Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, June 25, 2018

kenapa bikini jadi fokus

3:18 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

Kenapa bikini yang menjadi fokus?

Sejak bila berbikini menjadi norma dan dibenarkan pemakaiannya di tempat awam? Di negara barat sekalipun, ada peraturan berbikini. Mereka hanya dibenarkan berbikini di kawasan pantai dan kolam renang. Apabila kembali ke tempat awam misalnya masuk semula ke hotel atau menaiki lif, mereka mesti memakai pakaian biasa. Begitu juga perjalanan daripada kawasan penginapan ke pantai atau ke kolam renang, mereka tidak dibenarkan berbikini. Ini peraturan antarabangsa.

Peliknya di Malaysia, kita lebih barat daripada barat. Orang barat pun terkejut melihat orang Malaysia, mula berbikini daripada tempat penginapan (hotel atau ) hingga ke kawasan pantai dan kolam. Lebih hina lagi, naik daripada kolam pun tanpa menukar pakaian, terus dengan berbikini dan menaiki lif dengan pakaian basah mereka. Apa sudah jadi dengan kita?

Sebab itu, saya mohon pimpinan kerajaan baharu Negeri Terengganu supaya kalau boleh elakkan bercakap soal bikini. Banyakkan bercakap soal kebajikan rakyat dan merangka strategi pembangunan negeri, terutama isu dadah yang sangat meruncing dan memerlukan perhatian yang sangat serius. Peningkatan penagihan baharu tertinggi di Malaysia.

Percayalah….Pelancong yang datang ke sini bukan mahu berbikini, tetapi mahu melihat keindahan dan budaya masyarakat setempat.

Lebih baik fikir bagaimana untuk membuktikan Terengganu sebagai negeri terbersih di Malaysia sebagaimana yang telah disenarai oleh Kementerian Pelancongan 2017. Terenggganu negeri terbersih daripada 14 buah negeri di Malaysia termasuk Wilayah Persekutuan. Saya masih ragu-ragu apakah benar Terengganu terbersih? Sepanjang berada di sini lebih daripada  empat tahun, saya masih mencai jawapan apakah benar Terengganu negeri yang paling bersih  melihat kepada persekitaran pantainya yang masih tidak memuaskan.

Yakinlah…pelancong yang datang ke sesebuah negara atau tempat bukan hendak telanjang atau berbogel. Tetapi melihat keindahan dan budaya setempat yang berbeza daripada mereka.
Mereka sudah puas berbikini dan berbogel di negara mereka. Mana mungkin mereka mahu berbogel dan berbikini di sini kecualilah kita buat tidak kisah. Mereka sudah puas minum arak di negara mereka, mana mungkin mereka mahu minum arak di sini, kecuali kita sediakan platform untuk mereka minum.

Sebab itu, saya mohon supaya kita bersikap rasional dalam bercakap soal sektor pelancongan negeri. Apa yang penting kepada saya langkah pertama yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri menjaga kebersihan seluruh negeri Terengganu terutama kawasan pantai daripada tercemar dan kotor. Program kitar semula masih tidak lagi berjalan sejak dahulu lagi.

Teramat sedih melihat pulau dan pantai yang cantik, tercemar dengan kekotoran. Penuh sampah sarap dan botol plastik. Pergilah ke Pulau Redang untuk melihat semua itu. Sedangkan tuntutan Islam, kebersihan adalah sebahagian daripada iman. Saya amat mengharapkan kerajaan Terengganu di bawah pimpinan PAS dapat merealisasikannya dan menjadi jaguh dalam soal kebersihan ini.

Bersih bukan dalam soal bersih diri, wuduk dan solat. Kebersihan hendaklah diterjemahkan dalam konteks luar dan dalam, termasuk di tandas, tempat yang disinonimkan dengan bersarangnya syaitan. Bagaimana syaitan nak lari jika kita biarkan tandas terus kotor?

Orang bukan Islam kurang faham dalam soal bersih lagi suci. Mereka tahu bersih, tetapi belum tentu suci. Tetapi kefahaman bersih mereka boleh sampai ke tahap suci. Malangnya, kita bahaskan soal bersih lagi suci, kefahaman bersih kita tidak sampai ke tahap suci.

Teramat sedih juga melihat negara barat yang tidak Islam, tetapi jauh lebih bersih meninggalkan negara-negara Islam. Tidak ada sebuah negara Islam yang tersenarai, 40 negara terbersih di dunia, meskipun Allah kurniakan air terbersih seperti air zam-zam di Tanah Arab.

