(Sinar
Harian 30 Apr 2012)
Saya
tidak menyangka artikel saya bertarikh 9 Apr 2012, mendapat respon segera
daripada bekas Menteri Besar (MB) Selangor pada hari berikutnya. Saya ucapkan terima kasih. Saya tidak berniat
‘membelasah’ seperti yang didakwanya. Saya masih menghormati beliau dan
bersimpati dengan kes yang menimpa beliau. Ketika hukuman dijatuhkan, terdetik
hati untuk lahirkan simpati, apakan daya saya tidak ada nombor telefonnya.
Mungkin saya akan menerima pelawaannya suatu hari nanti.
Teguran
saya ikhlas. Tidak manis mengkritik parti sendiri melalui laman web anti-establishment
yang kita sudah tahu niat busuk mereka. Laman web ini amat licik. Komen terhadap
mereka diselindungkan, manakala komen menghentam kerajaan disiarkan segera. Saya
amat yakin bekas MB itu tahu latar belakang laman web tersebut. Kenapa masih
melayan mereka?
Saya
menulis dari hati, tidak pernah disuruh oleh sesiapapun, termasuk orang ketiga.
Saya bukan budak kecil yang boleh diperkotak-katikkan. Cuma, saya tidak mahu
kita terperangkap. Lagipun bekas MB tersebut masih muda. Saya kurang pasti
tentang kareer masa depan politiknya. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Apa
yang penting adalah memanfaatkan perjalanan hidup semasa masih bernyawa, kerana
belum tentu jasa dikenang selepas mati. Ramai pemimpin yang telah mati,
langsung tidak dipedulikan. Apatah lagi disebut-sebut sebagai tanda mengenang
budinya.
Kecualilah
mereka yang semasa hidupnya benar-benar berjasa dan merakyat, bertunjangkan iman
dan takwa seperti yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Keberadaan orang
sebegini amat dinanti dan pemergian mereka begitu ditangisi. Kehilangannya amat
dirasai. Sebaliknya, jika ketika di puncak kuasa, kita lupa diri, keberadaan kita
dibodeki. Selepas itu, pemergiaan kita disyukuri. Rakyat bersorak gembira
yahoo. Sedih juga melihat apabila seseorang pemimpin itu apabila sudah pencen, langsung
tidak dipeduli rakyat lagi. Kehadiran mereka di masjid tidak dinanti.
Menyedihkan lagi apabila tidak lagi didekati dan disalami.
Sebab
itu, janganlah kita terlalu yakin, budi akan dikenangi selepas mati. Ingatan
saya kepada pemimpin hari ini, tidak rugi jika semasa hidup dan berkuasa, kita
ikut resmi padi, makin berisi, semakin merunduk. Jika Umno mahu memenangi
semula Selangor, ramaikan pemimpin seperti ini. Hidup serba sederhana. Rakyat
didahulukan. Pemimpin tidak perlu berebut-rebut projek. Kembalikan kepada
rakyat, kerana saya yakin rakyat yang berjaya, akan membantunya kembali. Ingatlah,
dunia ini hanya sementara. Jadikan ia sebagai alat bukan matlamat.
Pada
saya, Umno tidak perlu tonjolkan lagi siapakah yang bakal menjadi MB jika
berkuasa semula, kerana persaingan akan menjadi bertambah sengit. Apabila
menang nanti, adalah calonnya. Negara kita tidak ketandusan pemimpin. Patah
tumbuh hilang berganti. Siapa sangka bekas MB itu boleh dipilih sebagai MB? Adakah
Perdana Menteri ketika itu menamakan MB Selangor sebelum itu? Semua orang
terkejut apabila Perdana Menteri ketika itu mencadangkannya. Sekiranya bukan
beliau yang dipilih, adakah Selangor tidak akan maju?
Kes
yang sama ketika saya berforum bersama presiden CUEPACS. Dalam sesi
soaljawab, ada peserta bertanya, jika
tidak ada presidennya hari ini, maka gaji kakitangan awam tidak akan naik. Kenyataan
ini kurang tepat. Tanpa CUEPACS pun, gaji kakitangan tetap akan naik kerana sudah
tiba masanya dan banyak persatuan telah
bersuara. Cuma, kebetulan, CUEPACSlah yang paling ramai keahliannya. Begitu
juga dengan persatuan guru-guru. Suara mereka diberi perhatian. Pensyarah
seperti kami belum tentu lagi, kerana kami hanya berjumlah 26 ribu, sedangkan
ahli CUEPACS dan guru hampir 2 juta orang.
Justeru,
saya menyeru kepada pemimpin semua, jangan hanya membelai seseorang untuk
mendapat undinya. Tetapi berjuanglah secara ikhlas. Bantulah mereka yang
memerlukan tanpa mengira berapa bilangan mereka. Nasib kita bukan ditentukan
oleh manusia, tetapi oleh Yang Maha Kuasa. Ikhlaskanlah diri kita, yakinlah
Allah akan bersama.
Selangor
akan terus maju, tidak kira siapa yang memimpin. Jika lantik kayu mati
sekalipun, Selangor tidak akan mundur. Janganlah pemimpin ultra kiasu Melayu
hari ini terlalu perasan dan bongkak. Selangor bernasib baik kerana
bersebelahan dengan Kuala Lumpur. Sama juga dengan negeri Johor, yang
bersebelahan dengan Singapura. Percikan kemajuan negara jiran telah menyebabkan kita turut merasainya.
Jika
Selangor dipisahkan dengan lautan seperti Sabah dan Sarawak, belum tentu lagi
Selangor boleh maju seperti hari ini. Lantiklah sehebat manapun pemimpin
tersebut. Saya tidak kata Sabah Sarawak masih mundur. Tetapi untuk memajukan
sebuah kawasan sebesar Semenanjung, bukanlah satu kerja mudah. Sebab itu,
negeri-negeri sebegini memerlukan lebih daripada seorang Ketua Menteri. Jika
kita mengharapkan seorang sahaja, akan berlakulah manipulasi kuasa.
Seperti
juga Kuala Lumpur. Siapapun ahli
parlimennya, Kuala Lumpur akan terus maju, kerana ibu kota ini telah menjadi
nadi pembangunan negara. Maka tidak hairanlah orang Cina memberikan undi kepada
ultra kiasu. Jika sistem pentadbiran Kuala Lumpur sama seperti negeri-negeri
lain, sudah lama Kuala Lumpur berketuamenterikan ultra kiasu. Maka tidak
hairanlah, saban kali ultra kiasu terus mendesak supaya datuk bandar Kuala
Lumpur dipilih melalui pilihan raya, bukan dilantik seperti amalan masa kini.
Justeru,
tidak perlulah Barisan Nasional meletakkan calon atau bertanding di kawasan
parlimen majoriti Cina seperti Kuala Lumpur. Memperhabiskan beras sahaja,
kecualilah kawasan majoriti Melayu. Gunakan wang tersebut bagi tujuan membantu mereka yang memerlukan.
Bekas
MB itu juga berkata, beliau tidak menegur kepimpinan Umno ketika berkuasa,
kerana terikat dengan dasar parti. Budaya politik Umno sebegini mesti berubah.
Tegurlah pemimpin ketika berkuasa. Di situlah baru benar-benar menguji
kepimpinan kita, kerana kita tidak takut hilang kuasa. Jika kita hanya berani
selepas tidak berkuasa atau pencen, nampak sangat niat kita tidak ikhlas, takut
hilang kuasa.
Akhirnya,
kepada para pemimpin, amar makruf nahi mungkar adalah tanggungjawab semua,
menjadi fardu ain, sama ada ketika berkuasa atau tidak. Berdosa, jika kita
tidak melaksanakannya. Pemimpin tertinggi negara atau menteri-menteri
sebenarnya tidak sombong. Mereka yang saya kenali bersifat terbuka. Kita sahaja
yang terlalu takut dan terlalu berprotokol. Lebih menyedihkan lagi, yang banyak
songel bukannya pak menteri, tetapi orang-orang di sekeliling menteri. Lebih
garpu daripada sudu. Inilah yang dikatakan sokong membawa rebah.
Saya akan ulas mengenai Bersih 3.0 minggu hadapan, BERSIH yang menjijikkan,
Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Prof Madya Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti
Pertahanan Nasional Malaysia