(Sinar Harian, 12 Nov 2012)
Mari
kita bincangkan apa yang betul, apa yang salah, daripada menuding jari siapa
siapa betul siapa salah, mengenai pembangunan, melibatkan 2 blok Kondominium 29
tingkat, disambung bersekali dengan pusat komersial di Batu Caves, yang sedang hangat
diperkatakan.
Sekadar
makluman, Batu Caves di mana terletak semua kuil dan patung itu, adalah tanah
kerajaan yang diwartakan sebagai kawasan pelancongan. Bukan hak milik individu,
kecuali kawasan persekitaran yang dimiliki individu dan syarikat tertentu,
termasuk pemaju perumahan.
Bila
disebut tanah kerajaan, sudah tentu, ada keterbatasan dalam usaha membangunkan
kawasan tersebut. Kerajaan Tempatan (Negeri dan Pusat) mesti dirujuk setiap
masa dan ketika. Tidak ketinggalan pihak swasta yang mahu membangunkan kawasan
kepunyaannya, termasuk rumah individu. Segala laporan berkaitan mesti
disediakan sebelum kelulusan arahan merancang dikeluarkan. Setiap
pemaju/individu, mesti akur dengan kehendak dan syarat Pihak Berkuasa Tempatan
(PBT).
Saya difahamkan,
pembangunan bangunan, pembinaan kuil dan patung di sana tidakpun dirujuk kepada
PBT di sana. Secara tidak sedar, apabila balutan dibuka, semuanya terkejut. Bagaimana
boleh dibina patung yang sebegitu besar dan tinggi. Adakah aspek keselamatan
diambil kira?
Namun, atas
dasar kebebasan beragama dan toleransi, akhirnya semua dapat menerima. Inilah
yang saya kagum dengan keterbukaan rakyat Malaysia, terutama orang Islam
meraikan kepelbagaian. Jika di negara lain, jangan harap orang Islam dapat diberi
peluang sebegini. Bukan itu sahaja, walaupun bilangan umat Islam majoriti,
bilangan surau dan masjid tidaklah sebanyak rumah penyembahan bukan Islam yang
melebihi 200 ribu. Justeru, hargailah toleransi ini dan patuhi undang-undang
dan perlembagaan.
Kadang kala saya
merasa amat pelik, kenapa ada ketika PBT dirujuk, dan ada ketikanya tidak. Jika
begini keadaannya, apa erti undang-undang diwujudkan? Pengalaman saya bekerja
dalam syarikat perumahan sebelum ini dan sekarang ini, ingin mendirikan sebuah
rumah sendiri, berbagai syarat dikenakan oleh PBT. Wal hal yang ingin didirikan
hanya sebuah unit rumah sahaja. Syarat-syaratnya sama dikenakan seperti
membangunkan sebuah projek perumahan berskala besar.
Ingin saya
bertanya kepada PBT, kenapa saya yang ingin membina sebuah rumah dikenakan
pelbagai syarat, sedangkan ada segelintir dikecualikan daripada syarat?
Pembinaan rumah saya tidak langsung berisiko berbanding dengan pembangunan
rumah ibadat atau kondominium yang begitu tinggi.
Lihat lagi
toleransi yang berlaku, setelah menerima protes, kerajaan negeri dan kerajaan
mahukan projek pembinaan projek tersebut dihentikan buat sementara waktu.
Sebuah jawatankuasa bertindak bebas akan dibentuk untuk menyelesaikan masalah
ini. Ini adalah satu tindakan yang betul dan bijak dalam menangani hubungan
antara agama.
Apa
juga keputusannya nanti terimalah dengan hati yang terbuka. Hargailah sikap
saling memberi dan menerima selama ini. Jika dikirakan rumah ibadat yang
menjadi korban, berapa banyak surau dan masjid yang menjadi mangsa kerana
memberi laluan kepada pembangunan.
Justeru,
kadang kala, agak sukar untuk kita menerima alasan bahawa Batu Caves akan
terlindung apabila pembinaan tersebut. Apa masalah jika terlindung sekalipun? Banyak
bangunan bersejarah negara terlindung. Perlukah Batu Caves ditayangkan sepenuh
untuk dilihat orang ramai daripada lebuh raya. Bagaimana dengan sensitiviti
orang Islam melihat patung-patung saban hari? Adakah perasaan mereka diambil
kira?
Sekadar
makluman, jika ada yang masih tidak memahami budaya Islam, umat Islam amat
sensitif dengan patung. Tetapi pembinaan demi pembinaan terus dilakukan tanpa
bertanya dan mengambil kira perasaan umat Islam. Kerajaan pula tidak mengambil
berat isu ini atas dasar toleransi beragama.
Ditakdirkan
patung tertinggi itu tumbang satu hari nanti, siapakah yang akan dipersalahkan?
Sudah PBT akan dipersalahkan kerana tidak memantau pembinaannya sejak awal. Ingin
saya bertanya, berapa agensi yang menyediakan laporan bagi pembinaan kuil
tersebut. Tidakkah kita sedari bahawa pembinaan masjid perlu mendapat kebenaran
daripada PBT?
Saya tidak
menyokong mana-mana pihak, kerana semuanya bertanggungjawab. Lagipun Islam
menghormati hak bukan Islam untuk menjalan ibadahnya. Tidak perlulah menuding
jari. Persoalan saya adakah patut, orang lain boleh ambil hak kita. Apa yang
penting tindakan nanti haruslah berpandu kepada apa yang benar, apa yang salah,
bukannya takut dengan ugutan atau undi pilihan raya.
Saya amat bimbang
dengan setiap keputusan kita hari ini. Kita selalu bertindak, tidak berasaskan
apa yang benar, apa yang salah. Tetapi tindakan kita selalu berpandu kepada
berapa undi boleh dapat bagi mengekalkan kuasa?
Hujah yang
mengatakan pembinaannya akan membahayakan nyawa pengunjung kuil dan pelancong
dari seluruh dunia akibat (kemungkinan) benda jatuh berikutan pembangunan
besar-besaran di tempat berhampiran kuil ini, hanyalah alasan. Pemaju lebih
maklum tentang aspek-aspek keselamatan pembangunan hartanah.
Pada saya, langkah
terbaik ialah dengan mengambil tindakan undang-undang jika apa yang dilakukan
oleh pemaju perumahan itu tidak betul. Isu sebenarnya adalah kepentingan
individu, bukanlah isu agama. Saya amat mengharapkan PBT, kerajaan negeri dan
pihak berkaitan dapat berbincang secara terbuka berkaitan isu dengan lapang
dada.
Pihak pemaju
mempunyai hak ke atas tanahnya bagi tujuan pembangunan setelah mengambil kira
bantahan sebelum pembangunan dijalankan. Apatah lagi setelah diluluskan dalam
mesyuarat penuh majlis pada tahun 2008 dan disokong oleh pihak yang menentang.
Persoalannya,
ditakdirkan bantahan ini berjaya, siapakah yang akan membayar pampasan kepada oleh
pemaju, yang sudah mengeluarkan belanja yang begitu banyak melakukan
kerja-kerja awal di sana? Kerajaan Pusat atau Kerajaan Negeri?
Lagipun
Thaipusam hanya disambut setahun sekali. Selebihnya kawasan tersebut kurang
menjadi tumpuan. Hanya tempat bersembahyang harian. Justeru, tidak perlulah
memberikan alasan kesesakan jalan dan sebagainya. Tidak ada kawasan yang lebih
sesak melainkan Kuala Lumpur. Adakah kita perlu cabut bangunan-bangunan
tertentu?