Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, June 22, 2014

Alahai DNA Babi, Anjing dan Dakwah!

8:37 AM Posted by RIDHUAN TEE 6 comments


(Berita Harian 16.6.14)

Nampaknya perbahasan babi masih tidak habis. Minggu lalu saya sudah cadangkan jauhi sahaja kedai ultra kiasu yang sengaja memasukkan najis babi bagi tujuan mengaut keuntungan dan merosakkan hati umat Islam.

Alasannya, kita ada pilihan kedai orang Islam yang terjamin halal. Cuba lihat pembuatan bihun di kilang ultra kiasu seperti yang tersebar dalam laman sosial baru-baru, cap masjid lagi. Betapa jijik dan kotornya. Mereka hanya fikirkan untung. Justeru, belilah bihun orang Islam. Begitu juga produk lain, jika ada pilihan.

Apapun perlu diingat, babi itu tetap makhluk Allah, bukan jadian syaitan. Kita dilarang makan, tetapi sifat dan rupa babi sebagai makhluk Allah mesti dihormati. Jika tidak, kita mengeji kejadian Allah ini. Kufur jadinya.

Tidak mustahil babi akan mengadu kepada Allah, “adakah aku dijadikan untuk dikeji dan dihina”. Ingat! Semua makhluk yang dijadikan Allah adalah untuk kita. Kita akan diuji dengan makhluk-makhluk ini, tidak kira sama ada ia halal atau tidak.

Apatah lagi, kita tinggal dalam masyarakat berbilang kaum. Untuk mendapatkan 100% halal memang sukar. Duit yang kita pegang berlegar-legar di kedai babi, sampai kepada kita, kenapa kita tidak samak duit tersebut?

Apakah selepas ini kita perlu memandang kepada lalat dan berkata, pernahkah lalat ini hinggap di kedai babi. Jika pernah, maka kita akan buru dan bunuh lalat tersebut kerana takut terkena pada badan dan makanan kita.

Saya masih teringat ketika pergi ke sebuah pasar, ketika itu kedai babi dan kedai ayam berdekatan, bagaimana pergaduhan berlaku, hanya kerana lalat dari kedai babi terbang ke kedai ayam. Kita tidak boleh terima sama sekali jika terkena babi. Hatta memandang babipun tidak mahu. Hina sungguh babi.

Begitu juga dengan darah dan organ yang didermakan oleh bukan Islam. Adakah kita perlu mengamak benda itu, sebelum dimasukkan ke dalam badan orang Islam. Adakah sampai ke peringkat menukarkan darah? Naif sungguh kita. Kenapa kita tidak menyamak udara yang dihembuskan oleh babi dan bersin babi? Adakah mampu untuk kita mengasingkan udara dan bersin yang keluarkan itu?

Sama juga dengan isu anjing. Apakah salah atau berdosa besar mereka yang memelihara anjing?

Anjing wajib dibela, jika hanya anjing sahaja yang boleh membantu keselamatan negara, mengesan jejak orang jahat, pembunuh, perogol, penagih dadah dan sebagainya.

Zaman dahulu orang Islam membela anjing bagi tujuan menjaga kebun, perburuan dan menunjuk arah (kompas). Artikel ini bukan bertujuan atau menggalakkan orang Islam memelihara anjing. Tetapi jangan kerana anjing dan babi, putus tali silaturrahim.

Malah, Hassan al-Basri mahukan kita meniru 10 sifat anjing. Kenapa bukan binatang lain untuk kita tiru seperti kucing yang menjadi binatang kesayangan kita? Antara sifat mulia anjing; pertama, anjing tidurnya amat sedikit, banyak berjaga pada waktu malam. Kiasannya, kita perlu berjaga malam untuk sujud kepada Allah. Kedua, anjing tidak tidur di tempat tinggi atau lebih tinggi dari tuannya, tetap tidur ditempat rendah, begitu sifat manusia yang tawaduk dan rendah diri.

Ketiga, anjing apabila disuruh, dia akan ikut kata tuannya. Begitu juga kita sebagai pelajar, ikutlah kata guru yang benar ajarannya. Keempat, anjing tidak merajuk jika dimarahi dan dipukul oleh tuannya, malaah akan kembali semula. Begitulah juga kita yang ingin mencari ilmu. Jangan mudah merajuk atau terasa hati, bila dimarahi atau mungkin dipukul sedikit.

Kelima, bila anjing berlari ke depan, dia akan terus bergerak ke hadapan, tidak berpatah balik. Begitu juga dengan kita, jangan mudah berputusa asa, majulah ke hadapan. Keenam, anjing sentiasa lapar, jarang makan sampai kenyang terbelahak. Begitulah juga manusia, lapar akan sentiasa mengingatkan diri kepada Allah, puasa adalah iktibarnya.

Ketujuh, anjing tidak ada tempat tetap, sentiasa berpindah randah. Itulah sifat kita semua sebagai da’e dan pendakwah sentiasa bergerak untuk menyebarkan syiar Islam.

Kelapan, bila anjing mati, tidak ada apa yang ditinggal atau diwarisi. Kiasannya, inilah sifat zuhud. Jangan terlalu tamak mengumpulkan harta sehingga melupakan orang lain. Kesembilan, jika tempatnya diambil orang orang lain atau diletakkan benda lain, anjing tidak berebut atau bergaduh atua berdendam, sebaliknya akan berpindah ke tempat lain. Inilah sifat hamba yang redha dengan bahagiannya.

Kesepuluh, jika diberi makan, anjing akan makan. Jika tidak hanya memandang dari jauh. Inilah sifat manusia yang perlu ada, redha dengan bahagiannya. Justeru, perlukah kita memandang hina pada makhluk yang begitu mulia sifatnnya ini?

Sebab itulah, tindakan kita perlu berhati-hati agar tidak merugikan dakwah. Saya masih teringat, ketika mula memeluk Islam, ada yang mencadangkan supaya apabila balik ke rumah ibu bapa saya, maka seluruh rumah dan peralatan perlu disamak.

Kita terlalu sensitif dengan DNA babi, tetapi kenapa dalam soal rasuah, judi, arak, zina, hiburan melampau dan sebagainya, kita memandangkan ringan. Ingat umatku! babi ciptaan Allah. Suka atau tidak, kita perlu menerimanya dengan penuh hikmah. Cuma berhati-hatilah.

Sedangkan perbuatan rasuah, judi, zina, riba, arak dan lain-lain itu, adalah ciptaan kita. Jelas haramnya dan lebih haram dari babi dan anjing. Kita yang sengaja mewujudkan walaupun diharamkan oleh Allah. Kita tahu, ia dosa besar, tetapi kita tetap melakukannya. Mana lebih besar dosa antara menghina (termasuk termakan) babi, berbanding dengan melakukan perbuatan terkutuk itu. 

Jika tidak ada pilihan, pilih antara dua, antara makan babi dengan makan hasil rasuah, judi, arak, zina dan riba, saya rela makan babi. Dosa makan babi, dosa individu. Sedangkan perbuatan terkutuk itu, bertali-temali, melibatkan ramai manusia.

Terfikir juga saya ketika itu, apakah Islam begitu sukar sekali sebab apa yang saya pelajari, Islam itu mudah. Misalnya, dalam apa jua perkara seperti ibadat, kematian, perkahwinan (nikah) dan sebagainya, begitu mudah.

Kita tidak perlu berbelanja untuk membeli patung untuk bersolat. Mengadap sahaja ke arah kiblat, maka bersolatlah kita. Begitu juga belanja mengkebumikan mayat. Jika simati itu tidak meninggalkan satu sen pun. Menjadi fardu kifayah untuk kita semua kebumikan secepat dan seringkas yang mungkin. Sama juga nikah kawin, tanpa apa-apa hantaran pernikahan boleh dijalankan jika cukup syarat.

Sebab itu, sudah lama saya mencadangkan, agar kajian dilakukan, bagaimana pendekatan mazhab boleh digunakan bagi memudahkan dakwah berjalan.

Misalnya, soal samak apabila terkena najis babi, mazhab lain selain shafie, agak ringan pendekatannya. Tidak perlu menyamak dengan air tanah. Cukup sekadar dengan air biasa. Perkara ini perlu dibahaskan dengan ilmu dan kajian, bukan dengan emosi. Apatah lagi untuk memperlekehkan pandangan ulamak seperti Yusuf al-Qaradawi. Siapakah kita berbanding beliau?

Bayangkan ditakdirkan suatu masa nanti, kita menghadapi masalah air, ketika itu, air kumbahan akan diproses menjadi air bersih. Apakah kita mampu mengasingkan air najis babi, tahi, kencing, bangkai dan sewaktu dengannya? Sudah tentu tidak. Inilah yang dimaksudkan oleh ulamak tersebut dalam Majlis Fatwa Eropah dan Persidangan Fekah Perubatan yang berlangsung di Maghribi 1997. Justeru, berhati-hati bila mengeluarkan kenyataan.

6 comments:

Anonymous said...

Terima kasih Tuan. Baik sungguh.

Anonymous said...

Kita bukan tak yakin dengan Jakim, cuma kita rasa muskil sikit sahaja. KKM test coklat 3 bulan dulu dan Jakim sahkan tiada DNA Babi keatas produk keluaran terkini. Di sini lah ujudnya keraguan.

Kita yakin bila sahaja Cadbury mendapat tahu produknya telah di kesan ada DNA Babi oleh KKM maka tentulah mereka mengambil tindakan. Kalau laporan adanya DNA Babi boleh bocor melalui FB maka ia juga boleh sampai ke pengetahuan Cadbury lebih awal daripada ianya diumumkan secara rasmi oleh KKM. Tak kan lah Cadbury ini bodoh sangat, walau pun sudah mendapat maklumat awal dan tak rasmi yang mengatakan produk ada DNA Babi mereka masih nak mengekalkan bahan mentah tanpa membuat test sendiri. Kalau mereka tidak membuat perubahan itu sama lah dengan tindakan " menggali lubang kubur sendiri ".

Sepatutnya, untuk mengesahkan laporan KKM itu benar atau hanya fitnah jahat terhadap kewibawaan Jakim, Jakim perlu test baki sampel atau produk yang telah di sita oleh KKM. Tetapi ini tidak dibuat.

Jangan salahkan publik jika mereka kini mula meragui cop Halal Jakim. Isu acreditasi dan SOP Makmal KKM tidak mampu mengembalikan keyakinan publik terhadap cop Halal Jakim.

chicken vindaloo said...

Thanks for the great article, Dr. Ridhuan Tee.

Anonymous said...

This is excellent, thank you sir, I hope you will go to greater heights in your dakwah. May Allah bless you and your family abundantly.

Anonymous said...

Jarang saya bersetuju dengan Ustaz, tapi yang ni saya setuju

SolitaireHunter said...

Cerita ini terjadi di Pekan Bagan Datoh sekitar tahun 80an sewaktu saya di bangku sekolah... Sekumpulan Melayu sedang menikmati arak disebuah restoran Cina. Sambil menikmati arak mereka dihidangkan dengan masakan ayam goreng. Tiba-tiba seorang lelaki dari kumpulan yang sedang menikmati arak tersebut memanggil towkeh cina restoran itu dengan suara bengis bertanya 'ini ayam potong (disembelih) ka?'. Lantas tokeh restoran tu menjawab' potong, potong' Mesej nya begitulah kepada orang melayu faktor ayam sembelih itu menjadi amat sensitif pada hal dia lupa bahawa mereka sedang menghirup arak yang sememangnya sedia haram!