Dilema
UMNO
Pasca PRU14 menyaksikan UMNO (BN) adalah
parti yang paling menerima pukulan teruk. Ramai seolah-olah masih tidak percaya, PH boleh
membentuk kerajaan. Tetapi itulah hakikat. Dalam demokrasi, kuasa rakyat
menentukan segalanya. Kekalahan BN sebenar sudah dijangkakan. Sebenarnya, rakyat
hanya menunggu tarikh PRU diumumkan. Mereka sudah buat keputusan memangkah PH
dan PAS, 3 bulan sebelum penetapan hari pengundian.
Lebih parah lagi, sudahlah BN tidak
dapat membentuk kerajaan akibat kekalahan itu, banyak pula parti komponen BN
meninggalkan pakatan itu yang bertahan lebih 60 tahun.
Pengajaran buat semua, jagalah rakyat,
rakyat akan jaga kamu, kerana rakyat adalah raja dalam menentukan siapakah yang
akan menerajui kerajaan dalam sistem demokrasi. Jangan khianati amanah rakyat.
Jika khianati, rakyat akan membuat keputusan setiap lima tahun. Sebab itu,
apabila menang, jagalah kerajaan itu sebagai satu amanah, bukan merasakan
kerajaan itu bapak kita yang empunya.
Kerajaan tetap kerajaan. Ia mesti
diiktiraf kewujudan kerana ia berdaulat. Justeru, tidak ada istilah kerajaan PH
atau kerajaan BN. Yang ada hanya kerajaan Malaysia, kerajaan negara atau
kerajaan negeri. PH dan BN adalah hanya ‘ruling party’. Parti yang mengurus dan
mentadbir kerajaan. Parti-parti politik boleh datang dan pergi. Kerajaan yang
akan kekal. Saya mohon agar pemberita dan wartawan supaya melaporkan berita
berteraskan ilmu.
Tidak ada istilah kerajaan PH kerana PH
bukan kerajaan, PH hanya ruling party
sama seperti BN dahulu. Tidak ada istilah ini projek kerajaan BN, tetapi orang
yang mengaji akan menulis, ini projek kerajaan Malaysia. Begitu juga kerajaan
negeri. Kerajaan adalah kerajaan.
Saya suka mengenai analogi kata pedang,
laman sosial Isma, dalam mengulas tewasnya BN dalam PRU14, bertajuk pokok
tumbang, monyet pun lari. Ternyata, semua telah lari, terutama komponen BN di
Sabah dan Sarawak. Cuma yang hanya tinggal di Semenanjung. Saya amat yakin, parti
komponen BN yang lain tidak lama lagi akan lari mengikut jejak parti komponen
BN Sabah dan Sarawak iaitu MCA, MIC, MyPPP dan Gerakan. UMNO akan keseorangan. UMNO akan menjadi BN,
BN itu hanyalah UMNO. Bermakna, UMNO
(BN) hanya ada 54 kerusi.
Kerajaan yang diterajui PH akan menjadi
kerajaan yang kuat mendapat lebih dua pertiga. Mereka boleh berbuat apa sahaja,
jika mendapat mandat dua pertiga, terutama meminda perlembagaan. Apakah bentuk
Malaysia baharu yang akan dibentuk? Sebagai rakyat, saya tunggu.
Benar kata pepatah Melayu . Kawan ketawa
mudah dicari, kawan menangis sukar diganti. PRU14 menyaksikanBN sudah tidak
relevan lagi. Tidak mustahil berkubur.
Pilihan UMNO hari ini tidak lain,
hanyalah PAS. Jika tidak, dalam PRU akan datang, kedua-dua parti ini akan
bertembung sekali lagi di kawasan majoriti Melayu. Sudah tentu ini tidak
menguntungkan. PH akan terus mencapai kemenangan yang lebih bergaya.
Persoalannya, bolehkah PAS dan UMNO
bergabung atau membentuk kerajaan perpaduan. Pada hemat saya, terlalu sukar. Sejak
dahulu PAS berkata, mereka hanya menerima UMNO jika UMNO menerima dasar PAS
iaitu bersama menegakkan negara Islam
Saya tidak nampak PAS akan masuk kepada
UMNO selagi UMNO tidak menerima dasar PAS. Begitu juga untuk UMNO masuk PAS,
juga terlalu sukar. Mungkin hubungan UMNO-PAS akan menjadi lebih baik jika Tengku
Razaleigh Hamzah menerajui UMNO, kerana sebelum ini PAS-Semangat 46 pernah
bersama.
Berdasarkan keputusan PRU14, Banyak
kerusi terutama di kawasan luar bandar dan semi bandar jika digabungkan undi
PAS dan UMNO, memang PH tidak akan
mendapat banyak kerusi seperti hari ini. Dek kerana pertembungan tiga penjuru
ini, yang memberi kelebihan kepada PH untuk menang.