Lebih menyedihkan, negara Arab Saudi, yang mana, kaabah dan makam Baginda Rasulullah s.a.w. juga di sana, namun tidak menyahut seruan Baginda agar menjadi kebersihan sebagai sebahagian daripada iman. Arab Saudi tidak tersenarai sebagai dalam negara 100 terbersih dunia.

Kefahaman yang bagaimanakah kita anuti sebenarnya? Sedangkan Baginda Rasulullah lahir dan bermula dengan penyebaran Islam di sana. Saya tidak sama sekali menyalahkan agama Islam, kerana agama itu adalah sesuatu yang suci mulia. Yang tidak suci dan tidak mulia adalah kita sebagai umatnya yang tidak menghayati ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w.

Saya fikir inilah perkara utama yang perlu dilakukan oleh kerajaan negeri Terengganu, bukan berbincang pelancong boleh berbikini atau tidak di Terengganu.

Percayalah, tidak ada agama di dunia yang membenarkan penganutnya berpakaian menjolok mata. Tiada sama sekali. Jika tidak percaya, pergilah bacalah asas-asas hidup beragama dalam agama selain Islam sepert Buddha, Hindu, Kristian dan Sikh.

Sudah tentu saya tidak perlu terangkan soal agama Sikh. Melihat kepada pakaian lelaki mereka, berserban tidak pernah lekang, sudah menunjukkan bahawa betapa mereka begitu mengambil berat soal etika berpakaian.

Bukanlah maksud saya selepas ini kita buat peraturan supaya pelancong bertudung d kawasan pantai dan kolam renang. Mereka boleh berbikini jika mereka mahu, tetapi mereka perlu memahami dan menghormati budaya dan sensitiviti masyarakat kita.  Negara kita, kita yang menjadi tuan rumah, takkan tidak ada peraturan atau mahu terlebih barat.

Sedih sangat baru-baru ini apabila bercuti di Tanjung Bidara Melaka, melihat, bukan sahaja pantainya kotor lebih malang lagi, Tanjung Bidara Beach Resort yang saya tinggal, dipunyai oleh orang Islam, persekitarannya bukan sahaja kotor, tetapi penuh dengan semut gatal. Serangga ini merayap hingga ke bilik dengan jumlah yang begitu banyak.

Apabila saya mengadu kepada pengurusan mereka, jawapan yang tidak masuk akal, resort dekat dengan hutan dan sekarang musim hujan, semut banyak. Jika begitu keadaannya kenapa resort atau hotel orang bukan Islam tidak ada semut.

Semua ini berkaitan dengan sikap, bukan soal dekat dengan hutan atau musim hujan. Tidak mustahillah jika bukan Islam menjadi 30 terkaya daripada 40 terkaya di negara kita. Rupanya kayanya kita sibuk untuk membina rumah lebih, beristeri lebih, berkereta lebih dan semuanya lebih, bukannya untuk memastikan agar perkhidmatan menjadi lebih. 

Belajar daripada Brunei. Pergilah ke sana. Lihat bagaimana orang Brunei mengajar pelancong bertamadun dan menghormati sensitiviti dan budaya setempat. Saya bukan terlalu obsess dengan Brunei, tetapi saya kagum dengan apa yang cuba dilakukan oleh mereka. Brunei laksanakan undang-undang Islam dan pada masa sama memberikan kebebasan kepada bukan Islam dan pelancong yang datang tetapi dalam ruang lingkup budaya setempat.

Tidak pula berkurang pelancong ke sana. Saya lihat pelancong berbondong-bondong ke Brunei. Tidak pula mereka bertanya boleh berbikini atau tidak. Berubahlah, sebelum kita diubah. Kadangkala saya jadi baik meluat apabila kita mahu menjadi lebih barat daripada barat.

Buanglah dalam pemikiran kita jauh-jauh bahawa pelancong yang datang mahu berbikini. Ya, mereka memang berbikini ketika di pantai dan kolam renang. Tetapi tidak berbikini sepanjang masa. Kadangkala pakaian mereka lebih bersopan daripada pakaian kita, seperti pakaian paramugari. Kita yang terlebih barat sehinggakan pakaian begitu singkat. Tidak malukah kita apabila pelancong menegur cara paramugari kita berpakaian pelacur? Saya teramat malu dan malu…




0 comments: