Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, May 30, 2010

Memahami wasatiyyah

7:42 AM Posted by RIDHUAN TEE 43 comments
Mingguan Malaysia, 30 Mei 2010

Belum apa-apa lagi MCA telah membuat tuntutan dua kerusi senator yang telah ditinggalkan oleh dua ahli jawatan kuasa mereka yang telah dilantik sebelum ini. Pada MCA kerusi senator itu hak mereka, mesti diganti setelah disokongkan atas apa jua alasan. Sabarlah dahulu. Berilah PM untuk memikirkan siapa yang layak dilantik sebagai senator.

Saudara baru seperti Cina Muslim pun ramai juga malah melebihi bilangan artis, tetapi mereka tidak pernah mendesak kerajaan BN untuk memberikan kerusi senator, walaupun minoriti lain yang jauh lebih kecil juga mendapat kerusi senator. Ini kerana, kita menghormati keputusan kerajaan untuk melantik mereka yang benar-benar layak, bukan berasaskan kepada kuota parti semata-mata. Jika berasaskan kuota, ramai lagi yang layak. Jangan terlalu memikirkan bangsa sendiri yang mahukan more power more say, tidakkah lebih baik kita perkasakan dulu kekuatan dalaman dan moral parti, more integrity more say

Begitu juga dengan MIC, tidak semena-mena parti nyamuk ini mahu mengkaji kedudukan mereka dalam BN gara-gara kumpulan serpihan yang tidak sehaluan dengan pimpinan mereka, Gerakan Anti Samy (GAS). Mereka menuduh UMNO bersubahat dengan GAS untuk menjatuhkan presiden mereka. MIC merasakan mereka terlalu kuat. Apakah mereka tidak sedar bahawa selama ini parti nyamuk inilah yang paling bernasib baik? Tidak ada kawasan yang mereka adalah majoriti tetapi wakil mereka tetap ada dalam dewan rakyat dan dewan negara serta berjawatan dalam kabinet.

Majoriti Melayu sanggup memejam mata mengundi mereka dengan menafikan calon sendiri, semata-mata untuk menjaga semangat setiakawan. Ini tidak termasuk bilangan rumah ibadat yang begitu banyak berselerak dan penguasaan ekonomi beberapa bandar strategik yang diwakilinya sehingga mengenepikan pribumi. Selain dari Kelang, cuba tinjau di pasar Hutan Melintang, Bagan Datoh, boleh dikatakan dikuasai mereka sepenuhnya. Maklumlah wakil rakyat mereka terdiri daripada ultra kiasu.

Kita janganlah terlampau ultra kiasu. Parti komponen BN ini tidak wajar bertindak seolah-olah seperti atau mewakili suara parti ultra kiasu. Cubalah bersyukurkan dengan apa yang ada, yang mungkin tidak ada pada orang lain, tetapi ada pada kita. Janganlah terlampau mengada-ngada kerana ia bertentangan dengan konsep wasatiyyah atau berimbang, konsep baru yang akan diperkenalkan dan selalu disebut-sebut oleh Perdana Menteri. Mungkin ada kalangan kita yang tidak memahami istilah Arab ini.

Baru-baru ini, kami telah dipanggil oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri untuk memperhalusi konsep ini. Saya amat bersyukur sekali kerana pimpinan negara mengajak rakyat bersama-sama berbincang sesuatu dasar sebelum ianya dilaksanakan. Itulah sebenarnya jalan yang terbaik, kerana demokrasi itu adalah dari rakyat untuk rakyat. Berilah peluang kepada suara keramat ini untuk menyuarakan pendapat. Pendapat mereka adalah pendapat akar umbi kerana mereka merakyat walaupun tidak menjadi wakil rakyat. Kekuatan rakyat yang terdiri daripada pelbagai latar belakang perlu digembeling, barulah kita boleh jadi kuat. Rasulullah SAW selalu menilai kekuatan dan meraikan pandangan para sahabat, walaupun Baginda seorang Rasul. Tanpa rakyat siapalah kita. Terima kasih Dato’ Seri Jamil Khir.

Pada saya, konsep wasatiyyah ini bertepatan dengan gagasan 1Malaysia yang mahu melahirkan masyarakat berimbang (sederhana), berteraskan perlembagaan persekutuan. Seperti gagasan 1Malaysia, konsep ini bukanlah sama rata dan sama rasa atau terletak di tengah-tengah seperti tidak miskin atau tidak kaya, tidak terlalu panas atau terlalu sejuk, persimpangan antara syurga dan neraka, tidak pandai atau tidak bodoh yakni sederhana sahaja. Tuntutan wasatiyyah mahukan kita menjadi umat yang terbaik. Boleh menjadi kaya-kaya tetapi jangan sampai hilang pedoman sehingga lupa tanggungjawab kepada Maha Pencipta and makhluk yang dicipta. Boleh membangun, jangan sampai pembangunan itu merosakkan akal budi manusia dan alam sekeliling.

Pada saya, konsep ini juga selari dengan tuntutan semua agama, tidak hanya kepada agama Islam. Lawan kepada wasatiyyah adalah ultra atau ekstrim, termasuk kumpulan ultra kiasu. Kita tidak boleh terlalu mengejar dunia sehingga mengabaikan akhirat. Begitu juga sebaliknya, terlalu mengejar akhirat, sehingga melupakan dunia. Apapun, kena berimbang. Nabi pernah menegurkan beberapa sahabat yang terlalu mementingkan akhirat sehingga melupakan nikmat dunia, misalnya tidak mahu berkahwin kerana ada yang menganggap perkahwinan itu hanyalah mainan dunia sehingga boleh melalaikan tanggungjawabnya kepada pencipta. Tetapi Nabi juga berkahwin, bermakna dunia adalah jambatan ke akhirat. Jadikanlah kehidupan dunia sebagai yang terbaik untuk mendapat habuan di akhirat.

Kata-kata George Carlin patut dijadikan renungan dalam memahami konsep wasatiyyah: The paradox of our time in history is that we have taller buildings but shorter tempers, wider Freeways, but narrower viewpoints. We spend more, but have less, we buy more, but enjoy less. We have bigger houses and smaller families, more conveniences, but less time. We have more degrees but less sense, more knowledge, but less judgment, more experts, yet more problems, more medicine, but less wellness.

Ingatan Carlin ini patut dijadikan panduan. Kehidupan terbaik adalah kehidupan yang penuh bermakna di dunia ini, dengan menjadi hamba yang taat kepada segala perintah dan menjauhi laranganNya. Kehidupan di dunia jangan sampai melalaikan tanggungjawab kita terhadapNya kerana, kerja itu adalah ibadah. Maksud ibadah tidak hanya terhad kepada amalan-amalan spiritual atau ritual, tetapi juga melibatkan fizikal atau jasmani. Apa juga tindakan kita di dunia adalah ibadah selagi mana ia tidak bertentangan dengan ajaran agama. Bekerja, berkeluarga, makan minum, bermain, riadah dan segala tindakan kita seharian termasuk aktiviti di bilik air adalah ibadah jika dikerjakan dengan betul.

Pendek kata, mendapatkan yang terbaik itu dalam kehidupan seharian, dalam apa jua bidang, tanpa melupakan tanggungjawab kita kepada Pencipta dan juga sesama manusia, serta menjaga segala amanahNya di muka bumi ini, bersekali dengan amar makruf nahi mungkar, adalah dalam lingkungan maksud wasatiyyah atau berimbang. Negara maju berteraskan integriti dan moral yang tinggi akan dapat dilahirkan. Barulah kita merealisasikan maksud “Baldatun Thayyibatun Wa Rabbun Ghafuur” negara makmur yang mendapat keampunan Allah SWT (Surah Saba’ ayat 15).

Allah telah menetapkan syarat bahawa untuk menjamin kemakmuran, keamanan dan kesejahteraan yang mapan, sesebuah negara mestilah seperti yang di sebutkan dalam Surah Al A’raaf, ayat 96 yang bermaksud: Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan.

Justeru, sifat ikhlas harus menjadi tunjang konsep ini. Firman Allah dalam Surah Al Bayyinah, ayat 5, yang bermaksud: Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar.

Hakikatnya ialah perjuangan untuk menegak kebenaran adalah suatu yang sukar. Tiada jalan mudah untuk ditempuh. Surah At Taubah, ayat 42, bermaksud: Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang sudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu, tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka.

Memang menjadi tabiat semulajadi manusia jika membuat sesuatu pekerjaan, dia mahu melihat natijahnya dengan segera. Firman Allah dalam surah Al-Anbiyaa’, ayat 37, bermaksud: Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru dalam segala halnya.
Namun mengikut fitrah perjuangan, sesuatu natijah tidak dapat dilihat atau diperolehi dalam masa yang singkat. Mereka yang mahu menyertai sesuatu perjuangan perlu menerima hakikat ini agar mereka tidak berasa kecundang sekiranya apa yang diperjuangkan itu tidak membuahkan hasil dalam masa yang singkat.

Mereka yang mengharapkan kejayaan dalam masa yang singkat biasanya menjadi mangsa cita-cita dan mudah kecewa. Dasar Ekonomi Baru (DEB) adalah contoh yang jelas. Kita janganlah terlalu kecewa kerana dasar ini masih belum mencapai matlamatnya walaupun tempoh masanya telah tamat. Dua puluh tahun adalah jangka masa yang singkat. Kekuatan dan kelemahan hendaklah dijadikan panduan untuk menggubal Model Ekonomi Baru (MEB) yang sedang hangat diperkatakan hari ini.

Saya telah dijemput beberapa kali dalam wacana model ini. Apa yang saya lihat di kalangan pakar-pakar ekonomi kita mahu memperlihatkan dan menunjukkan ‘kehebatan’ mereka sehingga memingkirkan dasar afirmatif yang menjadi tunjang kepada DEB sebelum ini. Apabila mereka membuat sesuatu dasar, mereka mahu dilihat nampak hebat dan dapat diterima semua, sehinggakan perkataan atau roh Islam langsung tidak disebut. Kita seolah-olah takut untuk memasukkan unsur-unsur afirmatif yang berpihak kepada Islam dan Melayu seperti yang termaktub dalam perlembagaan kerana takut mengguris perasaan orang lain. Sedangkan adakah orang lain begitu menjaga perasaan kita? Pada kita, memasukkan kedua-dua unsur ini dianggap sesuatu yang sensitif. Justeru, tidak hairanlah kadangkala agama dan identiti sendiri merempat di bumi sendiri.

Misalnya program Colours of Malaysia, kenapa tidak gunakan perkataan ‘Warna warni Malaysia. Tidakkah ia nampak lebih gah? Hina sangatkah bahasa kebangsaan ini? Adakah kata-kata ‘Warna-warni Malaysia’ tidak bersifat international? Pernahkah kita bertanya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka? Tidak ada negara lain di dunia ini yang terlalu mendewa-dewakan bahasa lain selain bahasa kebangsaan mereka, tanpa menolak kepentingan bahasa lain? Kementerian Pelancongan perlu memahami semangat 1Malaysia yang sebenar.

Kepentingan bahasa kebangsaan mesti didahulukan, berbanding bahasa lain, barulah menepati wasatiyyah. Pelik juga kadangkala, adakah kita ingin mengajar para pelancong yang rata-rata memahami bahasa Inggeris? Sampai bilakah kita mahu memperkenalkan budaya sendiri? Saya yakin perkara ini tidak akan berlaku di negara lain seperti Thailand dan Indonesia, kerana mereka amat kuat jatidirinya. Dengan sebab itu, kita lihat semua program dan produk luar dialihbahasakan dalam bahasa mereka sendiri.

Konsep wasatiyyah tidak boleh terlalu mendewa-dewakan identiti orang lain. Ilmu dan identiti negara bangsa harus menjadi tunjang. Tanpa ilmu dan identiti, apa jua konsep dan gagasan yang dikemukakan sukar untuk diterima. Lebih-lebih lagi jika ianya dipolitikkan.

Kadangkala sedih juga mendengar bila mana kita sanggup menyediakan sejumlah RM3 juta untuk tabung dana pembelaan artis untuk membantu warga seni. Tertanya-tanya saya, adakah hanya artis layak dibantu? Bagaimana dengan tabung kebajikan akademik, sejarawan, budayawan, karyawan, wartawan dan sebagainya? Apakah mereka tidak menyumbang kepada kerajaan dan negara?

Kenapa bila disebut sahaja artis kita begitu beriya-iya dengan berbagai pertandingan itu dan ini, serta anugerah yang hebat-hebat? Namun, bila sebut sahaja ilmuan dan agamawan, penuh dengan seribu tanda tanya? Bukan tiada, tetapi masih kurang. Saya amat mengharapkan konsep wasatiyyah akan dapat mengimbangi semua perkara ini agar gagasan 1Malaysia dapat direalisasikan.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, May 23, 2010

Bina kekuatan menangi hati Muslim

8:01 AM Posted by RIDHUAN TEE 35 comments
Mingguan Malaysia, 23 Mei 2010

Berbagai-bagai alasan diberikan oleh beberapa parti komponen BN atas kekalahannya dalam pilihan raya kecil parlimen Sibu. Pemimpin MCA secara lantang berkata kekalahan tersebut sebagai pembuka mata atau eye-opener kepada BN supaya mengkaji dasar-dasarnya selama ini. Saya yakin ia ditujukan kepada UMNO. Sepatutnya, MCA diam-diamlah dahulu, buat post-mortem dan muhasabah diri. Ini tidak, asyik menyalahkan orang lain. Pada saya, MCA tidak layak untuk memberi komen sedemikian, cerminlah diri sendiri dahulu. Adakah kita terlalu baik? Adakah benar dasar-dasar hari ini menyisihkan bukan Melayu secara total? Jangan kata dulang paku serpih, mengatakan orang dia yang lebih. Berterus teranglah, MCA lebih suka DAP menang daripada SUPP. Siapapun yang menang, semuanya ibarat adik-beradik.

Parti ultra kiasu dan sekutunya amat yakin bahawa kemenangan ini adalah jalan menuju kepada penguasaan Petrajaya dan Putrajaya. Kita boleh berangan-angan tetapi biarlah berpijak di bumi yang nyata. Jangan seperti Mat Jenin. Akhirnya, bukan sahaja kecewa, tetapi terlepas segala-galanya.

Semua sedia maklum bahawa kawasan bandar yang dipenuhi oleh ramai pengikut ultra kiasu. Bandaraya tetap akan membangun walaupun sesiapa jua ahli parlimennya. Sibu bernasib baik kerana telah dijanjikan peruntukan 18 juta kepada sekolah Cina, begitu juga dengan peruntukan pembangunan lain. Kes yang sama berlaku ketika pilihan raya kecil Hulu Selangor. Maknanya, apapun yang berlaku di bandar, mereka tidak rugi apa-apa walau sedikitpun, malah dapat bertambah banyak.

