Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, October 29, 2018

Tuankah Melayu jika hanya tinggal nama Melayu?

9:42 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2018/10/29/tuankah-melayu-jika-hanya-tinggal-nama-melayu/

Istilah ketuanan Melayu heboh diperkatakan semula, bermula seorang makcik tua bekas menteri bercakap, kemudian disambut oleh menteri muda yang suka tayang body. Mereka mahukan kesaksamaan bagi memastikan Malaysia maju. Benarkah Malaysia tidak akan ke mana-mana jika ada yang mempertahankan kepentingan yang termaktub dalam perlembagaan?

Atas apa tujuan apa ia dibangkitkan, saya kurang pasti. Cuma saya merasa pelik, bila Melayu mempertahankan hak Melayu, itu rasis. Namun, apabila bangsa Cina atau India mempertahankan hak mereka, itu hak. Seolah-olah kita mahu menutup mata bahawa di negara lain tidak mempertahankan kepentingan bangsa masing-masing?

Sedar atau tidak, bahawa setiap negara yang ada di dunia ini, masih wujud ketuanan bangsa, cuma tidak diterjemahkan dalam bentuk nama iaitu ketuanan?.

Apakah Cina tidak ada ketuanan Cina di China. Ketuanan Siam di Thailand. Begitu juga India di negara India. Jika tidak, ada masakan nama Allahabad yang ada bunyi Islam ditukar nama Prayagraj.

Seluruh dunia senyap, apabila nama Allahabad ditukar nama Prayagraj oleh kerajaan India. Menurut sumber sejarah, sebelum ini Allahabad dikenali sebagai Prayag. Ada sumber lain mengatakan sebelum nama Prayag, adalah nama  Khausambi.

Allahabad sebelum itu, dikenali sebagai Illahabas (1584) bermaksud abode of God, diberikan oleh Raja Akbar ketika Islam memerintah India melalui kerajaan Moghul. Selepas itu menjadi nama Illahabas menjadi Allahabad ketika Shah Jahan memerintah. Itu dalam konteks di India.

Di Malaysia, semua orang tahu bahawa apabila disebut ketuanan Melayu, ia BUKAN merujuk kepada Melayu itu tuan, manakala orang lain atau bangsa lain itu hamba. Ketuanan Melayu hanya merujuk Melayu sebagai penduduk asal rantau nusantara ini.

Jika benarlah Melayu itu tuan yang sebenarnya tuan di bumi ini, sudah tentu Melayu sudah menjadi kaya raya, punyai bangunan pencakar langit dan tanah-tanah Melayu yang menjadi kepunyaan Melayu.

Realitinya, Melayu sudah tidak punya apa-apa lagi. Jika di kawasan Kuala Lumpur dan sekitar, majoriti Melayu tinggal di rumah flat, bertanahkan lantai simen. Melayu sudah tidak punya tanah di tanah tumpah lahirnya sendiri.

Semua tanah sudah menjadi milik bangsa lain.

Justeru, saya menjadi sangat musykil, apa ada pada nama nama ketuanan Melayu jika sekiranya Melayu merempat di buminya sendiri.

Jika Melayu benar-benar menjadi tuan di tanah ini, sudah tentu bukan Melayu telah diasimilasikan menjadi Melayu seperti mana Siam menyiamkan orang Cina dan orang Indonesia mengindonesiakan orang Cina.

Tetapi di Malaysia, Cina terus dengan bentuk dan rupa ketuanan Cina. Begitu juga dengan India. Bukan itu sahaja, ketuanan mereka juga dijamin dengan mengekalkan sekolah-sekolah berasaskan bahasa ibunda masing-masing. Malah logo sekolah mereka ada yang sepatah haram pun bahasa Melayu tidak ada.

Jika ketuanan Melayu mengakarkan sudah tentu sekolah sekolah vernakular ini akan dihapuskan seperti yang dilakukan oleh Thailand dan Indonesia. Tetapi ia tidak berlaku.  Malah, sekolah berasaskan bangsa ini semakin bertambah dan mengakar.

Secara tidak langsung, sudah wujud ketuanan Cina dan India sejak bermulanya penghijrahan, sebab tidak berlaku asimilasi seperti mana yang dapat dilihat di Thailand dan Indonesia.

Jika diteliti secara mendalam, hari ini, Melayu langsung tidak menjadi tuan. Tuankah mereka jika semua gedung dan pasaraya dipunyai oleh bukan Melayu?

Tuankah Melayu jika tanah-tanah komersial dipunyai orang lain? Tuankah Melayu jika bahasa Melayu sendiri tidak diutamakan, malah bahasa asing yang mengakar?

Tuankah Melayu, jika jawatan menteri pembuat dasar seperti undang-undang, ketua hakim, peguam negara disandangkan oleh bukan Melayu?

Tuankah Melayu jika Melayu hanya menjadi pekerja bukan taukeh? Tuankah Melayu jika Melayu merempat di bumi sendiri?

Tuankah Melayu apabila kita lihat dahulu nama-nama jalan semuanya ada tulisan jawi, hari ini nama-nama jalan hanya bertulis rumi, ada yang bertulis Cina.

Tuankah Melayu, jika masjid surau hanya ada sekitar 30 ribu, sedangkan rumah ibadat bukan Islam ada 500 ribu?

Sebenarnya, apa yang tidak sama rata dan apa tidak saksama?

Terbaharu, kerajaan hari ini sedang berusaha untuk meratifikasi enam konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu terutamanya Konvensyen Antarabangsa Menentang Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Ini berkaitan secara langsung tentang kedudukan hak istimewa Islam dan Melayu dalam perlembagaan.

Jika ICERD ini dilaksanakan, maka Perkara 3 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kedudukan istimewa diberikan kepada Islam dan bumiputera akan dihapuskan, semua hak menjadi sama rata sama rasa.

Dalam keadaan yang ada perlindungan, kita sudah tenat. Bagaimana jika tidak ada perlindungan langsung.

Hanya kerana Raja Melayu itu raja, Perdana Menteri itu Melayu, adakah cukup untuk mengatakan bahawa kita tidak perlu risau, takkan Melayu hilang di dunia.

Sesungguhnya Melayu akan hilang, jika agenda jahat ICERD ini dilaksanakan. Islam hilang daripada jati diri Melayu. Begitu juga dengan kedudukan ekonomi Melayu.

Adakah Islam begitu rapuh sehingga kita memerlukan perlindungan? Sebenarnya Islam tidak perlukan perlindungan perlembagaan jika kita kuat dan bersatu. Tetapi masalah kita lemah, kita berpecah. Orang lain mengambil kesempatan.

Jika tidak percaya, cuba kalau kita tukar nama Jalan Yap Ah Loi kepada nama Jalan Abdul Rahman. Atau nama Jalan Patto kepada nama Siti Kasim. Atau bandar Goh Tong jaya kepada nama Razak Jaya. Ketika itu apa reaksi ultra kiasu? Tuankah Melayu jika nama-nama yang pelik-pelik terus mengakar menenggelamkan nama Melayu? Sama-sama kita fikir.




Tuesday, October 23, 2018

YB - jangan tayang body, hodoh

12:14 PM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2018/10/23/yb-jangan-tayang-body-hodoh/


YB, tindakan YB mandi ais itu betul! Salahnya adalah YB ambil gambar YB sendiri dan muat turun dalam laman sosial untuk ditonton. Sebab, YB seorang negarawan, bukan artis. Negarawan pada masa sama adalah selebriti, kepunyaan masyarakat, tumpuan khalayak. Khalayak memandang kita. Dalam kalangan khalayak ada kawan, ada lawan.

Justeru, berhati-hati. Kita sudah dewasa YB, dan bukan budak-budak lagi. Jika bersinglet sekalipun tidak wajar dipaparkan. Inikan pula tidak berbaju.

Apa tujuan mengambil gambar tanpa berbaju untuk tontonan ramai? Tayang body ke YB? Hodoh sangat. Mengambil gambar sedang mandi tidak berbaju untuk kegunaan sendiri tidak salah. Tetapi, menjadikan ia tontonan ramai itu salah, kerana bertentangan dengan norma kehidupan dan budaya Melayu Islam.

Jika yang melakukannya bukan Islam, tidaklah kisah sangat. Tetapi bila beragama Islam, kena fikir banyak kali.

Sama seperti gambar insiden YB bekas Menteri Belia dan Sukan bersalam dengan YB Menteri Belia dan Sukan hari ini. Bersalaman itu adalah betul dan dituntut sebagai lambang budaya yang selari dengan Islam. Islam menganjurkan apabila bersalaman, genggam tangan saudara kita, pandang mukanya, senyum, sebagai tanda eratan ukhuwah.

Salahnya, bekas Menteri Belia dan Sukan apabila bersua, Menteri Belia dan Sukan sekarang menghulurkan tangan, maka disalat sahaja oleh bekas menteri, tanpa memandang kepada mukanya. Seolah-olah YB menteri itu bukan siapa-siapa. Saya yakin ia dilakukan dengan niat.

Itu salah YB. Apakah YB merasakan sesuatu kerana tempat YB kini telah diambil oleh seseorang yang lebih muda daripada YB?
Itulah yang selalu saya katakan. Dalam politik hari ini kita berkuasa, esok mungkin tidak. Dahulu YB berkuasa, YB boleh lakukan apa sahaja sehingga saya turut menjadi mangsa. Tetapi hari ini YB sudah tidak ada apa-apa. Bukan siapa siapa.

Sebenarnya, YB tidak perlu pun pergi ke lapangan terbang untuk menyambut atlet kita yang berjaya. Biarkan Menteri Belia dan Sukan hari ini dan gerombolannya sahaja yang pergi kerana menteri berkenaan lebih layak. YB hanya bekas, tidak ada lagi kuasa. Pergipun, antara orang pandang dengan tidak pandang sahaja.

