Sinar Harian 12 Mei 2014
Artikel saya minggu lalu mendapat
banyak komen dan kritikan yang amat menyakitkan Apa nak buat, itulah Ridhuan
Tee! Kalau tidak kontroversi, bukan dia. Saya sudah lali. Hanya mahu
mengingatkan sahaja, tidak lebih dari itu. Kena pada kita tak apa, kena pada
mereka tidak boleh. Jadi, dimanakah keterbukaannya? Takkan saya nak membiarkan
kita terus diserang, tanpa menyerang.
Dalam banyak yang mengutuk,
saya amat terkesima dengan komen yang berbunyi;
“Komen Prof yang saya baca dalam
Yahoo News sebentar tadi amat saya menarik perhatian saya. Kebetulan saya
sedang menonton klip video riwayat Muhamammad Ali yg mana beliau pernah
"migrate" ke Europe atas desakan racis orang Amerika kerana statusnya
sebagai immigran Negro dan juga Islam. Sekembalinya Ali, kemudian dijelkan atas
sebab yang lebih kepada anti Islam dan bertentangan dengan pentadbiran US.
Agaknya kerajaan Malaysia juga harus ikut contoh ini. Saya agak
"flabbergasted" dengan segelintir Malaysian yang tidak tahu bersyukur
dengan kebebasan dan kemewahan ketoleransian yang telah mereka nikmati. Pada
hemat saya lebih 5 juta pendatang asing yang datang sini cari makan di Malaysia
menunggu untuk menggantikan mereka ini.
Cuba saudara baca artikel ultra
kiasu dalam laman web ultra kiasu minggu, mengenai sumbangan bukan Islam di
negara ini. Langsung tidak mengaitkan orang Melayu selaku majoriti. Seolah-olah
bukan Melayu sahaja yang menyumbang, orang Melayu tidak.
Kerana terlalu
marahkan NGO PERKASA dan ISMA, atas pandangan mereka, laman web ultra kiasu
telah menonjolkan 10 sumbangan bukan Melayu kepada negara ini, berbanding orang
Melayu. Teruja saya untuk menjawabnya.
Pertama, katanya,
orang bukan Islam adalah penyumbang terbesar pendapatan cukai kepada negara.
Salah. Saya jawab, penyumbang terbesar adalah Petronas dan GLC yang lain. Buat
kajian betul-betul. Cukai tak langsung iaitu cukai kepenggunaan. Paling banyak
dibayar oleh orang Melayu sebab mereka adalah majoriti. Cukai langsung kita
bincang kemudian.
Kedua, daripada 29
juta penduduk negara, hanya dua penyumbang
pingat dalam sukan Olimpik 2012 adalah bukan Melayu iaitu Lee Chong Wei
dan Pandela Rinong. Kenapa tonjolkan tahun 2012? Banyak lagi tahun-tahun
sebelum itu. Bagaimana dengan nama Mokhtar Dahari, Kamarudin Maidin, Keluarga
Misbun Sidek.
Jika ada bukan
Melayu berjaya, bukanlah sepenuh dari mereka. Sistem negara itu sendiri yang
menyumbang dan menyokong kejayaan mereka. Lagipun ia bukan percuma. Ada
ganjaran dan balasannya. Siapa yang membantu menjayakan Arena Lee Chong Wei dan
gelaran yang diterima.
Ketiga, Jimmy Choo
adalah pereka kasut terkenal dunia. Saya akui, tetapi berapa banyakkah kasut
Jimmy Choo yang terjual di pasaran berbanding jenama-jenama kasut yang menjadi
rebutan?
Keempat, orang
pertama menjejaki puncak gunung Everest adalah M. Magendran in 1997. Bagaimana
dengan lambakan orang Melayu yang telah mendaki gunung tertinggi di dunia
selepas itu? Apakah orang pertama sahaja yang dikira sumbangannya? Bagaimana
dengan perenang yang merentas Selat Inggeris seperti Datuk Malik Maidin ?
Kelima, kejohanan motorsports
dunia, yang diwakili oleh Yoong Yin Fah, anaknya Alex Yoong F1 dan Karamjit
Singh. Saya tidak nampak nama-nama mereka ini begitu besar dalam arena
motorsport dunia. Biasa-biasa sahaja.
Keenam, pemain squash
antarabangsa dunia, Nicol Ann David. Squash tidak termasuk dalam sukan Olimpik.
Walau begitu, saya mengagumi kejayaan Datuk Nicol. Sebab itu kerajaan beri
pengikhtirafan. Gelaran datuk dan pusat squash negara turut diberikan atas nama
beliau. Ini tidak termasuk kemudahan lain.
Ketujuh, orang Cina
adalah yang pertama mengusahakan lombong bijih sekitar tahun 1820an sehingga
tahun 1980an. Siapakah yang benarkan ini semua? Adakah mereka boleh mencari
makan dengan aman, kalau Melayu menentang?
Kelapan, HN Ridley
yang memulakan penanaman getah di Tanah Melayu sehingga menjadi harta kekayaan Negara.
Tidakkah penulis ini tahu apa tujuan penjajah membawa masuk tanaman ini? Untuk
kepentingan negarakah atau diri mereka sendiri? Hari ini, kelapa sawit yang
menjadi komoditi utama, bukan getah lagi.
Kesembilan, BS
Rajhan adalah rakyat Malaysia pertama yang memulakan filem Melayu berjudul
Laila Majnun. Apakah sumbangan bukan Melayu pula hari ini? Sikap dan persepsi
mereka terhadap bahasa Melayu.
Kesepuluh, reka bentuk
masjid negara dibuat oleh Howard Ashley, bersama Hisham Albakri Kasim. Kini, kita ada reka bentuk Masjid Besi,
Masjid Putra dan Putrajaya itu sendiri. Kenapa tidak ditonjolkan namanya. Bagaimana
pula dengan nama-nama arkitek Melayu yang turut membina bangunan pencakar
langit di luar negara seperti di Mekah? Kenapa disenyapkan?
Kenapa tidak
berterima kasih kepada pasukan keselamatan (rata-rata Melayu) yang telah
menjaga keselamatan negara ini sehingga kita boleh menjadi juara dan kaya raya
di sini?
Kalau boleh, saya
tidak mahu membalas atau menulis artikel menyentuh soal orang lain. Saya
mahukan semua orang saling menghormati. Kita mahu lahirkan Malaysia yang aman,
sejahtera dan bersatu padu. Tetapi, serangan dan tohmahan mereka amat
keterlaluan.
Orang yang tulis
sebegini tidak pula dituduh rasis. Malah, dipuji dan disanjung tinggi dengan
komen yang manis-manis. Bila tiba giliran saya menulis fakta, maka dihentam
habis-habisan. Pemikiran apakah ini? Pahit sungguh berkata benar.