(Sinar Harian 30 Sept 2013)
Kenyataan bekas Menteri Besar
(MB) Selangor yang mengatakan gambaran yang salah yang dilakukan oleh beberapa
media tertentu, mengenai mendiang Chin Peng dan gerakan komunis di Malaysia
perlu diberikan perhatian
Bekas MB itu berkata, media tersebut
telah menyelewengkan kebenaran dan menakut-nakutkan rakyat dengan melabelkan
Chin Peng dan komunis sebagai musuh negara.
Katanya, “memang betul ramai
orang Melayu mati semasa penjajahan komunis tetapi lebih ramai yang mati semasa
pemerintahan Jepun”.
Pendapat ini bercanggah dengan
fakta ilmu dan akademik. Sepanjang pembelajaran dan kajian saya, berlatar
belakangkan sejarah dan politik, ketika kependudukan Jepun selama hampir 4
tahun, yang menjadi mangsa adalah orang Cina, bukan orang Melayu, dari segi
peratusan bilangan penduduk ketika itu.
Orang Jepun amat memusuhi orang
Cina. Begitu juga Cina terhadap Jepun. Permusuhan dan dendam yang tidak
berkesudahan. Berasaskan sejarah, Jepun bermusuh dengan negara China sejak
dahulu lagi. Kedua negara ini pernah berperang antara tahun-tahun 1895 dan
1937.
Apabila Jepun berjaya menduduki
Tanah Melayu pada 1941-1945, kesempatan digunakan untuk membalas dendam kepada
orang Cina. Orang Cina berada dalam ketakutan. Jepun tidak teragak-agak untuk
membunuh dan menyiksa orang Cina yang ditemui.
Keadaan ini memaksa orang Cina untuk
menyelamatkan diri. Paling ramai lari ke
hutan dan menyertai komunis. Pada tahap ini juga, hubungan etnik antara Melayu
dengan Cina berada dalam keadaan amat buruk.
Jepun turut mahukan orang
Melayu memusuhi Cina, walaupun Melayu tidaklah bersifat sedemikian. Untuk
menjayakan misi itu, Jepun berbabik-baik dengan Melayu. Ramai Melayu dilantik
menjadi polis dan pengintip. Orang Melayu diminta memberi maklumat mengenai kedudukan
dan pergerakan orang Cina. Pendek kata, tidak ramai orang Melayu dibunuh atau dianiaya
oleh Jepun. Saya tidak faham dari mana bekas MB tersebut mendapat fakta-fakta
bahawa orang Melayu lebih ramai di bunuh oleh Jepun.
Isu hubungan dua hala antara
negara Malaysia-China, bukanlah bermakna kita mengiktiraf komunis. Dari
hubungan diplomatik dan ekonomi, tidak salah kita mengadakan hubungan dengan
negara komunis termasuk Rusia, Korea Utara dan sebagainya. Kita tidak akan
menjadi komunis dengan hubungan ini.
Fakta yang mengatakan China
banyak memberi bantuan kepada PKM turut boleh dipertikaikan. Sebenarnya tidak
banyak bantuan yang diterima daripada PKM daripada komunis China. Ini kerana,
mereka yang berhijrah ke negara lain sudah tidak diiktiraf dan diterima untuk
kembali semula ke China. Negara China juga pada ketika itu berada dalam
kesusahan. Bagaimana komunis China boleh membantu PKM dengan begitu banyak?
Tanya orang Cina pada hari ini,
adakah mereka mahu kembali ke China. Semua tidak mahu. Sekadar melawat China
bolehlah. Malah ramai rakyat China yang ingin menjadi warganegara Malaysia.
Kata bekas MB itu lagi: “Kita
harus anti Jepun dan British lebih besar lagi. Mereka bunuh orang Melayu lebih
ramai daripada komunis. Kekejaman British juga tidak boleh dipandang enteng
setelah Tok Janggut mati digantung di Kelantan dan Tok Bahaman dibunuh di
Pahang”. Kempen menentang penjajah British dan Jepun perlu lebih hebat”.
Selaku seorang negarawan, saya
amat mengharapkan bekas MB itu tidak mengeluarkan kenyataan yang menyakitkan
rakan-rakan seperjuangan beliau sebelum ini. Membandingkan penjajahan British
yang begitu lama dengan kependudukan Jepun (bukan penjajahan) yang pendek
adalah ultra kiasu.
Cubalah memahami perancangan
licik ultra kiasu daripada memusuhi rakan seperjuangan dahulu. Apakah kita
tidak nampak seluruh ultra kiasu bersatu hati apabila kepentingan dan identiti
mereka tercabar dan dicabar. Mereka akan mencari seribu satu macam alasan untuk
menjustifikasikan tindakannya seolah-olah nampak betul dan mempunyai bukti.
Pada saya komunis tetap
komunis. Tidakkah kita bersimpati dengan mereka yang menjadi mangsa komunis
seperti ribuan anggota polis dan tentera serta ahli keluarga yang terkorban dan
cacat, akibat keganasan komunis sebelum berjaya dibenteras sepenuhnya? Apakah
kita sudah lupa jerangkap samar yang dipasang oleh komunis di dalam hutan serta
kampung-kampung Melayu yang dibakar komunis?
Sebenarnya ideologi komunis
masih subur. Perkara ini berkait rapat dengan tugu peringatan komunis Bintang
Tiga atau MPAJA yang dibina pada tahun 2006, di Taman Peringatan Nilai.
Pergilah melawat dan lihat sendiri.
Tugu peringatan tersebut telah
menjadi penyembahan dan pemujaan ultra kiasu sehingga ke hari ini. Saban tahun
ultra kiasu, termasuk pemimpin komponen BN, akan bertafakur di sana sebagai
menunjukkan rasa terhutang budi dan penghormatan mereka terhadap komunis yang
disangka mereka adalah pejuang.
Pada saya, sama ada Chin Peng
disemadi di sini atau, bukan isu. Sama juga kedudukan Dr Azhar dan Nordin Mat
Top. Dalam Islam), apabila matinya anak Adam maka terputuslah amalannya,
kecuali tiga perkara, sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dan doa dari
anak-anak yang soleh. Sebab itu kita tidak kisah ada tanda kubur (abu) atau
tidak. Dahulu, ketika menunaikan haji menggunakan kapal, jika ada jemaah yang
meninggal, ia akan dihanyutkan ke dalam laut. Begitu juga mereka yang meninggal
ketika menunaikan haji. Rohnya sudah kembali kepada Allah. Jasad sudah tidak
penting lagi ketika itu.