(BERITA HARIAN
15 APRIL 2013)
Pertandingan 3 penjuru antara PKR, PAS dan
UMNO tidak mustahil berlaku lagi dalam PRU 13. Misalnya di di DUN Sungai Acheh,
Pulau Pinang. Asalnya kerusi ini milik PAS, diserahkan kepada PKR pada PRU12,
2008. Dalam PRU 13, PAS mahukan kerusi itu kembali. Calon PAS dan PKR telah
diumumkan. Manakala di DUN Titi Tinggi dan Indera Kayangan (Perlis), ultra
kiasu DAP telah mendahului mengisytiharkan calon mereka, walaupun kerusi
tersebut milik PKR.
Keadaan yang sama
berlaku kepada DUN Changkat Jering. Mohamad Nizar, diumumkan sebagai calon
untuk kerusi ini. PKR Perak bertegas menyatakan, PAS telah 'melanggar syarat'
antara mereka. Walau bagaimanapun, PAS Perak tetap bertegas meletakkan calon di
DUN ini sebagai respons 'balas dendam' kepada pengumuman PKR meletakkan
calonnya di Parlimen Bagan Serai.
Terbaharu, PAS Alor
Setar mahukan DUN Bakar Bata, milik kuota PKR sebelum ini. PAS berkeras mahu
meletakkan calonnya. Itu bukan satu-satunya kes di Kedah, umum mengetahui, penentuan
formula pembahagian kerusi antara PAS, DAP dan PKR di Kedah masih bermasalah
kerana PAS tidak mahu menggunakan formula sama pada PRU 2008.
Perkara ini akan berlarutan berlaku di DUN
atau Parlimen lain. Maklumlah PKR sentiasa mendakwa bahawa mereka kuat. Wal hal
sebenarnya… Semua tempat PKR mahu bertanding. Dalam hal ini saya masih boleh
bersetuju dengan PAS. Sejak dahulu lagi PAS memang kuat di beberapa negeri
seperti Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis. PKR dan DAP hanya menumpang
nasib sahaja. PKR dan DAP tidak layak berada di sana,
Ditakdirkan PAS tidak mengundi PKR dan DAP,
parti ini sudah lama bungkus. Itupun PAS masih bermurah hati menyerahkan
beberapa kerusi kawasan mereka, tetapi ultra kiasu ini masih tidak bersyukur.
Dasar Belanda minta tanah. Bila tiba soal wang dan kuasa, soal sepakatan
dibuang ketepi.
Persoalannya, apakah erti seruan manifesto PR
dan tema ‘Pakatan Harapan Rakyat’? Mengata dulang paku serpih, mengatakan
orang, dia yang lebih. ‘Penyakit’ yang dahulunya dikatakan bawaan Barisan
Nasional (BN), sudah berjangkit kepada Pakatan Rakyat (PR). Tidak dinafikan
dalam BN berlaku perebutan kerusi di kalangan parti-parti komponen.
Sepatutnya PR lebih mudah untuk diuruskan
sebab parti-parti komponen dalamnya hanya 3 buah yang dominan, selebihnya hanya
parti nyamuk. Berbanding BN yang mempunyai 14 buah. Sejak dahulu lagi, PR tidak
mahu PAS mendapat lebih kerusi kerana PAS akan menjadi lebih dominan. Agenda
Islamnya akan mengakar. PAS sedar akan strategi jahat ini, tetapi kerana terlalu
bencikan UMNO, sanggup berkawan dengan musuh.
Tanyalah parti ultra kiasu PKR dan DAP, dalam
aspek manakah Islam yang diperjuangkan oleh mereka sukai. Realiti yang ada, mereka
tidak suka kepada PAS. Sebab itu mereka bermati-matian tidak akan menerima Perdana
Menteri dari PAS jika PR berjaya ke Putrajaya. Mereka tidak pernah percaya
kepada Islam yang dibawa oleh PAS. Mereka tidak mahu Haji Hadi Awang atau Nik
Aziz memimpin Malaysia. Asasnya mudah mereka ‘PAS memperjuangkan Islam’,
berjubah dan berserban. PAS sahaja yang terpesona dengan idealism ultra kiasu
yang mahu mengikuti corak pemerintahan Umar Abdul Aziz.
Ditakdirkan DAP dibatalkan pendaftarannya
oleh ROS, kenapa DAP menawar diri bertanding atas tiket PAS, bukan PKR? Baca
buku psikologi berbalik. PAS nampaknya begitu ghairah memberikan tawaran
tersebut. Ingatan saya, berhati-hati dengan musuh dalam selimut dan musang
berbulu ayam. Peliknya, kenapa PAS percaya kepada musuh yang terang-terang
menentang Islam daripada saudara sebangsa dan seagama? Apakah tindakan itu
betul? Saya amat bimbang nanti, bila kerusi DAP lebih banyak daripada kerusi
PAS walaupun berada dalam PAS. Ketika itu apa akan terjadi? Fikir-fikirkan
secara matang.
PAS sejak dahulu mahu melaksanakan Islam
(hudud) di Kelantan. PAS selalu menyalah UMNO dan kerajaan pusat. PAS tidak
muhasabah diri kenapa ia tidak dapat dilaksanakan. PAS tahu bahawa DAP tidak
akan bersetuju. Sebab itu, PAS tukar kepada negara berkebajikan. Kenapa perlu
menghukum UMNO, bukan DAP yang menyebabkan PAS berubah? Saya bukan penyokong
UMNO. Tetapi saya kasihan melihat UMNO. Apapun yang berlaku semua UMNO yang
salah. Tidak ada sedikitpun kebaikan UMNO. Berbaloikah dengan perbuatan
sedemikian? Umat Islam terus berpecah. Kita terus lemah. Ultra kiasu mengambil
kesempatan. Agenda mereka tercapai. Agenda kita entah ke mana.
Pada saya, sebahagian UMNO mahukan agenda Islam
itu dilaksanakan tetapi realiti politiknya tidak sebegitu. Apabila dibentangkan
di parlimen, sukar untuk mendapat sokongan dua pertiga, jika ultra kiasu tidak
menyokong.
Saya meneliti perlembagaan UMNO Fasal 3
menyebut, asas dan tujuan UMNO; adalah sebuah parti politik yang berjuang
mendukung cita-cita kebangsaan Melayu demi mengekalkan maruah dan martabat
bangsa, agama dan negara…menegak, mempertahan dan mengembangkan Islam, agama rasmi negara
serta menghormati prinsip kebangsaan beragama. Fasal ini jelas tidak menolak
Islam sebagai cara hidup.
Dalam Perlembagaan
PKR Fasal 5; menghayati Islam sebagai agama Persekutuan sambil memastikan bahawa
hak masyarakat bukan Islam mengamalkan agama atau kepercayaan masing-masing
terus terjamin dan menggalakkan peranan agama serta nilai-nilai sejagat untuk
menegakkan kebenaran, keadilan, ketinggian akhlak, pembangunan insan dan
martabat manusia.
Mana kala Fasal 5 menyebut tujuan PAS ialah, memperjuangkan wujudnya di dalam negara ini sebuah masyarakat
dan pemerintahan yang terlaksana didalamnya nilai-nilai hidup Islam dan
hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah. Mempertahan kesucian Islam serta
kemerdekaan dan kedaulatan negara. Begitu juga dengan Fasal 6 yang banyak
menyentuh soal mengamalkan Islam sebagai cara hidup.
Secara perbandingan, kecenderungan UMNO
kepada Islam lebih tinggi berbanding PKR. Persoalannya, kenapa UMNO sahaja yang
didakwa menolak Islam, bukan PKR? Mursyidul Am PAS, Nik Abdul Aziz Nik Mat
mempertahan kenyataannya bahawa pahala solat anggota UMNO tidak diterima Allah
kerana menolak dasar Islam. Bukan sahaja solat anggota UMNO tidak diterima
Allah SWT, malah solat mereka yang memberi sokongan kepada parti itu juga tidak
mendapat pahala. "Buat la apa sahaja pun, asalkan tolak Islam, semua
mengarut”. Pertanyaan saya, bagaimana dengan PKR?
Kenapa PAS tidak
menolak PKR yang juga tidak meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan dalam
perlembagaan? Ternyata, perjuangan Islam dalam perlembagaan PKR lebih longgar
berbanding perlembagaan UMNO. Inilah akibat apabila kita terlalu nampak kuman
di seberang laut, sedangkan gajah di depan mata. Kita memejamkan mata. Ingatan
saya kepada PAS, berhati-hati tidur sebantal dengan PKR dan DAP. Mimpi mereka
berlainan. Saling berbunuhan antara satu sama lain. Sasarannya adalah PAS.