Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, April 20, 2015

Apa nak jadi dengan Umno?

8:36 AM Posted by RIDHUAN TEE 66 comments
Apa nak jadi dengan Umno? (Sinar Harian 20.4.15)

Saya tidaklah rapat dengan Tun Mahathir. Tetapi dalam PERKIM, Tun adalah YDP dan saya adalah antara NYDPnya. Dua atau tiga bulan sekali, pasti kami berjumpa, bermesyuarat.

Selaku seorang negarawan, Tun boleh mengambil pendirian berdiam diri. Apatah lagi apabila sampai usia emas ini. Bermain dengan anak cucu. Tidak perlu pening kepala. Tetapi Tun tidak memilih jalan tersebut.

Negarawan tetap negarawan, hatinya tidak akan tenang, jika ada yang tidak kena. Tun lantang mengkritik dan memberi pandangan. Adalah itu salah dalam sebuah negara demokrasi? Ada yang menyalahkan Tun kerana tidak menggunakan saluran parti. Persoalannya, adakah saluran parti akan menerima pandangan Tun atau  pandangan Tun mungkin disenyapkan?

Memahami politik Malaysia, kadangkala orang sekeliling kita lebih sudu dari garpu. Mungkin Tun dengan PM tidak ada apa-apa. Pertemuan bagaikan adik-beradik. Tetapi tidak kepada orang keliling. Cucuk sana, cucuk sini. Keadaan semakin buruk. Elok juga kadangkala PM berdiam diri.

Kita selalu mencari  siapa benar, siapa salah. Bukannya mencari apa yang benar, apa yang salah. Berilah jawapan yang Tun bangkitkan. Itu sahaja yang Tun pinta. Sama ada Tun berpuas hati atau tidak, kita lihat, yang penting jawab. Tun seorang yang rasional. Ada perkara yang saya berbeza dengan Tun, terutama isu hudud.

Tidak dinafikan Tun ramai pengikut senyap. Tun tidak keseorangan. Memahami budaya politik Umno, ketika berkuasa, pemimpin disanjung dan dijunjung. Kentutnya pun bau wangi. Berbeza dengan Tun, walaupun sudah tidak berkuasa, taringnya masih ada.

Politik membodek amat ketara ketika berkuasa. Jarang yang berani kata ‘No’ kepada PM. Boleh dikatakan, semuanya ‘Yes’ belaka. Saya tidak yakin PM mahukan jawapan sedemikian. PM mahukan keikhlasan. Tegur dan beri pandangan dengan ikhlas dan jujur. Bukan melaga-lagakan.

Tidak cukup dengan Tun, anak Tun, Mukhriz, MB Kedah, turut dimangsa oleh segelintir pemimpin Umno. Mereka mahukan anak Tun menyatakan pendirian sama ada sokong Tun atau PM. Tidak salah jika anak Tun mengambil pendirian menyokong manapun. Apa yang penting, neraca yang digunakan, Islam. Amar makruf, nahi mungkar. Ditakdirkan anak menyokong bapa, tidak perlu cari jalan menyingkirkannya. Berlapang dada.

Kenapa perlu mangsakan sesama sendiri, sesama saudara? Tidak bolehkah dalam keadaan bermasalah kita berperanan menjernihkan, bukan menambah. Ibarat menarik rambut dalam tepung. Kalau pemimpin Umno terus mengambil tindakan, saling jatuh-menjatuh, tikam-menikam, fitnah-menfitnah, Umno sedang menanti untuk membusuk, menggali kubur sendiri. Amat malang, pemimpin yang tidak memikirkan kepentingan Umno secara keseluruhan, tetapi lebih kepada dahan yang mana lebih kuat untuk berpaut. Memang, politik itu sesuatu yang tidak boleh dijangka.  

Ini belum termasuk lagi kisah salah seorang pemimpin pemuda Umno yang dikaitkan dengan skandal gadis keliling pinggang. Saya tidak dapat bayangkan bagaimana pemuda ini boleh memimpin Umno suatu masa nanti. Eloklah pimpinan Umno cepat-cepat keluarkan orang sebegini.

Ambil iktibar ultra kiasu yang bijak berpolitik. Licik dan berstrategi. Misalnya, memberi amaran kepada Pas agar tidak terjerat dalam “perangkap” Umno, dengan merujuk kepada insiden ketika Pas menyertai kerajaan campuran BN 1973, selepas itu ‘ditendang’ keluar pada tahun 1977 serta tragedi Memali pada 1985.

Walaupun mereka masih sepakatan, ultra kiasu mahu berlagak wira,  supaya nampak hebat, seolah-olah penyelamat. Malang sekali jika ada yang buta. Pas tidak perlu diingatkan. Pas tidak pernah lupa apa yang Umno pernah lakukan. Malah, Pas turut mengkafirkan Umno. Hari ini, kenapa Pas kembali lunak? Sudah tentu Presiden Pas ada jawapannya.

Peristiwa Memali tidak wajar dijadikan penyebab untuk Pas terus berdendam dengan Umno. Ibrahim Libya tidak akan hidup kembali meskipun dendam Pas terbalas. Allah mengetahui segala-galanya. Mereka yang bersalah tidak akan terlepas. Kejahatan yang dikesali, lebih baik dari kebaikan yang ditakburi. Inilah ultra kiasu yang sangat takabbur.

Mereka memperlekehkan Pas seolah-olah tidak bernilai satu sen pun. Presiden dan pimpinan Pas bukanlah bodoh untuk masuk dalam perangkap Umno. Mereka sangat kenal siapa Umno. Namun, saya amat yakin pimpinan Pas memikirkan kepentingan umat Islam berhadapan bahaya ultra kiasu.

Tidak dinafikan ada orang Umno yang menolak dan menentang hudud. Tetapi tidaklah sejahat ultra kiasu. Pernahkah Pas dibawa berbincang sebelum ditendang dari PR Sabah?

Ingatan saya kepada Pas, selagi berada di landasan yang benar, tidak ada yang perlu ditakutkan. Biarlah ultra kiasu meminggirkan Pas. Kita mencari redha Allah, bukan redha manusia.


Pas mesti bersabar dan istiqamah. Rapatkan saf dan jauhkan daripada sebarang prasangka buruk atau persengketaan. Tidak mustahil suatu masa nanti, ditakdirkan Umno membusuk, disebabkan oleh tindakan segelintir pemimpinnya yang tidak boleh dicontohi, Pas boleh mengambil tempat Umno. Kepada Umno, ingat amaran Allah, tidak mustahil, Allah akan gantikan kamu dengan orang yang lebih baik, jika kamu terus leka dan tidak sedar diri. Kembalilah kepada Allah dalam membuat sebarang keputusan. In shaa Allah selamat.  

Monday, April 13, 2015

Umno tetap saudara seagama

7:30 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments
(Sinar Harian 13.4.15)

Timbalan Menteri Besar Kelantan dan anak bekas Mursyidul Am Pas, Nik Abduh mendedahkan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz (TGNA) pernah mengingatkan ahli parti itu agar mewujudkan hubungan baik dengan Umno bagi memudahkan pelaksanaan hudud di Kelantan.

TGNA juga mengingatkan ahli PAS agar tidak mengkritik Umno, kerana parti Melayu itu merupakan pihak yang perlu berurusan bagi membolehkan hasrat kerajaan negeri tercapai. Lakukan demi kebaikan rakyat.

Perkara ini didedahkan kerana timbul isu yang dibangkitkan ahli PAS dengan mendakwa Pas sudah masuk perangkap Umno kerana mengadakan perbincangan bersama mengenai hudud.

Suka atau tidak, Pas perlu sokongan Umno untuk menjayakan agenda hududnya. Dalam keadaan negara yang populasinya, 50-50 antara Islam dan bukan Islam, tanpa sokongan salah satu parti, tidak mungkin agenda Islam dapat dimartabatkan. Justeru, jangan terus berbalah, sehingga terlepas pandang, siapa kawan, siapa musuh.

Jangan menyesal apabila telah menjadi seperti Pulau Pinang. Apabila ultra kiasu memerintah, agenda Islam sudah tidak lagi menjadi keutamaan kepada ultra kiasu. Jangan bincang lagi agenda Melayu. Bermacam cara dilakukan bagi memastikan Melayu tidak berada di pulau, termasuk menawarkan harga rumah yang murah di tanah besar.  

Kenapa perlu memusuhi saudara atau parti seagama melebihi ultra kiasu? Kenapa boleh berkawan dengan musuh ultra kiasu, tetapi tidak boleh berkawan dengan rakan seagama. Apakah rakan seagama lebih bahaya daripada musuh? Musuh tetap musuh, kawan tetap kawan. “Sejahat-jahat’ Umno, tetap saudara kita. Sebaik mana pun ultra kiasu, tetap memusuhi Islam.

Musuh sudah terang-terang menyerlahkan sifatnya sebagai musuh? Mereka tentang hudud hingga ke hujung nyawa. Meskipun ada pimpinan Umno masih berbelah bahagi untuk menyokong hudud, tetapi sekurang-kurang mereka masih tidak menentang secara terang-terangan. Takut terkeluar dari akidah.  

Kita akan terus rugi jika berkawan dengan musuh lebih baik daripada saudara seagama. Nasihat saya, pertama, ditakdirkan sesuatu menimpa negara, negara jatuh ke tangan musuh, kepada siapa kita mahu berharap?

Saya masih teringat apabila sebuah negeri yang jatuh kepada bukan Islam. Boleh dikatakan hampir setiap 1 atau 2 kilometer, kita akan lihat di situ ada rumah ibadat. Dalam maksud, bila orang lain memerintah, mereka akan pastikan agama dan institusinya dimartabatkan.

Kita pula tidak begitu. Kita hanya dirikan rumah ibadat di kawasan majoriti Islam. Kita tidak akan buat rumah ibadat begitu terasing daripada komuniti Islam.

Prinsip kita, apa guna surau dan masjid, jika tidak ada jamaah. Sebab itulah, polisi membina surau masjid, syaratnya, mesti ada jamaah.

Orang lain tidak. Tidak kira ada jamaah atau tidak, rumah ibadat tetap akan dipacak. Apabila mahu dirobohkan bagi tujuan pembangunan, maka heboh satu dunia, Malaysia tidak ada kebebasan beragama.

Kedua, saudaraku seagama, sepanjang Islam memerintah negara mana sekalipun, jarang sekali berlaku penganiayaan kepada bukan Islam. Berlaku sebaliknya apabila bukan Islam memerintah. Ada sahaja kedengaran umat Islam dipinggirkan. Malah, lebih dahsyat ada yang disiksa dan dibunuh. Misalnya, di Nyanmar, Palestin dan sebagainya. Apakah dengan terlaksananya hudud, bukan Islam akan dimangsakan? Tidak.

Maka tidak hairan, jika seorang sami Buddha di Melaka memeluk Islam baru-baru setelah lebih 30 tahun mengkaji pelbagai agama ketika menjadi sami. Inilah realiti agama Islam. Rahmat seluruh alam.

Mengikut kajian dan jangkaan Pew Research Center (April 2015), berpengkalan di Amerika Syarikat, pada tahun 2050, bilangan umat Islam akan menjadi hampir sama dengan bilangan penganut agama Kristian. Jumlah umat Islam akan meningkat secara drastik kepada  2.8 bilion (30% populasi dunia) dan Kristian 2.9 bilion (31%). Sehingga tahun 2070, agama Islam akan menjadi agama paling popular di dunia, berbanding agama lain.

Setakat ini, berasaskan kepada statistik 2010, umat Islam di seluruh dunia berjumlah 1.6 bilion, menduduki tempat kedua, manakala Kristian 2.1 bilion, tempat pertama. Seterusnya diiikuti agama lain.

Pew mengakui agama Islam begitu cepat berkembang dan mendapat sambutan berbanding agama lain. Walaupun Islam hari ini ditekan dan dihina, serta dilabelkan dengan pelbagai imej negatif seperti pengganas, ekstremis dan lain-lain, ia tetap mendapat tempat di hati manusia. 

Saya amat teruja apabila membaca berita terkini mengenai perkembangan artis luar negara seperti Liam Neeson (UK) mengatakan hasratnya untuk memeluk Islam. Begitu juga Nook Suthida, artis terkenal Thailand yang telah pun memeluk Islam. Ini tidak termasuk, pemain football terkenal Amerika, Dominique Easley. Pensyarah perbandingan agama Universiti Hawaii, James Frankel. Jessica Rhodes (Norway), Noordeen Wilderman (Belanda)  dan ramai lagi.


Justeru, bersangka baiklah sesama Islam. Pastikan agenda Islam dapat dilaksanakan dengan jayanya. Yakinlah, Islam turun membawa kebaikan. Bukan Islam tidak perlu takut kerana sejarah membuktikan mereka dapat hidup senang lenang dalam sebuah negara Islam. Pokoknya, jangan nak semua. Sokonglah apa jua agenda Islam kerana ajaran Islam tidak menzalimi orang lain. Mudah-mudahan kerajaan perpaduan antara Umno-Pas dalam direalisasikan. 

Monday, April 06, 2015

Pas tidak rugi jika bersendirian

7:42 AM Posted by RIDHUAN TEE 15 comments
(Sinar Harian 6.4.15)

Jika Pas keluar PR, sudah pasti Selangor tidak akan bermenteribesarkan  PKR lagi. In shaa Allah, Pas mungkin boleh terus kekal di Kelantan, meskipun akan kehilangan beberapa kerusi di negeri lain. Begitu juga ultra kiasu di Pulau Pinang.

Semua orang tahu, PKR menang banyak kerusi selama ini, bergantung kepada undi Pas, selain ultra kiasu. Begitu juga kerusi ehsan yang diberikan kepada PKR oleh Pas di kawasan yang ditandingi Pas selama ini, terutama di Kelantan dan Terengganu. Negeri lain pun sama.

Rasionalnya, Pas tidak perlu menyerahkan kerusi yang ditandingi selama ini kepada PKR. Tetapi, atas dasar sepakatan, Pas rela berkorban. Inilah sifat mulia Pas. PKR tahu semua itu. Namun, sokongan Pas masih belum mencukupi tanpa sokongan ultra kiasu untuk kekal berkuasa di Selangor.

Maka tidak hairan, jika PKR akan terus berusaha untuk memastikan Pas tetap kekal dalam PR, walaupun telah didesak ultra kiasu agar Pas dikeluarkan.

Melayu PKR tertekan antara di luah mati emak, ditelan mati bapak. Ultra kiasu PKR mungkin tidak, kerana bila-bila masa mereka boleh pergi kepada parti ultra kiasu. Itulah realiti PKR.

Mengenali Pas sekian lama, Pas sudah kebal, sama ada bersendirian mahupun bersama PR. Parti Islam ini sudah diuji sekian lama. Tetap bertahan. Kepemimpinan dan ahli partinya amat komited dengan Islam. Pasma dalam hal ini, tidak ada apa mende kata orang Terengganu, kerana walak majoriti ahli Pas tetap kepada Pas, bukan Pasma.

Pendek kata, bercerai talak tiga sekalipun, Pas tetap survive. Parti lain belum tentu. Sebab itu, paling layak menjadi ketua pembangkang di Parlimen, adalah Pas. Pastinya ultra kiasu tidak pernah bersetuju.

Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas pernah melalui zaman sukar selepas keluar daripada BN, namun Pas mampu bangkit dan menawan Kelantan pada pilihan raya umum ke-8 pada 1990, walaupun bersendirian.

Sebab itu, Pas tidak pernah takut apabila parti ultra kiasu sebelum ini mengugut memutuskan hubungan dengan Presiden Pas berikutan tindakannya yang bertegas mahu melaksanakan hudud di Kelantan. Ini disusuli tindakan drastik ultra kiasu Sarawak yang mengumumkan keluar daripada PR negeri itu minggu lalu atas alasan sama. Begitu juga PKR dan ultra kiasu Sabah.

Kita teruja untuk melihat apakah PKR Sabah Sarawak mampu untuk bertahan tanpa sokongan Pas. Memandang musuh hudud terlalu ramai, Pas sudah sepatutnya keluar dari PR selagi ultra kiasu ada di situ. Ultra kiasu tidak boleh dianggap sebagai kawan lagi. Jika mereka memusuhi Islam, maka mereka adalah musuh Pas.

Pas tidak perlu bersangka baik lagi, bagi tujuan dakwah. Sekian lama berdakwah dan menerangkan hudud, adakah mereka semakin lembut terhadap Islam dan hudud? Tidak sama sekali. Malahan sikap negatif dan bermusuhnya semakin menyerlah. 

Pas tidak boleh terlalu mengharap. Ultra kiasu jahat dan licik. Misalnya, kajian mereka melaporkan 81% responden Melayu-Islam mahukan kerajaan Kelantan memberi tumpuan kepada usaha pemulihan pasca banjir daripada pelaksanaan hudud.

Berbanding kajian Jawatankuasa Teknikal Hudud (JTH) negeri tahun lepas, membuktikan 91% rakyat Kelantan bersetuju dengan hudud. Kajian siapa yang betul? Logiknya sudah tentu kajian JTH lebih tepat, kerana responden tidak bias. Semua orang Kelantan.

Jika bertanya kepada musuh Islam, sudah tentu jawapannya sudah diketahui. Orang Islam sendiri ada yang menjadi penentang tegar hudud, terutama yang menganut fahaman sekular dan sosialis. Justeru, saya tidak pernah ambil kisah kajian ultra kiasu. Awal-awal lagi telah bias.

Eloklah renungkan kata-kata bekas  Ketua Hakim Negara Tun Abdul Hamid Mohamad. Hasrat kerajaan negeri Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud tanpa meminda Perlembagaan Persekutuan boleh dicapai jika sedia bermula dengan kesalahan terletak di bawah Senarai Negeri.

Beliau berkata antara kesalahan yang terkandung dalam Senarai II (Senarai Negeri), Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan ialah kesalahan melakukan zina, menuduh seseorang berzina, meminum minuman memabukkan dan murtad. Bagaimanapun, Parlimen perlu terlebih dahulu meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 untuk membolehkan Badan Perundangan Negeri berbuat demikian. Undang-Undang itu adalah di bawah Senarai Negeri, terpakai hanya kepada orang Islam dan ditadbir oleh Mahkamah Syariah.

Dalam PRU 14 akan datang saya cadangkan Pas ikut strategi ahli-ahli Gerakan dan MCA. Pakat-pakat mengundi ultra kiasu, mempermainkan BN. Sebab itu, di kawasan Bandar, Terengganu, kenapa PKR boleh menang?


Pas pun boleh melakukan perkara yang sama. Sama ada kekalkan atau tidak dalam PR, pastikan selepas ini Pas tidak mengundi ultra kiasu. Berikan undi kepada orang Islam yang tidak menentang hudud, meskipun dia Umno. Tidak mustahil jika Umno menambah kerusi di Selangor, kerusi Menteri Besar mungkin menjadi milik Pas.  

Monday, March 30, 2015

Mana hudud sebenar?

5:49 AM Posted by RIDHUAN TEE 4 comments
(Sinar Harian 30.3.15)

Ahli parlimen Kuala Terengganu membuat laporan polis berhubung artikel saya minggu lalu. Sila polis lakukan siasatan. Saya berkata benar, dan akan terus berkata benar, dalam ruang lingkup kebebasan akademik.  Mempertahankan hak kepada yang berhak.

Peliknya, kenapa tidak ada laporan polis dibuat apabila ultra kiasu membuat serangan terhadap batang tubuh presiden PAS berkaitan hudud? Kenapa penulisan akademik yang disertakan dengan bukti dilaporkan kepada polis? Adakah kita terlalu kemarukkan undi ultra kiasu untuk menang pilihan raya? Berpolitik biar ada maruah. 

Berita Kemahkotaan Sultan Johor, sama pada hari kematian Lee Kuan Yew. Akhbar ultra kiasu sibuk dengan berita kematian. Akhbar Melayu fokus kepada Kemahkotaan. Masih percaya ultra kiasu?

Kepada pemimpin yang mengaku dirinya Islam, apa sumbangan kita terhadap Islam, terutama ketika Islam dan hukumnya dihina dan dikeji? Sebenarnya kita mahukan Islam atau tidak? Atau apakah mungkin ada yang beranggapan Islam itu menyusahkan. Hati-hati.

Macam-macam alasan diberikan bagi menunjukkan kita tidak menolak hudud. Hudud Pas lah, bukan hudud sebenar lah dan berbagai lagi hudud lagi. Jadi, di mana hudud sebenar? Jika tidak ada yang mulakan, macam nak tahu hudud sebenar? Atau mungkin sampai kiamat baru nak buat hudud?

Lihat saja evolusi Perlembagaan Persekutuan. Adakah ia muncul tiba-tiba? Mesti ada yang memulakan. Perlembagaan Malayan Union 1946, diperkenalkan British, ditentang Melayu dan akhirnya dimansuhkan. Kemudian, lahir Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1948. Kemuncaknya, adalah Perlembagaan 1957, hasil muafakat bersama. Apabila Sabah Sarawak membentuk Malaysia, Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963 diguna pakai ke hari ini. Pendek kata, tidak akan ada yang sebenar, tanpa ada yang memulakan.

Hari ini Pas sudah mulakan. Hudud Pas itu, hududlah. Kalangan yang menggubalnya adalah pakar. Peliknya kenapa ada pemimpin Pas sendiri pun tidak yakin? Apakah mereka takut akan dikenakan hudud? Jika ada pun kelemahan dan kekurangan, perbaiki dan buatlah penambahbaikan selepas itu. Bagaimana nak jadi sempurna (sebenar) kalau tidak ada yang mulakan?

Sekurang-kurangnya dengan adanya inisiatif ini, hudud telah menjadi perbualan ramai. Yang tahu bertambah tahu dan tidak tahu menjadi tahu,. Semua ini ada hikmahnya. Cuma, yang dibimbangi adalah yang tahu, buat-buat tidak tahu.

Jangan salahkan atau mangsakan Pas untuk tolak hudud. Saya tidak kata hudud Pas itu sudah lengkap. Banyak ruang lagi untuk diperbahaskan. Beri peluang. Lagipun di Kelantan sahaja. Ditakdirkan jika gagal sekali, yang terkesan hanya Kelantan, negeri-negeri lain masih selamat. Kenapa terlalu bersangka buruk. Bayangkan selepas ini Pas memang berjaya melaksanakan hudud, dan nampak kebaikannya, adakah negeri lain akan turut serta? Tidak juga. Sebenarnya pintu hati kita sudah tertutup.

Sebab itu, saya sangat teruja apabila MB Terengganu mengucapkan tahniah dan menyokong perlaksanaan hudud di Kelantan. Beliau mengharapkan Pas akan turut mendapatkan sokongan di peringkat parlimen kelak. Inilah negarawan sebenar.

Terengganu katanya, sedia mengikut jejak langkah Kelantan melaksanakan  hudud, jika rakyatnya faham dan bersedia. Buat masa ini, kerajaan negeri mahu memberi fokus tarbiah (Islamisasi) yakni dengan mendidik masyarakat terlebih dahulu.

Kata-kata ini sepatutnya keluar daripada setiap pemimpin Umno. Bukan menolak dan ada yang berkata membuang masa. Apakah mereka yang berkata ini takut akan dihududkan, bila dilaksanakan nanti?

Saya bukanlah pengikut Pas, tetapi saya menyokong usaha baik yang dilakukan, apatah lagi mendaulatkan hukum Allah. Saya akur, ada negara Islam melaksanakan hudud telah gagal. Itu silap manusia. Jangan salahkan Tuhan. Ajaran Tuhan itu sempurna.

Jika tidak yakin dengan hudud Pas, kemukakan hudud yang sebenar. Jika tidak mampu, lebih baik diam. Jangan buat perkara pelik-pelik yang tidak menguntungkan Islam, seperti pekerja radio BFM.

Bila sudah jadi sensasi dan kontroversi, sibuk nak cover line, dengan mengatakan ini hudud Pas, bukan hudud sebenar. Malangnya, si bapa turut memihak kepada anak. Bincangkan apa yang benar, apa yang salah. Bukan memihak membuta-tuli.

Jika ditakdirkan hudud yang bakal dibentangkan gagal mendapat sokongan di parlimen, sekurang-kurangnya Pas telah melakukan sesuatu. Itu lebih baik daripada mereka yang tidak yakin dan kuat menentang. Apakah kita tidak berasa malu dengan kata-kata Elaine Xian Xian (Cina Kristian) dalam FBnya.


Hudud, Qisas, Ta'zir. Understand it before make any statement about Islam law cruel. Hudud tdk kejam. Yang kejam hanya manusia. Jika you nampak 1 negara itu lakukan hudud kejam, itu dari pemimpin tdk adil & tdk amanah. And remember that, that is not hudud. Itu cuma hukuman manusia yang mengaku hudud. Please understand it & jangan tertipu. Especially for my non Muslim friends. I tegaskan, hudud tdk kejam. That's why we must understand what is hudud? What is Qisas? What is Ta'zir? For Muslim, hudud itu penting & pelaksana hudud pun penting. I'm people who's support hudud. Kerana i nampak undang2 ini adil dengan kajian i. And congratulation again to Kelantan. May God ease everything. Everything will become smoothly with full of bless.

Monday, March 23, 2015

Berani kerana benar demi ALLAH

12:28 AM Posted by RIDHUAN TEE 16 comments
(Sinar Harian, 23.3.15)

“Saya sokong perlaksanaan hudud kerana ALLAH, bukan kerana Umno”. Kata ketua pembangkang DUN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Ahmad ketika membahaskan hudud di DUN Kelantan. Membaca kenyataan ini air mata bergelinang tanpa disedari.

Inilah negarawan sebenar. Umno perlu meramai orang sebegini, barulah boleh menang banyak kerusi. Meletakkan Islam mengatasi segala-gala. Berani kerana benar. Menilai yang benar itu benar, walaupun mungkin datang dari lawan. Kenal siapa lawan itu boleh dijadikan kawan. Bezakan dengan musuh sebenar, ultra kiasu, penentang Islam.

Mungkin ada yang sinis, dengan berkata, ini semua strategi politik Umno. Tetapi, pada saya, bukan mudah untuk untuk pemimpin Umno bersetuju dengan hudud. Jika bukan Allah yang mengatur segalanya. Bukan seperti PKR. Mengaku Islam, tetapi menolak hukum hudud dengan pelbagai alasan, seperti masih belum lengkap, belum dibincang, tidak sesuai, kemiskinan masih berleluasa dan macam-macam lagi.

Biarlah orang kafir sahaja yang beranggapan sedemikian. Sebagai umat Islam, kita bersangka baik dahulu. Jika ada yang tidak kena, sama-samalah kita perbaiki. Sampai bila kita harus menunggu dan memberikan alasan, kemiskinan dan keadilan harus diberikan keutamaan.

Selama ini kita mengamalkan sistem demokrasi, adakah kemiskinan dan ketidakadilan dapat dihapuskan? Tidak juga. Justeru, kenapa tidak beri peluang untuk hukum Islam itu berjalan?

Jangan jadi seperti parti Gerakan, Mca (BN) dan ultra kiasu (PR). Awal-awal lagi sudah mengugut untuk keluar parti, jika ada parti Melayu yang menyokong hudud. Dasar gunting dalam lipatan, api dalam sekam.

Silakanlah berbuat demikian jika berani. Adapun Gerakan dan Mca, tidak menguntungkan Umno. Malah Umno terpaksa mengorbankan kerusi majoriti kawasan Melayu untuk memberikan laluan kepada mereka. Siapa untung, siapa rugi?

Pendek kata, kemenangan Gerakan dan Mca, adalah kerana ehsan undi Melayu. Parti ini ternyata gagal memenangi hati Cina, kerana majoriti Cina mengundi ultra kiasu. Namun, Gerakan dan Mca terus mendapat kerusi Menteri dan timbalan, walaupun tidak layak. Inilah kelebihan muafakat BN. Sanggup korban Melayu, meskipun Melayu telah lama terkorban.

Sama ada ultra kiasu berada dalam BN atau PR, ultra kiasu tetap menang dan untung. Ultra kiasu tetap menang. Bersatu dalam senyap. Kita sahaja yang tertipu. Kalau tak percaya, cuba usik SJKC, seperti untuk tambah pembelajaran BM, melompatlah mereka semuanya. Inikan pula hudud.

Sepatutnya ultra kiasu tidak perlu bisingpun kerana tiada kaitan dengan mereka. Hudud adalah untuk orang Islam. Ultra kiasu berterima kasih kepada Islam, kerana dengan hikmah Islamlah, mereka dapat membina empayar hingga menjadi kaya raya, sehingga Melayu ada yang merempat. Kenapa tidak bersyukur?

Jangan ingat, bila Islam dilaksanakan, keadaan akan menjadi lebih buruk. pelancong akan ketakutan. Lihatlah Brunei. Pelancong bertambah. Saya lihat di hotel mereka ada macam-macam orang manusia dari luar negara. Orang baik takkan takut dengan hudud, yang jahat sahaja terasa, takut kena.

Logiknya mudah, mereka mahu tahu cara hidup Islam. Mereka mahu merasai cendol, abuyat dan lain-lain makanan Alam Melayu.

Saya amat hairan kenapa parti ultra kiasu dibenarkan beroperasi di Sarawak. Parti ini bukan sahaja perosak Islam malah menggugat keharmonian di sana. Hasutan demi hasutan sedang berjalan, nak bawa Sarawak keluar dari Malaysialah. Umat Islam yang faham Islam, tidak akan melakukan sedemikian.

Lebih menghairankan lagi, ahli parlimen Pas Kuala Terengganu begitu marah dengan saya kerana artikel saya yang sering mensasarkan ultra kiasu. Saya dituduh lebih Melayu dari Melayu, menghina kaum sendiri dan sebagainya. Menjauhkan bukan Islam dari Islam.

Saya hanya melondehkan kebobrokan ultra kiasu yang menjadi musuh kepada Islam. Saya tidak merujuk semua orang Cina itu utra kiasu. Tetapi saya merujuk kepada semua bangsa, yang menentang Islam dan perlembagaan negara.

Hari ini terbukti apabila menentang hudud yang dibawa oleh Pas sendiri. Kenapa ahli parlimen tersebut berdiam diri? Kenapa mensasarkan saya yang mempertahankan Islam apabila diserang ultra kiasu. Apa beliau buat apabila Islam dipijak dan dihina ultra kiasu?

Terus terang, saya amat bangga dengan kerajaan Brunei, ketika ultra kiasu seluruh dunia, mengutuk dan mengejinya kerana melaksanakan Islam, rakyatnya bersatu hati mempertahankan tindakan pemimpin mereka. Pesanan Sultan Brunei,

“Siapakah kita di hadapan Allah untuk berkata TIDAK atau TUNGGU DULU sedang undang-undang itu bukanlah baru digubal tetapi telah termaktub dalam Al-Quran dan Al-Hadis semenjak dari 1400 tahun lebih lagi. Apabila Undang-Undang Syar’iah terlaksana maka barulah bumi yang permai ini dapat diungkap sebagai “Baldatun Thayyibatun wa Rabbun Ghafur” iaitu Negeri Yang Baik dan Tuhan Maha Pengasih”.


Sejak syariat Islam dilaksanakan, belum ada lagi orang yang dipotong tangan. Bukan Islam terus membina empayar. Inilah hebatnya Islam. Bersatulah wahai umatku sebelum terlambat. 

Monday, March 16, 2015

Maaf atau tidak, sama sahaja

8:05 AM Posted by RIDHUAN TEE 14 comments
(Sinar Harian, 16.3.15)

Ultra kiasu terus menekan Dato’ Seri Ismail Sabri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, agar meminta maaf ke atas kenyataannya, iaitu mengenai kenaikan harga, yang ditujukan khas kepada peniaga Cina yang mengambil kesempatan.

Memahami psiki ultra kiasu, saya menasihatkan Ismail, agar tidak  memohon maaf. Biarlah ultra kiasu mahu mengambil tindakan mahkamah. Belum tentu mereka menang. Pihak yang didakwa belum tentu kalah.

Saya amat yakin, jika Ismail meminta maaf, mereka akan bercanang dan menepuk tangan. Mereka akan jaja merata. Ismail mengakui kesalahan dan kesilapannya. Kita menang, Ismail kalah. Biarkan sahaja. Kita pun mahu lihat sejauhmana ‘kejantanan’ ultra kiasu.

Saya tidak nafikan memohon maaf itu satu amalan yang mulia dan amat dituntut dalam Islam. Tetapi dalam kes ini, ternyata telah dipolitikkan. Ultra kiasu sangat licik. Apatah lagi menangguk ketika di air yang keruh.

Keikhlasan dalam meminta maaf bila melibatkan perkara yang kita benar-benar kita berasa bertanggungjawab terhadapnya. Jangan meminta maaf hanya semata-mata untuk menjernihkan suasana. Belum tentu yang jernih akan terus jernih. Tidak mustahil yang jernih akan menjadi keruh semula.

Seperti yang telah saya ulas sebelum ini, dari segi akademik, fakta Ismail itu tidak salah. Tidak mustahil peniaga mengambil kesempatan.

Masih teringat sewaktu kecil dahulu, saya disuruh oleh aruah bapa saya, seorang peniaga kedai runcit, di kampung Melayu, supaya mencampurkan minyak petrol dengan minyak tanah, beras putih + beras merah (perang), mengubah timbangan dan lain-lain lagi. Pendek kata, apa sahaja yang boleh memberikan keuntungan lebih, saya diminta melakukannya walaupun perbuatan itu salah.

Maka tidak hairan, jika ada peniaga keli atau patin memberikan makanan babi atau mencampakkan bangkai babi ke dalam kolam peliharaan, seperti yang pernah berlaku baru-baru ini. Belum termasuk lagi kilang bihun yang kotor, menggunakan logo-logo berbunyi Melayu dan Islamik, seperti cop masjid, cop Fatimah, cop rumah Melayu dan lain-lain.

Mungkin kenyataan ini akan menjauhkan diri mereka dari Islam, tetapi saya terpaksa bercakap benar, berdasarkan pengalaman, bagi mendedahkan kebobrokan ultra kiasu, untuk berlaku adil kepada orang Islam yang kerap menjadi mangsa dan dimangsakan oleh kita sendiri.

Cuma, apa yang boleh kita ambil iktibar daripada peristiwa ini? Pertama, umat Islam mesti mencebur diri dalam perniagaan. Mereka mesti menjadi pengeluar, bukan pengguna semata-mata. Kita akan terus menjadi mangsa jika bidang perniagaan (pengeluar) terus dimonopoli bukan Islam.

Lagipula, bidang perniagaan adalah suatu bidang yang amat dituntut dalam Islam. Tidak hairanlah jika 9/10 punca rezeki itu datangnya hasil dari perniagaan. Banyak hadis lain yang mahu umat Islam mencebur diri dalam perniagaan.

Selama-lamanya kita akan terus dianiaya dan ditindas jika tidak menguasai ekonomi. Misalnya, pemilik syarikat telekomunikasi bukan Islam yang begitu sombong hari apabila sudah berjaya. Adakah mereka tidak sedar bahawa kekayaan yang mereka ada pada hari ini disebabkan oleh sistem kerajaan sedia ada, yang membolehkan mereka menjadi kaya? Benar, tidak nafikan, mereka bekerja keras. Tetapi adakah mereka boleh menjadi hebat tanpa sokongan?

Mereka akan cari apa jalan untuk menjadi kaya, sama ada melalui jalan halal atau haram, terutama jika terpaksa merasuah. Ini tidak termasuk perniagaan cepat kaya seperti menjadi along, pelacuran, perjudian, dan sebagainya. Siasatlah berapa ramai orang Vietnam dan China yang dijadikan pelacur.

Malang sekali penguatkuasa yang menerima habuan rasuah, membenarkan mereka buat kerja haram sehingga menjadi kaya-raya. Pengalaman saya suatu ketika dahulu, bekerja dengan syarikat perumahan, antara agendanya adalah bagaimana untuk ‘kawtim’ penguatkuasa agar projek berjalan lancar.

Nasihat kepada orang Melayu (penguatkuasa), jangan jadi barua, hanya untuk menjadi ‘kaya sekejap’ dengan mengambil rasuah. Ingat masa depan agama, bangsa dan negara.

Kedua, apabila ada peniaga Melayu yang mahu menceburi bidang perniagaan, secara kecil-kecilan. Kita sepatutnya galakkan seperti yang dilakukan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, mengingatkan penguatkuasa supaya tidak mengambil tindakan semberono terhadap mereka yang mahu berniaga secara halal.

Jangan kenakan pelbagai syarat sehingga perniagaannya gagal dan terpaksa ditutup. Misalnya, aduan yang diterima mengenai perniagaan TADIKA. Puluhan ribu ringgit telah dibelanjakan untuk memenuhi ‘syarat-syarat’ Dewan Bandaraya yang begitu rigid. Apabila semua syarat telah dipenuhi, tiba-tiba dapat surat dari mereka mengatakan premis tersebut tidak sesuai, ada bantahan orang ramai, TADIKA di kawasan tersebut sudah mencukupi dan berbagai lagi. Apa makna semua ini?

Kenapa dari awal perkara ini tidak beritahu? Pergilah buat siasatan seluruh bandaraya, berapa banyak kawasan rumah dijadikankan premis perniagaan haram? Ada rumah dijadikan perniagaan bateri kereta yang amat membahayakan. Ini belum termasuk perniagaan haram yang lain, yang telahpun dikenakan tindakan atas aduan orang ramai.

Mohd Ridhuan Tee Abdullah, INSPIRE/PPI, UniSZA

Monday, March 09, 2015

Siapa Taliban dan Talibanisasi?

8:05 AM Posted by RIDHUAN TEE 2 comments
(Sinar Harian, 9.3.15)

Sikit-sikit Taliban… Siapa Taliban? Apa Talibanisasi? Inilah kerja ultra kiasu. Bila ada suara hendak melaksanakan cara hidup Islam, yang menjadi hak umat Islam, dikaitkan dengan Taliban. Mereka siapa pula? Talibarut? Lebih bahaya dari Taliban. Kenapa larang orang nak buat baik? Kenapa tidak larang yang buat mungkar?

Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) mahu menjaga umat Islam di negerinya, apa kamu peduli? Jika tidak suka, duduk diam-diam. Majoriti umat Islam tinggal di sini. Mereka mahukannya, seperti umat Islam di Kelantan mahukan hudud. Lagipun bukan negeri kamu.

Tahniah, kepada kerajaan negeri Terengganu. Sebagai rakyat, saya rasa amat bangga, duduk di bawah naungan Tuanku Sultan dan Menteri Besarnya. Pemimpin sebegini yang kita mahu, ada will-power. Bukan macam ultra kiasu, asyik suka yang mungkar.

Tindakan terhadap umat Islam yang berkelakuan tidak senonoh, membonceng tanpa ikatan keluarga, tidak solat jumaat bagi lelaki dan berpakaian tidak sopan di tempat awam, termaktub dalam Seksyen 34 dan Seksyen 35 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001.

Mereka yang bersalah, akan dikenakan tindakan yakni melalui proses tarbiyyah (kaunseling). Selepas itu, mereka terbabit perlu mengisi borang khas sebagai rekod, diikuti dengan tindakan susulan sekiranya ingkar. Pesalah boleh dikenakan denda maksimum RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit.

Undang-undang ini bukan talibanisasi, tetapi mahu memanusiakan manusia. Mereka yang hina sahaja membiarkan kemungkaran. Hidup seperti haiwan, bersekedudukan. Suka kawin, tidak suka, belah. Saya tahu apa maksiat yang ultra kiasu buat. Maksiat ini tidak dikatakan talibanisasi tetapi hak asasi manusia.

Saya ingin cadangkan supaya undang-undang ini turut merangkumi bukan Islam. Barulah adil. Tidak ada alasan berpakaian seksi dan berkelakuan tidak senonoh. Tidak ada agama yang membenarkannya. Kenapa suka sangat berseluar pendek dan memakai baju nampak ketiak, kalau bukan nak tayang badan, terutama bila berurusan dengan pejabat kerajaan? Bila kena cabul, salahkan polis kerana tidak menjalankan tugas. 

Saya dikecam habis-habisan bila berkata berpakaian seksi menjadi salah satu sebab punca rogol. Hujah saya yang disandarkan kepada kajian Zig Ziglar (2000) di US dan Menteri Goa, India (2014), tidak pula disiarkan.

Bagi mereka yang bukan rakyat Terengganu. Datang ke tempat orang, ikutlah pepatah, masuk kandang kambing, mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Tak nak ikut, jangan datang. Ramai lagi nak datang. Di Brunei, peraturan sebegini sudah lama dilaksanakan. Kita lihat pelancong terus datang berpusu-pusu. Kenapa? Mereka nak tahu cara hidup Islam, bukan talibarut Islam. 

Tidak boleh bayangkan jika kita ikut apa yang telah kerajaan Brunei laksanakan baru-baru ini. Menurut Brudirect, Brunei mengetatkan undang-undang berkaitan sambutan Tahun Baru Cina. Antaranya dengan mengharamkan tarian Singa dekat dengan masa solat dan persembahan oleh orang bukan Cina. Tarian singa kini hanya dibenarkan 3 hari sahaja, antara jam 8-11.20 pagi dan 1.30-5.15 petang.

Persembahan itu hanya boleh diadakan di tokong, dewan sekolah rumah anggota-anggota persatuan Cina. Brunei turut melarang penggunaan mercun dan bunga api. Menurut the Brunei Times, orang Islam perlu menghindari perayaan bukan Islam kerana ia boleh membawa kepada tasyabbuh (penyerupaan) dan menjejaskan akidah. Langkah itu diambil selepas larangan hiasan Krismas di kompleks membeli-belah.

Di negara kita, kebebasan apa lagi yang tidak diberikan? Boleh dikatakan tanpa had. Kalau ada kekangan pun, amat sedikit. Itupun ada laporan mengatakan Malaysia berada dalam tangga ke 8 dalam dunia mengekang agama lain.  

Sejak bila kerajaan lakukan? Berdasarkan bukti, bilangan rumah ibarat, NGO, media cetak (akhbar), stesen radio tv, IPT dan banyak lagi, jauh melebihi bilangan apa yang umat Islam ada. Seolah-olah memperlihatkan Perkara 3(1), 8,10,11, 12 (berkaitan Islam),152 (bahasa Melayu), 153 (hak istimewa) yang termaktub dalam perlembagaan, tidak ada ertinya.

Identiti kita sudah tenggelam kerana menghormati hak orang lain, kononnya atas nama hak asasi manusia. Adakah semua ini dihargai? Pendek kata, berilah sebanyak manapun, mereka tetap tidak akan berpuas hati, sehinggalah negara ini menjadi benar-benar menjadi sekular, serta tidak ada ada lagi identiti Melayu atau Islam.

Perhimpunan perpaduan Melayu yang dihadiri oleh PM baru-baru inipun dikecam kerana menggalurkan agenda Melayu. Tidakkah PM ketika menghadiri perayaan di Batu Caves dan Tahun Baharu Cina, turut memberikan jaminan membantu dan menjaga hak bukan Islam? Begitu juga peruntukan RM4 juta kepada 11 buah Sekolah Persendirian Cina oleh kerajaan negeri Sarawak. Kenapa diam?  Apabila mempertahankan hak Melayu dikatakan rasis. Apabila memberikan hak kepada mereka, itu hak, bukan rasis.

Masih teringat, ketika menjadi YDP, PIBG, SMK Bandar Baru Ampang, saya telah usahakan membeli 2 ekor ‘singa’ berjumlah RM10K, bagi membolehkan pelajar-pelajar Cina menjalankan aktiviti kokurikulumnya. Begitu juga peralatan gamelan berjumlah RM20K untuk pelajar Melayu. Saya masih dituduh sebagai Taliban dan rasis. Berhati-hatilah.



Monday, March 02, 2015

Bila sijahil bercakap soal akademik

8:04 AM Posted by RIDHUAN TEE 1 comment


(Sinar Harian, 2 Mac 2015)

Kenyataan Menteri Pendidikan II mengenai sistem pendidikan kita yang mendapat pengikhtirafan dunia, mendapat liputan meluas media sosial ultra kiasu, dengan mempersendakannya. Inilah akibatnya bila sijahil berbicara pasal akademik, di luar kepakaran mereka. Mereka hanya ambil satu dua fakta dan kemudian putar belit. Bahayanya ultra kiasu dalam politik negara.

Misalnya, ultra kiasu memanipulasikan data 135 ribu pelajar asing di IPT, dengan memadamkan fakta lain yang ditimbulkan, seperti bidang yang menjadi tumpuan dan tarikan dunia serta pengikhtirafan yang diberikan.

Ultra kiasu tidak memetik laporan Thomson Reuters 2014, yang mana 4 profesor IPTA yang diiktiraf sebagai antara minda saintifik utama dunia. Profesor tersebut memperoleh kepujian melalui penerbitan artikel terbanyak yang kerap dipetik oleh orang lain.

Dalam bidang perbankan dan kewangan Islam pula, ternyata Malaysia menjadi rujukan dunia. Ramai pensyarah kita yang menjadi buruan. Peliknya ultra kiasu tidak nampak semua itu. Mata hati mereka gelap.

Penting sangatkah mendapat ranking terbaik dunia? Apakah jaminan bahawa pelajar yang keluar dari universiti terbaik dunia boleh menjadi terbaik di alam pekerjaan, berguna kepada agama bangsa dan negara?

Ramai usahawan ultra kiasu yang berjaya di negara ini, tidak mendapat pendidikan di mana-mana universiti, tetapi mereka dikategorikan sebagai kalangan terkaya di negara kita. Kejayaan mereka disebabkan oleh bantuan sistem kerajaan yang sedia ada, yang menyebabkan mereka boleh jadi kaya raya. Begitu juga ahli DUN dan ahli parlimen ultra kiasu, hanya mendapat pendidikan di IPTA dan bersekolah menengah, tetapi dipilih menjadi wakil rakyat. Malah, ada yang ditangkap berjudi. Dari universiti mana pula ultra kiasu ini belajar?

Terbaik atau tidak, biar orang akademik yang bercakap. Pada saya, yang lebih penting, mereka tidak menjadi terlalu ultra kiasu yang anti-establishment. Kiasu itu baik, tetapi bila menjadi ultra, itu bahaya, walaupun mereka lahir dari kalangan 10 universiti terbaik dunia.

Saya amat bimbang dengan mereka kononnya datang dari universiti terbaik dunia, bila kembali berkhidmat di negara, mereka menjadi lebih orang putih dari orang putih atau lebih Cina dari orang di China.  
Jangan terlalu obsess mengejar ranking sehingga terlupa modal insan dan kemahiran insaniah. Apa guna keluar dari universiti terbaik dunia, jika hati mereka kotor. Tidak setia pada negara, malah belot dan membocorkan rahsia negara kepada orang lain.

Apa yang penting pada hari ini pada saya adalah; pertama, kita berjaya melahirkan pelajar yang ada pakej. Baik dalam akademik, professional dan berakhlak mulia. Ramai pelajar universiti terbaik dunia yang kehidupan tidak seperti manusia.

Kedua, jangan terperangkap dengan permainan “politik perniagaan pendidikan” Barat. Semua yang dibuat barat itu betul. Kita masih berada dalam “colonized mind and attitude”. Barat sangat pandai bermain silap mata. Wujudkan ranking, kemudian ubah kriteria dari semasa ke semasa. Kita terhegeh-hegeh mengejar.

Misalnya, permainan SCOPUS dan ISI. Penerbitan  dibayar dengan harga mahal. Siapa yang kaya, penulis atau penerbit? Lebih menyedihkan apabila satu artikel ditulis oleh sebilangan pensyarah sehingga ada yang melebihi 10 orang. Tidak salah, tetapi kurang comel. Ini tidak termasuk yang menenggek.

Ketiga, jangan anaktirikan penerbitan tempatan. Sedih melihat apabila penerbitan tempatan ibarat hidup segan, mati tak mahu. Lebih teruk lagi apabila buku-buku dalam bahasa Melayu dan bahasa Inggeris, yang banyak membuka minda tidak lagi dihargai. Saya ucapkan tahniah kepada UniSZA kerana masih rasional dalam perkara ini.

Keempat, akibat dari terlalu mengejar ranking, pensyarah tidak lagi ikhlas dengan ilmunya. Menulis kerana mengejar status, bila berhadapan dengan khalayak, menjadi kaku dan bisu, tidak down-to-earth. Bila berceramah, khalayak tidur.

Berbeza dengan di barat sendiri, KPI sarjana dinilai kepada sebanyak mana  ilmu dan kepakaran disumbangkan kepada masyarakat.  Sumbangan mereka menulis untuk penerbitan berkala, akhbar, majalah mahupun buku cerita kanak-kanak, amat dihargai, kerana para pensyarah itu dikatakan milik masyarakat.

Maka, tidak hairanlah sarjana yang berada di Barat itu amat rapat hidupnya dengan masyarakat, dihormati kawan dan lawan. Kenapa ia tidak berlaku di sini? Jawapannya kerana terlalu mengejar SCOPUS dan ISI? Hidup macam kera sumbang.

Akhirnya, kita sepatutnya berfikir seperti orang Jepun. Tidak terlalu obses mengejar ranking. Yang penting kita tahu apa yang kita buat. Misalnya, Fakulti Kejuruteraan Automobil, Universiti Tokyo, adalah antara fakulti terbaik dunia, meskipun berada dalam ranking 100 terbaik dunia.  Hal ini sepatutnya boleh berlaku kepada Akademi Pengajian Melayu, UM,  Fakulti Kontemporari Islam, UniSZA dan UKM. Berfikir dan bertindaklah seperti mana orang Jepun, sentiasa memastikan bangsa dan negara mereka dimartabatkan tanpa membunuh jati diri mereka.