Pemimpin PAS selalu berkata. PAS sudah
biasa bersusah. Kalah menang dalam PRU bukanlah matlamat PAS. Apa yang penting
kepada PAS sama ada dapat bersama membentuk kerajaan atau tidak adalah, Islam
didaulatkan dalam pelbagai aspek terutama syariat. Persoalannya, bagaimana
Islam dapat didaulatkan tanpa ada kuasa?
Persepsi ini perlu diperbetulkan. Suka
atau tidak, jika PAS mahu mendaulatkan Islam, PAS perlu menang lebih banyak
kerusi bagi membolehkan mereka menguasai kerajaan. Untuk menang banyak kerusi
dalam sebuah negara berbilang kaum yang mana majoriti-minoriti tidak tinggi,
seperti 55-45 atau 50-50, bukan perkara mudah. Suka atau tidak, gabungan mesti
dilakukan. Tidak boleh bersendirian. Jika tidakpun dengan bukan Melayu, paling
kurang sesama Melayu.
Pilihan apa lagi yang PAS ada setelah
PPBM dan PAN berada dalam PH. Tidak timbul soal, jika PAS bersendirian,
malaikat akan turut membantu PAS untuk menaikkan bilangan undi. Kecualilah
dengan izin Allah. Rasionallah.
Justeru, tindakan segera yang perlu
dibuat. Pertama, UMNO perlu segera berbincang dengan PAS apakah kerjasama
terbaik untuk menghadap PRU15. Bagaimana hendak memastikan tidak berlaku
pertandingan tiga penjuru.
Kedua, perbincangan UMNO-PAS hendaklah
fokus kepada mengurus perbezaan, bukan lagi mencari titik persamaan. Titik
persamaan tidak akan ada lagi kerana setiap parti mempunyai prinsip dan
perdirian masing-masing. Perbezaan yang sedia ada mesti diuruskan bagi
membolehkan penyatuan atau gabungan menjadi realiti.
Ketiga, PAS hendaklah melupakan agenda
untuk menegakkan negara Islam dan hudud. Manakala, UMNO pula janganlah pula
terlampau kemelayuan atau hidup Melayu. Apa yang penting adalah membentuk
Malaysia baharu dengan berpaksikan perlembagaan persekutuan. Formula telah ada.
Perlembagaan Persekutuan sudah meletakkan kedudukan yang istimewa kedudukan Islam, Melayu, Raja
Melayu, hak istimewa orang Melayu dan Bumiputera dan kebajikan minoriti yang
lain. Maka, fokuslah semua perkara yang disebut ini.
Keempat, harta-harta UMNO yang begitu
banyak bernilai berbilion ringgit ini tidak boleh lagi digunakan untuk
kepentingan peribadi dan kroni tetapi hendaklah digunakan untuk merakyat.
Carilah rakyat yang hidup dalam kemiskinan dan kesusahan. Bantulah mereka.
Hiduplah seperti pemimpin sepert Mahatma Gandhi.
Apabila ditanya oleh rakyat kerana tidak
menaiki keretapi kelas pertama, berbanding asyik kelas ketiga. Maka jawab
Mahatma Gandhi, aku naik kelas tiga kerana tidak ada kelas empat. Dalam maksud,
jika ada kelas yang lebih rendah, sudah tentu beliau akan memilih. Apakah UMNO
sanggup susah sebegini? Tetapi itulah hakikat kehidupan.
Saya memuji sebahagian pemimpin PH yang
sanggup menaiki kapal terbang tambang murah bersama rakyat marhaen, berbanding
kelas pertama mengikut kelayakan. Sudah sampai masanya UMNO belajar, sebab saya
lihat PAS sudah belajar lama.
Kelima, UMNO jangan terlalu obsess dengan
lulusan Oxford dan Cambridge. Institusi ini tidak membawa erti kepada seseorang
individu dan pemimpin, sekiranya jika roh Islam telah mati dalam dirinya.
Mulianya manusia bukan kerana nama tempat dia belajar, tetapi bergantung kepada
taqwa, iman dan amal.
Kesimpulan, banyak lagi muhasabah yang
mahu dilontarkan. Cukuplah sekadar ini dahulu. Apa yang penting, mulakan
langkah pertama dengan segera seperti kata-kata pujangga Cina, Confucius,
ketiap kejayaan bermula dengang langkah pertama. Berbincanglah untuk
menguruskan perbezaan, pastikan akan menemui jalannya, kerana Allah sentiasa
bersama orang yang benar. Maaf zahir batin.
0 comments:
Post a Comment