Saya masih tertunggu-tunggu bantuan untuk sekolah agama dan sekolah kebangsaan di luar bandar seperti Sekolah Kebangsaan Sungai Ranggam dan Kota Stia di Seberang Perak, tanah tempat tumpah darahku. Bila saya balik kampung baru-baru ini, hati begitu hiba. Keadaannya amat daif dan menyedihkan. Bilakah peruntukan akan sampai ke sana? Tunggu pilihan raya kecil? Sekolah tersebut tiada kemudahan komputer, bangunannya seperti hidup segan mati tak mahu. Begitulah beruntungnya tinggal di kawasan bandar. Sedih kadangkala melihat keringat pak tani, berusaha bersungguh-sungguh agar anak mereka menjadi manusia berguna, malangnya keadaan sekolah tidak menimbulkan rasa minat untuk belajar hanya kerana pak tani dan orang kampung berada di luar bandar.

Kadangkala saya terfikir adakah bantuan demi bantuan kepada sekolah berasaskan kaum memainkan peranan besar dalam memperkasakan gagasan 1Malaysia?

Pada hemat saya jika bantuan disalurkan ke kawasan luar bandar, pasti undi tidak lari ke mana. Tetapi jika hanya disalurkan ke sekolah seperti yang berlaku dalam dua pilihan raya kecil yang lalu, belum tentu lagi mereka akan mengundi BN. Pada mereka, masa inilah untuk menambah apa yang telah dapat, namun mengundi BN jauh sekali. Kerana pada mereka, sama ada wakil Sibu BN atau DAP, bandar akan terus membangun.

Saya sudah dapat meramalkan bahawa parti ultra kiasu akan memenangi pilihan raya tersebut, walaupun Zentrum Studies Futures Studies meramalkan BN akan menang tipis. Zentrum perlu lebih mendalami politik selain daripada pengajian media. Pilihan raya parlimen Hulu Selangor adalah bukti kukuh betapa peranan psiki sesuatu bangsa itu perlu difahami sebelum memahami persepsi mereka. Kajian silang budaya amat penting selain daripada melihat persepsi.

Ini kerana, politik bukan hanya berasaskan kepada persepsi semata-mata, politik mesti juga difahami dengan psiki sesuatu bangsa itu dahulunya yang berpegang kepada prinsip more money more say, tetapi sekarang mereka menapak selangkah lagi kepada more power more say. Pada saya itulah hakikat sebenar, sebab politik amat berkait rapat dengan kuasa. Semua orang mahu kuasa dan lebih kuasa, kerana dengan kuasa sahajalah mereka boleh lakukan apa sahaja dan mendapat apa sahaja yang diingini. Kuasa ini jugalah yang menjadi punca manusia sesama bangsa dan berbilang bangsa dalam sesebuah negara dan dunia, hidup dalam berantakan. Sedang kita tahu kuasa sepatutnya digunakan untuk memakmurkan muka bumi ini dan seisi makhluknya.

Pada saya, sama ada MCA, DAP, SUPP atau Gerakan yang menang di Sibu, keadaan tidak akan banyak berubah. Siapa pun yang menang, mereka tetap satu, hanya ada satu, tidak dua atau tiga. Nasib tidak menyebelahi Barisan Nasional disebabkan oleh kita tidak cekap berstrategi dalam menghadapi mereka.

Pada masa sama, isu judi bola sepak yang menjadi sensitiviti umat Islam dan isu merampas kerajaan negeri yang diperintah oleh pembangkang berkumandang. Saya hairan kerana BN begitu beriya-iya ingin merampas kerajaan negeri tersebut, tunggu sajalah dua tahun lagi. Biar rakyat membuat keputusan dan menghakimi. Hormatilah pilihan rakyat buat sementara ini. Gunakan wang dan tenaga untuk memperkasakan yang apa yang sedia ada daripada memujuk parti-parti pakatan rakyat untuk menyertai BN. Apa yang perlu dilakukan oleh BN adalah membina kekuatan dan memenangi hati umat Islam yang menjadi majoriti. Memperkemaskan lagi kedudukan negara Islam sebagaimana yang telah diisytiharkan oleh bekas PM Mahathir Mohamed.

Ini kerana, berasaskan kepada pilihan yang kecil Sibu, PAS mendakwa bahawa ultra kiasu telah menerima konsep negara Islam yang diperjuangkannya yang pada saya jauh panggang dari api. Usahkan tanya ultra kiasu, sekutunya itupun yang diketuai oleh orang Islampun belum tentu akan menyokong idea negara Islam PAS itu. Namun, jika begitulah kedudukannya, sudah sampai masanya UMNO mengetuai BN untuk memahamkan parti-parti komponennya akan hakikat negara Islam dalam konteks negara moden hari ini.

Setelah 52 tahun merdeka, kita teramat ingin melihat UMNO dapat mempengaruhi parti komponen BN, bahawa negara Islam yang diperjuangkan UMNO berbeza dengan negara Islam PAS yang lebih menekankan undang-undang hudud semata-mata. Saya juga amat teruja untuk melihat ada beberapa anggota kabinet bukan Melayu memeluk agama Islam disebabkan oleh peranan yang dimainkan oleh kita sepertimana kejayaan yang telah ditunjukkan oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman, PM pertama.

Jika kita tidak dapat bersetuju dengan konsep negara Islam ala PAS, tidakkah lebih baik kita mulakan dengan mencari persamaan untuk melaksanakan asas-asas kehidupan beragama yang mahukan kebaikan dan menolak kemungkaran. Saya tidak nampak ada satupun agama di dunia ini yang menghalalkan judi, arak, zina, pergaulan bebas dan sebagainya. Semua agama menuntut kita sentiasa membesarkan Tuhan masing-masing dan berakhlak mengikut suruhanNya.

Jika asas ini dapat diterima, saya agak musykil kenapa judi bola sepak boleh menjadi isu, sedangkan kita tahu syarikat yang mendapat lesen judi tersebut adalah seorang yang amat kuat berpegang kepada Kristian. Berikan justifikasi mengikut ajaran Islam, Buddha, Kristian dan Hindu akan pengharaman judi. Saya tidak perlu nyatakan ayat-ayat yang disebut dalam kitab-kitab tersebut kerana sudah terang lagi bersuluh. Jangan sampai kita tidak nampak ianya ada dalam al-Quran sudahlah.

Pandangan Islam soal judi memang sudah terang lagi nyata. Tidak ada mana-mana agama di dunia ini yang boleh menerima sebarang unsur perjudian. Alangkah hina satu-satu agama itu jika mereka menghalalkan judi. Pendek kata, apa pun berkaitan dengan judi adalah haram. Ramai yang bertanya kenapa saya diam membisu tanpa sebarang komen ke atas isu ini?

Saya ingin menyarankan kepada pihak berkuasa supaya membuat kajian terlebih dahulu sebelum melaksanakan sesuatu dasar. Ya, dari satu segi kerajaan mahu mengelakkan judi haram, namun kita perlu timbangkan mudarat yang lebih besar. Cukuplah hari ini kita sudah berserabut dengan masalah umat Islam yang terlibat dalam gejala sosial yang amat menakutkan. Tidakkah dengan bertambahnya lagi pusat judi ini akan menjadikan kita semakin parah. Walaupun kita katakan ia untuk orang bukan Islam, tetapi tidakkah kita membuat kajian bahawa betapa ramai umat Islam yang membeli nombor ekor hari ini walaupun tertulis dengan jelas, umat Islam dilarang masuk di premis tersebut, begitu juga perjudian mereka ke Genting Highland.

Jika kita terus membiarkan kemungkaran ini berleluasan, yang menjadi mangsa bukannya bukan Islam walaupun mereka tidak kisah dengan perkara tersebut, tetapi hakikatnya yang akan menjadi mangsa adalah umat Islam. Saya fikir, sudah sampai masanya, BN patut mengambil pendekatan berani kerana benar, takut kerana salah. Yang putih tetap putih dan hitam tetap hitam, tanpa takut kepada sesiapa. Jika dengan prinsip ini, BN kalah juga, apa nak buat, kita serahkan kepada Allah SWT. Melayu tidak akan berpaling tadah jika UMNO mahukan Islam, walaupun tidak melaksanakan hudud. Saya cukup yakin inilah intipati gagasan 1Malaysia yang berasaskan kepada perlembagaan dan rukun negara ke arah ingin melahirkan masyarakat yang sejahtera. Peranan Islam dan Melayu amat terserlah dalam perlembagaan. Cuma menunggu perlaksanaannya.

Saya masih masih berpegang kepada pandangan selagi UMNO mahukan Islam, selagi itulah sokongan Melayu Islam tidak akan berganjak, malah akan bertambah. Namun, jika sebaliknya, semakin liberal UMNO, UMNO akan kehilangan sokongan Melayu, walaupun mungkin bukan Melayu suka dan pada masa sama belum tentu mereka akan mengundi UMNO. Begitu juga, dengan PAS, semakin liberal PAS, semakin ia mendapat sokongan bukan Melayu, tetapi dia akan kehilangan sokongan Melayu itu sendiri. Jadi, mana satu yang mesti dipilih? Kita mesti pilih yang terbaik antara dua persimpangan ini, sebab kadang kala kita tidak dapat kedua-duanya sekali.

Begitu juga dalam konteks kehidupan politik bernegara. UMNO yang menjadi parti tunjang BN yang memerintah perlu menunjukkan teladan yang terbaik. Malaysia adalah kepunyaan rakyat Malaysia. Gunakanlah segala kekayaan negara untuk memakmurkan rakyat, bukan sibuk mengahwini celebriti. Saya yakin PM mampu melakukan berasaskan gagasan 1Malaysia yang berteraskan perlembagaan. Kita tidak perlu rasa takut jika kita berada di landasan yang benar.

Pada masa sama, bukan Melayu perlu ingat, presiden UMNO adalah juga pengerusi BN dan Perdana Menteri Malaysia, bebannya amat berat. PM perlu memikirkan kebajikan semua rakyat tanpa mengira bangsa. Ini tugas negarawan. Sedangkan parti-parti politik berasaskan kaum hanya memikirkan kaum mereka sahaja. Adalah sesuatu yang tidak adil jika kita menyalahkan BN tanpa muhasabah diri sendiri. Adakah adil jika kita terus mendesak untuk mendapatkan sesuatu yang sebenarnya telahpun kita dapat? Janganlah terlalu memikirkan more money say more power more say. Sudah sampai masa kita bersama-sama memperkasakan agenda membina negara bangsa selaras dengan gagasan 1Malaysia.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, May 16, 2010

Apakah Melayu akan terus melayu?

7:28 AM Posted by RIDHUAN TEE 88 comments
Mingguan Malaysia 16 Mei 2010)

Pecah, pecah, pecah…sampai bilakah kita akan terus berpecah. Perpecahan umat Melayu Islam sudah sampai ke akar umbi. Mutakhir, kerabat diraja dilanda dengan perpecahan yang membawa kebimbangan patik. Ia turut terbawa-bawa dengan pakar-pakar perubatan yang terlibat. Sebagai pacal yang hina dan rakyat jelata, izinkan patik menyorot sedikit fenomena nasib Melayu di bumi Melayu. Apakah petanda ini menunjukkan bahawa kita sudah tidak mampu bertahan lagi. Harap dijauhkan oleh Allah SWT.

Dalam aspek apapun, kita bermasalah. Politik, asyik berpecah. Ekonomi tidak kuat, hanya 8 orang tersenarai daripada 40 orang terkaya di negara kita. Pemilikan ekuiti bumiputera masih pada tahap di bawah 20 peratus. Mereka yang kaya, hidup dengan cara kayanya. Kadangkala lupa memandang ke bawah bak kata pepatah, bila pandang ke langit, sudah lupa bumi yang dipijak. Dalam bidang Sosial, kita dilanda dengan pelbagai gejala sosial yang menakutkan. Saya amat yakin anak luar nikah yang dibuang dan dibunuh adalah dari kalangan kita.

Tahun 2009 sahaja, hampir 20 ribu anak luar nikah Islam dilahirkan dan didaftarkan. Ini belum termasuk mereka yang menagih dadah, berada di pusat pemulihan, di penjara dan berbagai tempat maksiat yang tidak senonoh dan gejala-gejala lain yang kita sedia maklum seperti tidak solat, merempit, pergaulan bebas, liwat, hasad dengki, bercerai dan sebagainya. Setelah dicampur-campur, berapa jumlah sebenarnya umat Islam yang baik dan berkualiti yang masih tinggal dan boleh diharapkan untuk menjayakan gagasan 1Malaysia?

Jika kita lemah di sana, kuat di sini, masih tidak mengapa. Sekurang-kurangnya kita masih ada back up. Misalnya, ekonomi lemah, politik kuat boleh back up atau sosial lemah, ekonomi kuat back up, begitulah timbal balik seterusnya. Ini tidak, dari politik, sosial, ekonomi dan namakan apa sahaja bidang, boleh dikatakan semua kita lemah. Kita lemah atas bawah, depan belakang, kiri dan kanan. Saya tercari-cari di manakah sudut sebenarnya kita kuat? Apakah keadaan ini yang menyebabkan orang lain mengambil kesempatan?

Ini membuatkan saya mengimbau kekuatan Alam Melayu di zaman lampau, ketika mereka mula menerima Islam setelah sekian lama di bawah pengaruh Hindu-Buddha. Kenapa ketika Islam datang ke Alam Melayu 600 tahun lalu, umat Islam boleh menerima agama baru ini dan seterusnya melupakan segala persengketaan sesama mereka? Yang hanya ada dalam fikiran mereka adalah membina kekuatan dan keyakinan sehingga menjadi bangsa bertamadun. Terbukti, Islam berjaya menyatukan mereka. Melayu Islam menjadi umat yang kuat, gagah dan bertamadun. Kerajaan Islam Melaka menjadi tumpuan seluruh dunia. Secara tiba-tiba nama Alam Melayu melonjak di mata dunia.

Tidak dapat dinafikan berlaku pasang surut apabila Alam Melayu mula ‘dijajah’ oleh barat. Itupun Tanah Melayu tidak dijajah dalam konteks yang sebenar, kerana raja-raja Melayu masih lagi menjadi ketua negara walaupun kehilangan sedikit kuasa. Penjajahan yang sebenarnya masih tidak berlaku kerana orang Melayu masih mempertahankan pemerintahan feudal ketika itu. Walaupun ada berlaku perebutan kuasa antara raja-raja ketika itu, tetapi ianya tetap dapat diselesaikan dengan cara berhikmah.

Kita lihat, semangat Melayu tidak pernah luntur. Sedaya upaya mereka cuba menghalau orang asing yang cuba menjajah mereka. Pejuang-pejuang ketika itu sanggup gugur dan ada yang syahid di medan perang. Kekuatan ini amat menakutkan barat. Terfikir saya, ke manakah hilangnya kekuatan tersebut? Apakah hari ini semangat tersebut telah hilang? Apakah kita sengaja membiarkan ia hilang atau ada perkara lain yang masih belum kita ketahui?

Ini menjadikan saya teringat protokol Yahudi zionis yang mahu menghancurkan Islam melalui pelbagai perancangan dan perencanaan mereka. Saya pernah terbaca Resolusi Mesyuarat Cendekiawan Zionis di Brussels, Switzerland tahun 1897. Intipati resolusi ini lebih kepada perancangan Zionis untuk menakluk dunia dari pelbagai sudut.

Sehingga kini, mereka tidak pernah putus asa untuk menguasai dunia, bermula degan menguasai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan NGO antarabangsa. Dengan cara itu mereka dapat menguasai ekonomi, politik, kewangan, sosial, agama dan semuanya seperti yang dirancangkan. Tidak ada satu pun sejarah besar dunia yang tiada kaitan dengan Yahudi. Sejarah dan bukti kini menceritakan segala- galanya.

Di negara kita misalnya, jika kita tidak bijak menguruskan kepelbagaian kaum di tanah air tercinta ini, sudah lama Yahudi Zionis mengambil kesempatan untuk menapak. Mujur dengan kebijaksanaan pemimpin kita yang terdahulu dan kini, keharmonian kaum dapat dibentuk melalui penguatkuasaan undang-undang serta dasar-dasar kerajaan walaupun ada segelintir yang menjadi gunting dalam lipatan dan musang berbulu ayam.

Orang-orang Yahudi mempercayai bahawa mereka adalah tuan kepada dunia ini dan mereka tidak pernah percaya kepada orang lain. Kalau boleh mereka menghapuskan semua agama, terutama Islam dan seterusnya menjadikan orang lain hamba mereka.

Berikut saya ringkaskan 24 protokol Yahudi untuk tatapan semua. Mudah-mudahan kita dapat mengkoreksi diri untuk melihat di manakah kedudukan kita sebenarnya. Apakah kita telah benar-benar telah menari di atas rentak yang telah dimainkan oleh Yahudi agar kita menjadi lemah dan melayu agar kita dikuasainya.

Protokol Yahudi berpegang kepada sebaik-baiknya memerintah dengan menggunakan kekerasan dan keganasan. Siapa kuat dia dapat. Pemerintah yang berpandukan moral bukanlah ahli politik yang bijak. Justeru, mereka akan cari pemimpin yang tidak bermoral, tetapi pandai mentadbir. Matlamat mesti menghalalkan cara.

Yahudi akan cuba mempengaruhi negara-negara lain untuk mengikut telunjuknya melalui bantuan-bantuan yang diberikan. Nilai satu nyawa Yahudi bersamaan seribu nyawa orang lain. Caranya dengan memporak-perandakan negara lain terutama kalangan negara Islam. Umat Islam hidup keadaan nafsi-nafsi. Yahudi akan cuba menghapuskan segala bentuk kepercayaan agama serta mengikis daripada hati mereka prinsip ketuhanan dan jihad, serta menggantikannya dengan ilmu sekular serta lain-lain keperluan duniawi.

Sekiranya ada di kalangan bangsa lain cuba mengatasi bangsa Yahudi dari segi sains, politik dan ekonomi, maka Yahudi mestilah menyekat mereka dengan cara menimbulkan pelbagai bentuk syak wasangka dan perselisihan sehingga wujud konflik sesama mereka. Iran adalah contoh terbaik sasaran Yahudi hari ini. Yahudi sedaya upaya cuba menghapuskan Iran. Begitu juga mereka yang menjadi duri dalam daging.

Bagi memastikan matlamat Yahudi ini tercapai, maka mereka bertindak memusnahkan perusahaan bangsa lain, iaitu melalui cara merosakkan sumber pengeluaran dengan memupuk tabiat suka kepada maksiat (kejahatan) dan meminum arak di kalangan pekerja, serta mengambil langkah menghapuskan golongan terpelajar dari kalangan bangsa lain. Kita lihat semua teknologi terkini dikuasai Yahudi, kita hanya menjadi penonton dan pengguna. Apa yang berlaku di Iraq dan Timur Tengah adalah contoh yang terbaik.

Orang-orang Yahudi akan menabur fitnah supaya timbul keraguan, kekacauan, pertelagahan dan permusuhan sesama sendiri. Bila timbul penentangan terhadap Yahudi, maka Yahudi mengambil kesempatan dengan menyambutnya melalui ancaman kacau bilau dan peperangan secara total di seluruh dunia.

Pemerintah Yahudi dikelilingi oleh segolongan besar pakar-pakar ekonomi dan orang Yahudi sendiri dikelilingi oleh ribuan ahli-ahli korporat, jutawan dan usahawan. Yahudi akan membawa masuk racun ‘liberalisma’ ke dalam negara-negara lain supaya menggugat kestabilan politik mereka. Pilihan raya diatur supaya dapat memberi laluan kemenangan kepada pemimpin-pemimpin yang dapat mewakili mereka sebagai agen Yahudi dalam melaksanakan rancangannya. Apakah kemunculan pakatan parti ultra ada kaitan? Sama-sama kita fikirkan.

Penguasaan media antarabangsa dengan propaganda tertentu digunakan sewenang-wenangnya hari ini atas dasar kebebasan atau hak asasi manusia. Kalau bangsa lain diberikan permit menerbitkan 10 akhbar atau majalah, maka bangsa Yahudi mesti menerbitkan 30 akhbar atau majalah. Perkara ini amat penting kerana ia adalah alat untuk mengubah fikiran masyarakat dunia agar menyebelahi propaganda Yahudi.

Bagi memastikan kejayaan usaha-usaha memonopoli dan mempercepatkan proses keruntuhan, maka bangsa Yahudi bertindak menghapuskan golongan korporat dari kalangan bangsa lain, di samping mengadakan spekulasi dan menyebarkan projek mewah, pesta-pesta serta pelbagai bentuk hiburan, kerana semua ini akan menelan kekayaan mereka.

Untuk mengalih perhatian mereka daripada memikirkan persoalan politik, maka agen Yahudi akan membawa mereka kepada kegiatan-kegiatan hiburan yang melalaikan, seks bebas, filem dan bahan porna, sukan, pesta dan sebagainya, sehingga mengalpakan kita daripada agama. Apabila mendapat kekuasaan, Yahudi akan membunuh tanpa belas kasihan terhadap setiap orang yang menentangnya. Tidakkah apa yang berlaku di Palestin menjadi pengajaran kepada kita?

Selain itu, Bank Antarabangsa Yahudi akan memberi pinjaman kepada bangsa lain dengan kadar faedah yang tinggi. Pinjaman yang sedemikian, akan menyebabkan pertambahan kadar hutang berlipat kali ganda. Ekonomi bangsa lain akan lumpuh secara outomatik kesan pertambahan hutang tersebut. Yahudi menggantikan pasaran wang dengan institusi hutang kerajaan yang bertujuan untuk menetapkan nilai perusahaan mengikut pendapatan kerajaan. Institusi ini akan menawarkan pasaran 500 sijil pinjaman perusahaan dalam sehari atau membeli sebanyak itu juga. Dengan cara inilah segala perusahaan akan bergantung kepada Yahudi.

Pada masa sama, Yahudi juga akan memastikan kerajaan bangsa lain hendaklah diserahkan kepada mereka yang tahu selok belok pemerintahan. Hanya mereka yang boleh menunjukkan sikap keras, kejam dan boleh memerintah dengan tegas, akan menerima teraju kerajaan daripada pemimpin-pemimpin Yahudi. Yahudi tidak pernah memberikan peluang kepada umat Islam yang bermoral untuk memerintah. Mereka akan cari pemimpin yang tidak bermoral sebagai pengganti walaupun mungkin terlibat dengan pelbagai skandal.

Berdasarkan ringkasan 24 protokol ini, amat jelas sekali bahawa protokol Yahudi hampir menguasai ke semua bangsa dan negara di dunia ini. Hanya masa yang akan menentukan hasilnya jika diizinkan oleh Allah SWT. Sebagai umat Islam, sudah pasti kita wajib menghalang perancangan jahat Yahudi laknatullah ini.

Cara dengan mengelakkan orang Melayu Islam daripada menjadi melayu seperti layunya rumput semalu bila disentuh. Yahudi gertak sahaja, kita sudah takut dan menurut kata mereka. Saya cukup kagum dengan cara Iran menghadapi serangan dan perancangan Yahudi. Walaupun sebahagian kecil rakyatnya sudah dirosakkan, tetapi disebabkan oleh ketegasan pemimpinnya atas dasar Islam, Yahudi hari ini masih gagal lagi untuk menembusi Iran.

Kita tidak perlu meniru Iran kerana gaya dan cara hidup mereka berbeza. Cuma semangat presiden Ahmadinejad perlu ada pada kita supaya tidak mudah terpengaruh propaganda yahudi dan perlu yakin dengan kekuatan hidup beragama. Melayu tidak akan layu jika berpegang kepada Islam. Jika Islam yang menjadi rujukan dan cara hidup, kita akan terus mendapat kekuatan. Pokoknya, bagaimanakah untuk merealisasikannya? Ia bermula dengan mengelakkan atau mengurangkan perpecahan. Bersangka baiklah sesama kita. Seburuk-buruk kita, kita tetap bersaudara. Berkawanlah sesama saudara daripada berkawan dengan musuh atas nama Islam.

Saya teringat cerita Cina dahulu kala antara Mencius dan anak muridnya. Anak murid ini mahu menguji kepandaian gurunya. Anak murid ini membawa seekor anak burung dan bertanya kepada gurunya. “Adakah burung di tangannya itu hidup atau mati?” Murid ini pandai, jika gurunya berkata hidup, dia akan genggam anak burung itu sampai mati. Jika gurunya kata mati, dia akan longgarkan genggamannya supaya burung itu hidup. Tujuannya, agar apa jua jawapan gurunya tetap salah. Tetapi murid tidak tahu bahawa gurunya itu lebih bijak. Guru itu menjawab dengan selamba, “masa depan burung itu terletak di tangan kamu”.

Pengajarannya, masa depan anak bangsa negara kita terletak di tangan kita. Marilah kita realisasikan kata-kata Mencius ini, tell me, I will forget. Show me, I may remember. Involve me, I will understand. Hari ini tidak kira, apa jua ideologi dan latar belakang kita, maruah agama, bangsa dan negara mesti diselamatkan daripada tangan-tangan yang cuba menghancurkan kesucian. Jika perlu campurtangan kita mesti campurtangan sebelum yahudi dan seterunya masuk secara perlahan-lahan. Sebenarnya yahudi itu sudah berada di depan mata kita.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, May 09, 2010

Kebenaran itu selalunya pahit

6:59 AM Posted by RIDHUAN TEE 36 comments
Mingguan Malaysia 9 Mei 2010

Saya diminta oleh rakan-rakan Cina Muslim supaya berhenti menulis dalam kolum ini kerana pada mereka penulisan saya itu merugikan dakwah, yakni menjauhkan orang bukan Islam daripada Islam. Lebih teruk lagi saya dituduh menyamar dalam blog untuk mempertahankan diri daripada diserang oleh ulat-ulat ultra kiasu yang sebenarnya mereka yang menyamar untuk menyerang saya. Terus terang, saya tidak ada masa untuk menyamar sana sini, lagipun saya tidak berminat melayan ulat-ulat ini dengan merendahkan pemikiran saya sama seperti mereka. Terima kasih banyak terhadap mereka memahami perjuangan saya dan terus memberikan suntikan semangat untuk saya terus berkarya.

Cuma izinkan saya untuk menjawab kenapa saya terus menulis dalam akhbar ini dan seterusnya dimasukkan dalam blog saya. Tidak ada manusia yang rasional yang mahu mencari masalah. Kita mahu berkawan dengan semua orang tanpa mengira bangsa dan darjat keturunan kerana kita semua adalah pendakwah. Tanggungjawab berdakwah adalah tanggungjawab semua, bukan tanggungjawab mereka yang bergelar ustaz atau ustazah sahaja. Tidak ada niat langsung untuk menjauhkan bukan Islam daripada Islam. Saya hanya ingin membawa pembaca mengenali diri saya yang lahir dalam sebuah keluarga totok Cina yang tinggal dalam persekitaran Melayu. Keadaan ini tidak menjadikan saya Melayu, apatah untuk menjadi lebih Melayu dari Melayu. Saya tidak pernah lupa asal-usul, apatah lagi untuk mengkhianati bangsa sendiri.

Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Memang pahit untuk menelan kebenaran, apatah lagi ia menyentuh soal bangsa. Tetapi apa boleh buat, bila berlaku pertembungan antara kepentingan bangsa dan agama dan negara, maka kepentingan agama dan negara mesti diutamakan. Jika apa yang saya katakan itu tidak benar, marilah sama-sama kita buktikan. Jika kumpulan ultra kiasu ini terlalu baik bagi kita, buktikan sifat-sifat kemailakatan mereka? Apakah mereka benar-benar dapat menyelamat agama dan negara kita? Jika ditakdirkan mereka memerintah nanti, apakah agama Islam benar-benar dapat dimartabatkan? Saya tidak mengatakan bahawa keadaan hari ini sudah baik. Tetapi sudah tidak ada jalan lainkah sehingga kita terpaksa berkawan dengan musuh? Musuh yang memang sudah kita kenali sejak dahulu lagi iaitu musuh dalam selimut dan musang berbulu ayam.

Saya tidak menjadi masalah jika kawan sepakatan itu benar-benar ikhlas dan bukan musuh Islam. Tetapi mereka sudah berterus terang sejak dahulu lagi, supaya langkah mayat mereka jika mahu menegakkan Islam. Masih tidak kenalkah lagi musuh itu? Masih kita boleh bersangka baik dengan musuh itu? Musuh kita itu bukan sahaja berada di luar, malah ada juga di dalam.

Lihatlah campurtangan mereka dalam hal ehwal dalam agama kita. Mereka begitu bersatu hati. Kita pula sebaliknya, asyik berpecah dan menyalahkan UMNO. Ada yang sanggup berkata UMNO Laknatullah, UMNO Zionis dan sebagainya. Adakah wajar untuk kita bertindak sedemikian? Seburuk-buruk UMNO, jasa mereka tetap ada selama 52 tahun memimpin kerajaan. Begitu juga dengan peranan pembangkang sebagai check and balance.

Sebagai ahli akademik dalam bidang politik dan kerajaan, saya fikir saya berhak memberikan pendapat sedemikian. Lagipun penulisan saya adalah dalam bidang kepakaran saya. Saya tidak boleh biarkan otak menjadi tumpul dengan tidak diasah atau hanya membaca bahan-bahan akademik sahaja seperti jurnal. Kita perlu tahu perkembangan semasa. Saya tidak mahu menjadi segelintir ahli akademik hanya fokus menulis jurnal sahaja, sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial untuk menyedarkan khalayak. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan penulisan jurnal langsung tidak dibaca oleh khalayak. Mungkin ahli akademik akan marah kepada saya atas hujah ini. Saya juga menulis dalam jurnal, tetapi penulisan tersebut tidak cukup untuk mengatakan kita adalah seorang ahli akademik hebat. Penulisan jurnal ada kekuatannya tersendiri. Tetapi kita tidak boleh hanya terlalu bergantung kepada jurnal. Tidak semestinya penulisan jurnal itu akademik, di luar jurnal tidak akademik. Ia bergantung sejauh mana penulisan itu dibuat dan sejauhmana kita dapat mengajak khalayak berfikir.

Pada saya, ahli akademik hebat ialah mereka yang dapat membuka pemikiran dan menyedarkan khalayak. Menyedarkan khalayak bangun berjuang terutama dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Terlalu banyak menyelidik sehingga tidak tahu apa yang berlaku di luar sanapun tidak boleh juga. Lebih menyedihkan lagi bila penyelidikan dan penulisan tersebut tidak dapat dimanfaatkan. Oleh kerana syarat naik pangkat itu dengan menulis jurnal, maka kitapun menulis secara ekstrim sehingga lupa tanggungjawab yang lain.

Justeru, saya menyeru kepada kita semua agar cuba menjadikan khalayak dapat berfikiran lebih jauh kerana berfikir sejenak lebih baik daripada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat, itulah janji Nabi. Thinking is the highest form of learning process. Apalah ertinya kita boleh menulis berkajang-kajang dalam jurnal, sedangkan pemikiran itu tidak dimuntahkan kepada khalayak untuk difahami. Terkadang-kadang saya sedih melihat kita seolah-olah syok sendiri, bergerak dalam dunia sendiri. Bahan penulisan tidak dibaca, bila bercakap, bahan yang dibicarakan tidak menarik perhatian dan tidak berjaya menjadikan khalayak berfikir lebih jauh. Mereka dengan dunia mereka sahaja. Saya fikir ini tidak betul. Dengan sebab itu, pangkat profesor di negara kita berbeza sedikit dengan professor di negara maju.

Di negara maju, mereka yang dilantik ke jawatan profesor adalah mereka yang kaya dengan ilmu dan pengalaman yang dapat dimanfaatkan oleh khalayak. Seorang ahli perniagaan yang tidak ada kelayakan akademik, tidak mustahil dilantik menjadi profesor disebabkan kekayaan pengalamannya itu untuk dikongsikan dengan khalayak. University of heart knock atau universiti pengalaman kadangkala lebih banyak manfaatnya kepada sasaran khalayak.

Logiknya memang jelas. Misalnya profesor akademik dalam bidang bisnes. Profesor ini boleh menulis berkajang-kajang dalam jurnal sehingga dilantik menjadi profesor dan profesor jusa A, B dan C atau mungkin turus. Namun professor ini langsung tidak ada pengalaman dalam bidang bisnes. Mungkin juga profesor ini hanya menambah ilmu melalui buku karangan pengalaman ahli perniagaan tersebut. Sedangkan kita sedia maklum, mereka yang hebat adalah mereka yang pernah jatuh bangun dalam perniagaan dengan ciptaan-ciptaan dan rekaan-rekaan yang hebat. Henry Ford, pengasas Ford Motor Co. pengeluar kereta Ford yang dikagumi dunia.

Begitu juga dengan Konosuke Matsushita, pengasas barangan barangan elektrik sehingga berjaya menubuhkan Matsushita Electric Industrial Co. Rata-rata mereka ini tidaklah mempunyai kelayakan akademik yang hebat, tetapi kehebatannya diserlahkan melalui ciptaannya sehingga diakui dan dimanfaatkan seluruh dunia. Sejak kecil lagi mereka sudah menunjukkan minat dalam bidang penyelidikan enjin dan permotoran berbanding perladangan yang diusahakan oleh ibubapanya. Hari ini, ada kalangan mereka yang telah pergi. Mereka bukan sahaja berjaya membuktikan kepada dunia, namanya terus disebut-sebut dalam industri yang diceburi. Mereka layak diangkat menjadi profesor yang sebenar.

Pun begitu, Ford dan Matsushita masih tidak dapat menandingi kehebatan Nabi Muhammad SAW. Begitu juga tokoh-tokoh hebat di dunia. Rasulullah adalah seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Tetapi kehebatan ketokohannya dikagumi dunia. Hatta tidak seorangpun yang boleh menandingi Baginda seperti yang dinukilkan oleh Michael Hart dalam bukunya The 100, a ranking of the most Influential Persons in History. Hart menobatkan Nabi Muhammad SAW sebagai nombor satu mengalahkan Nabi Isa, Nabi Musa, Buddha serta tokoh sains terhebat seperti Isaac Newton, Einstien, Galileo dan sebagainya. Ringkasnya, kita dapat katakan Rasulullah adalah bapak kepada segala profesor. Semua manusia merujuk Quran dan hadis sebagai sumber panduan.

Saya selalu bercakap kepada golongan akademia, kita perlu berpijak di bumi nyata. Misalnya, saya sempat mengenali beberapa professor dalam bidang dakwah kepada non-Muslim. Mereka boleh bercakap dan menulis dalam jurnal berjela-jela panjangnya. Tetapi seorangpun tidak masuk Islam di tangan profesor tersebut. Maknanya ilmu tidak berpijak di bumi nyata atau down to earth, tidak boleh diaplikasikan dalam konteks khalayak. Kenapa? Kerana mereka kurang pengalaman. Syok dengan dunia sendiri. Mereka masuk dan keluar dari hutan orang asli atau berdakwah kepada orang Cina, tetapi mereka tidak dapat menyelami psiki golongan sasaran.

Saya mohon maaf jika ada mereka yang bergelar professor tersinggung dengan tulisan ini, tetapi itulah hakikat sebenar. Saya mengakui, tidak semua profesor sedemikian, saya hanya menyentuh segelintir daripada mereka yang terlalu bersifat akademik sehinggakan penulisan dan percakapan mereka langsung tidak dapat difahami. Mereka hanya boleh berbangga dengan berkata, inilah standard aku. Namun bila mereka berpijak di bumi nyata, berhadapan khalayak, percakapan dan penulisan mereka hambar dan tidak difahami.

Mungkin ada juga yang berhujah dengan mengatakan, penulisan mereka itu adalah untuk golongan tertentu. Jika begitulah keadaannya, ilmu ini hanya untuk golongan tertentu sahaja. Sedangkan kita sedia maklum, Nabi Muhammad SAW mempunyai pengetahuan yang begitu luas bukan untuk orang Islam atau bangsa tertentu sahaja. Tetapi ilmu yang dibawa oleh para anbiya adalah untuk seluruh makhluk yang ada di muka bumi.

Justeru, saya amat tertarik dengan saranan Timbalan Perdana Menteri bahawa kenaikan pangkat mereka ke jawatan profesor tidak hanya semata-mata dinilai dengan penulisan jurnal, tetapi perlu juga dilihat sejauhmanakah mereka dan penulisan serta penyertaan mereka dapat dimanfaatkan oleh khalayak dan menjadi khalayak untuk berfikir lebih jauh.

Kenyataan ini bertepatan dengan apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri pada 9 Mac 2010, sekiranya terdapat profesor yang amat berwibawa dan tersohor umpamanya, profesor itu boleh memperolehi gred lebih tinggi daripada naib canselor. Ini satu perubahan yang menetapkan kepada penilaian seseorang itu dari segi tahap keilmuan yang ada pada seseorang. Perdana Menteri meletakkan nilai penguasaan ilmu itu dan kemahiran yang ada pada seseorang ahli akademik menjadi tunggak utama penentuan jawatan lebih tinggi. Bagaimanapun ia mesti melalui proses ‘peer review’ dan tidak tertakluk pada anggapan seseorang individu sahaja, sebaliknya mesti ada sistem yang dapat diwujudkan di kalangan mereka yang layak membuat penilaian terhadap seseorang yang bertaraf profesor.

Saya akan mengharapkan Majlis Profesor Negara (MKN) yang ditubuhkan benar-benar dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengalirkan ilmu kepada sasarannya, bukan terhad kepada golongan tertentu sahaja. Akademia perlu berkara benar, walaupun ia pahit.

Pendek kata, hari ini semua pihak mesti turun ke bawah tidak kira apa juga taraf dan tahap mereka. Menyelami hakikat dan kehendak khalayak. Tidak perlu kita merendah-rendahkan orang lain dengan mengatakan kita sahaja yang hebat. Sesungguhmya ilmu Allah amat luas ibarat air lautan yang terbentang luas, yang ada pada kita hanya sedikit, mungkin setitis dua. Itulah hakikat kebenaran yang sebenar. Pahit untuk diterima, tetapi manis bila setelah dirasai hasilnya. Itulah yang dinamakan dakwah. Pahit dilalui, manis dirasai.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, May 02, 2010

Kembalikan kekuatan

10:20 AM Posted by RIDHUAN TEE 57 comments
Mingguan Malaysia, 2 Mei 2010

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang trend pengundian dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor. Dari awal-awal lagi saya sudah menjangkakan fenomena ini. Sudah terang lagi bersuluh bahawa BN kehilangan sokongan bukan Melayu. Trend ini bukanlah suatu yang baru atau pelik, tetapi telah berlaku sejak dahulu lagi. Bila Melayu bertanding di kawasan bukan Melayu, Melayu akan kalah. Manakala bila bukan Melayu bertanding di kawasan Melayu misalnya MCA dan Gerakan, bukan Melayu akan menang. Bila parti dominasi etnik bukan Melayu seperti MCA atau Gerakan bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu, parti ultra kiasu akan menang. Keadaan mungkin sedikit berubah pada pilihan raya umum 2008. Kelihatan seolah-olah bukan Melayu mengundi Melayu dengan kemunculan parti sekutu ultra kiasu. Sebenar tidak, jika sekutu ultra kiasu yang memerintah seperti di Selangor, sebenarnya itulah kemenangan parti ultra kiasu.

Terus terang saya katakan dari segi keterbukaan, orang Melayu tidak ragu-ragu untuk mengundi bukan Melayu. Namun, belum tentu bukan Melayu sanggup mengundi Melayu. Siapakah yang lebih terbuka sebenarnya? Melayu atau bukan Melayu? Saya tidak katakan semua bukan Melayu bersikap sedemikian. Dengan sebab itu, dalam apa jua aspek berkaitan dengan Melayu, kita gagal untuk memperkasakannya kerana kita tidak mempunyai rakan setia. Rakan kita kadang kala mengambil sikap menikam dari belakang.

Seolah-olah memperlihatkan UMNO diperalatkan untuk mencapai kepentingan tertentu atau mendapatkan lebih lagi, apa yang telah dapat. Berterima kasihlah kepada Perdana Menteri kerana telah mengotakan janjinya dalam kempen pilihan raya di Hulu Selangor baru-baru ini. Saya yakin ada orang akan berkata, peruntukan tersebut diambil daripada cukai rakyat, apa yang hendak dihairankan. Saya yakin yang banyak bercakap itupun tidak pernah bayar cukai atau selalu mengelakkan diri daripada dikenakan membayar cukai.

MCA dan Gerakan menuduh Perkasa yang menjadi punca sokongan bukan Melayu beralih arah. Itulah jawapan simplistik barisan kepimpinan baru mereka yang begitu agresif berbanding dengan kepimpinan sebelumnya yang agak berhikmah. Justeru, tidak hairan barisan kepimpinan baru ini dipilih mereka walaupun mempunyai skandal yang sukar untuk diterima oleh norma masyarakat timur. Saya yakin kejayaan mereka mempunyai kaitan rapat dengan sikap ultra kiasu dan pakatan senyap dengan parti ultra kiasu. Pada saya, tidak perlulah kita menuduh orang atau menuding jari untuk menutup kelemahan sendiri. Muhasabah diri sahaja. Apakah kita benar-benar mempunyai semangat setiakawan atau kawan makan kawan?

Jika MCA dan Gerakan begitu berpengaruh dan kuat, saya cadangkan mereka bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu seperti kawasan-kawasan parlimen Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama seluruh negara seperti Pulau Pinang. Kita lihat MCA dan Gerakan akan menang atau tidak. Pada ketika itu, UMNO tidak perlu berkempen untuk MCA dan Gerakan. Biarkan kedua parti komponen ini berkempen dengan cara mereka sendiri mengikut rentak budaya sendiri. Kita mahu lihat sejauhmana sokongan bukan Melayu terhadap mereka. Saya bimbang mereka akan hilang wang pertaruhan dengan parti ultra kiasu. Jangan salahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kajilah sifat-sifat nyamuk tersebut. Beritahulah sebenarnya apa kehendak orang bukan Melayu, senang cerita. Tidak payah berbelit-belit menyalahkan orang lain.

Kawan sebangsa saya berkata MCA dan Gerakan sudah tidak relevan lagi kepada bukan Melayu kerana dikatakan terlalu mengikut telunjuk UMNO? UMNO dikatakan tidak lagi disukai oleh bukan Melayu? Apakah dakwaan itu benar? Kajian secara intensif perlu dibuat, bersekali dengan perubahan hidup bukan Melayu di bawah pemerintahan UMNO selama 52 tahun. Adakah hidup mereka bertambah baik atau sebaliknya. Lu fikirlah sendiri.

Sebenarnya politik bukan Melayu amat terancang rapi. Kita sahaja sebagai umat Islam sahaja yang terlalu okomodatif, kadang kala mudah dipergunakan dan bergaduh sesama sendiri seolah-olah tidak ada lagi hubungan persaudaraan dan keagamaan. Semua orang tahu dan orang bukan Melayupun lagi tahu, bahawa bandar-bandar tetap akan membangun walaupun siapa juga wakil rakyat sama ada parti yang memerintah kerajaan mahupun pembangkang. Itulah beruntungnya mereka yang berada di bandar, ruginya mereka yang berada di luar bandar. Maknanya, siapapun yang menang, mereka tidak akan rugi sedikitpun. Malah, mereka akan mendapat habuan dengan lebih banyak kerana dapat makan sana sini dan mendesak itu dan ini. Justeru, kesempatan ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya.

Kadang kala tidak boleh salah bukan Melayu juga. Cuba renung balik apa yang kita buat selama ini. Kita sebenarnya jarang bertegas. Kita asyik melayan, mementingkan kuasa dan menjaga jawatan. Kita takut kehilangan kedua-duanya ini, maka kita terus memberi muka. Misalnya, pada hari selasa lalu saya menghadiri Perbincangan Meja Bulat Memartabatkan Bahasa Melayu 2010 anjuran Kementerian Pelajaran. Sebelum ini saya telah menghadiri berpuluh-puluh seminar dan wacana untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Saya merasa teramat pelik kenapa perbincangan ini perlu dibuat dalam sebuah negara Melayu, pemimpinnya Melayu, rajanya Melayu, bahasa kebangsaannya Melayu dan berbagai lagi Melayu didominasi oleh Melayu. Sepatutnya ia sudah terdaulat, terdarjat atau terangkat secara otomatik di buminya sendiri, bukan bumi asing. Namun, tidak sedemikian yang berlaku. Orang Melayu dan bahasa Melayu seolah-olah merempat di bumi sendiri.

Hari ini kita tidak habis-habis membuang duit mengadakan seminar sana sini membincangkan untuk mendaulatkan bangsa Melayu dan bahasa Melayu. Lebih baik duit itu digunakan untuk membantu fakir miskin, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan. Apa masalah sebenarnya? Apakah strategi dan langkah yang telah dibuat untuk mendaulatkannya? Ini membuat saya teringat kata-kata Timbalan Perdana Menteri yang mengatakan beliau Melayu dahulu, kemudian rakyat Malaysia. Persoalannya, adakah dengan kata-kata demikian, kedudukan Melayu secara keseluruhan terdaulat? Kata-kata ini sebenarnya tidaklah salah atau mengurangkan semangat patriotism seseorang kepada negara. Namun, kata-kata ini telah disensasikan dan dimanipulasikan.

Kita dapati kata-kata ini mendapat kritikan yang hebat daripada kumpulan ultra kiasu dan sekutunya. Pada mereka, sepatutnya TPM menyebut beliau sebagai rakyat Malaysia dahulu, kemudian barulah Melayu (I am Malaysian first, second Malay). Persoalannya, adakah orang lain menganggap bahawa mereka benar-benar Malaysian first atau hanya mainan bibir untuk mencairkan hati orang lain. Malaysian first mesti ada akarnya bukan pukul rata sahaja. Saya masih teramat ragu jika ultra kiasu berkata sedemikian, sebab tindak-tanduk mereka tidak mencerminkan hakikat yang sebenar.

Jika kita meletakkan rakyat Malaysia terlebih dahulu, maka kepentingan negara mesti diutamakan berbanding dengan kepentingan etnik. Maknanya, perlembagaan mesti didaulatkan, bahasa Melayu mesti diutamakan, Islam mesti dihormati sebagai agama persekutuan, sekolah kebangsaan mesti dijadikan pilihan, dan sebagainya. Ini tidak, kedudukan dan peruntukan istimewa terus dipertikaikan dan dicabar di mahkamah. Lebih menjengkelkan lagi papan tanda dan banner yang digantung di kawasan umum langsung tidak mendaulatkan kepentingan kebangsaan.

Saya mahu dengar kata-kata pemimpin bukan Melayu bahawa sekolah kebangsaan itu adalah lebih penting daripada sekolah vernakular. Sekolah kebangsaan mesti ditambah dari masa ke semasa manakala sekolah vernakular cukuplah sekadar yang ada. Bahasa Melayu mesti difahami dan didalami berbanding dengan bahasa lain. Kedudukan agama Islam dan mahkamah syariah mesti dihormati. Barulah itu dinamakan Malaysian first. Ini tidak, kita asyik mendesak supaya hak-hak setiap bangsa ditambah dan tanpa langsung dikurangi. Isu ini seolah-olah tidak pernah habis. Sebenarnya yang banyak berkokok itulah yang meletakkan bangsa di hadapan berbanding negara.

Pada saya kata-kata mengutamakan bangsa dahulu tidak salah, walaupun saya lebih suka dengan kata-kata agama didahulukan, rakyat diutamakan, bangsa diperkasakan,. Kita mesti ingat manusia bermula bangsanya yang telah dianugerahkan Allah SWT. Dengan sebab itu, nama sesebuah bangsa menjadi nama negaranya. Ini bermakna, memang bangsa itu perlu diutamakan sebagai identiti, terutama agama dan bahasa bangsa yang tinggal di bumi mereka sendiri. Sudah tentu ia perlu dipertahankan, apatah lagi ia telah dimaktubkan dalam perlembagaan.

Dalam konteks TPM sebagai orang Melayu, saya masih boleh menerima kata-katanya itu. TPM benar dari sudut dia sebagai orang Melayu berada di dalam negara yang berakarkan Melayu sendiri (Malay polity). Saya juga mahu mendengar kata-kata daripada pemimpin-pemimpin bukan Melayu bahawa bangsa itu tidak penting, yang penting adalah kita sebagai rakyat Malaysia. Malaysia didahulukan, etnik dikemudiankan.

Saya yakin selepas ini saya akan terus dihentam teruk dengan tersiarnya artikel ini. Saya akan dituduh pula sebagai provokator dan mengapi-apikan sentimen perkauman. Saya tidak pernah lupa akar dan bangsa saya. Saya sayangkan bukan Melayu seperti mana saya sayangkan diri sendiri kerana mereka adalah juga ahli keluarga dan saudara mara saya. Lagipun mereka juga adalah makhluk Allah SWT. Menghina mereka bermakna menghina makhluk kejadian Allah. Rasulullah SAW sendiri begitu lunak dengan bukan Islam sehingga dakwah terbesar luas, tetapi bertegas dalam mempertahankan Islam daripada dihina atau percubaan untuk merosakkannya. Saya cuma ingin berkata benar demi membina masa depan negara yang lebih baik. Justeru, saya selalu ingatkan, cubalah memahami hakikat negara ini sebenarnya. Hubungan majoriti-minoriti di bumi bertuah ini. Sikap saling memahami antara satu sama lain bersandarkan kepada sejarah.

Setelah itu, buat perbandingan dengan negara-negara lain. Jangan pula lari ke negara lain setelah berjaya membina empayar. Saya percaya dan amat yakin Allah SWT begitu merahmati bumi ini. Kita begitu bertuah berada di sini, jatidiri dan identiti kita masih kekal dan terpelihara. Di negara lain, bukan sahaja identiti dan jati diri mereka hancur lebur, malahan kita lihat berbagai-bagai malapetaka dan bencana telah menimpa dan berlaku di tempat mereka, tetapi kita masih selamat dan masih boleh ketawa sepanjang masa. Bersyukurlah dengan nikmat ini, mungkin ia tidak datang untuk kali seterusnya. Bertindak sebelum parah, berdiri sebelum rebah.

Justeru, sudah sampai masanya kita mengubah cara berfikir dan bertindak. Umat Islam perlu memastikan nasib mereka terbela dan dibela di bumi sendiri. Penekanan yang terlalu berlebihan mengenai fardu ain sehingga melupakan fardu kifayah perlu dilihat dengan serius. Kepentingan fardu ain dan fardu kifayah perlu diseimbang supaya kita tidak perkotak-katikkan. Hari ini, kita selalu menekankan fardu ain sehingga terlepas panjang kepentingan fardu kifayah. Sedangkan kita tahu kedua-dua perkara tersebut mesti bergerak seiring. Tanpa fardu kifayah, fardu ain tidak dapat dipraktikkan dengan sempurna.

Apakah kita tidak berdosa menjadi hamba di bumi sendiri, sedangkan orang lain menjadi tuan? Laungan ketuanan Melayu hanya sekadar retorik semata-mata, sebenarnya kita tidak pernah menjadi tuan. Tuan kita adalah orang lain. Kita seperti melukut di tepi gantang. Jangan kerana terlalu mahukan undi sehingga kita terpaksa menyembah orang lain. Saya kira tindakan ini sudah keterlaluan. Sudah sampaikan masanya kita kembalikan kekuatan kita yang telah sedia ada daripada merayu dan mengharapkan simpati orang lain.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, April 25, 2010

Menguji kematangan pilihan raya

6:56 AM Posted by RIDHUAN TEE 108 comments
Mingguan Malaysia 25 April 2010

Setiap kali ada pilihan raya sama ada umum (PRU) atau kecil (PRK), penduduk kawasan terlibat akan bersorak gembira kerana mereka akan mendapat peruntukan sana sini dan boleh menuntut itu dan ini. Tidak cukup dengan itu, ada yang begitu berani menggugut untuk mengundi parti lain atau berpaling tadah jika tuntutan mereka tidak dipenuhi. Bagi parti yang mahukan kemenangan, sudah tentu peruntukan disalurkan kerana jentera tidak akan bergerak tanpa habuan. Kawasan terbabit akan mendapat jalan baru, tar baru, tapak sekolah baru, kemudahan sekolah baru, pelbagai projek pembangunan baru dijanjikan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Tidak salah, cuma kadang kala naik sebu telinga mendengarnya. Namun, apakan daya inilah realiti budaya politik kita yang diharapkan akan berubah.

Jika ianya berterusan, selepas ini saya bimbang, rakyat saban hari akan berdoa kepada Tuhan supaya wakil rakyat mereka meninggal dunia atau mati cepat. Logiknya mudah, apabila berlakunya kematian wakil rakyat seperti parlimen Hulu Selangor ini, maka PRK akan diadakan. Kawasan tersebut tiba-tiba menjadi meriah. Episod menagih janji dan menunaikan janji, serta tuntut menuntut pun bermula. Sekelip mata kita akan dapat melihat perubahan wajah fizikal kawasan yang terbabit. Begitulah yang berlaku di parlimen Hulu Selangor, antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Boleh dikatakan semua orang mendapat manfaat.

Tidak kurang yang mendapat keuntungan segera hasil kemeriahan tersebut. Hotel dan rumah tumpangan penuh, makanan habis dijual di restoran-restoran dan berbagai lagi. Sebelum ini ramai yang tidak buat kisah keadaan Hulu Selangor kerana satu pihak telah menang, dan satu pihak lagi telah kalah, sehinggalah wakil rakyatnya meninggal dunia. Sepatutnya yang menang menjaga kawasan, yang kalah memantau. Keadaan berlaku sebaliknya.

Budaya ini menunjukkan bahawa seolah-olah pilihan raya adalah medan untuk mendapatkan sesuatu habuan, bukannya untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar berwibawa dan mampu membawa perubahan ke arah lebih baik daripada yang sebelumnya. Trend ini menunjukkan bahawa kita masih belum matang dalam kehidupan berpolitik dan berpilihan raya berbanding dengan negara maju.

Di negara maju, pilihan raya adalah medan untuk mencari ‘pemimpin terbaik’ yang mampu membawa perubahan dan pembangunan dalam pelbagai aspek sama ada fizikal mahupun spiritual mengikut lunas demokrasi. Pemimpin terbaik yang dimaksudkan mereka yang benar-benar terserlah kewibawaannya terutama dari segi semangat patriotism dan kenegaraan yang tinggi. Misalnya, penerimaan Barack Obama yang berkulit hitam sebagai presiden Amerika Syarikat oleh mereka yang rata-ratanya berkulit putih. Bezanya, di barat mungkin mereka tidak berapa kisah jika pemimpin mereka minum arak atau rosak akhlaknya. Bagi yang penting adalah wibawa dan karisma, tetapi norma sebegini tidak dapat diterima oleh masyarakat kita apatah orang Islam. Kita mahukan pemimpin yang baik dalam semua aspek, fizikal dan spiritual atau jasmani dan rohani.

Secara peribadi, saya dapat menerima ketelusan barat mengendalikan pilihan raya tetapi menolak calon yang rosak akhlaknya untuk bertanding dalam pilihan raya walaupun mereka berwibawa. Ini kerana, kebiasaannya tabiat merokok, minum arak, berjudi dan berzina mempunyai unsur-unsur ketagihan, kecuali mereka benar-benar telah ‘bertaubat’. Kadang kala sukar juga untuk mempercayai pengakuan ‘taubat’ seseorang manusia selagi manusia itu tidak beriman sepenuhnya kepada Allah SWT. Ibarat kata pepatah Melayu, anjing jika sudah biasa makan tahi, tak dapat makan, hidu pun jadi. Hendaknya biarlah kita benar-benar bertaubat. Janganlah hari bertaubat, esok berjahat kerana berhajat lebih hina daripada menjadi penjahat.

Apapun, faktor peribadi dan latar belakang seseorang amat dititik beratkan oleh Islam apatah lagi jika ia hendak menjadi pemimpin kepada masyarakat. Pemimpin mesti menjadi role model. Mereka mesti kelihatan baik luar dan dalam. Sebaik-baiknya tidak melakukan dosa-dosa besar seperti berzina dan minum arak. Pada masa sama kewibawaan hendaklah juga terserlah.

Isu arak di negeri Selangor ini bukanlah isu baru. Kita telah dengar sebelum ini bagaimana parti ultra kiasu begitu marah kepada penguatkuasa bila mereka bertindak merampas arak yang dijual di kawasan majoriti Islam. Kita dapati parti ultra kiasu tidak dapat menerima hakikat ini. Mereka mengkritik hebat tindakan penguatkuasa dan serta merta mengeluarkan arahan supaya menghentikan tindakan tersebut. Sedangkan tujuannya adalah baik iaitu melarang orang Islam daripada minum arak. Kepada orang bukan Islam mereka boleh minum dan mandi arak, tidak siapa larang selagi tidak mengganggu ketenteraman awam. Dengan sebab itu, saya tidak berminat untuk mengulas perkara ini lebih panjang kerana semuanya telah faham, apatah dijadikan bahan untuk menyerang peribadi seseorang seperti yang disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Dalam kempen pilihan raya, sebaik-baiknya kita tidak menyerang peribadi seseorang calon yang bertanding kerana perbuatan tersebut adalah tidak professional. Mereka yang diserang akan bertindak sama menyerang peribadi lawannya itu. Akhirnya berlakulah episod serang menyerang peribadi sehingga yang tidak kena mengena dengan pertandingan dalam pilihan raya turut terpalit sama. Inilah budaya kita. Kita yang makan nangka, orang lain pula yang kena getahnya. Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Tidakkah lebih molek jika kita berkempen dan berhujah dengan menilai perubahan sesebuah kawasan itu setelah kepimpinan beralih tangan? Saya lebih suka kita berpegang kepada kata-kata ingat pertolongan orang pada kita, lupakan pertolongan kita pada orang

Dalam konteks parlimen Hulu Selangor, kita sedia maklum bahawa kawasan ini mula membangun ketika Tan Sri Muhammad Taib menjadi menteri besar Selangor. Pada saya, jika pemilihan calon tidak berasaskan kuota parti, beliau adalah yang paling sesuai untuk bertanding di sana berbanding calon lain, sekiranya tidak ada kontroversi . Jasa beliau amat besar kepada penduduk Hulu Selangor. Saya tidaklah mengatakan bahawa Hulu Selangor masih penuh hutan tanpa beliau, tetapi itulah hakikatnya, biarlah kita berterus terang. Justeru, dalam pemilihan calon, kita perlu mencari calon yang menghampiri ketokohan Muhammad Taib, kerana tanpa beliau, Hulu Selangor mungkin masih hulu lagi.

