(Sinar Harian 09.06.14)
Selaku anak Perak yang pernah bersekolah dan
tinggal di Teluk Intan, keputusan PRK Parlimen Teluk Intan, tidak boleh
dijadikan asas untuk mengatakan bahawa rakyat telah beralih sokongan kepada BN.
Muhasabah dan post mortem perlu dilakukan, jika BN ingin terus mengekalkan
parlimen tersebut dan menambah kerusi parlimen yang lain masa akan datang.
Peningkatan undi Cina dan India bukan bermakna, BN
boleh bersedap hati. Langkah drastik yang perlu difikirkan adalah kenapa
berlaku peningkatan undi Melayu kepada ultra kiasu yang jelas menentang Islam
dan mahukan Malaysian Malaysia?
Ketika kempen PRK, saya sempat menemubual beberapa
pengundi. Salah seorang daripadanya adalah bekas pegawai kerajaan (pencen) dan
aktivis UMNO. Katanya, “saya sudah muak dengan BN (UMNO). UMNO kroni, korup dan
salah guna kuasa. Dah selalu minum kopi (BN), apa salah beralih kepada teh
(pembangkang). Manalah tahu, teh ini lebih baik daripada kopi. Jika teh tidak
sedap, kita tukar balik”. Begitulah perasaan bencinya kepada UMNO BN.
Lebih memeranjatkan lagi, dua orang anaknya yang
bekerja sebagai guru (Kementerian Pendidikan), tinggal di Kuala Lumpur, sanggup
balik ke Teluk Intan untuk mengundi ultra kiasu, bagi memberi pengajaran kepada
BN. Fenomena Melayu baharu ini perlu dianalisis dengan serius. Melayu baharu
ini perlu disedarkan bahawa jangan kerana terlalu marahkan UMNO, sanggup
menggadaikan maruah dan prinsip. Marahkan nyamuk kelambu dibakar.
UMNO pula perlu melakukan muhasabah dan kajian. Kenapa
kalangan Melayu Islam begitu benci dengan UMNO sedangkan sebelum ini mereka
adalah orang kuat UMNO? Perkara ini penting sebelum ultra kiasu lebih
bermahajarajalela memenangi hati Melayu.
Kita tidak boleh berdiam diri terhadap ultra kiasu
yang menjadi musuh Islam. Ingat kata Winston
Churchill "You
have enemies? Good. That means you've stood up for something, sometime in your
life."
Ultra kiasu bijak berpolitik. Soal mereka tidak
percaya kepada calon Melayu tidak timbul. Ultra kiasu tahu mana Melayu yang
boleh diundi, mana yang tidak. Sebelum ini, DUN Pasir Bedamar (dalam parlimen
Teluk Intan) ditandingi oleh calon Melayu ultra kiasu selama 3 penggal
berturut-turut bermula tahun 1986, itulah Fadzlan Yahya.
Penurunan undi Cina terhadap ultra kiasu, adalah
strategi. Ultra kiasu perlu memenangkan Cina berhadapan dengan calon Melayu Muda
yang tidak berprinsip. Pada ultra kiasu, tidak mustahil Melayu dalam ultra
kiasu akan berpaling tadah, seperti yang berlaku sebelum ini, setelah tidak
tahan dengan suasana kecinaan dalam parti tersebut.
Tiga tahun akan datang, menjelang PRU 14, apabila
pembangunan Teluk Intan tercapai seperti yang dijanjikan BN, tidak mustahil
ultra kiasu kembali menang. Perkara ini adalah suatu yang lumrah. Kenapa dan
mengapa kebanyakan kawasan parlimen di Kuala Lumpur dimonopoli ultra kiasu?
Jawapannya mudah. Bandar yang telah membangun, tidak akan mundur semula. Jadi,
buat apa beralih kepada BN.
Justeru, berpada-padalah berjanji dan menunaikan kepada
pengundi Teluk Intan. Selain daripada menumpukan perhatian kawasan ultra kiasu,
jangan kesampingkan kawasan orang Islam itu sendiri. Begitu juga kawasan
pedalaman, seperti di Terengganu, Kelantan, Sabah, Sarawak dan lain-lain.
Apa jua alasan yang diberikan sama ada undi Cina
atau undi India bertambah, pengundi Melayu Islam mesti diberikan perhatian.
Jangan kerana terlalu berterima kasih kepada orang lain, orang sendiri
dilupakan. Jangan sampai kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.
Berdasarkan observasi dan pendapat rakan-rakan,
saya galurkan kenapa ultra kiasu boleh dianggap menang, walaupun kalah di
medan.
Pertama, ultra kiasu menang kerana berjaya mewakilkan
dua wakilnya menjadi menteri kabinet. Seorang dari Gerakan, seorang lagi dari
MCA. Keberadaan dua menteri kabinet Cina dianggap amat tinggi berbanding dengan
bilangan kawasan parlimen yang dimenangi yang begitu sedikit. Siapakah menteri
Melayu yang akan terkeluar? Kita tengok nanti. Jika ditambahkan lagi potfolio
menteri, amat tidak wajar, kerana sebuah negara kecil seperti Malaysia tidak
memerlukan banyak menteri.
Kedua, ultra kiasu berjaya memikat dan menarik
simpati generasi muda Melayu baharu dengan menonjolkan ‘kebaikan’ mereka dan
mempamerkan ‘keburukan’ UMNO BN. Semua insiden buruk yang berlaku ketika berkempen,
itu adalah UMNO. Malangnya, masyarakat percaya. Bagaimana UMNO BN mampu menepis
‘keburukan’ yang selalu dilabelkan itu.
Ketiga, ultra kiasu menang dari segi imej kerana ‘berjaya’
menonjolkan calon Melayu bagi menunjukkan mereka tidak rasis. Imej ini amat
baik ditonjolkan kepada negeri-negeri lain dan berjaya memikat anak muda. Wal hal, calon Melayu tersebut hanyalah alat. Ultra kiasu menang
memperalatkan Melayu yang memperlekeh dasar bangsa sendiri.
Keempat, ultra kiasu menang dalam persaingannya
dengan PAS. PAS hilang kredibiliti, prinsip dan maruah, apabila mempertahankan
calon ultra kiasu yang tidak berhijab
dan secara terang menolak hudud.
Akhirnya, kepada UMNO BN dan PAS, buatlah
muhasabah diri dan transformasi untuk
menghadapi PRU 14 yang lebih bermakna. Dampingilah orang PAS seperti Dato’
Harun Din dan mintalah pandangannya. Kenapa ulamak ini menolak persekongkolan PAS-ultra
kiasu?