Tetapi YB pergi jua. Sudah tentu YB akan bertembung dengan YB Menteri Belia dan Sukan. YB Menteri Belia dan Sukan pada saya begitu profesional sanggup merendahkan diri pergi kepada YB untuk bersalaman, tetapi YB buat selamba, macam tidak pandang sahaja. Netizen nampak, dan boleh merasakan. Ada sesuatu yang tidak kena kepada diri YB.

YB kena menerima hakikat. YB sudah tidak ada kuasa. Buanglah sifat yang selama ini berserabut dalam diri YB. Jadilah YB yang ‘low profile’ dalam mendaki kareer politik mendatang. Manalah tahu YB akan naik semula. Jangan mangsakan saya lagi. Tetapi perjalanan itu saya lihat masih sukar.

Untuk makluman YB, saya sudah lama berkecimpung dalam media. Saya artis dan selebriti TV. Bukan soal wartawan atau netizen suka viralkan isu kecil berbanding isu besar. Segala gerak geri dan tutur kata YB sentiasa diperhati. Justeru, kenalah sentiasa berhati-hati.

Kita tidak wajar marah wartawan kerana memetik hanya isu kecil dengan melupakan isu besar. Wartawan kerjanya mencari berita dan menjual berita. Mereka berniaga. Berita yang paling sensasi adalah berita yang paling mahal harganya. Sebab itu, mereka akan sentiasa mengekori dan memerhatikan orang sepertii YB dan selebriti seperti artis.
Nasihat saya, sentiasa berhati-hati. Jaga tingkah laku, jaga tutur kata. Sedikit yang kita kata, banyak kepada mereka. Banyak yang kita kata, sedikit kepada mereka.

Misalnya, isu warna stokin dan warna kasut sekolah. Sepatutnya, perkara ini tidak perlu disebut pun. Serahkan kepada juak-juak kita yang berada di kementerian yang kita pegang. Biar mereka yang uruskan segalanya. Tetapi kita mahu berkata juga. Kepada wartawan, berita ini ada nilai komersial. Maka disensasikan. Tular. Jangan salahkan wartawan. Salah diri kita yang tidak cermat ketika berkata-kata.

Isu yang sama juga dalam soal ‘moral policing’. Tidak perlu lagi mengintip atau serbu mereka yang melakukan maksiat kerana dosa peribadi dan mereka berada dalam premis peribadi. Jika mahu lakukan juga, perkemaskan SOP. Niat YB baik, tetapi wartawan melihat di situ ada nilai komersial, maka disensasikan dan viral.

Lagipun YB sudah tentu tahu bahawa akhbar ultra kiasu berbahasa asing ini begitu jahat. Akhbar ini liberal dan anti-Islam sejak dahulu lagi. Silap YB cakap, satu dunia ditular mereka bagi mencari keuntungan. Itulah ultra kiasu.

Sama seperti isu Zakir Naik. Sudah lama wartawan ultra kiasu menunggu ruang dan peluang. Tiba-tiba, tanpa ada angin YB bercakap dan sentuh Zakir Naik. Maka sekali lagi mereka melihat ada nilai keuntungan, maka disensasikan dan tular. Jangan salahkan wartawan, kerana sensasikan berita kecil, salahkan diri sendiri kerana tidak cermat dalam berkata.

YB, jika benar kita dipihak yang benar, YB tidak berkata sedemikian rupa, maka YB ada hak untuk saman mereka hingga ke lubang cacing. Pasti, jika mereka didapati bersalah, mereka tidak akan berani buat lagi. Jika kita tidak berani saman, bermakna, di pihak kita ada juga kelemahannya.

YB, sesungguhnya, kami sebagai rakyat marhaen, amat memahami konsep Rahmahtan Lil Alamin. Kerana rahmat inilah saya memeluk Islam. Insya-Allah, kami akan terus bersama YB untuk mengembangkan konsep yang begitu mulia ini. Tetapi pada masa sama, saya memohon kepada YB cermatlah dalam berkata-kata kerana YB YB semua adalah seorang negarawan.

Manakala, kepada YB yang sudah tidak jadi YB lagi, tidak usahlah menayang, muat turun dalam laman sosial melakukan kerja-kerja dapur menolong isteri, seolah-olah mahu menunjukkan diri sebagai suami yang hebat dengan berbuat demikian. Kelakar sangat sehingga jadi bahan sindiran dan ketawa.

Sepatutnya ketika dahulu sibuk menjadi YB, masuklah ke dapur menolong isteri, baru nampak hebat. Ini tidak, bila dah tidak menjadi YB atau pencen, tidak ada kerja, baru mahu menunjuk-nunjuk menolong isteri, hodoh juga sangat rupanya. Tidak salah, kurang comel gitu. Saya hari-hari ke dapur jika lapang menolong isteri, tetapi tak tunjuk pun.

