Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, May 09, 2010

Kebenaran itu selalunya pahit

6:59 AM Posted by RIDHUAN TEE 36 comments
Mingguan Malaysia 9 Mei 2010

Saya diminta oleh rakan-rakan Cina Muslim supaya berhenti menulis dalam kolum ini kerana pada mereka penulisan saya itu merugikan dakwah, yakni menjauhkan orang bukan Islam daripada Islam. Lebih teruk lagi saya dituduh menyamar dalam blog untuk mempertahankan diri daripada diserang oleh ulat-ulat ultra kiasu yang sebenarnya mereka yang menyamar untuk menyerang saya. Terus terang, saya tidak ada masa untuk menyamar sana sini, lagipun saya tidak berminat melayan ulat-ulat ini dengan merendahkan pemikiran saya sama seperti mereka. Terima kasih banyak terhadap mereka memahami perjuangan saya dan terus memberikan suntikan semangat untuk saya terus berkarya.

Cuma izinkan saya untuk menjawab kenapa saya terus menulis dalam akhbar ini dan seterusnya dimasukkan dalam blog saya. Tidak ada manusia yang rasional yang mahu mencari masalah. Kita mahu berkawan dengan semua orang tanpa mengira bangsa dan darjat keturunan kerana kita semua adalah pendakwah. Tanggungjawab berdakwah adalah tanggungjawab semua, bukan tanggungjawab mereka yang bergelar ustaz atau ustazah sahaja. Tidak ada niat langsung untuk menjauhkan bukan Islam daripada Islam. Saya hanya ingin membawa pembaca mengenali diri saya yang lahir dalam sebuah keluarga totok Cina yang tinggal dalam persekitaran Melayu. Keadaan ini tidak menjadikan saya Melayu, apatah untuk menjadi lebih Melayu dari Melayu. Saya tidak pernah lupa asal-usul, apatah lagi untuk mengkhianati bangsa sendiri.

Saya berpegang kepada prinsip berani kerana benar, takut kerana salah. Memang pahit untuk menelan kebenaran, apatah lagi ia menyentuh soal bangsa. Tetapi apa boleh buat, bila berlaku pertembungan antara kepentingan bangsa dan agama dan negara, maka kepentingan agama dan negara mesti diutamakan. Jika apa yang saya katakan itu tidak benar, marilah sama-sama kita buktikan. Jika kumpulan ultra kiasu ini terlalu baik bagi kita, buktikan sifat-sifat kemailakatan mereka? Apakah mereka benar-benar dapat menyelamat agama dan negara kita? Jika ditakdirkan mereka memerintah nanti, apakah agama Islam benar-benar dapat dimartabatkan? Saya tidak mengatakan bahawa keadaan hari ini sudah baik. Tetapi sudah tidak ada jalan lainkah sehingga kita terpaksa berkawan dengan musuh? Musuh yang memang sudah kita kenali sejak dahulu lagi iaitu musuh dalam selimut dan musang berbulu ayam.

Saya tidak menjadi masalah jika kawan sepakatan itu benar-benar ikhlas dan bukan musuh Islam. Tetapi mereka sudah berterus terang sejak dahulu lagi, supaya langkah mayat mereka jika mahu menegakkan Islam. Masih tidak kenalkah lagi musuh itu? Masih kita boleh bersangka baik dengan musuh itu? Musuh kita itu bukan sahaja berada di luar, malah ada juga di dalam.

Lihatlah campurtangan mereka dalam hal ehwal dalam agama kita. Mereka begitu bersatu hati. Kita pula sebaliknya, asyik berpecah dan menyalahkan UMNO. Ada yang sanggup berkata UMNO Laknatullah, UMNO Zionis dan sebagainya. Adakah wajar untuk kita bertindak sedemikian? Seburuk-buruk UMNO, jasa mereka tetap ada selama 52 tahun memimpin kerajaan. Begitu juga dengan peranan pembangkang sebagai check and balance.

Sebagai ahli akademik dalam bidang politik dan kerajaan, saya fikir saya berhak memberikan pendapat sedemikian. Lagipun penulisan saya adalah dalam bidang kepakaran saya. Saya tidak boleh biarkan otak menjadi tumpul dengan tidak diasah atau hanya membaca bahan-bahan akademik sahaja seperti jurnal. Kita perlu tahu perkembangan semasa. Saya tidak mahu menjadi segelintir ahli akademik hanya fokus menulis jurnal sahaja, sehingga mengabaikan tanggungjawab sosial untuk menyedarkan khalayak. Kita sedia maklum bahawa kebanyakan penulisan jurnal langsung tidak dibaca oleh khalayak. Mungkin ahli akademik akan marah kepada saya atas hujah ini. Saya juga menulis dalam jurnal, tetapi penulisan tersebut tidak cukup untuk mengatakan kita adalah seorang ahli akademik hebat. Penulisan jurnal ada kekuatannya tersendiri. Tetapi kita tidak boleh hanya terlalu bergantung kepada jurnal. Tidak semestinya penulisan jurnal itu akademik, di luar jurnal tidak akademik. Ia bergantung sejauh mana penulisan itu dibuat dan sejauhmana kita dapat mengajak khalayak berfikir.

Pada saya, ahli akademik hebat ialah mereka yang dapat membuka pemikiran dan menyedarkan khalayak. Menyedarkan khalayak bangun berjuang terutama dalam pembinaan sebuah negara bangsa. Terlalu banyak menyelidik sehingga tidak tahu apa yang berlaku di luar sanapun tidak boleh juga. Lebih menyedihkan lagi bila penyelidikan dan penulisan tersebut tidak dapat dimanfaatkan. Oleh kerana syarat naik pangkat itu dengan menulis jurnal, maka kitapun menulis secara ekstrim sehingga lupa tanggungjawab yang lain.

Justeru, saya menyeru kepada kita semua agar cuba menjadikan khalayak dapat berfikiran lebih jauh kerana berfikir sejenak lebih baik daripada sembahyang sunat berpuluh-puluh rakaat, itulah janji Nabi. Thinking is the highest form of learning process. Apalah ertinya kita boleh menulis berkajang-kajang dalam jurnal, sedangkan pemikiran itu tidak dimuntahkan kepada khalayak untuk difahami. Terkadang-kadang saya sedih melihat kita seolah-olah syok sendiri, bergerak dalam dunia sendiri. Bahan penulisan tidak dibaca, bila bercakap, bahan yang dibicarakan tidak menarik perhatian dan tidak berjaya menjadikan khalayak berfikir lebih jauh. Mereka dengan dunia mereka sahaja. Saya fikir ini tidak betul. Dengan sebab itu, pangkat profesor di negara kita berbeza sedikit dengan professor di negara maju.

Di negara maju, mereka yang dilantik ke jawatan profesor adalah mereka yang kaya dengan ilmu dan pengalaman yang dapat dimanfaatkan oleh khalayak. Seorang ahli perniagaan yang tidak ada kelayakan akademik, tidak mustahil dilantik menjadi profesor disebabkan kekayaan pengalamannya itu untuk dikongsikan dengan khalayak. University of heart knock atau universiti pengalaman kadangkala lebih banyak manfaatnya kepada sasaran khalayak.

Logiknya memang jelas. Misalnya profesor akademik dalam bidang bisnes. Profesor ini boleh menulis berkajang-kajang dalam jurnal sehingga dilantik menjadi profesor dan profesor jusa A, B dan C atau mungkin turus. Namun professor ini langsung tidak ada pengalaman dalam bidang bisnes. Mungkin juga profesor ini hanya menambah ilmu melalui buku karangan pengalaman ahli perniagaan tersebut. Sedangkan kita sedia maklum, mereka yang hebat adalah mereka yang pernah jatuh bangun dalam perniagaan dengan ciptaan-ciptaan dan rekaan-rekaan yang hebat. Henry Ford, pengasas Ford Motor Co. pengeluar kereta Ford yang dikagumi dunia.

Begitu juga dengan Konosuke Matsushita, pengasas barangan barangan elektrik sehingga berjaya menubuhkan Matsushita Electric Industrial Co. Rata-rata mereka ini tidaklah mempunyai kelayakan akademik yang hebat, tetapi kehebatannya diserlahkan melalui ciptaannya sehingga diakui dan dimanfaatkan seluruh dunia. Sejak kecil lagi mereka sudah menunjukkan minat dalam bidang penyelidikan enjin dan permotoran berbanding perladangan yang diusahakan oleh ibubapanya. Hari ini, ada kalangan mereka yang telah pergi. Mereka bukan sahaja berjaya membuktikan kepada dunia, namanya terus disebut-sebut dalam industri yang diceburi. Mereka layak diangkat menjadi profesor yang sebenar.

Pun begitu, Ford dan Matsushita masih tidak dapat menandingi kehebatan Nabi Muhammad SAW. Begitu juga tokoh-tokoh hebat di dunia. Rasulullah adalah seorang yang tidak tahu membaca dan menulis. Tetapi kehebatan ketokohannya dikagumi dunia. Hatta tidak seorangpun yang boleh menandingi Baginda seperti yang dinukilkan oleh Michael Hart dalam bukunya The 100, a ranking of the most Influential Persons in History. Hart menobatkan Nabi Muhammad SAW sebagai nombor satu mengalahkan Nabi Isa, Nabi Musa, Buddha serta tokoh sains terhebat seperti Isaac Newton, Einstien, Galileo dan sebagainya. Ringkasnya, kita dapat katakan Rasulullah adalah bapak kepada segala profesor. Semua manusia merujuk Quran dan hadis sebagai sumber panduan.

Saya selalu bercakap kepada golongan akademia, kita perlu berpijak di bumi nyata. Misalnya, saya sempat mengenali beberapa professor dalam bidang dakwah kepada non-Muslim. Mereka boleh bercakap dan menulis dalam jurnal berjela-jela panjangnya. Tetapi seorangpun tidak masuk Islam di tangan profesor tersebut. Maknanya ilmu tidak berpijak di bumi nyata atau down to earth, tidak boleh diaplikasikan dalam konteks khalayak. Kenapa? Kerana mereka kurang pengalaman. Syok dengan dunia sendiri. Mereka masuk dan keluar dari hutan orang asli atau berdakwah kepada orang Cina, tetapi mereka tidak dapat menyelami psiki golongan sasaran.

Saya mohon maaf jika ada mereka yang bergelar professor tersinggung dengan tulisan ini, tetapi itulah hakikat sebenar. Saya mengakui, tidak semua profesor sedemikian, saya hanya menyentuh segelintir daripada mereka yang terlalu bersifat akademik sehinggakan penulisan dan percakapan mereka langsung tidak dapat difahami. Mereka hanya boleh berbangga dengan berkata, inilah standard aku. Namun bila mereka berpijak di bumi nyata, berhadapan khalayak, percakapan dan penulisan mereka hambar dan tidak difahami.

Mungkin ada juga yang berhujah dengan mengatakan, penulisan mereka itu adalah untuk golongan tertentu. Jika begitulah keadaannya, ilmu ini hanya untuk golongan tertentu sahaja. Sedangkan kita sedia maklum, Nabi Muhammad SAW mempunyai pengetahuan yang begitu luas bukan untuk orang Islam atau bangsa tertentu sahaja. Tetapi ilmu yang dibawa oleh para anbiya adalah untuk seluruh makhluk yang ada di muka bumi.

Justeru, saya amat tertarik dengan saranan Timbalan Perdana Menteri bahawa kenaikan pangkat mereka ke jawatan profesor tidak hanya semata-mata dinilai dengan penulisan jurnal, tetapi perlu juga dilihat sejauhmanakah mereka dan penulisan serta penyertaan mereka dapat dimanfaatkan oleh khalayak dan menjadi khalayak untuk berfikir lebih jauh.

Kenyataan ini bertepatan dengan apa yang diucapkan oleh Perdana Menteri pada 9 Mac 2010, sekiranya terdapat profesor yang amat berwibawa dan tersohor umpamanya, profesor itu boleh memperolehi gred lebih tinggi daripada naib canselor. Ini satu perubahan yang menetapkan kepada penilaian seseorang itu dari segi tahap keilmuan yang ada pada seseorang. Perdana Menteri meletakkan nilai penguasaan ilmu itu dan kemahiran yang ada pada seseorang ahli akademik menjadi tunggak utama penentuan jawatan lebih tinggi. Bagaimanapun ia mesti melalui proses ‘peer review’ dan tidak tertakluk pada anggapan seseorang individu sahaja, sebaliknya mesti ada sistem yang dapat diwujudkan di kalangan mereka yang layak membuat penilaian terhadap seseorang yang bertaraf profesor.

Saya akan mengharapkan Majlis Profesor Negara (MKN) yang ditubuhkan benar-benar dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk mengalirkan ilmu kepada sasarannya, bukan terhad kepada golongan tertentu sahaja. Akademia perlu berkara benar, walaupun ia pahit.

Pendek kata, hari ini semua pihak mesti turun ke bawah tidak kira apa juga taraf dan tahap mereka. Menyelami hakikat dan kehendak khalayak. Tidak perlu kita merendah-rendahkan orang lain dengan mengatakan kita sahaja yang hebat. Sesungguhmya ilmu Allah amat luas ibarat air lautan yang terbentang luas, yang ada pada kita hanya sedikit, mungkin setitis dua. Itulah hakikat kebenaran yang sebenar. Pahit untuk diterima, tetapi manis bila setelah dirasai hasilnya. Itulah yang dinamakan dakwah. Pahit dilalui, manis dirasai.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, May 02, 2010

Kembalikan kekuatan

10:20 AM Posted by RIDHUAN TEE 57 comments
Mingguan Malaysia, 2 Mei 2010

Saya tidak mahu mengulas panjang tentang trend pengundian dalam pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor. Dari awal-awal lagi saya sudah menjangkakan fenomena ini. Sudah terang lagi bersuluh bahawa BN kehilangan sokongan bukan Melayu. Trend ini bukanlah suatu yang baru atau pelik, tetapi telah berlaku sejak dahulu lagi. Bila Melayu bertanding di kawasan bukan Melayu, Melayu akan kalah. Manakala bila bukan Melayu bertanding di kawasan Melayu misalnya MCA dan Gerakan, bukan Melayu akan menang. Bila parti dominasi etnik bukan Melayu seperti MCA atau Gerakan bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu, parti ultra kiasu akan menang. Keadaan mungkin sedikit berubah pada pilihan raya umum 2008. Kelihatan seolah-olah bukan Melayu mengundi Melayu dengan kemunculan parti sekutu ultra kiasu. Sebenar tidak, jika sekutu ultra kiasu yang memerintah seperti di Selangor, sebenarnya itulah kemenangan parti ultra kiasu.

Terus terang saya katakan dari segi keterbukaan, orang Melayu tidak ragu-ragu untuk mengundi bukan Melayu. Namun, belum tentu bukan Melayu sanggup mengundi Melayu. Siapakah yang lebih terbuka sebenarnya? Melayu atau bukan Melayu? Saya tidak katakan semua bukan Melayu bersikap sedemikian. Dengan sebab itu, dalam apa jua aspek berkaitan dengan Melayu, kita gagal untuk memperkasakannya kerana kita tidak mempunyai rakan setia. Rakan kita kadang kala mengambil sikap menikam dari belakang.

Seolah-olah memperlihatkan UMNO diperalatkan untuk mencapai kepentingan tertentu atau mendapatkan lebih lagi, apa yang telah dapat. Berterima kasihlah kepada Perdana Menteri kerana telah mengotakan janjinya dalam kempen pilihan raya di Hulu Selangor baru-baru ini. Saya yakin ada orang akan berkata, peruntukan tersebut diambil daripada cukai rakyat, apa yang hendak dihairankan. Saya yakin yang banyak bercakap itupun tidak pernah bayar cukai atau selalu mengelakkan diri daripada dikenakan membayar cukai.

MCA dan Gerakan menuduh Perkasa yang menjadi punca sokongan bukan Melayu beralih arah. Itulah jawapan simplistik barisan kepimpinan baru mereka yang begitu agresif berbanding dengan kepimpinan sebelumnya yang agak berhikmah. Justeru, tidak hairan barisan kepimpinan baru ini dipilih mereka walaupun mempunyai skandal yang sukar untuk diterima oleh norma masyarakat timur. Saya yakin kejayaan mereka mempunyai kaitan rapat dengan sikap ultra kiasu dan pakatan senyap dengan parti ultra kiasu. Pada saya, tidak perlulah kita menuduh orang atau menuding jari untuk menutup kelemahan sendiri. Muhasabah diri sahaja. Apakah kita benar-benar mempunyai semangat setiakawan atau kawan makan kawan?

Jika MCA dan Gerakan begitu berpengaruh dan kuat, saya cadangkan mereka bertanding di kawasan majoriti bukan Melayu seperti kawasan-kawasan parlimen Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama seluruh negara seperti Pulau Pinang. Kita lihat MCA dan Gerakan akan menang atau tidak. Pada ketika itu, UMNO tidak perlu berkempen untuk MCA dan Gerakan. Biarkan kedua parti komponen ini berkempen dengan cara mereka sendiri mengikut rentak budaya sendiri. Kita mahu lihat sejauhmana sokongan bukan Melayu terhadap mereka. Saya bimbang mereka akan hilang wang pertaruhan dengan parti ultra kiasu. Jangan salahkan nyamuk, kelambu dibakar. Kajilah sifat-sifat nyamuk tersebut. Beritahulah sebenarnya apa kehendak orang bukan Melayu, senang cerita. Tidak payah berbelit-belit menyalahkan orang lain.

Kawan sebangsa saya berkata MCA dan Gerakan sudah tidak relevan lagi kepada bukan Melayu kerana dikatakan terlalu mengikut telunjuk UMNO? UMNO dikatakan tidak lagi disukai oleh bukan Melayu? Apakah dakwaan itu benar? Kajian secara intensif perlu dibuat, bersekali dengan perubahan hidup bukan Melayu di bawah pemerintahan UMNO selama 52 tahun. Adakah hidup mereka bertambah baik atau sebaliknya. Lu fikirlah sendiri.

Sebenarnya politik bukan Melayu amat terancang rapi. Kita sahaja sebagai umat Islam sahaja yang terlalu okomodatif, kadang kala mudah dipergunakan dan bergaduh sesama sendiri seolah-olah tidak ada lagi hubungan persaudaraan dan keagamaan. Semua orang tahu dan orang bukan Melayupun lagi tahu, bahawa bandar-bandar tetap akan membangun walaupun siapa juga wakil rakyat sama ada parti yang memerintah kerajaan mahupun pembangkang. Itulah beruntungnya mereka yang berada di bandar, ruginya mereka yang berada di luar bandar. Maknanya, siapapun yang menang, mereka tidak akan rugi sedikitpun. Malah, mereka akan mendapat habuan dengan lebih banyak kerana dapat makan sana sini dan mendesak itu dan ini. Justeru, kesempatan ini akan digunakan dengan sebaik-baiknya.

Kadang kala tidak boleh salah bukan Melayu juga. Cuba renung balik apa yang kita buat selama ini. Kita sebenarnya jarang bertegas. Kita asyik melayan, mementingkan kuasa dan menjaga jawatan. Kita takut kehilangan kedua-duanya ini, maka kita terus memberi muka. Misalnya, pada hari selasa lalu saya menghadiri Perbincangan Meja Bulat Memartabatkan Bahasa Melayu 2010 anjuran Kementerian Pelajaran. Sebelum ini saya telah menghadiri berpuluh-puluh seminar dan wacana untuk mendaulatkan bahasa Melayu. Saya merasa teramat pelik kenapa perbincangan ini perlu dibuat dalam sebuah negara Melayu, pemimpinnya Melayu, rajanya Melayu, bahasa kebangsaannya Melayu dan berbagai lagi Melayu didominasi oleh Melayu. Sepatutnya ia sudah terdaulat, terdarjat atau terangkat secara otomatik di buminya sendiri, bukan bumi asing. Namun, tidak sedemikian yang berlaku. Orang Melayu dan bahasa Melayu seolah-olah merempat di bumi sendiri.

Hari ini kita tidak habis-habis membuang duit mengadakan seminar sana sini membincangkan untuk mendaulatkan bangsa Melayu dan bahasa Melayu. Lebih baik duit itu digunakan untuk membantu fakir miskin, ibu tunggal dan mereka yang memerlukan. Apa masalah sebenarnya? Apakah strategi dan langkah yang telah dibuat untuk mendaulatkannya? Ini membuat saya teringat kata-kata Timbalan Perdana Menteri yang mengatakan beliau Melayu dahulu, kemudian rakyat Malaysia. Persoalannya, adakah dengan kata-kata demikian, kedudukan Melayu secara keseluruhan terdaulat? Kata-kata ini sebenarnya tidaklah salah atau mengurangkan semangat patriotism seseorang kepada negara. Namun, kata-kata ini telah disensasikan dan dimanipulasikan.

Kita dapati kata-kata ini mendapat kritikan yang hebat daripada kumpulan ultra kiasu dan sekutunya. Pada mereka, sepatutnya TPM menyebut beliau sebagai rakyat Malaysia dahulu, kemudian barulah Melayu (I am Malaysian first, second Malay). Persoalannya, adakah orang lain menganggap bahawa mereka benar-benar Malaysian first atau hanya mainan bibir untuk mencairkan hati orang lain. Malaysian first mesti ada akarnya bukan pukul rata sahaja. Saya masih teramat ragu jika ultra kiasu berkata sedemikian, sebab tindak-tanduk mereka tidak mencerminkan hakikat yang sebenar.

Jika kita meletakkan rakyat Malaysia terlebih dahulu, maka kepentingan negara mesti diutamakan berbanding dengan kepentingan etnik. Maknanya, perlembagaan mesti didaulatkan, bahasa Melayu mesti diutamakan, Islam mesti dihormati sebagai agama persekutuan, sekolah kebangsaan mesti dijadikan pilihan, dan sebagainya. Ini tidak, kedudukan dan peruntukan istimewa terus dipertikaikan dan dicabar di mahkamah. Lebih menjengkelkan lagi papan tanda dan banner yang digantung di kawasan umum langsung tidak mendaulatkan kepentingan kebangsaan.

Saya mahu dengar kata-kata pemimpin bukan Melayu bahawa sekolah kebangsaan itu adalah lebih penting daripada sekolah vernakular. Sekolah kebangsaan mesti ditambah dari masa ke semasa manakala sekolah vernakular cukuplah sekadar yang ada. Bahasa Melayu mesti difahami dan didalami berbanding dengan bahasa lain. Kedudukan agama Islam dan mahkamah syariah mesti dihormati. Barulah itu dinamakan Malaysian first. Ini tidak, kita asyik mendesak supaya hak-hak setiap bangsa ditambah dan tanpa langsung dikurangi. Isu ini seolah-olah tidak pernah habis. Sebenarnya yang banyak berkokok itulah yang meletakkan bangsa di hadapan berbanding negara.

Pada saya kata-kata mengutamakan bangsa dahulu tidak salah, walaupun saya lebih suka dengan kata-kata agama didahulukan, rakyat diutamakan, bangsa diperkasakan,. Kita mesti ingat manusia bermula bangsanya yang telah dianugerahkan Allah SWT. Dengan sebab itu, nama sesebuah bangsa menjadi nama negaranya. Ini bermakna, memang bangsa itu perlu diutamakan sebagai identiti, terutama agama dan bahasa bangsa yang tinggal di bumi mereka sendiri. Sudah tentu ia perlu dipertahankan, apatah lagi ia telah dimaktubkan dalam perlembagaan.

Dalam konteks TPM sebagai orang Melayu, saya masih boleh menerima kata-katanya itu. TPM benar dari sudut dia sebagai orang Melayu berada di dalam negara yang berakarkan Melayu sendiri (Malay polity). Saya juga mahu mendengar kata-kata daripada pemimpin-pemimpin bukan Melayu bahawa bangsa itu tidak penting, yang penting adalah kita sebagai rakyat Malaysia. Malaysia didahulukan, etnik dikemudiankan.

Saya yakin selepas ini saya akan terus dihentam teruk dengan tersiarnya artikel ini. Saya akan dituduh pula sebagai provokator dan mengapi-apikan sentimen perkauman. Saya tidak pernah lupa akar dan bangsa saya. Saya sayangkan bukan Melayu seperti mana saya sayangkan diri sendiri kerana mereka adalah juga ahli keluarga dan saudara mara saya. Lagipun mereka juga adalah makhluk Allah SWT. Menghina mereka bermakna menghina makhluk kejadian Allah. Rasulullah SAW sendiri begitu lunak dengan bukan Islam sehingga dakwah terbesar luas, tetapi bertegas dalam mempertahankan Islam daripada dihina atau percubaan untuk merosakkannya. Saya cuma ingin berkata benar demi membina masa depan negara yang lebih baik. Justeru, saya selalu ingatkan, cubalah memahami hakikat negara ini sebenarnya. Hubungan majoriti-minoriti di bumi bertuah ini. Sikap saling memahami antara satu sama lain bersandarkan kepada sejarah.

Setelah itu, buat perbandingan dengan negara-negara lain. Jangan pula lari ke negara lain setelah berjaya membina empayar. Saya percaya dan amat yakin Allah SWT begitu merahmati bumi ini. Kita begitu bertuah berada di sini, jatidiri dan identiti kita masih kekal dan terpelihara. Di negara lain, bukan sahaja identiti dan jati diri mereka hancur lebur, malahan kita lihat berbagai-bagai malapetaka dan bencana telah menimpa dan berlaku di tempat mereka, tetapi kita masih selamat dan masih boleh ketawa sepanjang masa. Bersyukurlah dengan nikmat ini, mungkin ia tidak datang untuk kali seterusnya. Bertindak sebelum parah, berdiri sebelum rebah.

Justeru, sudah sampai masanya kita mengubah cara berfikir dan bertindak. Umat Islam perlu memastikan nasib mereka terbela dan dibela di bumi sendiri. Penekanan yang terlalu berlebihan mengenai fardu ain sehingga melupakan fardu kifayah perlu dilihat dengan serius. Kepentingan fardu ain dan fardu kifayah perlu diseimbang supaya kita tidak perkotak-katikkan. Hari ini, kita selalu menekankan fardu ain sehingga terlepas panjang kepentingan fardu kifayah. Sedangkan kita tahu kedua-dua perkara tersebut mesti bergerak seiring. Tanpa fardu kifayah, fardu ain tidak dapat dipraktikkan dengan sempurna.

Apakah kita tidak berdosa menjadi hamba di bumi sendiri, sedangkan orang lain menjadi tuan? Laungan ketuanan Melayu hanya sekadar retorik semata-mata, sebenarnya kita tidak pernah menjadi tuan. Tuan kita adalah orang lain. Kita seperti melukut di tepi gantang. Jangan kerana terlalu mahukan undi sehingga kita terpaksa menyembah orang lain. Saya kira tindakan ini sudah keterlaluan. Sudah sampaikan masanya kita kembalikan kekuatan kita yang telah sedia ada daripada merayu dan mengharapkan simpati orang lain.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, April 25, 2010

Menguji kematangan pilihan raya

6:56 AM Posted by RIDHUAN TEE 108 comments
Mingguan Malaysia 25 April 2010

Setiap kali ada pilihan raya sama ada umum (PRU) atau kecil (PRK), penduduk kawasan terlibat akan bersorak gembira kerana mereka akan mendapat peruntukan sana sini dan boleh menuntut itu dan ini. Tidak cukup dengan itu, ada yang begitu berani menggugut untuk mengundi parti lain atau berpaling tadah jika tuntutan mereka tidak dipenuhi. Bagi parti yang mahukan kemenangan, sudah tentu peruntukan disalurkan kerana jentera tidak akan bergerak tanpa habuan. Kawasan terbabit akan mendapat jalan baru, tar baru, tapak sekolah baru, kemudahan sekolah baru, pelbagai projek pembangunan baru dijanjikan sama ada oleh kerajaan negeri mahupun kerajaan pusat. Tidak salah, cuma kadang kala naik sebu telinga mendengarnya. Namun, apakan daya inilah realiti budaya politik kita yang diharapkan akan berubah.

Jika ianya berterusan, selepas ini saya bimbang, rakyat saban hari akan berdoa kepada Tuhan supaya wakil rakyat mereka meninggal dunia atau mati cepat. Logiknya mudah, apabila berlakunya kematian wakil rakyat seperti parlimen Hulu Selangor ini, maka PRK akan diadakan. Kawasan tersebut tiba-tiba menjadi meriah. Episod menagih janji dan menunaikan janji, serta tuntut menuntut pun bermula. Sekelip mata kita akan dapat melihat perubahan wajah fizikal kawasan yang terbabit. Begitulah yang berlaku di parlimen Hulu Selangor, antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat. Boleh dikatakan semua orang mendapat manfaat.

Tidak kurang yang mendapat keuntungan segera hasil kemeriahan tersebut. Hotel dan rumah tumpangan penuh, makanan habis dijual di restoran-restoran dan berbagai lagi. Sebelum ini ramai yang tidak buat kisah keadaan Hulu Selangor kerana satu pihak telah menang, dan satu pihak lagi telah kalah, sehinggalah wakil rakyatnya meninggal dunia. Sepatutnya yang menang menjaga kawasan, yang kalah memantau. Keadaan berlaku sebaliknya.

Budaya ini menunjukkan bahawa seolah-olah pilihan raya adalah medan untuk mendapatkan sesuatu habuan, bukannya untuk memilih wakil rakyat yang benar-benar berwibawa dan mampu membawa perubahan ke arah lebih baik daripada yang sebelumnya. Trend ini menunjukkan bahawa kita masih belum matang dalam kehidupan berpolitik dan berpilihan raya berbanding dengan negara maju.

Di negara maju, pilihan raya adalah medan untuk mencari ‘pemimpin terbaik’ yang mampu membawa perubahan dan pembangunan dalam pelbagai aspek sama ada fizikal mahupun spiritual mengikut lunas demokrasi. Pemimpin terbaik yang dimaksudkan mereka yang benar-benar terserlah kewibawaannya terutama dari segi semangat patriotism dan kenegaraan yang tinggi. Misalnya, penerimaan Barack Obama yang berkulit hitam sebagai presiden Amerika Syarikat oleh mereka yang rata-ratanya berkulit putih. Bezanya, di barat mungkin mereka tidak berapa kisah jika pemimpin mereka minum arak atau rosak akhlaknya. Bagi yang penting adalah wibawa dan karisma, tetapi norma sebegini tidak dapat diterima oleh masyarakat kita apatah orang Islam. Kita mahukan pemimpin yang baik dalam semua aspek, fizikal dan spiritual atau jasmani dan rohani.

Secara peribadi, saya dapat menerima ketelusan barat mengendalikan pilihan raya tetapi menolak calon yang rosak akhlaknya untuk bertanding dalam pilihan raya walaupun mereka berwibawa. Ini kerana, kebiasaannya tabiat merokok, minum arak, berjudi dan berzina mempunyai unsur-unsur ketagihan, kecuali mereka benar-benar telah ‘bertaubat’. Kadang kala sukar juga untuk mempercayai pengakuan ‘taubat’ seseorang manusia selagi manusia itu tidak beriman sepenuhnya kepada Allah SWT. Ibarat kata pepatah Melayu, anjing jika sudah biasa makan tahi, tak dapat makan, hidu pun jadi. Hendaknya biarlah kita benar-benar bertaubat. Janganlah hari bertaubat, esok berjahat kerana berhajat lebih hina daripada menjadi penjahat.

Apapun, faktor peribadi dan latar belakang seseorang amat dititik beratkan oleh Islam apatah lagi jika ia hendak menjadi pemimpin kepada masyarakat. Pemimpin mesti menjadi role model. Mereka mesti kelihatan baik luar dan dalam. Sebaik-baiknya tidak melakukan dosa-dosa besar seperti berzina dan minum arak. Pada masa sama kewibawaan hendaklah juga terserlah.

Isu arak di negeri Selangor ini bukanlah isu baru. Kita telah dengar sebelum ini bagaimana parti ultra kiasu begitu marah kepada penguatkuasa bila mereka bertindak merampas arak yang dijual di kawasan majoriti Islam. Kita dapati parti ultra kiasu tidak dapat menerima hakikat ini. Mereka mengkritik hebat tindakan penguatkuasa dan serta merta mengeluarkan arahan supaya menghentikan tindakan tersebut. Sedangkan tujuannya adalah baik iaitu melarang orang Islam daripada minum arak. Kepada orang bukan Islam mereka boleh minum dan mandi arak, tidak siapa larang selagi tidak mengganggu ketenteraman awam. Dengan sebab itu, saya tidak berminat untuk mengulas perkara ini lebih panjang kerana semuanya telah faham, apatah dijadikan bahan untuk menyerang peribadi seseorang seperti yang disarankan oleh Timbalan Perdana Menteri.

Dalam kempen pilihan raya, sebaik-baiknya kita tidak menyerang peribadi seseorang calon yang bertanding kerana perbuatan tersebut adalah tidak professional. Mereka yang diserang akan bertindak sama menyerang peribadi lawannya itu. Akhirnya berlakulah episod serang menyerang peribadi sehingga yang tidak kena mengena dengan pertandingan dalam pilihan raya turut terpalit sama. Inilah budaya kita. Kita yang makan nangka, orang lain pula yang kena getahnya. Seekor kerbau membawa lumpur, semuanya terpalit. Tidakkah lebih molek jika kita berkempen dan berhujah dengan menilai perubahan sesebuah kawasan itu setelah kepimpinan beralih tangan? Saya lebih suka kita berpegang kepada kata-kata ingat pertolongan orang pada kita, lupakan pertolongan kita pada orang

Dalam konteks parlimen Hulu Selangor, kita sedia maklum bahawa kawasan ini mula membangun ketika Tan Sri Muhammad Taib menjadi menteri besar Selangor. Pada saya, jika pemilihan calon tidak berasaskan kuota parti, beliau adalah yang paling sesuai untuk bertanding di sana berbanding calon lain, sekiranya tidak ada kontroversi . Jasa beliau amat besar kepada penduduk Hulu Selangor. Saya tidaklah mengatakan bahawa Hulu Selangor masih penuh hutan tanpa beliau, tetapi itulah hakikatnya, biarlah kita berterus terang. Justeru, dalam pemilihan calon, kita perlu mencari calon yang menghampiri ketokohan Muhammad Taib, kerana tanpa beliau, Hulu Selangor mungkin masih hulu lagi.

Inilah kritiria utama yang perlu dilihat dalam memilih calon. Apatah lagi ketika berkempen. Sepatut medan pilihan raya ini digunakan untuk menilai keberkesanan wakil rakyat serta tanggungjawabnya. Adakah wakil rakyat yang dilantik benar-benar mewakili rakyat atau indah khabar dari rupa. Adakah kerja wakil rakyat ini hanya melihat masalah rakyat ketika pilihan raya?

Bandingkan perubahan kawasan tersebut sebelum ini dengan dua tahun lalu setelah kepimpinan bertukar tangan. Adakah terdapat perubahan yang ketara atau sekadar penerusan agenda pembangunan sebelum ini semata-mata? Inilah sepatutnya yang dinilai oleh pengundi-pengundi di sana, bukannya meminta itu dan ini serta menyerang peribadi seseorang. Masyarakat yang matang harus pandai berhujah dan menepis hujah dengan hujah, bukannya menyerang dan menggugut sesuatu yang tidak ada kaitannya dengan prestasi seseorang. Kita harus rasional dan bukan emosional.

Kita perlu menilai adakah kepemimpinan dua tahun kebelakangan ini telah mengotakan janji-janji pilihan raya mereka atau cakap tidak serupa bikin. Saya fikir perbincangan sebegini lebih bermanfaat dan membangun minda berbanding pemikiran pandir yang hanya mahukan habuan dan tuntuan. Jika tidak, kita tidak akan ke mana-mana. Amat sukar untuk kita pergi lebih jauh. Kita tidak proaktif tetapi lebih action-oriented.

Satu lagi perkara yang menjadi asas menguji kematangan dalam pilihan raya ialah bagaimana menanamkan nilai keikhlasan dalam berjuang seperti pemimpin terdahulu. Mereka sanggup berjalan kaki dan bersusah payah merempuh onak duri berkempen ke sana ke mari tanpa mengharapkan imbuhan. Diri mereka sudah tidak penting. Apa yang lebih penting ialah untuk memartabatkan agama, bangsa dan negara.

Berbanding dengan kita hari ini, keadaan sudah mula berubah. Kita sudah tidak mampu untuk berpanas di pondok panas. Dalam kepada kita hanya terbayang imbuhan dan wang besar. Pemikiran sebegini adalah cerminan kepada kemajuan yang akan dicapai. Kita akan menghadapi kesukaran memacu kemajuan menjelang 2020, disebabkan cara kita berfikir masih belum maju. Sebab dalam kepala kita mereka hanya ada projek, habuan dan peruntukan, bila berlaku PRK atau PRU.

Kita perlu berubah sebelum rebah seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri. Kita mesti ikhlas dalam perjuangan. Barulah kita akan berjaya. Kita akan kalah jika tidak ada keikhlasan. Jika menangpun, kemenangan itu hanya bersifat sementara. Tidak kekal lama. Masalah pasti akan berulang dan berulang. Kita tidak habis-habis akan menjadi mangsa.

Kita hendaklah menanamkan semangat kepada pengikut kita bahawa ganjaran yang paling besar bukan wang tetapi pahala. Pahala hanya boleh dianugerahkan oleh Alla SWT. Itulah jaminan kesenangan di dunia dan akhirat. Inilah juga semangat pemimpin terdahulu. Mereka sanggup berhujan, berpanas dan berjaga sampai sampai ke pagi, bekerja tanpa kenal erti lelah, hanya kerana mereka mengharapkan habuan syurga. Saya yakin kita boleh pergi ke arah itu, pokoknya kita jangan mudah cair dengan habuan dunia, walaupun tidak nafikan ianya penting.

Ramai yang masih tidak faham bahawa pilihan raya sebenar bukanlah untuk menukarkan kerajaan kerana kerajaan tidak pernah bertukar. Kerajaan telah wujud semenjak wujudnya negara bangsa. Kita tidak boleh menukar kerajaan. Kita hanya boleh menukar parti yang memerintah kerajaan atau ruling party. Adalah salah bila kita menyebut kerajaan pembangkang atau bukan pembangkang. Kerajaan tidak pernah membangkang. Yang membangkang atau menyokong adalah parti yang memerintah kerajaan.

Justeru, sudah sampai masa kita mendidik rakyat apa yang betul, apa yang salah, bukannya siapa yang betul, siapa yang salah. Biarlah rakyat yang menghakimi apa yang betul apa yang salah di Hulu Selangor pada hari ini. Adakah wakil rakyat sebelum ini telah mengotakan janji-janji mereka atau janji tinggal janji?

Dalam sistem demokrasi, kemenangan pilihan raya tidak cukup, sekiranya tidak mendapat dua pertiga majoriti seperti berlaku pada hari ini. Akibatnya parlimen tidak dapat berfungsi dengan baik. Banyak perkara tertangguh disebabkan berlaku boikot-memboikot dalam sidang parlimen sehingga tidak menampakkan kematangan. Justeru, kemenangan dua per tiga adalah amat penting. Dalam mendapatkan kemenangan ini, calon yang berwibawa hendaklah diketengahkan berasaskan kehendak majoriti. Pada saya, jika kaum minoriti tidak mempunyai kawasan majoriti mereka, maka tidak perlu bertanding. Lebih elok kiranya wakil mereka dilantik sebagai senator daripada bertanding dalam pilihan raya. Itulah lebih membawa manfaat dalam menentukan kemenangan dua pertiga.

Kepada pengundi Hulu Selangor, selamat mengundi dan buatlah pilihan yang bijak. Masa depan Selangor berada di tangan anda. Saya pasti saudara semua boleh menilaikan antara kaca dengan permata.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, April 18, 2010

Memenangi hati rakyat

11:23 AM Posted by RIDHUAN TEE 186 comments
Mingguan Malaysia 18 April 2010

Ketika membentangkan kertas kertas bicara sosial dalam Konvensyen Barisan Nasioanl (BN) Negeri Selangor baru-baru ini, saya telah menghujahkan beberapa perkara pokok yang mesti dapat dilihat dilaksanakan jika BN mahu kembali memerintah termasuk memenangi pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.

Pertama, pemimpin mesti dapat dilihat latar belakang dan akhlaknya baik. Kebaikannya itu bermula dengan dia berjaya menjaga diri sendiri dengan imej bersih serta keluarganya, bertunjangkan keikhlasan. Saya memetik kata-kata ahli falsafah Cina, Konfucius yang berbunyi, if you want to rule the state, first put your house in order, to put your house in order, first cultivate yourself morally, to cultivate yourself morally, first put your heart right, to put your heart right, you must be sincere. Kata-kata ini amat bertepatan dengan Islam walaupun bukan datang daripada ‘orang Islam’. Namun, dalam hati kecil ini sentiasa berkata kemungkinan besar Konfucius merupakan salah seorang Nabi daripada ribuan Nabi-nabi dalam Islam, kerana kata-kata langsung tidak bercanggah dengan roh Islam.

Pemimpin mesti dapat dilihat berakhlak sedemikian, tidak kira sama ada mereka Islam atau tidak. Mereka mesti menjadi contoh yang terbaik kepada rakyat bagi membolehkan mereka dipilih oleh rakyat. Sesungguhnya, tanggungjawab memimpin teramat berat, bukan sekadar main-main atau ingin mencuba nasib. Ada perhitungan dunia dan akhirat. Menjadi pemimpin bukanlah tiket untuk membuncitkan perut atau mengumpul harta. Kekayaan negara mesti digunakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.

Pemimpin yang mempunyai skandal, hendaklah diketepikan kerana rakyat hari ini bijak memilih antara permata dan kaca. Tindakan bekas ketua wanita MCA, Chew Mei Fun patut dipuji, walaupun dalam beberapa perkara saya tidak boleh bersetuju pandangan beliau mengenai Islam dan hak asasi manusia. Beliau terpaksa melepaskan semua jawatan dalam parti dan kerajaan, berpegang kepada prinsip tidak dapat menerima pemimpin yang rendah moral dan akhlaknya. Tindakan ini mesti dihormati dalam melahirkan sebuah masyarakat berintegriti tinggi dan bermaruah. Jika ramai pemimpin seperti ini, BN tidak perlu merasai bimbang dalam menghadapi pilihan raya atau berhadapan dengan rakyat. Secara otomatik, mereka akan diterima rakyat.

Pemimpin mesti ada rasa malu untuk memimpin jika mereka mempunyai masalah peribadi dan masalah keluarga, kerana kehadiran mereka tidak perlukan, malah merosakkan agama, bangsa dan negara. Sikap menerima keburukan dan berusaha untuk menutupnya, hanya akan mengundang kehancuran. Ingatlah kita boleh menutup kemarahan manusia, tetapi kita tidak dapat menutup kemurkaan Allah SWT. Kadangkala saya bimbang jika bala turun disebabkan oleh perbuatan kita, adakah orang baik yang tidak bersalah akan terselamat! Apa yang saya tahu, bila bala turun, semuanya akan terpalit, walaupun orang tidak bersalah itu tidak melakukan kejahatan tersebut. Justeru, fikirkanlah secara mendalam sebelum berjahat dan menjadi penjahat.

