Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Sunday, April 11, 2010

Akibat kita mudah diperalatkan…

6:36 AM Posted by RIDHUAN TEE 241 comments
Mingguan Malaysia, 11 April 2010

Kadang-kadang saya terfikir apalah sangat hak-hak istimewa orang Melayu yang ingin direbut oleh bukan Melayu supaya selaras dengan gagasan 1Malaysia. Ya, dalam perlembagaan, seolah-olah ada hak istimewa itu (perkara 153), tetapi dalam bentuk yang praktikal sebenarnya masih menjadi tanda tanya. Justeru, saya amat musykil kenapa bukan Melayu begitu mendesak supaya mereka mendapat hak sama seperti orang Melayu. Bila sebut sahaja asimilasi, mereka tolak seratus peratus. Bila sebut pasal hak istimewa, gagasan 1Malaysia diperalatkan untuk memenuhi nafsu serakah tersebut.

Saya masih tercari-cari di manakah hak istimewa itu? Apa yang saya lihat semua sektor sudah mula dibuka untuk diisi, berbanding dahulu. Kedudukan bahasa Melayu? kedudukan agama Islam? biasiswa? kuota? Sekolah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan? IPTA dan IPTS? diskaun membeli rumah dan apa lagi? Boleh dikatakan semuanya tidak lagi dapat dilihat dengan jelas dari segi diskriminasinya. Yang jelas, hak Melayu semakin terhakis. Apa yang saya tahu boleh dikatakan semuanya sudah dapat seorang sebiji. Sama rata sama rasa. Di manakah kelebihan yang ada pada Melayu yang sangat-sangat diharapkan. Tidak perlu saya buktikan satu persatu. Lihatlah sekeliling, apa yang telah berlaku di depan mata.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, seolah-olah sudah setaraf dengan bahasa lain dari segi penggunaannya sama ada perbualan mahupun bahasa bacaan. Lihat kain rentang dan risalah-risalah adakah bahasa Melayu didaulatkan? Kedudukan agama Islam berbanding agama lain, hari ini agama Islam secara berani telah dicabar di mahkamah dan mereka yang ultra kiasu telah banyak kali menang. Mereka begitu berani campurtangan dalam hal ehwal agama kita, sedangkan kita tidak pernah campurtangan dalam hal ehwal agama mereka.

Kedudukan SJKC dan SK, tidak menampakkan perbezaan. Mereka dengan bahasa ibunda, SK dengan bahasa kebangsaan. Begitu juga dengan sekolah persendirian. Saya difahamkan kerajaan akan mengikhtiraf sijil sekolah persendirian mereka (UEC). Jadi, saya sudah tidak nampak wujudnya diskriminasi yang jelas negatif, tetapi lebih kepada diskriminasi yang positif. Tetapi masih ada yang mengambil kesempatan. Kepada mereka yang minta saya pamirkan data-data dan statistik, InsyaAllah dari masa ke semasa maklumat tersebut akan saya sampaikan nanti disebabkan oleh ruang yang terhad.

Kadang kala tanpa data-data tersebut, kita sudah boleh lihat dengan jelas apa yang berlaku depan mata. Misalnya, biasiswa dan kuota, boleh dikatakan semua pelajar cemerlang telah ditaja oleh JPA. Ribuan hektar tanah telah diberikan kerajaan untuk pembangunan universiti berasaskan parti politik perkauman bagi memuaskan hati semua pihak. Jika ada kekurangan serba sedikit, itu adalah wajar. Mana ada sistem sebegini di dunia ini. Bacalah sama buku Huntington, bertajuk who are we, mengenai kedudukan minoriti di sana, kalau pun tidak mahu melihat pengalaman di negara-negara jiran kita seperti Thailand, Indonesia dan Filipina.

Lihat pula kuota dan diskaun tujuh peratus untuk membeli rumah. Sebenarnya tidak menguntungkan Melayu. Melayu sudah tidak mampu beli rumah kos sederhana dan mewah, akhirnya siapa yang untung setelah rumah tersebut dijual. Melayu diperalatkan untuk mendapatkan rumah tersebut melalui perjanjian dalam perjanjian jual beli.

Baru-baru ini saya pergi ke Batu Pahat, saya lihat kubur atau taman peringatan, didirikan di kawasan majoriti Melayu. Kenapa kubur tersebut tidak dibuat di kawasan yang berhampiran dengan tempat tinggal mereka? Bukankah mudah untuk berurusan? Tetapi orang Melayu, tidak banyak cakap. Cuba kita lihat apabila kubur Islam hendak didirikan berhampiran kawasan mereka, kita lihat berguni-guni memorandum bantahan akan dikemukakan kepada pihak-pihak berkaitan. Apakah erti semuanya ini? Kenapa tidak belajar menjaga perasaan sesama kita? Hari ini kita bukan hanya besar kepala, tetapi sudah semuanya membesar? Orang lain menjadi semakin mengecil. Kita tidak fikir akibat yang akan timbul disebabkan oleh sikap memendam rasa ini. Apakah kita tidak belajar psiki orang Melayu? Mereka mudah memendam rasa. Sesuatu yang terluka di hati akan dipendamkan terlebih dahulu. Sabar dan sabar. Saya yakin, sampai satu masa nanti, kesabaran itu akan hilang.

Semua yang dituntut selama ini boleh dikatakan telah hampir dipenuhi oleh kerajaan. Saya tidak nafikan ada wujud lompongan dan kelemahan sana sini dalam kerajaan seperti isu rasuah dan integriti. Dengan sebab itu ditubuhkan SPRM dan Institut Integriti. Langkah penambaikan sebegini janganlah ditolak kesemuanya.

Apa lagi sebenarnya agenda ultra kiasu? Saya fikir kita sudah tersasar kerana terlalu melayan mereka, sehingga kaduk naik junjung.

Lihat sahaja jawatan-jawatan politik dalam kabinet. Jawatan tersebut sudah tidak lagi mencerminkan perwakilan kaum, walaupun itulah yang sepatutnya berlaku. Desakan dan tuntutan terus dibuat untuk menambah lagi jawatan-jawatan bukan Melayu, walaupun bilangan mereka hanya sekelumit. Parti baru demi parti baru ditubuhkan dengan keahlian yang boleh dikira dengan jari, mereka begitu berani menuntut kerusi pilihan raya serta jawatan dalam kabinet.

Lihatlah apa yang telah segelintir ultra kiasu ini dapat. Sekolah sendiri, universiti sendiri, ekonomi sendiri, pertubuhan perkauman sendiri dan lain-lain. Syarikat merekalah yang paling banyak disenaraikan dalam bursa saham, termasuk syarikat yang menjadikan sektor kematian dan perkuburan sebagai sebagai bisnes.

Ke manakah wang dibawa pergi setelah mereka kaya raya? Wang dilaburkan di luar negara, kemudian segelintir mereka berhijrah lari meninggalkan negara kita dengan menukar taraf warganegara. Mereka tidak ada rasa terhutang budi untuk membalas jasa.

Pada mereka, mereka kaya disebabkan oleh usaha mereka sendiri, tidak ada kena mengena dengan polisi yang sedia ada menjadikan mereka kaya. Pada saya, jika sistem itu tidak membenarkan mereka menjadi kaya, tidak mungkin mereka akan kaya. Adakah dengan adanya dasar afirmatif, mereka menjadi semakin miskin? Tidakkah dengan DEB mereka turut menjadi kaya. Semakin ramai lahir usahawan bumiputera dilahirkan, semakin ramai mereka akan menjadi kaya. Logiknya mudah, jika seorang usahawan bumiputera dilahirkan, mereka memerlukan produk. Siapakah yang memilik produk tersebut dan menjualkannya kepada bumiputera tersebut? Sudah tentu bukan Melayu yang menguasai ekonomi. Maknanya, semakin kaya orang Melayu, orang bukan Melayu turut menjadi kaya sama, malah kaya berganda-ganda sebab mereka adalah pengeluar.

Lihatlah berapa ramai kakitangan awam yang bersara yang bergelar Tan Sri dan Dato diperalatkan dalam syarikat dan anak syarikat mereka. Golongan ini diperalatkan dengan sedikit habuan elaun mencecah puluhan ribu ringgit sebulan. Mereka sanggup menggunakan nama mereka untuk mendapatkan tender-tender kerajaan atas nama bumiputera. Akhirnya siapakah yang dapat tender-tender tersebut. Saya tidak pasti apakah hukum mereka yang diperalatkan ini untuk mendapatkan tender kerajaan. Selepas itu, golongan hanya boleh berlagak dengan jawatan pengerusi syarikat itu dan ini yang telah disenaraikan dalam bursa saham.

Saya yakin dalam suara hati kecil mereka akan berkata mereka diperalatkan, tetapi disebabkan oleh wang, mereka mudah kelabu mata. Anak bangsa terus merempat, orang lain terus menjadi kaya. Kita sanggup menjadi mandaliar, menggadaikan maruah agama bangsa dan negara. Jika benar-benar mereka mahu berjuang, ‘pak pacak’ ini mesti ada suara dengan jawatan yang dilantik dalam syarikat mereka itu. Selain daripada mendapat sedikit sebanyak saham, yakni untuk membantu mereka yang memerlukan, bukan terus menikmati elaun dan seterusnya pencen yang diberikan oleh kerajaan setelah bersara. Tidakkah kita merasa berdosa, duduk di syarikat tersebut. Mukapun tidak nampak dalam syarikat tersebut. Hanya nama mereka dipergunakan dan diperalatkan untuk mendapatkan tender atau kontrak kerajaan. Ini yang dikatakan kera di hutan disusukan, anak di rumah mati tak makan.

Saya tidak mengatakan kita orang Islam tidak boleh duduk dikerusi pengerusi syarikat yang dipunyai oleh orang bukan Melayu. Tetapi kita mesti memainkan berperanan. Bukan berlagak dengan jawatan. Fikirkan kepentingan anak bangsa sama. Apa yang boleh dimanfaatkan oleh anak bangsa dengan perlantikan tersebut. Janganlah menjadi mandaliar dan sikitol. Kita akan menyesalkan nanti, percayalah. Ketika itu, kita tidak dapat melihat atau merasainya, tetapi anak cucu kita yang akan sengsara. Apakah kita yakin anak cucu cicit kita akan dijaga oleh syarikat tersebut setelah kita memejam mata? Apakah kita ingat bahawa elaun yang kita perolehi itu boleh mengenyangkan keturunan kita satu generasi? Ingatlah wahai bangsa seagamaku, elaun yang kita perolehi hanya boleh mengenyangkan kita untuk satu hari atau mungkin setahun. Tetapi tender atau kontrak yang kita dapatkan untuk mereka, boleh mengenyangkan mereka satu generasi dan generasi inilah yang akan berhijrah ke luar negara nanti. Percayalah.

Justeru kepada anak bangsa sekelian, kita jangan mudah diperalatkan dengan hanya sedikit habuan di depan mata. Wang tidak akan dibawa ke mana setelah kita mati. Apa yang penting ialah generasi yang akan kita tinggalkan. Mampukah mereka bertahan? Ingatlah kata-kata pejuang-pejuang zaman dahulu, mereka berjuang bukan kerana pangkat, tetapi demi memperkasakan maruah agama, bangsa dan negara. Sekali lagi saya memetik kata-kata Pendeta Za’ba, bahawasanya keselamatan orang-orang Melayu ini pada pihak jalan kehidupannya (pencariannya) dan pada pihak perangai-perangainya yang kekurangan itu hanyalah boleh didapati pada satu jalan sahaja, iaitu diubati kemiskinannya yang pada pihak otak itu yakni kemiskinan pengetahuannya dengan jalan diberikan mereka itu pelajaran-pelajaran daripada jenis yang betul. Maka di situlah, dan di situlah sahaja boleh didapati keselamatan itu, tiada pada lainnya.

Jika orang lain ada strategi laut biru atau blue ocean strategy, kenapa tidak kita? Kita juga harus berfikir bagaimana mewujudkan ruang pasaran tanpa perebutan dan menjadikan persaingan tidak relevan (W. Chan Kim dan Renee Mauborgne, 2005). Hari ini kita asyik mahu merebut dan bersaing tanpa menghiraukan perasaan orang lain. Umat Islam mesti keluar daripada kelemut air yang penuh dengan segelintir jerung jika ingin berjaya dan tidak tidak diperalatkan oleh jerung tersebut.

Teringat saya berita 14 Mac 2010 bertajuk “Brunei lebih takut laknat Allah” oleh Menteri Hal Ehwal Agama Brunei, Dr. Mohd Zain Serudin yang menolak usul ultra kiasu ahli parlimen Goh King Chin, supaya zon jual beli arak diwujudkan untuk pelancong bukan Islam. Zain menegaskan, “andai ianya diwujudkan, Brunei yang mengharamkan penjualan arak pasti dilaknat Tuhan. Yang paling kami takuti ialah laknat Allah. Laknatnya bukan pada mereka yang melakukannya sahaja, tetapi pada semua yang berada di negara ini. Pelancong yang ingin minum arak boleh minum di negara mereka, malah mereka boleh mandi arak. Hari ini mereka mahu zon arak, lepas ini mungkin zon pelacuran, kasino. Kami perlu tolak semuanya dan kekalkan kemakmuran”.

Saya ucapkan tahniah dan kita perlu mengambil iktibar dari penegasan negarawan ini. Terus terang, inilah pemimpin yang meletakkan rakyat didahulukan, memahami kehendak akar umbi. Tidak mudah tunduk kepada desakan dan tekanan. Hak asasi manusia perlu diketepikan apabila berlaku pertembungan dengan hak-hak Maha Pencipta. Tujuannya tidak lain, untuk melindungi manusia yang tidak berdosa di buminya sendiri. Kita amat bimbang, bila berlaku sesuatu musibah mereka yang tidak berdosa turut menjadi mangsa disebabkan oleh tangan-tangan pendosa.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung, Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Monday, April 05, 2010

Berubah sebelum parah

6:40 AM Posted by RIDHUAN TEE 88 comments
Mingguan Malaysia, 4 April 2010

Sejak akhir-akhir ini krisis dalaman MCA mewarnai politik negara. Liputan demi liputan diberikan seolah-olah MCA adalah sebuah parti yang amat berpengaruh di kalangan orang Cina. Pada saya, MCA tidaklah sekuat mana berbanding parti-parti politik yang lain terutama parti ultra kiasu. Parti ultra kiasu telah berjaya mengalihkan perhatian dan minat ahli-ahli parti MCA dan Gerakan kepada mereka. Dengan sebab itu, tsunami politik dan pilihan raya 2008 adalah petunjuk yang amat jelas bahawa sokongan orang Cina telah beralih arah kepada ultra kiasu. Saya amat yakin, jika ditakdirkan pilihan raya umum berlangsung hari ini, belum tentu ahli MCA dan Gerakan mengundi calon mereka dalam pilihan raya. Kenapa? Inilah psiki yang mesti kita fahami.

Parti ultra kiasu telah berjaya memanipulasikan dan mengekspoitasikan isu sehingga menyerlahkan kehebatan mereka seolah-olah kelihatan sebagai jaguh rakyat. Mereka berjaya melindungi sifat ultra kiasu mereka disebabkan oleh kelemahan kita sendiri sehingga diambil kesempatan oleh mereka.

Jika sejak dahulu kita menyahut seruan Perdana Menteri dengan slogan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, maka sudah tentu tsunami politik ini tidak akan berlaku. Ayat keramat ini sebenarnya telah diamalkan pemimpin terdahulu seperti Dato’ Onn Jaafar, Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, Dr. Zainal Abidin Ahmad (Pendeta Za’ba), Burhanuddin Helmi dan sebagainya. Pada mereka, politik bukan tiket untuk jadi kaya, tetapi politik adalah untuk menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara, agar kepentingan rakyat terpelihara.

Hari ini segelintir kita sudah jauh berubah. Politik digunakan sebagai alat untuk mendapatkan kuasa. Kuasa diperalatkan untuk mendapatkan dan mengumpul harta kekayaan. Kita berebut-rebut untuk mendapatkan kuasa sehingga sanggup menikam bangsa dan rakan sesama sendiri. Semata-mata kerana dengan adanya kuasa, segala dapat diperolehi dan kemahuan nafsu dipenuhi.

Pemimpin-pemimpin lalu dapat dilihat (to be seen) sebagai pemimpin yang tidak menimbunkan harta. Mereka berjiwa rakyat dan hidup matinya semata-mata adalah untuk rakyat, berpaksikan kepada ajaran agama. Rakyat didahulukan dalam sebarang hal, dengan mengambil kira rakyat yang memilih kita untuk naik ke puncak teratas. Tanpa rakyat siapalah kita hari ini. Justeru, kita perlu pulangkan kembali amanah yang dipikul ini kepada rakyat dengan menjaga kebajikan dan keselamatan mereka. Biar rakyat kaya, pemimpin hidup serba sederhana. Biar rakyat tahu, kekayaan mereka disebabkan oleh pemimpin yang bekerja dengan ikhlas dan sentiasa low profile bukannya berlagak tidak tentu pasal. Jejak langkah inilah yang patut kita contohi kerana ia selari dengan perjuangan yang telah ditinggalkan oleh nabi Muhammad SAW.

Sehingga ke akhir hayat Baginda, laungan ummati, ummati dan ummati, tetap berkumandang. Ini menunjukkan kecintaan Rasulullah SAW yang teramat kuat kepada umatnya, berpaksikan Cinta Agungnya kepada Allah SWT. Kecintaan yang amat mendalam inilah yang telah menyelamatkan agama, bangsa dan negara serta dunia secara keseluruhannya.

Sebahagian besar harta Nabi habis digunakan untuk perjuangan Islam demi kepentingan rakyat tercinta. Begitu juga dengan pimpinan para sahabat. Islam yang kita nikmati hari ini adalah juga hasil daripada perjuangan mereka. Baginda ternyata teramat berjaya merealisasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ramai rakyat jelata yang menjadi kaya raya dijana menyokong bersama-sama perjuangan dan inspirasi Baginda. Baginda tidak dilihat menimbunkan harta. Pengorbanan Baginda tidak ada tolok bandingnya. Siapalah kita jika ajaran Baginda tidak sampai ke Nusantara. Apakah mungkin kita menjadi seadanya? Ingatlah, hari ini kita hebat disebabkan oleh Islam datang kepada kita. Mengubah cara hidup kita yang dahulunya jahil, kini menjadi umat terpelihara. Jika ditakdirkan kita masih Hindu-Buddha, apakah keadaannya sama seperti hari ini?

Hari ini segelintir kita sudah mulai jauh dari perjuangan Baginda dan pemimpin terdahulu? Keadaan kelihatan sudah mula terbalik. Kita lebih berseronok dengan kuasa. Kuasa boleh membeli rumah mewah, kereta mewah, isteri mewah dan sebagainya, sehinggakan perjuangan sebenar tergadai. Akhirnya, orang lain mengambil kesempatan. Kita asyik marahkan orang lain kerana mengambil kesempatan. Persoalannya, kenapa kita biarkan orang lain mengambil kesempatan hasil daripada kelemahan kita sendiri?

Saya tidak fikir orang lain akan mengambil kesempatan, jika kita memperlihatkan kehebatan dan kekuatan kita. Kita tidak mudah dijual beli. Kita mempunyai prinsip perjuangan yang jelas memartabatkan agama, bangsa negara serta menjauhi sifat-sifat mazmumah. Hari ini kalau kita mahu menjadi juara rakyat, memenangi hati rakyat dan seterusnya menang dalam pilihan raya, pemimpin mesti dalam dilihat melakukan kebaikan, berjuang untuk rakyat, baik akhlaknya dan menyayangi agamanya.

Biarlah rakyat yang kaya, pemimpin tidak seberapa nampak terlalu kaya. Bukannya pemimpin kaya, rakyat di bawah hidup menderita. Kenapa hari ini parti ultra kiasu dan sekutunya berjaya mengaburi hati rakyat? Rakyat yang kaya berada di belakang mereka menyokong penuh aspirasi mereka, menampakkan mereka seolah-olah tidak berada. Sedangkan kita tahu, mereka juga tidak kurang kayanya. Sistem yang sedia ada turut membantu mereka menjadi kaya. Cuma, mereka pandai cover, menutup kelemahan dengan mengaburinya melalui kebaikan yang dipublisitikan secara besar-besaran. Kebaikan dan pertolongan mereka diperlihatkan, dimasukkan ke dalam laman-laman web mereka. Bantuan kepada sekolah agama dan jabatan agama diperbesar-besarkan, dengan mengatakan peruntukannya sebelum ini lebih kecil. Saya tidak nampak penambahan peruntukan itu perlu diperbesarkan. Ia semata-mata dilakukan untuk mencairkan hati kita. Logiknya mudah, jika peruntukan lebih kecil, sudah tentu hati kita tidak cair. Saya yakin peruntukan dikatakan lebih besar jauh lebih kecil jika kita dapat angka yang sebenar peruntukan yang disalurkan untuk orang mereka yang disengaja disenyapkan. Strategi licik perlu difahami seperti yang saya tulis minggu lalu.

Masa masih belum terlambat dalam merealiasikan rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Ingatlah kata-kata keramat Pendeta Za’ba, rupa tidak boleh diubah, tetapi perangai boleh diubah. Umat Islam hari ini mengalami krisis identiti untuk mengubah perangai supaya menjadi lebih baik. Sedangkan kita tahu perangai boleh diubah jika telah ada kesedaran dan matlamat hidup.

Cuba kita amati betul-betul amanat yang pernah disampaikan oleh almarhum Tun Dr. Ismail, katanya, UMNO perlu membetulkan lemahnya kefahaman parti-parti lain serta lemahnya komitmen mereka kepada struktur politik yang telah dibina. Dalam pilihan raya 1969 persoalan sensitif tentang Bahasa Kebangsaan dan Hak Istimewa Melayu menjadi hambatan kepada Perikatan umumnya dan menyebabkan pertumpahan darah pada 13 Mei. Lalu kita maktubkan isu-isu itu dalam Perlembagaan sebagai perkara yang tidak boleh dibangkitkan dalam bentuk apapun oleh pembangkang. Dengan itu kelemahan rakan-rakan kita dilindungi. Pada masa akan datang, MIC dan MCA tidak boleh memandang kepada UMNO dan berkata mereka menghadapi kesulitan dengan isu-isu tersebut, sebab mulai sekarang isu-isu itu tidak akan menyusahkan mereka lagi. Kita akan mensyaratkan persetujuan tentang perlaksanaan dasar dan kurangkan masa yang digunakan untuk menjelaskan kepada sesama kita isu-isu yang sudah diterima sebagai dasar Perikatan. Kita harus tumpukan perhatian pada perlaksanaan Bahasa Kebangsaan yang sewajarnya serta perlindungan Hak Istimewa Melayu, dan mempertahankan kewarganegaraaan kaum bukan Melayu. Tiga isu ini harus menjadi asas perbincangan yang terus terang dan ikhlas antara ketiga rakan dalam Perikatan, agar kita dapat mencapai kemenangan yang munasabah dalam pilihan raya akan datang. Tetapi kalau kita balik kepada perangai lama dan bercakap tanpa berterus-terang dan tanpa keikhlasan, dan kita “sembunyikan masalah kita di bawa tikar”, saya rasa Perikatan akan hilang lebih banyak kerusi dalam pilihan raya akan datang. Kalau kita tidak mencapai kesepakatan seperti itu, lebih baik kita bubarkan sahaja perkongsian ini daripada meneruskan pakatan yang hidup segan mati tak mahu (Ooi Kee Beng, 2007).

Amanat ini walaupun sudah lama, ternyata sudah menampakkan kebenarannya. Kontrak sosial yang mengutamakan kesejahteraan rakyat seolah-olah telah dicabuli dan kita rela membiarkannya. Pada kita, kontrak sosial mengurangkan sokongan bukan Melayu, sedangkan kita jarang mengkaji kesan positifnya dan perasaan orang Melayu sendiri. Apakah kita lupa peringatan yang telah diberikan oleh sarjana barat seperti Comber (2007) dan Faaland (2005)?

Menurut Faaland, orang bukan Melayu sebenarnya memahami maksud kontrak sosial yang sebenar yakni mereka bertanggungjawab untuk membantu orang Melayu memasuki alam perniagaan dan perdagangan. Ini adalah sebahagian daripada perjanjian ikhlas yang dipercayai umum wujud antara mereka. Sayangnya, bukan Melayu tidak tampil dengan bantuan sebenar kepada orang Melayu dalam sektor swasta. DAP, MCA, Gerakan dan Pertubuhan dan Persatuan Cina mahupun MIC, tidak tampil dengan inisiatif atau rancangan usaha sama kenegarawanan, program dan projek untuk membantu orang Melayu agar terbentuk satu identiti kepentingan di kalangan kumpulan kaum, meskipun inisiatif sedemikian adalah untuk kepentingan mereka sendiri, yang memberi keselamatan dan jaminan untuk masa depan. Namun, perkara sebaliknya berlaku.

Menurutnya lagi, bukan Melayu mendiskriminasikan orang Melayu dalam perniagaan dari segi kontrak, dalam pekerjaan dan lain-lain, memihak kepada kaum mereka sendiri. Melayu dianggap rendah dan malas serta hanya mampu melakukan kerja-kerja yang kurang memerlukan daya fikiran dan daya fizikal. Mereka juga dianggap tidak responsif kepada motif keuntungan dan kurang berinisiatif, serta apabila diberikan sesuatu kerja, orang Melayu dianggap tidak berkeupayaan melaksanakannya dengan serius dalam jangka panjang, berbanding kaum lain. Orang Melayu hanya diberikan jawatan hiasan untuk tujuan kosmetik dan perhubungan awam, khususnya jika syarikat berkenaan mempunyai urusan dengan jabatan-jabatan kerajaan yang majoritinya ditadbir oleh pegawai Melayu. Secara praktik, orang Melayu telah memberikan kepada bukan Melayu hak-hak yang tidak terpisah di bawah perlembagaan sebagai ganti untuk apa yang akhirnya hanya berupa tidak lebih daripada janji-janji samar dan kosong oleh bukan Melayu. Namun, janji-janji ini pun kini dinafikan sesetengah bahagian komuniti bukan Melayu.

Sebagai kesimpulan, kita tidak perlu menggadaikan prinsip untuk merealisasikan kata-kata keramat rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan. Apa yang penting, perangai kita mesti berubah. Pemimpin mesti dapat dilihat sebagai juara rakyat, dengan bertindak mengikut landasan kebenaran berpaksikan kepada perlembagaan seperti mana yang telah dipersetujui bersama. Yakinlah, Allah bersama-sama orang yang benar. Berubahlah sebelum parah.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, Pusat Pengajian Umum dan Bahasa, UPNM merangkap Setiausaha Agung DPIM. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, March 21, 2010

Apabila Belanda minta tanah, kaduk naik junjung...

7:30 AM Posted by RIDHUAN TEE 210 comments
Mingguan Malaysia, 21 Mac 2010

PADA 13 Mac 2010, saya menerima e-mel daripada seorang saudara yang amat prihatin dengan nasib Melayu di bumi Melayu yang selalu dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu terutama parti ultra kiasu dan rakan sekutunya yang boleh diibaratkan seperti Belanda minta tanah dan kaduk naik junjung.

Saya terpaksa mengubah tajuk artikel yang sepatutnya kerana saya fikirkan emailnya amat penting, apatah lagi isu ini telah disensasikan oleh laman-laman web mereka.

Isunya berkaitan dengan penduduk Kampung Sungai Terentang, Rawang yang membantah kerja-kerja pemasangan kabel voltan tinggi oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang boleh dijadikan iktibar kepada masyarakat bukan Melayu untuk memahami sentimen kebanyakan masyarakat Melayu.

Janganlah tuduh saya lebih Melayu dari Melayu selepas ini kerana saya tidak pernah mengakuinya walaupun ia diikhtiraf oleh Perlembagaan.
Sepanjang pengetahuan saya, tanah yang diduduki oleh penduduk kampung berkenaan bukannya tanah mereka pun. Tanah itu milik TNB dan mereka hanyalah setinggan di situ. Tetapi apabila ada ura-ura hendak merobohkan kediaman mereka dan memindahkan mereka yang terlibat, semuanya menjadi kecoh dan ramai yang menentang.

Pemimpin-pemimpin ultra kiasu mula masuk kampung kerana mereka mahu menjadi jaguh kampung untuk mendapatkan publisiti murahan. Bayangkanlah jika tanah tersebut diduduki oleh orang Melayu, sudah tentu TNB akan meneruskan kerja-kerjanya. Orang Melayu akan memberikan laluan atas dasar pembangunan walaupun pampasannya tidak seberapa. Apakah mungkin ultra kiasu ini akan membela mereka dengan bersungguh-sungguh?

Setinggan tetap setinggan. Dari segi undang-undang, mereka tidak ada hak pun untuk mempertahankan tanah tersebut. Saya tidak nampak semua rumah akan dirobohkan, mungkin sebahagian. Namun, mereka telah membawa kes berkenaan ke Mahkamah Persekutuan pada November lalu.

Mahkamah memutuskan bahawa TNB mempunyai hak untuk meneruskan projek itu sebab itu adalah tanah TNB, muktamad. Mahkamah juga memerintahkan TNB supaya membayar pampasan berjumlah RM10.4 juta kepada penduduk terlibat yang telah mereka melaksanakan. Tidakkah jumlah wang tersebut begitu besar?

Tetapi inilah sifat ultra kiasu yang telah menyelubungi mereka yang setelah dihasut oleh parti ultra kiasu. Jika di Pulau Pinang, senang sahaja tanah Melayu diambil dan gerai mereka diroboh, tetapi bila kena batang hidung sendiri? Alahai, itulah nasib Melayu di bumi Melayu. Lebih menyedihkan orang Melayu tidak banyak tampil membela Melayu itu sendiri. Menitis air mata memikirkan bila bukan Melayu seperti saya terpaksa membela Melayu hanya dek kerana Melayu beragama Islam, walaupun terpaksa dihina dan dikeji oleh bangsa sendiri termasuk saudara mara saya. Tetapi apakan daya, semangat Islam mengatasi segala-gala.

Keistimewaan

Sepatutnya mereka mesti faham mengapa masyarakat bumiputera diberikan keistimewaan di sebuah negara yang diwarisi daripada nenek moyang mereka selama beratus bahkan beribu tahun. Jika mereka yang baru tinggal di situ secara haram tidak sampai seratus tahun bermati-matian berpendapat mereka berhak atas tanah tersebut disebabkan apa yang mereka telah usahakan, apakah salahnya bagi kaum bumiputera diberikan keistimewaan dari segi polisi pentadbiran kerana mereka juga telah berusaha selama ratusan (bahkan mungkin ribuan) tahun untuk memakmurkan wilayah mereka sendiri?

Di samping itu saya juga ingin berkongsi pengalaman seseorang yang pernah bekerja di bahagian kewangan sebuah kementerian yang diterajui oleh menteri bukan Melayu.

Menurutnya, jika dalam kampung tersebut adalah terdiri daripada bukan Melayu yang sebangsa dengan menteri tersebut, maka jumlah gantirugi yang diberikan kepada penduduk tersebut adalah berlipat kali ganda. Manakala, jika kawasan tersebut dihuni oleh orang Melayu atau bumiputera, maka peruntukan atau ganti rugi tersebut dibuat lebih kurang sahaja.

Orang Melayu tidak banyak cakap dan menerima sahaja kerana pada mereka wang selonggok di depan mata sudah mencukupi. Mereka tidak sedar bahawa sejumlah wang tersebut hanya boleh menyaranya untuk jangka masa yang singkat, berbanding orang lain yang mungkin mendapatkan perlindungan atau pampasan jangka panjang.
Hari ini, mungkin pada luarannya dasar kerajaan nampak melebihkan bumiputera, tapi secara aplikasinya tidaklah begitu.

Malah apa yang diperjuangkan oleh sebahagian masyarakat bukan Melayu selama ini mungkin telah pun mereka dapat secara senyap-senyap. Cuma tidak diberikan publisiti secara besar-besaran sebagaimana cara kita membantu orang Melayu. Publisitinya begitu meluas. Inilah sifat kita, selalunya suka dipuji sehingga pujian tersebut mengalpakan kita, ibarat menang sorak kampung tergadai.

Saya memetik kata-kata e-mel tersebut yang amat menyentuh hati saya:

"Apa pun saya bukanlah sayang sangat bangsa saya, bahkan saudara-saudara baru (mualaf) lebih saya sayang daripada kebanyakan Melayu muslim. Terus terang saya katakan jika ada seorang Cina/India /Siam/Iban/Kadazan dan lain-lain yang baru memeluk Islam tidak sampai sebulan, tapi lebih alim, bertaqwa, cekap dan berkaliber dalam memerintah negara, saya lebih rela negara ini diperintah olehnya. Ini kerana, seorang mukmin yang bertaqwa pasti akan berusaha memerintah dengan penuh keadilan tidak kira apa pun bangsanya. Yang Melayu Muslim memerintah sekarang ini ramai yang lebih banyak memalit arang kepada imej Islam (termasuklah daripada PAS sendiri). Cuma saya menulis di sini kerana ada pihak yang sudah jadi macam Belanda minta tanah, diberi betis nakkan peha".

Saya tidak dapat meneruskan kata-kata beliau kerana agak sensitif. Apa pun saya ucapkan terima kasih di atas keprihatinan dan sensitiviti penghantar email tersebut terhadap permasalahan ummah dalam pembinaan negara bangsa. Bandingkanlah tolak ansur, berapa banyak tanah-tanah Melayu termasuk tanah rezab yang telah tergadai kerana memberikan laluan kepada pembangunan? Hatta, masjid surau pun sanggup dirobohkan?

Bayangkan jika satu kuil atau rumah ibadat mereka dirobohkan, apakah reaksinya? Kenapa penduduk di kawasan tersebut begitu bimbang rumah mereka akan dirobohkan bagi pembinaan menara untuk kepentingan masa depan dan anak cucu mereka? Isunya hanya berkaitan pemasangan kabel elektrik dan pampasan telah pun disediakan? Takkan mereka mengharapkan TNB menyedia rumah banglo untuk mereka di kawasan bukan milik mereka?

Bantahan mereka masih belum berakhir. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Peter Chin memberi jaminan bahawa tidak ada kerja-kerja merobohkan akan diadakan sehingga mesyuarat antara TNB dan wakil penduduk diadakan Jumaat lalu. Saya tidak tahu apakah keputusan kerana artikel ini terpaksa dihantar lebih awal.

Namun, saya boleh menjangkakan bahawa mesyuarat tersebut tidak akan dapat menyelesaikan masalah, apatah lagi kawasan tersebut berada di negeri yang perintah oleh ultra kiasu. Awal-awal lagi mereka telah bersekongkol walaupun ia bercanggah dengan undang-undang. Ini yang selalu saya katakan, bila nasib sebegini menimpa umat Islam, tidak banyak timbul masalah. Tetapi bila kena pada bukan Islam, satu Malaysia seolah-olah tidak ada berita lain. Tindakan sebegini ternyata amat bercanggah dengan konsep 1Malaysia yakni memberikan hak kepada yang berhak mengikut lunas undang-undang bukannya menuntut apa yang telah dapat dan menambah sampai membukit.

Seultra kiasu

Melayu yang saya kenal tidaklah seultra kiasu seperti sekumpulan mereka yang berada di negeri ultra kiasu ini. Mereka rela hasil bumi dikaut oleh orang lain selagi budaya dan agama Islam terpelihara. Mereka jarang cemburu atau dengki kepada orang lain, walaupun sifat ini berlaku di kalangan sesama mereka. Bapa saya boleh membina kekayaan di kawasan majoriti orang Melayu, tanpa diganggu-gugat. Bapa saya berjaya membeli beberapa keping tanah di kampung-kampung Melayu.

Satu kelemahan orang Melayu mudah cair melihat wang di depan mata dan pada masa sama mereka suka berhutang. Berhutang pula jarang mahu bayar, tetapi mereka tidak sedar keuntungan telah pun diperolehi daripada hutang pokok yang tidak dibayar. Bila hutang tidak dapat dibayar, maka hutang tersebut akan ditebus dengan menjualkan barang kepunyaan mereka seperti barang kemas, tanah, hasil subsidi kerajaan seperti biji benih, baja dan sebagainya. Semasa saya kecil dahulu, saya melihat begitu banyak hasil subsidi kerajaan telah dijual kepada bapa saya bagi mereka yang tidak mampu membayar hutang.

Kalau dulu hutang dipotong dengan menjual subsidi kerajaan, hari ini along telah mengambil alih tugas tersebut. Hutang mesti dibayar bersama faedah yang tinggi. Hutang bersama faedah akan terus bertambah dari masa ke semasa jika tidak dibayar. Inilah sifat yang menyamai sifat Yahudi. Kebanyakan harta umat Islam tergadai kepada along kerana harta mereka telah tergadai.

Saya ingin ingatkan rakan sebangsa saya, orang Melayu yang saya kenali suka memendam rasa. Hari ini mereka asyik mengalah. Kita pula seronok melihat orang lain kalah atau dikenakan tindakan.

Kita sentiasa mahu menang, tanpa menyedari kemenangan itu meninggalkan implikasi besar ke atas orang lain. Kita jarang mengkaji parut yang tinggal akibat kekalahan yang diterima. Parut inilah yang bahaya kerana parut ini akan meninggal kenangan yang sukar untuk dilupakan.

Dari sudut psikologi, parut itu akan dikenang hingga ke akhir hayat. Inilah yang disebut luka di tangan nampak berdarah, luka di hati siapa yang tahu. Parut ini biasanya akan menyebabkan seseorang itu memendam rasa. Sesuatu yang dipendam tidak selama-lamanya terpendam. Satu hari ia akan meletup. Letupan itulah yang paling saya takuti.

Saya bangkitkan isu ini kerana saya sayangkan bangsa saya yang tidak ultra kiasu. Saya bimbang mereka turut menjadi mangsa disebabkan oleh tindakan segelintir ultra kiasu. Mungkin sekarang kita tidak dapat kesannya. Tetapi ia tidak mustahil akan berlaku. Cuma masa akan menentukan. Saya cukup bersetuju dengan kata-kata bahawa negara kita nampak sahaja stabil tetapi sebenarnya tension.

Sunday, March 14, 2010

Di sebalik resolusi Perhimpunan Agung MCA

6:54 AM Posted by RIDHUAN TEE 86 comments
Mingguan Malaysia, 14 Mac 2010

Dalam kekusutan dan kekecohan MCA berhadapan dengan masalah dalamannya, Perhimpunan Agung Tahunan MCA (AGM) Ke-56 yang berakhir pada 7 Februari 2010, meluluskan lima resolusi merangkumi 16 perkara di bawah usul politik, hal ehwal kerajaan, pendidikan, sosial dan ekonomi serta budaya. Antara resolusi yang diluluskan sebulat suara yang menarik perhatian saya adalah mengenai penambahan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, perubahan dan inovasi pengkongsian kuasa Barisan Nasional (BN), penambahan sekolah vernakular dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) di semua sekolah persendirian Cina. Satu lagi resolusi yang paling saya tidak dapat terima ialah campurtangan mereka dalam hukuman sebat yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah. Sikap mencampuri urusan rumah tangga orang lain boleh dikira biadab ketika mana rumah tangga sendiri berantakan. Tidakkah mereka sedar bahawa selama ini umat Islam di negara ini, tidak pernah campurtangan sama sekali dalam urusan orang bukan Islam. Licik sungguh mereka ini, sesuatu yang dirasa ‘menggugat’ kedudukan mereka didesak habis-habisan manakala yang boleh diambil kesempatan dan peluang disokong tanpa berbelah bahagi seperti gagasan 1Malaysia, yang pada pandangan mereka berasaskan konsep sama rata dan sama rasa.

Termenung seketika memikirkan tuntutan sebegini setelah sekian lama bersama BN dan berkawan dengan UMNO. Kawan tidak menjaga kawan, kadangkala jadi lawan. Ketika kawan lemah, ambil kesempatan, bertindak seperti gunting dalam lipatan. Serba sedikit saya dapat membaca maksud tersirat dan tersurat permintaan dan desakan mereka itu. Saya telah ulas panjang lebar mengenai kedudukan bukan Melayu dalam perkhidmatan awam, mungkin mereka boleh baca apa yang telah saya tulis sebelum ini (Mingguan Malaysia, 14 Februari 2010). Tidakkah kita dapat melihat ramainya orang Islam (Melayu) dalam perkhidmatan awam dan pembolotan bukan Melayu dalam ekonomi sebagai situasi menang-menang atau win-win? Kenapa masih belum puas?

Mengenai inovasi dan perubahan struktur perkongsian kuasa dalam BN, saya dapat melihat mereka mahukan jawatan tinggi dalam BN seperti pengerusi BN, timbalan BN, setiausaha agung BN, bendahari BN dan jawatan penting lain BN digilirkan. Selepas itu, jawatan-jawatan ini akan digunakan sebagai batu loncatan untuk mendapatkan jawatan-jawatan penting dalam kabinet termasuk jawatan PM dan TPM dan sebagainya di kemudian hari. Perkara ini bukanlah isu baru, ia telah dibangkitkan sekian lama oleh parti ultra kiasu yang lain, cuma masih belum menjadi realiti.

Sejak dahulu lagi perjuangan mereka tidak pernah padam. Jika dahulu jawatan menteri kewangan pernah disandang oleh mereka. Hari ini mereka mahu kembali mendapat jawatan tersebut dan jawatan yang lebih senior. Cuma, saya menyeru nilaikanlah toleransi yang berlaku, berapa ramai calon bukan Melayu yang telah dilantik menjadi senator dan diberikan jawatan menteri, walaupun mereka kalah dalam pilihan raya. MCA pula begitu beruntung kerana mereka menang pilihan raya di kawasan majoriti Melayu. Saya akan tabik MCA dengan sepuluh hari jika MCA atau Gerakan dapat mengalahkan parti ultra kiasu dalam pilihan raya di kawasan majoriti bukan Melayu.

Jika parti-parti komponen BN ini boleh menang, ketika itu mereka mungkin wajar mendesak dan mengemukakan tuntutan kepada kerajaan. Jika tidak, tak payahlah kemukakan tuntutan sedemikian, jagalah masalah dalaman parti terlebih dahulu. Janganlah hendak menjadi jaguh ketika sokongan bukan Melayu telah beralih kepada ultra kiasu. Saya begitu teruja untuk melihat parti komponen BN ini dapat merebut kembali Pulau Pinang jika mereka mampu. Saranan bekas presiden Gerakan ada betulnya. Parti-parti politik ini perlu menumpukan perhatian untuk membina kekuatan dalaman dan meraih sokongan dahulu sebelum bercita-cita tinggi untuk merampas Pulau Pinang daripada ultra kiasu. Apapun, mereka masih tidak rugi apa-apa kerana pulau tersebut masih lagi berada dalam genggaman orang yang sama kerana tindakan dan desakan mereka tidak banyak beza.

Parti itu juga menggesa kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang ditawarkan semua sekolah persendirian Cina selain menyediakan peruntukan kepada sekolah terbabit supaya lebih ramai pelajar yang berbakat dapat dipupuk. Kerajaan juga digesa untuk terus mengamalkan dasar pendidikan yang lebih liberal dan berbilang kaum supaya lebih banyak sekolah vernakular boleh ditubuhkan dan dimasukkan ke dalam program pembangunan nasional. Persoalannya bakat dan pembangunan nasional bagaimanakah yang ingin dipupuk? Di manakah bakat-bakat tersebut? Apakah mereka berperanan besar dalam pembinaan sebuah negara bangsa? Rujuk artikel saya pada 31 Januari 2010 dan 22 November 2009. Kenapa tidak dibincangkan langsung akan kepentingan sekolah satu sistem (SSS) yang mana semua pelajar dapat dikumpulkan dalam satu tempat tanpa menafikan hak untuk belajar bahasa ibunda? Saya fikir sudah tibanya parti-parti politik ini berbincang akan modus operandi dan operasi SSS demi masa depan negara. Jangan ketepikan langsung kepentingan SSS dalam pembinaan negara bangsa, berbanding dengan hanya kepentingan bangsa. Saya akan bersetuju dengan pengikhtirafan sijil ini jika banyak masa diperuntukan untuk pengajaran dan pembelajaran yang mengutamakan bahasa kebangsaan.

Berapa banyakkah lagi sekolah seperti ini hendak dibina? Buatlah kajian dahulu tentang keberkesanan, kebolehan dan pencapaian BM dalam peperiksaan dan komunikasi. Begitu juga dengan semangat cintakan kepentingan nasional sebelum mendesak kerajaan bina yang baru. Setelah menonton rakaman debat antara ketua pemuda MCA dan Khoo Kay Kim, baru saya sedar betapa kiasunya parti ini seolah-olah tidak bezanya dengan parti ultra kiasu yang satu lagi. Sebagai timbalan menteri pelajaran beliau sepatutnya berhujah dengan lebih akademik bukannya beremosi. Hujah yang mengatakan pelajar sekolah vernakular hanya enam tahun berada di sekolah rendah, berbanding mereka lebih lama di sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi adalah hujah yang ultra kiasu. Seolah-olah kita menyalahkan orang lain atas kegagalan sendiri. Apakah kita tidak belajar psikologi atau terlebih belajar sains? Tanyalah kepada sesiapapun, zaman kanak-kanak adalah tahap yang paling kritikal. Pepatah ada menyebut melentur buluh biarlah dari rebungnya. Mungkinkah dia berpegang kepada melentur buluh biarlah dari buluhnya. Hujah menegakkan benang yang basah ini tidak akan menyelesaikan masalah.

Saya ingin mengajak mereka yang kiasu ini supaya datang ke sekolah saya dan lihat bagaimana keadaan pelajar di sekolah di sini setelah dilentur sejak kecil di sekolah vernakular. Buat pemerhatian ke atas kelas peralihan, penguasaan BM dan pergaulan mereka. Saya tidak faham adakah mereka yang pandai berkata-kata pernah pergi ke sekolah yang di bawah seliaannya sendiri. Jangan asyik pergi ke sekolah sendiri sahaja. Sudah sampai masanya kajian secara akademik dibuat secara telus akan keberkesanan semua sekolah ke arah pembinaan negara bangsa berasaskan perlembagaan negara. Sebenarnya, kajian telahpun dibuat, tetapi kita mengambil sikap endah tak endah sebab hasil kajian tidak menyebelahui kita. Apapun selesaikan dahulu masalah dalaman parti, selepas kita boleh berbincang dan berdebat di tempat yang agak neutral.

Saya tidak nampak ada masalah dengan pengikhtirafan ke atas UEC. Mungkin mereka agak sukar untuk mereka mencari pekerjaan di sektor awam, tetapi pengambilan mereka ke dalam sektor swasta boleh dikatakan tidak ada halangan langsung, walaupun mungkin mereka gagal dalam BM. Mereka ibarat kek panas, maklum sahajalah sektor swasta tidak memerlukan kelayakan BM untuk bekerja di sana, terutama akhbar-akhbar ultra kiasu. Apakah mungkin perkara ini juga yang menyebabkan bilangan mereka tidak bertambah di sektor awam? Pendek kata, sama ada sijil UEC ini tidak ikhtiraf atau tidak, tidak banyak bezanya. Sikap menambah yang telah dapat, patut dipuji, tetapi janganlah ditambah sehingga membukit mengakibatkan orang lain merasa diketepikan? Buatlah kajian sama bagaimana sekolah jenis ini boleh meningkatkan idealism pembinaan negara bangsa.

Resolusi yang menggesa semua jabatan kerajaan seperti Kementerian Pelajaran dan Biro Tata Negara (BTN) mengubah suai silibus mengikut fakta sejarah dan menyerapkan konsep 1Malaysia ke dalam kurikulumnya juga tidak dapat lari dari sikap ultra kiasu. Resolusi ini memperlihatkan bahawa selama ini sejarahawan kita telah memutar-belitkan sejarah Tanah Melayu dan Malaysia. Saya ingin bertanya, di bahagian manakah yang telah diputar-belitkan. Selaku pensyarah dalam bidang politik dan kerajaan yang berkait rapat dengan sejarah, saya teramat ingin melihat fakta sejarah manakah yang didakwa diselewengkan? Adakah kita mempunyai niat tersembunyi untuk mengubah fakta sejarah supaya lebih berpihak kepada kita? Sejarah tetap sejarah, ia akan terus kekal sampai bila-bila. Janganlah diubah fakta tersebut semata-mata untuk menggembirakan diri sendiri. Susah-susah sangat, tanyalah Khoo Kay Kim. Beliau adalah pakar daripada segala pakar dalam bidang sejarah. Malangnya pakar sejarah ini ditolak sama sekali oleh mereka yang banyak bercakap ini.

MCA turut meminta kerajaan menilai semula hukuman fizikal terhadap golongan wanita beragama Islam dan bertindak atas dasar pertimbangan kemanusiaan dengan mematuhi persetujuan yang diterima pakai "Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita" (CEDAW). Nasihat saya, MCA tidak perlu gatal tangan untuk campurtangan dalam hal ehwal agama Islam, kerana orang Islam lebih arif dengan kehidupan mereka sendiri. Jagalah rumahtangga sendiri dahulu yang sedang berantakan. Lagipun orang Islam tidak pernah sama sekali campurtangan dalam urusan orang lain. Kenapa perlu menyakitkan hati orang Islam?

Jauh sungguh bezanya sokongan mereka terhdap gagasan 1Malaysia. Bila dirasa menguntungkan maka disokong tanpa berbelah bahagi. Namun sebaliknya bila dilihat ada kerugian dan pengurangan, maka akan ditentang habis-habisan. Sikap ultra kiasu ini tidak ada bezanya langsung dengan parti ultra kiasu. Logo sahaja berlainan, perjuangan tetap sama. Suara mereka tetap tidak berubah. Ini yang saya selalu katakan bersatu dalam senyap. Di luar ada yang lantang mengkritik, di dalam ada yang memujuk, laksana adik-beradik. Strategi inilah yang telah mencairkan parti politik yang memerintah. Mungkinkah selepas ini mereka akan menyokong pula cadangan untuk mengadakan pilihan raya majlis perbandaran seperti yang dicadangkan oleh negeri yang perintah oleh ultra kiasu itu? Maklumlah kawasan bandar lebih ramai dihuni oleh pengikut-pengikutnya.

Saya yakin selepas ini parti-parti komponen BN yang lain akan membuat tuntutan yang hampir sama atau mungkin lebih ekstrim, jika kita terus melayan tuntutan dan desakan parti yang sedang berkecamuk ini. Kadangkala simpati saya terhadap UMNO, selaku parti tunggal Melayu Islam, mereka terpaksa mendengar dan menerima semua desakan dan rintihan parti-parti komponen BN yang rata-ratanya tidak Islam. Siapakah sebenarnya yang akan mendengar dan melayan rintihan UMNO yang ada berkeinginan untuk menegakkan kepentingan bangsa dan agamanya? Apakah mungkin PAS dan PKR mahu mendengar dan berkongsi beban ini atau terus-menerus mahu menuduh dan menyalahkan UMNO?

Kita sepatutnya belajar daripada strategi orang lain. Apa jua masalah yang melanda, suara dan desakan mereka tetap senada. Berbeza sungguh dengan parti-parti Melayu. Bergaduh seolah-olah tidak ada noktahnya, sehingga terlepas pandang agenda bangsa dan agama.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, March 07, 2010

Menghargai toleransi peribumi

12:21 PM Posted by RIDHUAN TEE 130 comments
Mingguan Malaysia 7 Februari 2010

Menghargai dan membalas toleransi pribumi

Sekali lagi isu bukan Melayu boleh menjadi Perdana Menteri (PM) dibangkitkan oleh beberapa sarjana Melayu Islam. Kesempatan dan peluang ini disebar luaskan oleh laman-laman web ultra kiasu dan mereka anti Islam. Saya tidak pasti apakah muslihat serta maksud tersurat dan tersirat di sebalik membangkitkan perkara ini. Kalaupun benar bukan Melayu boleh menjadi PM, tidak perlu dibangkitkan kerana ia sukar menjadi realiti, apatah lagi ia menyentuh sensitiviti bangsa pribumi ini. Lagipun pada saya, orang kanan selepas Melayu adalah bumiputera Sabah dan Sarawak, bukannya orang lain. Kalaupun mereka layak, tidak seharusnya mereka menerima jawatan PM. Ini kerana masih ramai majoriti orang Islam yang layak dan lebih berhak di buminya sendiri. Jangan pula bandingkan dengan Thailand, kerana bukan Siam di sana lebih Siam dari Siam. Saya tidak bertujuan untuk membela Melayu, tetapi saya cuba memahami psiki bangsa Melayu berbanding bangsa lain, setelah memahami psiki bangsa saya sendiri. Tidakkah itu lebih baik kerana kita semua berada dalam komuniti majoriti masyarakat Melayu?

Sebagai bukan Melayu, saya amat bersyukur berada di bumi bertuah ini. Walaupun saya lahir selepas merdeka, tidak dapat melihat bagaimana kontrak sosial dipersetujui, namun saya amat bersyukur kerana nenek moyang saya diterima menjadi warganegara di bumi ini. Nenek moyang saya diterima secara pukal tanpa sebarang syarat. Nenek moyang saya tidak dikenakan syarat sehingga boleh mengubah dan mengganggu-gugat cara hidup dan jati diri mereka. Mereka seperti seadanya sebagaimana asal, tanpa ada ubah suai walaupun sedikit. Mereka bebas berbahasa sendiri, hidup dalam kelompok sendiri, bersekolah sendiri, malah dapat mengaut kekayaan tanpa sekatan dan halangan, sehingga kekayaan melimpah ruah. Sejarah sebegini tidak pernah berlaku di dunia negara lain. Di negara lain, bukan sahaja mereka ditolak, malah akan dikenakan syarat-syarat yang ketat sebelum diterima menjadi warganegara. Paling ketara mereka akan diasimilasikan. Beruntung sungguh kita di sini. Inilah nikmat yang mesti disyukuri bukan dikufuri.

Tidak perlu saya kemukakan bukti, jeling-jelinglah negara-negara jiran seperti Thailand, Burma, Indonesia dan Filipina. Bilangan mereka yang diterima hanya di sekitar tiga – sepuluh peratus, selebihnya ditolak. Berbanding negara kita, bukan pribumi melebihi 40 peratus. Pada masa sama, kekayaan yang dikuasai dan diperolehi melebihi 70 peratus sehingga menimbul keresahan kepada pribumi. Inilah bentuk toleransi yang tidak ada tolok bandingnya yang perlu disampaikan kepada generasi akan datang. Menurut Amy Chua, seorang Profesor Cina berasal dari Filipina yang telah berhijrah ke Amerika Syarikat, toleransi bukan bermakna persamaan atau penghormatan, tetapi toleransi adalah memberikan peluang kepada orang yang berlainan cara hidup, bekerja, berpartisipasi dan berjaya dalam masyarakat tanpa melihat latar belakang etnik atau agama. Walaupun Amy Chua ini telah berhijrah ke Amerika, pendapat beliau agak berpijak di bumi nyata, tidak ultra kiasu. Kita perlu ramai orang seperti ini. Toleransi bukan sama rata atau sama rasa. Apa yang berlaku dahulu dan kini di negara kita bertepatan dengan apa yang dikatakan oleh Amy Chua. Orang Islam tidak pernah menghalang bukan Islam untuk hidup lebih berjaya dalam apa jua sektor pekerjaan dan berpartisipasi. Apatah lagi untuk campurtangan dalam hal-ehwal agama mereka, kecuali jika agama kita dicabar.

Selaku warga yang memahami sejarah, saya dapat merasakan betapa bertuahnya kita pada hari ini. Jika ditakdirkan, tidak berlaku penerimaan pribumi, apakah saya masih hidup hari ini? Sepanjang pembacaan saya, mereka yang telah keluar berhijrah, tidak akan diterima kembali, kecuali mempunyai bakat dan kebolehan yang luar biasa ataupun mungkin mereka yang belot dengan menjual rahsia kedaulatan negara atau menjual harta negara seperti membawa wang keluar negara atau menjual pasir ke negara jiran.

Justeru, adalah tidak menghairankan jika orang seperti Tan Siew Sin dan Sambanthan pernah mengeluarkan ucapan di sekitar tahun-tahun 1950an, yang amat menghargai toleransi yang telah ditunjukkan oleh pribumi. Mereka benar-benar merasa bersyukur kerana diberi peluang dan diterima seadanya. Sejarah ini mesti difahami oleh setiap rakyat Malaysia tanpa ketinggalan. Jika tidak, mereka akan menjadi ultra kiasu. Menuntut sesuatu yang tidak seharusnya dituntut. Mengungkit sesuatu yang tidak perlu diungkit.

Ramai yang tertanya-tanya kenapa tidak ramai pribumi yang berjaya atau menguasai kekayaan di bumi sendiri? Fenomena pribumi tidak berjaya di bumi sendiri bukan fenomena baru. Ia berlaku di mana-mana, terutama di negara Asia Tenggara dan juga dunia lain yang sudi menerima kedatangan mereka yang berhijrah. Kenyataan ini diakui oleh semua sarjana, kejayaan dan harta yang dimiliki oleh mereka yang berhijrah menenggelamkan kekayaan pribumi di bumi mereka sendiri, sehingga menimbulkan keresahan atau iri hati pribumi kepada mereka. Namun, ramai sarjana tidak mengatakan punca-punca yang menyebabkan ia berlaku sedemikian rupa. Saya mempunyai jawapan mengenai perkara yang masih belum dijawab oleh sarjana-sarjana ini termasuk Amy Chua.

Pada saya, pribumi merasa selamat dan selesa di bumi mereka sendiri. Mereka bersangka baik terhadap rakan mereka yang datang berhijrah. Mereka tidak dengki dengan kekayaan yang dimiliki walaupun hidup terpisah dalam kelompok sendiri mengikut cara hidup yang agak ekstrim. Pribumi sudah bahagia dengan kehidupan ala kadar atau cukup makan, walaupun sikap ini tidak sepatutnya berlaku. Inilah sifat pribumi yang saya kenali. Tidak tamak, bersyukur dengan apa yang ada. Jika kayapun, sekadar boleh hidup mewah bukannya untuk membina empayar. Sikap rendah diri, lembut, sopan santun menguasai diri. Itulah Melayu menurut sajak-sajak Lim Swee Tin, Usman Awang dan Muhammad Haji Salleh yang saya teliti.

