Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, December 24, 2012

Antara kucing dan anjing

9:33 PM Posted by RIDHUAN TEE 30 comments
(Sinar Harian 24 Dis 2012)

Sebagai seorang Muslim, saya amat bersetuju dengan tindakan kerajaan PAS Kelantan berhubung polisi mengasingkan lelaki dan perempuan dalam isu salon rambut. Molek benar, lelaki menggunting atau mencuci rambut lelaki, begitulah sebaliknya, atas alasan mereka sejenis. Tidak batal air sembahyang. Jika inginkan lebih kelembutan, carilah lelaki lembut, tetapi bukan wanita. Biarlah wanita berurusan dengan wanita. Saya fikir ajaran agama lain pun mahukan sebegitu. Tanyalah kaum wanita. Dalam hati mereka sudah tentu ada sedikit perasaan cemburu jika yang memegang atau mencuci rambut atau badan suami mereka adalah wanita. Jika wanita perlu mereka yang sedikit ganas untuk mencuci rambut, maka carilah ‘tomboy’. Dalam maksud, dalam dunia ini kita sentiasa ada pilihan yang terbaik, sebelum mencari yang kurang baik atau bersubahat. Begitu juga lelaki, sanggupkah melihat isteri kita dipegang oleh lelaki.

Bukti-bukti telah menunjukkan apabila lelaki dibiarkan bergaul atau bercampur bebas,, tendensi untuk berlakunya maksiat adalah besar. Misalnya, rumah urut, Spa dan sebagainya. Mula-mula mengurut kaki. Selepas itu, lain pulak yang diurutnya. Maka berlaku perbuatan yang tidak diingini. Sebab itulah, Islam mengingatkan kita supaya menjauhi zina. Ini juga ajaran semua agama. Cuma Islam lebih menonjolkan kerana Islam mahu menyelamatkan maruah manusia sebelum hancur.

Justeru, saya agak teruja membaca berita pada 24 November lalu, apabila kira-kira 80,000 penganut Buddha yang dipimpin Pengasas Kuil Fo Guang Shan di Taiwan, Master Hsing Yun berkumpul di Stadium Shah Alam, bagi menggalakkan gaya hidup harmoni. Hsing Yun,  mengingatkan penganutnya agar mengamalkan nilai-nilai murni, menerapkan kasih sayang dan melakukan kebaikan. Penganut ajaran Buddha harus mematuhi peraturan yakni tidak melakukan kejahatan seperti berbohong, mencuri, pembunuhan dan kesalahan seksual. Jika mereka mengikut ajaran Buddha, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang berdisiplin dan kukuh perpaduannya. Pendek kata, semua ajaran mahu menjaga martabat dan maruah penganutnya.

Di sinilah PAS perlu melakukan penegasan dalam setiap polisi yang ingin dilaksanakan. Jangan gentar atau goyah apabila diserang oleh ultra kiasu. Jangan jadi seperti kucing dan anjing apabila berhadapan dengan ultra kiasu. Lumrahnya, anjing sentiasa menang, yang kucing sentiasa kalah dan mengalah.

Rakan laman muka buku saya, bernama Haji Mansuh mengatakan ungkapan persahabatan PAS dan ultra kiasu ibarat persahabatan antara anjing dengan kucing. Juga disebut dalam pepatah Melayu. Siapa mereka, lu fikirlah sendiri. Hari ini, anjing garang itu berjaya menjinakkan kucing. Jika dahulu, kucing begitu berani mencakar apabila anjing melakukan kesilapan, walaupun saiz badannya kecil. Kini, tidak lagi. Kucing ini tidak lagi mempunyai kuku, walau pun penampilannya masih bermisai, berjanggut dan bermata garang, seperti dahulu kala, sewaktu kucing itu belum berkawan dengan anjing.

Haji Mansuh turut menimbulkan persoalan, antara anjing dengan kucing, siapa yang lebih bijak? Analoginya sebegini. Sebagai pemandu kenderaan berenjin, kita tentu biasa terserempak dengan keadaan dilema anjing dan kucing ketika hendak melintas jalan. Amat nyata perbedaan tahap IQ diantara dua spesis haiwan ini. Anjing, bila dia tersedar ada kenderaan mendatang, dia akan berpatah balik ke bahu jalan sambil menoleh ke kiri dan ke kanan, untuk mengawasi keadaan yang selamat sebelum melintas. Bila keadaan dah selamat barulah anjing itu berlari melintas  jalan.

Berbeza dengan senario kucing, bila tersedar ada kenderaan mendatang, ia akan memecut semahu-mahunya untuk melintas jalan, dengan ‘doa’ moga terselamat. Atau, oleh kerana  terkejut beruk, kucing akan merendahkan diri, dalam keadaan seolah-olah bersedia untuk menerkam musuh yang sedang meluru ke arahnya. Bayangkan…apakah akan terjadi kepada nasib kucing. Jawapannya: Kadang-kadang kucing itu terselamat. Namun, kebiasaannya kucing menggelupur menemui ajal di atas jalan raya.

Saya tidak nafikan kadangkala anjing ada yang mati juga di jalan raya, tetapi, rata-ratanya adalah kucing. Sebenarnya, kedua-dua binatang ada kekuatan masing-masing. Kucing adalah kesayangan Nabi dan kita semua. Manakala, anjing amat berguna untuk menjaga keselamatan, walaupun bernajis.

Kata Haji Mansuh lagi, pelik tapi benar: Saya tak rasa nak marah bila orang panggil saya anjing, tetapi saya rasa lekeh sangat bila orang panggil saya kucing. Saya tak tahu kenapa, tapi mungkin para pengikut-pengikut kucing boleh membantu saya. Dahulu PAS dan ultra kiasu ibarat kucing dengan anjing, tidak boleh bersama dalam satu sangkar. Namun, kita segalanya berubah. PAS dan ultra kiasu boleh duduk, tidur, makan dan minum dalam satu sangkar. Dahulu mereka ini tidak boleh tinggal sekandang. Tetapi kini, bukan sahaja sekandang, mereka boleh berpeluk-peluk lebih erat daripada saudara sebangsa dan seagamanya. Apakah saudara sebangsa dan seagamanya itu, begitu hina berbanding dengan yang tidak seagama.

Cuma saya nak ingatkan, Anjing tetap anjing sampai bila-bilapun. Anjing tidak akan pernah cuba menjadi kucing, tapi kucing tidak pernah serik walaupun kerap kali anjing telah menggigit dan mencakarnya. Malangnya, kucing tetap mencuba sehabis daya untuk bermanja dengan anjing.  Kucing masih mahu menumpang tuah anjing.

Kita tidak perlu menjadi anjing untuk menjadi kuat. Lagipun anjing termasuk dalam najis berat. Biarlah kekal menjadi kucing asalkan berpendirian. Lagipun kucing banyak kelebihan, ia manja, cantik, menarik dan tidak seganas anjing. Sebab itu dakwah kucing mudah berjalan atas sifat-sifatnya itu. Maka tidak hairan Nabi amat sayangkan kucing.

Itu bukan bermakna kita perlu memusuhi atau membunuh anjing. Kerana pernah berlaku dalam satu kisah, seorang pelacur masuk syurga, hanya kerana pertolongannya kepada anjing yang begitu kehausan.

Tidak mengapalah mahu menjadi anjing atau kucing kerana kedua-duanya adalah makhluk Allah. Apa yang penting kita mesti tahu siapa diri kita sebenar. Untuk apa kita ciptakan. Apakah matlamat akhirnya kehidupan? Jika kucing dan anjing sedar diri dan tahu fungsi masing-masing, InsyaAllah kita selamat. Apa yang penting tetapkan pendirian. Jangan mudah goyang atau goyah apabila diserang. Kecilnya saiz kucing bukan bermakna kita lemah. Pendirian kita, kita tidak akan menyerang jika tidak serang, tetapi kita tidak akan menyerang tanpa tentangan.

