moden. Maka hari ini ada kalangan orang Melayu lebih lancar berbahasa asing berbanding bahasa sendiri. Jarang sekali kita lihat tokoh korporat dan orang-orang besar kita berbahasa Melayu.

Sedangkan, negara lain begitu hebat memperkasakan bahasa mereka sendiri. Thailand teramat aktif memperkasa dan mendaulatkan bahasa Siam dari perkara sekecil-kecilnya sampailah sebesar-besarnya. Media elektronik dan segala media serta produk disiamkan hampir seratus peratus. Pada mereka, orang Siam mesti menjadi Siam, barulah wujud kehebatan negara bangsa Siam. Hatta, saya pernah terbaca kerajaan Thai mahu menukar nama negara mereka daripada Thailand kepada nama Siam kerana nama Thailand tidak memperlihatkan kesiamannya. Begitu hebatnya Siam mahu menjadi Siam. Malangnya, Melayu sudah malu menjadi Melayu, tidak yakin dengan Melayu. Apakah kita fikir orang lain akan memperdulikan Melayu?

Begitu juga dengan negara lain seperti Iran, Turki, China, Perancis, Jerman dan sebagainya. Mereka tidak akan menggunakan bahasa lain (Inggeris), walaupun mereka mahir, selain menggunakan bahasa bangsanya, ketika menyampaikan ucapan di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Bahasa bangsa mereka digunakan dengan megahnya. Itulah satu-satu caranya untuk memperkenalkan bangsa mereka kepada dunia. Jika tidak siapakah yang akan kenal mereka? Ketika tokoh-tokoh ini berucap, maka kelam-kabutlah penterjemah untuk menterjemahkannya. Penterjemahan ini terpaksa dilakukan kerana, seluruh dunia mahu mengetahui apa yang akan disampaikan oleh pemimpin-pemimpin berkarisma ini. Begitulah kuatnya jati diri bangsa lain. Kenapa kita tidak bertindak seperti mereka? Jawapannya, kita merasai inferioriti kompleks. Takut dikatakan mundur dan kolot. Sedangkan kita sepatutnya merasai megah dan bangga memperkenalkan bahasa dan bangsa kita kepada dunia.

Kita selalu menyalahkan orang lain apabila bahasa kebangsaan tidak didaulatkan. Tetapi kita sengaja tidak mahu sedar atau ambil pusing, apakah yang kita lakukan selama ini? Pendapat pakar-pakar bahasa dibakulsampahkan. Penyelidikan berkaitan dengan bahasa Melayu tidak dipandang serius. Kita lebih serius dengan anak kita yang tidak menguasai bahasa Inggeris, tetapi kita tidak serius dengan kecintaan rakyat Malaysia terhadap bahasa kebangsaan.

Hari ini ada sekumpulan Melayu yang mahukan Pengajaran Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan walaupun kerajaan telah membuat keputusan untuk tidak meneruskannya. Sebenarnya siapakah yang menjadi petualang dalam merosakkan bahasa kebangsaan?

Masih terngiang-ngiang guruan rakan-rakan seperjuangan. Melayu satu hari ini akan tinggal satu nama iaitu baju Melayu, yang lain telah hilang, termasuk Keretapi Tanah Melayu.

Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, September 05, 2010

Indahnya merdeka bertemu Ramadan

6:53 AM Posted by RIDHUAN TEE 78 comments
Mingguan Malaysia, 5 September 2010

Alangkah bahagianya jika hari merdeka bertemu Ramadan atau bulan puasa buat selama-lamanya. Melihat kepada sambutan merdeka ke 53 baru-baru ini, sejuk hati, cukup beradab sopan, beridentiti, sederhana dan sesuai dengan norma-norma budaya kita 1Malaysia. Inilah sambutan yang kita idam-idamkan, sambutan mengikut acuan kita tanpa berlebih-lebihan dan tidak terlalu dipengaruhi dengan budaya hedonisme. Jika sambutan itu berakhir di sekitar jam 12 tengah malam, dengan teriakan merdeka, merdeka dan merdeka, tanpa diteruskan dengan program hiburan alangkah indahnya merdeka kita yang disambut saban tahun.

Ini kerana mengikut budaya kita, jam 12 tengah malam, adalah sudah terlalu lewat. Remaja-remaja kita tidak sepatutnya bebas atau masih berada di luar rumah. Jam 12 tengah malam ke atas, adalah persiapan untuk tidur bagi mencari kekuatan di awal paginya setelah mengerjakan sembahyang subuh.

Saya cukup bimbang andainya hari merdeka tahun depan bertembung dengan bulan syawal, keadaan sambutan mungkin berlainan. Sebab dalam pemikiran segelintir masyarakat kita, bulan Ramadan bulan ibadat, bulan Syawal dan seterusnya bulan berjahat. Cara berfikir sebegini perlu berubah. Allah SWT menjadikan setiap hari, minggu dan bulan, adalah kita melaluinya dengan penuh kebaikan dan kesyukuran, tanpa diselang-seli dengan perkara yang merosakkan. Logiknya mudah, Islam diturunkan oleh Allah adalah satu cara hidup atau way of life. Dengan makna, setiap hari kita mesti menjadi manusia baik yakni tunduk dan sujud kepada Pencipta, bukannya ada hari-hari tertentu kita perlu jadi baik, dan hari-hari seterusnya tidak.

Apapun sambutan yang dilakukan, cubalah mengambil kira waktu maghrib. Kerana mengikut perkiraan kalender Cina dan Islam, waktu maghrib adalah tanda berakhirnya satu hari dan bermulanya satu hari yang baharu. Maka tidak hairanlah kita selalu mendengar kata-kata baliklah ke rumah apabila menjelang maghrib atau senja, sebab hari sudah sampai kepada penghujungnya.

Cuba kita bandingkan sebentar cara kita menyambut tahun baru hijrah. Doa akhir tahun dan doa awal tahun dibaca sebelum dan selepas azan maghrib. Selepas itu diikuti dengan solat, doa selamat atau bacaan yasin dan solat isyak berjamaah. Selepas isyak, beberapa program yang Islamik atau berbudaya diadakan dan tamat sebelum jangan 12 tengah malam. Kemudian, program disambung keesokan harinya dengan perarakan dan anugerah tahun baru hijrah.

Tidakkah kita boleh mengulangi sambutan tahun baru hijrah, sama seperti kita menyambut hari merdeka dan tahun baru Masehi? Kenapa kita begitu ghairah menghitung hari tahun Masehi, apabila sampai kepada detik 12 malam dengan kira 6,5,4,3,2,1...yahoo kita sudah merdeka atau berada dalam tahun baru.

Mungkin ada yang sinis dengan cadangan saya ini dengan mengatakan sambutan selepas 12 tengah malam, atau tahun baru masehi atau mungkin juga hari kekasih (valentine day), bukanlah punca kepada peningkatan gejala sosial masa kini atau gejala pembuangan bayi.

Saya tidak mengatakan sambutan-sambutan ini semata-mata yang menyebabkan peningkatan gejala sosial, selagi kajian rapi tidak dibuat. Namun, saya tidak menafikan ia turut menyumbang. Janganlah terlalu menuding jari bahawa gejala ini hanya berlaku di kalangan umat Melayu Islam, seolah-olah masyarakat lain tidak ada.

Baru-baru ini saya ketawa kecil apabila membaca pendapat seorang penulis bukan Melayu dalam laman web ultra kiasu Malaysiakini, yang mengatakan gejala sosial seperti pembuangan bayi tidak berlaku dalam kalangan masyarakat bukan Islam kerana mereka dikatakan mementingkan moral dan pandai menjaga maruah keluarga.

Terus terang, bangsa lain juga tidak kurang hebatnya. Jika mereka tidak memakai alat pencegah hamil, sudah tentu bilangan mereka juga ketara. Seks bebas hari ini sudah menjadi kebiasaan kepada segolongan manusia, seolah-olah kita sudah tidak lagi diikat dengan agama.

Justeru, sudah sampai masanya setiap hari kebesaran disambut mengikut acuan agama ataupun cara hidup budaya 1Malaysia berlandaskan agama. Kita tidak boleh terikut-ikut sangat dengan cara sambutan barat. Sedangkan kita tahu bahawa cara hidup barat yang keterlaluan telah menghancurkan sistem nilai kehidupan mereka. Kini, barat telah bangun semula dan mementing kehidupan beragama (Kristian). Sila baca buku beberapa buku Zig Ziglar (2000) akan kepentingan hidup beragama di kalangan orang barat.

UMNO tidak ada pilihan hari ini. Jika UMNO mahukan sokongan orang Melayu dan mendapat keredhaan Allah SWT, UMNO mesti dapat dilihat kecenderungannya mahu atau kembali kepada Islam. Saya tidak mengatakan UMNO tidak cenderung kepada Islam, kecenderungannya ada, tetapi masih ada ruang-ruang kosong yang boleh diisi bagi mengelakkan dicerobosi musuhnya. Semakin Islam UMNO, semakin ia mendapat sokongan dan sambutan. Itulah cara UMNO mahu menandingi PAS. Mursyidul Am PAS pernah berkata, mereka akan bubarkan PAS dan menyertai UMNO, jika UMNO mahu atau menukar dasar kepada Islam.

Pada hemat saya, UMNO perlu memikirkan secara serius cadangan PAS ini. PAS pun tahu bahawa perjuangan Islam mereka tidak akan diterima dalam Pakatan, apatah lagi bersama ultra kiasu kerana mereka memang anti-Islam. Kedudukan PAS ibarat ditelan mati emak, diluah mati bapak dalam pakatan.

Adalah tidak sukar bagi UMNO untuk menukar perjuangan daripada Melayu kepada Islam kerana Melayu itu mesti Islam mengikut perlembagaan. Mempertahankan Islam juga mempertahankan Melayu. Pi mai pi mai tang tu juga.

PAS pula janganlah terlalu ghairah, bila sebut sahaja Islam, mesti melaksanakan hudud. Real politik Malaysia perlu difahami. Hudud tidak dapat dilaksanakan jika perlembagaan tidak dipinda. Meminda perlembagaan pula memerlukan majoriti dua pertiga.

Hari ini kita perlu bergerak bersama melaksanakan undang-undang dan nilai-nilai Islam dalam lingkungan yang dibenarkan perlembagaan terlebih dahulu. Selepas itu, barulah kita merancang untuk pergi lebih jauh daripada itu. Ini tidak, kita asyik tuduh menuduh dan ada yang sanggup kafir mengkafir.

Misalnya sambutan merdeka, dan hari kebesaran (perayaan) lain. Sebenarnya kita mampu untuk menyambut hari kebesaran ini mengikut acuan kita kerana nilai-nilai kita turut dikongsi oleh agama lain. Program-program hiburan keterlaluan yang berlanjutan hingga ke awal pagi hendaklah dihentikan.

Semua program tersebut mesti ada garis panduan agar tidak terkeluar daripada nilai-nilai moral dan tata susila, seperti sambutan merdeka baru-baru ini. JAKIM dan badan-badan perundingan agama lain, boleh dijadikan rujukan untuk memantau semua program yang dijalankan.

Saya yakin tidak ada satu agamapun yang menggalakkan penganutnya berhibur secara melampau sehingga larut malam. Jika ditakdirkan ada agama yang membenarkan, maka kita boleh katakan, alangkah hinanya agama tersebut.

Ini bermakna, semua agama menganjurkan kebaikan. Pendek kata, apa yang selama ini dibenarkan dan diharamkan dalam Islam, turut dikongsi oleh agama lain. Misalnya, soal hiburan yang melampau. Sila baca tatacara berhibur dalam agama Buddha dan Kristian.

Hari ini, keadaan menjadi kelam kabut disebabkan kita terikut-ikut dengan cara hidup barat sehingga sanggup mengenepikan peranan cara hidup beragama. Saya cukup yakin jika kita berdialog dengan badan perundingan agama, mereka juga turut menentang kemaksiatan yang ditentang oleh Islam selama ini.

Justeru, sudah sampai masanya kita memikirkan untuk melaksanakan cara hidup beragama, bukan cara hidup sekular yang diperjuangkan oleh ultra kiasu. Biarlah mereka dengan cara hidup sekular kalau itu yang mereka mahukan. Sementara kuasa masih ada, kita jalankanlah cara hidup Islam sekadar yang mampu kita lakukan dalam lingkungan yang dibenarkan oleh perlembagaan. Saya yakin kita dapat mengembalikan kepercayaan rakyat. Apatah lagi zaman sekarang ini adalah zaman kebangkitan Islam.

Kita mesti berjaya melahirkan pemimpin yang dapat menambat hati rakyat. Pemimpin tersebut mesti boleh menjadi imam dan boleh membaca Quran walaupun mungkin bukan berlatar belakangkan pengajian Islam. Ini yang selalu disebutkan mengulamakan professional, memprofesionalkan ulama. Pemimpin ini juga perlu menjadi jaguh amar makruf nahi mungkar yakni mengajak rakyat ke arah kebaikan dan melarang mereka melakukan kemungkaran.

Kita tidak mahu melihat pemimpin hanya menunjukkan muka ketika pilihan raya. Masjid dan surau langsung tidak dikunjungi. Bila berlaku kematian kalangan rakyat marhaen, kita hanya datang berziarah dan tidak dapat melakukan lebih daripada itu. Sudah sampai masanya kita perlu berubah sebelum rebah seperti mana ingatan Perdana Menteri.

Pendekatan turun padang atau merakyat seperti yang selaku diingatkan bukan sekadar datang menjenguk rakyat ketika mereka ditimpa musibah. Tetapi mesti proaktif, yakni mencegah sebelum parah. Kadangkala kita tidak boleh menyalahkan pembangkang kerana mereka lebih pro-aktif dan berjaya menawan hati rakyat. Saya lihat saban malam pemimpin mereka merakyat bersama-sama rakyat berjamaah solat Isyak dan terawih. Mereka mengambil kesempatam memberi tazkirah dan menyampai bantuan Ramadan. Penampilan mereka ini menjadi perbualan ramai, walaupun kadang kala saya naik jelak apabila institusi masjid dan surau dipolitikkan.

Apapun strategi mereka ternyata berjaya. Mereka dapat mengetuk pintu hati rakyat. Jika kita dapat melakukan tindakan sebegini, saya yakin masa hadapan berada dalam genggaman kita sebagai umat Islam.

Justeru, marilah kita mengambil iktibar sempena Ramadan yang akan berakhir tidak lama lagi untuk berazam bahawa kita akan menjadi pemimpin yang berilmu, berintegriti, berakhlak mulia dan pro-aktif. Bawalah nilai-nilai baik Ramadan ini ke bulan yang lain tidak kurang keberkatannya. Jika tidak, kita akan dikutuk dan menjadi bahan umpatan orang serta bersedialah untuk menerima kekalahan. Selamat hari raya, maaf zahir batin.


Dr. Mohd Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, merangkap Setiausaha Agong, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis