Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, December 28, 2015

Bersatu atas nama Islam

8:14 AM Posted by RIDHUAN TEE No comments
Bersatu atas nama Islam (Sinar Harian 28.12.15)

Perpaduan kalangan umat Islam bukan setakat Multaqa al-Azhar, tetapi lebih daripada itu. Masih banyak lagi jalan yang perlu dirintis, bagi memastikan perpaduan umat Islam menjadi realiti dan seterusnya mengekalkan kesinambungan kuasa daripada terlepas kepada ultra kiasu.

Rakan Umno beritahu saya, kerjasama sebelum ini gagal kerana segelintir pemimpin Umno merasa tergugat dengan kehadiran Pas di kawasan mereka.

Perkara yang sama tidak mustahil berulang, selagi kita tidak ditarbiyyahkan mereka dengan Islam. Ingat! kuasa itu hanya alat, bukan matlamat. Gunakan kuasa untuk untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara, bukan memenuhkan poket dan membuncitkan perut.

Mengenali Umno sekian lama, aspek tarbiyyah ini amat kurang sekali, berbanding Pas, yang kadang kala terlebih ekstrem pula, sehingga ada yang fanatik. Sebab itu, konsep wasatiyyah yang diperkenalkan PM perlu difahami sepenuhnya orang Umno dan Pas.

Sudah sampai masanya Umno serius dalam mentarbiyyahkan pemimpin dan ahli mereka. Kembalikan Umno dahulu. Sanggup berjalan kaki dan berbasikal ke sana ke mari melihat nasib rakyat. Susah senang bersama. Jika berlaku kematian, mereka terlebih dahulu tercokoh. Dialah imam, dialah yang baca doa. Itulah baru namanya YB, Yang Berkhidmat.

Ini tidak, rata-rata kita lihat mereka berlagak dengan kereta mewah dan isteri mewah. Tayang sana sini. Lebih-lebih lagi yang beristerikan artis. Ini belum termasuk rumah dan harta yang dihimpun. Susah sangatkah menjadi ‘low profile’? Bukankah ini menjadi tuntutan dalam Islam? Jika nak himpun harta, himpunlah, tetapi jangan menunjuk. Rakyat sudah muak.

Saya banyak berjalan ke rumah kalangan pemimpin Umno. Jarang sekali jumpa rumah mereka kecil, semuanya mewah belaka. Menjadi pemimpin bahagian, anak beranak turut mewah. Inikan pula mereka yang berjawatan dalam negeri dan pusat. Bukanlah bermakna mereka perlu tinggal di pondok kecil. Berpada-padalah.

Dari mana mereka dapat wang yang sebegitu banyak, sedangkan gaji yang diterima tidak seberapa. Kecualilah mereka yang sejak asal memang datang daripada keluarga kaya raya. Kadang kala, mereka tidak ada kerja tetap pun, tetapi hidup mewah.

Semua maklum, segelintir mereka ada tokeh (funder) di belakang. Funder ini akan dipermudahkan kerjanya untuk mendapat peluang bisnes, tanah, kontrak dan tender. Sehinggakan tanah rezab Melayupun boleh terlepas. Sedangkan tanah Melayu ini Allah kurniakan dengan kandungan mineral yang  sangat tinggi. Kenapa tidak gunakan tanah mineral tersebut untuk anak bangsa? Misalnya, buat R&D dan buat kilang? Kenapa dijual kepada orang asing?

Dahulu, negeri Perak terkenal di seluruh dunia kerana kaya dengan bijih timah. Selepas bijih timah dikaut keluar, ada apa dengan Perak hari ini?  Sebab itulah, pembangkang lebih menfokuskan untuk merampas negeri kaya seperti Selangor, Pulau Pinang dan Terengganu daripada Perak. Negeri miskin bukan keutamaan.

Funder sebeginilah yang menjadi sumber kewangan mereka. Inilah bentuk rasuah yang sering diperkatakan, tetapi sukar dibuktikan. Sebab itu, bila ada ultra kiasu yang menjadi kaya raya, bukan kerana mereka pandai, tetapi kita permudahkan mereka menjadi kaya, untung atas angin.

Perkara sebegini mesti disedari oleh Umno jika mahu menghulur tangan dengan Pas. Pas sudah biasa hidup susah dengan perjuangannya. Sebab itu, Pas tidak kisah memutuskan hubungan dengan ultra kiasu yang tamak haloba, walaupun ultra kiasu turut mengsonglak balak-balak mereka di Kelantan. Pas turut memejam mata. 

