Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, January 26, 2015

Bangkitlah wahai umatku

7:25 AM Posted by RIDHUAN TEE 19 comments


Sinar Harian 26.1.14

Dahulu, orang tidak berani banyak bercakap, apatah lagi mencabar perkara berkaitan Islam, Melayu dan Raja, kerana mereka tahu, ianya sangat sensitif. Mereka faham asal-usul sejarah negara ini.

Hari ini, tidak lagi.Semua mereka tidak peduli. Ramai yang menjadi ultra kiasu. Ultra kiasu tahu Melayu hari ini sudah terlalu lemah. Bukan sahaja disebabkan perpecahan yang serius, tetapi ramai orang Melayuliberal sendiriyang akan menyokong tindakan dan bersekongkol dengan mereka.

Jika mereka mahukan LGBT atau perkara yang bertentangan dengan agama dan perlembagaan, pasti akan ada Melayu liberal yang akan bersama mereka. Maka, kesempatan ini perlu diambil sebelum terlambat.

Ada yang dengan mudah, menyalahkan UMNO. Hubungan kaum tegang disebabkan UMNO. Ekonomi gawat kerana UMNO. Perkasa dan Isma wujud disebabkan UMNO. Pendek kata, semuanya  ini berlaku disebabkan oleh UMNO. UMNO jahat. Seolah-olah, bila tiada UMNO, semua akan menjadi baik.

Pada saya, keadaan ini berlaku disebabkan oleh wujudnya sikap atau kumpulan ultra kiasu. Sarawak hari ini kecoh disebabkan oleh ultra kiasu masuk di sana. Peliknya, saya diharamkan, ultra kiasu dibenarkan. Siapakah yang mensensasikan berita Sarawak mahu keluar dari Malaysia, kalau bukan gara-gara ultra kiasu.  

Lebih dahsyat lagi, perkara kecil, yang langsung tiada kaitan dengan cara hidup Islampun turut dicabar. Janganlah dibincang perkara lebih besar seperti syariat Islam, mahkamah syariah dan hudud. Mereka akan tentang bermati-matian. Pendek kata, ultra kiasu telah berjaya mengaburi politik Malaysia.

Misalnya, isu kecil,usaha Kerajaan Negeri Kelantan yang melakukan operasi ke atas golongan pekerja wanita yang tidak mengenakan tudung di bandar Kota Bharu.

Ultra kiasu mendakwa perniagaan orang Cina akan terjejas dengan pemakaian tersebut. Persoalannya, berapa kerat orang Cina ada di Kelantan? Apa yang terjejas? Yang ditutup hanya kepala, bukan diikat tangan dan kaki? Kebersihan terjamin. Paling kurang, rambut tidak gugur ke dalam makanan. Sebab itu, tukang masak, kepalanya ditutup.

Teruja saya dengan kenyataan Puteri Umno menyokong langkah kerajaan Kelantan mewajibkan pekerja wanita memakai tudung. Inilah yang kita mahu lihat, yang baik disokong, sebaliknya yang tidak baik ditentang. Tidak kira datang dari siapa atau parti mana pun.

Berbeza sungguh dengan Thailand, dahulu sehingga ke hari ini tiada siapa berani mengutuk agama Buddha, bangsa Thai, dan Raja Thai. Sabit kesalahan penjara 15 tahun. Kerana apa? Mereka ada will-power.

Bukan itu sahaja, hari Kristmas adalah hari bekerja, bukan cuti umum, walaupun agak ramai juga beragama Kristian di sana. Logiknya, perlulah bercuti, sebagai menghormati agama lain. Tetapi ia tidak berlaku. Tidak pula dituduh ekstrem.

Berbanding kita, setiap perayaan ada cuti, meraikan kepelbagaian. Malah, ada yang mendesak supaya diberikan ditambah bilangan cuti umum, bagi setiap perayaan, walaupun populasinya kurang dari 10 peratus. Pendek kata, mereka mahukan sama rata dan sama rasa.

Dalam apa juga kes, mereka mahukan ada wakil setiap kaum, tanpa mengambil kira bilangan atau populasinya.

Adakah adil namanya, jika ada 6 hakim, maka setiap kaum mesti ada wakil? Jika begitu keadaannya, negara kita ada lebih 100 etnik, adakah kita perlukan 100 hakim.

Jika mengikut formula populasi, sudah tentu 4 Melayu Islam, selebihnya dua, pilihlah mana-mana hakim kalangan bukan Melayu. Jika semua kaum mahu ada wakil, di manakah keadilannya?

Justeru, saya amat musykil, bila mana isu kalimah Allah ini tidak dapat dirayu lagi, golongan ultra kiasu mendakwa, agama minoriti akan ditindas atau dikekang. Berikan bukti, apa kekangan dan penindasan yang berlaku? Apa yang ada hari ini, masih tidak cukupkah? Kita seolah-olah telah memberikan segalanya.

Mana ada bukti dalam dunia, agama (bangsa) yang sangat minoriti, boleh mendapat hak yang begitu banyak kecuali di Malaysia? Rumah ibadat paling banyak? Terbesar? Tertinggi? Ianya hanya berlaku di Malaysia. Hargailah toleransi ini. Inilah hati budi mulia orang Melayu.

Keadilan yang dipraktikkan di sini tidak lagi mengikut formula. Tetapi ikut suka atau memberi sehingga puas.

Janganlah ambil contoh rumah ibadat. Lihatlah stesen radio, tv, akhbar, majalah dan lain-lain. Semua yang lebih adalah bukan Melayu. Ini belum termasuk sektor ekonomi. Akhbar utama Melayu, hanya ada 3, termasuk Sinar Harian. Selebihnya berpuluh akhbar bukan Melayu.

Cuma, umat Islam ada lebih sedikit dalam sektor perkhidmatan awam dan GLC. Itupun semua mahu direbut. Peliknya, sektor polis dan tentera, yang melibatkan risiko nyawa, tidak pulak menjadi rebutan.

Terbaharu, ultra kiasu mendesak sekolah vernakular diberikan status sekolah bestari atau sekolah berprestasi tinggi. Tidak bestari lagikah sekolah mereka, semua kelengkapan lebih dari mencukupi. Selain dari bantuan penuh kerajaan, parti politik dan jutawan mereka turut membantu?

Saya tidak hairan jika suatu hari nanti kerajaan akan menunaikan hasrat itu. Termasuk mengiktiraf sijil sekolah persendirian mereka seperti UEC, walaupun mereka tidak memenuhi kehendak yang ditetapkan oleh kementerian. Saya bukanlah terlalu menentang, status tersebut mungkin boleh diberikan, jika mereka memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Tetapi itu tidak berlaku.  

Kenapa kita tidak mengikut negara-negara lain, seperti Siam, Indonesia, Nyanmar, Vietnam, Britain dan lain-lain negara seluruh dunia? Semua perkara berkaitan pribumi akan didaulatkan, terutama agama dan bahasa bangsa mereka. David Cameron secara jelas mengisytiharkan Britain negara Kristian. Umat Islam di sana akur diam, tidak bercakap banyak. Inilah toleransi.

Bukankah bumi ini sama seperti bumi Siam, asal-usulnya Siam, semua perkara berkaitan dengan Siam didaulatkan. Asal usul bumi adalah bumi Melayu, kenapa Melayu dan Islam tidak terdaulat. Kenapa semua menjadi tunggang-langgang?

Pertama, orang Melayu Islam itu sendiri tidak mahu ke arah itu. Melayu sudah jauh dari ikatan Melayu. Melayu tidak lagi kenal diri Melayu. Melayu sudah jauh dari jati diri. Tidak hairan, jauh dari ikatan agama Islam itu sendiri yang telah mengubah kehidupan mereka selama ini. Bila Melayu menjadi moden, mereka mahu agama turut moden sama, mengikut nafsu mereka.

Dahulu, Melayu ramai yang belajar agama, sekolah missionari, tetapi tidak dengar Melayu bertukar agama. Kerana apa? Kerana Melayu sangat kuat jati diri. Meskipun tidak bertudung.

Hari ini Melayu, ada yang berkurung, tetapi perangainya amat jahil tentang Melayu. Mereka bertindak, lebih orang putih dari orang putih.

Melayu tidak tahu falsafah di sebalik baju kurung atau baju Melayu. Kenapa baju itu dinamakan kurung, mengurung bentuk badan. Kenapa pula lelaki memakai baju Melayu, bersamping pula, menutup penonjolan kemaluan.

Adat, Melayu dan Islam berpisah tiada. Kini, sudah tidak lagi. Ada yang berpandangan, jika berpegang kepada Islam, mereka tidak akan ke mana-mana. Melayu perlu moden dan liberal, baharu boleh maju. Seolah-olah agama Islam ini tidak sesuai dengan zaman moden.

Kedua, cara orang Melayu berpolitik amat merugikan. Mereka terlalu berpolitik. Politik untuk kuasa. Untuk kekalkan kuasa, mereka akan lakukan apa sahaja, termasuk menggadaikan maruah agama, bangsa dan negara. Asalkan dapat berkuasa, kita akan beri apa sahaja, termasuk perkara yang menjadi milik kita. Tanah rezab hilang entah ke mana, sekarang baru nak ganti. Ini belum termasuk pembelian hartanah besar-besaran dari Singapura.

Melayu sanggup korbankan jawatan kabinet, kerusi DUN dan Parlimen untuk memenuhi kepuasan orang lain, walaupun mereka tidak ada majoriti atau menang atas tiket orang Melayu. Apabila mereka sudah dapat, jika mahu diambil semula, memang putih mata. Mereka akan kata, ini tidak adil.

Orang lain belum tentu boleh berbuat demikian. Amat sukar sekali melihat Melayu bertanding kawasan majoriti bukan Melayu. Jika bertandingpun, hilang wang deposit.

Jika mereka tidak rasis, sudah tentu Melayu mudah untuk menang di kawasan majoriti bukan Melayu, tetapi itu tidak berlaku. Bukan Melayu mudah sangat menang di kawasan majoriti Melayu. Malangnya, mereka tidak pernah bersyukur.

Ikut proposi kaum mereka tidak layak dapat kerusi kabinet. Tetapi diberi juga. Inilah hati Melayu yang sukar untuk saya fahami.

Ketiga, sebenarnya orang Melayu terlalu baik. Kebaikan ini dibalas dengan sifat ultra kiasu, bukan dengan pantun yang berbunyi, palau pandan jauh ke tengah, gunung daik bercabang tiga, hancur badan dikandung, budi baik dikenang juga. 

Syarikat GLC yang diketuai Melayu sanggup membuka ruang dan peluang untuk bukan Melayu menyertainya, atas dasar perpaduan dan desakan parti-parti politik.

Pernahkah kita kenakan kuota syarikat bukan Melayu untuk mengambil pekerja Melayu. Kebanyakan yang jika diambil semuanya jadi simbol untuk menarik perhatian pelanggan dan menguntungkan bisnes mereka.

Bank mereka atau syarikat produksi makanan, kerani kaunter semua Melayu, untuk menarik pelanggan Melayu. Ada yang disyaratkan mesti tahu berbahasa mandarin. Paling pahit apabila, ada yang dihalang untuk bersolat jumaat

Jika diambil orang Melayu berpengaruh untuk menjadi pengerusi syarikat itu dan ini, mereka hanya menjadi pak pacak dan diberikan elaun yang tinggi. Kita berada di situ, berasa diri sangat hebat. Wal hal diperalatkan.

Peliknya ultra kiasu tidak dikatakan ekstrem. Saya yang bercakap benar, itulah yang ekstrem.

Akhirnya, saya menyeru kepada orang Melayu Islam, bangkitlah sebelum terlambat. Permainan ultra kiasu ini amat licik. Mereka sudah dapat apa yang sepatutnya mereka dapat, tetapi mereka tidak pernah puas. Maka sasarkan kepada UMNO dan NGO-NGO seperti Perkasa dan Isma, bagi mengaburi mata masyarakat bahawa mereka tidak rasis. Tetapi yang sebenar, mereka yang paling rasis. Mereka yang menjadi punca kepada masalah hari ini. Malangnya, kita terus menjadi mangsa. Apakah kita masih ada masa untuk bangun?

Monday, January 19, 2015

Bila orang putih menjadi ultra kiasu

7:39 AM Posted by RIDHUAN TEE 18 comments


(Sinar Harian, 19.1.15)

Seorang peguam ultra kiasu, bernamakan orang putih, bermata sepet, tidak semena-mena mengkritik JAKIM kerana dikatakan mempromosikan ekstremisme menerusi penyampaian khutbah, setiap kali ketika umat Islam di negara ini menunaikan solat Jumaat. Tidak mustahil selepas ini dia akan menuduh JAKIM pengganas (terroris). Malangnya ada juga ultra kiasu Islam yang menyokong peguam ultra kiasu ini.

Berapa kalikah dia mengikuti atau mendengar khutbah? Tanyalah sesiapapun, terutama orang PAS dan PKR. Mereka akan kata teks khutbah yang disediakan oleh JAKIM atau Majlis/Jabatan Agama Negeri, tidak ummpphh, pro kerajaan atau mengampu, berbanding khutbah mereka yang lebih ‘berkualiti’.

Kenapa tiba-tiba sisepet ultra kiasu ini boleh mengatakan JAKIM promosikan ekstremisme? Berapa dalam pengetahuannya terhadap agama Islam? Pernahkah dia mendengar khutbah negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat?

Jika tidak tahu, mari sini biar saya tunjukkan. Sepet ajar sepet, sayangnya saya tidak ada nama orang putih.  

Ternyata, ultra kiasu ini dan kuncu-kuncunya semakin berani dan kurang ajar mencampuri urusan agama Islam. Sedangkan kita tidak pernah mencampuri urusan mereka. Pernah saya mencadangkan supaya kita menyamar masuk ke gereja dan dengar khutbah mereka pada hari Ahad. Tetapi dikritik ultra kiasu habis-habisan.

Sahabat saya beragama Kristian, selalu melaporkan gereja di Jalan Kelang Lama yang mempromosikan kebencian, kerap kali menjemput paderi dari Singapura.

Khutbahnya bukan sahaja ekstrem, tetapi amat jelas mencabar kedaulatan negara ini. Sejarah negara diputar-belitkan.

Nampaknya sisepet ini amat degil. Jika tahu, ianya sensitif tetapi dengan sengaja melakukannya. Elok juga dia merengkok di penjara. Biar dia tahu langit ini tinggi ke rendah.

Jika ultra kiasu lain di negara ini jenis yang ikhlas, jujur dan tidak licik, sudah tentu ada kalangan mereka yang mengutuk tindakan sisepet putih itu. Ini tidak, kebanyakannya menyokong secara terbuka.

Lihat sahaja komen-komen mereka dalam laman web ultra kiasu. Kerajaan dan JAKIM dikutuk habis-habisan, dengan pelbagai kata-kata kesat dan penghinaan.

Bandingkan jika saya yang melakukan ‘kesalahan’ yang sama, saya fikir dalam laman web atau akhbar ultra kiasu, sudah tentu tidak ada cerita lain lagi. Misalnya, penipuan berita mengatakan saya ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kucing, bila saya dilarang masuk. Sedangkan saya tidak ke sana pun.

Pendek kata, mereka sanggup lakukan apa sahaja bagi mencapai matlamat ultra kiasunya, termasuk melakukan penipuan.

Tahukah ultra kiasu bagaimana prosedur khutbah dibuat? Ada jawatankuasa panel penulis dan penilai. Khutbah tidak dibuat dengan sesuka hati. Antara tajuk-tajuk khutbah JAKIM sepanjang 2 bulan lalu adalah, menjana masyarakat prihatin, Rasulullah teras perpaduan ummah, fitrah insani, mencegah rasuah, memperkasa zakat, kasih Ilahi, agenda memperkasa ummah, membina jati diri Muslim, cabaran membentuk keluarga milinium dan sebagainya. Ekstremkah tajuk-tajuk ini?

Apakah nilaian ekstrem pada kaca mata ultra kiasu? Saya cadang ultra kiasu pergi mendengar khutbah di negeri PR. Bagaimana saban minggu tema tidak lain, iaitu kewajipan melaksanakan hukum Allah untuk mengatasi semua masalah iaitu hudud. Khatibnya semua orang PAS. Peliknya, PKR yang mendengar, menolak hudud.

Saya amat tertarik dengan respon seorang Sarjana Muslim di German, apabila Islam dikaitkan dengan keganasan. Katanya, siapa yang mulakan Perang Dunia I dan II? Siapa yang bunuh 20 juta orang asli di Australia? Siapakah yang mengebomkan Hisroshima dan Nagasaki hingga menjadi padang jarak padang tekukur? Siapakah yang membunuh lebih 100 juta orang India di Amerika Utara? Siapakah yang membunuh 50 juta orang red Indian di Amerika Selatan? Siapakah menghambakan kira-kira 180 juta orang Afrika. Kemudian 88% daripada mereka yang meninggal dunia, telah dibuang ke dalam lautan Atlantik? Adakah semua ini perbuatan umat Islam? TIDAK!

Semua ini kerja orang bukan Islam. Justeru, siapakah sebenar yang ekstrem dan pengganas? Justeru, sebelum menuduh umat Islam, berikan maksud sebenar ekstrem atau pengganas? Bila bukan Islam melaku kejahatan, dikatakan jenayah. Bila orang Islam melakukan perkara yang sama dikatakan pengganas. Kerja gila apakah ini? Kenapa Islam sentiasa dijadikan sasaran?

Jika kerajaan pimpinan orang Islam hari ini ekstrem, sudah lama sisepet dan kuncu ultra kiasunya tidak akan dapat mencari makan di sini.  Mereka tidak akan menjadi kaya-raya. Pernahkah kerajaan ambil sebahagian dari kekayaan itu sebagaimana yang komunis lakukan?

Sama juga, jika JAKIM mempromosi ekstremisme, sudah tentu orang bukan Islam tidur tak lena. Mereka akan dipulaukan dan sebagainya. Tetapi, keadaan berlaku sebalik. Bukan Islam tinggal di kawasan majoriti Melayu hidup dengan aman, tidurnya lena, lebih lena dari umat Islam sendiri.

Sebenarnya, toleransi dan kerjasama umat Islam terhadap bukan Islam amat tinggi nilainya. Maka hargailah, sebelum mereka hilang sabar.

Sunday, January 11, 2015

Banjir dan Program Realiti TV

10:45 PM Posted by RIDHUAN TEE 10 comments


(Sinar Harian 12 Jan 2015)

Ketika negara dilanda musibah banjir, kita mengharapkan seluruh rakyat Malaysia berpadu tenaga, membantu mereka yang memerlukan, atau paling kurang, menzahirkan rasa simpati.

Batal atau tangguh dahulu program atau aktiviti yang tidak mendatangkan faedah. Misalnya, membatalkan sambutan Tahun Baharu 2015, seperti yang dilakukan. Biarkanlah mereka berkenaan sahaja menyambutnya.

Lagipun, saya tidak nampak manfaat menyambutnya, melainkan satu pembaziran dan kemungkaran. Alasannya mudah, setiap bangsa (agama) sudah ada tahun baharu tersendiri. Sambutlah dengan penuh keimanan.

Di Brunei, sambutan tahun baharu langsung tidak dibuat, meskipun tidak dilanda musibah. Cara inilah yang perlu kita pelajari dan ikuti. Bersyukur sebelum musibah melanda. Bukan sebaliknya. Musibah melanda baru insaf. Itupun masih ada yang tidak insaf.

Misalnya, program realiti TV semakin menjadi-jadi ketika rakyat ditimpa musibah. Lebih menjengkelkan ada adegan-adegan hina yang sengaja ditonjolkan bagi mencari publisiti murahan dan kontroversi.

Saya diberitahu, adegan program realiti gegar tv, penyanyi berusia dipeluk oleh dengan pelakon muda di atas pentas, atas alasan dibolehkan, kononnya suami atau isteri masing-masing mengizinkan perilaku hina itu. Begitu juga adegan melamar di atas pentas. Bila ditegur, melenting tak tentu pasal. Budaya apakah ini? Sanggup melakukan apa sahaja bagi mengejar rating. Dosa pahala letak di mana?

Sekadar berkongsi pengalaman sepanjang mengacara program realiti tv. Kita disuruh seru dengan hikmah, atas nama  dakwah. Malangnya krew yang terlibat, majoriti tidak pula diseru untuk sujud dan tunduk kepada Allah. Munafik apakah ini? Barakah apa yang dicari?

Janganlah kita beranggapan oleh kerana musibah banjir tidak melanda stesen tv kita, maka Allah redha apa yang kita lakukan. Sudah sampai masanya kita bertaubat. Bersedialah sebelum musibah datang menimpa. Matlamat asal program realiti tv untuk mencungkil bakat sudah tersasar jauh. Ia tidak lagi bersandarkan kepada asas ilmu dan amar makruf nahi mungkar.

Lebih menyedihkan program realiti agama, mencari pendakwah  versatil. Sepatutnya peserta dinilai dari segi ketinggian ilmu yang dimiliki. Bukan soal kebolehan menyanyi atau melawak. Kesihan para peserta dipaksa menyanyi dan melawak untuk mengejar rating.

Akhirnya, ketika uji bakat, prioriti ilmu diketepi. Kebolehan menyanyi dan melawak itulah yang dicari. Begitu juga dengan pemilihan juri. Ada juri yang baru setahun jagung menceburi bidang dakwah, yang dipertikaikan dari segi kredibilitinya, diberikan mandat menjadi juri.

Komen juri ini seolah-olah dia pakar dalam pengucapan awam atau public speaking. Tidak terdengar sepatahpun ilmu asas pengucapan awam, seperti athos, pathos dan logos (3os) ketika memberikan komen.

Carilah makna 3os ini. Sesuaikan melalui pendekatan dakwah Rasulullah SAW. Tidak kurang yang syok sendiri memberi komen, seolah-olah pengucapan awam mereka begitu baik sekali, wal hal banyak yang masih perlu diperbaiki.  

Misalnya, komen seorang juri yang kononnya pakar dalam bidang tajwid. Ini belum termasuk pandangan kontroversinya mengenai Bani Tamim dari kalangan orang Melayu dan menghalalkan darah Ikhwanul Muslimin Mesir. Lagak komennya mengalahkan pakar bidang pengucapan awam.

Apakah matlamat sebenar realiti tv? Mengundang barakah atau musibah? Sehingga mereka yang sudah tidak bergigipun dipertandingkan? Ini belum termasuk yang belum bersunat?

Nasihat saya kepada mereka yang masih lagi leka dengan musibah ini. Pertama, jangan undang murka Allah. Kurangkanlah program realiti tv bersifat merosakkan. Jangan selalu berfikir kontroversi dan sensasi itu baik. Suka di sisi kita, belum tentu Allah suka.

Kedua, letakkan ilmu di tempat yang tinggi dalam menjayakan program realiti tv. Fathi Yakan berpesan, kebersihan jiwa dan rohani perlu diberi perhatian. Sentiasa ikhlas dan mengingati Allah. Keilmuannya harus mantap ukhrawi dan duniawi.

Ketiga, pendakwah katanya mesti ada keupayaan untuk menganalisis persekitaran dengan menggarapkan ilmu pengetahuan dan maklumat yang sedia ada, berpandukan kepada Al-Quran dan As-Sunnah.

Keempat, pendakwah perlu mengetahui kekuatan dan kelemahan yang ada pada dirinya sendiri. Jika tidak boleh menyanyi, tidak perlu paksakan diri.

Kelima, pendakwah perlu menjadi teladan yang baik (al-Qudwatul Hasanah). Pengalaman merempit tidak bermakna kita boleh menarik mat rempit.

Keenam, pendakwah perlu mempunyai pandangan yang tajam, tidak mempunyai sikap teragak-agak, kabur, resah dan tidak tegas. Tanya lain, jawab lain.

Ketujuh, pendakwah perlu mempunyai kemahuan yang kuat. Daya Tarikan yang tidak melampau.

Kelapan, pendakwah perlu melaksanakan amar makruf nahi munkar. Pemimpin realiti tv perlu melarang ahli-ahlinya daripada melakukan maksiat.

Hassan al-Banna berkata: “Jadilah kamu ketika (menyeru) manusia seperti pokok buah-buahan; mereka membalingnya dengan batu dan dia menggugurkan buah kepada mereka”.

Ini belum termasuk kontroversi penaja rancangan yang mempromosikan air jampi. Jika begitulah mujarabnya, bawa sahaja ke penjara, minta banduan minum, selepas itu, bukanlah pintu penjara, agar mereka keluar menjadi baik.  

Monday, January 05, 2015

Pinggan tak retak, nasi tak dingin

10:13 AM Posted by RIDHUAN TEE 10 comments
(Sinar Harian 5 Jan 2015)

Keputusan terburu-buru kerajaan negeri Sarawak melarang saya memasuki bumi kenyalang ini sudah tentu amat mengecewakan, juga merugikan. Sebelum ini, saya bebas sahaja memberikan ceramah di sana. Kebanyakannya atas jemputan masjid, majlis daerah dan wakil rakyat.

Saya adalah saya, dulu sampai sekarang. Boleh tanya kepada penduduk Sarawak yang mengikut ceramah selama ini, adakah saya menanamkan politik kebencian antara kaum, semangat ekstremis dan apa jua konotasi yang negatif?  Jawapannya, saya pasti, TIADA. Kebanyakan berpuas hati dengan ceramah saya. Kita amat profesional dan menghormati budaya dan sensitiviti setempat. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak.

Kita adalah pendakwah, sampaikan walau satu ayat, bukan berpolitik seperti ahli politik. Bermuka-muka. Cakap lain, buat lain. Setiap kali saya ke Sarawak (Sabah), saya banyak menekankan soal meraikan kepelbagaian dalam Islam.

Islam tidak beranak di kawasan orang Islam. Tetapi lahir dan berkembang di kawasan orang bukan Islam. Bermula dari seorang, Nabi Muhammad SAW yang membawa Islam, berkembang hebat, sehingga seluruh Tanah Arab menerima Islam, sehinggalah ke seluruh dunia hari ini.

Jika Islam menanamkan politik kebencian atau melakukan kekerasan, sudah tentu bukan Islam tidak akan memeluk Islam. Islam tidak akan berkembang. Tetapi, hakikat berlaku sebaliknya. Hikmah, kelembutan, keamanan dan contoh teladan, menjadikan bukan Islam tertarik dan seterusnya memeluk Islam. Terkini, aktor kacak barat, Liam Neeson, dikhabarkan akan memeluk Islam, meninggal agama Katholiknya. Alhamdulillah.

Hingga ke hari ini, walaupun agama Islam, hanya baharu lebih kurang 1400 tahun, penganutkan sudah mencecah 2 billion, nombor dua populasi terbesar dunia selepas Kristian (2000 tahun), begitu juga agama lain yang telah wujud lebih dari 3000 tahun.

Pendek kata, Islam adalah agama yang termuda, selepas Kristian. Apakah Islam boleh sampai ke tahap ini jika mengambil pendekatan bermusuh dan membenci? Semua ini saya faham dengan jelas.  

Inilah intipati setiap kali saya berceramah di Sarawak mahupun Sabah. Juga, setiap kali saya memberikan syarahan kepada pelajar, saya selalu mengambil contoh Sabah dan Sarawak sebagai model 1Malaysia.

1Malaysia sudah lama dipraktiskan di sana, berbanding Semenanjung, yang walaupun hanya ada 3 etnik terbesar, Melayu Cina dan India, asyik bertikam lidah, tidak pernah habis, hanya kerana politik. Keharmonian Sabah Sarawak jauh lebih baik, meskipun parti politik mereka berasaskan kaum begitu banyak.  

Apapun saya terima dengan hati terbuka keputusan kerajaan negeri. Saya tidak rugi apa-apa pun jika tidak ke negeri tersebut. Banyak negeri lain yang sudi menerima dan boleh kita menyumbang.

Cuma saya amat terkilan tindakan terburu-buru. Sekurang-kurang rujuklah kerajaan pusat terlebih dahulu sama ada saya ekstrem atau tidak. Namun demikian,  saya akui Sabah Sarawak memiliki kuasa imigresen sepenuhnya, merujuk perkara 18 dan 20, selepas kemasukan ke dalam Malaysia 1963.

Keputusan ini adalah keputusan politik. Saya adalah mangsa. Terus terang, saya agak marahn dengan kenyataan menteri mudanya dan orang pejabat Ketua Menteri.

Jika tidak benarkan saya masuk, tidak mengapa, pinggan tak retak, nasi tak dingin, kau tak nak, aku pun tak ingin. Tetapi tidak perlu mengeluarkan kenyataan seperti mengaitkan saya dengan budaya politik ekstrem Semenanjung. Kenapa perlu babitkan Semenanjung. Ia tidak baik untuk pembangunan politik bernegara.

Kami, di Semenanjung tidak seburuk yang saudara semua sangkakan. Kami tahu membezakan antara baik dan buruk, sebab kami bukan ultra kiasu. Ya, tidak dinafikan ada yang ekstrem. Tetapi mengeluarkan kenyataan umum sedemikian, bukan ciri seorang negarawan.

Mungkin mereka terlepas pandang, saya sebagai seorang pendakwah dan pada masa sama saya juga adalah pensyarah yang mengkhusus dalam bidang sains politik dan kerajaan. Saya bercakap dan menulis mengikut bidang.

Menjadi hak saya sebagai pakar, memberikan input-input dan ulasan politik  semasa, dalam sebuah negara mengamalkan demokrasi berparlimen. Sebab itu, saya tidak disukai dan menjadi mangsa sekumpulan ahli politik yang pandai mengaburi mata rakyat mengatakan mereka mewakili semua kaum dan menyeru kepada perpaduan.

Kenapa kita begitu bersikap tertutup? Kenapa kita mendengar sebelah pihak sahaja, terutama PKR dan DAP? Ceramah saya di Sematan adalah berkaitan Maulid Nabi. Jika saya menanamkan politik ekstrem, yang mula-mula akan ban saya adalah kerajaan pusat di sini. Tetapi saya masih bebas keluar masuk TV. Jadi, apa masalahnya?

Sudah sampai masanya kita perlu matang. Jika beginilah sikap dan perangai pemimpin muda Sarawak dalam berpolitik, tidak mustahil suatu masa nanti Sarawak akan terlepas kepada tangan pembangkang.

Untuk mengetahui saya esktrem atau tidak, sudilah kiranya, melayari you tube yang telah diuploadkan oleh bekas pelajar saya ketika membuat assignment Hubungan Etnik, https://www.youtube.com/watch?v=-XN3ISZvoxU.