https://www.ismaweb.net/2018/04/02/pabila-artis-jahil-tahap-murakab/
KEBELAKANGAN ini, saya semakin muak dengan telatah dan
tingkah laku artis yang bergelar pelakon dan penyanyi, meskipun saya juga
bergelar selebriti.
Macam-macam perangai kita jumpa. Ada yang begitu
berani melakukan maksiat secara terang-terang dengan merakam dan menghantar
gambar. Ada yang lain pula, mengandung dan beranak pun nak bagi tahu orang.
Apabila gambar menjadi viral, marahkan orang! Wajarkah? Yang gatal ambil gambar
dan pos gambar pasal apa?
Saya begitu teruja dengan seorang artis yang
menghantar gambar dia memeluk seorang jantan. Berbangga dapat berpeluk dengan
pemain bola sepak Brazil, Roberta Carlos. Rasa seronok memeluk jantan, depan
khalayak. Kalau belakang khalayak mungkin lebih daripada itu. Rela kuserah jiwa
dan raga.
Nak kata perangai macam orang kafir nanti marah.
Tetapi, melihat kepada gelagat mereka, kadang kala perangai mereka lebih kafir
daripada orang kafir. Mana tidaknya, orang kafir kadang faham erti adab sopan.
Malangnya, ada dalam kalangan kita sudahlah tidak tahu adab sopan, malah secara
terang berbangga dengan kemaksiatan yang dilakukan.
Macam-macam perilaku yang pelik yang bercanggah dengan
norma, nilai dan agama. Apabila netizen memberikan komen, artis jahil pun
berkata ‘netizen dengki dengan dia’.
Terus terang, ini bukan soal dengki atau tidak, ini
soal kami dan netizen amat muak dan meluat dengan perangai kamu. Nak dengki
buat apa, kamu bukan saingan kami.
Sebelum ini, ada artis yang membuat pelancaran tudung
dalam kelab malam The Zouk. Bila dikritik, dijawab dengan selamba, ‘aku tau apa
yang aku buat’. Peliknya, apabila kritikan menjadi semakin tular sehingga boleh
menggugat perniagaannya, maka dia bertaubat dan mengeluarkan kenyataan,
menyesal, sesal sesesalnya. Boleh percayakah dengan orang macam ini?
Hina betul orang seperti ini. Lebih hina lagi mereka
berbangga dengan maksiat yang dilakukan. Inilah yang dikatakan sebagai bodoh
tak boleh ajar atau jahil murakab
Bila dah tua esok, sudah tidak laku, sibuk pula mahu
berhijrah dengan bertudung, kemudian berniaga tudung. Pada mereka, berhijrah
itu adalah bertudung. Mereka tidak faham roh bertudung dan roh menutup aurat.
Bertudung tidak semestinya menutup aurat. Ada orang
bertudung, tetapi pakaiannya macam sarung nangka. Sendat sana sini, tertonjol
dan menonjol. Menutup auratkah kalau macam itu, jika sudah boleh nampak
urat-urat?
Wahai artis bertudung yang sudah berubah kononnya,
tanamkan sifat malu pada dirimu, jangan rosakkan imej Islam setelah kamu
berubah.
Saya selaku selebriti TV, selalu bertemu artis-artis
ini dalam program realiti agama. Maklumlah, mereka tampil sebagai tetamu dan
kadang kala menyampaikan lagu berunsur ketuhanan.
Seperti biasa, pemahaman Islam mereka, bila menyanyi
lagu ketuhanan mereka jadi baik sekejap. Lepas itu, faham-faham sahaja lah.
Itulah realiti dunia artis hiburan. Pernah saya bertanya beberapa soalan kepada
artis ketika berlangsungnya program realiti, terutama ketika menjelang Ramadan.
“Apa aktiviti ketika di bulan Ramadan”. Jawapan
standard; “Ya.. dalam bulan Ramadan atau bulan puasa, saya banyak menghabiskan
masa melakukan ibadat dengan berpuasa dan solat sunat Tarawih, bagi menghormati
bulan Ramadan. Aktiviti menyanyi dan berlakon berhenti dan akan disambung
semula selepas tamatnya Ramadan”.