Ingat YB dan bekas YB, kami hanya rakyat marhaen tidak punya apa-apa, yang sentiasa memerhatikan dan menilai apakah ini kualiti YB YB yang ada sebelum atau selepas.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Monday, October 15, 2018

Terlalu ramai jadi lalang, ikut arah angin bertiup

10:10 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments

https://www.ismaweb.net/2018/10/15/terlalu-ramai-jadi-lalang-ikut-arah-angin-bertiup/

Terlalu ramai jadi lalang, ikut arah angin bertiup

Terlalu ramai jadi lalang hari ini, ikut arah angin bertiup. Hidup tidak berprinsip. Maruah letak di mana? Benar, kita perlu menerima hakikat kerajaan yang dipilih rakyat, tetapi takkan sampai tidak boleh ditegur. Kerajaan bukan malaikat. Kerajaan ditadbir oleh sekumpulan manusia yang tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

Sebab itu, jangan terlalu bongkak. Kuasa boleh datang dan pergi. Nasib yang dialami oleh Barisan Nasional (BN) selepas PRU 14, harus dijadikan iktibar, bahawa setiap sesuatu yang ada di dunia ini tidak kekal. Datang dan pergi. Timbul dan tenggelam. Yang kekal hanya Allah.

Juara Pencetus Ummah (PU) 2015, Syed Bakri berkata beliau berdepan suasana yang berbeza sekarang berbanding semasa BN menjadi memerintah kerajaan Malaysia. Katanya, disebabkan teguran yang diberikan kepada Pakatan Harapan (PH), penerbit program realiti itu, Astro, mengeluarkan teguran kepadanya.

Menurut Syed Bakri, dia diminta memperlahankan “teguran” yang dibuat ke atas kerajaan. Berbeza masa BN memerintah dulu, beliau ada juga membuat teguran yang hampir sama, tetapi Astro tidak pula berbunyi.

Biasalah saudara Syed, itulah resmi lalang, bila ditiup angin. Ikut mana arah angin bertiup.

Menurut Syed, program bersama astro yang dijadualkan terpaksa dibatalkan kerana ada tangan-tangan di atas yang memberikan arahan.

Saya sudah masak dengan permainan dunia media yang telah saya ceburi hampir 30 tahun. Nasihat saya kepada adik-adik terutama pendakwah-pendakwah yang gila mencari publisiti untuk masuk TV, untuk meneruskan hayat periuk nasi, jadilah orang bermaruah seperti PU Syed.

Dakwah bukan sekadar hanya masuk TV. Ruang dakwah terlalu besar untuk kita sebagai pendakwah. Cuma, bersedialah untuk menerima cabaran dalam dakwah. Ambil pengajaran, pendakwah-pendakwah terdahulu, sehingga nyawa jadi gadaian. Kita masih terlalu jauh untuk menghampiri mereka.

Jangan kerana tidak dapat masuk TV, kita terpaksa gadai maruah dan prinsip.

Terimalah hakikat bahawa kuasa bukan di tangan kita. Mereka yang berkuasa berhak melaku apa jua ke atas kita meskipun kita tidak bersalah. Sebab  itu,  saya simpati dengan nasib PU Syed.

Untuk makluman PU Syed, saya ada hos pertama rancangan realiti Pencetus Ummah terbitan Astro Oasis. Saya berjaya menaikkan populariti rancangan realiti ini melebihi sasaran yang ditetapkan, menjadi gilaan tontonan jutaan penonton.

Klip video saya menjadi viral ketika pentas akhir PU, meskipun saya bukan finalis, sehingga menenggelamkan finalis yang lain. Bukan ujub atau bongkak, tetapi itu yang penerbit beritahu selepas tamat program.

 Selepas selesai program realiti tersebut penerbit rancangan tersebut telah menempah (booked) saya untuk musim seterusnya. Saya pun bersetuju atas nama dakwah.

Namun, ketika rancangan Pencetus Ummah musim kedua mahu berlangsung, maka tangan-tangan jahat di atas pun memberikan arahan supaya dihentikan saya, gara-gara artikel saya yang pernah mengkritik kaum tertentu yang merupakan orang kuat Astro.

Nasihat saya kepada semua pendakwah yang terlibatkan dunia media, terimalah hakikat bahawa kuasa bukan bukan di tangan kita. Kita boleh ‘digam’ bila-bila masa jika mereka mahu.

Jangan takut untuk terus berkata benar kerana takut digam. Ruang dakwah kita terlalu besar di luar sana. TV dan media hanya alat, ruangnya terlalu kecil untuk orang seperti kita masuk. Sedangkan badan kita begitu besar untuk masuk ke screen TV.

Ingatlah, rezeki bukan di tangan mereka tetapi di tangan Allah. Mereka yang berkuasa perlu menjawab di akhirat nanti.

Saya telah mencebur diri dalam dunia media hampir 30 tahun. Pahit maung, asam garam telah dilalui, sehingga diberikan panggilan artis atau selebriti TV. Ke mana pergi, semua mengenali. Mungkin itulah kuasa dunia media. Mudah dikenali.

Bezakan kita dengan artis selebriti TV yang lain. Biar kita dikenali dengan ilmu di dada, bukan populariti lain yang penuh sensasi, manipulasi dan kontroversi.

Banyak kali saya telah di gam. Paling teruk, pada zaman anak mamak menjadi Menteri Penerangan dahulu, yang pada hari ini begitu banyak bercakap. Kritik sana, kritik sini, seolah-olah dia terlalu bagus.

Walhal pada zaman beliaulah, paling ramai pendakwah dan pembangkang  digam masuk TV. Seolah-olah TV itu bapak dia yang punya. Sehinggakan mereka yang memakai kopiah pun tidak dibenarkan masuk TV.  Begitu juga pembaca berita, langsung tidak dibenarkan memakai tudung. Siapa dia? Fikirlah sendiri.

Kini, kerajaan yang dipimpin oleh PH berkata mereka begitu terbuka dan sedia dikritik dan macam-macam lagi janji manis.

Justeru, saya mohon, jangan hanya manis dibibir. Tanam tebu di tepi bibir. Berilah ruang dan peluang kepada mereka yang ikhlas, berkata benar dan menjalankan kerja amar makruf nahi mungkar untuk masuk TV, selagi mereka berhikmah.

Kepada pendakwah, jadilah manusia bermaruah. Jangan ikut angin, bila kerajaan bertukar, kita berubah 360 darjah. Dahulu penyokong tegar BN, bila kerajaan berubah, mereka menjadi pembodek tegar kerajaan yang baharu memimpin. Maruah kita seolah-olah lebih hina daripada haiwan.

Bukan bermakna kita menjadi pembangkang. Selaku professional, kita kena terima hakikat, bahawa kita berkhidmat dengan kerajaan sedia ada. Tumpahkan taat setia. Kita perlu menerima segala dasar dan program baharu yang telah dan bakal dirancangkan. Tetapi takkanlah sampai tidak boleh dikritik.

Bila dikritik kita dicop sebagai pembangkang. Maknanya, kita mahukan bila berlaku pertukaran kerajaan,  seolah-olah kita mahu melahirkan pembodek tegar demi untuk mengekalkan kuasa dan jawatan. Maruah kita di mana? Percayalah, semua itu hanya sementara. Kita akan ditanya di mahkamah Rabbul Jalil.

Pendakwah dan apa jua profesion kita, tidak wajar menjadi peminta-minta. Seolah-olah apabila tidak dapat masuk TV, pintu rezeki tertutup, dakwah terbantut. Pelihara maruah kita supaya berbeza daripada makhluk lain.



Monday, October 08, 2018

Kiamat dah dekat jika dua Cina bertemu mereka cakap Melayu

10:21 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments
https://www.ismaweb.net/2018/10/08/kiamat-dah-dekat-jika-dua-cina-bertemu-mereka-cakap-melayu/


APA punca sebenar bahasa Melayu (BM) tidak dapat dikuasai di sekolah vernacular, SJKC dan SJKT? Kita tidak mahu, akhirnya guru juga yang dipersalahkan kerana murid-murid bukan Melayu SJKC/T, tidak dapat menguasai dan menghayati BM.

Sedangkan sebahagian besar mereka adalah guru Melayu, guru terlatih. Kenapa tidak bertanya kepada guru-guru Cina bagaimana mereka begitu berjaya mengajar bahasa Cina, sehingga anak-anak Cina menjadi Cina totok, secina-cinanya. Pernahkah kajian terperinci dibuat kenapa dan mengapa orang bukan Melayu (murid-murid SJKC/T) terlalu miskin BM mereka?

Jangan tertipu dengan Cina ultra kiasu. Hakikat BM di mata orang Cina. Jika ada Cina bertemu Cina bercakap BM. Itu tandanya ‘kiamat sudah semakin hampir’. Sebagai orang Cina, sama sekali saya tidak pernah jumpa apabila Cina bertemu Cina mereka berbual menggunakan BM, kecuali Cina seperti saya dan sahabat-sahabat yang berasimilasi dengan majoriti Melayu. Cina yang memahami agenda hidup bernegara.

Cina yang mendukung agenda negara, sanggup mati mempertahankan negara tercinta. Kerana di sinilah tanah tumpah darahku, cinta bersemadi, rasa sayang yang tidak pernah berbelah-bahagi.

Sebab itu, apa jua cara Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) di SJKC Cina, sekiranya pandangan Cina terhadap BM tidak berubah, buatlah apa cara sekalipun, BM tetap tidak dapat dikuasai.

Soal bahasa adalah soal penghormatan dan penghayatan. Jika ada rasa hormat, kita akan jiwai bahasa itu. Kepada orang Cina, bahasa Melayu tidak ada nilai.

Sebab itu, saya teruja dengan lagu Santesh, bertajuk Amalina. Seorang penyanyi India dapat menyanyi lagu Melayu. Begitu baik sekali penuh penghayatan, seolah-olah dia seorang Melayu. Kenapa? Jawapan mudah, BM telah meresap ke dalam sanubarinya tanpa disedari. Inilah kualiti BM yang kita mahukan.

Penguasaan bahasa bukan sekadar choral speaking yang bersifat hafalan dan sebagainya. BM dijiwai bukan dihafal. Bahasa jiwa bangsa. Bahasa negara untuk dijiwai bukan soal ia ada nilai komersial atau tidak.

Jika Cina benar-benar mahu menghayati BM, saya cabar mereka menyanyikan lagu-lagu Melayu, bersyair, gurindam dan berdebat. Tidak cukup sekadar choral speaking. Mampukah mereka melakukan sebagaimana yang Santesh lakukan dengan lagu Amalina?

Maaf, dahulu, kita lihat begitu ramai penyanyi bukan Melayu menyanyikan lagu-lagu Melayu penuh penghayatan seperti D J Dave, Kenny, Remy dan Martin, Andre Goh dan ramai lagi.

Hari ini, bukan tidak ada. Ada, penyanyi bukan Melayu, tetapi bila menyanyikan lagu Melayu, tanpa penghayatan. Nyanyi lagu sedih, muka nampak ceria gembira. Ini bukan penyanyi tetapi penghafal. Kita mahu mencari penghafal bahasa atau penghayat bahasa jiwa bangsa?

Bandingkan Cina di Indonesia dengan Cina Malaysia. Cina di Indonesia, tanpa melihat rupa mereka, cara mereka menggunakan bahasa Indonesia, sebiji macam Indonesia. Seolah-olah mereka bukan Cina tetapi orang Indonesia. Cina itu Indonesia, Indonesia itu orang Cina. Begitulah hebat penguasa dan pemimpin Indonesia, mengindonesiakan rakyatnya yang berbangsa Cina.

Cina Malaysia, tanpa perlu melihat wajah mereka, dengar sahaja sepatah dua BM yang keluar, kita sudah tahu siapa mereka. Terbitlah kata-kata “bulung bulung telebang di angkase”. Inilah kualiti rakyat negara kita yang berjaya kita lahirkan.
Lihatlah cara pemimpin mereka berbahasa Melayu dalam Parlimen. Tahap BM mereka begitu menyedihkan, walaupun tidak semua. Tahap BM pekerja Bangladesh yang tinggal di sini setahun dua, lebih baik daripada warganegara yang tinggal di sini, puluhan dan ratusan tahun.

Tidakkah kita teramat malu apabila terpaksa mengadakan kursus BM kepada ahli-ahli Parlimen bukan Melayu. Bukankah mereka pemimpin yang seharusnya menunjukkan teladan. Menghadami dan menghayati agenda negara? Mereka rakyat Malaysia atau bukan?

Isunya, bukan soal BM diajarkan secara santai atau tidak? Menyeronokkan atau tidak? Menonton filem P Ramlee atau tidak. Edutainment atau tidak. Ini soal SIKAP (attitude dan aptitude) bukan Melayu terhadap BM, selaku bahasa negara. Soal memandang rendah kepada BM.

Menganggap BM sebagai bahasa tidak berguna. Tidak ada nilai. Banyak bercakap BM dianggap seolah-olah dianggap menjadi Melayu. Menjadi Melayu itu seolah-olah sesuatu yang “soi” (sial).
Saya bukan mengapi perkauman, tetapi inilah realitinya yang amat pahit untuk ditelan, tetapi terpaksa diluahkan. Hati terasa sakit ketika menulis artikel ini.

Berapa jam seminggu BM diajar di SJKC? Betapa seksa Kementerian Pendidikan sejak dahulu untuk meningkatkan masa P&P BM SJKC daripada 180 minit seminggu kepada 240 minit seminggu. Itupun ditentang hebat oleh persatuan-persatuan dalam pendidikan Cina seperti Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong.

Dahulu, ada usaha untuk naikkan kepada 270 minit seminggu, tetapi gagal kerana persatuan Cina bersepakat menentang habis-habisan. Kerana, jika waktu BM ditambah, ia akan menjejaskan mata pelajaran bahasa Cina yang lain. Mereka tidak mahu pelajar Cina menjadi separuh Melayu separuh Cina. Tetapi mahu menjadi secina-cinanya. Inikah cara hidup bernegara?

Dahulu, apabila mata pelajaran sejarah diperkenalkan di SJKC (termasuk SK). Keputusan Kementerian Pendidikan, adalah wajib menggunakan BM. Realitinya, ternyata, ia gagal dilaksanakan di SJKC. Sekali lagi, seluruh persatuan Cina menentang. Akhirnya, sejarah diajar dalam bahasa Cina. Bayangkan sejarah Malaysia yang berteraskan sejarah Melayu, diajar dalam bahasa Cina. Apakah di situ ada penghayatan? Semangat patriotisme ke mana?

Berani kerana benar, takut kerana salah. Jika salah. Saya bersedia bila-bila masa untuk berdebat dengan semua pemimpin persatuan Cina dalam pendidikan. Sediakan masa dan tempat. Saya akan hadir termasuk jika diadakan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Saya tidak pernah takut. Saya cabar mereka hari ini. Sediakan platform untuk kita berbincang perkara ini dengan serius jika kita benar-benarkan sayang negara tercinta ini.

Saya sayangkan bangsa saya. Teramat sayang, kerana inilah ciptaan Allah yang tidak boleh dinafikan. Tetapi, saya lebih sayangkan negara saya. Saya diajar, apabila kepentingan bangsa bertembung dengan kepentingan negara, maka kepentingan negara mesti diutamakan.

Saya mohon kajian secara serius dibuat untuk melihat kedudukan dan tahap BM di SJKC sebelum kita pergi lebih jauh. Apatah lagi sehingga menyalahkan kaedah P&P guru-guru BM di SJKC.

Soal penguasaan BM bukan masalah guru tidak pandai mengajar BM, tetapi soal sikap orang Cina terhadap bahasa negara ini.

Sebab itulah, jika mahu bukan Melayu menguasai BM, ubah sikap mereka. Jadi BM sebagai syarat asas untuk penerusan hayat SJKC. Jika diberikan tempoh masa, SJKC tidak juga berubah, pencapaian BM masih rendah, tukar status SJKC daripada menggunakan bahasa Cina kepada BM selaras dengan Akta Pendidikan 1996.

Saya amat yakin dengan ada syarat ini, tidak lama, seluruh bukan Melayu akan fasih berbahasa kebangsaan.

Dalam melaksanakan agenda negara, mesti ada unsur ugutan dan paksaan. Inilah yang dilakukan oleh seluruh negara di dunia dalam memastikan cita-cita negara tercapai. Jika tidak, ia hanya kosmetik sahaja.

Apakah kita tidak pernah terbaca, bagaimana persatuan ultra kiasu mensyarat guru-guru BM mengajar di SJKC, mesti mempunyai kredit dalam bahasa mandarin peringkat SPM? Maknanya, guru Melayu yang mahu mengajar di SJKC mesti datang daripada SJKC dan SMJKC atau Sekolah Persendirian Cina.

Amat sedih sekali mendengar, kegagalan murid-murid SJKC dalam BM disebabkan oleh guru-guru yang tidak pandai mengajar, sedangkan sosialisasi politik mereka penuh dengan kecinaan yang lebih Cina daripada orang negara China. Saban hari bercakap Cina, baca akhbar Cina, tonton filem Cina, dan semua sosialisasi Cina.

Bolehkah kita memandaikan anak-anak Cina dengan persekitaran penuh kecinaan. Berikan satu bukti kepada saya, terdapatkah negara sebaik Malaysia yang begitu banyak memberikan kelonggaran kepada rakyat dalam melaksanakan agenda hidup bernegara.

Hampir tiada di dunia. Tetapi inilah Malaysia. Kita sanggup gagal hidup bernegara, asalkan kita dapat mengekalkan kuasa. Kita terus berpolitik. Hiba sungguh hati ini. Air mata mengalir tanpa disedari.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Monday, October 01, 2018

Sudahlah bekas ketua pemuda UMNO

10:51 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments
https://www.ismaweb.net/2018/10/01/sudahlah-bekas-ketua-pemuda-umno/


SAYA begitu teruja untuk mengulas gelagat dan telatah bekas Menteri Belia dan Sukan, yang terlalu banyak cakap semenjak dua menjak ini, seolah-olah beliau adalah presiden UMNO, gara-gara Barisan Nasional (BN) telah menjadi pembangkang dan beliau kalah dalam pemilihan jawatan presiden parti.

Beliau terlalu yakin, ahli-ahli UMNO memilihnya. Tetapi telahan beliau silap. Apabila kalah, heboh satu Malaysia mengatakan berlaku politik wang.

Ketika berjawatan menteri, tidak pula berani dan lantang bersuara menegur presidennya dan politik wang yang berlaku. Malah, kementerian yang beliau pegang penuh dengan rasuah. Sukan negara pun tidak sehebat mana ketika beliau memegang jawatan.

Selepas kalah dalam merebut jawatan presiden UMNO, beliau seolah-olah mahu menjadi juara. Mahu dilihat sebagai orang hebat, kawan dan lawan. Sanggup duduk berseorangan di dalam Parlimen ketika pasukannya yang lain keluar. Mahu dilihat hebat konon.

Walhal tidak hebat manapun. Bolehlah berlagak sikit dengan ‘slang’ dan ‘accent’ omputihnya.

Beliau masih bertahan dalam UMNO dek kerana pak mentuanya. Ditakdirkan mentuanya sudah tiada lagi, sudah lama orang sebegini angkat kaki.

Kenyataan beliau ketika menjadi ketua pemuda UMNO dan memegang jawatan menteri, penuh dengan kontroversi dan melukakan.

Beliau juga pernah mengkritik saya dan meminta saya diam, ketika beliau menjadi Menteri Belia dan Sukan, hanya kerana komen sedikit saya mengenai sukan dan kaitan dengan perpaduan. Ada aku kisah!
Saya masih ingat, beliau yang mahu sekolah agama dihapuskan jika mahukan sekolah vernakular dihapuskan sudah cukup melukakan. Ternyata beliau begitu jahil Perlembagaan.

Membandingkan antara sekolah agama dengan sekolah vernakular adalah seperti ibarat langit dengan bumi. Kewujudan sekolah agama adalah berperlembagaan. Sama sekali berbeza dengan sekolah vernakular.

Saya fikir, adalah satu kesilapan keputusan presiden UMNO melantik beliau sebagai menteri ekonomi dalam Babinet bayangan. Kenyataan demi kenyataan beliau tidak melayakkan beliau memegang jawatan itu walaupun berbentuk bayangan.

Beliau juga pernah berkata, bahawa tongkat orang Melayu seperti hak istimewa yang terdapat dalam Dasar Ekonomi Baharu (DEB) perlu dihentikan. Apakah orang sebegini layak menjadi menteri ekonomi.

DEB tidak pernah salah, malah ia berperlembagaan. Yang salah orang yang melaksanakan dan menyelewengkan DEB itu.

Lagi satu, sasaran DEB bukan hanya orang Melayu, tetapi juga bukan Melayu yang memerlukan. Matlamat DEB bersifat serampang dua mata, membasmi kemiskinan dan menyatu padukan masyarakat, tidak kira siapa.

Janganlah kerana seekor kerbau membawa lumpur, akhirnya semua terpalit.

Sebelum ini, beliau ada berkata, lebih ramai pemimpin UMNO akan meninggalkan parti itu. Sebenarnya, termasuk beliau. Hanya kerana mentua masih hidup, maka niat itu ditangguhkan.

Semua yang dilakukan presiden UMNO kini, salah di mata beliau. Beliau sahaja yang betul, seolah-olah beliau mewakili generasi muda meskipun beliau tidak terlalu muda lagi.

UMNO tidak perlu bimbang tanpa beliau. Ramai lagi orang lain dalam UMNO yang lebih baik daripada beliau. Satu lagi perkara, tidak semua yang keluar daripada Oxford atau Cambridge itu bagus. Jika begitulah keadaan, sudah tentu semua yang keluar daripada sana, menjadi orang hebat dan berguna hari ini. Tidak nampak juga.

Mark Zukerberg, gagal di Havard, tetapi beliau jauh lebih hebat daripada beliau. Justeru, saya menyeru kepada pimpinan UMNO tidak perlulah melukut ditepi gantang, seolah-olah beliau terlalu berguna kepada UMNO. Tanpa beliau, UMNO akan terus hidup jika tidak lari daripada landasan Islam. Percayalah.

Lantik mereka yang kental jiwa Islam dan Melayunya. Presiden UMNO berkata, UMNO tidak masalah dengan moto PAS iaitu Islam memimpin. Ya, saya sangat bersetuju. Islamlah nescaya kamu selamat. Masuklah kamu ke dalam Islam sepenuhnya. Ini kata-kata Allah, bukan saya.

Sudah tiba masanya, presiden mengotakan apa yang dikatakan ketika menutup perhimpunan agung UMNO semalam, bahawa keterbukaan beliau ada batasnya. Tidak perlu lagi menyimpan duri dalam daging.
Tidak perlu meletakkan kepercayaan lagi kepada beliau. Beliau bukan siapa-siapa lagi masa kini. Pergi ke masjid pun belum tentu orang pandang. Semua orang tahu latar belakang beliau.

Sedap sahaja beliau berkata, ucapan presiden UMNO tiada hala tuju. Saya begitu teruja untuk mendengar apa pula hala tuju beliau. Sudahlah… nasihat saya, perdalamkan jati diri Melayu dan agama Islam kamu.

Kamu bukan siapa siapa lagi. Hadirnya kamu tidak menguntungkan, perginya kamu tidak juga merugikan.

Saya sarankan beliau keluarlah UMNO daripada sekarang. Tidak perlu lagi segan dan silu dengan mentuanya. Berbincanglah secara baik dengan pak mentua untuk menunaikan hasrat kamu itu.
Saya begitu teruja untuk melihat parti manakah yang sudi menerima beliau. Apakah beliau akan menggariskan hala tuju yang begitu hebat ada pada dirinya.

Dengan kekalahan beliau dalam pertandingan presiden sepatutnya menjadikan beliau lebih ‘low profile’ seperti yang berlaku ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Saya amat yakin, Najib sudah banyak melakukan muhasabah diri selepas BN tewas dalam PRU14 lalu. Air matanya yang tumpah ketika menyanyikan lagu ‘teman sejati’ sudah menampakkan sedikit.

Cuma air mata beliau belum tumpah lagi kerana beliau masih yakin boleh pergi lebih jauh. Sejauh mana, Tuhan sahaja yang tahu. Realitinya, beliau telah kalah. Tidak pasti, apakah boleh timbul kembali atau hilang selama-lamanya.

Dahulu, ketika menjadi pelajar sains politik, saya diajar bahawa politik itu adalah berkait rapat dengan kuasa. Kini, tidak lagi, politik adalah ilmu serba jadi. Jika kamu hari ini menteri, tidak mustahil esok, kamu hilang segala-galanya. Kawan boleh menjadi lawan. Bersedialah. Hanya Islam sahaja yang boleh menyelamatkan kamu.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)