Monday, December 17, 2012

Politik angka yang menjijikkan

7:57 AM Posted by RIDHUAN TEE 33 comments


(Sinar Harian 17 Disember 2012)

Pemimpin India dari PKR mendakwa lebih 300,000 kaum India yang tinggal di negara ini tiada dokumen pengenalan diri atau tiada status warganegara. Melihat kepada angka tersebut, jelas bermotif politik atau politik desperado, kecuali dibuktikan satu-persatu. Jikapun ada kebenaran, apakah kumpulan perlu benar-benar hidup sebagai warganegara yang menjunjung perlembagaan.

Hujah ini dinafikan oleh Menteri Dalam Negeri. Hanya 308 permohonan diterima. 280 permohonan untuk kad pengenalan merah dan bukan untuk kewarganegaraan.

Angka ini lebih kurang sama dengan sekumpulan kecil yang berdemonstrasi di pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya pada 12 Disember 2012, walaupun mereka menjangkakan ribuan yang akan menyertainya.

Sebelum itu, satu lagi politik angka yang menjijikkan, bila mana Dong Zong berdemonstrasi pada 25 Disember 2012 di Petaling Jaya sebagai bantahan kepada Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2015. Dalam laporan laman web ultra kiasu, malaysiakini versi bahasa Melayu lebih 6000 hadir dalam protes tersebut. Dalam versi bahasa Inggeris pula 10,000. Manakala akhbar the Sun melaporkan sekitar 3000. Angka mana yang betul? Marginnya begitu besar, hampir separuh. Melihat pada gambar, tidak sampai 3000. Lihatlah bagaimana liciknya mereka memanipulasikan angka bagi menonjolkan mereka hebat.

Dalam tradisi Cina dan India, angka membawa makna dan signifikan. Maka, hairanlah jika ramai yang berkahwin pada tahun ini (tahun naga) dan tanggal 12.12.12. Ada yang sanggup melakukan kelahiran secara paksaan, hubungan seks dan sebagainya, hanya kerana angka. Lebih malang lagi ada kalangan umat Islam pun mempercayainya.

Kenapa angka ini penting ditonjolkan? Percayakah kita kepada angka? Jawapannya, angka mempunyai kaitan dengan ultra kiasu. Istilah yang sekian lama saya gunakan merujuk kepada golongan yang sentiasa mahu menang, tanpa mahu mengalah sedikitpun, untuk mencapai matlamat, walaupun terpaksa menghalalkan cara. Mendesak dan menuntut menggunakan angka.

Apatah lagi mereka tahu Umno BN dalam keadaan tersepit. Politik angka digunakan, bagi memastikan matlamat mereka tercapai, walaupun tanpa bukti. Inilah yang berlaku dalam dua demonstrasi ultra kiasu tersebut, walaupun mereka tahu, tuntutan dan desakan telah dipenuhi.  

Misalnya, sebelum PPPM ini dibentang, pelbagai pandangan telah diambil kira, termasuk jemputan kepada Dong Zong. Tetapi badan ini menolak pintu perbincangan tersebut. Sejurus sahaja apabila dibentangkan, apa yang terkandung dalam PPPM semuanya menjadi tidak betul dan mereka mengambil keputusan berdemonstrasi walaupun ditentang oleh NGO Cina yang lain, termasuk rakan sekutunya Jiao Zong.

Sesiapapun yang membaca PPPM, nampak begitu telus dan terbuka, begitu meraikan bangsa lain, walaupun bangsa sendiri identitinya entah ke mana. Ia tidak langsung meminggirkan pendidikan bahasa Cina dan Tamil. Kerajaan bertindak adil terhadap semua jenis sekolah dan mahu meningkat kualiti pendidikan di semua aliran, kecuali sekolah menengah persendirian Cina yang mengelolakan Sijil Peperiksaan Bersepadu  (UEC).

Ultra kiasu menolak PPPM hanya kerana ada sedikit agenda untuk memandaikan anak-anak mereka dalam bahasa Melayu setelah sekian lama tinggal di sini. Ultra kiasu menolak atas alasan ia menjejaskan kepentingan bahasa Cina.

Pendek kata, jika ada tindakan mendaulatkan agenda negara, maka dikatakan gugatan kepada agenda bangsa dan bahasa mereka. Sedangkan SJKC/T terus bertambah dari tahun ke tahun, bersekali dengan peruntukannya.

Untuk makluman, kewujudan SJKC/T dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen 28) dan ini dikukuhkan dengan penyataan di dalam PPPM, Bab 7 muka surat 7 hingga 16. Apa lagi sebenarnya yang dikehendaki oleh ultra kiasu jika bukan untuk menonjolkan bangsa dan bahasa mereka? Malah kepimpinan negara telah menyatakan, Malaysia  adalah satu-satunya negara di luar negeri China mempunyai pendidikan sebegini. Operasinya ternyata menenggelamkan agenda kebangsaan. Kita terus bertolak ansur demi kuasa politik.  

PPPM 2013-2015 juga mahu memastikan setiap murid di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan yang sama. Pernahkah ultra kiasu melihat berapa daifnya sekolah agama dan kedudukan maahad tahfiz? Kenapa langsung tidak pernah bersyukur?  

Menurut Kementerian Pelajaran (KPM), pertambahan masa pembelajaran Bahasa Malaysia ke 570 minit seminggu yang dikatakan boleh menjejaskan bahasa ibunda, hanya untuk murid kelas pemulihan di tahap 2, SJKC yang lemah dalam penguasaan Bahasa Melayu (30 peratus sahaja). Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) telah dilaksanakan secara berperingkat mulai tahun 2011 bermula dengan Tahun 1, pada tahun 2014 kohort murid Tahun 1 2011 akan berada di tahun 4 (Tahap 2 KSSR). Pertambahan masa Bahasa Malaysia di SJKC bagi Tahap 1 ialah daripada 270 minit kepada 300 minit manakala bagi Tahap 2 pula ialah daripada 180 minit kepada 270 minit. Perbezaan ini harus dilihat dalam konteks dua sistem yang berbeza iaitu peruntukan masa bagi tahap 2, 180 minit bagi KBSR dan 270 minit bagi KSSR.

Jelas KPM lagi, pertambahan kelas pemulihan sehingga lima jam seminggu atau 300 minit adalah tidak diwajibkan kepada semua murid SJKC kecuali yang memerlukan sokongan kelas pemulihan sahaja. Pertambahan waktu Bahasa Melayu bagi Tahun 4 hingga 6 sebenarnya ialah daripada 180 minit kepada 270 minit. Pertambahan masa satu jam sehari adalah untuk mempertingkatkan penguasaan Bahasa Melayu bagi murid yang dikenal pasti tidak menguasai tahap minimum penguasaan bahasa Melayu di Tahun 4 hingga 6 di SJKC/T.

KPM berpandangan adalah lebih baik murid-murid yang belum menguasai bahasa ini dikenal pasti lebih awal di tahun 4, 5 dan 6. Dengan adanya sesi pemulihan selama satu jam setiap hari kepada mereka yang tidak menguasai tahap minimum, dapat membantu mereka menguasai bahasa Melayu sebelum tamat pengajian di peringkat sekolah rendah.

Pertanyaan saya, untuk siapakah sebenarnya yang beruntung daripada PPPM ini? Saya amat mengharapkan kerajaan tidak akan tunduk dengan politik angka yang menjijikkan. Ia sengaja ditonjolkan untuk memenuhi nafsu serakah ultra kiasu yang mahu menenggelamkan identiti negara bangsa ini.

Monday, December 10, 2012

Pilihan raya kampus dan Pemuda Umno

8:32 AM Posted by RIDHUAN TEE 22 comments


(Sinar Harian 10 Dis 2012)

Selaku bekas pimpinan pelajar, ucapan ketua pemuda Umno yang mengatakan kejayaan kumpulan pro aspirasi dalam pilihan raya kampus menandakan sokongan orang muda kepada Umno Barisan Nasional agak sukar juga untuk diterima, walaupun ada sedikit fakta.

Sesiapapun yang mempunyai pengalaman memimpin persatuan mahasiswa, pilihan raya kampus bukanlah medan sebenar untuk menguji kekuatan sesebuah parti politik. Pilihan raya kampus adalah tempat latihan kepimpinan pelajar. Tempat pelajar belajar memimpin diri dan persatuan. Itupun mereka dikawal oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Mereka tidak boleh sewenang-wenangnya bertindak untuk menyuarakan sokongan terhadap sesebuah parti politik, terutamanya pembangkang. Tindakan akan dikenakan. Bermakna, jika pelajar diam, tidak bermakna mereka menyokong Umno Barisan Nasional.

Selain itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) belum tentu dapat mengawal ratusan persatuan lain yang bernaung di bawahnya. Persatuan-persatuan ini kadangkala lebih berpengaruh daripada MPP. Kewujudan MPP, kadang-kadang seperti tiada. Suara mereka jarang kedengaran dalam memperjuangkan isu-isu nasional.

Memang tidak dinafikan ada pengaruh parti politik luar seperti Umno dan Pas. Misalnya, Persatuan Mahasiswa Islam (Pengajian Islam), pro Pas. Manakala, Persatuan Mahasiswa (Sastera) pro Umno. Begitu juga dengan persatuan lain yang bersifat lebih ‘lokal’ seperti persatuan fakulti, jabatan, bahasa, anak negeri dan sebagainya. Tidak perlulah dibincangkan pro kepada parti politik mana. Pada saya, persatuan-persatuan ini sepatutnya yang didekati kerana ia bersifat dalaman, ada sentuhan hati (kefalkutian atau kenegerian) atau down-to-earth. Isu ini nampak kecil, tetapi impaknya besar. Saya harap semua faham.

Namun, seperti yang saya sebut, menguasai MPP, bukanlah petanda sebenar menguji kekuatan parti. Pelajar, kadangkala naik muak apabila bila ada campurtangan politik dalam kampus. Tidakkah mereka perlu diberikan sedikit kebebasan untuk bersuara seperti mana pindaan AUKU yang telah dibuat, yang lebih memahami aspirasi pelajar. Saya harap itulah yang akan berlaku.

Sebagai ingatan kepada yang ingin mempengaruhi pelajar, sosialisasi politik pelajar itu yang lebih dominan lebih penting untuk ditangani dan didekati. Sarjana-sarjana dalam bidang ini telah membuktikan. Pengaruh kampus tidaklah sehebat pengaruh ibu bapa dan sekolah yang mendidik mereka sejak kecil. Mereka sudah ada pendirian apabila masuk ke kampus kerana telah dewasa.

Jika ingin memenangi hati mahasiswa, kita hendaklah mulakan dengan memenangi hati ibu  bapa atau keluarga pelajar. Begitu juga dengan guru-guru di sekolah. Bukti-bukti menunjukkan anak-anak lebih terpengaruh dengan apa yang berlaku dalam keluarga dan sekolah mereka. Biasanya, ibu bapa (guru) pro Umno (Pas), anak-anak (murid) biasanya sebegitu, walaupun tidak dinafikan sebaliknya ada berlaku. Tetapi lumrahnya itulah yang berlaku.

Sebab itu, kadangkala persepsi atau tindakan pelajar tersebut berubah apabila keluar dari alam kampus. Kerana apa? Saya mohon pemuda Umno mencari jawapannya. Ramai kawan saya dulunya Umno semasa kampus telah menjadi Pas, sebaliknya, Pas menjadi Umno, tetapi tidak ramai. Pelajar Cina usahlah dicerita, kerana sebahagian besarnya ultra kiasu.
   
Jika pemuda Umno mahu juga masuk ke kampus dan mencari kekuatan sebagai langkah tambahan, apa yang perlu dilakukan ialah untuk memenangi hati mahasiswa (rakyat). Turun ke padang. Dekati mahasiswa dengan ilmu penuh di dada dan akhlak memikat. Berikan input-input yang boleh menjadikan mereka orang hebat, bukannya orang Umno. Saya amat yakin, jika Umno berada di landasan yang benar, pasti mahasiswa akan bersama Umno.

Kadangkala apabila kita berceramah kita terlalu boleh berceramah sekadar laungan hidup Melayu, hidup Umno. Terlalu dogmatik. Pengisian rohani kurang. Jiwa pelajar menjadi kosong. Inilah juga ingatan saya kepada Biro Tata Negara (BTN). Justeru, saya puji bila BTN mula menerbitkan bahan-bahan bersifat ilmiah daripada cendekiawan dan ilmuan tersohor.

Kedua, Pemuda Umno hendaklah mengurangkan program berhibur dan jaga batas pergaulan antara lelaki dan perempuan. Banyakkan program yang dapat memenuhi keperluan jasmani dan rohani. Dekatkan pelajar dengan bersama mereka di masjid dan surau. Hiduplah seperti orang ‘kampung’, walaupun kita orang bandar. Sudah sampai masa kita memikirkan untuk melahirkan leader of character, yang menjadi tagline Universiti Pertahanan Nasional Malaysia. Saya akan huraikan dalam artikel akan datang.

Ingatlah, kekuatan pemuda terletak kepada kekuatan akhlak, minda dan strategi mereka. Penuhi ilmu di dada. Pemuda perlu belajar banyak kemahiran yang bersifat down-to-earth. Boleh memimpin dalam segenap segi. Misalnya, pemuda perlu ada ada skil untuk menjadi imam. Jangan hanya muncul ketika majlis kematian dan menghulurkan derma. Hari ini rakyat tidak lagi boleh dibeli dengan wang ringgit.

Zaman berlagak dengan kekayaan sudah berakhir. Kadangkala memualkan melihat mereka bergaya berlagak tak tentu pasal dengan kereta mewah datang ke kampus atau masuk ke kampung. Zaman ini adalah zaman untuk bekerja membangun umat Islam dan parti. Yakinlah jika umat Islam terdarjat, pasti parti akan selamat. Jika umat merempat, riwayat parti akan tamat.

Kenapa hari ini Pemuda Pas lebih mendapat tempat? Kerana orang Pas boleh dikatakan ‘serba boleh’ dan down-to-earth. Walaupun mereka berlatar belakangkan professional, jurutera atau arkitek atau jurusan sains sosial, ceramah mereka berisi, mereka boleh jadi imam, bacaan Quran mereka mantap dan berbagai lagi kelebihan mereka.

Contoh, bekas pemimpin Pas atau Presiden Jati, Dato Dr. Hasan Ali. Beliau adalah bidang  perancang bandar. Apa yang beliau tidak boleh lakukan oleh orang agama. Beliau motivator yang baik. Bercakap dengan sandaran Quran dan hadis. Boleh menjadi khatib, imam dan sebagainya. Ciri-ciri inilah yang perlu ada pada pemuda Umno. Jangan terlalu berlagak dengan ijazah Oxford dan Cambridge. Universiti ini tidak akan membawa kita ke mana-mana. Sekadar bercakap accent orang putih, itu bukan tanda aras menunjukkan kita hebat. Kelayakan ini tidak akan membawa kita ke syurga.

Begitu juga sifat ghairah untuk menjadi pemimpin bagi mengaut projek-projek kerajaan. Zaman seperti ini sudah berakhir. Rakyat sudah mula membuka mata. Jika kita masih tidak sedar. Pasti kita akan hancur. Justeru, janganlah terlalu bermimpi dengan kemenangan pro aspirasi di kampus menandakan bahawa pemuda telah kuat. Banyak faktor lain yang perlu disedari.

Monday, December 03, 2012

Jangan tunduk kepada tekanan

7:04 AM Posted by RIDHUAN TEE 27 comments


(Sinar Harian 3 Dis 2012)

Membaca hasil kajian bersama badan antarabangsa, berpusat di United Kingdom, Equal Rights Trust (ERT) bersama Tenaganita, yang mengatakan kewujudan Perkara  89 (Tanah Simpanan Melayu) dan 153 (Hak Istimewa Melayu dan Bumiputera) Perlembagaan Persekutuan, adalah punca utama diskriminasi kaum dan masalah utama negara ini, atas “Washing the Tigers: Addressing Discrimination and Inequality in Malaysia” amatlah menjelekkan.

Selain perkara 89 dan 153, kajian ini juga turut mempersoalkan beberapa Perkara lain seperti 5(4), 8(2), 9, 10, 11, 12(1), 14, 15, 24, 26 dan 161. Semua perkara ini berkaitan dengan kebebasan, kesamaan dan keadilan. Mereka mahu negara kita mengikut cara hidup mereka yang kononnya mempraktikkan perkara tersebut, tanpa mengambil kira sejarah perlembagaan dan makna keadilan yang sebenar.

Lebih berani lagi, mereka mencadangkan supaya kerajaan Malaysia menghapuskan atau memansuhkan Perkara tersebut, bagi mengelakkan diskriminasi berasaskan etnik. Peruntukan itu juga katanya bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.

Pelik sungguh, kenapa mereka begitu risau dengan perlindungan ini sedangkan ia langsung tidak menghalang hak bukan Melayu dan bukan Islam? Apa tujuan mereka sebenar? Kenapa fokusnya Melayu dan Islam di Malaysia? Bukannya negara-negara lain yang tidak kurang diskriminasinya. Jangan pergi jauh, lihat sahaja negara yang mana umat Islam menjadi  minoriti seperti di China, Filipina, Thailand, Singapura, Perancis, malah di Britian sendiri. Adakah tidak wujud diskriminasi terhadap minoriti?

Pendek kata, diskriminasi di kalangan minoriti adalah sesuatu perkara biasa di mana-mana negara yang bangsa majoriti yang memerintah. Tidak perlu ditonjolkan seolah-olah apa yang berlaku di negara ini terlalu tenat. Pada saya, jika perkataan ‘diskriminasi’ yang ingin digunakan, saya boleh katakan diskriminasi di Malaysia masih lagi ‘positif’, berbanding negara lain yang amat jelas mendiskriminasikan Islam dan umat Islam. Umat Islam yang menjadi minoriti tidak diberikan hak untuk mengamalkan cara hidup sendiri, seperti memakai jilbab atau tudung. Kenapa kajian tidak dibuat di negara-negara ini?

Jika kerana tanah rezab Melayu dan hak istimewa Melayu, menjadikan bukan Melayu miskin atau papa kedana, mungkin saya selaku bukan Melayu, tidak dapat menerima diskriminasi ini. Hakikatnya, dengan wujudnya ‘diskriminasi’ ini, bukan Melayu terus menjadi kaya raya dan kedudukan mereka tidak terancampun. Dengan kemudahan lesen yang diberikan kepada Melayu, akhirnya menjadi hak bukan Melayu kerana Melayu menjualkannya kepada bukan Melayu. Berapa banyak tanah rezab Melayu tergadai ke tangan orang bukan Melayu. Lihatlah betapa banyak produk menggunakan label Melayu dan Islam diperalatkan demi untuk melariskan perniagaannya.

Boleh dikatakan hampir semua milik Melayu telah dinikmati oleh bukan Melayu dalam pelbagai aspek seperti lesen, biasiswa, tanah rezab dan sebagainya. Sehingga sampai ke peringkat tanah kepunyaan kerajaan telah banyak menjadi hak kuil, tokong dan gereja.

Diskriminasi apa lagi jika hari ini terdapat sebesar-besar patung dan gereja di merata tempat untuk memenuhi kehendak minoriti yang berpegang kepada agama, yang rata-ratanya kurang daripada 10 peratus tetapi identiti mereka telah menenggelamkan identiti Melayu dan Islam itu sendiri?

Peliknya, bila ada kajian membuktikan institusi kaum mereka dan ketidakupayaan menguasai bahasa kebangsaan punca masalah punca masalah, semua kalangan ultra kiasu menolak. Bila ultra kiasu melakukan kajian sebegini, mereka mahu memaksa kita menerimanya.

Siapakah mereka mahu campurtangan dalam hal berkaitan dalam negara? Apakah mereka tidak sedar bahawa perlembagaan adalam undang-undang tertinggi dalam sesebuah negara dan ianya berdaulat. Mempertikaikan undang-undang sesebuah bermakna sudah mencabar kedaulatan sesebuah negara itu.

Semua ini adalah agenda Inter Faith Council (IFC) dan 14 perkara tuntutannya yang mahu merosakkan umat Islam dan orang Melayu. Mereka mahukan negara ini tidak ada lagi identiti Melayu dan Islam. Kepentingan bangsa dan agama majoriti tidak lagi dilindungi. Hak asasi manusia mengatasi segalanya. Jika mereka berjaya lakukan di sini, atau memecahkan tembok ini, maka tercapai hasrat mereka menundukkan Islam dan Melayu.

Mereka mahu menjadikan Islam dan perlembagaan kita tunduk kepada norma-norma antarabangsa ciptaan manusia yang boleh menjejaskan akidah kita sebagai umat Islam. Antara norma-norma tersebut adalah; Pertama, Deklarasi Hak Asasi Sejagat 1948. Kedua, Konvensyen untuk menghapuskan semua jenis diskriminasi terhadap wanita (disahkan Malaysia pada 5 Julai 1995). Ketiga, Konvensyen mengenai hak kanak-kanak. Keempat, Deklarasi untuk menghapuskan semua bentuk ketidaktolernasi dan diskriminasi berasaskan agama. Kelima, Deklarasi mengenai hak-hak orang untuk mempunyai kewarganegaraan, suku kaum, agama dan bahasa minoriti. Keenam, Deklarasi Vienna dan pelan tindakan.

Kesemua norma antarabangsa tersebut masih belum disahkan di Malaysia kecuali yang telah disebut. IFC mahukan semua agama mesti mengikut norma antarabangsa tersebut. Norma antarabangsa itu tidak membezakan antara penganut Islam dan bukan Islam. Untuk orang Islam, cara hidup mereka bukan lagi cara hidup Islam tetapi norma-normat antarabangsa tersebut.

Apa jua ajaran Islam yang bertentangan dengan norma tersebut mesti dihapuskan. Pendek kata, agama Islam mesti tunduk norma mereka. Manusia bebas melakukan apa sahaja, termasuk menukar agama. Walaupun namanya orang Islam atau masih mengakui Islam, mereka boleh beramal dengan ajaran agama lain. 

Deklarasi sejagat mengenai hak asasi manusia turut mengatakan setiap orang mempunyai hak untuk bebas berfikir, bersuara, beragama dan sebagainya. Bermakna, status kita sebagai umat Islam bukan lagi tertakluk kepada perintah Allah SWT tetapi kepada perintah manusia yakni norma tersebut. Kita tidak berhak lagi ke atas urusan sesama Islam. Selepas ini, Jabatan Perdaftaran negara tidak ada hak lagi untuk menolak permohonan seseorang untuk menukar agama daripada Islam kepada bukan Islam atas alasan jika permohonan ini tidak diluluskan ia akan merosakkan keharmonian dan kebebasan beragama.

Umat Islam harus berwaspada dan jangan terpedaya dengan semua diayah dan perancangan licik mereka. Mereka akan menggunakan pelbagai cara jika gagal dengan satu cara yang lain. Jangan sampai terperangkap. Pastikan kesucian Islam (Melayu) tidak tunduk kepada norma antarabangsa dan kajian picisan ini.