Pemahaman bulan Ramadan mereka sangat sempit. Bulan
Ramadan bulan ibadat, bukan lain bulan… berjahat. Bulan Ramadan tidak boleh
melakukan maksiat, semua aktiviti lakonan dan nyanyian merapu dihentikan. Masuk
bulan Syawal, berpestalah mereka.
Jika inilah pemahaman kita terhadap Islam, seolah-olah
ada hari atau bulan tertentu kena jadi baik, ada bulan tertentu tidak perlu
jadi baik, iaitu boleh berjahat atau bermaksiat, maka sampai bila-bila pun
mereka akan berkelakuan seperti yang disebutkan di atas tadi, seperti memeluk
jantan dan melakukan aktiviti di kelab malam.
Saya masih tidak lupa pengakuan seorang personaliti
Youtube, Nisa Kay yang berkelakuan tidak senonoh ketika majlis pelancaran
tudung artis itu dalam kelab malam dengan aksi yang menghairahkan. Menurut
Nisa, aksi tersebut tidak menggambarkan perilaku sebenarnya.
Katanya: “Saya akui, perlakuan saya itu tidak
seharusnya terjadi dan sama sekali tidak menggambarkan diri saya sebenar serta
imej sebagai wanita bertudung.Saya akui, saya tidak memaparkan contoh yang
baik, lebih-lebih lagi dengan reputasi yang perlu dijaga,” katanya dipetik
sebuah portal berita.
Nisa turut mendakwa dia tidak menyangka video itu akan
tular dan terkejut melihat komen dan posting yang dimuat naik di laman sosial.
Dia juga mengakui: “Ada khilafnya di mana saya lalai dan terbawa-bawa dengan
perlakuan saya seperti mana yang orang ramai sudah saksikan menerusi video
tersebut.”
Dia berharap kejadian itu bukan sahaja memberi
pengajaran kepadanya, malahan kepada orang lain juga.
Saya menonton video yang tular itu. Kenapa seseorang
‘muslimah’ tidak dapat mengawal adab ketika berada di kelab malam? Jawapannya
mudah, kerana kita berada di tempat mungkar. Lihatlah video itu bagaimana gadis
imej bertudung terkinja-kinja macam orang tidak ada agama dan tidak sedar diri.
Kenapa diri tidak dapat dikawal?
Justeru, sudah sampai masa artis-artis bertudung tidak
sekadar bertudung, tetapi pada masa sama mereka perlu ada ilmu dan meningkatkan
ilmu. Kena mengaji agama seperti Allahyarham Azmil Mustapha, Shamsul Ghau Ghau,
Iwan dan lain-lain.
Saya cukup bimbang artis hanya bertudung untuk mencari
populariti. Walhal sebenarnya mereka tidak faham roh bertudung. Bertudung
sekadar fesyen untuk mencari wang tambahan bagi melariskan tudung.
Peliknya, kenapa khalayak sanggup membeli tudung
mereka dengan harga yang bukannya murah. Sedangkan banyak lagi tudung di tempat
lain. Saya ucapkan tahniah followers dan netizen yang mengambil tindakan ‘left’
meninggalkan artis tersebut. Yakinlah! Dengan meninggalkan mereka, saudara
semua telah melakukan tindakan yang bijak.
Tidak perlulah berbangga dengan kemaksiatan yang
dilakukan mereka. Tidak perlu juga mempertahankan mereka sehingga mencetuskan
pergaduhan di alam siber.
Kepada semua artis, jika benar-benar kamu mahu
berhijrah, berhijrah dengan dengan sebenar-benar hijrah. Hayatilah penghijrahan
itu melalui pembelajaran dan penghayatan ilmu. Berhijrah bukan sekadar
bertudung.
Bertudung itu belum tentu menutup aurat. Banyak lagi
perkara yang perlu diketahui apabila bertudung, bagi menjaga maruah dan harga
diri seorang Muslimah.
Prof Dr
Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment