Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Wednesday, September 18, 2013

Pas mesti keluar pakatan

4:07 PM Posted by RIDHUAN TEE 22 comments

Utusan Malaysia 18 September 2013

CADANGAN Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib di Multaqa Ulama Se-Malaysia di Alor Setar, Kedah minggu lalu, agar Pas mengkaji semula tahaluf siyasi atau hubungannya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP harus diberikan perhatian serius oleh semua pimpinan Pas.

Walaupun Pas kini sudah pun diperalatkan, tetapi masih belum terlambat. Saya harap Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz NIk Mat jelas dalam soal ini.

Kerap kali saya mengingatkan Pas supaya berhati-hati dalam kerjasama dalam pakatan pembangkang. Nampaknya, ingatan saya mula menjadi kenyataan. Tidak ada guna berkawan dengan orang yang tidak suka pada Islam atau tidak beramal dengan Islam, apatah lagi menentang Islam, meskipun telah lama dipujuk.

Tidakkah lebih baik kita berkawan dengan orang yang sudah sedia Islam dan bersedia untuk berbincang melaksanakan agenda Islam, iaitu UMNO? UMNO dahulu berbeza dengan UMNO kini.

Mereka yang mahukan Islam semakin ramai, walaupun mungkin ada sedikit kalangan pimpinannya yang tidak mahu. Apatah lagi UMNO hari ini berada dalam keadaan tersepit.

Tidakkah keadaan 'tersepit' itu boleh juga dimanipulasikan demi kepentingan Islam? Tidakkah tahaluf siyasi boleh dilaksanakan di sini daripada bersama penentang-penentang Islam.

Saya tidak nampak pakatan pembangkang boleh menjadi medan dakwah kepada Pas kerana PKR dan DAP tidak pernah berubah pendekatan terhadap Islam. PKR tidak mahukan Islam menjadi dasar, manakala DAP terang-terang menolak dan menentang Islam.

Lihatlah pada cara mereka membela kes-kes di mahkamah, apabila berlaku pertentangan dengan Islam atau Islam lawan bukan Islam. Mereka langsung tidak menampakkan rasa hormat terhadap Islam. Sama juga isu rumah ibadat baru-baru ini. Tidak perlu saya sebut siapa dan di mana? Semua telah maklum.

Jika berhujah pasal hak, berapa banyak lagi rumah berhala diperlukan, sehingga bilangannya menenggelamkan surau dan masjid. Bilangan bukan sedikit, tetapi berkali-kali ganda. Statistiknya telah saya paparkan sebelum ini, sama ada yang sah atau tidak sah.

Ingin saya bertanya kepada Pas berapa ramai orang PKR dan DAP memeluk Islam setelah sekian lama berkawan? Atau sekurang-kurangnya berlembut dengan Islam? Boleh dikatakan tidak ada. Yang amat ketara, 'hak' mereka, walaupun bukan hak, pantang diusik sama sekali.

Paling tidak, hormatilah pendirian Pas mengenai Islam dan negara Islam. Ini tidak, pantang disebut sahaja nilai-nilai Islam dan negara Islam, maka DAP dan PKR tidak senang duduk, menunjukkan betapa antinya mereka terhadap Islam.

Kita mahu lihat betapa kuatnya pakatan pembangkang tanpa Pas. Jangan mimpilah untuk berkuasa jika Pas tidak berada dalam pakatan. Jangan mimpi juga untuk mengugut atau menggertak umat Islam.

Sejak sekian lama, sebahagian ulama dalam Pas mengkritik sesetengah pucuk pimpinan Pas kerana rapat dengan pimpinan pakatan pembangkang dengan pelbagai gelaran diberikan.

Gelaran demi gelaran diberikan oleh mereka yang telah keluar daripada Pas. Anwarinas, golongan parasit dan virus dalam Pas adalah gelaran yang popular.

Datuk Hasan Ali ketika dipecat daripada Pas, menggelar orang Pas yang rapat dengan pimpinan PKR sebagai parasit-parasit Pas.

Nasharudin Mat Isa sebelum disingkirkan daripada Majlis Syura ulama berulang kali mengingatkan agar Pas mengkaji balik kedudukannya dalam pakatan pembangkang. Beliau secara lantang menganjurkan Pas keluar daripada pakatan pembangkang kerana PKR dan DAP telah belot dalam tahalus siyasi.

Apabila idea ini dicadangkan, orang yang paling kuat menentang adalah Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang menyifatkan idea-idea sebegini adalah daripada musuh Pas sendiri yakni UMNO. Sejak dahulu lagi beliau berpendirian sedemikian.

Menurut Sayuti Omar, penyokong kuat pakatan pembangkang tahalus siyasi itu bukan bersifat macam ayam mengawan (sekejap) tetapi bersifat angin berjimak (lama). Jika Pas beralih angin kepada bekerjasama dengan UMNO, apakah UMNO akan bersikap jujur dan ikhlas dengan Pas?

Dan sejauh manakah Pas dapat meyakinkan UMNO memperjuangkan Islam dan Melayu, sedangkan dasar-dasarnya yang jelas bertentangan dengan kehendak dasar perlembagaan Pas.

Pada beliau, paling kurang, Pas perlu mengambil iktibar daripada politik Turki. Di Turki, parti Islam berpecah kepada dua kumpulan apabila kumpulan pimpinan Recip Tayyip Erdogan membentuk AKP dan meninggalkan penyokong Necmetin Erbakan dalam Saadet. AKP terbukti berjaya dan menjadi parti yang memerintah Turki sejak tiga penggal lalu dan Erdogan kini adalah Perdana Menteri Turki yang berpengaruh.

Dalam Pas, kumpulan yang dinamakan sebagai Erdogan mahu bersama pakatan pembangkang, manakala kumpulan penyokong Harun Taib ini mahu mengkajinya.
Pada saya, andaian ayam mengawan dan angin berjimak tidak boleh dipakai jika kawan-kawan itu jenis yang menentang Islam.

Malaysia tidak boleh disamakan dengan Turki dan sebagainya. Malaysia adalah Malaysia. Negara lain kebanyakan masyarakatnya adalah sebangsa (homogeous society). Pi mai pi mai tang tu juga. Negara mereka tetap terlepas kepada bangsa mereka.

Apakah kita tidak belajar daripada keadaan di Fiji. Apakah orang Fiji memerintah Fiji atau diperintah hari ini? Orang Fiji telah mengemis di bumi sendiri. Saya tidak perlu bercerita lanjut. Buatlah kajian atau sekurang-kurangnya bacalah politik Fiji. Seksanya orang Fiji apabila diperintah orang lain.

Kita adalah masyarakat berbilang bangsa. Lebih malangnya pecahan Islam dengan bukan Islam, tidak besar. Konsep majoriti-minoriti seolah-olah tidak wujud sebab penduduknya hampir seimbang.

Jika terlepas, sukar untuk dikembalikan. Justeru, sebelum terlepas, perlu berhati-hati. Sebelum nasi menjadi bubur. Menangis air mata darah sekalipun tidak ada gunanya jika tanah air yang berasaskan kepada payung anak watan (indigenous canopy) terlepas kepada orang lain.

Sebab itu dalam memahami politik Malaysia, ia bukan sekadar mengawan ayam atau berjimak angin. Tetapi lebih daripada itu. Masa depan dan survival umat Islam.

Selama-lamanya saya tidak akan percaya kepada PKR dan DAP jika mereka tidak lembut dan menerima Islam selaku agama persekutuan di negara ini. Selamanya mereka menentang, selama itu juga saya tidak akan berlembut dengan mereka.

Rayuan saya kepada Pas. Buanglah rasa buruk sangka terhadap UMNO. Begitu juga UMNO terhadap Pas. Mulakan langkah pertama. Perbincangan kerajaan perpaduan.

Jika kuasa yang menjadi matlamat, berapakah bilangan kerusi Kabinet yang boleh diberikan oleh UMNO kepada Pas. Jika tidak bersetuju, berbincang lagi. Belum pun muktamad. Pokoknya kita mahukan segala keputusan menguntungkan Islam. Biar DAP kecut perut.

Lihatlah bagaimana bersatunya orang lain. Kerajaan begitu tegas dalam melaksanakan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), yang berkaitan rapat dengan penambahan masa pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu (BM) kepada 240 minit di SJKC.

Sebaik-baik sahaja idea ini dilontarkan, NGO-NGO Cina dan parti politik Cina begitu kuat menentang. Kita ingatkan MCA akan menasihatkan ultra kiasu ini dan bersama kerajaan. Rupa-rupanya tidak. MCA serupa dan senada dengan mereka. Bila tiba bab mempertahankan bangsa, semua bersatu.

Tidak cukup dengan itu, mereka begitu lantang mengkritik agenda bumiputera yang dilancarkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini. Alasan mereka, GLC itu wujud hasil cukai-cukai yang dibayar oleh rakyat Malaysia berbilang kaum. Kenapa perlu ada agenda bumiputera?

Setelah lebih 56 tahun merdeka, parti komponen BN sendiri dan pakatan pembangkang, begitu jahil tentang Perlembagaan. Bagaimana ia boleh diharap untuk memerintah negara.

Kita pula bagaimana? Kita bukan hanya bercakap soal bangsa, tetapi soal agama iaitu agama Allah SWT, Islam sebagai cara hidup. Kita perlu mengambil iktibar sebelum terlambat.

Memang mudah untuk berkata atau terpengaruh dengan kata-kata, sesiapa pun memerintah, kedudukan Islam, Melayu dan Raja pasti akan selamat.

Apakah keyakinan itu boleh kita harapkan kepada pakatan pembangkang, terutama DAP? Mereka bila-bila masa boleh bekerjasama dengan musuh-musuh Islam untuk memusnahkan kita.

Pas tidak perlu masuk ke dalam UMNO untuk saling bekerjasama. Begitu juga dengan UMNO. Mereka boleh kekal dengan parti masing-masing. Apa yang penting perlu ada kerjasama dalam isu-isu berkaitan agama, bangsa dan negara.

Monday, September 16, 2013

Mengubat Hati Melayu

10:40 AM Posted by RIDHUAN TEE 14 comments


(Sinar Harian 16 Sept 2013)

Kerap kali kita dengar, setiap kali berakhir Perhimpunan Agong Tahunan (AGM) sesebuah parti politik, mesej tidak lain, agenda bangsa mesti diperkasakan. Mereka mahukan bangsa mereka terangkat dan terdarjat. Tidak ada yang miskin, terbiar dan merempat. Pendek kata, semua bangsa mahu menjadi hebat.

Dalam usaha  menuju mencapai matlamat itu, kerajaan akan didesak dan diugutkan untuk memenuhi tuntutan tersebut. Jika tidak ditunaikan undi akan beralih arah. Benar atau tidak, mereka mengundi, Tuhan sahaja yang tahu.  

Atas nama bangsa, mereka bersatu. Gagasan 1Malaysia dijadikan alasan kuat untuk mendapatkan hak mereka. Begitulah kuatnya mereka menjaga bangsa mereka.

Hairannya, kenapa semangat ini semakin luntur kalangan pemimpin parti politik Melayu seperti UMNO, PAS dan PKR. Saya tidak mahu bincangkan parti PKR, parti serpihan UMNO. Saya tidak fikir parti ini akan bertahan lama sebab tidak ada agenda yang jelas.

Fokus saya hanya kepada UMNO dan PAS. Kenapa UMNO dan PAS tidak boleh duduk semeja untuk memperjuangkan nasib umat Islam dan Melayu? Sampai bila PAS  harus menuduh UMNO kafir, korup dan sebagainya, sedangkan UMNO terus memerintah dan mewakili orang Melayu Islam? Begitu juga UMNO, sampai bila mahu menuduh parti PAS, parti Pak Lebai tidak tahu mengurus negara? Sampai bila mahu menolak kerajaan perpaduan atau unity government?

Bilakah agaknya kita mahu menggembelingkan kekuatan dan mendapatkan hak? Jika kita terus bersikap sebegini, kita tidak akan ke mana-mana? Apa yang tinggal pada Melayu?

Wajarkah di kala parti lain begitu kuat menjaga bangsanya, kita pula mendesak parti Melayu supaya hilang kemelayuannya? Siapa yang kita harapkan untuk menjaga Islam dan Melayu? Tidakkah semua Melayu beragama Islam?

Saya masih menaruh harapan tinggi terhadap UMNO dan PAS. Walaupun apa jua tuduhan yang dibuat, sekurang-kurangnya UMNO dan PAS masih mempunyai hala tuju. Matlamatnya jelas. Soal sama ada mereka memperjuangkan atau tidak, itu kita boleh bincang kemudian.  

Saya cuma ingin ingatkan UMNO dan PAS, bahawa masa semakin suntuk. Orang lain semakin kuat dan agresif mendesak. Sehinggakan untuk merobohkan rumah ibadat haram di tanah kerajaan sendiri begitu sukar untuk dilakukan bagi memberi laluan pembangunan.

Bayangkan jika di situ adalah rumah ibadat seperti masjid atau surau. Apakah kita seagresif itu untuk mempertahankannya. Mengkaji sifat Melayu Islam, saya fikir tidak. Melayu Islam akan mengalah akhirnya.

Terbaharu, Dong Zong dan sekutunya mahu menyaman kerajaan jika masih meneruskan agenda Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025, bagi memperkasakan bahasa Melayu di Sekolah Cina. Bayangkan, kerajaan hendak melaksanakan agenda kebangsaan yang sedia termaktub dalam perlembagaan pun tidak boleh. Berdaulatkah kita setelah 56 tahun merdeka?

Logiknya, jika agenda kebangsaan sudah jelas, kita tidak perlu bertanyapun kepada sesiapa, untuk mendapat persetujuan bagi tujuan perlaksanaan, kerana sudah sedia maklum. Ini tidak, kita seolah-olah meminta sedekah di bumi sendiri. Meraih simpati untuk melaksanakan hak bernegara.

Melayu mempunyai tanah iaitu Tanah Melayu atau tanah rezab Melayu. Malangnya tanahnya sebahagian besar sudah jatuh kepada bukan Melayu terutama di kawasan bandar. Melayu mempunyai tulisan iaitu tulisan jawi, malangnya telah diganti menjadi tulisan rumi. Melayu mempunyai bahasa iaitu bahasa Melayu, malangnya bahasa ini semakin melayu (layu).

Melayu mempunyai keretapi iaitu Keretapi Tanah Melayu, malangnya telah diganti menjadi nama komuter, ERL, LRT, monorail dan lain-lain nama glamour. Tanah ini, negeri Melayu, tetapi tidak ada sekolah Melayu. Sedangkan bangsa lain ada sekolah untuk bangsanya. Nasib baik, Melayu masih ada sekolah agama. Jika tidak, ada apa yang Melayu boleh wariskan.

Melayu tidak bersatu hati. Masing-masing mempunyai agenda tersendiri. Melayu tidak mahu dengar nasihat sesama Melayu. Melayu memandang rendah sesama Melayu. Inilah hati Melayu.

Ada yang mengatakan hati Melayu telah mati. Hati Melayu sudah tidak sensitif lagi.  Rasullullah SAW mengingatkan bahawa hati kita ini bagaikan kuah yang sedang mendidih. Simpang siur dan turun naiknya begitu unik.  Kekadang ia sihat dan baik  bagaikan fitrah asalnya.  Namun sesekali bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.

Seorang ulamak dan cendekiawan Islam ada berkata, antara tanda-tanda hati seseorang itu telah mati adalah tidak berasa sedih kerana tertinggalnya suatu amalan kebaikan, juga tidak menyesal jika buat sesuatu perlanggaran dosa.

Marilah kita melakukan muhasabah diri. Apakah hati Melayu begitu keras sehingga tidak nampak bahaya yang bakal dihadapi. Hati Melayu perlu dibaja kembali dengan iman dan Islam. Suka kepada kebaikan. Kebaikan yang dapat menjana kekuatan dan perpaduan. Lupakanlah sengketa yang lalu. Kita perlu memandang ke hadapan.

Pesan Imam Al-Ghazali: “Carilah hatimu pada tiga tempat.  Cari hatimu ketika bangun membaca Al-Quran.  Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat.  Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati.  Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah SWT, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kamu tidak mempunyai hati.”

Inilah hati Melayu yang sebenar. Bebas dari dendam dan hasad dengki. Carilah hati itu. Mudah-mudahan Melayu dan Islam akan menjadi kuat.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Monday, September 09, 2013

Malaysiaku berdaulat, benarkah?

1:08 AM Posted by RIDHUAN TEE 29 comments


(Sinar Harian 9.9.13)

Saya agak beremosi sedikit apabila membincangkan hubungan Malaysia-Singapura. Apatah lagi kritikan Lee Kuan Yew terhadap kita dalam buku terbaharunya. Adakah kita sudah lupa amaran Kuan Yew pada Ogos 2009 kepada Malaysia? Katanya, jika Malaysia tidak membekalkan air yang mencukupi kepada Singapura, penyelesaiannya adalah perang.

Suka atau tidak, Singapura tetap berada dalam kepulauan Melayu. Sebab itulah, sejak dari awal Singapura bersedia dengan segala kekuatan yang ada. Belanja pertahanan hampir separuh belanjawan negara. Penasihat mereka adalah Yahudi. Mereka tidak mahu tunduk atau diperkotak-katikkan oleh negara Melayu sekeliling. Persiapannya, adalah dengan persediaan pertahanan sebaik mungkin. Hari ini, siapa yang berani memberi kata dua kepada Singapura?

Kita sentiasa berada di pihak yang rugi dan rugi, dari dahulu sampai sekarang dan akan datang. Kereta kita dikenakan bayaran masuk ke Singapura dengan harga SG20 (dolar) sehari. Manakala, kita hanya mengenakan pada kadar harga yang amat murah bagi kereta Singapura masuk ke Johor. Begitu juga dengan harga air.

Saya perincikan sekali lagi perjanjian air antara kita dengan Singapura. Sejak dahulu kepemimpinan Singapura mengulangi akan terjadi perang jika air dihentikan atau dicerobohi kawasan tadahan air di negeri Johor.

Malah, kolam tadahan di negeri Johor dijaga sepenuhnya oleh tentera Singapura. Tidak ada sesiapapun dibenarkan masuk. Jika masuk peranglah jawabnya. Pihak Singapura menolak rundingan semula perjanjian air kerana menganggap ia mencabar kedaulatan Singapura sebagai negara berdaulat. Apa yang kita buat selepas itu, selainkan terpaksa bersetuju.

Persoalan saya, adakah pengorbanan kita dihargai? Hari demi hari, pemimpin mereka mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan hati kita, terutama buku terbaharu Kuan Yew.

Tidakkah kita sedar bahawa perjanjian bekalan air antara kerajaan Malaysia dan Singapura sentiasa menjadi beban politik kepada kita kerana ia langsung tidak menguntungkan kita. Ini tidak termasuk ruang udara kita yang sentiasa diceroboh.

Malah, Singapura untung berlipat kali ganda memperniagakan air yang kita salurkan dengan harga yang tidak masuk akal. Selain daripada dijual mahal kepada kita semula. Mereka juga membuat keuntungan berlipat ganda dengan menjualnya kepada kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan.

Singapura hanya membayar 0.03 sen setiap seribu gelen. Malaysia pula menurut perjanjian baru air tahun 1962 perlu membeli air terawat dari Singapura pada harga 0.50sen setiap 1000 gelen. Sedangkan Melaka membeli air dari Johor pada kadar 0.30 sen setiap seribu gelen. Sehingga kini (2061) kita jual air kepada Singapura pada kadar 0.03 sen bukan 0.30 sen! Sebab itu Singapura cepat maju, sebab mereka pandai memanipulasikan keadaan. Kita pula bagaimana?

Dalam perjanjian air, terang-terang menyebut bahawa kita ada hak untuk mengkaji semula harga air tersebut. Kenapa sukar sangat untuk Singapura mematuhi dan berbincang mengenainya.

"Klausa 17 pada Perjanjian 1961 dan Klausa 14 pada Perjanjian 1962 jelas menyatakan: "Provisi pada perenggan (i) dan (ii) pada klausa terdahulu bagi kedua-duanya mestilah bergantung kepada semakan semula selepas tamat tempoh iaitu 25 tahun selepas dari kedua-dua ini dimeterai...." Dua puluh lima tahun selepas 1961 dan 1962 jelasnya bermaksud bila-bila masa selepas tahun 1986 dan 1987. Ini tidak bermaksud semakan semula mesti dibuat pada kadar segera di antara dua tahun ini. Bila-bila masa selepas tahun 1986 dan 1987, kedua-dua belah pihak dibenarkan mengikut perundangan menyemak semula harga tersebut."

Hari ini, sebagai menunjukkan kebongkakannya, kerajaan Singapura bertindak balas dengan membina logi air bagi menghasilkan New Water pada kos SG 0.30 sen. Tindakan ini bukan semata-mata bagi memenuhi keperluan air, tetapi juga sebagai membuktikan kepentingan strategik pertahanan negara Yahudi ini.

Pada 1 September 2011, Syarikat Public Utilities Board (PUB) Singapura  telah menyerahkan kembali 4 kemudahan utama perbekalan air iaitu dua buah loji air dan dua buah rumah air kepada kerajaan negeri Johor iaitu Loji Air Gunung Pulai, Loji Air Sungai Skudai, Rumah Pam Pontian, dan Rumah Pam Tebrau, Johor.

Pemulangan kemudahan perbekalan air ini disebabkan oleh penamatan kontrak 50 tahun bekalan air menurut Perjanjian Air 1961 yang berakhir pada tahun 2011. Lagipun Singapura sudah mempunyai bekalan air yang mencukupi kerana masih ada satu lagi perjanjian air Malaysia-Singapura akan tamat pada tahun 2061.

Kenapa jarang sekali kedengaran kawasan tadahan air di negeri Johor dicerobohi atau pembalakan haram berlaku seperti negeri-negeri lain? Jawapannya, kawasan sekitar kawasan tadahan air dikawal rapi oleh tentera Singapura. Kita selaku rakyat Malaysia tidak dibenarkan masuk sama sekali ke kawasan tersebut. Mereka amat takut sekiranya kita melakukan sesuatu ke atas air yang disalurkan ke negara tersebut. Begitulah keadaan menang-kalah yang berlaku.

Persoalan saya, ketika orang lain asyik menyindir dan menekan kita, adakah kita mahu terus bersabar? Apakah kita terus mahu berada di tempat yang kalah? Bila pula kita mahu menang?

Sun Tzu pernah memberikan nasihat, kenali diri dan musuh, anda akan menang ratusan pertempuran. Adakah kita sudah mengenali diri dan musuh? Saya fikir belum. Kita terlalu banyak berpolitik sehingga terlepas pandang ancaman ini walaupun telah 56 tahun merdeka. Berdaulatkah kita sebenarnya?


Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Penganalisis Sosio Politik

Monday, September 02, 2013

Bertegas dengan pendidikan kebangsaan

7:02 AM Posted by RIDHUAN TEE 29 comments


(Sinar Harian 2.9.13)

Saya tidak berkesempatan untuk menghadiri Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan (KPPK) walau dijemput berkali-kali pihak penganjur 27 Ogos lalu dan sebelumnya. Elok juga saya tidak hadir. Jika tidak, saya akan dituduh pengkhianat Cina lagi.

Dalam resolusi kongress tersebut, kerajaan digesa bertegas untuk melaksanakan sistem pendidikan tunggal dan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah demi meningkatkan jati diri dan perpaduan kebangsaan.

Kongres itu turut menyokong tindakan Kementerian Pendidikan yang tidak mengiktiraf Unified Examination Certificate (UEC) untuk dijadikan sebagai setara dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Kongress tersebut juga menuntut kerajaan tidak meluluskan penubuhan sekolah menengah Cina dan tidak mengiktiraf kolej swasta Cina yang tidak mengikut kurikulum pendidikan kebangsaan.

Persoalannya, sedarkah kita berapa banyak Sekolah Persendirian Cina (SPC) dan IPTS Cina yang telah diluluskan sebelum ini? Apakah MQA (Agensi Kelayakan Malaysia) memantau operasi IPTS menggunakan bahasa ibunda ini seperti yang dilakukan terhadap IPTA? Buatlah kajian. Saya sudah letih memperkatakannya.

Isu ini telah diperjuangkan sekian lama oleh NGO pendidikan Cina dan kebanyakan NGO Cina lain seperti Hua Zong, Dong Zong, Jiao Zong, Dong Jiao Zong serta Dong dan Zong yang lain. Hari ini mereka sedang mengumpulkan tandatangan orang Cina bagi menentang pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP) yang antara lain mahu memperkasakan Bahasa Melayu (BM) dan beberapa penambaikan di SJKC.

NGO ini amat takut tindakan kerajaan terbaharu akan menggugat penguasaan bahasa Cina dan orang Cina tidak lagi menjadi secina-cinanya. NGO Cina tidak mahu orang Cina jadi ‘Cina Pisang’ atau  OCBC, ‘orang Cina bukan Cina’. Nampak macam lawak, tetapi itulah hakikatnya

Maka tidak hairan, NGO Cina tidak langsung mahu pendidikan mereka diubah atau disentuh oleh mana-mana pihak, termasuk kerajaan walaupun sebahagian besar dana diperolehi daripada bantuan kerajaan. Apatah lagi mahu mendengar desakan NGO Melayu. Mereka tetap bertegas itu adalah hak mereka dan dijamin oleh perlembagaan. Dalam kata lain, perjuangan pendidikan Cina adalah hidup mati orang Cina.

Persoalannya, adakah selama ini kita bertegas? Nasib baiklah Pilihan Raya Umum (PRU) telah berlalu. Jika tidak, bukan sahaja resolusi tersebut akan ditolak mentah-mentah, malahan lebih banyak institusi pendidikan Cina yang akan didirikan seperti mana yang telah diluluskan pembinaannya sebelum PRU 13. Misalnya, di Kuantan, Segamat dan sebagainya.

Kenapa kita perlu tunduk kepada desakan? Kenapa kita tidak fikirkan tentang masa depan negara dan pembangunan negara bangsa? Persoalan ini telah bermain di minda saya sekian lama.

Saya harap, pada kali ini, kerajaan benar-benar serius dan jangan berdolak dalih lagi. Nak jadi apa dengan PRU 14 nanti, jadilah. Janji agenda pembangunan negara bangsa mesti diteruskan. Tidak kiralah siapapun yang memerintah.

Sebenarnya ramai juga orang Cina yang tidak setuju dengan tindakan NGO-NGO Cina ini. Tetapi mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana NGO ini amat berpengaruh. Pengaruh mereka disebarkan secara meluas oleh akhbar-akhbar Cina dan media elektronik Cina yang lain. Pemikiran sebahagian besar orang Cina telah sebati Cina itu sekolah, sekolah itu adalah Cina. Hidup mati Cina mesti bersama sekolah Cina. Jika tidak, bukan Cina namanya.

Persoalannya, adakah sebegitu berani sekali orang Cina? Terus terang, orang Cina sebenarnya takut mati atau kiasi, selain kiasu (takut kalah). Kiasu berkait rapat dengan kiasi. Sebab itu, kita lihat orang Cina begitu banyak melabur untuk kehidupan. Kalau boleh, jika mati sekalipun, biarlah dalam keadaan relaks dan nyaman dipenuhi wang ringgit.

Kita lihat orang Cina paling ramai yang membeli insuran, terutama insuran nyawa. Mereka tidak mahu mati dalam kemiskinan. Kalau boleh jika mati di hospitalpun biarlah di hospital mewah. Sehinggakan dalam upacara kematian, simboliknya adalah wang dan material. Saya tidak mahu mengulas lanjut. Saksikan upacara kematian orang Cina.

Saya membangkitkan isu ini kerana saya menerima ancaman bunuh baharu ini. Terus terang, hidup mati di tangan Allah. Saya serahkan segalanya kepada Allah. Moga Allah melindungi saya. Tapi saya bukanlah jenis yang takut mati, kerana Islam mengajar saya bersedia untuk mati bila-bila masa sahaja sama ada ada wang atau tidak, kerana ajal maut di tangan Allah. Sebab itu kita diajar supaya mengadakan persiapan terbaik untuk mati.

Oleh kerana sifat orang Cina takut mati (kiasi) sudah sampai masa kerajaan bertegas. Tangkap dan penjarakan ekstremis-ekstremis yang tidak mahu  menyahut agenda pembangunan negara bangsa. Ketika itu saya yakin mereka akan kecut.

Jika tidak, isu ini akan terus menjadi duri dalam daging. Bila datang PRU 14 nanti, kitapun menikus. Akhirnya, semua kembali balik asal. Inilah politik Melayu yang saya fahami sekian lama.

Bukanlah maksud saya kita menutup SJKC yang berjumlah lebih 1300 buah. Saya fikir agak mustahil untuk dilakukan. Mungkin mengambil masa. Tetapi, kerajaan hendaklah memastikan SJKC mesti akur kepada arahan kerajaan dan penambaikan yang cuba dilakukan. Jika tidak mahu, tutup SJKC dan jadikan ia aliran kebangsaan.

Kita tidak boleh berlemak lagi, kerana kaduk sudah naik junjung. Biarlah PKR dan PAS memanipulasikan isu ini. Apa yang penting agenda kebangsaan mesti diperkasakan. Namun, isu ini hendaklah dilihat secara menyeluruh termasuk SJKT (Tamil). Saya tidak risau sangat dengan SJKT kerana ia tidak seekstrem SJKC.