Berlakukah tsunami Melayu?
Sama ada diperangkap atau
terperangkap, apa ke jadahnya seseorang pemimpin atau wakil rakyat beragama
Islam, minum kopi di kelab malam atau kelab karaoke? Tidakkah di situ akan
mengundang fitnah dan mehnah? Saya dah naik menyampah melihat gelagat
segelintir pemimpin yang menyusahkan pimpinan parti untuk menjawab masalah yang
ditimbulkan, gara-gara memenuhi kehendak nafsu sarakah mereka yang tidak dapat
dikawal. Hanya kerana nila setitik rosak susu sebelanga.
Tidak mustahil ultra kiasu
akan menaja makan minum mereka, kerana perancangan licik mahu mencairkan
identiti dan jati diri umat Islam. Malangnya, umat Islam sengaja tidak mahu
ambil tahu atau buat-buat tidak tahu kerana mahukan keseronokan duniawi.
Peliknya, banyak lagi tempat
yang boleh pergi untuk minum kopi atau teh, seperti Warung Pak Mad, Pak Ayob,
Mak Temah, Mak Jenab dan lain-lain warung Pak dan Mak lagi, yang sudah tentu
terjamin halal, kenapa yang dipilih kelab malam atau karaoke? Tempat
bersarangnya arak. Kalau nak standard lagi pergilah ke Paparich dan restoran
makanan segera, atau hotel-hotel berbintang yang tidak terlalu menonjol
kemungkaran. Ini tidak, kelab malam. Nama pun kelab malam, kelab yang
beroperasi pada waktu malam. Mana ada kelab siang jika kelab ini benar-benar
halal.
Kelab malam atau yang sewaktu
dengannya, sudah disinonim dengan tempat
maksiat. Tempat syaitan bersarang. Segelas kopi bukannya murah di situ
berbanding dengan gerai biasa. Ini tidak termasuk berkaraoke. Saya ingatkan
mereka sudah menjadi Islamik dalam zaman kebangkitan Islam sekarang, rupanya
masih ada segelintir yang jahil. Bagaimanakah kita mahu mengharapkan mereka
mampu menjadi imam solat atau memimpin rakyat ke jalan yang benar?
Maka berhati-hati, jika
dipelawa, meskipun dibelanja percuma. Banyak lagi tempat boleh berjumpa. Melambak.
Tak tahu pulak mahu jadi seperti As-Syahid Hasan Al-Banna, pejuang dan
pendakwah hebat, sanggup berdakwah sehingga ke kelab malam. Adakah terdapat pemimpin
sehebat As-Syahid Hasan Al-Banna pada hari ini? Tetapi melihat kepada
perwatakan mereka yang ditangkap, jauh sekali untuk menjadi seperti Hasan
Al-Banna.
Justeru, bertaubatlah wahai
pemimpin sekelian. Berubahlah. Rakyat sedang memerhatikan dan menilai kamu. Meskipun
ditakdirkan rakyat tidak nampak, pasti Allah Yang Maha Mengetahui tahu duduk
perkara sebenar.
Pendek kata, orang sebegini
tidak layak dianggap sebagai pemimpin meskipun nanti dibuktikan tidak bersalah.
Apa tujuan masuk ke kelab malam? Itu satu persoalan yang sentiasa bermain di
kepala saya. Soal terlibat dengan dadah tidak, kencing positif dadah tau tidak,
letak ke tepi dahulu.
Sebelum ini kita telah
dikejutkan dengan pelancaran koleksi pakaian muslimah dan tudung oleh seorang
artis yang kononnya telah berhijrah. Apabila insiden tersebut menjadi viral,
masih lagi mahu mempertahankan tindakannya. Namun, setelah peminatnya naik
muak, mampu menggugat perniagaannya, barulah nak bertaubat. Boleh percayakah
orang sebegini?
Sempena menjelang PRU14, saya
menyeru semua parti politik, supaya mengemukakan calon yang bersih dan
berakhlak mulia, jika dirasakan mereka mahu menang. Begitu juga jika dirasakan
tidak mahu akan berlaku tsunami politik Melayu yang ketara. Tsunami politik
tidak mustahil berlaku jika kita masih tidak berubah. Tidak ada lagi zon selesa
sekarang. Apa jua berita dan kejadian boleh didapati dan dibaca dalam sekelip
mata. Bukan macam dahulu kita disogok dengan media sehala sahaja. Hari ini
makcik-makcik dan peniaga-peniaga pasar pun boleh mendapat maklumat hanya dengan
satu sentuhan.
