Mufti
tidak boleh cari jalan selamat
Saya agak terkejut apabila ada seorang mufti
begitu aktif dalam laman sosial hatta sampai ke tahap PRU yang sudah semakin
hampir. Jika komennya neutral tidak mengapa juga, tetapi sehingga mahu
menentukan parti tertentu yang seharus dipilih, seperti parti bunga raya. Saya
fikir, ini sudah melampaui ciri-ciri kemuftian.
Mufti ini seolah-olah mahukan kita menerima
parti tertentu dan menolak parti tertentu. Saya fikir ini bukan tugas mufti.
Mufti sepatutnya neutral bukan mahu
menjadikan dirinya relevan untuk semua parti politik, dan membolehkan dia
melompat ke parti yang memerintah nanti.
Mufti tersebut ingin mencari jalan selamat
jika ditakdirkan kerajaan bertukar. Besar kemungkinan, beliau tidak akan
dipecat apabila kerajaan bertukar.
Sudah menjadi kebiasaan, apabila kerajaan
bertukar, maka mereka akan mencari orang baharu yang dapat menggantikan
kedudukan orang lama yang dikatakan pro kerajaan lama.
Di sini kebangangan yang kerap berlaku dalam
politik Malaysia hari ini. Mereka tidak melihat kepada kepakaran atau kebolehan
melakukan kerja. Yang dilihat adalah mereka ini orang aku atau bukan. Jika
bukan, bekukan mereka. Tukar dengan pegawai yang pro mereka.
Saya fikir mereka yang opportunis tidak
selayak memegang jawatan yang begitu penting kepada sesebuah negara.
Saya tidak mempunyai masalah dengan mana-mana
mufti tetapi mencari jalan selamat tersebut sepatutnya tidak berlaku kepada
mufti.
Saya amat yakin apabila kerajaan berubah jika
ditakdirkan, semua mufti akan ditukarkan kecuali satu sahaja mufti yang akan
kekal dan tidak mustahil dilantik sebagai mufti besar atau menteri agama, iaitu
mufti yang terlalu aktif dalam laman sosial, sehingga saya tertanya-tanya
apakah tugas mufti ini sebenarnya? Apakah setiap hari mengaktifkan media
sosialnya.
Sebab itu, saya mohon, mufti tersebut tidak
terlalu pro mengambil sikap menyelamatkan diri kerana ia menjadi terlalu hodoh
untuk orang jahil seperti saya melihat perkara tersebut.
Mufti tidak sepatutnya bercakap dalam semua
perkara, terutama melibatkan politik kepartian.
Saya bukanlah selayaknya untuk memberikan
komen terhadap mufti. Tetapi sebagai rakyat saya mempunyai tanggungjawab
terhadap mufti.
Saya boleh bersetuju dengan beberapa pendapat
bahawa mufti tidak sepatutnya terlalu aktif dengan dengan blog FB, twitter dan
whatsAppnya. Begitu juga menulis puisi dan menulis lagu. Mufti adalah seorang
yang diberikan mandat oleh Sultan atau Raja sebagai pemegang fatwa sesebuah
negeri atau negara.
Pendek kata, tugas mufti amat berat selepas
sultan, termasuk menulis fatwa, menyimpan dan membatalkan fatwa. Mufti sebenar
setaraf dengan hakim. Seperti semua sedia maklum, hakim tidak boleh hidup
seperti rakyat biasa seperti ke pasar, berjumpa orang ramai sewenang dan banyak
lagi. Dia mesti menjaga adab-adab sebagai sebagai seorang hakim. Begitu juga
dengan mufti
Tidak ramai yang mengetahui begitu juga sifat
sebagai seorang mufti. Kata-kata mufti itu mengikat rakyat seperti saya.
Melebihi kitab-kitab lama karangan para ulamak terdahulu. Misalnya, jika ada
ulamak mengatakan bermain gitar itu haram, manakala pendapat mufti itu kata
harus, maka leburlah pendapat ulamak terdahulu. Demikianlah tingginya darjat
seorang mufti.
Dalam kata lain, mufti bukanlah hanya seorang
pendakwah, tetapi lebih tinggi daripada itu seorang pendukung. Tugasnya bukan
menegakkan agama, tetapi memelihara agama. Tidak sepatutnya seseorang mufti
sama cara hidup nya seperti rakyat jelata yang lain, apatah lagi untuk
berpuisi, berblog, bertwitter dan aktif sepanjang hari berwhatsApp dengan
rakan-rakan separti dan sejawatan
Menurut Engku Ahmad Zaki Engku Alwi (2008), mufti adalah tokoh terpenting dalam hierarki masyarakat dan kerajaan Islam. Mufti memikul amanah cukup berat lagi getir dalam memimpin umat manusia amnya dan umat Islam khususnya ke arah kebajikan dan kesejahteraan sejagat. Bahkan mufti adalah satu jawatan yang diberikan kepada seorang alim yang berkelayakan dan berkemampuan serta mempunyai kepakaran dalam pelbagai disiplin ilmu Islam. Akan tetapi tidak semua orang alim itu layak menjadi mufti dan sebaliknya seorang mufti adalah seorang ulama berkewibawaan.
Mufti juga
mendapat kedudukan istimewa di sisi undang-undang di samping mendapat
pengiktirafan daripada Islam sebagai jawatan yang bertanggungjawab penuh dalam
misi penjelasan terhadap isu keagamaan serta mengajak seluruh umat Islam agar
kembali kepada al-Quran dan hadis sebagai wadah kesejahteraan ummah.
Justeru,
mufti tidaklah perlulah menyerang parti-parti politik yang tidak sebulu
dengannya. Cukup cakap secara umum sahaja. Jika mufti mahu juga bercakap
mengenai PRU14 maka tegurlah perkara yang lebih besar yang tidak bersifat
partisan.
Misalnya, perbelanjaan atau pembaziran kempen
pilihan raya sehingga menelan belanja berbilion ringgit. Tidakkah lebih baik
wang tersebut digunakan untuk membantu mereka yang memerlukan seperti fakir dan
miskin, ibu tunggal serta mereka yang berada dalam persimpangan antara hidup
dan mati seperti kanak kanak di Syria yang dibunuh kejam oleh regim Assad.
Saya tidak boleh bayangkan berapa ratus juta
mungkin mencecah billion ringgit
terpaksa digunakan bagi tujuan kempen PRU14 akan datang. Ini tidak
termasuk merasuah pengundi. Bayangkan duit tersebut digunakan untuk membantu
sifakir dan simiskin, berapa ramai dalam kalangan mereka boleh dikeluarkan
daripada kemiskinan dan kepapaan. Berapa ramai pula yang boleh dibantu bagi
merancakkan penglibatan dalam perniagaan.
Semua sudah sedia maklum, rakyat sudah
membuat pilihan parti masing-masing yang mahu diundi. Apatah lagi PRU14 hanya
ada tiga parti besar yang bertanding iaitu BN, PAS, PKR (PH) dalam konteks
Semenanjung. Mungkin sedikit berbeza di Sabah dan Sarawak. Jadi,
berpada-padalah apabila berkempen. Perang poster yang keterlaluan hanya satu
pembaziran yang tidak sepatutnya berlaku tatkala rakyat sudah menetapkan pilihan parti yang akan diundi. Begitu juga
dalam keadaan rakyat dihimpit dengan kos sara hidup yang tinggi.
Mufti patut tampil membuka minda masyarakat,
bukannya turut terlibat meminta rakyat menolak parti-parti tertentu. Ini bukan
mufti namanya. Negara telah menetapkan sistem demokrasi sebagai asas
pemerintahan, bermakna rakyat adalah raja kepada sistem ini. Berilah mereka
kebebasan untuk memilih bila tiba pilihan raya. Tidak perlulah seorang mufti tampil
ke hadapan untuk mendogmakan rakyat. Bila perkara ini berlaku, nampak sangat
hodohnya wajah seorang yang bergelar mufti. Bertindaklah secara neutral.
Contohilah mufti Wilayah
Persetukuan, mufti yang sangat saya hormati. Beliau mengambil tahu isu semasa,
termasuk juga kehidupan kontroversi artis. Aktif dalam laman sosial, tetapi
terkawal dan berpada-pada. Pendapat dan komennya neutral serta menyenangkan. Antara pendapat yang menarik hati saya adalah hukum mengundi calon bukan Islam pada pilihan raya serta melantik mereka
sebagai pemimpin adalah harus, selagi tidak mendatangkan sebarang ancaman
kepada kemuliaan Islam dan kepakaran dalam melaksana tugas.
Kata beliau, hasil penelitian yang dilakukan mendapati tiada dalil muktamad
melarang orang Islam mengundi calon bukan Islam dalam PRU di Malaysia, termasuk
melantik mereka sebagai pemimpin. Namun, mengundi mereka menjadi larangan jika
bukan Islam memusuhi agama Islam dan orang Islam. Bagi golongan bukan Islam
yang tidak bermusuh dengan Islam dan patuh kepada Perlembagaan Negara yang
meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan, maka larangan tersebut tidak
terpakai.
Kata-kata sebeginilah yang kami sebagai rakyat, mahu dengar daripada
seorang yang bergelar mufti, bukannya mengecam pihak-pihak tertentu yang tidak
sebulu dengannya. Saya memuji keberanian sebahagian mufti mengemukakan pendapat
dan hujahnya, tetapi biarlah berani pada tempatnya. Berani berkata benar. Tetapi
jangan pula diam apabila kena kepada kawan baiknya. Bukan apa, mufti yang
terlalu diam pun tidak boleh juga. Nanti rakyat akan berkata pula, mufti ini
tidak buat kerjakah?
0 comments:
Post a Comment