Jika orang asli pun nampak,
takkan mereka yang ‘tidak asli’ tidak nampak
Keputusan PRK Cameron Highland sebenarnya mengejutkan
ramai pihak. Mana tidaknya, melihat kepada jentera pilihan raya yang turun
daripada kedua belah pihak, Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN),
ternyata memberikan kelebihan kepada PH, bukan BN.
Semua jentera PH turun berkempen, daripada yang
tertinggi sehingga yang paling rendah.
Jarang berlaku dalam PRK, Perdana Menteri turut berkempen. Tetapi di PRK
CH, PM sendiri turut berkempen. Begitu juga mereka yang bergelar menteri,
timbalan dan lain-lain, berhadapan dengan pembangkang yang rata-rata
bermodalkan air liur.
Ikut kertas, PH memang akan memenangi PRK ini. Namun,
kuasa Allah adalah segalanya. Barisan Nasional, bukan sahaja menang, tetapi
majoritinya turut meningkat. Terkejut dengan kemenangan BN, maka berbagai
ulasan yang berat sebelah dilontarkan. Bersentimen dan beremosi kerana tidak
puas hati dengan kekalahan PH. Zaman bodek membodek sehingga maruah entah ke
mana.
Lebih hina lagi, ada seorang pensyarah bernama Dr
Mazlan (UTM) yang mengaitkan dengan dekatnya tarikh PRK CH dengan Tahun Baharu
Cina yang akan disambut 10 hari lagi daripada tarikh mengundi PRK CH, yang
menyebabkan peratusan mengundi orang Cina rendah. Ternyata beliau amat naif
dalam memahami psiki dan budaya masyarakat Cina. Jika tidak faham isu, lebih
baik diam. Apatah lagi bercakap soal silang budaya. Saya selaku orang Cina, amat memahami
sentimen orang Cina.
Apa kaitan dengan PRK CH dengan Tahun Baharu Cina yang
agak jauh lagi? Melihat kepada semangat ultra kiasu mereka, saya tidak fikir
mereka tidak mahu balik untuk mengundi? Mereka sudah pun mengundi. Yang tidak
balik mengundi itu adalah Cina yang tidak ultra kiasu, yang sudah menyampah
dengan PH. Cina tidak ultra kiasu inilah Cina baik, Cina yang dapat membezakan
yang mana intan dan yang mana kaca.
Sebab itu, naif sangat ulasan mengaitkan kekalahan PH
dengan sambutan Tahun Baharu Cina.
Mengaku sahajalah bahawa rakyat hari ini sudah semakin hari semakin
meluat dan muak dengan lakonan ultra kiasu.
Mujahid Yusuf Rawa, selaku menteri di JPM (Hal Ehwal
Islam) berkata, kempen menggunakan sentimen perkauman dan agama oleh BN dengan
kerjasama PAS pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands menjadi
punca kekalahan calon Pakatan Harapan (PH). Sentimen dimainkan pakatan
pembangkang itu jelas merupakan fitnah terhadap beliau dan kerajaan PH. BN
menuduh PH tidak menjaga agama, jual Tabung Haji (TH) dan ikut telunjuk DAP.
Kata beliau, semua itu fitnah.
Jika itu fitnah, tangkislah. Inikan zaman siber.
Gunakan alat teknologi komunikasi untuk menangkis semua itu. Bukankah kejayaan
atau Pakatan Rakyat (PR) dan PH dalam PRU 12, 13 dan 14, atau disebut sebagai
tsunami politik, disebabkan oleh kecanggihan alat teknologi kemunikasi. Semua
maklumat dapat diakses begitu cepat melalui telefon komunikasi pintar?
Menurut Mujahid lagi, berikutan kemenangan BN pada PRK
itu, pihaknya bimbang BN akan menggunakan sekali lagi sentimen perkauman dan
agama pada PRK Dewan Undangan Negeri Semenyih, Selangor dan Rantau di Negeri
Sembilan.
Jika menurut logik Mujahid dan ulasan beberapa pusat
penyelidikan pro PH yang menggunakan fakta yang sama, apakah orang asli turut termakan kempen agama
dan sentimen perkauman? Saya tidak fikir BN berkempen di kawasan orang asli
membangkitkan isu agama dan sentimen kaum. Apakah kajian tidak dibuat, kenapa
orang asli turut menolak PH? Jika orang asli pun nampak, takkan orang yang
tidak asli tidak nampak!