Justeru, untuk bekerjasama, tidak perlu menuding jari. Tidak perlu juga ‘meleburkan parti’. Mustahil untuk berlaku kerana setiap parti ada pendirian dan pengikut (fanatik) masing-masing.

Belajarlah daripada parti ultra kiasu. Di mana pun mereka berada, apabila pilihan raya, mereka tahu parti manakah yang perlu dipangkah. Tidak bolehkah Pas dan Umno berfikir sebegitu?  

Justeru, dalam merintis kerjasama ini, saya mencadangkan; pertama, Umno mesti berubah. Politik wang yang saya sebutkan secara ringkas di atas mesti dibenteras hingga ke akar umbi. Imej Umno mesti dibersihkan. Begitu juga Pas. Akhlak mulia dan keadilan menjadi tunjang utama.

Kedua, jika Umno atau Pas mencapai kemenangan, sama ada negeri atau pusat. Raikan antara satu sama lain. Jangan bersihkan segala jawatan, termasuk imam masjid surau, ahli Majlis dan sebagainya seperti yang dilakukan ultra kiasu di Pulau Pinang. Jika Pas dan Umno ada kelebihan dan bakat, gunakan untuk kepentingan rakyat. Penilaian berasaskan bakat dan kekuatan, bukan parti. Itu fanatik namanya. Belajarlah dari parti Demokrat dan Republikan di Amerika Syarikat.

Ketiga, apa jua keputusan yang dibuat, ia dilakukan secara ‘win-win’ supaya tidak ada yang kalah terduduk. Terasnya adalah kebaikan dan keadilan. Yakinlah, manusia akan tunduk kepada kebaikan.


Akhirnya, Umno mesti mendidik parti komponen BN supaya lunak dengan Islam. Jangan asyik menentang agenda Islam apabila ianya mahu dilaksanakan. Mungkin parti komponen BN akan rasa tercabar dengan kerjasama ini. Tetapi yakin, siapapun yang memerintah, jika Islam yang menjadi sandaran, bukan Islam tidak perlu bimbang. Allah melaknatkan mereka yang lakukan kezaliman. Bersatulah atas nama Islam. 

Monday, December 21, 2015

Menghulur bukan memutus

8:24 AM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
(Sinar Harian 21.12.15)

Saya tidak nampak Presiden Umno kelihatan sangat terdesak apabila menawarkan kerjasama kepada PAS bagi menjamin kedudukannya dalam Umno dan Barisan Nasional (BN), seperti yang didakwa oleh ultra kiasu PAS (Amanah). Inilah sikap negarawan yang sebenar. Menghulurkan tali, bukan memutuskan. Jika terus memutuskan akan hancurlah negara tercinta ini.

Sepatutnya perkara ini sudah lama berlaku kepada sesiapa yang memahami realiti politik di Malaysia dengan populasi Islam dan bukan Islam 50-50. Kecualilah jika mahukan ultra kiasu memerintah.

Apakah kita sudah buta melihat kepada Pakatan Harapan (Rakyat) hari ini? Siapa yang menentukan segala keputusan? Saban hari tidak habis-habis mereka menyerang Pas. Mereka mahu Pas sentiasa memusuhi Umno, agar psywar dan pysopnya berjaya.

Belum apa-apa lagi ultra kiasu sudah menyatakan hasrat untuk bertanding di 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dimenangi PAS di Selangor sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. Tidak kenal lagi ultra kiasu?

Sebelum ini ultra kiasu Melayu DAP mengingatkan Pas supaya tidak terjerat dalam “perangkap” Umno, setelah ditipu beberapa kali sebelum ini. Ultra kiasu merujuk kepada insiden ketika Pas menyertai kerajaan campuran BN 1973, selepas itu ‘ditendang’ keluar pada tahun 1977 serta tragedi Memali pada 1985. Apakah umat Islam perlu dimangsakan dengan terus mengingati dendam kesumat ini?

Pas tidak pernah lupa dengan semua insiden ini. Islam yang menjadi “pegangan” Pas menjadikan Pas sukar untuk lupakan. Presiden dan pimpinan Pas bukanlah bodoh untuk masuk dalam perangkap Umno. Dalam Pas penuh dengan ulama dan cerdik pandai. Mereka sangat kenal siapa Umno. Namun, saya amat yakin Pas memutuskan untuk keluar daripada PR kerana memikirkan kepentingan umat Islam dengan memahami realiti politik sebenar.  

Tidak dinafikan ada segelintir orang Umno yang masih menolak dan menentang hudud. Tetapi penolakan mereka tidaklah sejahat penolakan ultra kiasu. Ramai orang Umno yang pro-hudud, bersangka baiklah.

Ultra kiasu turut mengingatkan Pas, jika Umno ikhlas terhadap hudud kenapa tidak laksanakan di negeri yang diperintahnya? Sebenarnya “hudud” itu sudah lama berjalan, tetapi dimulakan dengan mengIslamisasi institusi-institusi Islam, seperti Ekonomi Islam, Kewangan Islam, Perbankan Islam dan sebagainya. Manakala, Pas menfokuskan undang-undang Islam. Sinergi itu sudah ada antara kedua parti ini. Cuma tunggu realitinya sahaja. Sabarlah sikit.

Ultra kiasu terus menyerang Presiden Pas kerana terburu-buru mahu bekerjasama dengan Umno telah mengkhianatinya selama ini, seperti pelanduk melupakan jerat.

Jerat ultra kiasu lebih bahaya dari jerat Umno. Apakah Pas pernah dibawa berbincangkan apabila PR Sabah memutuskan hubungan dengan Pas? Ingatan saya kepada Pas, selagi Pas berada di landasan yang benar, apa yang perlu ditakutkan ultra kiasu.

Pas boleh berdiri tanpa ultra kiasu. Tetapi belum tentu ultra kiasu boleh berdiri tanpa Pas. Biarlah ultra kiasu meminggirkan Pas, jangan sampai Allah murka kepada Pas, sudah. Saya bimbang kalau Pas terlalu tergesa-gesa seperti parti Amanah, tidak mustahil Allah akan gantikan Pas dengan parti yang lain.

Saya bersetuju dengan PM, realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat hanya mempunyai dua pilihan, sama ada satu gabungan parti politik yang dipimpin Umno atau satu lagi yang dipimpin atau didominasi ultra kiasu.
Sekiranya umat Islam menolak pelawaan ini, negara ini akan diperintah mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.

Apakah perkara boleh dibiarkan di kala parti lain memperjuangkan kepentingan bangsa mereka, kita pula terus menjadi liberal? Dalam PR mereka memperjuang bangsa, dalam BN pun sama tindakannya? Kita terus melabelkan mereka memperjuangkan bangsa itu asabiyyah? Sedangkan ia hanya alat untuk mencapai matlamat iaitu Islam.

Pas mesti bersabar dan istiqamah setiap masa dan rapatkan saf dan jauhkan daripada sebarang prasangka buruk atau persengketaan. PAS harus tunjuk akhlak yang lebih baik, berhikmah, bijaksana sebagai role model dalam menangani karenah remeh siasah. Diam itu kadangkala lebih baik daripada bersuara seperti keldai.

Dalam menyahut sasaran tersebut, saya mencadangkan agar Umno tidak menyerang Pas bermula dari sekarang, kecuali Pas menyeleweng dari ajaran Islam. Selagi mana Pas berada di landasan, sokongilah sama ada secara tersurat atau tersirat.

Pas bukan parti yang boleh dijual beli. Jika pemimpinnya mahukan kekayaan, sudah lama mereka terus menyertai BN. Tetapi mereka sanggup keluar, berjuang bersendirian, kemudian berpakat dan sekarang bersendiri semula. Jawapannya, kerana Pas ada prinsip, bukan seperti Amanah. Nama sahaja Amanah, tetapi adakah mereka benar-benar amanah, masih belum tentu.


Dalam menuju ke arah itu, saya sarankan agar Umno tidak perlu bertanding di kawasan yang didominasi Pas. Tidak perlu berhabis atau membuang duit untuk menyertai pilihan raya dan berkempen. Gunakan wang tersebut bagi tujuan lain seperti membantu mereka yang memerlukan, seperti membina rumah untuk mangsa banjir. Fokuskan untuk merampas Selangor dan Pulau Pinang. 

Monday, December 14, 2015

Jika jahil bertanyalah pakar

10:01 AM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
SETIAP daripada kita ada kepakaran masing-masing, mengikut jurusan yang dipelajari ketika di universiti. Seperti saya, pengkhususan dalam bidang sains politik. Sebab itu, saya banyak menulis mengenai isu-isu politik dan semasa.
Itu bukan bermakna, saya jahil dalam Islam. Jika tidak, apa erti saya memeluk Islam. Lagipun, ALLAH tidak sebut pula syurga itu, hanya untuk orang agama, tetapi untuk orang yang beriman dan bertakwa. Pendek kata, Islam ini untuk semua orang (manusia). Terpulang, sama ada nak masuk atau tidak.
Namun, bukan semua orang boleh bercakap pasal agama. Jika saya tidak tahu, maka saya akan merujuk kepada orang agama, kerana mereka pakar dan faham al-Quran dan hadis. Saya perlu merujuk mereka, kerana saya bukan pakar.  
Budaya ilmu sebegini seolah-olah tidak berlaku hari ini. Terlalu ramai mahu menjadi pakar. Dialah pakar dalam semua bidang, termasuk dalam bidang agama, meskipun sepatah ayat Quran tidak difahami.
Terbaharu, kenyataan kumpulan jahil yang diketuai oleh wanita gondol mengenai undang-undang khalwat. Kenyataan mereka semakin lama, semakin menyesatkan. Peliknya, perkara batil dan jahat tidak pula dibantah. Orang mahu menjadi baik, menjadikan dia marah.
Kumpulan ini amat bahaya jika dibiarkan berleluasa, kerana dia boleh menyesatkan manusia. Justeru, kita perlu mengenali ciri-ciri yang ada pada mereka.  
Antara cirinya adalah, pertama, yang benar dikatakan salah, yang salah dikatakan benar. Mereka bermati-matian mempertahankan pendapatnya yang disangka betul, walhal batil. Ingatan Nabi; sebahagian tanda-tanda hampirnya hari kiamat adalah banyaknya bacaan (ramai yang pandai membawa) dan sedikit antara yang mengerti agama, banyak umarak (pemimpin) tetapi ketenteraman berkurang (Riwayat Thabrani).
Kedua, si jahil ini dengan mudah mengutuk ulama jika pendapat ulama itu tidak mengikut nafsu dan ideologi mereka. Sedangkan, ulama mengeluarkan pendapat bersandarkan al-Quran dan Sunnah, si jahil ini menggunakan logik akal, malah ada mereka yang tidak boleh membaca al-Quran.
Saya tidak kata semua ulama itu betul dan kita perlu taksub kepada mereka. Tetapi itulah bidang kepakaran mereka, maka rujuklah jika ada ilmu yang bukan dalam bidang kepakaran kita.
Ketiga, si jahil ini begitu mudah membela orang jahil, daripada mereka yang berilmu. Jarang kita dengar kenyataan mereka menentang hak asasi manusia, seperti LGBT. Kerap kali mereka mengutuk ulama dan menghina undang-undang Islam.
Hari ini mereka mahu menghalalkan khalwat, katanya ia urusan peribadi. Adakah mereka selama ini suka dan tidak melarang anak-anak mereka berkhalwat? Jangan tersalah faham makna khalwat yang bersifat baik, mendekatkan diri dengan ALLAH.
Keempat, si jahil ini banyak terpengaruh dengan ajaran sesat seperti illuminati dan freemason, perosak agama. Kumpulan ini mempercayai kepada satu kuasa yang mereka puja. Kuasa itulah yang mereka kenali sebagai ‘tuhan atau god’. Tuhan yang mereka kenali sebagai the all seeing-eye, Mata yang dapat melihat segala sesuatu.
Itulah mata satu yang selalu digunakan. Simbol ini terdapat pada wang kertas Amerika, USD1. Ajaran ini tidak percaya kepada agama, lebih kepada membawa manusia menyembah syaitan. Kumpulan ini amat berbahaya jika mereka menguasai media elektronik.
Kelima, hanya mengambil petikan al-Quran yang berpihak kepada mereka. Walaupun ada yang boleh membaca al-Quran, mereka akan memilih-milih ayat-ayat al-Quran tertentu bagi menjustifikasikan tindakan. Misalnya, pada mereka wanita tidak wajib menutup kepala. Sebab itu, ramai yang gondol. Tidak mustahil golongan solat hanya menggunakan niat sahaja.  
Keenam, percaya kepada undang-undang manusia lebih daripada undang-undang ALLAH. Kumpulan ini lebih berbangga dengan perlembagaan penjajah daripada al-Quran dan Sunnah. Sumber ini akan diperlekeh dan sesiapa yang mengikutinya akan menjadi mundur dan Arabisation.
Akibatnya, jika si jahil ini berleluasa, maksiat akan turut bermaharajalela. Maka, akan berpestalah maksiat. Tidak ada lagi yang peduli dengan orang hal lain. Jaga tepi kain sendiri, jangan jaga tepi kain orang.
Lanjutan daripada itu, perpecahan sesama sendiri akan menjadi semakin menjadi-jadi. Ultra kiasu yang menang dan terus mengambil kesempatan. Akhirnya, tidak mustahil generasi akan datang menjadi semakin tenat kerana terdidik dalam keadaan jahil dan perpecahan tanpa sudah.
Ambillah ingatan ALLAH yang bermaksud: dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hari semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya (al-Israa, 36).

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE, PPA, UNISZA