Sinar Harian 26.1.14
Dahulu, orang tidak berani banyak bercakap,
apatah lagi mencabar perkara berkaitan Islam, Melayu dan Raja, kerana mereka
tahu, ianya sangat sensitif. Mereka faham asal-usul sejarah negara ini.
Hari ini, tidak lagi.Semua mereka tidak peduli.
Ramai yang menjadi ultra kiasu. Ultra kiasu tahu Melayu hari ini sudah terlalu
lemah. Bukan sahaja disebabkan perpecahan yang serius, tetapi ramai orang
Melayuliberal sendiriyang akan menyokong tindakan dan bersekongkol dengan mereka.
Jika mereka mahukan LGBT atau perkara yang
bertentangan dengan agama dan perlembagaan, pasti akan ada Melayu liberal yang
akan bersama mereka. Maka, kesempatan ini perlu diambil sebelum terlambat.
Ada yang dengan mudah, menyalahkan UMNO. Hubungan
kaum tegang disebabkan UMNO. Ekonomi gawat kerana UMNO. Perkasa dan Isma wujud
disebabkan UMNO. Pendek kata, semuanya ini berlaku disebabkan oleh UMNO. UMNO jahat. Seolah-olah,
bila tiada UMNO, semua akan menjadi baik.
Pada saya, keadaan ini berlaku disebabkan oleh
wujudnya sikap atau kumpulan ultra kiasu. Sarawak hari ini kecoh disebabkan
oleh ultra kiasu masuk di sana. Peliknya, saya diharamkan, ultra kiasu
dibenarkan. Siapakah yang mensensasikan berita Sarawak mahu keluar dari
Malaysia, kalau bukan gara-gara ultra kiasu.
Lebih dahsyat lagi, perkara kecil, yang langsung
tiada kaitan dengan cara hidup Islampun turut dicabar. Janganlah dibincang
perkara lebih besar seperti syariat Islam, mahkamah syariah dan hudud. Mereka
akan tentang bermati-matian. Pendek kata, ultra kiasu telah berjaya mengaburi
politik Malaysia.
Misalnya, isu kecil,usaha Kerajaan Negeri Kelantan yang melakukan operasi ke atas golongan
pekerja wanita yang tidak mengenakan tudung di bandar Kota Bharu.
Ultra kiasu mendakwa
perniagaan orang Cina akan terjejas dengan pemakaian tersebut. Persoalannya,
berapa kerat orang Cina ada di Kelantan? Apa yang terjejas? Yang ditutup hanya kepala,
bukan diikat tangan dan kaki? Kebersihan terjamin. Paling kurang, rambut tidak
gugur ke dalam makanan. Sebab itu, tukang masak, kepalanya ditutup.
Teruja saya dengan kenyataan Puteri Umno
menyokong langkah kerajaan Kelantan mewajibkan pekerja wanita memakai tudung.
Inilah yang kita mahu lihat, yang baik disokong, sebaliknya yang tidak baik
ditentang. Tidak kira datang dari siapa atau parti mana pun.
Berbeza sungguh dengan Thailand, dahulu sehingga
ke hari ini tiada siapa berani mengutuk agama Buddha, bangsa Thai, dan Raja
Thai. Sabit kesalahan penjara 15 tahun. Kerana apa? Mereka ada will-power.
Bukan itu sahaja, hari Kristmas adalah hari
bekerja, bukan cuti umum, walaupun agak ramai juga beragama Kristian di sana. Logiknya,
perlulah bercuti, sebagai menghormati agama lain. Tetapi ia tidak berlaku.
Tidak pula dituduh ekstrem.
Berbanding kita, setiap perayaan ada cuti,
meraikan kepelbagaian. Malah, ada yang mendesak supaya diberikan ditambah
bilangan cuti umum, bagi setiap perayaan, walaupun populasinya kurang dari 10
peratus. Pendek kata, mereka mahukan sama rata dan sama rasa.
Dalam apa juga kes, mereka mahukan ada wakil
setiap kaum, tanpa mengambil kira bilangan atau populasinya.
Adakah adil namanya, jika ada 6 hakim, maka
setiap kaum mesti ada wakil? Jika begitu keadaannya, negara kita ada lebih 100
etnik, adakah kita perlukan 100 hakim.
Jika mengikut formula populasi, sudah tentu 4
Melayu Islam, selebihnya dua, pilihlah mana-mana hakim kalangan bukan Melayu.
Jika semua kaum mahu ada wakil, di manakah keadilannya?
Justeru, saya amat musykil, bila mana isu kalimah
Allah ini tidak dapat dirayu lagi, golongan ultra kiasu mendakwa, agama
minoriti akan ditindas atau dikekang. Berikan bukti, apa kekangan dan
penindasan yang berlaku? Apa yang ada hari ini, masih tidak cukupkah? Kita
seolah-olah telah memberikan segalanya.
Mana ada bukti dalam dunia, agama (bangsa) yang
sangat minoriti, boleh mendapat hak yang begitu banyak kecuali di Malaysia?
Rumah ibadat paling banyak? Terbesar? Tertinggi? Ianya hanya berlaku di
Malaysia. Hargailah toleransi ini. Inilah hati budi mulia orang Melayu.
Keadilan yang dipraktikkan di sini tidak lagi mengikut
formula. Tetapi ikut suka atau memberi sehingga puas.
Janganlah ambil contoh rumah ibadat. Lihatlah
stesen radio, tv, akhbar, majalah dan lain-lain. Semua yang lebih adalah bukan
Melayu. Ini belum termasuk sektor ekonomi. Akhbar utama Melayu, hanya ada 3,
termasuk Sinar Harian. Selebihnya berpuluh akhbar bukan Melayu.
Cuma, umat Islam ada lebih sedikit dalam sektor
perkhidmatan awam dan GLC. Itupun semua mahu direbut. Peliknya, sektor polis
dan tentera, yang melibatkan risiko nyawa, tidak pulak menjadi rebutan.
Terbaharu, ultra kiasu mendesak sekolah
vernakular diberikan status sekolah bestari atau sekolah berprestasi tinggi. Tidak
bestari lagikah sekolah mereka, semua kelengkapan lebih dari mencukupi. Selain
dari bantuan penuh kerajaan, parti politik dan jutawan mereka turut membantu?
Saya tidak hairan jika suatu hari nanti kerajaan
akan menunaikan hasrat itu. Termasuk mengiktiraf sijil sekolah persendirian
mereka seperti UEC, walaupun mereka tidak memenuhi kehendak yang ditetapkan
oleh kementerian. Saya bukanlah terlalu menentang, status tersebut mungkin boleh
diberikan, jika mereka memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Tetapi itu tidak
berlaku.
Kenapa kita tidak mengikut negara-negara lain,
seperti Siam, Indonesia, Nyanmar, Vietnam, Britain dan lain-lain negara seluruh
dunia? Semua perkara berkaitan pribumi akan didaulatkan, terutama agama dan
bahasa bangsa mereka. David Cameron secara jelas mengisytiharkan Britain negara
Kristian. Umat Islam di sana akur diam, tidak bercakap banyak. Inilah
toleransi.
Bukankah bumi ini sama seperti bumi Siam,
asal-usulnya Siam, semua perkara berkaitan dengan Siam didaulatkan. Asal usul
bumi adalah bumi Melayu, kenapa Melayu dan Islam tidak terdaulat. Kenapa semua
menjadi tunggang-langgang?
Pertama, orang Melayu Islam itu sendiri tidak
mahu ke arah itu. Melayu sudah jauh dari ikatan Melayu. Melayu tidak lagi kenal
diri Melayu. Melayu sudah jauh dari jati diri. Tidak hairan, jauh dari ikatan
agama Islam itu sendiri yang telah mengubah kehidupan mereka selama ini. Bila
Melayu menjadi moden, mereka mahu agama turut moden sama, mengikut nafsu
mereka.
Dahulu, Melayu ramai yang belajar agama, sekolah
missionari, tetapi tidak dengar Melayu bertukar agama. Kerana apa? Kerana Melayu
sangat kuat jati diri. Meskipun tidak bertudung.
Hari ini Melayu, ada yang berkurung, tetapi perangainya
amat jahil tentang Melayu. Mereka bertindak, lebih orang putih dari orang
putih.
Melayu tidak tahu falsafah di sebalik baju kurung
atau baju Melayu. Kenapa baju itu dinamakan kurung, mengurung bentuk badan.
Kenapa pula lelaki memakai baju Melayu, bersamping pula, menutup penonjolan
kemaluan.
Adat, Melayu dan Islam berpisah tiada. Kini,
sudah tidak lagi. Ada yang berpandangan, jika berpegang kepada Islam, mereka
tidak akan ke mana-mana. Melayu perlu moden dan liberal, baharu boleh maju.
Seolah-olah agama Islam ini tidak sesuai dengan zaman moden.
Kedua, cara orang Melayu berpolitik amat
merugikan. Mereka terlalu berpolitik. Politik untuk kuasa. Untuk kekalkan kuasa,
mereka akan lakukan apa sahaja, termasuk menggadaikan maruah agama, bangsa dan
negara. Asalkan dapat berkuasa, kita akan beri apa sahaja, termasuk perkara
yang menjadi milik kita. Tanah rezab hilang entah ke mana, sekarang baru nak
ganti. Ini belum termasuk pembelian hartanah besar-besaran dari Singapura.
Melayu sanggup korbankan jawatan kabinet, kerusi
DUN dan Parlimen untuk memenuhi kepuasan orang lain, walaupun mereka tidak ada
majoriti atau menang atas tiket orang Melayu. Apabila mereka sudah dapat, jika
mahu diambil semula, memang putih mata. Mereka akan kata, ini tidak adil.
Orang lain belum tentu boleh berbuat demikian. Amat
sukar sekali melihat Melayu bertanding kawasan majoriti bukan Melayu. Jika
bertandingpun, hilang wang deposit.
Jika mereka tidak rasis, sudah tentu Melayu mudah
untuk menang di kawasan majoriti bukan Melayu, tetapi itu tidak berlaku. Bukan Melayu
mudah sangat menang di kawasan majoriti Melayu. Malangnya, mereka tidak pernah
bersyukur.
Ikut proposi kaum mereka tidak layak dapat kerusi
kabinet. Tetapi diberi juga. Inilah hati Melayu yang sukar untuk saya fahami.
Ketiga, sebenarnya orang Melayu terlalu baik.
Kebaikan ini dibalas dengan sifat ultra kiasu, bukan dengan pantun yang
berbunyi, palau pandan jauh ke tengah, gunung daik bercabang tiga, hancur badan
dikandung, budi baik dikenang juga.
Syarikat GLC yang diketuai Melayu sanggup membuka
ruang dan peluang untuk bukan Melayu menyertainya, atas dasar perpaduan dan
desakan parti-parti politik.
Pernahkah kita kenakan kuota syarikat bukan
Melayu untuk mengambil pekerja Melayu. Kebanyakan yang jika diambil semuanya
jadi simbol untuk menarik perhatian pelanggan dan menguntungkan bisnes mereka.
Bank mereka atau syarikat produksi makanan,
kerani kaunter semua Melayu, untuk menarik pelanggan Melayu. Ada yang
disyaratkan mesti tahu berbahasa mandarin. Paling pahit apabila, ada yang
dihalang untuk bersolat jumaat
Jika diambil orang Melayu berpengaruh untuk
menjadi pengerusi syarikat itu dan ini, mereka hanya menjadi pak pacak dan
diberikan elaun yang tinggi. Kita berada di situ, berasa diri sangat hebat. Wal
hal diperalatkan.
Peliknya ultra kiasu tidak dikatakan ekstrem.
Saya yang bercakap benar, itulah yang ekstrem.
Akhirnya, saya menyeru kepada orang Melayu Islam,
bangkitlah sebelum terlambat. Permainan ultra kiasu ini amat licik. Mereka
sudah dapat apa yang sepatutnya mereka dapat, tetapi mereka tidak pernah puas.
Maka sasarkan kepada UMNO dan NGO-NGO seperti Perkasa dan Isma, bagi mengaburi
mata masyarakat bahawa mereka tidak rasis. Tetapi yang sebenar, mereka yang
paling rasis. Mereka yang menjadi punca kepada masalah hari ini. Malangnya,
kita terus menjadi mangsa. Apakah kita masih ada masa
untuk bangun?