Inilah kritiria utama yang perlu dilihat dalam memilih calon. Apatah lagi ketika berkempen. Sepatut medan pilihan raya ini digunakan untuk menilai keberkesanan wakil rakyat serta tanggungjawabnya. Adakah wakil rakyat yang dilantik benar-benar mewakili rakyat atau indah khabar dari rupa. Adakah kerja wakil rakyat ini hanya melihat masalah rakyat ketika pilihan raya?

Bandingkan perubahan kawasan tersebut sebelum ini dengan dua tahun lalu setelah kepimpinan bertukar tangan. Adakah terdapat perubahan yang ketara atau sekadar penerusan agenda pembangunan sebelum ini semata-mata? Inilah sepatutnya yang dinilai oleh pengundi-pengundi di sana, bukannya meminta itu dan ini serta menyerang peribadi seseorang. Masyarakat yang matang harus pandai berhujah dan menepis hujah dengan hujah, bukannya menyerang dan menggugut sesuatu yang tidak ada kaitannya dengan prestasi seseorang. Kita harus rasional dan bukan emosional.

Kita perlu menilai adakah kepemimpinan dua tahun kebelakangan ini telah mengotakan janji-janji pilihan raya mereka atau cakap tidak serupa bikin. Saya fikir perbincangan sebegini lebih bermanfaat dan membangun minda berbanding pemikiran pandir yang hanya mahukan habuan dan tuntuan. Jika tidak, kita tidak akan ke mana-mana. Amat sukar untuk kita pergi lebih jauh. Kita tidak proaktif tetapi lebih action-oriented.

Satu lagi perkara yang menjadi asas menguji kematangan dalam pilihan raya ialah bagaimana menanamkan nilai keikhlasan dalam berjuang seperti pemimpin terdahulu. Mereka sanggup berjalan kaki dan bersusah payah merempuh onak duri berkempen ke sana ke mari tanpa mengharapkan imbuhan. Diri mereka sudah tidak penting. Apa yang lebih penting ialah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Berbanding dengan kita hari ini, keadaan sudah mula berubah. Kita sudah tidak mampu untuk berpanas di pondok panas. Dalam kepada kita hanya terbayang imbuhan dan wang besar. Pemikiran sebegini adalah cerminan kepada kemajuan yang akan dicapai. Kita akan menghadapi kesukaran memacu kemajuan menjelang 2020, disebabkan cara kita berfikir masih belum maju. Sebab dalam kepala kita mereka hanya ada projek, habuan dan peruntukan, bila berlaku PRK atau PRU.

Kita perlu berubah sebelum rebah seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri. Kita mesti ikhlas dalam perjuangan. Barulah kita akan berjaya. Kita akan kalah jika tidak ada keikhlasan. Jika menangpun, kemenangan itu hanya bersifat sementara. Tidak kekal lama. Masalah pasti akan berulang dan berulang. Kita tidak habis-habis akan menjadi mangsa.

Kita hendaklah menanamkan semangat kepada pengikut kita bahawa ganjaran yang paling besar bukan wang tetapi pahala. Pahala hanya boleh dianugerahkan oleh Alla SWT. Itulah jaminan kesenangan di dunia dan akhirat. Inilah juga semangat pemimpin terdahulu. Mereka sanggup berhujan, berpanas dan berjaga sampai sampai ke pagi, bekerja tanpa kenal erti lelah, hanya kerana mereka mengharapkan habuan syurga. Saya yakin kita boleh pergi ke arah itu, pokoknya kita jangan mudah cair dengan habuan dunia, walaupun tidak nafikan ianya penting.

Ramai yang masih tidak faham bahawa pilihan raya sebenar bukanlah untuk menukarkan kerajaan kerana kerajaan tidak pernah bertukar. Kerajaan telah wujud semenjak wujudnya negara bangsa. Kita tidak boleh menukar kerajaan. Kita hanya boleh menukar parti yang memerintah kerajaan atau ruling party. Adalah salah bila kita menyebut kerajaan pembangkang atau bukan pembangkang. Kerajaan tidak pernah membangkang. Yang membangkang atau menyokong adalah parti yang memerintah kerajaan.

Justeru, sudah sampai masa kita mendidik rakyat apa yang betul, apa yang salah, bukannya siapa yang betul, siapa yang salah. Biarlah rakyat yang menghakimi apa yang betul apa yang salah di Hulu Selangor pada hari ini. Adakah wakil rakyat sebelum ini telah mengotakan janji-janji mereka atau janji tinggal janji?

Dalam sistem demokrasi, kemenangan pilihan raya tidak cukup, sekiranya tidak mendapat dua pertiga majoriti seperti berlaku pada hari ini. Akibatnya parlimen tidak dapat berfungsi dengan baik. Banyak perkara tertangguh disebabkan berlaku boikot-memboikot dalam sidang parlimen sehingga tidak menampakkan kematangan. Justeru, kemenangan dua per tiga adalah amat penting. Dalam mendapatkan kemenangan ini, calon yang berwibawa hendaklah diketengahkan berasaskan kehendak majoriti. Pada saya, jika kaum minoriti tidak mempunyai kawasan majoriti mereka, maka tidak perlu bertanding. Lebih elok kiranya wakil mereka dilantik sebagai senator daripada bertanding dalam pilihan raya. Itulah lebih membawa manfaat dalam menentukan kemenangan dua pertiga.

Kepada pengundi Hulu Selangor, selamat mengundi dan buatlah pilihan yang bijak. Masa depan Selangor berada di tangan anda. Saya pasti saudara semua boleh menilaikan antara kaca dengan permata.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, April 18, 2010

Memenangi hati rakyat

11:23 AM Posted by RIDHUAN TEE 186 comments
Mingguan Malaysia 18 April 2010

Ketika membentangkan kertas kertas bicara sosial dalam Konvensyen Barisan Nasioanl (BN) Negeri Selangor baru-baru ini, saya telah menghujahkan beberapa perkara pokok yang mesti dapat dilihat dilaksanakan jika BN mahu kembali memerintah termasuk memenangi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Pertama, pemimpin mesti dapat dilihat latar belakang dan akhlaknya baik. Kebaikannya itu bermula dengan dia berjaya menjaga diri sendiri dengan imej bersih serta keluarganya, bertunjangkan keikhlasan. Saya memetik kata-kata ahli falsafah Cina, Konfucius yang berbunyi, if you want to rule the state, first put your house in order, to put your house in order, first cultivate yourself morally, to cultivate yourself morally, first put your heart right, to put your heart right, you must be sincere. Kata-kata ini amat bertepatan dengan Islam walaupun bukan datang daripada ‘orang Islam’. Namun, dalam hati kecil ini sentiasa berkata kemungkinan besar Konfucius merupakan salah seorang Nabi daripada ribuan Nabi-nabi dalam Islam, kerana kata-kata langsung tidak bercanggah dengan roh Islam.

Pemimpin mesti dapat dilihat berakhlak sedemikian, tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Mereka mesti menjadi contoh yang terbaik kepada rakyat bagi membolehkan mereka dipilih oleh rakyat. Sesungguhnya, tanggungjawab memimpin teramat berat, bukan sekadar main-main atau ingin mencuba nasib. Ada perhitungan dunia dan akhirat. Menjadi pemimpin bukanlah tiket untuk membuncitkan perut atau mengumpul harta. Kekayaan negara mesti digunakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Pemimpin yang mempunyai skandal, hendaklah diketepikan kerana rakyat hari ini bijak memilih antara permata dan kaca. Tindakan bekas ketua wanita MCA, Chew Mei Fun patut dipuji, walaupun dalam beberapa perkara saya tidak boleh bersetuju pandangan beliau mengenai Islam dan hak asasi manusia. Beliau terpaksa melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, berpegang kepada prinsip tidak dapat menerima pemimpin yang rendah moral dan akhlaknya. Tindakan ini mesti dihormati dalam melahirkan sebuah masyarakat berintegriti tinggi dan bermaruah. Jika ramai pemimpin seperti ini, BN tidak perlu merasai bimbang dalam menghadapi pilihan raya atau berhadapan dengan rakyat. Secara otomatik, mereka akan diterima rakyat.

Pemimpin mesti ada rasa malu untuk memimpin jika mereka mempunyai masalah peribadi dan masalah keluarga, kerana kehadiran mereka tidak perlukan, malah merosakkan agama, bangsa dan negara. Sikap menerima keburukan dan berusaha untuk menutupnya, hanya akan mengundang kehancuran. Ingatlah kita boleh menutup kemarahan manusia, tetapi kita tidak dapat menutup kemurkaan Allah SWT. Kadangkala saya bimbang jika bala turun disebabkan oleh perbuatan kita, adakah orang baik yang tidak bersalah akan terselamat! Apa yang saya tahu, bila bala turun, semuanya akan terpalit, walaupun orang tidak bersalah itu tidak melakukan kejahatan tersebut. Justeru, fikirkanlah secara mendalam sebelum berjahat dan menjadi penjahat.

Kata-kata dahulu kala seperti ‘jika BN letak tunggul kayu sekalipun akan menang pilihan raya’ tidak dapat diterima pakai lagi. Tunggul hari ini bukan hanya akan dipatahkan, malah dicampak rakyat entah ke mana. Justeru, pemimpin mesti mempunyai integriti yang amat tinggi. Menjadi role model kepada rakyat, terutama kanak-kanak yang sentiasa melihat pemimpin sebagai contoh teladan. Jika pemimpin terlibat dalam seks bebas dan korupsi bagaimanakah kita hendak mengatakan kepada rakyat supaya menjauhi perkara terkutuk itu kerana cakap sudah tidak serupa bikin.

Pendek kata, sebagai pemimpin mereka mesti dapat mengalir manfaatnya kepada manusia. Seperti kata Pendeta Za’ba, hidup ini mesti melakukan kebajikan dengan berjasa kepada orang. Sebaik-baik kebajikan itu biarlah kekal berpanjangan biarpun kita telah mati kerana demikian itulah iaitu salah satu daripada tiga perkara yang dikatakan oleh Nabi kita tidak putus amal seseorang anak Adam daripadanya apabila ia (anak Adam itu) mati. Perkataan itupun tidak tertentu bagi orang Islam sahaja melainkan ‘anak Adam’. Adapun fasal nama itu tergantung kepada hati. Kalau membuka masjid sekalipun jika hati tiada ikhlas kerana Allah melain kerana puji dan sebagainya termasuk dalam jumlah riak dan mencari nama. Tiada satu faedahnya di akhirat walaupun seribu masjid dibuat. Bangsa kita tidak boleh maju dengan masjid sahaja, jikalau orang yang memenuhi masjid itu jahil dan bodoh, atau orang yang tidak layak hidup di dunia ini.

Kedua, pemimpin-pemimpin parti-parti komponen BN janganlah bertindak mendesak dan menggugut UMNO ketika parti Melayu ini berada dalam keadaan lemah akibat perpecahan orang Melayu. Secara umumnya, semua rakyat Malaysia sudah dapat apa yang sepatutnya mereka dapat (basic need). Cuma apa yang berlaku hari ini, kita mahu menambah apa yang telah kita dapat. Pada hemat saya, buat sementara ini, lupakanlah tindakan mendesak buat sementara waktu. Sebaik-baiknya berikanlah sokongan kepada UMNO untuk bangkit kembali menjadi sebuah parti Melayu yang kuat dengan penuh integriti. Sokonglah UMNO selagi mana ia berada di landasan yang betul. Perbetulkannya, jika ia mula melencong daripada landasan.

Parti-parti komponen BN hendaklah mengumpulkan kekuatan dan mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan bukannya mengambil kesempatan ketika orang lain ditimpa musibah atau tidak berupaya. Memang tidak dapat dinafikan inilah peluang keemasan dan kesempatan yang perlu dipergunakan dengan menuntut itu dan ini, tetapi saya ingatkan belajarlah memahami psiki orang Melayu. Melayu jarang meluahkan kemarahannya di khalayak, tetapi mereka mudah memendam rasa. Menyimpan sesuatu yang terbuku di hati, kemudian diterjemahkan dalam bentuk sukar dikawal. Inilah yang paling saya bimbang sekian lama memahami bangsa ini.

Ketiga, mengikhtiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Kemajmukan masyarakat di negara ini tidak berlaku secara semulajadi. Negara ini bermula dengan satu bangsa iaitu bangsa Melayu, dengan tidak menafikan orang asli. Hakikat ini mesti diterima oleh semua manusia di dunia ini. Tidak ada negara dalam dunia ini bermula dengan berbilang kaum. Ia bermula dengan satu kaum yang menduduki sesuatu kawasan atau negara. Nama kaum itu akan menjadi nama sesebuah negara negara. Tidak perlu saya ulangi kenapa Siam menjadi negara Siam, bangsa Cina menjadi negara China, dan bangsa India membentuk negara India. Fikir-fikirkanlah kenapa ia berlaku sedemikian. Justeru, tidak timbul Melayu itu adalah pendatang kerana nama Tanah Melayu sudah jelas mencerminkan kedudukannya di kepulauan Melayu. Tindakan mengungkit perkara ini hanya akan mengundang musibah kepada BN.

Lanjutan daripada itu, slogan Ketuanan Melayu jangan pula dilihat sebagai melambangkan Melayu itu tuan, manakala bukan Melayu itu hamba. Laungan ketuanan Melayu hanya sekadar untuk mengingatkan sahaja bahawa negara ini berakarkan kepada sistem kenegaraan Melayu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, sudah tentu kita akan merempat di bumi ini. Tetapi adakah ianya berlaku sedemikian rupa? Siapakah tuan, siapakah hamba sebenarnya? Jika orang Melayu tuan, saya tidak fikir hanya 8 orang sahaja yang tersenarai daripada 40 orang terkaya di negara kita. Justeru, tidak perlulah lagi isu sebegini dimanipulasikan.

Fahamilah konsep keadilan dalam Islam. Keadilan itu bukannya sama rata dan sama rasa, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam boleh memberikan keadilan, tetapi Islam tidak dapat memberikan sama rata dan sama rasa, sebab agama Islam itu sendiri tidak boleh disamakan dengan agama lain. Tetapi Islam memberikan jaminan keadilan. Dengan sebab itu, kita lihat orang bukan Islam boleh membina empayar kekayaan dan hidup aman damai di bumi Islam, tetapi belum tentu orang Islam boleh merasai perkara yang sama di bumi bukan Islam. Lagi pula orang Islam jarang cemburu dengan kekayaan yang dimiliki oleh bukan Melayu.

Justeru, tindakan mengungkit-ngungkit hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 153 hanya kemarahan orang Melayu. Sedangkan kita tahu bahawa hak-hak tersebut tidak langsung menyekat orang bukan Melayu untuk terus berjaya. Malah apa yang kita lihat, bukan Melayu semakin berjaya, manakala kejayaan Melayu dan bumiputera masih menjadi tanda tanya. Adakah sebenarnya mereka benar-benar berjaya?

Keempat, menolak rasuah lebih hina daripada daripada makan babi. Maksud saya, imej seorang pemimpin BN mesti bersih dan bebas daripada rasuah. Memberi dan menerima rasuah, kedua-dua masuk neraka. Rasuah adalah perbuatan yang dapat dilihat dan masyarakat kita mula jijik dengannya. Rasuah adalah amat bahaya kepada agama, bangsa dan negara, tidak ada kompromi dalam isu ini. Pemimpin yang hendak mewakili rakyat mesti menjauhkan diri daripada perbuatan ini. Sama ada mereka mahu menjadi pemimpin cawangan atau bahagian sehinggalah ke peringkat negeri dan pusat, pemimpin yang jelas terlibat dalam rasuah dan politik hendaklah ditolak untuk cuba diketengahkan atau bertanding.

Kelima, mencari persamaan dalam kehidupan beragama, bersatu atas kebaikan dan menolak kemungkaran. Tidak ada agama yang menerima keburukan. Semuanya menganjurkan kebaikan. Maka nilai kebersamaan itu mesti dicari. Misalnya, seks bebas, pergaulan bebas, berzina, hiburan melampau, minum arak, judi dan sebagainya. Tidak ada satupun agama yang membenarkan perbuatan terkutuk ini. Justeru, tidak timbul soal untuk berhujah mempertahankan bahawa ianya adalah hak asasi manusia. Bila mana hak asasi manusia tertembung dengan hak Pencipta, maka hak Pencipta mesti diutamakan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Mempertahankan kemungkaran dan kemaksiatan hanya akan mengundang bala, sedangkan kita tahu ia ditolak oleh semua agama. Jika ada agama-agama yang menjadi anutan parti-parti politik komponen BN mengatakan bahawa kemungkaran dan kemaksiatan tersebut boleh diterima dan dibenar, sila buktikan pada saya. Saya akan jawab, nilai moral agama mereka amat rendah tarafnya. Mereka tidak layak untuk menganuti agama tersebut, kerana agama itu terlalu suci. Kesucian itu mesti dipelihara, tidak dapat tidak.

Keenam, menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan yang menjadi anutan orang Melayu. Perlu diingatkan bahawa orang Islam tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal atau urusan bukan Islam. Justeru, sudah sampai masanya orang bukan Islam tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung hati dan perasaan orang Islam.

Misalnya, hukuman sebat ke atas umat Islam tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia adalah hal ehwal dalaman dan keluarga umat Islam. Biarkan umat Islam menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa campurtangan orang lain. Sama ada ia bercanggah dengan hak asasi manusia atau tidak, itu bukan hak orang bukan Islam untuk menentukannya. Serahkanlah kepada umat Islam yang telah cuba mengambil pendekatan yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut mereka sesama sendiri. Hormatilah keputusan ini.

Saya lihat kerajaan hari ini sudah mula cenderung ke arah itu. Semakin cenderung UMNO kepada Islam, semakin ia mendapat sokongan, kerana agama tidak pernah menipu manusia. Tuhan tidak pernah menipu manusia, melainkan manusia yang selalu menipu Tuhan. Yakinlah.

Secara peribadi, saya amat bersyukur dan memuji langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang telah mengubah cara sambutan hari pahlawan di tugu negara kepada sambutan yang lebih Islamik dengan mengambil kira pendapat ulamak dan cendekiawan Islam seperti yang telah disuarakan sekian lama. Baru inilah yang dikatakan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Kembalilah kepada rakyat, barulah kita dapat menawan hati rakyat kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, April 11, 2010

Akibat kita mudah diperalatkan…

6:36 AM Posted by RIDHUAN TEE 241 comments
Mingguan Malaysia, 11 April 2010

Kadang-kadang saya terfikir apalah sangat hak-hak istimewa orang Melayu yang ingin direbut oleh bukan Melayu supaya selaras dengan gagasan 1Malaysia. Ya, dalam perlembagaan, seolah-olah ada hak istimewa itu (perkara 153), tetapi dalam bentuk yang praktikal sebenarnya masih menjadi tanda tanya. Justeru, saya amat musykil kenapa bukan Melayu begitu mendesak supaya mereka mendapat hak sama seperti orang Melayu. Bila sebut sahaja asimilasi, mereka tolak seratus peratus. Bila sebut pasal hak istimewa, gagasan 1Malaysia diperalatkan untuk memenuhi nafsu serakah tersebut.

Saya masih tercari-cari di manakah hak istimewa itu? Apa yang saya lihat semua sektor sudah mula dibuka untuk diisi, berbanding dahulu. Kedudukan bahasa Melayu? kedudukan agama Islam? biasiswa? kuota? Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan? IPTA dan IPTS? diskaun membeli rumah dan apa lagi? Boleh dikatakan semuanya tidak lagi dapat dilihat dengan jelas dari segi diskriminasinya. Yang jelas, hak Melayu semakin terhakis. Apa yang saya tahu boleh dikatakan semuanya sudah dapat seorang sebiji. Sama rata sama rasa. Di manakah kelebihan yang ada pada Melayu yang sangat-sangat diharapkan. Tidak perlu saya buktikan satu persatu. Lihatlah sekeliling, apa yang telah berlaku di depan mata.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seolah-olah sudah setaraf dengan bahasa lain dari segi penggunaannya sama ada perbualan mahupun bahasa bacaan. Lihat kain rentang dan risalah-risalah adakah bahasa Melayu didaulatkan? Kedudukan agama Islam berbanding agama lain, hari ini agama Islam secara berani telah dicabar di mahkamah dan mereka yang ultra kiasu telah banyak kali menang. Mereka begitu berani campurtangan dalam hal ehwal agama kita, sedangkan kita tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal agama mereka.

Kedudukan SJKC dan SK, tidak menampakkan perbezaan. Mereka dengan bahasa ibunda, SK dengan bahasa kebangsaan. Begitu juga dengan sekolah persendirian. Saya difahamkan kerajaan akan mengikhtiraf sijil sekolah persendirian mereka (UEC). Jadi, saya sudah tidak nampak wujudnya diskriminasi yang jelas negatif, tetapi lebih kepada diskriminasi yang positif. Tetapi masih ada yang mengambil kesempatan. Kepada mereka yang minta saya pamirkan data-data dan statistik, InsyaAllah dari masa ke semasa maklumat tersebut akan saya sampaikan nanti disebabkan oleh ruang yang terhad.

Kadang kala tanpa data-data tersebut, kita sudah boleh lihat dengan jelas apa yang berlaku depan mata. Misalnya, biasiswa dan kuota, boleh dikatakan semua pelajar cemerlang telah ditaja oleh JPA. Ribuan hektar tanah telah diberikan kerajaan untuk pembangunan universiti berasaskan parti politik perkauman bagi memuaskan hati semua pihak. Jika ada kekurangan serba sedikit, itu adalah wajar. Mana ada sistem sebegini di dunia ini. Bacalah sama buku Huntington, bertajuk who are we, mengenai kedudukan minoriti di sana, kalau pun tidak mahu melihat pengalaman di negara-negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Lihat pula kuota dan diskaun tujuh peratus untuk membeli rumah. Sebenarnya tidak menguntungkan Melayu. Melayu sudah tidak mampu beli rumah kos sederhana dan mewah, akhirnya siapa yang untung setelah rumah tersebut dijual. Melayu diperalatkan untuk mendapatkan rumah tersebut melalui perjanjian dalam perjanjian jual beli.

Baru-baru ini saya pergi ke Batu Pahat, saya lihat kubur atau taman peringatan, didirikan di kawasan majoriti Melayu. Kenapa kubur tersebut tidak dibuat di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka? Bukankah mudah untuk berurusan? Tetapi orang Melayu, tidak banyak cakap. Cuba kita lihat apabila kubur Islam hendak didirikan berhampiran kawasan mereka, kita lihat berguni-guni memorandum bantahan akan dikemukakan kepada pihak-pihak berkaitan. Apakah erti semuanya ini? Kenapa tidak belajar menjaga perasaan sesama kita? Hari ini kita bukan hanya besar kepala, tetapi sudah semuanya membesar? Orang lain menjadi semakin mengecil. Kita tidak fikir akibat yang akan timbul disebabkan oleh sikap memendam rasa ini. Apakah kita tidak belajar psiki orang Melayu? Mereka mudah memendam rasa. Sesuatu yang terluka di hati akan dipendamkan terlebih dahulu. Sabar dan sabar. Saya yakin, sampai satu masa nanti, kesabaran itu akan hilang.

Semua yang dituntut selama ini boleh dikatakan telah hampir dipenuhi oleh kerajaan. Saya tidak nafikan ada wujud lompongan dan kelemahan sana sini dalam kerajaan seperti isu rasuah dan integriti. Dengan sebab itu ditubuhkan SPRM dan Institut Integriti. Langkah penambaikan sebegini janganlah ditolak kesemuanya.

Apa lagi sebenarnya agenda ultra kiasu? Saya fikir kita sudah tersasar kerana terlalu melayan mereka, sehingga kaduk naik junjung.

Lihat sahaja jawatan-jawatan politik dalam kabinet. Jawatan tersebut sudah tidak lagi mencerminkan perwakilan kaum, walaupun itulah yang sepatutnya berlaku. Desakan dan tuntutan terus dibuat untuk menambah lagi jawatan-jawatan bukan Melayu, walaupun bilangan mereka hanya sekelumit. Parti baru demi parti baru ditubuhkan dengan keahlian yang boleh dikira dengan jari, mereka begitu berani menuntut kerusi pilihan raya serta jawatan dalam kabinet.

Lihatlah apa yang telah segelintir ultra kiasu ini dapat. Sekolah sendiri, universiti sendiri, ekonomi sendiri, pertubuhan perkauman sendiri dan lain-lain. Syarikat merekalah yang paling banyak disenaraikan dalam bursa saham, termasuk syarikat yang menjadikan sektor kematian dan perkuburan sebagai sebagai bisnes.

Ke manakah wang dibawa pergi setelah mereka kaya raya? Wang dilaburkan di luar negara, kemudian segelintir mereka berhijrah lari meninggalkan negara kita dengan menukar taraf warganegara. Mereka tidak ada rasa terhutang budi untuk membalas jasa.

Pada mereka, mereka kaya disebabkan oleh usaha mereka sendiri, tidak ada kena mengena dengan polisi yang sedia ada menjadikan mereka kaya. Pada saya, jika sistem itu tidak membenarkan mereka menjadi kaya, tidak mungkin mereka akan kaya. Adakah dengan adanya dasar afirmatif, mereka menjadi semakin miskin? Tidakkah dengan DEB mereka turut menjadi kaya. Semakin ramai lahir usahawan bumiputera dilahirkan, semakin ramai mereka akan menjadi kaya. Logiknya mudah, jika seorang usahawan bumiputera dilahirkan, mereka memerlukan produk. Siapakah yang memilik produk tersebut dan menjualkannya kepada bumiputera tersebut? Sudah tentu bukan Melayu yang menguasai ekonomi. Maknanya, semakin kaya orang Melayu, orang bukan Melayu turut menjadi kaya sama, malah kaya berganda-ganda sebab mereka adalah pengeluar.

Lihatlah berapa ramai kakitangan awam yang bersara yang bergelar Tan Sri dan Dato diperalatkan dalam syarikat dan anak syarikat mereka. Golongan ini diperalatkan dengan sedikit habuan elaun mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Mereka sanggup menggunakan nama mereka untuk mendapatkan tender-tender kerajaan atas nama bumiputera. Akhirnya siapakah yang dapat tender-tender tersebut. Saya tidak pasti apakah hukum mereka yang diperalatkan ini untuk mendapatkan tender kerajaan. Selepas itu, golongan hanya boleh berlagak dengan jawatan pengerusi syarikat itu dan ini yang telah disenaraikan dalam bursa saham.

Saya yakin dalam suara hati kecil mereka akan berkata mereka diperalatkan, tetapi disebabkan oleh wang, mereka mudah kelabu mata. Anak bangsa terus merempat, orang lain terus menjadi kaya. Kita sanggup menjadi mandaliar, menggadaikan maruah agama bangsa dan negara. Jika benar-benar mereka mahu berjuang, ‘pak pacak’ ini mesti ada suara dengan jawatan yang dilantik dalam syarikat mereka itu. Selain daripada mendapat sedikit sebanyak saham, yakni untuk membantu mereka yang memerlukan, bukan terus menikmati elaun dan seterusnya pencen yang diberikan oleh kerajaan setelah bersara. Tidakkah kita merasa berdosa, duduk di syarikat tersebut. Mukapun tidak nampak dalam syarikat tersebut. Hanya nama mereka dipergunakan dan diperalatkan untuk mendapatkan tender atau kontrak kerajaan. Ini yang dikatakan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Saya tidak mengatakan kita orang Islam tidak boleh duduk dikerusi pengerusi syarikat yang dipunyai oleh orang bukan Melayu. Tetapi kita mesti memainkan berperanan. Bukan berlagak dengan jawatan. Fikirkan kepentingan anak bangsa sama. Apa yang boleh dimanfaatkan oleh anak bangsa dengan perlantikan tersebut. Janganlah menjadi mandaliar dan sikitol. Kita akan menyesalkan nanti, percayalah. Ketika itu, kita tidak dapat melihat atau merasainya, tetapi anak cucu kita yang akan sengsara. Apakah kita yakin anak cucu cicit kita akan dijaga oleh syarikat tersebut setelah kita memejam mata? Apakah kita ingat bahawa elaun yang kita perolehi itu boleh mengenyangkan keturunan kita satu generasi? Ingatlah wahai bangsa seagamaku, elaun yang kita perolehi hanya boleh mengenyangkan kita untuk satu hari atau mungkin setahun. Tetapi tender atau kontrak yang kita dapatkan untuk mereka, boleh mengenyangkan mereka satu generasi dan generasi inilah yang akan berhijrah ke luar negara nanti. Percayalah.

Justeru kepada anak bangsa sekelian, kita jangan mudah diperalatkan dengan hanya sedikit habuan di depan mata. Wang tidak akan dibawa ke mana setelah kita mati. Apa yang penting ialah generasi yang akan kita tinggalkan. Mampukah mereka bertahan? Ingatlah kata-kata pejuang-pejuang zaman dahulu, mereka berjuang bukan kerana pangkat, tetapi demi memperkasakan maruah agama, bangsa dan negara. Sekali lagi saya memetik kata-kata Pendeta Za’ba, bahawasanya keselamatan orang-orang Melayu ini pada pihak jalan kehidupannya (pencariannya) dan pada pihak perangai-perangainya yang kekurangan itu hanyalah boleh didapati pada satu jalan sahaja, iaitu diubati kemiskinannya yang pada pihak otak itu yakni kemiskinan pengetahuannya dengan jalan diberikan mereka itu pelajaran-pelajaran daripada jenis yang betul. Maka di situlah, dan di situlah sahaja boleh didapati keselamatan itu, tiada pada lainnya.

Jika orang lain ada strategi laut biru atau blue ocean strategy, kenapa tidak kita? Kita juga harus berfikir bagaimana mewujudkan ruang pasaran tanpa perebutan dan menjadikan persaingan tidak relevan (W. Chan Kim dan Renee Mauborgne, 2005). Hari ini kita asyik mahu merebut dan bersaing tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Umat Islam mesti keluar daripada kelemut air yang penuh dengan segelintir jerung jika ingin berjaya dan tidak tidak diperalatkan oleh jerung tersebut.

Teringat saya berita 14 Mac 2010 bertajuk “Brunei lebih takut laknat Allah” oleh Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Dr. Mohd Zain Serudin yang menolak usul ultra kiasu ahli parlimen Goh King Chin, supaya zon jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam. Zain menegaskan, “andai ianya diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan. Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja, tetapi pada semua yang berada di negara ini. Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak. Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran”.

Saya ucapkan tahniah dan kita perlu mengambil iktibar dari penegasan negarawan ini. Terus terang, inilah pemimpin yang meletakkan rakyat didahulukan, memahami kehendak akar umbi. Tidak mudah tunduk kepada desakan dan tekanan. Hak asasi manusia perlu diketepikan apabila berlaku pertembungan dengan hak-hak Maha Pencipta. Tujuannya tidak lain, untuk melindungi manusia yang tidak berdosa di buminya sendiri. Kita amat bimbang, bila berlaku sesuatu musibah mereka yang tidak berdosa turut menjadi mangsa disebabkan oleh tangan-tangan pendosa.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Monday, April 05, 2010

Berubah sebelum parah

6:40 AM Posted by RIDHUAN TEE 88 comments
Mingguan Malaysia, 4 April 2010

Sejak akhir-akhir ini krisis dalaman MCA mewarnai politik negara. Liputan demi liputan diberikan seolah-olah MCA adalah sebuah parti yang amat berpengaruh di kalangan orang Cina. Pada saya, MCA tidaklah sekuat mana berbanding parti-parti politik yang lain terutama parti ultra kiasu. Parti ultra kiasu telah berjaya mengalihkan perhatian dan minat ahli-ahli parti MCA dan Gerakan kepada mereka. Dengan sebab itu, tsunami politik dan pilihan raya 2008 adalah petunjuk yang amat jelas bahawa sokongan orang Cina telah beralih arah kepada ultra kiasu. Saya amat yakin, jika ditakdirkan pilihan raya umum berlangsung hari ini, belum tentu ahli MCA dan Gerakan mengundi calon mereka dalam pilihan raya. Kenapa? Inilah psiki yang mesti kita fahami.

Parti ultra kiasu telah berjaya memanipulasikan dan mengekspoitasikan isu sehingga menyerlahkan kehebatan mereka seolah-olah kelihatan sebagai jaguh rakyat. Mereka berjaya melindungi sifat ultra kiasu mereka disebabkan oleh kelemahan kita sendiri sehingga diambil kesempatan oleh mereka.

Jika sejak dahulu kita menyahut seruan Perdana Menteri dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, maka sudah tentu tsunami politik ini tidak akan berlaku. Ayat keramat ini sebenarnya telah diamalkan pemimpin terdahulu seperti Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Dr. Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za’ba), Burhanuddin Helmi dan sebagainya. Pada mereka, politik bukan tiket untuk jadi kaya, tetapi politik adalah untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara, agar kepentingan rakyat terpelihara.

Hari ini segelintir kita sudah jauh berubah. Politik digunakan sebagai alat untuk mendapatkan kuasa. Kuasa diperalatkan untuk mendapatkan dan mengumpul harta kekayaan. Kita berebut-rebut untuk mendapatkan kuasa sehingga sanggup menikam bangsa dan rakan sesama sendiri. Semata-mata kerana dengan adanya kuasa, segala dapat diperolehi dan kemahuan nafsu dipenuhi.

Pemimpin-pemimpin lalu dapat dilihat (to be seen) sebagai pemimpin yang tidak menimbunkan harta. Mereka berjiwa rakyat dan hidup matinya semata-mata adalah untuk rakyat, berpaksikan kepada ajaran agama. Rakyat didahulukan dalam sebarang hal, dengan mengambil kira rakyat yang memilih kita untuk naik ke puncak teratas. Tanpa rakyat siapalah kita hari ini. Justeru, kita perlu pulangkan kembali amanah yang dipikul ini kepada rakyat dengan menjaga kebajikan dan keselamatan mereka. Biar rakyat kaya, pemimpin hidup serba sederhana. Biar rakyat tahu, kekayaan mereka disebabkan oleh pemimpin yang bekerja dengan ikhlas dan sentiasa low profile bukannya berlagak tidak tentu pasal. Jejak langkah inilah yang patut kita contohi kerana ia selari dengan perjuangan yang telah ditinggalkan oleh nabi Muhammad SAW.

Sehingga ke akhir hayat Baginda, laungan ummati, ummati dan ummati, tetap berkumandang. Ini menunjukkan kecintaan Rasulullah SAW yang teramat kuat kepada umatnya, berpaksikan Cinta Agungnya kepada Allah SWT. Kecintaan yang amat mendalam inilah yang telah menyelamatkan agama, bangsa dan negara serta dunia secara keseluruhannya.

Sebahagian besar harta Nabi habis digunakan untuk perjuangan Islam demi kepentingan rakyat tercinta. Begitu juga dengan pimpinan para sahabat. Islam yang kita nikmati hari ini adalah juga hasil daripada perjuangan mereka. Baginda ternyata teramat berjaya merealisasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ramai rakyat jelata yang menjadi kaya raya dijana menyokong bersama-sama perjuangan dan inspirasi Baginda. Baginda tidak dilihat menimbunkan harta. Pengorbanan Baginda tidak ada tolok bandingnya. Siapalah kita jika ajaran Baginda tidak sampai ke Nusantara. Apakah mungkin kita menjadi seadanya? Ingatlah, hari ini kita hebat disebabkan oleh Islam datang kepada kita. Mengubah cara hidup kita yang dahulunya jahil, kini menjadi umat terpelihara. Jika ditakdirkan kita masih Hindu-Buddha, apakah keadaannya sama seperti hari ini?

Hari ini segelintir kita sudah mulai jauh dari perjuangan Baginda dan pemimpin terdahulu? Keadaan kelihatan sudah mula terbalik. Kita lebih berseronok dengan kuasa. Kuasa boleh membeli rumah mewah, kereta mewah, isteri mewah dan sebagainya, sehinggakan perjuangan sebenar tergadai. Akhirnya, orang lain mengambil kesempatan. Kita asyik marahkan orang lain kerana mengambil kesempatan. Persoalannya, kenapa kita biarkan orang lain mengambil kesempatan hasil daripada kelemahan kita sendiri?

Saya tidak fikir orang lain akan mengambil kesempatan, jika kita memperlihatkan kehebatan dan kekuatan kita. Kita tidak mudah dijual beli. Kita mempunyai prinsip perjuangan yang jelas memartabatkan agama, bangsa negara serta menjauhi sifat-sifat mazmumah. Hari ini kalau kita mahu menjadi juara rakyat, memenangi hati rakyat dan seterusnya menang dalam pilihan raya, pemimpin mesti dalam dilihat melakukan kebaikan, berjuang untuk rakyat, baik akhlaknya dan menyayangi agamanya.

Biarlah rakyat yang kaya, pemimpin tidak seberapa nampak terlalu kaya. Bukannya pemimpin kaya, rakyat di bawah hidup menderita. Kenapa hari ini parti ultra kiasu dan sekutunya berjaya mengaburi hati rakyat? Rakyat yang kaya berada di belakang mereka menyokong penuh aspirasi mereka, menampakkan mereka seolah-olah tidak berada. Sedangkan kita tahu, mereka juga tidak kurang kayanya. Sistem yang sedia ada turut membantu mereka menjadi kaya. Cuma, mereka pandai cover, menutup kelemahan dengan mengaburinya melalui kebaikan yang dipublisitikan secara besar-besaran. Kebaikan dan pertolongan mereka diperlihatkan, dimasukkan ke dalam laman-laman web mereka. Bantuan kepada sekolah agama dan jabatan agama diperbesar-besarkan, dengan mengatakan peruntukannya sebelum ini lebih kecil. Saya tidak nampak penambahan peruntukan itu perlu diperbesarkan. Ia semata-mata dilakukan untuk mencairkan hati kita. Logiknya mudah, jika peruntukan lebih kecil, sudah tentu hati kita tidak cair. Saya yakin peruntukan dikatakan lebih besar jauh lebih kecil jika kita dapat angka yang sebenar peruntukan yang disalurkan untuk orang mereka yang disengaja disenyapkan. Strategi licik perlu difahami seperti yang saya tulis minggu lalu.

Masa masih belum terlambat dalam merealiasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ingatlah kata-kata keramat Pendeta Za’ba, rupa tidak boleh diubah, tetapi perangai boleh diubah. Umat Islam hari ini mengalami krisis identiti untuk mengubah perangai supaya menjadi lebih baik. Sedangkan kita tahu perangai boleh diubah jika telah ada kesedaran dan matlamat hidup.

Cuba kita amati betul-betul amanat yang pernah disampaikan oleh almarhum Tun Dr. Ismail, katanya, UMNO perlu membetulkan lemahnya kefahaman parti-parti lain serta lemahnya komitmen mereka kepada struktur politik yang telah dibina. Dalam pilihan raya 1969 persoalan sensitif tentang Bahasa Kebangsaan dan Hak Istimewa Melayu menjadi hambatan kepada Perikatan umumnya dan menyebabkan pertumpahan darah pada 13 Mei. Lalu kita maktubkan isu-isu itu dalam Perlembagaan sebagai perkara yang tidak boleh dibangkitkan dalam bentuk apapun oleh pembangkang. Dengan itu kelemahan rakan-rakan kita dilindungi. Pada masa akan datang, MIC dan MCA tidak boleh memandang kepada UMNO dan berkata mereka menghadapi kesulitan dengan isu-isu tersebut, sebab mulai sekarang isu-isu itu tidak akan menyusahkan mereka lagi. Kita akan mensyaratkan persetujuan tentang perlaksanaan dasar dan kurangkan masa yang digunakan untuk menjelaskan kepada sesama kita isu-isu yang sudah diterima sebagai dasar Perikatan. Kita harus tumpukan perhatian pada perlaksanaan Bahasa Kebangsaan yang sewajarnya serta perlindungan Hak Istimewa Melayu, dan mempertahankan kewarganegaraaan kaum bukan Melayu. Tiga isu ini harus menjadi asas perbincangan yang terus terang dan ikhlas antara ketiga rakan dalam Perikatan, agar kita dapat mencapai kemenangan yang munasabah dalam pilihan raya akan datang. Tetapi kalau kita balik kepada perangai lama dan bercakap tanpa berterus-terang dan tanpa keikhlasan, dan kita “sembunyikan masalah kita di bawa tikar”, saya rasa Perikatan akan hilang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang. Kalau kita tidak mencapai kesepakatan seperti itu, lebih baik kita bubarkan sahaja perkongsian ini daripada meneruskan pakatan yang hidup segan mati tak mahu (Ooi Kee Beng, 2007).

Amanat ini walaupun sudah lama, ternyata sudah menampakkan kebenarannya. Kontrak sosial yang mengutamakan kesejahteraan rakyat seolah-olah telah dicabuli dan kita rela membiarkannya. Pada kita, kontrak sosial mengurangkan sokongan bukan Melayu, sedangkan kita jarang mengkaji kesan positifnya dan perasaan orang Melayu sendiri. Apakah kita lupa peringatan yang telah diberikan oleh sarjana barat seperti Comber (2007) dan Faaland (2005)?

Menurut Faaland, orang bukan Melayu sebenarnya memahami maksud kontrak sosial yang sebenar yakni mereka bertanggungjawab untuk membantu orang Melayu memasuki alam perniagaan dan perdagangan. Ini adalah sebahagian daripada perjanjian ikhlas yang dipercayai umum wujud antara mereka. Sayangnya, bukan Melayu tidak tampil dengan bantuan sebenar kepada orang Melayu dalam sektor swasta. DAP, MCA, Gerakan dan Pertubuhan dan Persatuan Cina mahupun MIC, tidak tampil dengan inisiatif atau rancangan usaha sama kenegarawanan, program dan projek untuk membantu orang Melayu agar terbentuk satu identiti kepentingan di kalangan kumpulan kaum, meskipun inisiatif sedemikian adalah untuk kepentingan mereka sendiri, yang memberi keselamatan dan jaminan untuk masa depan. Namun, perkara sebaliknya berlaku.

Menurutnya lagi, bukan Melayu mendiskriminasikan orang Melayu dalam perniagaan dari segi kontrak, dalam pekerjaan dan lain-lain, memihak kepada kaum mereka sendiri. Melayu dianggap rendah dan malas serta hanya mampu melakukan kerja-kerja yang kurang memerlukan daya fikiran dan daya fizikal. Mereka juga dianggap tidak responsif kepada motif keuntungan dan kurang berinisiatif, serta apabila diberikan sesuatu kerja, orang Melayu dianggap tidak berkeupayaan melaksanakannya dengan serius dalam jangka panjang, berbanding kaum lain. Orang Melayu hanya diberikan jawatan hiasan untuk tujuan kosmetik dan perhubungan awam, khususnya jika syarikat berkenaan mempunyai urusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang majoritinya ditadbir oleh pegawai Melayu. Secara praktik, orang Melayu telah memberikan kepada bukan Melayu hak-hak yang tidak terpisah di bawah perlembagaan sebagai ganti untuk apa yang akhirnya hanya berupa tidak lebih daripada janji-janji samar dan kosong oleh bukan Melayu. Namun, janji-janji ini pun kini dinafikan sesetengah bahagian komuniti bukan Melayu.

Sebagai kesimpulan, kita tidak perlu menggadaikan prinsip untuk merealisasikan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Apa yang penting, perangai kita mesti berubah. Pemimpin mesti dapat dilihat sebagai juara rakyat, dengan bertindak mengikut landasan kebenaran berpaksikan kepada perlembagaan seperti mana yang telah dipersetujui bersama. Yakinlah, Allah bersama-sama orang yang benar. Berubahlah sebelum parah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis