(Sinar Harian 21.12.15)
Saya tidak nampak Presiden Umno kelihatan sangat
terdesak apabila menawarkan kerjasama kepada PAS bagi menjamin kedudukannya
dalam Umno dan Barisan Nasional (BN), seperti yang didakwa oleh ultra kiasu PAS
(Amanah). Inilah sikap negarawan yang sebenar. Menghulurkan tali, bukan
memutuskan. Jika terus memutuskan akan hancurlah negara tercinta ini.
Sepatutnya perkara ini sudah lama berlaku kepada
sesiapa yang memahami realiti politik di Malaysia dengan populasi Islam dan
bukan Islam 50-50. Kecualilah jika mahukan ultra kiasu memerintah.
Apakah kita sudah buta melihat kepada Pakatan Harapan
(Rakyat) hari ini? Siapa yang menentukan segala keputusan? Saban hari tidak
habis-habis mereka menyerang Pas. Mereka mahu Pas sentiasa memusuhi Umno, agar
psywar dan pysopnya berjaya.
Belum apa-apa lagi ultra kiasu sudah menyatakan hasrat
untuk bertanding di 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dimenangi PAS di
Selangor sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. Tidak kenal lagi
ultra kiasu?
Sebelum
ini ultra kiasu Melayu DAP mengingatkan Pas supaya tidak terjerat dalam “perangkap”
Umno, setelah ditipu beberapa kali sebelum ini. Ultra kiasu merujuk kepada
insiden ketika Pas menyertai kerajaan campuran BN 1973, selepas itu ‘ditendang’
keluar pada tahun 1977 serta tragedi Memali pada 1985. Apakah umat Islam perlu
dimangsakan dengan terus mengingati dendam kesumat ini?
Pas
tidak pernah lupa dengan semua insiden ini. Islam yang menjadi “pegangan” Pas menjadikan
Pas sukar untuk lupakan. Presiden dan pimpinan Pas bukanlah bodoh untuk masuk dalam
perangkap Umno. Dalam Pas penuh dengan ulama dan cerdik pandai. Mereka sangat
kenal siapa Umno. Namun, saya amat yakin Pas memutuskan untuk keluar daripada
PR kerana memikirkan kepentingan umat Islam dengan memahami realiti politik
sebenar.
Tidak
dinafikan ada segelintir orang Umno yang masih menolak dan menentang hudud. Tetapi
penolakan mereka tidaklah sejahat penolakan ultra kiasu. Ramai orang Umno yang
pro-hudud, bersangka baiklah.
Ultra
kiasu turut mengingatkan Pas, jika Umno ikhlas terhadap hudud kenapa tidak
laksanakan di negeri yang diperintahnya? Sebenarnya “hudud” itu sudah lama
berjalan, tetapi dimulakan dengan mengIslamisasi institusi-institusi Islam,
seperti Ekonomi Islam, Kewangan Islam, Perbankan Islam dan sebagainya. Manakala,
Pas menfokuskan undang-undang Islam. Sinergi itu sudah ada antara kedua parti
ini. Cuma tunggu realitinya sahaja. Sabarlah sikit.
Ultra
kiasu terus menyerang Presiden Pas kerana terburu-buru mahu bekerjasama dengan
Umno telah mengkhianatinya selama ini, seperti pelanduk melupakan jerat.
Jerat ultra kiasu lebih bahaya dari
jerat Umno. Apakah Pas pernah dibawa berbincangkan apabila PR Sabah memutuskan
hubungan dengan Pas? Ingatan saya kepada Pas, selagi Pas berada di landasan
yang benar, apa yang perlu ditakutkan ultra kiasu.
Pas boleh berdiri tanpa ultra kiasu.
Tetapi belum tentu ultra kiasu boleh berdiri tanpa Pas. Biarlah ultra kiasu meminggirkan Pas, jangan sampai Allah
murka kepada Pas, sudah. Saya bimbang kalau Pas terlalu tergesa-gesa seperti
parti Amanah, tidak mustahil Allah akan gantikan Pas dengan parti yang lain.
Saya bersetuju dengan PM, realiti politik di Malaysia
hari ini, rakyat hanya mempunyai dua pilihan, sama ada satu gabungan parti
politik yang dipimpin Umno atau satu lagi yang dipimpin atau didominasi ultra
kiasu.
Sekiranya umat Islam menolak pelawaan ini, negara ini
akan diperintah mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan
Melayu dan Bumiputera.
Apakah perkara boleh dibiarkan di kala parti lain
memperjuangkan kepentingan bangsa mereka, kita pula terus menjadi liberal?
Dalam PR mereka memperjuang bangsa, dalam BN pun sama tindakannya? Kita terus
melabelkan mereka memperjuangkan bangsa itu asabiyyah? Sedangkan ia hanya alat
untuk mencapai matlamat iaitu Islam.
Pas
mesti bersabar dan istiqamah setiap masa dan rapatkan saf dan jauhkan daripada
sebarang prasangka buruk atau persengketaan. PAS harus tunjuk akhlak yang lebih
baik, berhikmah, bijaksana sebagai role model dalam menangani karenah remeh
siasah. Diam itu kadangkala lebih baik daripada bersuara seperti keldai.
Dalam menyahut sasaran tersebut, saya mencadangkan
agar Umno tidak menyerang Pas bermula dari sekarang, kecuali Pas menyeleweng
dari ajaran Islam. Selagi mana Pas berada di landasan, sokongilah sama ada
secara tersurat atau tersirat.
Pas bukan parti yang boleh dijual beli. Jika
pemimpinnya mahukan kekayaan, sudah lama mereka terus menyertai BN. Tetapi
mereka sanggup keluar, berjuang bersendirian, kemudian berpakat dan sekarang
bersendiri semula. Jawapannya, kerana Pas ada prinsip, bukan seperti Amanah.
Nama sahaja Amanah, tetapi adakah mereka benar-benar amanah, masih belum tentu.
Dalam menuju ke arah itu, saya sarankan agar Umno tidak
perlu bertanding di kawasan yang didominasi Pas. Tidak perlu berhabis atau
membuang duit untuk menyertai pilihan raya dan berkempen. Gunakan wang tersebut
bagi tujuan lain seperti membantu mereka yang memerlukan, seperti membina rumah
untuk mangsa banjir. Fokuskan untuk merampas Selangor dan Pulau Pinang.
2 comments:
Bila nak terjatuh.... kenalah hulur supaya di sambut.
Bila dua parti Melayu bekerjasama, bukan saja kerusi masing-masing akan bertambah malah MCA juga akan mendapat balik kerusi yang hilang. Itupun kalau MCA tidak melatah atau berfikiran cetek.
Post a Comment