Kefahaman dan latar belakang inilah menjadikan saya amat terharu dengan majlis perasmian pelancaran buku terbaru professor tersohor Syed Naguib Al-attas oleh Raja Nazrin Shah baru-baru ini. Penghormatan Raja Nazrin terhadap ilmuan amat tinggi di luar jangkauan saya dengan sifat baginda sebagai anak raja. Teks ucapannya yang begitu menyanjung tinggi ilmuan begitu mengkagumkan dan baginda hampir sebak membacanya. Ini tidak termasuk aksi penghormatan baginda terhadap ilmuan Syed Naguib ketika berada di pentas. Syed Naguib dipimpin dan diminta duduk ketika bangun untuk memberikan penghormatan kepada baginda. Inilah sifat orang Melayu yang amat saya puji. Tidak bongkak, tetapi amat merendah diri, tanpa melihat darjat keturunan. Tetapi janganlah pula diambil kesempatan oleh orang lain pula.

Hari ini kita lihat seolah-olah kita mengambil kesempatan. Sikap pribumi yang sedemikian diambil peluang untuk menangguh di air yang keruh. Benar, mereka tidak berapa pentingkan kekayaan kerana kekayaan tidak boleh dibawa ke mati. Hanya iman dan takwa nilaian Allah SWT. Tetapi janganlah pula kita mengambil kesempatan dengan merosakkan mereka melalui rasuah, wanita, riba, wang dan sogokan lain terbentang di depan mata.

Janganlah kita ikuti atau meniru perangai Yahudi. Kenapa Yahudi begitu berjaya dan dapat membina empayar walaupun bukan di bumi sendiri? Jawapannya mudah, Yahudi mengambil kesempatan di atas kelemahan atau sikap tolak ansur orang lain, terutama orang Islam. Ketika merempat, Yahudi berbuat baik dengan umat Islam di Palestin. Namun, sedikit demi sedikit mereka khianat, untuk menguasai pribumi dan kekayaan buminya. Antaranya ialah dengan memberikan pinjaman melalui sistem riba dan merasuah mereka. Bila pinjaman tidak berbayar, ditambah dengan faedah yang tinggi, maka tanah sebagai galang gantinya. Tanah milik pribumi diambil seinci demi seinci. Lama-kelamaman, kini hampir seluruh bumi pribumi Palestin terlepas ke tangan Yahudi. Bangsa yang dahulunya sehelai sepinggang, berjaya menjadikan pribumi berdagang atau merempat di bumi sendiri.

Perkara yang sama berlaku di Singapura. Singapura perlu membesar untuk membina kekuatan. Cara paling mudah untuk membesar ialah dengan membeli pasir daripada negara kita berbanding dengan Indonesia yang terlalu jauh dan kosnya amat tinggi. Bagi memenuhi keperluan itu, mereka akan mencari orang Melayu melalui pengantara sekutu ultra kiasunya, di pejabat tanah yang mudah dirasuah dan mereka yang mudah belot, untuk mendapatkan dan membeli pasir. Hasrat mereka sudah tercapai. Negara ini bukan sahaja sudah membesar berkali ganda, malah hari ini mereka mahu negara ini terus membesar berganda-ganda. Tidak hairan nanti akan bercantum dengan Pulau Batu Putih yang telah terlepas ke negara ultra kiasu ini. Masihkah kita mahu duduk diam melihat maruah dan kedaulatan negara tergadai dan dipersenda? Rela menjual kedaulatan negara semata-mata untuk mendapatkan kekayaan yang sedikit. Manakala orang tengahnya mendapat kekayaan melimpah ruah. Semakin membesar Singapura, semakin kuat ancamannya terhadap negara kita. Tidak hairan suatu hari nanti mereka akan menguasai kita, jika kita terus leka dan lena dengan tipu daya mereka yang licik ini. Apatah tanah-tanah berharga di negara kita sudah terlepas ke tangan mereka, termasuk sebuah pulau lagi yang masih tinggal kepada sekutu mereka. Masihkah kita mahu berdiam diri?

Terbaru, pihak gereja katholik mahukan majalah Al-Islam meminta maaf secara terbuka di atas, artikel berjudul “Masuk Gereja Cari Gadis Bertudung Murtad” melalui tinjauan mereka di dalam gereja. Saya tidak nampak keperluan untuk meminta maaf terhadap mereka yang ada niat tersembunyi kepada kita yang terlalu bertoleransi. Kenapa kita mesti tunduk kepada ugutan mereka? Cukuplah dengan kita gagal untuk mempertahankan penggunaan kalimah Allah. Pihak gereja janganlah bertindak seperti kaduk naik junjung. Mereka ini tidak ubah seperti kumpulan ultra kiasu yang mana asyik mahu menang sahaja.

Apakah tindakan mereka melarikan dan memurtadkan orang Melayu seperti Azlina Jailani dan orang Islam yang lain itu tidak salah? Tidakkah mereka sedar bahawa orang Melayu tidak boleh dimurtadkan mengikut perlembagaan perkara 11 dan 160 (2) yang berbunyi “Melayu adalah seseorang yang menganut Islam, lazim bercakap Melayu dan menurut adat Melayu”. Pernah pihak gereja meminta maaf terhadap orang Melayu yang telah dimurtadkan yang amat nyata bertentangan dengan perlembagaan? Kenapa toleransi ini tidak dihargai?

Justeru, saya meminta mereka supaya menghargai toleransi ini. Janganlah mengambil kesempatan ketika orang lain lemah. Saya cukup bimbang jika kita terlalu mendesak, kesabaran Melayu akan tergugat. Bila kesabaran telah hilang, saya bimbang bangsa yang saya kenali ini akan hilang pertimbangan. Hargai mereka. Kita tidak akan menyerang jika tidak diserang, tetapi kita tidak menyerang tanpa tentangan.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, February 28, 2010

Bahana perkara remeh

6:55 AM Posted by RIDHUAN TEE 56 comments
Mingguan Malaysia, 28 Februari 2010

Saya merasa pelik kenapa umat Islam hari ini banyak membuang masa membincangkan dan membahaskan perkara yang remeh-temeh, sedangkan banyak lagi perkara penting dan serius yang perlu diteliti mendepani abad ke 21 ini. Isu- isu masa depan agama Islam dan survival umat Islam adalah antara perkara utama yang perlu diberikan perhatian berbanding isu remeh-temeh seperti sama ada wajar atau tidak berarak, ketika menyambut maulidur rasul. Saya yakin semua rakyat Malaysia yang faham dan sudah tahu akan jawapannya. Kenapa perlu dibahaskan perkara yang sudah jelas, termasuk isu-isu lain seperti hukuman sebat ke atas wanita yang telah dijatuhkan hukum oleh mahkamah dan pertikaian sesama sendiri yang tidak pernah habis.

Sempena keputeraan Rasulullah SAW, tidakkah lebih baik kita membincangkan sama ada umat Islam berakhlak mengikut Baginda atau tidak? Perpecahan umat Islam yang semakin menghancurkan dan banyak lagi perkara berkaitan dengan masa depan kita di bumi bertuah ini. Berarak atau tidak menjelang maulidur rasul, itu bukanlah soal akidah atau melibatkan hidup mati Islam. Yang lebih penting adalah pengajaran daripada sambutan tersebut. Apa guna sambutan di buat secara besar-besaran, sedangkan kesannya amat sedikit. Paling baik, sambutan hebat, kesannya juga hebat atau sambutan sederhana, kesannya juga hebat.

Janganlah berlaku sebaliknya, sambutan hebat, wang habis, impaknya kurang atau mungkin sedikit. Paling teruk, sudahlah sambutan tiada, ingatan terhadap Junjungan Besar semakin pupus. Apapun, sekurang-kurangnya sambutan maulidur rasul mengingatkan kita kepada perjuangan Baginda. Begitulah indahnya budaya masyarakat kita yang menunjukkan rasa dan cara kecintaan kepada Baginda SAW.

Kalau kita meninjau sirah, Baginda tidak pernah sama sekali membiarkan hidup sia-sia dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Kehidupan Baginda adalah kehidupan yang berkualiti dalam setiap saat yang berlalu. Setiap detik digunakan bagi tujuan jihad fisabilillah, dalam erti kata memastikan Islam dan umatnya terus menjadi hebat, berketrampilan dan berkualiti. Lebih membanggakan lagi, Islam tersebar ke segala ceruk rantau dunia. Inilah kemantapan perjuangan Baginda yang mesti kita ikuti dan contohi.

Selain daripada kemantapan akidah, asas utama perlu dimulakan dengan ikatan perpaduan dan persaudaraan. Kedua-dua elemen adalah asas kekuatan. Kita hanya ada satu Rasul yang terakhir, iaitu Nabi Muhammad SAW. Baginda adalah rujukan kita bersama Al-Quran yang diwahyukan. Cara hidup dan peraturan yang dibawa terbukti mampu mencipta kegemilangan yang disanjungi dan kagumi dunia, tidak ada yang mempertikaikannya, termasuk bukan Islam. Ini kerana, cara hidup Baginda adalah yang terbaik sebagaimana Islam yang dibawa Baginda. Justeru, tidak timbul isu untuk mempertikaikan kredibiliti Baginda dari apa jua sudut sekalipun, untuk diikuti pada hari ini. Michael Hart (2007), menempatkan Baginda sebagai orang yang paling hebat di dunia berbanding tokoh-tokoh terhebat dalam sejarah tamadun dunia. Masihkah kita ragu-ragu?

Justeru, tidak timbul pertikaian sesama Islam berhubung isu atau masalah yang telah selesai dan telah ada jalan penyelesaiannya. Misalnya berkaitan hukuman sebat ke atas penzina dan peminum arak. Mahkamah syariah, sumber tertinggi perundangan Islam negara, berkaitan hal ehwal umat Islam, telah memutuskan, maka hormatilah keputusan tersebut. Kepakaran hakim-hakim yang amat arif dalam bidang mereka tidak sepatutnya dipertikaikan. Kenapa beberapa NGO wanita Islam seperti cacing kepanasan? Siapa yang kena sebat sebenarnya? Kenapa perlu membuang masa mengadakan protes sana protes sini. Kita seolah-olah bertindak bagi pihak orang bukan Islam. Mereka tidak perlu bertindak lagi kerana kita sudah jadi wakil. Kita menghina keputusan mahkamah dan agama sendiri. Apakah tindakan ini wajar? Tidakkah kita sedar bahawa mereka bertepuk tangan melihat kita semakin jauh dari agama dan sunnah Baginda. Tidak bersatu dan bersaudara dalam banyak perkara.

Apakah kita mahu terus membiarkan umat Islam terus melakukan maksiat tanpa diberikan pengajaran? Apakah kita takut nanti kalangan kita yang kena sebat dengan perlaksanaan hukuman tersebut? Kenapa terlalu beriya-iya memperjuangkan hak asasi manusia? Saya teramat ingin melihat kita turut memperjuangkan hak-hak Allah selain hak asasi manusia. Barulah kita boleh mendapat penghormatan orang lain. Saya tidak mengatakan bahawa hukuman yang sedang berjalan seratus-peratus mengikut syariat, tetapi sekurang-kurang sudah ada jalan perintis ke arah itu. Hormatilah, kerana ia di bawah bidang kuasa mereka yang pakar. Budaya merujuk pakar mesti dihidupkan supaya yang bukan pakar tidak memandai-mandai. Jika baca Quranpun masih merangkak-rangkak, eloklah bertanya kepada yang lebih arif. Jangan bertindak seperti jahil berlagak pandai, akhirnya memakan diri.

Pesalah mesti dihukum. Kita tidak boleh melepaskan mereka terus bermaharajalela. Seks bebas, arak, dan maksiat yang lain ibarat dadah, selalunya ketagih. Melepas yang bersalah adalah bertentangan dengan ajaran agama Islam setelah proses kaunseling atau nasihat tidak meninggalkan kesan. Kemungkaran mesti dibenteras, jika tidak ia akan menjadi barah dalam masyarakat, seterusnya merebak merosakkan orang lain.

Inilah bentuk pemikiran yang dikatakan oleh Eleanor Roosevelt, Great minds discuss ideas. Average minds discuss events. Small minds discuss people. Hari ini kita tidak habis-habis bincang pasal orang yang kita tidak suka, bukannya idea yang dibawanya. Idea atau perancangan ini pula ada baik dan buruknya. Yang baik diterima walaupun mungkin ia datang daripada musuh kita, manakala idea yang buruk bukan sahaja kita perlu menolak, malah pada masa sama kita perlu bersedia menentang. Misalnya, perancangan ultra kiasu dengan idea Malaysian Malaysia. Antara idea-idea mereka mahu menghalalkan apa yang diharamkan oleh Islam atas nama hak asasi manusia seperti seks bebas, arak, judi dan sebagainya. Kita tidak menghalang jika mereka mahu melakukannya, tetapi idea ini tidak akan membawa kebaikan umat Islam, malah akan menghuru-harakan negara. Maka kita perlu menolak dan bersedia untuk menghadapi mereka bila-bila masa, sama ada dari segi hujah, fakta dan tindakan. Sepatutnya kita membincang bahaya yang bakal menimpa jika kita biarkan idea-idea orang yang menentang Islam ini bermaharajalela, terutama kerosakan yang bakal diterima oleh orang kita.

Ini tidak, kita asyik menyalahkan orang, siapa benar, siapa salah. Membincangkan perkara yang kecil akan menjadikan minda kita kerdil, tidak kreatif dan inovatif. Ini tidak termasuk cara hidup kita yang lain seperti lebih suka membincangkan kehidupan artis-artis berbanding kehidupan para ilmuan dengan hasil kajiannya dan negarawan dengan pengalamannya. Di negara maju, para ilmuan, negarawan, usahawan dan professional yang benar-benar terbukti cemerlang akan disanjung. Martabatnya dipandang tinggi dan dijemput untuk mengajar di universiti dan diberikan anugerahkan gelaran profesor walaupun mungkin tidak ada penyelidikan yang dibuat. Penghargaan diberikan atas dasar ilmu dan pengalaman yang hebat sepanjang hidupnya.

Berbanding dengan kita, sudahlah budaya ilmu sedemikian tidak seadanya, malahan kita menggalakkan budaya memuja segelintir artis yang kehidupan mereka tidak habis-habis dilanda dengan kontroversi dan gosip-gosip yang tidak membangun minda. Perbincangan seperti ini hanya akan mematikan minda dan tidak menuju kepada kualiti hidup. Sudah sampai masa kita meniru cara pemikiran masyarakat maju yang meletakkan ilmu dan ilmuan di tempat yang tinggi berbanding perkara lain yang tidak berfaedah. Bahan-bahan bacaan atau buku-buku yang dibaca oleh mereka juga berkualiti tinggi, berbanding dengan masyarakat negara membangun yang lebih suka membaca makalah hiburan dan berita-berita picisan.

Perlu diingat, jika kita membaca dan membincangkan perkara-perkara besar, secara tidak langsung minda kita menjadi lebih besar, seterusnya melahirkan umat berjiwa besar. Jika tidak, kita akan terus membuang masa dengan bertikai perkara yang remeh dan kerdil. Perkara besar yang seharusnya difokuskan oleh umat Islam hari ini adalah berkaitan dengan perpaduan umat Islam dan hala tuju umat Islam mendepani abad ke 21 serta kekuatan pertahanan dalam menghadapi ancaman musuh. Kita sepatutnya serius membincangkan perancangan musuh melalui gerakan freemason yang mahu mencairkan akidah dan memusnahkan umat Islam melalui pakatan mereka dengan beberapa parti pembangkang dan NGO sewaktu dengannya.

Gerakan ini nampaknya sudah masuk ke dalam individu dan pertubuhan orang Islam. Matlamatnya mahu memisahkan kehidupan beragama. Agama dianggap sebagai sesuatu yang merbahaya. Mengelakkan umat Islam daripada bersatu, pada masa sama mahu mematikan semangat jihad umat Islam. Jika dahulu sasaran freemason adalah Kristian, hari ini sasarannya adalah umat Islam setelah jatuhnya sistem sosialis.

Kejatuhan sistem sosialis telah memberikan masa depan yang cerah kepada freemason kembali bertapak kukuh pada akhir kurun ke 20. Sistem ekonomi diwujudkan dalam bentuk baru dan dinamakan sistem ekonomi kapitalis moden yang berselindung di sebalik nama globalisasi ekonomi. Nama globalisasi gunakan oleh freemasonry untuk penutup penjajahan order baru imperialis ke atas dunia Islam.

Fathi Yakan dan Yusuf Al-Qardhawi melihat globalisasi sebagai proses hegemoni atau penguasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial Amerika Syarikat ke atas dunia khususnya dunia Islam dan dunia ketiga melalui proses pembaratan dan ‘mengAmerikakan’ mereka. Mereka juga berjaya menipu negara-negara ini dengan istilah ekonomi tanpa sempadan atau ekonomi bebas dan terbuka.

Globalisasi ekonomi ini amat merbahaya disebabkan perancangan jahat freemasonry melalui teori 20-80. Hanya 20 peratus kekayaan negara Islam dimiliki dan selebihnya 80 peratus dibiarkan berada dalam kemiskinan. Tujuannya tidak lain untuk menguasai mereka. Langkah seterusnya gerakan ini ialah dengan melalaikan negara Islam sedang membangun dengan hiburan yang merosakkan. Media massa dan teknologi maklumat tanpa sempadan digunakan bagi menjayakan cita-cita mereka sehingga menyebabkan pusat-pusat hiburan berleluasa, nyanyian melalaikan dan pelacuran meningkat.

Kesimpulannya, apakah mungkin penentangan yang kuat terhadap undang-undang sebat dan mahkamah syariah Islam ada kaitannya dengan gerakan freemason yang sedang hangat diperkatakan hari ini? Kenapa yang mungkar seperti hiburan dan maksiat yang merosakkan tidak ditentang? Sama-sama kita fikirkan. Pada saya, tanpa disedari gerakan ini telahpun masuk ke dalam sesetengah individu dan pertubuhan umat Islam. Ini menyebabkan ada segelintir daripada kita sudah tidak sensitif lagi dengan masalah dan masa depan Islam dan umat Islam. Umat Islam bercakaran dan bertentangan sesama sendiri. Kita lebih kecoh dengan perkara kecil, berbanding perkara besar akhirnya fikiran menjadi kecil. Sedangkan kita tahu Rasul kita menuntut supaya kita sentiasa mengambil berat semua perkara besar berkaitan dengan kehidupan kita. Sabda Nabi Muhammad SAW: “Barang siapa yang tidur dan tidak mengambil tahu tentang urusan orang-orang Islam, maka dia bukanlah dari golongan mereka (orang-orang Islam)”.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, February 21, 2010

Bertegas Perkara 152

10:21 AM Posted by RIDHUAN TEE 65 comments
Mingguan Malaysia, 21 Februari 2010

Saya bergegas pulang ke ibu kota pada 15.2.2010 untuk memenuhi jemputan GAPENA, KALAM dan PENA sebagai panelis Wacana Peradaban Bahasa Melayu sempena Hari Pejuang Bahasa 152 di Dewan Bahasa dan Pustaka. Walaupun sedang bercuti Tahun Baru Cina, berpegang kepada prinsip bila mana berlaku pertembungan antara kepentingan negara dengan kepentingan bangsa, maka kepentingan negara mesti diutamakan.

Namun, alangkah hampa rasa hati kerana bilangan peserta yang hadir kurang dari 200 orang, sedangkan perkara yang dibincangkan merupakan masalah dasar negara. Di manakah sensitiviti kita sebagai warganegara di bumi tercinta ini? Tarikh 15.2 dipilih kerana mengambil roh perkara 152 perlembagaan persekutuan mengenai kedudukan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa kebangsaan. Pelik sungguh memikirkan, kenapa berforum membincangkan sesuatu yang telah menjadi dasar negara? Kenapa tidak dilaksanakan sejak dahulu lagi?

Sungguh amat terharu memberikan pandangan dalam forum sebegini, apatah lagi mendengar beberapa pandangan panelis gandingan. Maklumlah BM selaku bahasa yang termaktub dalam perlembagaan tidak terdaulat di bumi sendiri. Kita sibuk dengan bahasa lain, terutama bahasa Inggeris (BI) berbanding BM. Menggambarkan seolah-olah bahasa sendiri tidak penting. Persoalannya, bagaimanakah kita boleh mengharapkan orang lain menghormati BM jika kita sendiri tidak serius untuk memartabatkan BM yang menjadi tunjang pembinaan sebuah negara bangsa?

Kita sanggup berbelanja sejumlah besar wang sehingga berbilion ringgit untuk memperkasakan BI, tetapi sejauhmanakah sejumlah yang sama atau lebih, digunakan untuk memperkasakan BM? Kita juga sanggup berhabis membeli komputer serta segala kelengkapan makmal BI dengan peralatan canggih bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran BI, tetapi adakah perkara yang sama disediakan untuk BM? Terkadangkala terlalu pahit juga untuk menyalah sekolah vernakular kerana bersikap acuh tidak acuh terhadap BM, sedangkan kita tidak serius menyediakan platform untuk memandaikan mereka dalam bahasa perpaduan ini.

Saya fikir tidak ada seorang pun yang akan menolak akan kepentingan BI dalam mendepani arus modenisasi dan globalisasi. Adalah suatu tindakan yang bodoh jika kita menolak tuntutan belajar bahasa asing, kerana ia amat dituntut oleh agama. Tetapi janganlah terlalu ghairah dengan bahasa asing sehingga bahasa sendiri berdagang di bumi sendiri. Di manakah slogan bahasa jiwa bangsa yang tersemat disanubari selama ini?

Apakah BI satu-satunya faktor yang akan menentukan kemajuan sesebuah negara atau sikap kita yang perlu berubah? Terkenang saya kepada beberapa buah negeri maju seperti Perancis, kita tidak akan dilayan jika berbahasa Inggeris di sana, tetapi negara mereka tetap maju. Di Jepun pula, selepas negara ini musnah dengan pengeboman Hiroshima dan Nagasaki 1945, mereka terus bangun dengan semangat kejepunannya. Hari ini, Jepun terus berada di persada dunia setanding dengan negara maju yang lain. Dalam kata lain, semangat sayangkan identiti dan bahasa jiwa bangsa telah melonjak negara mereka. Begitu juga dengan negara lain, mereka bangun dengan acuan jati diri dengan memperkasakan bahasa jiwa bangsa dari segala segi.

Kadangkala saya sendiri merasa terpukul, kenapa mesti sanggup bersusah payah mempertahankan BM, lagipun ia bukan bahasa ibunda saya? Kenapa perlu berhadapan dengan kutukan dan kritikan bangsa sendiri hanya semata-mata mempertahankan bahasa orang lain? Setelah difikirkan balik, baru saya sedar, rupa-rupanya semangat cintakan tanahair dan Islam mengatasi segala-galanya sehingga terlupa asal-usul sendiri. Saya tidak nampak ini satu dosa seperti yang dilabelkan oleh ultra kiasu.

Jika BI yang menjadi punca kelemahan anak bangsa kita, maka lakukan perubahan secara besar-besaran terhadap cara pengajaran dan pembelajarannya dari segi domain, kognitif, psikomotor, pedagogi dan berbagai aspek lagi, bukannya merubah asas sistem pendidikan itu sendiri. Kadangkala saya rasa pelik, kita begitu berani merubah sistem pendidikan kebangsaan yang melibat masa depan bangsa Melayu, tetapi kenapa kita tidak berani langsung menyentuh atau merubah struktur sekolah vernakular, sedangkan kita ada kuasa berbuat demikian berasaskan perkara 152 dan akta pelajaran 1996? Sehinggakan sampai ke peringkat menyeragamkan dan menambahkan kurikulum BM sekolah tersebut pun kita tidak boleh bertegas. Akhirnya sistem pendidikan kebangsaan yang menjadi mangsa.

Saya amat kagum dengan kehadiran seorang profesor daripada Korea dalam wacana tersebut, yang begitu fasih berbahasa Melayu. Beliau mencadangkan agar tulisan jawi turut diperkasakan dalam usaha untuk memartabatkan BM. Katanya BM dan jawi amat berkait rapat dan tidak dapat dipisahkan. Tidakkah kita malu dan terpukul dengan pandangan seperti ini? Begitu juga dengan pandangan Dr. S. Nathesan Sellapan yang turut menjadi panelis wacana tersebut. Katanya, perjuangan mendaulatkan BM adalah tanggungjawab semua rakyat Malaysia, bukan hanya orang Melayu sahaja. Ini bermakna, orang bukan Melayu mesti memikul tanggungjawab serupa seperti mana yang dilakukan oleh orang Melayu.

Persoalannya, bagaimanakah ia boleh berlaku sedangkan orang Melayu sendiri berbelah-bahagi dengan kedudukan bahasa mereka sendiri. Lihat sahaja, apabila kerajaan mengambil keputusan untuk mengembalikan semula pengajaran sains dan matematik dalam BM, berapa ramai NGO-NGO Melayu yang tampil menentang keputusan tersebut? Akibatnya, orang lain mengambil kesempatan. Kita juga yang rugi.

Kenapa kita tidak bertindak seperti NGO-NGO bukan Melayu? Bila tiba soal mempertahankan bahasa ibunda dan sekolah mereka, tidak ada perkataan TIDAK, tanpa berbelah bahagi, mereka secara bulat bersatu hati. Bilamana ada ura-ura atau tindakan hendak mengubah karakter sekolah mereka, seperti penambahan waktu dan menyeragamkan silibus BM, mereka bersatu hati menentang. Keputusan kerajaanpun tidak dapat mengubah pendirian mereka. Akhirnya kerajaan yang terpaksa tunduk kepada desakan dan pendirian mereka. Sama ada wajar atau tidak, kita fikirlah sendiri? Kenapa sikap ini tidak ada pada orang Islam?

Paling tidak, kita mengamalkan budaya merujuk pakar, seperti yang dilakukan oleh negara maju. Misalnya, jika kita sakit, maka rujuklah doktor perubatan, jangan pula merujuk kepada doktor falsafah. Begitu juga dalam bidang bahasa. Biarlah pakar-pakar bahasa yang menyelesaikan masalah bahasa jika terdapat kecacatan atau kekurangan dari segi perlaksanaannya. Ini tidak, yang bukan pakar beriya-iya benar mahu merubah sesuatu yang di luar kepakarannya, tanpa merujuk kepada pakar. Akhirnya, keputusan yang dibuat mula tersasar dan sedikit demi sedikit tamadun bangsa terhakis.

Lihat sahaja, papan-papan tanda, nama-nama kedai dan taman-taman perumahan, adakah ia mencerminkan perkara 152? Adakah mereka yang berada di Jabatan Perancang Bandar peka dengan jati diri seperti ini? Ini tidak termasuk kemudahan surau yang tidak disediakan, kalau ada pun surau diletakkan di kawasan parkir yang menjijikkan. Kadangkala saya rasa kagum bilamana barat lebih memahami kita daripada kita sendiri memahami diri sendiri. Kita lihat surau-surau Carrefour dan Tesco yang diletakkan di tempat yang cukup strategik, cantik dan bersih.

Tidakkah kita yang meluluskan bangunan ini sedar akan hakikat ini. Kita mahu banyak melihat dan mendengar nama-nama taman teratai, melor dan sebagainya, bukannya Ki Park, Monte Kiara, Country Height dan macam-macam Height lagi. Nama-nama barat dianggap sebagai ada standard, berebut-rebut kita membeli rumah di kawasan tersebut, nama-nama berbunyi BM dianggap lekeh. Adakah nama-nama ini mencerminkan semangat 1Malaysia dan perkara 152? Ini belum termasuk dominasi budaya asing yang telah menenggelam muzik, lagu, adat resam, dan seni budaya tempatan. Jika perkara-perkara kecil ini tidak terjaga, bagaimanakah perkara yang lebih besar akan terpelihara? Saya amat mengharap 1Malaysia benar-benar dapat menjunjung jati diri rakyat Malaysia.

Apapun, pendekatan top-down amat berkesan dalam menentukan hala tuju sesebuah negara, bukannya bottom-up. Kadangkala saya amat kagum dengan segelintir NGO yang begitu bersemangat memperjuangkan jati diri dan identiti negara bangsa, tetapi adakah ianya disokong dan didokong oleh semua pihak. Saya bimbang kita syok sendiri. Janganlah terlampau berpolitik sehingga mengenepikan kepentingan agama, bangsa dan negara. Jika begitulah keadaannya, saya amat khuatir kita akan pupus. Jangan hanya berpolitik sementara ada kuasa atau memerintah satu penggal atau lima tahun. Bila tidak terpilih lagi, kita duduk diam. Perjuangan bahasa jiwa bangsa adalah perjuangan seumur hidup bukannya action-oriented.

Akibatnya, orang lain mengambil kesempatan. Bila orang lain yang mendominasi, kita menyalah mereka, sedangkan sendiri yang salah kerana terlalu alpa dan tidak mahu bertegas. Ke manakah Melayu dan Islam akan pergi jika kekuatan mereka semakin hilang? Apakah benar ramalan saya selama ini bahawa tamadun Melayu akan pupus di buminya sendiri jika mereka tidak ada lagi keyakinan kepada kekuatan diri sendiri tetapi lebih mempercayai kekuatan orang lain. Sedangkan kita tahu bahawa Allah memberikan kekuatan kepada setiap makhluk jadiannya, yang penting makhluk tersebut mesti bersyukur dan bukannya kufur nikmat?

Kadangkala saya terpinga-pinga melihat kita begitu prihatin dalam soal kepupusan sesuatu spesies haiwan atau tumbuhan dan hak asasi manusia, tetapi kita tidak mempedulikan kepada pupusnya sesuatu bahasa dan kebudayaan bangsa. Apatah lagi kalangan kita yang terserkap mindanya tidak mahu ketinggalan bersama manusia yang dianggap maju. Atas nama globalissasi, mereka ini mudah akur, memberi laluan kepada tamatnya riwayat bahasa jiwa bangsa, malah turut memberi sumbangan ke arah mempercepatkan lagi proses itu. Sepatutnya mereka ini lebih waras lagi dengan bertindak sekurang-kurangnya sama dengan kumpulan penggiat alam sekitar dan hak asasi manusia itu.

Kebanyakan kita di dunia ketiga menganggap globalisasi itu sebagai suatu fenomena baru akibat ledakan teknologi maklumat atau pengaruh Barat, sehingga sanggup merubah segalanya seperti menggunakan BI dalam segala aspeknya. Kita mesti ingat, walaupun sekitar 50 peratus daripada orang Eropah mengetahui bahasa Inggeris dengan baiknya, namun mereka tidak meninggalkan bahasa ibunda mereka dalam sistem pendidikan sains dan matematik. Pemimpin Eropah seperti Perancis, Jerman, Itali, Sepanyol, Rusia dan sebagainya, tetap menggunakan bahasa ibunda mereka dalam komunikasi rasmi. Di United Kingdom sendiri, bahasa Wales dan Scotland, berasaskan bahasa peribumi daerah – Seltik, digunakan dalam kehidupan harian dan sistem pendidikan di peringkat tadika dan sekolah. Mereka mulai sedar betapa teruknya nasib bahasa yang dihimpit oleh dasar penginggerisan United Kingdom selama ini.

Sebaliknya, negara maju yang taksub dengan bahasa utama Amerika Syarikat dan United Kingdom, mula menggalakkan rakyatnya menguasai bahasa lain seperti Arab, China, malah BM itu sendiri, untuk mengetahui psiki bangsa ini bagi tujuan ekonomi dan politik. Dasar pendidikan di negara ini membenarkan pendidikan menerusi kebudayaan sekurang-kurangnya di peringkat tadika dan sekolah rendah. Boleh dikatakan kebanyakan syarikat komputer dan telekomunikasi hari ini seperti Microsoft, giat menterjemah segala keluaran atau produk dalam pelbagai bahasa di dunia atas alasan globalisasi.

Yang amat menyedihkan, reaksi kita hari ini kepada globalisasi dan kemajuan teknologi maklumat berlainan daripada reaksi banyak pemimpin negara lain (termasuk negara maju) yang semakin menuju ke arah multi-budaya dan menonjol budaya sendiri. Malaysia semakin merendahkan budaya sendiri dan menuju ke arah eka-budaya yakni budaya barat. Janganlah kita menjadi negara Singapura yang mula menyesali tindakan mereka yang terlalu taksub dengan BI sehingga bahasa ibunda terpinggir dan mereka kini digelar sebagai Cina pisang (Chinese banana).


Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, February 14, 2010

Iktibar tahun harimau, bersyukur dengan yang ada

7:01 AM Posted by RIDHUAN TEE 24 comments
Selamat Menyambut Tahun Baru Cina

Mingguan Malaysia, 14 Januari 2010

Apabila saya mengemukakan formula keadilan dan perpaduan mengikut statistik penduduk 60 – 40 (Islam – bukan Islam) berkaitan hak pembinaan rumah ibadat, agihan ekonomi dan politik dalam menyelesaikan masalah etnik dalam Mingguan Malaysia bertarikh 27.12.2009, saya dikecam, dihentam dan digodam. Pada saya, itulah formula keadilan, meletakkan sesuatu pada tempatnya. Terbaru, Centre for Policy Initiative (CPI) yang diketuai oleh Lim Teck Ghee mahukan formula tersebut diguna pakai dalam perkhidmatan awam disebabkan oleh dominasi orang Islam dalam sektor ini, agar tidak berlaku zero sum game. Tidak ada seorangpun yang marah atau mengecam beliau, malah boleh dikatakan semua bersetuju.

Dahulu, formula ini ditentang, sekarang terhegeh-hegeh mahu ianya diterima. Inilah sifat yang perlu disisihkan untuk mendepani dunia yang makin mencabar. Bila rasa kurang, mahu ditambah. Bila sudah terlebih, didiamkan sahaja, kalau boleh mahu ditambah lagi sehingga membukit. Asyik mahu menang besar atau ultra kiasu. Siapakah yang sebenarnya mengamalkan zero some game? Saya yakin CPI sudah ada jawapannya.

Sebelum ini, parti-parti komponen BN yang tidak perlu saya sebutkan lagi, sibuk mendesak kerajaan mahukan sektor perkhidmatan awam mestilah mencerminkan populasi kaum iaitu penguasaan 25 peratus orang Cina, 15 peratus lain-lain kaum. Persoalannya, kenapakah formula ini tidak diaplikasikan dalam bidang ekonomi atau sektor swasta yang didominasi bukan Islam? Bukankah ini yang dinamakan keadilan?

Kajian demi kajian yang dilakukan, sudah memberikan jawapan bahawa bukan Melayu tidak berminat bekerja dalam perkhidmatan awam kerana gaji yang rendah. Kalau adapun yang berminat, mereka hanya akan memilih sektor yang banyak memberikan pulangan besar iaitu jawatan berpangkat tinggi. Dalam perkhidmatan polis misalnya, daripada 250 belia bukan Melayu yang dikaji, lebih 80 peratus mahukan jawatan tinggi kepolisan berbanding jawatan pangkat rendah. Kajian ini sudah jelas menunjukkan psiki bangsa-bangsa yang ada di negara kita akan kecenderungan mereka. Cubalah fahami hakikat ini dan berlapang dada.

Ternyata, trend sengaja menonjolkan yang negatif atau yang masih belum cukup dengan sengaja menyembunyikan perkara yang positif, semakin menjadi-jadi. Golongan ini sengaja memejamkan mata akan sejarah perkhidmatan awam di negara ini, yang tidak dapat lari daripada perkara 154 perlembagaan persekutuan. Perkara ini menjelaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab Yang DiPertuan Agong untuk menentukan rizab bagi orang Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak dengan memperuntukkan suatu kadar bilangan jawatan dalam perkhidmatan awam persekutuan yang baginda fikirkan perlu. Menurut Mohd Suffian Hashim (1987), rasional perkara ini adalah pada awal kemerdekaan, bilangan orang bukan Melayu dalam perkhidmatan awam terlampau ramai, berbanding Melayu di buminya sendiri. Pada ketika itu, orang bukan Melayu lebih terdedah kepada pendidikan di bandar berbanding Melayu yang rata-rata berada di luar bandar.

Menurut kajian Comber (2007), penyertaan kaum bukan Melayu (Cina) tidak ramai hari ini dalam perkhidmatan awam, kerana mereka lebih terpesona kepada sektor korporat atau perniagaan sendiri. Ia dilihat sebagai satu kerjaya yang lebih baik berbanding makan gaji dalam sektor awam sekadar cukup makan. Lagipun, kaum ini berjiwa besar, bangga dengan tamadun mereka, tidak mahu diperintah dan lebih suka memerintah dengan berdikari. Psiki ini perlu difahami semua. Kajian juga menunjukkan wujud persepsi, adalah sukar untuk mendapat jawatan dalam perkhidmatan awam kerana sektor ini telah dibolot oleh orang Islam atau persekitaran Melayu. Jika berjayapun mendapatkan sesuatu jawatan itu, terlalu sukar untuk mendapat kenaikan pangkat. Hujah ini turut disokong bahawa bukan Melayu agak tidak selesa bekerja dalam persekitaran Melayu, kerana asuhan atau sosialisasi politik mereka yang berbau perkauman seperti tempat tinggal, pendidikan, media dan sebagainya (Yew Yeok Kim, 1982). Tambahan pula, syarat kepujian dalam Bahasa Melayu adalah antara halangannya.

Sebenarnya, kerajaan telah memberi dan membuka peluang kepada bukan Melayu dalam sektor perkhidmatan awam. Kita lihat banyak muka-muka bukan Melayu memegang jawatan tinggi dalam perkhidmatan awam termasuk ketua setiausaha kementerian, jawatan-jawatan kanan dan sebagainya, berbanding sebelumnya. Tidakkah ini satu perubahan dan keterbukaan? Dalam sektor perbankan misalnya, banyak bank yang dipunyai oleh orang Islam, menampakkan bilangan bukan Melayu yang agak ramai berbanding dengan muka Melayu dalam bank bukan Melayu. Inilah satu satu ciri keterbukaan agama Islam. Saya minta Teck Ghee buat kajian berapa peratus orang Melayu diterima bekerja dalam syarikat bukan Melayu serta berapa ramai yang diperalatkan untuk melariskan jualan? Justeru, tidakkah wajar Melayu berada dalam perkhidmatan awam? Barulah menang-menang.

Isu yang dibangkitkan oleh CPI ini mengingatkan saya kepada bantuan RM15 juta diluluskan oleh kabinet untuk membantu ibu-ibu tunggal yang beragama Islam. Isu ini terus dimanipulasikan tanpa henti saban hari oleh penulis dan media ultra kiasu. Mereka mendesak kerajaan agar ibu-ibu tunggal bukan Islam mesti turut dibantu. Saya tidak menafikan bahawa kerajaan perlu membantu mereka yang memerlukan, tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan ideologi. Prinsip Islam amat jelas dalam menangani isu ini.

Selaku Yang DiPertua PIBG sekolah menengah majoriti bukan Islam, sayalah paling banyak meluluskan bantuan yuran sekolah ke atas pelajar bukan Islam berbanding pelajar Islam, kerana merekalah lebih ramai yang memerlukan bantuan setelah disiasat latar belakangnya. Jangan tuduh saya racis pulak, sekadar menyahut seruan 1Malaysia, tanpa mengambil kesempatan. Tidak salah membantu kafir zimmi, selagi mana mereka tidak menentang Islam. Yang dibimbangi ialah segelintir yang digelar kafir harbi, yang terang-terang menghina dan menentang Islam. Golongan ini tidak layak berada di bumi bertuah ini.

Saya tidak selicik ultra kiasu yang memperalatkan gagasan 1Malaysia untuk memenuhi cita-cita mereka. Saya juga ingin melihat keadilan turut dipraktiskan sama di bawah negeri ultra kiasu yang mencanangkan mahu mengikut pemerintahan Umar Abdul Aziz. Kenapa CPI tidak membuat kajian atau memberikan pandangan yang sama di negeri ultra kiasu tersebut dari segi agihan ekonomi. Tidakkah Khalifah Umar Abdul Aziz mahu melihat keadilan ini dilaksanakan? Termasuk gerai-gerai orang Islam yang sedang rancak dirobohkan? Kenapa dasar-dasar Umar Abdul Aziz tidak muncul-muncul? Saya ingatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan dasar Middle Malaysia, termasuk think-tank mereka yang cuba berlagak seolah-olah bebas tanpa berpihak. Sebenarnya ada niat tersembunyi untuk memenuhi agenda tersurat dan tersirat ultra kiasu.

Saya menyarankan supaya kajian demi kajian dilakukan, berasaskan formula 60-40 dalam semua bidang dengan bertunjangkan perlembagaan, bukannya mengikut emosi dan mahu menjadi jaguh untuk mendapatkan 1 = 1. Semua pihak faham, bahawa pendapatan per kapita orang Islam masih ketinggalan berbanding dengan bukan Islam. Ini bermakna, dari segi logik, oleh kerana populasi Islam agak besar, sudah tentu lebih ramai kalangan mereka yang perlu dibantu berbanding dengan bukan Islam.

Sama juga dalam isu ekonomi, penguasaan bukan Melayu telah melebihi 70 peratus, bermakna, ibu tunggal bukan Melayu sudah tentu lebih banyak mempunyai peluang daripada ibu tunggal Islam. Lagipun cara hidup ibu tunggal Islam berbeza dengan kehidupan bukan Islam. Ibu tunggal bukan Islam boleh bekerja dalam semua sektor tanpa mengira halal haram. Tetapi ibu tunggal Islam ada batasannya. Mereka tidak boleh mencari rezeki di tempat-tempat subahat seperti kedai judi, arak, riba, kelab malam atau mendapatkan rezeki secara mungkar, walaupun saya tidak nafikan ada yang bekerja di tempat tersebut. Maknanya, peluang Islam agak terhad dalam bidang pekerjaan berbanding dengan bukan Islam.

Pada masa sama, orang Islam pula janganlah terlalu memilih kerja. Saya jarang melihat orang Melayu Islam dalam sektor perburuhan, berbanding buruh Indonesia. Sedih teramat sangat melihat belia remaja dan anak muda kita sanggup melepak dan membuang masa tanpa kerja. Namun, terasa bangga pula membaca berita sebahagian kecil orang Islam sanggup mencari rezeki dalam timbunan sampah sehingga kehilangan nyawa. Walaupun berita ini menyedihkan, tetapi semangat untuk mencari rezeki yang halal patut dipuji. Golongan sebeginilah yang mesti dilihat secara serius oleh kita semua dan dibantu melalui Dasar Ekonomi Baru serta tidak ketinggalan bantuan zakat. Sebenarnya tidak timbul masalah ibu tunggal dan kemiskinan, jika institusi zakat digerakkan sepenuhnya dengan telus.

Hari ini kita menghadapi masalah sebab ada segelintir orang Islam yang kaya mahu terus menjadi kaya tanpa menghiraukan orang lain. Sifat mahu jadi kaya adalah amat baik dan mulia. Tetapi harta itu milik Allah, ia harus dikongsi dengan orang lain atau menyelamatkan ibu-ibu tunggal. Jangan terlalu sibuk mengahwini segelintir artis yang mahu hidup mewah. Perkara ini perlu dihentikan. Masih ramai ibu ibu tunggal yang perlukan pembelaan dan boleh diselamat dengan membantu dan mengahwini mereka. Saya amat bangga melihat pemimpin negara dan isteri mereka sanggup turun padang membantu mereka yang memerlukan, termasuk orang kurang upaya.

Saya fikir, sudah sampainya rakyat Malaysia yang berkemampuan tampil ke hadapan dan menjadi juara rakyat dalam isu ini. Jangan simpan harta banyak-banyak. Bila mati nanti, bukannya boleh dibawa ke kubur. Jika kekayaan digunakan untuk membantu anak bangsa, kekayaan tersebut akan terus berkembang dan mengembang. Jika tidak, kita akan terus dengar cerita hartawan Islam, kahwin cerai, kahwin cerai. Ada yang hari ini kahwin, esok bercerai atau sebulan bercerai. Perkahwinan adalah terlalu murni dan suci, bukan main-main. Janganlah habis manis sepah dibuang. Kita selalu disindirkan oleh bukan Islam kerana membenarkan poligami. Sedangkan poligami itu adalah sesuatu yang mulia sekiranya dijaga dengan baik, berbanding mereka tidak boleh berpoligami tetapi menyimpan perempuan atau mistres. Saya harap ultra kiasu tidak marah dengan hujah ini sebab mereka yang menghalalkan zina sebelum ini. Dalam membina 1Malaysia yang lebih baik, asas-asas ini perlu difahami.

Apapun, budaya mendesak dan menuntut apa yang orang Islam dapat, orang bukan Islam mesti dapat, perlu difikirkan secara rasional dan logik. Jika kita terima pakai formula ini, maka akhirnya nanti kita akan lihat setiap taman perumahan, ada 1 masjid, 1gereja, 1 kuil, 1 tokong dan setiap 1 untuk mereka yang tidak menyembah apa-apaun, walaupun sebenarnya mereka tidak memerlukan. Keperluan mesti dilihat dari segi sejarah bangsa, konsep asas beragama dan populasi penduduk, yang bertunjangkan perlembagaan. Barulah ini dinamakan keadilan, meletakkan sesuatu pada tempatnya?

Inilah intipati gagasan 1Malaysia pada hemat saya. Jika tidak, nanti orang Islam akan menuntut kek ekonomi berasaskan formula 60-40. Sanggupkah bukan Melayu berkorban dan berkongsi dengan lebih 70 peratus penguasaan ekonomi mereka? Jika tidak sanggup, tidak perlulah mencari publisiti murahan sebegini. Bersyukurlah dengan apa yang ada. Jangan asyik menuduh orang lain yang merosakkan hubungan kaum di negara ini! Sebenarnya sifat ultra kiasu inilah punca kepada segala-galanya.

Akhirnya, kepada semua yang meraikan Tahun Baru Cina, saya ucapkan Gong Xi Fa Cai. Semoga kedatangan tahun harimau akan menurunkan sifat ultra kiasu harimau kepada kurang kiasu. Tahun harimau mengajar kita supaya lebih berhati-hati dalam segala aspek kehidupan. Hindari perasaan dendam dan iri hati, lebihkan sikap bersyukur dan menerima pendapat orang lain. Sikap ini akan menjadi kita tidak mudah jatuh, kerana sekali kita jatuh, mungkin kita sudah tidak berdaya untuk bangun kembali.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis

Sunday, February 07, 2010

Menang pada satu pihak

7:22 AM Posted by RIDHUAN TEE 30 comments
Mingguan Malaysia, 7 Februari 2010

Insiden ceramah berbau perkauman dalam program Rapat 1Malaysia baru-baru ini, perlu dijadikan teladan oleh semua pihak, terutama dalam membangkitkan perkara-perkara yang sensitif yang menyentuh sensitiviti kaum. Sudah menjadi amalan politik di negara kita, satu kesalahan yang dilakukan akan dijadikan senjata untuk menarik seseorang jatuh dengan melupakan seribu kebaikan yang pernah dilakukan. Inilah hakikat yang perlu kita terima.

Dengan sebab itu, kita perlu berhati-hati dalam berhujah agar tidak masuk perangkap. Hujah-hujah yang dikemukakan mesti disertai dengan fakta yang bernas. Hujah yang beremosi hanya akan memakan diri dan menjatuhkan maruah agama kita, apatah lagi jika tidak disokong dengan fakta ilmiah.

Insiden ini mengingatkan saya akan jemputan pemuda MCA pada 2 Februari 2010 baru-baru ini yang mahukan saya berdebat dengan barisan pemuda mereka mengenai sistem pendidikan Cina bersama-sama Profesor Khoo Kay Kim. Saya terpaksa menarik diri menyertai debat tersebut kerana pihak penganjur agak tidak professional dalam cara pengendaliannya.

Sebelum jemputan dibuat, saya telah beberapa kali mengingatkan pihak penganjur agar memilih tempat yang agak neutral untuk berdebat seperti di dewan-dewan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan bukannya dewan perhimpunan Cina sebagaimana yang dicadangkan, atau paling tidak, dewan berhampiran iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun, cadangan saya tidak diambil berat.

Alasan penganjur amat simplistik, semua dewan IPTA penuh, kecuali dewan perhimpunan Cina. Saya berasa amat pelik, takkan ketua pemuda mereka, seorang timbalan menteri pelajaran, tidak dapat mencari dewan lain atau sekurang-kurangnya dewan sekolah di bawah seliaan kementeriannya. Namun, saya tetap bersetuju untuk hadir walaupun diadakan di tempat yang penuh ultra kiasu, sebab pihak penganjur berkata debat tersebut akan disiarkan secara langsung melalui salah satu saluran televisyen swasta.

Saya berasa lega jika dapat disiarkan secara langsung. Bukan apa, saya tidak mahu debat dan hujah saya dimanipulasikan selepas itu. Dua hari sebelum debat berlangsung, pihak penganjur mengatakan bahawa, tidak ada siaran langsung, hanya debat biasa sahaja, yang akan dihadiri oleh sekumpulan ultra kiasu. Saya terpaksa membatalkan keputusan untuk menyertai debat tersebut disebabkan oleh sikap bias pihak penganjur. Jangan tuduh saya penakut pula untuk berhadapan dengan mereka.

Persoalan saya, kenapa kita begitu beriya-iya benar nak mengadakannya di dewan perhimpunan Cina? Tidak ada tempat lainkah yang lebih baik? Alasan lain mengatakan forum terpaksa diadakan di sana disebabkan Tahun Baru Cina semakin hampir bukanlah alasan yang kukuh. Masa masih panjang. Apa yang penting ialah forum tersebut mesti dianjurkan secara professional, di tempat yang neutral, agar dapat dihadiri oleh semua peringkat masyarakat. Barulah adil kepada saya.

Saya tidak mahu menjadi mangsa manipulasi akhbar-akhbar perkauman dan kumpulan ultra kiasu. Cukuplah dengan apa yang telah saya alami selama ini. Satu perkara yang saya ingin ingatkan bahawa menegakkan kebenaran itu adalah suatu perjuangan yang pahit. Kita perlu banyak bersabar. Kesabaran ini perlu diikuti dengan usaha menimba ilmu melalui pembacaan dan kajian. Perkara ini amat penting supaya fakta atau hujah yang dikemukakan sukar untuk untuk dipatahkan mahupun dipertikaikan.

Lebih baik lagi biarlah hujah tersebut mengikut bidang kepakaran masing-masing, agar ia mempunyai lebih berotoriti. Kadang kala saya amat pelik yang bila mana mereka yang tidak ada kaitan dengan bidang kepakaranpun, beriya-iya hendak menulis dan bercakap sehingga tulisan dan pendapat mereka tersasar jauh. Inilah salah satu ciri ultra kiasu.

Budaya ini juga disebut oleh Syed Hussein al-Attas sebagai budaya pandir, yang merujuk kepada budaya politik yang tidak ada nilai-nilai intelektual. Teringat saya kepada kata-kata pujangga Islam, kita sepatutnya menjadi orang yang tahu, dia tahu, yang dia tahu, inilah yang terbaik. Kalau tidak boleh, jadilah golongan seterusnya iaitu orang yang tahu, dia tidak tahu, yang dia tahu atau mereka yang tidak tahu, dia tahu, dia tidak tahu. Kategori ini masih boleh diterima. Tetapi janganlah jadi manusia yang amat rendah darjatnya iaitu dia tidak tahu, dia tidak tahu, bahawa dia tidak tahu atau dia tidak tahu, pura-pura buat macam tahu. Kategori akhir ini jahil namanya. Perkara inilah yang perlu dihindari apabila mengemukakan hujah.

Dalam membicarakan lanskap politik Malaysia, budaya pandir ini yang amat sukar untuk dihapuskan. Kita suka melabelkan seseorang yang tidak disukai tanpa menilai fakta yang cuba dikemukakan. Lebih serius sampai kita sanggup kita menolak kebaikan yang dilakukan disebabkan oleh sentimen berpolitik.

Lihat sahaja budaya politik antara pemerintah dengan pembangkang, iaitu UMNO (BN) dengan PAS, PKR dan parti ultra kiasu. Di mata pembangkang, tidak ada satupun kebaikan UMNO yang memerintah selama ini, semuanya buruk. Termenung memikirkan, adakah selama ini tidak ada sedikitpun jasa UMNO terhadap negara kita? Adakah apa yang kita nikmati selama ini berlaku secara semulajadi tanpa perancangan? Sekurang-kurangnya berilah pandangan kalaupun tidak banyak, sedikitpun tak apa, akan beberapa kebaikan UMNO. Begitu juga sebaliknya, pandangan UMNO terhadap pembangkang. Jangan tolak semua. Politik pandir sebegini perlu dihentikan. Ia tidak menguntungkan sesiapa.

Selaku ahli akademik, saya melihat UMNOpun ada peranan, pembangkang juga ada peranan dalam demokrasi. Kedua-duanya memberikan sumbangan dalam pembangunan politik, baru ada check and balance. Tetapi, janganlah bertindak kerana marahkan nyamuk kelambu dibakar. Disebabkan oleh seorang yang membawa masalah, maka kita pukul rata itulah kesemuanya. Satu dua orang yang terlibat dengan rasuah, maka semua dikatakan rasuah. Persoalan saya, adakah bila kita memerintah, semuanya baik belaka, tidak ada rasuah langsung?

Sebagai umat Islam, kita harus memuji usaha-usaha untuk memerangi rasuah, tidak kira negeri mana sekalipun kerana kita perlu mengikhtiraf kebaikan yang dilakukan oleh sesiapa sahaja, tanpa mengira latar belakang dan ideologi. Tetapi jangan kerana satu kesalahan, sehingga kita sanggup lupa seribu kebaikan yang telah dilakukan orang lain. Saya masih teringat kata-kata seorang ahli tasauf yang begitu terpahat di sanubari sehingga ke hari ini. Katanya, jika mahu hidup selamat dan sepakat, ingat dua perkara dan lupakan dua yang lain.

Selalu ingat pertolongan orang pada kita, lupakan pertolongan kita pada orang. Ingat, salah kita pada orang, lupakan salah orang pada kita. Tidakkah kita boleh berpolitik berlandaskan akhlak sedemikian? Bukankah kita beragama Islam dan bersaudara! Kenapa kita terlalu berkira dan ingin membalas dendam sesama sendiri?

Semua insiden ini mengingatkan saya satu lagi insiden yang hampir sama bila mana orang kuat parti Gerakan, pernah mengeluarkan kenyataan orang Melayu adalah juga pendatang. Kenyataan ini teramat sensitif, namun tidak ramai yang tampil ke hadapan mendesak beliau meletak jawatan. Lebih hiba lagi, kumpulan ultra kiasu ini menyokong kenyataan ini.

Insiden ini memperlihatkan seolah-olah ada pakatan senyap yang begitu licik. Bersatu dalam senyap. Begitu juga isu kalimah Allah yang banyak dibincangkan secara bebas di laman-laman web ultra kiasu. Kadangkala naik ngeri membaca artikel dan komen-komen yang dilontarkan. Mereka yang tidak menyembah Allah pun tidak menyokong kita atau melakukan protes? Ini belum campur lagi ultra kiasu yang menghina kedudukan raja-raja Melayu dan yang terbaru Almarhum Sultan Johor? Bayangkan pula ucapan-ucapan sesama mereka yang tidak dapat difahami oleh kita semua. Kenapa segelintir ultra kiasu ini masih bebas dan tidak dikenakan tindakan?

Itulah yang selalu saya kata, bila kena pada Melayu, heboh satu Malaysia, seolah-olah tidak ada cerita lain. Bila kena pada diri sendiri atau kumpulan sendiri, buat-buat senyap. Inilah nasib Melayu di bumi Melayu. Bila kesalahan dilakukan oleh orang Melayu maka dipaksa letak jawatan dan memohon maaf secara terbuka. Bila kena pada mereka, adakah desakan itu dibuat? Pernahkah mereka meminta maaf secara terbuka sedangkan perbuatan mereka juga amat mengguris hati umat Islam? Saya fikir ahli parlimen Jelutung faham apa yang saya maksudkan.

Saya lihat hubungan kaum di kalangan kita semakin rapuh. Jarang sekali berlaku situasi menang-menang (win-win). Apa yang selalu kita lihat adalah satu pihak menang besar, di pihak lain pula kalah terduduk. Persoalannya, sampai bilakah budaya pandir ini mahu diteruskan? Dalam hidup ini, kita perlu telus dan jangan hanya pandai memanipulasikan isu bagi mendapatkan publisiti murahan.

Saya sungguh teruja melihat cara ultra kiasu mempolitikkan gagasan 1Malaysia. Apa-apa juga kekurangan atau sesuatu yang dirasakan tidak adil, maka gagasan 1Malaysialah disalahkan. Sedangkan mereka sendiri bukan tidak faham akan maksud gagasan itu yang sebenar. Saya masih teringat, satu majlis makan malam yang secara kebetulan dalam majlis tersebut banyak menghidangkan makanan berdaging berbanding vegetarian, kerana bilangan bukan Islam boleh dikira dengan jari. Mereka yang tidak makan daging serta merta memberontak meninggalkan majlis sambil menghamburkan kata-kata, “ini bukan 1Malaysia”? 1Malaysia disalahkan kerana tidak berasaskan sama rata sama rasa iaitu 1 = 1 atau satu daging = satu sayur.

Dalam menyelesaikan kemelut ini, penegasan perlu dibuat segera bahawa gagasan 1Malaysia bukanlah konsep sama rata sama rasa tetapi bersandarkan kepada perlembagaan persekutuan. Perlembagaan adalah sesuatu yang hidup. Justeru, ia mesti dijadikan rujukan asas dalam memahami kehidupan bernegara. Inilah asas ucapan 1Malaysia yang perlu ada apabila kita diberi peluang untuk berucap di khalayak, agar apa yang kita sampaikan, tidak dimanipulasikan.

Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Pensyarah Kanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis