Bersatu atas
nama Islam (Sinar Harian 28.12.15)
Perpaduan kalangan umat
Islam bukan setakat Multaqa al-Azhar, tetapi lebih daripada itu. Masih banyak
lagi jalan yang perlu dirintis, bagi memastikan perpaduan umat Islam menjadi
realiti dan seterusnya mengekalkan kesinambungan kuasa daripada terlepas kepada
ultra kiasu.
Rakan Umno beritahu saya,
kerjasama sebelum ini gagal kerana segelintir pemimpin Umno merasa tergugat
dengan kehadiran Pas di kawasan mereka.
Perkara yang sama tidak
mustahil berulang, selagi kita tidak ditarbiyyahkan mereka dengan Islam. Ingat!
kuasa itu hanya alat, bukan matlamat. Gunakan kuasa untuk untuk memartabatkan
agama, bangsa dan negara, bukan memenuhkan poket dan membuncitkan perut.
Mengenali Umno sekian
lama, aspek tarbiyyah ini amat kurang sekali, berbanding Pas, yang kadang kala
terlebih ekstrem pula, sehingga ada yang fanatik. Sebab itu, konsep wasatiyyah
yang diperkenalkan PM perlu difahami sepenuhnya orang Umno dan Pas.
Sudah sampai masanya
Umno serius dalam mentarbiyyahkan pemimpin dan ahli mereka. Kembalikan Umno
dahulu. Sanggup berjalan kaki dan berbasikal ke sana ke mari melihat nasib
rakyat. Susah senang bersama. Jika berlaku kematian, mereka terlebih dahulu tercokoh.
Dialah imam, dialah yang baca doa. Itulah baru namanya YB, Yang Berkhidmat.
Ini tidak, rata-rata
kita lihat mereka berlagak dengan kereta mewah dan isteri mewah. Tayang sana
sini. Lebih-lebih lagi yang beristerikan artis. Ini belum termasuk rumah dan
harta yang dihimpun. Susah sangatkah menjadi ‘low profile’? Bukankah ini
menjadi tuntutan dalam Islam? Jika nak himpun harta, himpunlah, tetapi jangan
menunjuk. Rakyat sudah muak.
Saya banyak berjalan ke
rumah kalangan pemimpin Umno. Jarang sekali jumpa rumah mereka kecil, semuanya
mewah belaka. Menjadi pemimpin bahagian, anak beranak turut mewah. Inikan pula
mereka yang berjawatan dalam negeri dan pusat. Bukanlah bermakna mereka perlu
tinggal di pondok kecil. Berpada-padalah.
Dari mana mereka dapat
wang yang sebegitu banyak, sedangkan gaji yang diterima tidak seberapa. Kecualilah
mereka yang sejak asal memang datang daripada keluarga kaya raya. Kadang kala,
mereka tidak ada kerja tetap pun, tetapi hidup mewah.
Semua maklum, segelintir
mereka ada tokeh (funder) di belakang. Funder ini akan dipermudahkan kerjanya
untuk mendapat peluang bisnes, tanah, kontrak dan tender. Sehinggakan tanah
rezab Melayupun boleh terlepas. Sedangkan tanah Melayu ini Allah kurniakan
dengan kandungan mineral yang sangat
tinggi. Kenapa tidak gunakan tanah mineral tersebut untuk anak bangsa?
Misalnya, buat R&D dan buat kilang? Kenapa dijual kepada orang asing?
Dahulu, negeri Perak terkenal
di seluruh dunia kerana kaya dengan bijih timah. Selepas bijih timah dikaut
keluar, ada apa dengan Perak hari ini?
Sebab itulah, pembangkang lebih menfokuskan untuk merampas negeri kaya
seperti Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu daripada Perak. Negeri miskin bukan
keutamaan.
Funder sebeginilah yang
menjadi sumber kewangan mereka. Inilah bentuk rasuah yang sering diperkatakan,
tetapi sukar dibuktikan. Sebab itu, bila ada ultra kiasu yang menjadi kaya
raya, bukan kerana mereka pandai, tetapi kita permudahkan mereka menjadi kaya,
untung atas angin.
Perkara sebegini mesti
disedari oleh Umno jika mahu menghulur tangan dengan Pas. Pas sudah biasa hidup
susah dengan perjuangannya. Sebab itu, Pas tidak kisah memutuskan hubungan
dengan ultra kiasu yang tamak haloba, walaupun ultra kiasu turut mengsonglak balak-balak
mereka di Kelantan. Pas turut memejam mata.
Justeru, untuk
bekerjasama, tidak perlu menuding jari. Tidak perlu juga ‘meleburkan parti’. Mustahil
untuk berlaku kerana setiap parti ada pendirian dan pengikut (fanatik)
masing-masing.
Belajarlah daripada
parti ultra kiasu. Di mana pun mereka berada, apabila pilihan raya, mereka tahu
parti manakah yang perlu dipangkah. Tidak bolehkah Pas dan Umno berfikir
sebegitu?
Justeru, dalam merintis
kerjasama ini, saya mencadangkan; pertama, Umno mesti berubah. Politik wang
yang saya sebutkan secara ringkas di atas mesti dibenteras hingga ke akar umbi.
Imej Umno mesti dibersihkan. Begitu juga Pas. Akhlak mulia dan keadilan menjadi
tunjang utama.
Kedua, jika Umno atau
Pas mencapai kemenangan, sama ada negeri atau pusat. Raikan antara satu sama
lain. Jangan bersihkan segala jawatan, termasuk imam masjid surau, ahli Majlis
dan sebagainya seperti yang dilakukan ultra kiasu di Pulau Pinang. Jika Pas dan
Umno ada kelebihan dan bakat, gunakan untuk kepentingan rakyat. Penilaian
berasaskan bakat dan kekuatan, bukan parti. Itu fanatik namanya. Belajarlah
dari parti Demokrat dan Republikan di Amerika Syarikat.
Ketiga, apa jua
keputusan yang dibuat, ia dilakukan secara ‘win-win’ supaya tidak ada yang
kalah terduduk. Terasnya adalah kebaikan dan keadilan. Yakinlah, manusia akan
tunduk kepada kebaikan.
Akhirnya, Umno mesti
mendidik parti komponen BN supaya lunak dengan Islam. Jangan asyik menentang
agenda Islam apabila ianya mahu dilaksanakan. Mungkin parti komponen BN akan
rasa tercabar dengan kerjasama ini. Tetapi yakin, siapapun yang memerintah,
jika Islam yang menjadi sandaran, bukan Islam tidak perlu bimbang. Allah
melaknatkan mereka yang lakukan kezaliman. Bersatulah atas nama Islam.
0 comments:
Post a Comment