https://www.ismaweb.net/2018/07/09/tutup-tahfiz-iktiraf-uec-jahilnya/
Jahil sungguh
sebahagian orang Melayu yang bergelar dan berjawatan, apabila berkata tutup
sekolah tahfiz (agama) dan iktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu Sekolah
Persendirian Cina (UEC). Menjadi jahil murakab apabila mahukan sekolah tahfiz
ditutup. Mereka ini rakyat Malaysia ke bukan? Membaca perlembagaan atau tidak?
Peliknya, kenapa mereka tidak sensitif langsung masih ramai rakyat Malaysia
yang tidak boleh bertutur dan berkomunikasi dalam Bahasa Melayu (BM) selaku
bahasa negara?
Sepatutnya,
sebagai rakyat Malaysia, semuanya mesti fasih berbahasa Melayu (BM), bahasa
negara, seperti keluarga Cina saya. Persoalannya, kenapa masih ada, malah ramai
dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk wakil rakyat, bercakap BM berterabur,
sedangkan kita sudah merdeka lebih 60 tahun? Dalam keadaan sebegini pun, lebih
hina lagi apabila ada mendesak kerajaan mengiktiraf UEC, meskipun ia bercanggah
dengan hasrat kerajaan dan agenda pembinaan negara bangsa.
Agenda negara
seperti bahasa negara (BM) mesti dikuatkuasakan dan jangan dipolitikkan. Belum
pun 100 hari saya lihat kesilapan demi kesilapan telah dilakukan barisan
pemimpin PH yang mengetuai kerajaan Malaysia. Mungkin disebabkan oleh ramai
dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai pengalaman.
Ada yang
terlalu baharu dalam dunia politik. Langsung tidak pernah terlibat dalam
pimpinan cawangan atau bahagian, tiba-tiba bertanding, menang, terus dilantik
menjadi ketua menteri, menteri atau timbalan. Lebih malang lagi apabila
bercakap tidak berlapis atau fikir dahulu sebelum meluahkan.
Saya harap
dalam proses pembelajaran itu mereka akan menjadi matang. Fikir dahulu atau
sebelum mengeluarkan kata-kata atau sebelum bertindak. Jika tidak, tidak
sampaipun lima tahun lagi, pasti mereka akan ditukar. Rakyat Malaysia sudah
bijak.
Saya tidak dapat
menerima sama sekali apabila ada rakyat Malaysia tidak dapat bertutur dan
memahami bahasa negara atas beberapa alasan; Pertama, sebab mereka adalah
rakyat Malaysia dan lahir di Malaysia, tidak ada alasan untuk tidak fasih BM,
kecualilah mereka lahir di China atau di India. Kedua, BM adalah bahasa negara,
mana mungkin rakyat Malaysia tidak dapat menguasainya. Apa yang mereka buat
selama ini?
Kefasihan Peguam
Negara baharu, Tommy Thomas dalam bahasa Melayu antara isu yang dibangkitkan
pengkritiknya ketika beliau dinamakan sebagai pengganti peguam negara
sebelumnya. Namun, tidak dihiraukan.
Saya sangat
terkejut apabila Peguam Negara sendiri berkata beliau akan mempelajari BM yang
telah ditinggalkan selama ini, lebih 40 tahun berkecimpung dalam sektor perundangan.
Kenapa ditinggalkan bahasa negara sedangkan kita tinggal dan mencari makan di
sini? Orang Bangladesh yang tidak sampai setahun di sini pun boleh bertutur
dan memahami BM dengan baik, kenapa kita
yang bergenerasi tinggal di sini tidak dapat menguasai bahasa negara ini? Apa
sudah jadi dengan rakyat Malaysia? Kita resah jika mereka jahil Bahasa Inggeris
(BI) dan bahasa ibunda tetapi kita tidak langsung kisah jika mereka jahil BM?
Peguam Negara
yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, meminta
perbicaraan di Mahkamah Tinggi dilakukan dalam bahasa Inggeris. Beliau berjanji
akan memperbaiki kelemahan berbahasa Melayu. Alasan beliau, ketika menjadi
peguam selama 42 tahun, berurusan dengan anak guam, pada dasarnya klien komersial
dan dokumen, beliau mengabaikan bahasa (Melayu) saya. Beliau berjanji akan
memperbaiki BM. Persoalannya, bolehkah bahasa dikuasai sepenuhnya dalam jangka
masa singkat sementara menunggu 5 tahun lagi?
Inilah
akibatnya apabila kita memandang remeh agenda negara. Sibuk berpolitik. Agenda
negara menjadi percaturan politik. Apabila penegasan dibuat, maka di situ ada
kepentingan politik, akhirnya agenda negara di ketepikan demi mendapat undi.
Apakah kita sudah lupa, pada 10 Oktober 2009, Hakim Abdul Malik, yang bersidang bersama-sama
Hakim Datuk Azhar Ma'ah dan Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad menolak
rayuan Anwar atas alasan memorandum rayuan difailkan Anwar dalam bahasa
Inggeris adalah cacat, tidak sah dan mencabuli proses mahkamah.
Hakim
tersebut berkata, keutamaan Bahasa
Malaysia atau bahasa Melayu dalam mahkamah kita tidak boleh dinafikan. Perkara
152, Perlembagaan Persekutuan, dibaca bersama-sama Seksyen 8 Akta Bahasa
Kebangsaan menetapkan semua prosiding, selain daripada memberi keterangan oleh
seorang saksi, di Mahkamah Persekutuan, Mahkamah Rayuan, Mahkamah Tinggi dan
mahkamah rendah mesti dibuat dalam bahasa kebangsaan.
Begitu juga Peraturan
101, Peraturan-peraturan Mahkamah Rayuan 1994, menetapkan dokumen-dokumen perlu
dalam bahasa kebangsaan.
Peguam terikat dengan ketetapan menggunakan bahasa
kebangsaan iaitu Bahasa Malaysia dalam prosiding mahkamah. Menurut penghakiman
bertulis Mahkamah Rayuan semasa menolak rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam
saman fitnah RM100 juta terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurut Hakim Abdul Malik Ishak, Bahasa Melayu mesti
digunakan bukan sahaja semasa prosiding tetapi juga dalam memfailkan dokumen-dokumen
mahkamah. Kegagalan pihak perayu untuk memfailkan memorandum rayuan dalam Bahasa
Melayu akan menyebabkan rekod rayuan yang difailkan oleh perayu tidak boleh
digunakan. Beliau berkata mahkamah perlu menguatkuasakan keperluan memfailkan
dokumen mahkamah dalam bahasa Melayu seperti ditetapkan undang-undang.
Memorandum rayuan dalam bahasa Inggeris yang difailkan
Anwar secara terang-terangan melanggar undang-undang dan perlu ditolak. Perayu
mesti memfailkan memorandum rayuan dalam bahasa kebangsaan. Tiada bahasa lain
akan dilayani dan tidak layak sebagai rekod rayuan.
Untuk makluman, Anwar memfailkan saman pada 26
Januari, 2006, mendakwa kenyataan Tun Mahathir yang menggelarnya sebagai
seorang homoseksual adalah satu fitnah dan bertujuan mengaibkannya secara
peribadi dan kapasiti rasminya sebagai bekas menteri kewangan dan timbalan perdana
menteri. Pada 4 Julai, 2007, Mahkamah Tinggi Kuala lumpur menolak saman itu
dengan kos selepas membenarkan permohonan Dr Mahathir untuk membatalkan saman
itu. Anwar kemudian mengemukakan rayuan ke Mahkamah Rayuan berhubung keputusan
itu (Bernama,
9 Disember 2009).
Saya masih yakin dengan apa
yang saya tulis selama, jika dibanci selagi lagi penduduk Malaysia setiap 10
tahun, bagi tahun 2020 nanti, bukti-bukti seperti ini pasti akan berulang. Pada
2010 apabila banci penduduk dibuat, rupa-rupanya begitu ramai rakyat Malaysia,
terutama orang Cina tidak dapat bertutur dan memahami BM. Pembanci terpaksa
membawa penterjemah sebagai pengantara untuk menterjemahkan BM yang disampaikan
pembanci ke dalam bahasa Cina (juga India). Wajarkah rakyat Malaysia terpaksa
menterjemahkan BM selaku bahasa negara kepada rakyatnya sendiri? Pergilah ke
dunia lain dan lihat. Tidak pernah ada berlaku, kecuali di Malaysia.
Inilah akibatnya apabila kita
terlalu rasis dan obses dengan bangsa sendiri sehingga agenda negara ditolak ke
tepi. Sistem pendidikan berasaskan kaum terus bersarang sehingga tidak boleh
disentuh. NGO dan Parti Politik ultra kiasu lebih berkuasa daripada kerajaan. Kerajaan
terpaksa tunduk untuk kekalkan kuasa.
Kajian saya ke atas orang Cina
membuktikan, majoriti mereka tinggal di kawasan perumahan Cina, bersekolah
Cina, mendengar dan menonton siaran radio dan tv Cina, membaca akhbar Cina dan
berkawan dengan Cina. Tidak bercampur dengan orang Melayu. Pendek kata,
sosialisasi mereka terlalu kecinaan (Keindiaan). Berbeza sekali dengan
bumiputera Sabah dan Sarawak. Apabila BM tidak ditekankan atau diwajibkan,
sampai bilakah masa mereka akan menguasai dan menghayati agenda negara seperti bahasa
negara.
Kita menganggap perkara ini
kecil, lebih hina lagi, ada orang mencadangkan supaya menutup sekolah agama
(tahfiz) dan iktiraf UEC. Wah! hebat Malaysia.
Wahai pemimpin politik!
Berfikirlah, rancanglah mulai daripada sekarang, bagaimanakah untuk memandaikan
rakyat Malaysia untuk memahami dan menghayati agenda negara sebelum terlambat.
Janganlah asyik berpolitik kerana ia akan menghancurkan negara kita pada suatu
nanti.
Akhirnya, saya memuji kenyataan
terbaharu Menteri Pendidikan, yang akan membuat kajian secara holistik tentang
UEC sebelum diiktiraf terutama melibatkan subjek BM. Terima kasih.
0 comments:
Post a Comment