Kata-kata dahulu kala seperti ‘jika BN letak tunggul kayu sekalipun akan menang pilihan raya’ tidak dapat diterima pakai lagi. Tunggul hari ini bukan hanya akan dipatahkan, malah dicampak rakyat entah ke mana. Justeru, pemimpin mesti mempunyai integriti yang amat tinggi. Menjadi role model kepada rakyat, terutama kanak-kanak yang sentiasa melihat pemimpin sebagai contoh teladan. Jika pemimpin terlibat dalam seks bebas dan korupsi bagaimanakah kita hendak mengatakan kepada rakyat supaya menjauhi perkara terkutuk itu kerana cakap sudah tidak serupa bikin.

Pendek kata, sebagai pemimpin mereka mesti dapat mengalir manfaatnya kepada manusia. Seperti kata Pendeta Za’ba, hidup ini mesti melakukan kebajikan dengan berjasa kepada orang. Sebaik-baik kebajikan itu biarlah kekal berpanjangan biarpun kita telah mati kerana demikian itulah iaitu salah satu daripada tiga perkara yang dikatakan oleh Nabi kita tidak putus amal seseorang anak Adam daripadanya apabila ia (anak Adam itu) mati. Perkataan itupun tidak tertentu bagi orang Islam sahaja melainkan ‘anak Adam’. Adapun fasal nama itu tergantung kepada hati. Kalau membuka masjid sekalipun jika hati tiada ikhlas kerana Allah melain kerana puji dan sebagainya termasuk dalam jumlah riak dan mencari nama. Tiada satu faedahnya di akhirat walaupun seribu masjid dibuat. Bangsa kita tidak boleh maju dengan masjid sahaja, jikalau orang yang memenuhi masjid itu jahil dan bodoh, atau orang yang tidak layak hidup di dunia ini.

Kedua, pemimpin-pemimpin parti-parti komponen BN janganlah bertindak mendesak dan menggugut UMNO ketika parti Melayu ini berada dalam keadaan lemah akibat perpecahan orang Melayu. Secara umumnya, semua rakyat Malaysia sudah dapat apa yang sepatutnya mereka dapat (basic need). Cuma apa yang berlaku hari ini, kita mahu menambah apa yang telah kita dapat. Pada hemat saya, buat sementara ini, lupakanlah tindakan mendesak buat sementara waktu. Sebaik-baiknya berikanlah sokongan kepada UMNO untuk bangkit kembali menjadi sebuah parti Melayu yang kuat dengan penuh integriti. Sokonglah UMNO selagi mana ia berada di landasan yang betul. Perbetulkannya, jika ia mula melencong daripada landasan.

Parti-parti komponen BN hendaklah mengumpulkan kekuatan dan mengatur strategi untuk menghadapi pilihan raya akan datang dan bukannya mengambil kesempatan ketika orang lain ditimpa musibah atau tidak berupaya. Memang tidak dapat dinafikan inilah peluang keemasan dan kesempatan yang perlu dipergunakan dengan menuntut itu dan ini, tetapi saya ingatkan belajarlah memahami psiki orang Melayu. Melayu jarang meluahkan kemarahannya di khalayak, tetapi mereka mudah memendam rasa. Menyimpan sesuatu yang terbuku di hati, kemudian diterjemahkan dalam bentuk sukar dikawal. Inilah yang paling saya bimbang sekian lama memahami bangsa ini.

Ketiga, mengikhtiraf Malaysia sebagai sebuah negara yang berasaskan kepada sistem kenegaraan Melayu atau Malay Polity. Kemajmukan masyarakat di negara ini tidak berlaku secara semulajadi. Negara ini bermula dengan satu bangsa iaitu bangsa Melayu, dengan tidak menafikan orang asli. Hakikat ini mesti diterima oleh semua manusia di dunia ini. Tidak ada negara dalam dunia ini bermula dengan berbilang kaum. Ia bermula dengan satu kaum yang menduduki sesuatu kawasan atau negara. Nama kaum itu akan menjadi nama sesebuah negara negara. Tidak perlu saya ulangi kenapa Siam menjadi negara Siam, bangsa Cina menjadi negara China, dan bangsa India membentuk negara India. Fikir-fikirkanlah kenapa ia berlaku sedemikian. Justeru, tidak timbul Melayu itu adalah pendatang kerana nama Tanah Melayu sudah jelas mencerminkan kedudukannya di kepulauan Melayu. Tindakan mengungkit perkara ini hanya akan mengundang musibah kepada BN.

Lanjutan daripada itu, slogan Ketuanan Melayu jangan pula dilihat sebagai melambangkan Melayu itu tuan, manakala bukan Melayu itu hamba. Laungan ketuanan Melayu hanya sekadar untuk mengingatkan sahaja bahawa negara ini berakarkan kepada sistem kenegaraan Melayu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, sudah tentu kita akan merempat di bumi ini. Tetapi adakah ianya berlaku sedemikian rupa? Siapakah tuan, siapakah hamba sebenarnya? Jika orang Melayu tuan, saya tidak fikir hanya 8 orang sahaja yang tersenarai daripada 40 orang terkaya di negara kita. Justeru, tidak perlulah lagi isu sebegini dimanipulasikan.

Fahamilah konsep keadilan dalam Islam. Keadilan itu bukannya sama rata dan sama rasa, tetapi meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam boleh memberikan keadilan, tetapi Islam tidak dapat memberikan sama rata dan sama rasa, sebab agama Islam itu sendiri tidak boleh disamakan dengan agama lain. Tetapi Islam memberikan jaminan keadilan. Dengan sebab itu, kita lihat orang bukan Islam boleh membina empayar kekayaan dan hidup aman damai di bumi Islam, tetapi belum tentu orang Islam boleh merasai perkara yang sama di bumi bukan Islam. Lagi pula orang Islam jarang cemburu dengan kekayaan yang dimiliki oleh bukan Melayu.

Justeru, tindakan mengungkit-ngungkit hak-hak istimewa orang Melayu seperti yang termaktub dalam perkara 153 hanya kemarahan orang Melayu. Sedangkan kita tahu bahawa hak-hak tersebut tidak langsung menyekat orang bukan Melayu untuk terus berjaya. Malah apa yang kita lihat, bukan Melayu semakin berjaya, manakala kejayaan Melayu dan bumiputera masih menjadi tanda tanya. Adakah sebenarnya mereka benar-benar berjaya?

Keempat, menolak rasuah lebih hina daripada daripada makan babi. Maksud saya, imej seorang pemimpin BN mesti bersih dan bebas daripada rasuah. Memberi dan menerima rasuah, kedua-dua masuk neraka. Rasuah adalah perbuatan yang dapat dilihat dan masyarakat kita mula jijik dengannya. Rasuah adalah amat bahaya kepada agama, bangsa dan negara, tidak ada kompromi dalam isu ini. Pemimpin yang hendak mewakili rakyat mesti menjauhkan diri daripada perbuatan ini. Sama ada mereka mahu menjadi pemimpin cawangan atau bahagian sehinggalah ke peringkat negeri dan pusat, pemimpin yang jelas terlibat dalam rasuah dan politik hendaklah ditolak untuk cuba diketengahkan atau bertanding.

Kelima, mencari persamaan dalam kehidupan beragama, bersatu atas kebaikan dan menolak kemungkaran. Tidak ada agama yang menerima keburukan. Semuanya menganjurkan kebaikan. Maka nilai kebersamaan itu mesti dicari. Misalnya, seks bebas, pergaulan bebas, berzina, hiburan melampau, minum arak, judi dan sebagainya. Tidak ada satupun agama yang membenarkan perbuatan terkutuk ini. Justeru, tidak timbul soal untuk berhujah mempertahankan bahawa ianya adalah hak asasi manusia. Bila mana hak asasi manusia tertembung dengan hak Pencipta, maka hak Pencipta mesti diutamakan untuk mengelakkan mudarat yang lebih besar.

Mempertahankan kemungkaran dan kemaksiatan hanya akan mengundang bala, sedangkan kita tahu ia ditolak oleh semua agama. Jika ada agama-agama yang menjadi anutan parti-parti politik komponen BN mengatakan bahawa kemungkaran dan kemaksiatan tersebut boleh diterima dan dibenar, sila buktikan pada saya. Saya akan jawab, nilai moral agama mereka amat rendah tarafnya. Mereka tidak layak untuk menganuti agama tersebut, kerana agama itu terlalu suci. Kesucian itu mesti dipelihara, tidak dapat tidak.

Keenam, menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama persekutuan seperti yang termaktub dalam perlembagaan yang menjadi anutan orang Melayu. Perlu diingatkan bahawa orang Islam tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal atau urusan bukan Islam. Justeru, sudah sampai masanya orang bukan Islam tidak mengeluarkan kenyataan yang menyinggung hati dan perasaan orang Islam.

Misalnya, hukuman sebat ke atas umat Islam tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia adalah hal ehwal dalaman dan keluarga umat Islam. Biarkan umat Islam menyelesaikan masalah mereka sendiri tanpa campurtangan orang lain. Sama ada ia bercanggah dengan hak asasi manusia atau tidak, itu bukan hak orang bukan Islam untuk menentukannya. Serahkanlah kepada umat Islam yang telah cuba mengambil pendekatan yang terbaik untuk menyelesaikan kemelut mereka sesama sendiri. Hormatilah keputusan ini.

Saya lihat kerajaan hari ini sudah mula cenderung ke arah itu. Semakin cenderung UMNO kepada Islam, semakin ia mendapat sokongan, kerana agama tidak pernah menipu manusia. Tuhan tidak pernah menipu manusia, melainkan manusia yang selalu menipu Tuhan. Yakinlah.

Secara peribadi, saya amat bersyukur dan memuji langkah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang telah mengubah cara sambutan hari pahlawan di tugu negara kepada sambutan yang lebih Islamik dengan mengambil kira pendapat ulamak dan cendekiawan Islam seperti yang telah disuarakan sekian lama. Baru inilah yang dikatakan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Kembalilah kepada rakyat, barulah kita dapat menawan hati rakyat kerana kerajaan adalah dari rakyat untuk rakyat.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, April 11, 2010

Akibat kita mudah diperalatkan…

6:36 AM Posted by RIDHUAN TEE 241 comments
Mingguan Malaysia, 11 April 2010

Kadang-kadang saya terfikir apalah sangat hak-hak istimewa orang Melayu yang ingin direbut oleh bukan Melayu supaya selaras dengan gagasan 1Malaysia. Ya, dalam perlembagaan, seolah-olah ada hak istimewa itu (perkara 153), tetapi dalam bentuk yang praktikal sebenarnya masih menjadi tanda tanya. Justeru, saya amat musykil kenapa bukan Melayu begitu mendesak supaya mereka mendapat hak sama seperti orang Melayu. Bila sebut sahaja asimilasi, mereka tolak seratus peratus. Bila sebut pasal hak istimewa, gagasan 1Malaysia diperalatkan untuk memenuhi nafsu serakah tersebut.

Saya masih tercari-cari di manakah hak istimewa itu? Apa yang saya lihat semua sektor sudah mula dibuka untuk diisi, berbanding dahulu. Kedudukan bahasa Melayu? kedudukan agama Islam? biasiswa? kuota? Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan? IPTA dan IPTS? diskaun membeli rumah dan apa lagi? Boleh dikatakan semuanya tidak lagi dapat dilihat dengan jelas dari segi diskriminasinya. Yang jelas, hak Melayu semakin terhakis. Apa yang saya tahu boleh dikatakan semuanya sudah dapat seorang sebiji. Sama rata sama rasa. Di manakah kelebihan yang ada pada Melayu yang sangat-sangat diharapkan. Tidak perlu saya buktikan satu persatu. Lihatlah sekeliling, apa yang telah berlaku di depan mata.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seolah-olah sudah setaraf dengan bahasa lain dari segi penggunaannya sama ada perbualan mahupun bahasa bacaan. Lihat kain rentang dan risalah-risalah adakah bahasa Melayu didaulatkan? Kedudukan agama Islam berbanding agama lain, hari ini agama Islam secara berani telah dicabar di mahkamah dan mereka yang ultra kiasu telah banyak kali menang. Mereka begitu berani campurtangan dalam hal ehwal agama kita, sedangkan kita tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal agama mereka.

Kedudukan SJKC dan SK, tidak menampakkan perbezaan. Mereka dengan bahasa ibunda, SK dengan bahasa kebangsaan. Begitu juga dengan sekolah persendirian. Saya difahamkan kerajaan akan mengikhtiraf sijil sekolah persendirian mereka (UEC). Jadi, saya sudah tidak nampak wujudnya diskriminasi yang jelas negatif, tetapi lebih kepada diskriminasi yang positif. Tetapi masih ada yang mengambil kesempatan. Kepada mereka yang minta saya pamirkan data-data dan statistik, InsyaAllah dari masa ke semasa maklumat tersebut akan saya sampaikan nanti disebabkan oleh ruang yang terhad.

Kadang kala tanpa data-data tersebut, kita sudah boleh lihat dengan jelas apa yang berlaku depan mata. Misalnya, biasiswa dan kuota, boleh dikatakan semua pelajar cemerlang telah ditaja oleh JPA. Ribuan hektar tanah telah diberikan kerajaan untuk pembangunan universiti berasaskan parti politik perkauman bagi memuaskan hati semua pihak. Jika ada kekurangan serba sedikit, itu adalah wajar. Mana ada sistem sebegini di dunia ini. Bacalah sama buku Huntington, bertajuk who are we, mengenai kedudukan minoriti di sana, kalau pun tidak mahu melihat pengalaman di negara-negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Lihat pula kuota dan diskaun tujuh peratus untuk membeli rumah. Sebenarnya tidak menguntungkan Melayu. Melayu sudah tidak mampu beli rumah kos sederhana dan mewah, akhirnya siapa yang untung setelah rumah tersebut dijual. Melayu diperalatkan untuk mendapatkan rumah tersebut melalui perjanjian dalam perjanjian jual beli.

Baru-baru ini saya pergi ke Batu Pahat, saya lihat kubur atau taman peringatan, didirikan di kawasan majoriti Melayu. Kenapa kubur tersebut tidak dibuat di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka? Bukankah mudah untuk berurusan? Tetapi orang Melayu, tidak banyak cakap. Cuba kita lihat apabila kubur Islam hendak didirikan berhampiran kawasan mereka, kita lihat berguni-guni memorandum bantahan akan dikemukakan kepada pihak-pihak berkaitan. Apakah erti semuanya ini? Kenapa tidak belajar menjaga perasaan sesama kita? Hari ini kita bukan hanya besar kepala, tetapi sudah semuanya membesar? Orang lain menjadi semakin mengecil. Kita tidak fikir akibat yang akan timbul disebabkan oleh sikap memendam rasa ini. Apakah kita tidak belajar psiki orang Melayu? Mereka mudah memendam rasa. Sesuatu yang terluka di hati akan dipendamkan terlebih dahulu. Sabar dan sabar. Saya yakin, sampai satu masa nanti, kesabaran itu akan hilang.

Semua yang dituntut selama ini boleh dikatakan telah hampir dipenuhi oleh kerajaan. Saya tidak nafikan ada wujud lompongan dan kelemahan sana sini dalam kerajaan seperti isu rasuah dan integriti. Dengan sebab itu ditubuhkan SPRM dan Institut Integriti. Langkah penambaikan sebegini janganlah ditolak kesemuanya.

Apa lagi sebenarnya agenda ultra kiasu? Saya fikir kita sudah tersasar kerana terlalu melayan mereka, sehingga kaduk naik junjung.

Lihat sahaja jawatan-jawatan politik dalam kabinet. Jawatan tersebut sudah tidak lagi mencerminkan perwakilan kaum, walaupun itulah yang sepatutnya berlaku. Desakan dan tuntutan terus dibuat untuk menambah lagi jawatan-jawatan bukan Melayu, walaupun bilangan mereka hanya sekelumit. Parti baru demi parti baru ditubuhkan dengan keahlian yang boleh dikira dengan jari, mereka begitu berani menuntut kerusi pilihan raya serta jawatan dalam kabinet.

Lihatlah apa yang telah segelintir ultra kiasu ini dapat. Sekolah sendiri, universiti sendiri, ekonomi sendiri, pertubuhan perkauman sendiri dan lain-lain. Syarikat merekalah yang paling banyak disenaraikan dalam bursa saham, termasuk syarikat yang menjadikan sektor kematian dan perkuburan sebagai sebagai bisnes.

Ke manakah wang dibawa pergi setelah mereka kaya raya? Wang dilaburkan di luar negara, kemudian segelintir mereka berhijrah lari meninggalkan negara kita dengan menukar taraf warganegara. Mereka tidak ada rasa terhutang budi untuk membalas jasa.

Pada mereka, mereka kaya disebabkan oleh usaha mereka sendiri, tidak ada kena mengena dengan polisi yang sedia ada menjadikan mereka kaya. Pada saya, jika sistem itu tidak membenarkan mereka menjadi kaya, tidak mungkin mereka akan kaya. Adakah dengan adanya dasar afirmatif, mereka menjadi semakin miskin? Tidakkah dengan DEB mereka turut menjadi kaya. Semakin ramai lahir usahawan bumiputera dilahirkan, semakin ramai mereka akan menjadi kaya. Logiknya mudah, jika seorang usahawan bumiputera dilahirkan, mereka memerlukan produk. Siapakah yang memilik produk tersebut dan menjualkannya kepada bumiputera tersebut? Sudah tentu bukan Melayu yang menguasai ekonomi. Maknanya, semakin kaya orang Melayu, orang bukan Melayu turut menjadi kaya sama, malah kaya berganda-ganda sebab mereka adalah pengeluar.

Lihatlah berapa ramai kakitangan awam yang bersara yang bergelar Tan Sri dan Dato diperalatkan dalam syarikat dan anak syarikat mereka. Golongan ini diperalatkan dengan sedikit habuan elaun mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Mereka sanggup menggunakan nama mereka untuk mendapatkan tender-tender kerajaan atas nama bumiputera. Akhirnya siapakah yang dapat tender-tender tersebut. Saya tidak pasti apakah hukum mereka yang diperalatkan ini untuk mendapatkan tender kerajaan. Selepas itu, golongan hanya boleh berlagak dengan jawatan pengerusi syarikat itu dan ini yang telah disenaraikan dalam bursa saham.

Saya yakin dalam suara hati kecil mereka akan berkata mereka diperalatkan, tetapi disebabkan oleh wang, mereka mudah kelabu mata. Anak bangsa terus merempat, orang lain terus menjadi kaya. Kita sanggup menjadi mandaliar, menggadaikan maruah agama bangsa dan negara. Jika benar-benar mereka mahu berjuang, ‘pak pacak’ ini mesti ada suara dengan jawatan yang dilantik dalam syarikat mereka itu. Selain daripada mendapat sedikit sebanyak saham, yakni untuk membantu mereka yang memerlukan, bukan terus menikmati elaun dan seterusnya pencen yang diberikan oleh kerajaan setelah bersara. Tidakkah kita merasa berdosa, duduk di syarikat tersebut. Mukapun tidak nampak dalam syarikat tersebut. Hanya nama mereka dipergunakan dan diperalatkan untuk mendapatkan tender atau kontrak kerajaan. Ini yang dikatakan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Saya tidak mengatakan kita orang Islam tidak boleh duduk dikerusi pengerusi syarikat yang dipunyai oleh orang bukan Melayu. Tetapi kita mesti memainkan berperanan. Bukan berlagak dengan jawatan. Fikirkan kepentingan anak bangsa sama. Apa yang boleh dimanfaatkan oleh anak bangsa dengan perlantikan tersebut. Janganlah menjadi mandaliar dan sikitol. Kita akan menyesalkan nanti, percayalah. Ketika itu, kita tidak dapat melihat atau merasainya, tetapi anak cucu kita yang akan sengsara. Apakah kita yakin anak cucu cicit kita akan dijaga oleh syarikat tersebut setelah kita memejam mata? Apakah kita ingat bahawa elaun yang kita perolehi itu boleh mengenyangkan keturunan kita satu generasi? Ingatlah wahai bangsa seagamaku, elaun yang kita perolehi hanya boleh mengenyangkan kita untuk satu hari atau mungkin setahun. Tetapi tender atau kontrak yang kita dapatkan untuk mereka, boleh mengenyangkan mereka satu generasi dan generasi inilah yang akan berhijrah ke luar negara nanti. Percayalah.

Justeru kepada anak bangsa sekelian, kita jangan mudah diperalatkan dengan hanya sedikit habuan di depan mata. Wang tidak akan dibawa ke mana setelah kita mati. Apa yang penting ialah generasi yang akan kita tinggalkan. Mampukah mereka bertahan? Ingatlah kata-kata pejuang-pejuang zaman dahulu, mereka berjuang bukan kerana pangkat, tetapi demi memperkasakan maruah agama, bangsa dan negara. Sekali lagi saya memetik kata-kata Pendeta Za’ba, bahawasanya keselamatan orang-orang Melayu ini pada pihak jalan kehidupannya (pencariannya) dan pada pihak perangai-perangainya yang kekurangan itu hanyalah boleh didapati pada satu jalan sahaja, iaitu diubati kemiskinannya yang pada pihak otak itu yakni kemiskinan pengetahuannya dengan jalan diberikan mereka itu pelajaran-pelajaran daripada jenis yang betul. Maka di situlah, dan di situlah sahaja boleh didapati keselamatan itu, tiada pada lainnya.

Jika orang lain ada strategi laut biru atau blue ocean strategy, kenapa tidak kita? Kita juga harus berfikir bagaimana mewujudkan ruang pasaran tanpa perebutan dan menjadikan persaingan tidak relevan (W. Chan Kim dan Renee Mauborgne, 2005). Hari ini kita asyik mahu merebut dan bersaing tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Umat Islam mesti keluar daripada kelemut air yang penuh dengan segelintir jerung jika ingin berjaya dan tidak tidak diperalatkan oleh jerung tersebut.

Teringat saya berita 14 Mac 2010 bertajuk “Brunei lebih takut laknat Allah” oleh Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Dr. Mohd Zain Serudin yang menolak usul ultra kiasu ahli parlimen Goh King Chin, supaya zon jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam. Zain menegaskan, “andai ianya diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan. Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja, tetapi pada semua yang berada di negara ini. Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak. Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran”.

Saya ucapkan tahniah dan kita perlu mengambil iktibar dari penegasan negarawan ini. Terus terang, inilah pemimpin yang meletakkan rakyat didahulukan, memahami kehendak akar umbi. Tidak mudah tunduk kepada desakan dan tekanan. Hak asasi manusia perlu diketepikan apabila berlaku pertembungan dengan hak-hak Maha Pencipta. Tujuannya tidak lain, untuk melindungi manusia yang tidak berdosa di buminya sendiri. Kita amat bimbang, bila berlaku sesuatu musibah mereka yang tidak berdosa turut menjadi mangsa disebabkan oleh tangan-tangan pendosa.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Monday, April 05, 2010

Berubah sebelum parah

6:40 AM Posted by RIDHUAN TEE 88 comments
Mingguan Malaysia, 4 April 2010

Sejak akhir-akhir ini krisis dalaman MCA mewarnai politik negara. Liputan demi liputan diberikan seolah-olah MCA adalah sebuah parti yang amat berpengaruh di kalangan orang Cina. Pada saya, MCA tidaklah sekuat mana berbanding parti-parti politik yang lain terutama parti ultra kiasu. Parti ultra kiasu telah berjaya mengalihkan perhatian dan minat ahli-ahli parti MCA dan Gerakan kepada mereka. Dengan sebab itu, tsunami politik dan pilihan raya 2008 adalah petunjuk yang amat jelas bahawa sokongan orang Cina telah beralih arah kepada ultra kiasu. Saya amat yakin, jika ditakdirkan pilihan raya umum berlangsung hari ini, belum tentu ahli MCA dan Gerakan mengundi calon mereka dalam pilihan raya. Kenapa? Inilah psiki yang mesti kita fahami.

Parti ultra kiasu telah berjaya memanipulasikan dan mengekspoitasikan isu sehingga menyerlahkan kehebatan mereka seolah-olah kelihatan sebagai jaguh rakyat. Mereka berjaya melindungi sifat ultra kiasu mereka disebabkan oleh kelemahan kita sendiri sehingga diambil kesempatan oleh mereka.

Jika sejak dahulu kita menyahut seruan Perdana Menteri dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, maka sudah tentu tsunami politik ini tidak akan berlaku. Ayat keramat ini sebenarnya telah diamalkan pemimpin terdahulu seperti Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Dr. Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za’ba), Burhanuddin Helmi dan sebagainya. Pada mereka, politik bukan tiket untuk jadi kaya, tetapi politik adalah untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara, agar kepentingan rakyat terpelihara.

Hari ini segelintir kita sudah jauh berubah. Politik digunakan sebagai alat untuk mendapatkan kuasa. Kuasa diperalatkan untuk mendapatkan dan mengumpul harta kekayaan. Kita berebut-rebut untuk mendapatkan kuasa sehingga sanggup menikam bangsa dan rakan sesama sendiri. Semata-mata kerana dengan adanya kuasa, segala dapat diperolehi dan kemahuan nafsu dipenuhi.

Pemimpin-pemimpin lalu dapat dilihat (to be seen) sebagai pemimpin yang tidak menimbunkan harta. Mereka berjiwa rakyat dan hidup matinya semata-mata adalah untuk rakyat, berpaksikan kepada ajaran agama. Rakyat didahulukan dalam sebarang hal, dengan mengambil kira rakyat yang memilih kita untuk naik ke puncak teratas. Tanpa rakyat siapalah kita hari ini. Justeru, kita perlu pulangkan kembali amanah yang dipikul ini kepada rakyat dengan menjaga kebajikan dan keselamatan mereka. Biar rakyat kaya, pemimpin hidup serba sederhana. Biar rakyat tahu, kekayaan mereka disebabkan oleh pemimpin yang bekerja dengan ikhlas dan sentiasa low profile bukannya berlagak tidak tentu pasal. Jejak langkah inilah yang patut kita contohi kerana ia selari dengan perjuangan yang telah ditinggalkan oleh nabi Muhammad SAW.

Sehingga ke akhir hayat Baginda, laungan ummati, ummati dan ummati, tetap berkumandang. Ini menunjukkan kecintaan Rasulullah SAW yang teramat kuat kepada umatnya, berpaksikan Cinta Agungnya kepada Allah SWT. Kecintaan yang amat mendalam inilah yang telah menyelamatkan agama, bangsa dan negara serta dunia secara keseluruhannya.

Sebahagian besar harta Nabi habis digunakan untuk perjuangan Islam demi kepentingan rakyat tercinta. Begitu juga dengan pimpinan para sahabat. Islam yang kita nikmati hari ini adalah juga hasil daripada perjuangan mereka. Baginda ternyata teramat berjaya merealisasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ramai rakyat jelata yang menjadi kaya raya dijana menyokong bersama-sama perjuangan dan inspirasi Baginda. Baginda tidak dilihat menimbunkan harta. Pengorbanan Baginda tidak ada tolok bandingnya. Siapalah kita jika ajaran Baginda tidak sampai ke Nusantara. Apakah mungkin kita menjadi seadanya? Ingatlah, hari ini kita hebat disebabkan oleh Islam datang kepada kita. Mengubah cara hidup kita yang dahulunya jahil, kini menjadi umat terpelihara. Jika ditakdirkan kita masih Hindu-Buddha, apakah keadaannya sama seperti hari ini?

Hari ini segelintir kita sudah mulai jauh dari perjuangan Baginda dan pemimpin terdahulu? Keadaan kelihatan sudah mula terbalik. Kita lebih berseronok dengan kuasa. Kuasa boleh membeli rumah mewah, kereta mewah, isteri mewah dan sebagainya, sehinggakan perjuangan sebenar tergadai. Akhirnya, orang lain mengambil kesempatan. Kita asyik marahkan orang lain kerana mengambil kesempatan. Persoalannya, kenapa kita biarkan orang lain mengambil kesempatan hasil daripada kelemahan kita sendiri?

Saya tidak fikir orang lain akan mengambil kesempatan, jika kita memperlihatkan kehebatan dan kekuatan kita. Kita tidak mudah dijual beli. Kita mempunyai prinsip perjuangan yang jelas memartabatkan agama, bangsa negara serta menjauhi sifat-sifat mazmumah. Hari ini kalau kita mahu menjadi juara rakyat, memenangi hati rakyat dan seterusnya menang dalam pilihan raya, pemimpin mesti dalam dilihat melakukan kebaikan, berjuang untuk rakyat, baik akhlaknya dan menyayangi agamanya.

Biarlah rakyat yang kaya, pemimpin tidak seberapa nampak terlalu kaya. Bukannya pemimpin kaya, rakyat di bawah hidup menderita. Kenapa hari ini parti ultra kiasu dan sekutunya berjaya mengaburi hati rakyat? Rakyat yang kaya berada di belakang mereka menyokong penuh aspirasi mereka, menampakkan mereka seolah-olah tidak berada. Sedangkan kita tahu, mereka juga tidak kurang kayanya. Sistem yang sedia ada turut membantu mereka menjadi kaya. Cuma, mereka pandai cover, menutup kelemahan dengan mengaburinya melalui kebaikan yang dipublisitikan secara besar-besaran. Kebaikan dan pertolongan mereka diperlihatkan, dimasukkan ke dalam laman-laman web mereka. Bantuan kepada sekolah agama dan jabatan agama diperbesar-besarkan, dengan mengatakan peruntukannya sebelum ini lebih kecil. Saya tidak nampak penambahan peruntukan itu perlu diperbesarkan. Ia semata-mata dilakukan untuk mencairkan hati kita. Logiknya mudah, jika peruntukan lebih kecil, sudah tentu hati kita tidak cair. Saya yakin peruntukan dikatakan lebih besar jauh lebih kecil jika kita dapat angka yang sebenar peruntukan yang disalurkan untuk orang mereka yang disengaja disenyapkan. Strategi licik perlu difahami seperti yang saya tulis minggu lalu.

Masa masih belum terlambat dalam merealiasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ingatlah kata-kata keramat Pendeta Za’ba, rupa tidak boleh diubah, tetapi perangai boleh diubah. Umat Islam hari ini mengalami krisis identiti untuk mengubah perangai supaya menjadi lebih baik. Sedangkan kita tahu perangai boleh diubah jika telah ada kesedaran dan matlamat hidup.

Cuba kita amati betul-betul amanat yang pernah disampaikan oleh almarhum Tun Dr. Ismail, katanya, UMNO perlu membetulkan lemahnya kefahaman parti-parti lain serta lemahnya komitmen mereka kepada struktur politik yang telah dibina. Dalam pilihan raya 1969 persoalan sensitif tentang Bahasa Kebangsaan dan Hak Istimewa Melayu menjadi hambatan kepada Perikatan umumnya dan menyebabkan pertumpahan darah pada 13 Mei. Lalu kita maktubkan isu-isu itu dalam Perlembagaan sebagai perkara yang tidak boleh dibangkitkan dalam bentuk apapun oleh pembangkang. Dengan itu kelemahan rakan-rakan kita dilindungi. Pada masa akan datang, MIC dan MCA tidak boleh memandang kepada UMNO dan berkata mereka menghadapi kesulitan dengan isu-isu tersebut, sebab mulai sekarang isu-isu itu tidak akan menyusahkan mereka lagi. Kita akan mensyaratkan persetujuan tentang perlaksanaan dasar dan kurangkan masa yang digunakan untuk menjelaskan kepada sesama kita isu-isu yang sudah diterima sebagai dasar Perikatan. Kita harus tumpukan perhatian pada perlaksanaan Bahasa Kebangsaan yang sewajarnya serta perlindungan Hak Istimewa Melayu, dan mempertahankan kewarganegaraaan kaum bukan Melayu. Tiga isu ini harus menjadi asas perbincangan yang terus terang dan ikhlas antara ketiga rakan dalam Perikatan, agar kita dapat mencapai kemenangan yang munasabah dalam pilihan raya akan datang. Tetapi kalau kita balik kepada perangai lama dan bercakap tanpa berterus-terang dan tanpa keikhlasan, dan kita “sembunyikan masalah kita di bawa tikar”, saya rasa Perikatan akan hilang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang. Kalau kita tidak mencapai kesepakatan seperti itu, lebih baik kita bubarkan sahaja perkongsian ini daripada meneruskan pakatan yang hidup segan mati tak mahu (Ooi Kee Beng, 2007).

Amanat ini walaupun sudah lama, ternyata sudah menampakkan kebenarannya. Kontrak sosial yang mengutamakan kesejahteraan rakyat seolah-olah telah dicabuli dan kita rela membiarkannya. Pada kita, kontrak sosial mengurangkan sokongan bukan Melayu, sedangkan kita jarang mengkaji kesan positifnya dan perasaan orang Melayu sendiri. Apakah kita lupa peringatan yang telah diberikan oleh sarjana barat seperti Comber (2007) dan Faaland (2005)?

Menurut Faaland, orang bukan Melayu sebenarnya memahami maksud kontrak sosial yang sebenar yakni mereka bertanggungjawab untuk membantu orang Melayu memasuki alam perniagaan dan perdagangan. Ini adalah sebahagian daripada perjanjian ikhlas yang dipercayai umum wujud antara mereka. Sayangnya, bukan Melayu tidak tampil dengan bantuan sebenar kepada orang Melayu dalam sektor swasta. DAP, MCA, Gerakan dan Pertubuhan dan Persatuan Cina mahupun MIC, tidak tampil dengan inisiatif atau rancangan usaha sama kenegarawanan, program dan projek untuk membantu orang Melayu agar terbentuk satu identiti kepentingan di kalangan kumpulan kaum, meskipun inisiatif sedemikian adalah untuk kepentingan mereka sendiri, yang memberi keselamatan dan jaminan untuk masa depan. Namun, perkara sebaliknya berlaku.

Menurutnya lagi, bukan Melayu mendiskriminasikan orang Melayu dalam perniagaan dari segi kontrak, dalam pekerjaan dan lain-lain, memihak kepada kaum mereka sendiri. Melayu dianggap rendah dan malas serta hanya mampu melakukan kerja-kerja yang kurang memerlukan daya fikiran dan daya fizikal. Mereka juga dianggap tidak responsif kepada motif keuntungan dan kurang berinisiatif, serta apabila diberikan sesuatu kerja, orang Melayu dianggap tidak berkeupayaan melaksanakannya dengan serius dalam jangka panjang, berbanding kaum lain. Orang Melayu hanya diberikan jawatan hiasan untuk tujuan kosmetik dan perhubungan awam, khususnya jika syarikat berkenaan mempunyai urusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang majoritinya ditadbir oleh pegawai Melayu. Secara praktik, orang Melayu telah memberikan kepada bukan Melayu hak-hak yang tidak terpisah di bawah perlembagaan sebagai ganti untuk apa yang akhirnya hanya berupa tidak lebih daripada janji-janji samar dan kosong oleh bukan Melayu. Namun, janji-janji ini pun kini dinafikan sesetengah bahagian komuniti bukan Melayu.

Sebagai kesimpulan, kita tidak perlu menggadaikan prinsip untuk merealisasikan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Apa yang penting, perangai kita mesti berubah. Pemimpin mesti dapat dilihat sebagai juara rakyat, dengan bertindak mengikut landasan kebenaran berpaksikan kepada perlembagaan seperti mana yang telah dipersetujui bersama. Yakinlah, Allah bersama-sama orang yang benar. Berubahlah sebelum parah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, March 21, 2010

Apabila Belanda minta tanah, kaduk naik junjung...

7:30 AM Posted by RIDHUAN TEE 210 comments
Mingguan Malaysia, 21 Mac 2010

PADA 13 Mac 2010, saya menerima e-mel daripada seorang saudara yang amat prihatin dengan nasib Melayu di bumi Melayu yang selalu dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu terutama parti ultra kiasu dan rakan sekutunya yang boleh diibaratkan seperti Belanda minta tanah dan kaduk naik junjung.

Saya terpaksa mengubah tajuk artikel yang sepatutnya kerana saya fikirkan emailnya amat penting, apatah lagi isu ini telah disensasikan oleh laman-laman web mereka.

Isunya berkaitan dengan penduduk Kampung Sungai Terentang, Rawang yang membantah kerja-kerja pemasangan kabel voltan tinggi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang boleh dijadikan iktibar kepada masyarakat bukan Melayu untuk memahami sentimen kebanyakan masyarakat Melayu.

Janganlah tuduh saya lebih Melayu dari Melayu selepas ini kerana saya tidak pernah mengakuinya walaupun ia diikhtiraf oleh Perlembagaan.
Sepanjang pengetahuan saya, tanah yang diduduki oleh penduduk kampung berkenaan bukannya tanah mereka pun. Tanah itu milik TNB dan mereka hanyalah setinggan di situ. Tetapi apabila ada ura-ura hendak merobohkan kediaman mereka dan memindahkan mereka yang terlibat, semuanya menjadi kecoh dan ramai yang menentang.

Pemimpin-pemimpin ultra kiasu mula masuk kampung kerana mereka mahu menjadi jaguh kampung untuk mendapatkan publisiti murahan. Bayangkanlah jika tanah tersebut diduduki oleh orang Melayu, sudah tentu TNB akan meneruskan kerja-kerjanya. Orang Melayu akan memberikan laluan atas dasar pembangunan walaupun pampasannya tidak seberapa. Apakah mungkin ultra kiasu ini akan membela mereka dengan bersungguh-sungguh?

Setinggan tetap setinggan. Dari segi undang-undang, mereka tidak ada hak pun untuk mempertahankan tanah tersebut. Saya tidak nampak semua rumah akan dirobohkan, mungkin sebahagian. Namun, mereka telah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu.

Mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu sebab itu adalah tanah TNB, muktamad. Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat yang telah mereka melaksanakan. Tidakkah jumlah wang tersebut begitu besar?

Tetapi inilah sifat ultra kiasu yang telah menyelubungi mereka yang setelah dihasut oleh parti ultra kiasu. Jika di Pulau Pinang, senang sahaja tanah Melayu diambil dan gerai mereka diroboh, tetapi bila kena batang hidung sendiri? Alahai, itulah nasib Melayu di bumi Melayu. Lebih menyedihkan orang Melayu tidak banyak tampil membela Melayu itu sendiri. Menitis air mata memikirkan bila bukan Melayu seperti saya terpaksa membela Melayu hanya dek kerana Melayu beragama Islam, walaupun terpaksa dihina dan dikeji oleh bangsa sendiri termasuk saudara mara saya. Tetapi apakan daya, semangat Islam mengatasi segala-gala.

Keistimewaan

Sepatutnya mereka mesti faham mengapa masyarakat bumiputera diberikan keistimewaan di sebuah negara yang diwarisi daripada nenek moyang mereka selama beratus bahkan beribu tahun. Jika mereka yang baru tinggal di situ secara haram tidak sampai seratus tahun bermati-matian berpendapat mereka berhak atas tanah tersebut disebabkan apa yang mereka telah usahakan, apakah salahnya bagi kaum bumiputera diberikan keistimewaan dari segi polisi pentadbiran kerana mereka juga telah berusaha selama ratusan (bahkan mungkin ribuan) tahun untuk memakmurkan wilayah mereka sendiri?

Di samping itu saya juga ingin berkongsi pengalaman seseorang yang pernah bekerja di bahagian kewangan sebuah kementerian yang diterajui oleh menteri bukan Melayu.

Menurutnya, jika dalam kampung tersebut adalah terdiri daripada bukan Melayu yang sebangsa dengan menteri tersebut, maka jumlah gantirugi yang diberikan kepada penduduk tersebut adalah berlipat kali ganda. Manakala, jika kawasan tersebut dihuni oleh orang Melayu atau bumiputera, maka peruntukan atau ganti rugi tersebut dibuat lebih kurang sahaja.

Orang Melayu tidak banyak cakap dan menerima sahaja kerana pada mereka wang selonggok di depan mata sudah mencukupi. Mereka tidak sedar bahawa sejumlah wang tersebut hanya boleh menyaranya untuk jangka masa yang singkat, berbanding orang lain yang mungkin mendapatkan perlindungan atau pampasan jangka panjang.
Hari ini, mungkin pada luarannya dasar kerajaan nampak melebihkan bumiputera, tapi secara aplikasinya tidaklah begitu.

Malah apa yang diperjuangkan oleh sebahagian masyarakat bukan Melayu selama ini mungkin telah pun mereka dapat secara senyap-senyap. Cuma tidak diberikan publisiti secara besar-besaran sebagaimana cara kita membantu orang Melayu. Publisitinya begitu meluas. Inilah sifat kita, selalunya suka dipuji sehingga pujian tersebut mengalpakan kita, ibarat menang sorak kampung tergadai.

Saya memetik kata-kata e-mel tersebut yang amat menyentuh hati saya:

"Apa pun saya bukanlah sayang sangat bangsa saya, bahkan saudara-saudara baru (mualaf) lebih saya sayang daripada kebanyakan Melayu muslim. Terus terang saya katakan jika ada seorang Cina/India /Siam/Iban/Kadazan dan lain-lain yang baru memeluk Islam tidak sampai sebulan, tapi lebih alim, bertaqwa, cekap dan berkaliber dalam memerintah negara, saya lebih rela negara ini diperintah olehnya. Ini kerana, seorang mukmin yang bertaqwa pasti akan berusaha memerintah dengan penuh keadilan tidak kira apa pun bangsanya. Yang Melayu Muslim memerintah sekarang ini ramai yang lebih banyak memalit arang kepada imej Islam (termasuklah daripada PAS sendiri). Cuma saya menulis di sini kerana ada pihak yang sudah jadi macam Belanda minta tanah, diberi betis nakkan peha".

Saya tidak dapat meneruskan kata-kata beliau kerana agak sensitif. Apa pun saya ucapkan terima kasih di atas keprihatinan dan sensitiviti penghantar email tersebut terhadap permasalahan ummah dalam pembinaan negara bangsa. Bandingkanlah tolak ansur, berapa banyak tanah-tanah Melayu termasuk tanah rezab yang telah tergadai kerana memberikan laluan kepada pembangunan? Hatta, masjid surau pun sanggup dirobohkan?

Bayangkan jika satu kuil atau rumah ibadat mereka dirobohkan, apakah reaksinya? Kenapa penduduk di kawasan tersebut begitu bimbang rumah mereka akan dirobohkan bagi pembinaan menara untuk kepentingan masa depan dan anak cucu mereka? Isunya hanya berkaitan pemasangan kabel elektrik dan pampasan telah pun disediakan? Takkan mereka mengharapkan TNB menyedia rumah banglo untuk mereka di kawasan bukan milik mereka?

Bantahan mereka masih belum berakhir. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin memberi jaminan bahawa tidak ada kerja-kerja merobohkan akan diadakan sehingga mesyuarat antara TNB dan wakil penduduk diadakan Jumaat lalu. Saya tidak tahu apakah keputusan kerana artikel ini terpaksa dihantar lebih awal.

Namun, saya boleh menjangkakan bahawa mesyuarat tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah, apatah lagi kawasan tersebut berada di negeri yang perintah oleh ultra kiasu. Awal-awal lagi mereka telah bersekongkol walaupun ia bercanggah dengan undang-undang. Ini yang selalu saya katakan, bila nasib sebegini menimpa umat Islam, tidak banyak timbul masalah. Tetapi bila kena pada bukan Islam, satu Malaysia seolah-olah tidak ada berita lain. Tindakan sebegini ternyata amat bercanggah dengan konsep 1Malaysia yakni memberikan hak kepada yang berhak mengikut lunas undang-undang bukannya menuntut apa yang telah dapat dan menambah sampai membukit.

Seultra kiasu

Melayu yang saya kenal tidaklah seultra kiasu seperti sekumpulan mereka yang berada di negeri ultra kiasu ini. Mereka rela hasil bumi dikaut oleh orang lain selagi budaya dan agama Islam terpelihara. Mereka jarang cemburu atau dengki kepada orang lain, walaupun sifat ini berlaku di kalangan sesama mereka. Bapa saya boleh membina kekayaan di kawasan majoriti orang Melayu, tanpa diganggu-gugat. Bapa saya berjaya membeli beberapa keping tanah di kampung-kampung Melayu.

Satu kelemahan orang Melayu mudah cair melihat wang di depan mata dan pada masa sama mereka suka berhutang. Berhutang pula jarang mahu bayar, tetapi mereka tidak sedar keuntungan telah pun diperolehi daripada hutang pokok yang tidak dibayar. Bila hutang tidak dapat dibayar, maka hutang tersebut akan ditebus dengan menjualkan barang kepunyaan mereka seperti barang kemas, tanah, hasil subsidi kerajaan seperti biji benih, baja dan sebagainya. Semasa saya kecil dahulu, saya melihat begitu banyak hasil subsidi kerajaan telah dijual kepada bapa saya bagi mereka yang tidak mampu membayar hutang.

Kalau dulu hutang dipotong dengan menjual subsidi kerajaan, hari ini along telah mengambil alih tugas tersebut. Hutang mesti dibayar bersama faedah yang tinggi. Hutang bersama faedah akan terus bertambah dari masa ke semasa jika tidak dibayar. Inilah sifat yang menyamai sifat Yahudi. Kebanyakan harta umat Islam tergadai kepada along kerana harta mereka telah tergadai.

Saya ingin ingatkan rakan sebangsa saya, orang Melayu yang saya kenali suka memendam rasa. Hari ini mereka asyik mengalah. Kita pula seronok melihat orang lain kalah atau dikenakan tindakan.

Kita sentiasa mahu menang, tanpa menyedari kemenangan itu meninggalkan implikasi besar ke atas orang lain. Kita jarang mengkaji parut yang tinggal akibat kekalahan yang diterima. Parut inilah yang bahaya kerana parut ini akan meninggal kenangan yang sukar untuk dilupakan.

Dari sudut psikologi, parut itu akan dikenang hingga ke akhir hayat. Inilah yang disebut luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu. Parut ini biasanya akan menyebabkan seseorang itu memendam rasa. Sesuatu yang dipendam tidak selama-lamanya terpendam. Satu hari ia akan meletup. Letupan itulah yang paling saya takuti.

Saya bangkitkan isu ini kerana saya sayangkan bangsa saya yang tidak ultra kiasu. Saya bimbang mereka turut menjadi mangsa disebabkan oleh tindakan segelintir ultra kiasu. Mungkin sekarang kita tidak dapat kesannya. Tetapi ia tidak mustahil akan berlaku. Cuma masa akan menentukan. Saya cukup bersetuju dengan kata-kata bahawa negara kita nampak sahaja stabil tetapi sebenarnya tension.

Sunday, March 14, 2010

Di sebalik resolusi Perhimpunan Agung MCA

6:54 AM Posted by RIDHUAN TEE 86 comments
Mingguan Malaysia, 14 Mac 2010

Dalam kekusutan dan kekecohan MCA berhadapan dengan masalah dalamannya, Perhimpunan Agung Tahunan MCA (AGM) Ke-56 yang berakhir pada 7 Februari 2010, meluluskan lima resolusi merangkumi 16 perkara di bawah usul politik, hal ehwal kerajaan, pendidikan, sosial dan ekonomi serta budaya. Antara resolusi yang diluluskan sebulat suara yang menarik perhatian saya adalah mengenai penambahan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, perubahan dan inovasi pengkongsian kuasa Barisan Nasional (BN), penambahan sekolah vernakular dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di semua sekolah persendirian Cina. Satu lagi resolusi yang paling saya tidak dapat terima ialah campurtangan mereka dalam hukuman sebat yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah. Sikap mencampuri urusan rumah tangga orang lain boleh dikira biadab ketika mana rumah tangga sendiri berantakan. Tidakkah mereka sedar bahawa selama ini umat Islam di negara ini, tidak pernah campurtangan sama sekali dalam urusan orang bukan Islam. Licik sungguh mereka ini, sesuatu yang dirasa ‘menggugat’ kedudukan mereka didesak habis-habisan manakala yang boleh diambil kesempatan dan peluang disokong tanpa berbelah bahagi seperti gagasan 1Malaysia, yang pada pandangan mereka berasaskan konsep sama rata dan sama rasa.

Termenung seketika memikirkan tuntutan sebegini setelah sekian lama bersama BN dan berkawan dengan UMNO. Kawan tidak menjaga kawan, kadangkala jadi lawan. Ketika kawan lemah, ambil kesempatan, bertindak seperti gunting dalam lipatan. Serba sedikit saya dapat membaca maksud tersirat dan tersurat permintaan dan desakan mereka itu. Saya telah ulas panjang lebar mengenai kedudukan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, mungkin mereka boleh baca apa yang telah saya tulis sebelum ini (Mingguan Malaysia, 14 Februari 2010). Tidakkah kita dapat melihat ramainya orang Islam (Melayu) dalam perkhidmatan awam dan pembolotan bukan Melayu dalam ekonomi sebagai situasi menang-menang atau win-win? Kenapa masih belum puas?

Mengenai inovasi dan perubahan struktur perkongsian kuasa dalam BN, saya dapat melihat mereka mahukan jawatan tinggi dalam BN seperti pengerusi BN, timbalan BN, setiausaha agung BN, bendahari BN dan jawatan penting lain BN digilirkan. Selepas itu, jawatan-jawatan ini akan digunakan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan jawatan-jawatan penting dalam kabinet termasuk jawatan PM dan TPM dan sebagainya di kemudian hari. Perkara ini bukanlah isu baru, ia telah dibangkitkan sekian lama oleh parti ultra kiasu yang lain, cuma masih belum menjadi realiti.

Sejak dahulu lagi perjuangan mereka tidak pernah padam. Jika dahulu jawatan menteri kewangan pernah disandang oleh mereka. Hari ini mereka mahu kembali mendapat jawatan tersebut dan jawatan yang lebih senior. Cuma, saya menyeru nilaikanlah toleransi yang berlaku, berapa ramai calon bukan Melayu yang telah dilantik menjadi senator dan diberikan jawatan menteri, walaupun mereka kalah dalam pilihan raya. MCA pula begitu beruntung kerana mereka menang pilihan raya di kawasan majoriti Melayu. Saya akan tabik MCA dengan sepuluh hari jika MCA atau Gerakan dapat mengalahkan parti ultra kiasu dalam pilihan raya di kawasan majoriti bukan Melayu.

Jika parti-parti komponen BN ini boleh menang, ketika itu mereka mungkin wajar mendesak dan mengemukakan tuntutan kepada kerajaan. Jika tidak, tak payahlah kemukakan tuntutan sedemikian, jagalah masalah dalaman parti terlebih dahulu. Janganlah hendak menjadi jaguh ketika sokongan bukan Melayu telah beralih kepada ultra kiasu. Saya begitu teruja untuk melihat parti komponen BN ini dapat merebut kembali Pulau Pinang jika mereka mampu. Saranan bekas presiden Gerakan ada betulnya. Parti-parti politik ini perlu menumpukan perhatian untuk membina kekuatan dalaman dan meraih sokongan dahulu sebelum bercita-cita tinggi untuk merampas Pulau Pinang daripada ultra kiasu. Apapun, mereka masih tidak rugi apa-apa kerana pulau tersebut masih lagi berada dalam genggaman orang yang sama kerana tindakan dan desakan mereka tidak banyak beza.

Parti itu juga menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditawarkan semua sekolah persendirian Cina selain menyediakan peruntukan kepada sekolah terbabit supaya lebih ramai pelajar yang berbakat dapat dipupuk. Kerajaan juga digesa untuk terus mengamalkan dasar pendidikan yang lebih liberal dan berbilang kaum supaya lebih banyak sekolah vernakular boleh ditubuhkan dan dimasukkan ke dalam program pembangunan nasional. Persoalannya bakat dan pembangunan nasional bagaimanakah yang ingin dipupuk? Di manakah bakat-bakat tersebut? Apakah mereka berperanan besar dalam pembinaan sebuah negara bangsa? Rujuk artikel saya pada 31 Januari 2010 dan 22 November 2009. Kenapa tidak dibincangkan langsung akan kepentingan sekolah satu sistem (SSS) yang mana semua pelajar dapat dikumpulkan dalam satu tempat tanpa menafikan hak untuk belajar bahasa ibunda? Saya fikir sudah tibanya parti-parti politik ini berbincang akan modus operandi dan operasi SSS demi masa depan negara. Jangan ketepikan langsung kepentingan SSS dalam pembinaan negara bangsa, berbanding dengan hanya kepentingan bangsa. Saya akan bersetuju dengan pengikhtirafan sijil ini jika banyak masa diperuntukan untuk pengajaran dan pembelajaran yang mengutamakan bahasa kebangsaan.

Berapa banyakkah lagi sekolah seperti ini hendak dibina? Buatlah kajian dahulu tentang keberkesanan, kebolehan dan pencapaian BM dalam peperiksaan dan komunikasi. Begitu juga dengan semangat cintakan kepentingan nasional sebelum mendesak kerajaan bina yang baru. Setelah menonton rakaman debat antara ketua pemuda MCA dan Khoo Kay Kim, baru saya sedar betapa kiasunya parti ini seolah-olah tidak bezanya dengan parti ultra kiasu yang satu lagi. Sebagai timbalan menteri pelajaran beliau sepatutnya berhujah dengan lebih akademik bukannya beremosi. Hujah yang mengatakan pelajar sekolah vernakular hanya enam tahun berada di sekolah rendah, berbanding mereka lebih lama di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi adalah hujah yang ultra kiasu. Seolah-olah kita menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri. Apakah kita tidak belajar psikologi atau terlebih belajar sains? Tanyalah kepada sesiapapun, zaman kanak-kanak adalah tahap yang paling kritikal. Pepatah ada menyebut melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mungkinkah dia berpegang kepada melentur buluh biarlah dari buluhnya. Hujah menegakkan benang yang basah ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Saya ingin mengajak mereka yang kiasu ini supaya datang ke sekolah saya dan lihat bagaimana keadaan pelajar di sekolah di sini setelah dilentur sejak kecil di sekolah vernakular. Buat pemerhatian ke atas kelas peralihan, penguasaan BM dan pergaulan mereka. Saya tidak faham adakah mereka yang pandai berkata-kata pernah pergi ke sekolah yang di bawah seliaannya sendiri. Jangan asyik pergi ke sekolah sendiri sahaja. Sudah sampai masanya kajian secara akademik dibuat secara telus akan keberkesanan semua sekolah ke arah pembinaan negara bangsa berasaskan perlembagaan negara. Sebenarnya, kajian telahpun dibuat, tetapi kita mengambil sikap endah tak endah sebab hasil kajian tidak menyebelahui kita. Apapun selesaikan dahulu masalah dalaman parti, selepas kita boleh berbincang dan berdebat di tempat yang agak neutral.

Saya tidak nampak ada masalah dengan pengikhtirafan ke atas UEC. Mungkin mereka agak sukar untuk mereka mencari pekerjaan di sektor awam, tetapi pengambilan mereka ke dalam sektor swasta boleh dikatakan tidak ada halangan langsung, walaupun mungkin mereka gagal dalam BM. Mereka ibarat kek panas, maklum sahajalah sektor swasta tidak memerlukan kelayakan BM untuk bekerja di sana, terutama akhbar-akhbar ultra kiasu. Apakah mungkin perkara ini juga yang menyebabkan bilangan mereka tidak bertambah di sektor awam? Pendek kata, sama ada sijil UEC ini tidak ikhtiraf atau tidak, tidak banyak bezanya. Sikap menambah yang telah dapat, patut dipuji, tetapi janganlah ditambah sehingga membukit mengakibatkan orang lain merasa diketepikan? Buatlah kajian sama bagaimana sekolah jenis ini boleh meningkatkan idealism pembinaan negara bangsa.

Resolusi yang menggesa semua jabatan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan Biro Tata Negara (BTN) mengubah suai silibus mengikut fakta sejarah dan menyerapkan konsep 1Malaysia ke dalam kurikulumnya juga tidak dapat lari dari sikap ultra kiasu. Resolusi ini memperlihatkan bahawa selama ini sejarahawan kita telah memutar-belitkan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Saya ingin bertanya, di bahagian manakah yang telah diputar-belitkan. Selaku pensyarah dalam bidang politik dan kerajaan yang berkait rapat dengan sejarah, saya teramat ingin melihat fakta sejarah manakah yang didakwa diselewengkan? Adakah kita mempunyai niat tersembunyi untuk mengubah fakta sejarah supaya lebih berpihak kepada kita? Sejarah tetap sejarah, ia akan terus kekal sampai bila-bila. Janganlah diubah fakta tersebut semata-mata untuk menggembirakan diri sendiri. Susah-susah sangat, tanyalah Khoo Kay Kim. Beliau adalah pakar daripada segala pakar dalam bidang sejarah. Malangnya pakar sejarah ini ditolak sama sekali oleh mereka yang banyak bercakap ini.

MCA turut meminta kerajaan menilai semula hukuman fizikal terhadap golongan wanita beragama Islam dan bertindak atas dasar pertimbangan kemanusiaan dengan mematuhi persetujuan yang diterima pakai "Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita" (CEDAW). Nasihat saya, MCA tidak perlu gatal tangan untuk campurtangan dalam hal ehwal agama Islam, kerana orang Islam lebih arif dengan kehidupan mereka sendiri. Jagalah rumahtangga sendiri dahulu yang sedang berantakan. Lagipun orang Islam tidak pernah sama sekali campurtangan dalam urusan orang lain. Kenapa perlu menyakitkan hati orang Islam?

Jauh sungguh bezanya sokongan mereka terhdap gagasan 1Malaysia. Bila dirasa menguntungkan maka disokong tanpa berbelah bahagi. Namun sebaliknya bila dilihat ada kerugian dan pengurangan, maka akan ditentang habis-habisan. Sikap ultra kiasu ini tidak ada bezanya langsung dengan parti ultra kiasu. Logo sahaja berlainan, perjuangan tetap sama. Suara mereka tetap tidak berubah. Ini yang saya selalu katakan bersatu dalam senyap. Di luar ada yang lantang mengkritik, di dalam ada yang memujuk, laksana adik-beradik. Strategi inilah yang telah mencairkan parti politik yang memerintah. Mungkinkah selepas ini mereka akan menyokong pula cadangan untuk mengadakan pilihan raya majlis perbandaran seperti yang dicadangkan oleh negeri yang perintah oleh ultra kiasu itu? Maklumlah kawasan bandar lebih ramai dihuni oleh pengikut-pengikutnya.

Saya yakin selepas ini parti-parti komponen BN yang lain akan membuat tuntutan yang hampir sama atau mungkin lebih ekstrim, jika kita terus melayan tuntutan dan desakan parti yang sedang berkecamuk ini. Kadangkala simpati saya terhadap UMNO, selaku parti tunggal Melayu Islam, mereka terpaksa mendengar dan menerima semua desakan dan rintihan parti-parti komponen BN yang rata-ratanya tidak Islam. Siapakah sebenarnya yang akan mendengar dan melayan rintihan UMNO yang ada berkeinginan untuk menegakkan kepentingan bangsa dan agamanya? Apakah mungkin PAS dan PKR mahu mendengar dan berkongsi beban ini atau terus-menerus mahu menuduh dan menyalahkan UMNO?

Kita sepatutnya belajar daripada strategi orang lain. Apa jua masalah yang melanda, suara dan desakan mereka tetap senada. Berbeza sungguh dengan parti-parti Melayu. Bergaduh seolah-olah tidak ada noktahnya, sehingga terlepas pandang agenda bangsa dan agama.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, March 07, 2010

Menghargai toleransi peribumi

12:21 PM Posted by RIDHUAN TEE 130 comments
Mingguan Malaysia 7 Februari 2010

Menghargai dan membalas toleransi pribumi

Sekali lagi isu bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri (PM) dibangkitkan oleh beberapa sarjana Melayu Islam. Kesempatan dan peluang ini disebar luaskan oleh laman-laman web ultra kiasu dan mereka anti Islam. Saya tidak pasti apakah muslihat serta maksud tersurat dan tersirat di sebalik membangkitkan perkara ini. Kalaupun benar bukan Melayu boleh menjadi PM, tidak perlu dibangkitkan kerana ia sukar menjadi realiti, apatah lagi ia menyentuh sensitiviti bangsa pribumi ini. Lagipun pada saya, orang kanan selepas Melayu adalah bumiputera Sabah dan Sarawak, bukannya orang lain. Kalaupun mereka layak, tidak seharusnya mereka menerima jawatan PM. Ini kerana masih ramai majoriti orang Islam yang layak dan lebih berhak di buminya sendiri. Jangan pula bandingkan dengan Thailand, kerana bukan Siam di sana lebih Siam dari Siam. Saya tidak bertujuan untuk membela Melayu, tetapi saya cuba memahami psiki bangsa Melayu berbanding bangsa lain, setelah memahami psiki bangsa saya sendiri. Tidakkah itu lebih baik kerana kita semua berada dalam komuniti majoriti masyarakat Melayu?

Sebagai bukan Melayu, saya amat bersyukur berada di bumi bertuah ini. Walaupun saya lahir selepas merdeka, tidak dapat melihat bagaimana kontrak sosial dipersetujui, namun saya amat bersyukur kerana nenek moyang saya diterima menjadi warganegara di bumi ini. Nenek moyang saya diterima secara pukal tanpa sebarang syarat. Nenek moyang saya tidak dikenakan syarat sehingga boleh mengubah dan mengganggu-gugat cara hidup dan jati diri mereka. Mereka seperti seadanya sebagaimana asal, tanpa ada ubah suai walaupun sedikit. Mereka bebas berbahasa sendiri, hidup dalam kelompok sendiri, bersekolah sendiri, malah dapat mengaut kekayaan tanpa sekatan dan halangan, sehingga kekayaan melimpah ruah. Sejarah sebegini tidak pernah berlaku di dunia negara lain. Di negara lain, bukan sahaja mereka ditolak, malah akan dikenakan syarat-syarat yang ketat sebelum diterima menjadi warganegara. Paling ketara mereka akan diasimilasikan. Beruntung sungguh kita di sini. Inilah nikmat yang mesti disyukuri bukan dikufuri.

Tidak perlu saya kemukakan bukti, jeling-jelinglah negara-negara jiran seperti Thailand, Burma, Indonesia dan Filipina. Bilangan mereka yang diterima hanya di sekitar tiga – sepuluh peratus, selebihnya ditolak. Berbanding negara kita, bukan pribumi melebihi 40 peratus. Pada masa sama, kekayaan yang dikuasai dan diperolehi melebihi 70 peratus sehingga menimbul keresahan kepada pribumi. Inilah bentuk toleransi yang tidak ada tolok bandingnya yang perlu disampaikan kepada generasi akan datang. Menurut Amy Chua, seorang Profesor Cina berasal dari Filipina yang telah berhijrah ke Amerika Syarikat, toleransi bukan bermakna persamaan atau penghormatan, tetapi toleransi adalah memberikan peluang kepada orang yang berlainan cara hidup, bekerja, berpartisipasi dan berjaya dalam masyarakat tanpa melihat latar belakang etnik atau agama. Walaupun Amy Chua ini telah berhijrah ke Amerika, pendapat beliau agak berpijak di bumi nyata, tidak ultra kiasu. Kita perlu ramai orang seperti ini. Toleransi bukan sama rata atau sama rasa. Apa yang berlaku dahulu dan kini di negara kita bertepatan dengan apa yang dikatakan oleh Amy Chua. Orang Islam tidak pernah menghalang bukan Islam untuk hidup lebih berjaya dalam apa jua sektor pekerjaan dan berpartisipasi. Apatah lagi untuk campurtangan dalam hal-ehwal agama mereka, kecuali jika agama kita dicabar.

Selaku warga yang memahami sejarah, saya dapat merasakan betapa bertuahnya kita pada hari ini. Jika ditakdirkan, tidak berlaku penerimaan pribumi, apakah saya masih hidup hari ini? Sepanjang pembacaan saya, mereka yang telah keluar berhijrah, tidak akan diterima kembali, kecuali mempunyai bakat dan kebolehan yang luar biasa ataupun mungkin mereka yang belot dengan menjual rahsia kedaulatan negara atau menjual harta negara seperti membawa wang keluar negara atau menjual pasir ke negara jiran.

Justeru, adalah tidak menghairankan jika orang seperti Tan Siew Sin dan Sambanthan pernah mengeluarkan ucapan di sekitar tahun-tahun 1950an, yang amat menghargai toleransi yang telah ditunjukkan oleh pribumi. Mereka benar-benar merasa bersyukur kerana diberi peluang dan diterima seadanya. Sejarah ini mesti difahami oleh setiap rakyat Malaysia tanpa ketinggalan. Jika tidak, mereka akan menjadi ultra kiasu. Menuntut sesuatu yang tidak seharusnya dituntut. Mengungkit sesuatu yang tidak perlu diungkit.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa tidak ramai pribumi yang berjaya atau menguasai kekayaan di bumi sendiri? Fenomena pribumi tidak berjaya di bumi sendiri bukan fenomena baru. Ia berlaku di mana-mana, terutama di negara Asia Tenggara dan juga dunia lain yang sudi menerima kedatangan mereka yang berhijrah. Kenyataan ini diakui oleh semua sarjana, kejayaan dan harta yang dimiliki oleh mereka yang berhijrah menenggelamkan kekayaan pribumi di bumi mereka sendiri, sehingga menimbulkan keresahan atau iri hati pribumi kepada mereka. Namun, ramai sarjana tidak mengatakan punca-punca yang menyebabkan ia berlaku sedemikian rupa. Saya mempunyai jawapan mengenai perkara yang masih belum dijawab oleh sarjana-sarjana ini termasuk Amy Chua.

Pada saya, pribumi merasa selamat dan selesa di bumi mereka sendiri. Mereka bersangka baik terhadap rakan mereka yang datang berhijrah. Mereka tidak dengki dengan kekayaan yang dimiliki walaupun hidup terpisah dalam kelompok sendiri mengikut cara hidup yang agak ekstrim. Pribumi sudah bahagia dengan kehidupan ala kadar atau cukup makan, walaupun sikap ini tidak sepatutnya berlaku. Inilah sifat pribumi yang saya kenali. Tidak tamak, bersyukur dengan apa yang ada. Jika kayapun, sekadar boleh hidup mewah bukannya untuk membina empayar. Sikap rendah diri, lembut, sopan santun menguasai diri. Itulah Melayu menurut sajak-sajak Lim Swee Tin, Usman Awang dan Muhammad Haji Salleh yang saya teliti.

Kefahaman dan latar belakang inilah menjadikan saya amat terharu dengan majlis perasmian pelancaran buku terbaru professor tersohor Syed Naguib Al-attas oleh Raja Nazrin Shah baru-baru ini. Penghormatan Raja Nazrin terhadap ilmuan amat tinggi di luar jangkauan saya dengan sifat baginda sebagai anak raja. Teks ucapannya yang begitu menyanjung tinggi ilmuan begitu mengkagumkan dan baginda hampir sebak membacanya. Ini tidak termasuk aksi penghormatan baginda terhadap ilmuan Syed Naguib ketika berada di pentas. Syed Naguib dipimpin dan diminta duduk ketika bangun untuk memberikan penghormatan kepada baginda. Inilah sifat orang Melayu yang amat saya puji. Tidak bongkak, tetapi amat merendah diri, tanpa melihat darjat keturunan. Tetapi janganlah pula diambil kesempatan oleh orang lain pula.

Hari ini kita lihat seolah-olah kita mengambil kesempatan. Sikap pribumi yang sedemikian diambil peluang untuk menangguh di air yang keruh. Benar, mereka tidak berapa pentingkan kekayaan kerana kekayaan tidak boleh dibawa ke mati. Hanya iman dan takwa nilaian Allah SWT. Tetapi janganlah pula kita mengambil kesempatan dengan merosakkan mereka melalui rasuah, wanita, riba, wang dan sogokan lain terbentang di depan mata.

Janganlah kita ikuti atau meniru perangai Yahudi. Kenapa Yahudi begitu berjaya dan dapat membina empayar walaupun bukan di bumi sendiri? Jawapannya mudah, Yahudi mengambil kesempatan di atas kelemahan atau sikap tolak ansur orang lain, terutama orang Islam. Ketika merempat, Yahudi berbuat baik dengan umat Islam di Palestin. Namun, sedikit demi sedikit mereka khianat, untuk menguasai pribumi dan kekayaan buminya. Antaranya ialah dengan memberikan pinjaman melalui sistem riba dan merasuah mereka. Bila pinjaman tidak berbayar, ditambah dengan faedah yang tinggi, maka tanah sebagai galang gantinya. Tanah milik pribumi diambil seinci demi seinci. Lama-kelamaman, kini hampir seluruh bumi pribumi Palestin terlepas ke tangan Yahudi. Bangsa yang dahulunya sehelai sepinggang, berjaya menjadikan pribumi berdagang atau merempat di bumi sendiri.

Perkara yang sama berlaku di Singapura. Singapura perlu membesar untuk membina kekuatan. Cara paling mudah untuk membesar ialah dengan membeli pasir daripada negara kita berbanding dengan Indonesia yang terlalu jauh dan kosnya amat tinggi. Bagi memenuhi keperluan itu, mereka akan mencari orang Melayu melalui pengantara sekutu ultra kiasunya, di pejabat tanah yang mudah dirasuah dan mereka yang mudah belot, untuk mendapatkan dan membeli pasir. Hasrat mereka sudah tercapai. Negara ini bukan sahaja sudah membesar berkali ganda, malah hari ini mereka mahu negara ini terus membesar berganda-ganda. Tidak hairan nanti akan bercantum dengan Pulau Batu Putih yang telah terlepas ke negara ultra kiasu ini. Masihkah kita mahu duduk diam melihat maruah dan kedaulatan negara tergadai dan dipersenda? Rela menjual kedaulatan negara semata-mata untuk mendapatkan kekayaan yang sedikit. Manakala orang tengahnya mendapat kekayaan melimpah ruah. Semakin membesar Singapura, semakin kuat ancamannya terhadap negara kita. Tidak hairan suatu hari nanti mereka akan menguasai kita, jika kita terus leka dan lena dengan tipu daya mereka yang licik ini. Apatah tanah-tanah berharga di negara kita sudah terlepas ke tangan mereka, termasuk sebuah pulau lagi yang masih tinggal kepada sekutu mereka. Masihkah kita mahu berdiam diri?

Terbaru, pihak gereja katholik mahukan majalah Al-Islam meminta maaf secara terbuka di atas, artikel berjudul “Masuk Gereja Cari Gadis Bertudung Murtad” melalui tinjauan mereka di dalam gereja. Saya tidak nampak keperluan untuk meminta maaf terhadap mereka yang ada niat tersembunyi kepada kita yang terlalu bertoleransi. Kenapa kita mesti tunduk kepada ugutan mereka? Cukuplah dengan kita gagal untuk mempertahankan penggunaan kalimah Allah. Pihak gereja janganlah bertindak seperti kaduk naik junjung. Mereka ini tidak ubah seperti kumpulan ultra kiasu yang mana asyik mahu menang sahaja.

Apakah tindakan mereka melarikan dan memurtadkan orang Melayu seperti Azlina Jailani dan orang Islam yang lain itu tidak salah? Tidakkah mereka sedar bahawa orang Melayu tidak boleh dimurtadkan mengikut perlembagaan perkara 11 dan 160 (2) yang berbunyi “Melayu adalah seseorang yang menganut Islam, lazim bercakap Melayu dan menurut adat Melayu”. Pernah pihak gereja meminta maaf terhadap orang Melayu yang telah dimurtadkan yang amat nyata bertentangan dengan perlembagaan? Kenapa toleransi ini tidak dihargai?

Justeru, saya meminta mereka supaya menghargai toleransi ini. Janganlah mengambil kesempatan ketika orang lain lemah. Saya cukup bimbang jika kita terlalu mendesak, kesabaran Melayu akan tergugat. Bila kesabaran telah hilang, saya bimbang bangsa yang saya kenali ini akan hilang pertimbangan. Hargai mereka. Kita tidak akan menyerang jika tidak diserang, tetapi kita tidak menyerang tanpa tentangan.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis