Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, December 21, 2015

Menghulur bukan memutus

8:24 AM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
(Sinar Harian 21.12.15)

Saya tidak nampak Presiden Umno kelihatan sangat terdesak apabila menawarkan kerjasama kepada PAS bagi menjamin kedudukannya dalam Umno dan Barisan Nasional (BN), seperti yang didakwa oleh ultra kiasu PAS (Amanah). Inilah sikap negarawan yang sebenar. Menghulurkan tali, bukan memutuskan. Jika terus memutuskan akan hancurlah negara tercinta ini.

Sepatutnya perkara ini sudah lama berlaku kepada sesiapa yang memahami realiti politik di Malaysia dengan populasi Islam dan bukan Islam 50-50. Kecualilah jika mahukan ultra kiasu memerintah.

Apakah kita sudah buta melihat kepada Pakatan Harapan (Rakyat) hari ini? Siapa yang menentukan segala keputusan? Saban hari tidak habis-habis mereka menyerang Pas. Mereka mahu Pas sentiasa memusuhi Umno, agar psywar dan pysopnya berjaya.

Belum apa-apa lagi ultra kiasu sudah menyatakan hasrat untuk bertanding di 8 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang dimenangi PAS di Selangor sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum ke-14 kelak. Tidak kenal lagi ultra kiasu?

Sebelum ini ultra kiasu Melayu DAP mengingatkan Pas supaya tidak terjerat dalam “perangkap” Umno, setelah ditipu beberapa kali sebelum ini. Ultra kiasu merujuk kepada insiden ketika Pas menyertai kerajaan campuran BN 1973, selepas itu ‘ditendang’ keluar pada tahun 1977 serta tragedi Memali pada 1985. Apakah umat Islam perlu dimangsakan dengan terus mengingati dendam kesumat ini?

Pas tidak pernah lupa dengan semua insiden ini. Islam yang menjadi “pegangan” Pas menjadikan Pas sukar untuk lupakan. Presiden dan pimpinan Pas bukanlah bodoh untuk masuk dalam perangkap Umno. Dalam Pas penuh dengan ulama dan cerdik pandai. Mereka sangat kenal siapa Umno. Namun, saya amat yakin Pas memutuskan untuk keluar daripada PR kerana memikirkan kepentingan umat Islam dengan memahami realiti politik sebenar.  

Tidak dinafikan ada segelintir orang Umno yang masih menolak dan menentang hudud. Tetapi penolakan mereka tidaklah sejahat penolakan ultra kiasu. Ramai orang Umno yang pro-hudud, bersangka baiklah.

Ultra kiasu turut mengingatkan Pas, jika Umno ikhlas terhadap hudud kenapa tidak laksanakan di negeri yang diperintahnya? Sebenarnya “hudud” itu sudah lama berjalan, tetapi dimulakan dengan mengIslamisasi institusi-institusi Islam, seperti Ekonomi Islam, Kewangan Islam, Perbankan Islam dan sebagainya. Manakala, Pas menfokuskan undang-undang Islam. Sinergi itu sudah ada antara kedua parti ini. Cuma tunggu realitinya sahaja. Sabarlah sikit.

Ultra kiasu terus menyerang Presiden Pas kerana terburu-buru mahu bekerjasama dengan Umno telah mengkhianatinya selama ini, seperti pelanduk melupakan jerat.

Jerat ultra kiasu lebih bahaya dari jerat Umno. Apakah Pas pernah dibawa berbincangkan apabila PR Sabah memutuskan hubungan dengan Pas? Ingatan saya kepada Pas, selagi Pas berada di landasan yang benar, apa yang perlu ditakutkan ultra kiasu.

Pas boleh berdiri tanpa ultra kiasu. Tetapi belum tentu ultra kiasu boleh berdiri tanpa Pas. Biarlah ultra kiasu meminggirkan Pas, jangan sampai Allah murka kepada Pas, sudah. Saya bimbang kalau Pas terlalu tergesa-gesa seperti parti Amanah, tidak mustahil Allah akan gantikan Pas dengan parti yang lain.

Saya bersetuju dengan PM, realiti politik di Malaysia hari ini, rakyat hanya mempunyai dua pilihan, sama ada satu gabungan parti politik yang dipimpin Umno atau satu lagi yang dipimpin atau didominasi ultra kiasu.
Sekiranya umat Islam menolak pelawaan ini, negara ini akan diperintah mereka yang anti perjuangan Islam serta menolak perjuangan Melayu dan Bumiputera.

Apakah perkara boleh dibiarkan di kala parti lain memperjuangkan kepentingan bangsa mereka, kita pula terus menjadi liberal? Dalam PR mereka memperjuang bangsa, dalam BN pun sama tindakannya? Kita terus melabelkan mereka memperjuangkan bangsa itu asabiyyah? Sedangkan ia hanya alat untuk mencapai matlamat iaitu Islam.

Pas mesti bersabar dan istiqamah setiap masa dan rapatkan saf dan jauhkan daripada sebarang prasangka buruk atau persengketaan. PAS harus tunjuk akhlak yang lebih baik, berhikmah, bijaksana sebagai role model dalam menangani karenah remeh siasah. Diam itu kadangkala lebih baik daripada bersuara seperti keldai.

Dalam menyahut sasaran tersebut, saya mencadangkan agar Umno tidak menyerang Pas bermula dari sekarang, kecuali Pas menyeleweng dari ajaran Islam. Selagi mana Pas berada di landasan, sokongilah sama ada secara tersurat atau tersirat.

Pas bukan parti yang boleh dijual beli. Jika pemimpinnya mahukan kekayaan, sudah lama mereka terus menyertai BN. Tetapi mereka sanggup keluar, berjuang bersendirian, kemudian berpakat dan sekarang bersendiri semula. Jawapannya, kerana Pas ada prinsip, bukan seperti Amanah. Nama sahaja Amanah, tetapi adakah mereka benar-benar amanah, masih belum tentu.


Dalam menuju ke arah itu, saya sarankan agar Umno tidak perlu bertanding di kawasan yang didominasi Pas. Tidak perlu berhabis atau membuang duit untuk menyertai pilihan raya dan berkempen. Gunakan wang tersebut bagi tujuan lain seperti membantu mereka yang memerlukan, seperti membina rumah untuk mangsa banjir. Fokuskan untuk merampas Selangor dan Pulau Pinang. 

Monday, December 14, 2015

Jika jahil bertanyalah pakar

10:01 AM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
SETIAP daripada kita ada kepakaran masing-masing, mengikut jurusan yang dipelajari ketika di universiti. Seperti saya, pengkhususan dalam bidang sains politik. Sebab itu, saya banyak menulis mengenai isu-isu politik dan semasa.
Itu bukan bermakna, saya jahil dalam Islam. Jika tidak, apa erti saya memeluk Islam. Lagipun, ALLAH tidak sebut pula syurga itu, hanya untuk orang agama, tetapi untuk orang yang beriman dan bertakwa. Pendek kata, Islam ini untuk semua orang (manusia). Terpulang, sama ada nak masuk atau tidak.
Namun, bukan semua orang boleh bercakap pasal agama. Jika saya tidak tahu, maka saya akan merujuk kepada orang agama, kerana mereka pakar dan faham al-Quran dan hadis. Saya perlu merujuk mereka, kerana saya bukan pakar.  
Budaya ilmu sebegini seolah-olah tidak berlaku hari ini. Terlalu ramai mahu menjadi pakar. Dialah pakar dalam semua bidang, termasuk dalam bidang agama, meskipun sepatah ayat Quran tidak difahami.
Terbaharu, kenyataan kumpulan jahil yang diketuai oleh wanita gondol mengenai undang-undang khalwat. Kenyataan mereka semakin lama, semakin menyesatkan. Peliknya, perkara batil dan jahat tidak pula dibantah. Orang mahu menjadi baik, menjadikan dia marah.
Kumpulan ini amat bahaya jika dibiarkan berleluasa, kerana dia boleh menyesatkan manusia. Justeru, kita perlu mengenali ciri-ciri yang ada pada mereka.  
Antara cirinya adalah, pertama, yang benar dikatakan salah, yang salah dikatakan benar. Mereka bermati-matian mempertahankan pendapatnya yang disangka betul, walhal batil. Ingatan Nabi; sebahagian tanda-tanda hampirnya hari kiamat adalah banyaknya bacaan (ramai yang pandai membawa) dan sedikit antara yang mengerti agama, banyak umarak (pemimpin) tetapi ketenteraman berkurang (Riwayat Thabrani).
Kedua, si jahil ini dengan mudah mengutuk ulama jika pendapat ulama itu tidak mengikut nafsu dan ideologi mereka. Sedangkan, ulama mengeluarkan pendapat bersandarkan al-Quran dan Sunnah, si jahil ini menggunakan logik akal, malah ada mereka yang tidak boleh membaca al-Quran.
Saya tidak kata semua ulama itu betul dan kita perlu taksub kepada mereka. Tetapi itulah bidang kepakaran mereka, maka rujuklah jika ada ilmu yang bukan dalam bidang kepakaran kita.
Ketiga, si jahil ini begitu mudah membela orang jahil, daripada mereka yang berilmu. Jarang kita dengar kenyataan mereka menentang hak asasi manusia, seperti LGBT. Kerap kali mereka mengutuk ulama dan menghina undang-undang Islam.
Hari ini mereka mahu menghalalkan khalwat, katanya ia urusan peribadi. Adakah mereka selama ini suka dan tidak melarang anak-anak mereka berkhalwat? Jangan tersalah faham makna khalwat yang bersifat baik, mendekatkan diri dengan ALLAH.
Keempat, si jahil ini banyak terpengaruh dengan ajaran sesat seperti illuminati dan freemason, perosak agama. Kumpulan ini mempercayai kepada satu kuasa yang mereka puja. Kuasa itulah yang mereka kenali sebagai ‘tuhan atau god’. Tuhan yang mereka kenali sebagai the all seeing-eye, Mata yang dapat melihat segala sesuatu.
Itulah mata satu yang selalu digunakan. Simbol ini terdapat pada wang kertas Amerika, USD1. Ajaran ini tidak percaya kepada agama, lebih kepada membawa manusia menyembah syaitan. Kumpulan ini amat berbahaya jika mereka menguasai media elektronik.
Kelima, hanya mengambil petikan al-Quran yang berpihak kepada mereka. Walaupun ada yang boleh membaca al-Quran, mereka akan memilih-milih ayat-ayat al-Quran tertentu bagi menjustifikasikan tindakan. Misalnya, pada mereka wanita tidak wajib menutup kepala. Sebab itu, ramai yang gondol. Tidak mustahil golongan solat hanya menggunakan niat sahaja.  
Keenam, percaya kepada undang-undang manusia lebih daripada undang-undang ALLAH. Kumpulan ini lebih berbangga dengan perlembagaan penjajah daripada al-Quran dan Sunnah. Sumber ini akan diperlekeh dan sesiapa yang mengikutinya akan menjadi mundur dan Arabisation.
Akibatnya, jika si jahil ini berleluasa, maksiat akan turut bermaharajalela. Maka, akan berpestalah maksiat. Tidak ada lagi yang peduli dengan orang hal lain. Jaga tepi kain sendiri, jangan jaga tepi kain orang.
Lanjutan daripada itu, perpecahan sesama sendiri akan menjadi semakin menjadi-jadi. Ultra kiasu yang menang dan terus mengambil kesempatan. Akhirnya, tidak mustahil generasi akan datang menjadi semakin tenat kerana terdidik dalam keadaan jahil dan perpecahan tanpa sudah.
Ambillah ingatan ALLAH yang bermaksud: dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya, sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hari semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya (al-Israa, 36).

* Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE, PPA, UNISZA

Monday, December 07, 2015

Bapa borek anak tidak semesti rintik (Sinar Harian 7.12.15)

7:37 AM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
Mutakhir ini, media ultra kiasu tidak putus-putus mencari dan  menemubual pembesar (menteri atau bekas) dan anaknya, pegawai tinggi kerajaan atau bekas,  guru besar dan lain-lain yang liberal bagi melunaskan agenda jahat mereka. Publisiti diberikan secara meluas. Selepas itu, mereka akan dijemput berceramah, seperti kumpulan jahil itu.

Malaysia tidak tergugat dengan orang sebegini. Semakin banyak mereka bercakap, semakin terserlahlah kebodohannya. Kumpulan ini tidak ramai pengikut. Tetapi dicanangkan seperti ramai. Sama seperti Amanah. Kita kenal dan tahu siapa mereka. Lainlah kalau mereka ini alim dan berintegriti tinggi sejak awal lagi. Harapkan gelaran dan jawatan sahaja tinggi.     

Orang sebegini telah mati hatinya. Mereka hanya fikirkan untuk melunaskan nafsu mereka. Agenda negara tidak dipedulikan. Kerana kuasa, manusia sanggup lakukan apa sahaja. Termasuk menggadaikan maruah agama dan bangsa. Politik, adalah sesuatu serba mungkin.

Saya harap umat Islam yang lain tidak tertipu. Agenda negara dan perlembagaan negara mesti dipertahankan mestipun nyawa menjadi taruhan.  

Tidak semesti seseorang pemimpin, atau mereka yang bergelar atau anak-anak mereka itu baik. Boleh diikuti atau didengari atau dijadikan contoh teladan. Bapanya borek tidak semestinya anak rintik. Kadang kala si bapa begitu baik, anak jadi malaun. Bapa Pak Imam, anak macam pelesit.

Terbaharu, mereka mahukan akaun JAKIM diaudit. Betapa jahilnya mereka yang pernah menjadi penjawat awam jika tidak tahu bahawa setiap agensi kerajaan akan diaudit setiap tahun.  

Jika suka sangat membela anjing, tidak perlulah paksa orang lain atau galakkan mereka bela anjing. Sendiri mainlah dengan anjing. Saya tidak menghukumkan membela anjing itu haram. Tetapi memahami budaya Melayu, mereka agak elergi dengan binatang ini. Maka, saya hormat pendirian itu.

Kita bukan mahu mencari kesalahan umat Islam, tetapi melaksanakan kewajipan amar makruf nahi mungkar adalah wajib. Bawa orang jadi baik, cegah mereka buat jahat. Beberapa kali saya ingatkan kumpulan jahil ini, jika masih gagap baca Quran, bertanya kepada yang pakar. Jangan tafsir ikut sedap mulut. Gelaran, pangkat yang ada, tidak akan ditanya malaikat apabila ke kubur nanti.   

Membandingkan kedudukan Islam zaman Tunku Abdul Rahman dengan hari ini sudah tentu tidak wajar. Dunia sudah berubah. Memartabatkan Islam, tidak ada kaitan dengan Arabisation. Inilah adalah tanggungjawab setiap Muslim, kecuali mereka yang jahil.
Berapa ramai umat Islam yang buta al-Quran telah dicelikkan melalui JAKIM? Adakah mereka ini menyertai ISIS? Mungkin kumpulan jahil ini belum masuk kelas JAKIM. Masuklah! Yakinlah! Apa jua yang dilakukan untuk memartabatkan oleh JAKIM dan Institusi Islam yang lain tidak akan menjadi Malaysia Arabisation. Pemahaman Islam kita berbeza dengan negara lain, kecuali mereka yang Syiah dan ekstremis.

Kumpulan ini menyoal pada zaman Tunku, ada orang minum wiski atau arak, tetapi pemahaman Islam mereka tetap baik. Persoalannya, apakah kita perlu minum arak sama bagi menunjukkan keliberalan kita? Selaku NYDP PERKIM, kehebatan Tunku adalah, dia memujuk dan mengajak bukan Islam masuk Islam, sehingga ada dua tiga orang menteri kabinet memeluk Islam. Kita hari ini bagaimana? Adakah pendekatan mengajak dibuat walaupun kononnya kita lebih baik?

Apakah kita mahu berhujah, orang minum wiski itu lebih baik dari orang agama? Apa salahnya kita menekankan lebih kepada atau bercakap bahasa Arab kerana ia Bahasa al-Quran? Jangan kerana kita jahil Bahasa Arab atau negara Arab kurang maju, maka Arab itu tidak baik. Pada saya bahasa kedua selepas BM, sepatutnya bahasa Arab, diikuti BI dan lain-lan bahasa ibunda, barulah Wasatiyyah.

Cendekiawan barat (Inggeris) sanggup mentelaah kitab bahasa Arab untuk mengorek permata yang pernah ditinggalkan oleh cendekiawan Islam zaman lampau. Kenapa hari ini kita terlalu mendewakan BI, sehingga buta al- Quran?   

Saya tidak pernah hairan dengan kumpulan jahil ini walaupun mereka bekas pemimpin besar kerajaan. Harapkan nama sahaja Islamik. Satu hari nanti bila mereka mati, kita nak tengok, mereka cari siapa? Apakah mereka akan mencari Pak Imam atau tidak? Atau mungkin mayatnya bangun dan menguburkan diri sendiri.

Terbaharu, pemimpin negara India mengeluarkan kenyataan tegas akan menapis adegan cumbu ‘spectre’, filem terkini James Bond. Saya belum pernah mendengar kenyataan begitu begitu daripada badan penapis filem negara kita. Adakah ini Arabisation? Kenapa dunia diam? Bila negara Islam dibom saban hari, dunia senyap sepi. Bila negara liberal dibom, satu dunia bising? Di manakah keadilan?

Saya kagum dengan jurutera, Kishva Ambigapathy, anak Malaysia yang dipilih menerajui Majlis Belia Komenwel (CYC) 2015-17 di Malta. Beliau memakai baju Melayu ketika berada dalam majlis tersebut. Inilah anak Malaysia yang perlu ada di negara bertuah. Pada mereka yang tidak ada semangat seperti ini, kata-kata balik Tongsan ada betulnya.