Saya masih teringat, ketika
bertemu dengan beberapa peniaga pasar dalam mendapatkan pandangan mengenai PRU14,
ketika ditanya, maka jawapannya, tanpa ragu, berasaskan kepada rutin harian
melayan pelanggan; “asalnya bukan dia” Siapakah dia itu? Saya fikir semua sudah
faham apa yang saya maksudkan. Pendapat seorang peniaga pasar ini, boleh
mewakili lebih seribu orang.
Justeru, saya mohon kepada
semua pemimpin parti yang mahu menang, zaman sekarang, rakyat sudah tidak
melihat parti, tetapi memilih pemimpin manakah yang paling berintegriti.
Percaya! Pemikiran rakyat Malaysia sudah berubah. Mereka tidak lagi boleh
digula-gulakan. Apatah lagi dengan ledakan teknologi maklumat. Maklumat boleh
diakses dengan hujung jari, begitu cepat. Kenapa berlaku tsunami pada PRU12
2008? Persoalan yang sudah terjawab. Sama ada berita benar atau tidak, melalui
perkembangan teknologi, rakyat sudah mampu membuat perbandingan.
Justeru, bangunlah. Cerminlah
diri. Bertanyalah. Apakah aku layak menjadi seorang pemimpin? Apakah aku
mengutamakan rakyat atau tidak? Pada hemat saya, beberapa perkara berikut
hendaklah diambilkira oleh pimpinan parti politik sebelum mengenengahkan
pemimpin mereka untuk bertanding dalam PRU14:
Pertama,
pemimpin mesti dapat menunjukkan akhlak yang mulia kepada rakyat. Mereka
hendaklah dalam kalangan yang terdiri daripada kurang melakukan dosa dan
maksiat. Dalam kata lain, pemimpin hendaklah berilmu dan beriman, bagi
membolehkan mereka dapat menjaga diri dan tidak terpesona dengan godaan dunia.
Syarat ini juga terpakai kepada pemimpin bukan Islam. Mereka mesti percaya
kepada kewujudan Tuhan dan patuh kepada perintahNya.
Kedua,
selain daripada ciri-ciri di atas, mereka juga hendaklah juga professional,
terdiri dalam kalangan yang mampu mengurus dan mentadbir negara ini dengan
baik. Lulusan agama atau tidak, tidak menjadi masalah, asalkan mereka terdiri
dalam kalangan golongan takutkan Allah s.w.t atau Tuhan kepada bukan Islam.
Sudah tentu pemimpin yang melangkah ke kelab malam perlu ditolak.
Ketiga,
tunaikan tagline 1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Jika
sudah terlalu banyak duit, tidak perlulah dihabiskan dengan makan minum di
tempat yang mewah-mewah. Gunakan lebihan wang yang ada untuk membantu rakyat
daripada menaburkannya kepada pelayan kelab malam. Keluarkan rakyat daripada
kemiskinan kerana kemiskinan boleh mala petaka kepada negara.
Keempat,
pemimpin yang terpalit dengan pelbagai kontroversi hendaklah memberikan laluan
kepada pemimpin yang kurang kontroversi atau susah untuk dicari kontroversinya.
Utamakan parti parti daripada diri sendiri. Pemimpin akan datang dan pergi,
tetapi parti politik akan terus kekal berjuang dengan idealismanya.
Kelima,
elakkan juga terlibat dengan skandal terutama berkaitan dengan perempuan. Wanita
boleh membawa kita kepada kehancuran jika dihalalkan statusnya. Ramai dalam
pemimpin yang suka kahwin dengan artis, akhirnya terpalit dengan kontroversi.
Saya tidak boleh bayangkan orang kuat Parti Amanah Negara (PAN) apabila
terpalit dengan kancah rumahtangga gara-gara berkahwin dengan artis. Tuhan Maha
Berkuasa, dahulunya dia mengutuk saya hanya kerana tidak sefahaman dan tidak
bersependapat. Hari ini rumahtangganya bergelora dan berantakan. Inikah bentuk
pemimpin yang mahu kita cari? Rumahtangga sendiri tidak terjaga, masakan mampu
menjaga rakyat.
Akhirnya,
rakyat adalah raja dalam sistem demokrasi. Mereka adalah hakim yang akan
menentukan siapakah pemimpin yang wajar diangkat sebagai pemimpin bagi menjaga kepentingan
agama, bangsa dan negara. Pilihlah pemimpin yang paling berintegriti,
berpandukan kepada rasa ‘God fearing’ kerana hanya ini sahaja yang mampu
mengawal dirinya daripada terjebak kepada kerosakan dan kemungkaran, termasuk
minum kopi di kelab malam., meskipun hatinya berniat baik kepada pelayan kelab
malam.
0 comments:
Post a Comment