Kemenangan BN minggu lalu dalam PRK Parlimen Cameron
Highlands memberikan kemenangan kepada calon BN, Ramli Mohd Noor,meraih 12,038
undi, menewaskan calon PH M.Manogaran (8,800 undi), dan dua calon Bebas,
Sallehudin Ab Talib (314 undi) dan Wong Seng Yee 276 undi.
Kenapa kita mahu menutup fakta bahawa rakyat telah
mula bangkit. Kesatuan yang berlaku antara PAS dan UMNO, benar-benar memberikan
impak kepada PRK CH. Tidak mustahil selepas ini akan turut diterjemahkan dalam
PRK Semenyih dan Rantau. Kita perlu rasional dalam menilai kebangkitan rakyat.
Semasa kempen PRK CH sudah menampakkan tanda-tanda
kemenangan berpihak kepada BN. Ternyata, ceramah atau kempen BN jauh lebih
mendapat sambutan daripada PH.
Ini mengingatkan saya kepada kempen PAS ketika menjadi
pembangkang menghadapi BN selaku pemerintah suatu masa dahulu.
Ketika itu kita dapat lihat, dalam kempen PAS, begitu
ramai yang hadir berbanding dengan BN. Bila berlaku pilihan raya, bilangan
dalam kempen yang ramai tidak memihak kepada PAS. Rata-rata berpihak BN
walaupun ceramah mereka hambar.
Hari ini, zaman sudah berubah. Bilangan (crowd) yang
hadir ketika ceramah dan kempen, itu adalah tanda kemenangan seseorang calon
itu. Dalam maksud, rakyat mahu tahu, apa sebenarnya yang berlaku, apa pula yang
dijanjikan oleh calon yang bertanding.
Saya tidak fikir rakyat akan termakan dengan kempen
berbau hasutan, fitnah, perkauman, sentimen agama dan sebagainya, kerana ia
boleh ditangkis dengan mudah?
Ingatan saya kepada PH, tidak perlu menjadi rumah siap
pahat pun berbunyi. Bersedialah menghadapi PRU15 yang akan datang dengan lebih
sengit dan mencabar.
Zaman sekarang, adalah zaman buat kerja, dan melakukan
yang terbaik untuk rakyat dan negara selaras dengan prinsip demokrasi, bukannya
sedap duduk dikerusi empuk sehingga lupa masalah rakyat jelata.
Rakyat hari ini yang menjadi petani sedang merintih
disebabkan oleh kejatuhan harga komoditi. Saya difahamkan ada yang terpaksa
mengikat perut kerana tidak cukup makan disebabkan harga komoditi jatuh
merudum. Lebih malang lagi, minyak sawit kita turut tidak diterima di persada
antarabangsa.
Hentikanlah sindrom menyalahkan BN dan Najib Razak.
Lakukan yang terbaik untuk agama, bangsa dan negara. Jangan lagi menjadi kuda
tunggangan ultra kiasu. Rakyat mahu melihat, apa sikap pimpinan negara, terutama
yang beragama Islam, terhadap isu Allahyarham Adib yang menjadi mangsa rusuhan
kuil. Jangan hanya begitu beriya-iya dengan isu Teoh Beng Hock, tetapi menikus
dalam isu Allahyarham Adib.
Jangan hanya nampak NGO-NGO sahaja mempertahankan
beliau. Yang lain bagaimana? Keadilan mesti diberikan untuk Adib. Begitu juga
dengan isu-isu berkaitan Islam yang perlu kepada pembelaan.
Rakyat sudah dapat menilai antara PH dan BN. Begitu
juga dengan kerjasama antara biru dan hijau. Kalau saya seorang peniaga makanan
hari ini, pasti saya akan menjual kuih berwarna biru hijau. Kuih seri muka biru
hijau, kuih lapis biru hijau atau kek berbelang biru hijau. Saya yakin, pasti
laku dan berebut-rebut orang akan membelinya. Malangnya, saya bukan peniaga.
Kepada cendekiawan yang berada di menara gading, tidak
usahlah bersentimen sangat dengan membuat ulasan membodek yang jelas
menampakkan kenaifan diri sendiri sehingga menjadi manusia tidak bermaruah.
Berkata benarlah walaupun pahit.
0 comments:
Post a Comment