Antara negarawan dan cendawan
SAYA semakin pelik melihat ultra kiasu ini. Lidah bercabang. Baru
menang cakap lain. Lama sikit menang, jadi makin lain. Dahulu bila mula
terlantik jadi menteri kanan, ditanya wartawan, apa perasaan jadi menteri kanan
dalam kalangan orang Cina? Dia jawab, saya tidak lihat diri saya sebagai Cina,
tetapi sebagai rakyat Malaysia (Malaysian). Tabik saya mendengarnya. Saya turut
memuji.
Sama seperti ketika mereka
memenangi Pulau Pinang PRU12 2008. Mula menang, mahu mencontohi pemerintahan
Umar Abdul Aziz. Lama sikit menang, Umar Abdul Aziz dicampak entah ke mana.
Pendek kata, semakin lama
menang, bukan sahaja mereka semakin lantang, tetapi semakin berani dan bongkak
sehingga mencabar kedaulatan negara.
Tidak berapa lama selepas
menang, menteri yang sama, heboh diperkatakan, menggunakan bahasa Cina
(Mandarin) dalam akaun FB beliau. Apabila ditanya, kenapa menggunakan bahasa
Cina, dia menjawab, itu akaun milik peribadi, beliau berhak atas segalanya.
Beliau ternyata tidak dapat
membezakan antara diri, sebagai individu, sebagai ahli politik, sebagai ahli
politik yang menang dilantik jawatan menteri, dan seterusnya menjadi negarawan.
Seorang menteri adalah seorang
negarawan. Bermakna, segala apa jua tindakan, yang boleh dilihat, seharusnya
tidak dapat lari daripada sifat negarawan, termasuk akaun FB. FB tidak lagi
boleh dianggap milik peribadi apabila ada pengikutnya. Apatah lagi jika
pengikut terdiri dalam kalangan pelbagai kaum.
Jika kita yakin dan mengakui
sebagai Malaysian, bermakna kita akan menjunjung agenda negara tanpa
berbelah-bahagi. Salah satu agenda negara adalah menjunjung bahasa Melayu (BM),
selaku bahasa negara atau bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa yang
menyatukan, sebab kita mempunyai lebih 137 bahasa di negara ini.
Jika tidak ada satu bahasa
sebagai bahasa perantara, nak berkomunikasi dalam bahasa apa?
Jika Melayu bertemu Cina,
India, Iban, Kadazan, Murut, Bidayuh dan lain-lain, bahasa perantara apa yang
mahu digunakan jika bukan BM. Begitu juga bangsa lain bertemu dengan orang
Cina. Pendek kata, penggunaan BM sebagai faktor penyatu, bukan isu kecil,
tetapi teramat besar.
Tindakan menggunakan bahasa
Cina dalam akaun FB, menampakkan bahawa ultra kiasu ini tidak kenal diri
sendiri. Juga tidak faham apa yang selama ini disebutkan sebagai Malaysian.
Jika kita Malaysian, dalam soal
bahasa, keutamaan yang perlu didaulatkan adalah, pertama BM, kedua adalah
bahasa ibunda dan ketiga bahasa Inggeris dan seterusnya bahasa lain. Jika
berlaku sebaliknya, kita bukan Malaysian lagi. Jauh sekali negarawan, tetapi
cendawan.
Sebab itu saya suka kepada
istilah yang digunakan oleh orang Cina di Indonesia. Cina di Indonesia tidak
melihat diri mereka sebagai Cina, tetapi dikenali sebagai Indonesia Tionghua.
Meletakkan Indonesia dahulu, kemudian baharu Cina. Sebab itu, mereka
seolah-olah tidak ada beza dengan orang Indonesia.
Cina itu Indonesia, Indonesia
itu Cina. Malangnya, kita letak Cina dahulu, selepas itu baharu Malaysia.
Kiblat kita ke mana?
Saya mendengar kata-kata amaran
daripada pemimpin Indonesia kepada orang Cina Indonesia. Jika kamu tidak mahu
semangat anti-Cina berlaku, lebih baik kamu mengutamakan agenda negara,
mendukung pancasila dan bahasa Indonesia. Jika kamu mengetepikan bahasa
Indonesia, pasti akan berlaku gerakan antiorang Cina.
Justeru, tidak hairanlah jika
penghayatan bahasa Indonesia dalam kalangan Indonesia Tionghua sangat tinggi.
Kita masih jauh daripada penghayatan. Bercakap boleh atau tidak masih diragui.
Peringatan ini sepatutnya menjadi iktibar kepada kita semua.
Saya teruja dengan dengan komen Adam Tanging, apabila memberikan
pandangan mengenai salah atau tidak seorang menteri menggunakan bahasa Cina
dalam FBnya. Katanya, memang salah.. secara tidak langsung dia mengagap kaum Cina
adalah buta bahasa Kebangsaan belaka. Ini adalah satu penghinaan kepada kaum
Cina.
Begitu juga dengan twitter Rhys
William yang berbunyi: “Tahukah anda di Malaysia terdapat 137 bahasa-bahasa
dari pelbagai suku kaum dan bangsa. Tetapi antara semua bahasa hanya satu
bahasa kebangsaan. Bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan Malaysia. Tetapi
kenapa ada ramai warga negara Malaysia tak reti cakap BM ataupun malu nak cakap
BM”.
Jika Rhys William orang putih,
saya benar-benar rasa malu sebagai rakyat Malaysia. Lebih 60 tahun kita merdeka
dan bergenerasi tinggal di bumi bertuah ini, masih ada orang yang masih
meletakkan bahasa ibunda di tempat pertama, berbanding bahasa kebangsaan. Orang
sebegini tidak layak tinggal di sini. Mereka sepatutnya mencari tempat lain yang
lebih baik.
Pernah saya kongsikan sebelum
ini bagaimana Cina dari negara China berkahwin dengan Cina Malaysia. Beliau
amat terkejut melihat proses pencinaan di Malaysia begitu dahsyat. Mereka di
China pun tidak secina di Malaysia. Sehingga beliau menasihatkan Cina Malaysia,
supaya mengutamakan agenda negara seperti BM demi masa depan Malaysia yang
lebih baik.
Sepatutnya ketika berucap di
PBB pun, kita menggunakan BM biar mereka terjemahkan. Barulah menunjukkan BM
kita penting, kita benar-benar Malaysian. Saya tidak bersetuju apabila
pemimpin-pemimpin negara sebelum ini berucap dalam BI dalam perhimpunan PBB.
Lebih menjelekkan jika ada yang
melakukan kesalahan dalam tatabahasa ketika berucapan dalam BI. Dalam PBB
melambak penterjemah. Ucaplah dalam bahasa apa sekalipun, pasti diterjemah.
Cuba lihat Presiden Turki,
Erdogen, apabila berucap dan berbahas dalam forum PBB. Semua dalam bahasa
Turki. Ada beliau kisah orang lain faham ke tidak? Pokoknya, apabila kita
berjaya menjadikan diri kita penting. Cakap lah bahasa apapun, segala apa yang
dituturkan semuanya akan dianggap penting. Kelam kabut penterjemah
menterjemahkan. Tidak faham lagi?
Sebagai rakyat Malaysia yang
meletakkan BM sebagai sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa negara, apabila
kita menulis, berbicara dan berdiskusi, apakah bahasa yang sepatutnya
diutamakan? Bahasa mengikut bangsa kita? Dalam makna, apabila kita orang Cina,
maka kita meletakkan bahasa Cina dan Tamil nombor satu?
BM bukan bahasa untuk orang
Melayu, tetapi bahasa negara. Saya pun orang Cina, sebagai Malaysian, hidup
mati saya sebagai rakyat Malaysia adalah BM dahulu, diikuti bahasa ibunda atau
BI atau Arab. Jangan pergi jauh, lihatlah kenapa hari ini tidak ramai penyanyi
dan pelakon dalam kalangan bukan Melayu seperti dahulu. Misalnya seperti Andre
Goh, Dj Dave, Kenny Remy dan Martin dan banyak lagi. Mereka menyanyi sehingga
menerbitkan air mata.
Kenapa hari ini boleh dikatakan
tiada (ada) penyanyi bukan Melayu menyanyikan lagu Melayu seperti dahulu? Jika
ada pun, penghayatan kosong. Menyanyi lagu sedih, tetapi muka nampak ceria dan
gembira. Saya beri contoh penyanyi Jacklyn Victor. Suara dia (vokal) memang
hebat, saya tidak nafikan, tetapi apabila menyanyi lagu Melayu tidak ada
penghayatan. Menyanyi lagu sedih tetapi muka nampak ceria. Lagu tidak masuk
dalam jiwanya. Benarlah kata-kata bahasa jiwa bangsa.
Majoriti rakyat Malaysia tidak
faham mandarin Melayu dan India. Jadi kita tulis Cina, sebenarnya kita nak
tujukan kepada siapa? Jika nak tuju kepada orang Cina, apakah orang Cina yang
tinggal di Malaysia masih tidak faham BM. Jika begitulah keadaannya balik lah.
Bapa kepada ultra kiasu ini pun
diam sahaja. Kenapa tidak bercakap menegur anaknya dalam isu ini? Teramat
malang apabila isu menjadi tular, menteri berkenaan, masih tidak mengakui
kesilapannya, malah mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan tiga
bahasa, termasuk bahasa Melayu, Inggeris dan Cina ketika beliau membincangkan
isu Tun Razak Exchange adalah sesuatu yang dibenarkan.
Jika adapun orang dari negara
China yang berada di sini pun, tidakkah mereka perlu bersusah sedikit untuk
belajar BM. Sama seperti kita pergi ke China, apakah kita beranggapan bahawa
orang Cina di sana akan berbahasa Melayu? Alangkah bodohnya kita.
Prof
Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment