Antara ketuanan Melayu, Bumiputera, Cina dan India
Teramat sedih melihat apabila seorang menteri
bertaraf negarawan tidak dapat membezakan antara perkara pokok dengan ranting.
Atau lebih tepat lagi disebut sebagai fiqh
awlawiyyat dengan maksud memahami keutamaan. Antara mana dia wajib, sunat,
makruh dan haram.
Sebagai ahli politik, menteri dan negarawan, sudah tentu perkara
ini sudah menjadi mainan bibir. Namun, ia tidak berlaku. Sudahlah sebelum ini
kenyataan demi kenyataan penuh kontroversi. Ini tidak termasuk lagi isu
menayang body, terbaharu isu ketuanan Melayu disensasi. Apabila menjadi viral,
maka berlakulah apa yang disebut sebagai defensif.
Memanglah Melayu pada
hari ini dilanda pelbagai masalah, seolah-olah Melayu tidak menjadi tuan lagi
dalam negara sendiri. Tetapi itu bukan bermakna, kita menjadi celupar dengan
berkata, ketuanan Melayu sudah berakhir. Fikir dulu sebelum berkata.
Tidakkah kita sedar
bahawa ‘ketuanan’ setiap bangsa yang menjadi majoriti di dunia sentiasa
mengakar. Sebut sahaja negara apa, China, India, Indonesia, Thailand, Myanmar,
Kemboja, Vietnam dan sebagainya.
Rantau ini
asal-usulnya adalah kepunyaan orang Melayu. Sebab itu, seluruh dunia mengenali
sebagai kepulauan Melayu atau Malay Archipelago. Melayu (I-Tsing), Malaiur (Marco Polo), Malaiyur
(inskripsi Tanjore-Sanskrit di India), Ma-Li-Yu-R
(Yuan Shih/Cina), Mailiur (Siam) dan Malayo (Albuquerque/ Portugis).
Sudah menjadi lumrah, sesiapa yang
menjadi tuan di sesebuah negara itu, bangsa, agama dan institusi monarki (jika
ada) akan lindungi atau kadangkala dimaktubkan dalam perlembagaan. Misalnya,
imuniti raja dan agama Buddha di Thailand. Di Thailand, imuniti raja mengatasi
segala-galanya atau lebih dikenali sebagai ‘lese-majeste
laws’. Undang-undang ini masih digunakan kalangan negara-negara di dunia
ini yang mengamalkan pemerintahan beraja seperti Poland, begitu juga
Netherlands dan Sepanyol.
Sesiapa yang mengkritik atau menggugut
raja Thailand akan dipenjara lebih 15 tahun tanpa dibicarakan. Undang-undang
yang telah berusia lebih 100 tahun masih
dipertahankan sehingga ke hari ini.
Seorang
aktivis politik Thailand, Daranee Charnchoengsilpakul pernah ditangkap dan
dipenjara tanpa bicara pada Julai 2008 kerana mengkritik institusi raja Thai. Begitu
juga dengan seorang rakyat Australia, Harry Nicolaides, pengarang dan pensyarah
Kolej, dipenjarakan pada 31 Ogos 2008 lalu, kerana mengkritik keluarga diraja
Thailand dalam novel yang diterbitkan dalam tahun 2005 berhubung akaun perbelanjaan
keluarga diraja Thai.
Apakah kita tidak
melihat bagaimana umat Islam dihina, dianiaya, dizalimi dan dibunuh saban hari
kerana mereka tidak menjadi tuan lagi meskipun berada di tanah air sendiri?
Sebab itu saya
sarankan ahli politik bertaraf menteri ini, banyakkan membaca bagi menambah
ilmu. Sekadar menjadi pendebat terbaik, itu bukan jaminan kita akan menteri,
pentadbir dan ahli politik yang baik dan disegani.
Konsep ketuanan Melayu
merujuk kepada kepada Melayu sebagai tuan asal tanah ini. Melayu perlu diberikan
hak yang sewajarnya. Inipun sudah termaktub dalam perlembagaan. Nampaknya,
penjajah Inggeris lebih faham Melayu daripada kita sebagai rakyat Malaysia
Sebab itu, nama-nama
penjajah iaitu bekas-bekas pegawai Inggeris yang memahami Melayu seperti Sir Frank
Swettenham, Sir R.O Windsted, Sir George Maxwell, Sir Cecil Clementi, Ronald
Bradel dan lain-lain lagi, turut mengingatkan penjajah British yang berpusat di
London supaya jangan memperkenalkan Malayan Union pada tahun 1946, selepas
Perang Dunia Kedua.
Pegawai penjajah yang
memahami orang Melayu menasihatkan, jika Malayan Union bertujuan untuk membalas
dendam terhadap Melayu dengan menarik hak istimewa Islam, Melayu dan Raja-Raja
Melayu, orang Melayu akan bangkit menentang.
Nasihat ini tidak diendahkan
gabenor British berpusat di London, mereka bertegas melaksanakan agenda Malayan
Union. Akhirnya, seluruh umat Melayu bangkit menentang Malayan Union sehingga
Malayan Union terkubur dan seterusnya negara menuju kemerdekaan. Apakah menteri
muda kita tidak belajar daripasa sejarah ini? Naif sangat-sangat.
Selaku orang Cina yang
memahami sejarah biar saya jelaskan sekali, ketuanan Melayu hanya tinggal nama,
sebenarnya tuan adalah orang lain. Hujah saya yang pertama, siapakah yang
menguasai ekonomi dan tanah-tanah strategik di negara ini? Siapa yang menjadi
taukeh? Siapakah yang menjadi pekerja (hamba). Melayu/bumiputera atau Cina. Lebih
dahsyat, membaca iklan perjawatan, “untuk Cina sahaja” atau for Chinese only. Apa! Ini Republik
Rakyat China ke?
Kedua, dominasi bahasa
Cina dan Sekolah Cina. Media elektronik dan cetak Cina semakin mengakar dengan
bersemaraknya sekolah Cina yang bertambah saban tahun, melalui bantuan kerajaan
sepenuhnya. Sedih mendengar, apabila ada pemimpin yang berkata, orang Melayu
mesti belajar bahasa Cina kerana negara China akan bangkitkan sebagai kuasa
ekonomi. Persoalannya, bagaimana pula Cina yang duduk di tanahair tercinta ini
tidak perlu menfasihkan diri dengan bahasa Melayu. Kenapa kita begitu naif?
Ketiga, lihat pula
budaya mereka berkembang. Tulisan Cina dan budaya Cina dipamerkan di khalayak
tanpa segan silu seolah-olah budaya bangsa mereka mengakar dan majoriti. Rata-rata
kita lihat, terutama di kawasan majoriti Cina, kebanyakan maklumat seperti
banner, bunting, risalah, bahasa pengantara dan lain-lain, semuanya dalam
bahasa Cina yang langsung tidak difahami oleh orang Melayu. Semua ini
dibenarkan, tanpa kawalan. Sebab itu, apabila tiba musim perayaan, Malaysia
seperti negara China, negara India dan negara Kristian. Tenggelam habis
identiti Melayu dan Islam.
Keempat dan bukan yang
terakhir, lambakan NGO-NGO mereka mengatasi NGO-NGO Melayu. Orang Cina sahaja
ada lebih 9000 mengatasi NGO-NGO bangsa lain termasuk Melayu. Ini tidak termasuk
kebebasan menubuhkan persatuan di Universiti Awam dan Swasta. Apabila ada
sedikit sahaja hak mereka dicuit, lihat bagaimana mereka bangun dan bersatu.
Tetapi kita masih buta.
Jangan haraplah
kelibat mereka memakai baju Melayu dan bersongkok meskipun berada di parlimen
dan majlis rasmi, berbanding dengan Melayu yang terhegeh-hegeh memakai pakaian
tradisi Cina dan kurta. Rata-rata kita lihat, mereka lebih rela dan berbangga
memakai tali leher dan blazer daripada berasimilasi dengan budaya Melayu.
Peliknya, apabila
Melayu mengangkat keris yang menjadi simbol dan identiti Melayu seperti yang
pernah dilakukan oleh Naib Presiden UMNO, Hishamuddin Husein ketika Perhimpunan
Agong UMNO suatu ketika dahulu, setiap hari akhbar Cina memainkan isu betapa
rasisnya Melayu. Pendek kata, apabila Melayu mengagungkan Melayu itu rasis.
Apabila mereka lakukan, itu hak selaras dengan konvensyen Pertubuhan
Bangsa-Bangsa Bersatu.
Ketika cuti hari perayaan pula, jika kita cuti hari dua
hari. Mereka pun dapat dua hari. Semua ini dilakukan ketika cuti sekolah. Ini
tidak termasuk cuti-cuti yang lain. Desakan supaya Deepavali turut diberikan
cuti dua hari sudah lama berkumandang. Punya baiklah Melayu tetapi mereka masih
tidak puas hati.
Pada hemat saya,
sebenar isu ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan oleh pihak tertentu
untuk mengaut keuntungan politik. Mereka sengaja menggunakan isu ini untuk
menghapuskan hak-hak istimewa orang Melayu. Dengan harapan selepas ini tidak
ada lagi satu bangsa yang mempunyai kelebihan atau keutamaan. Bila semua ini
tiada, mudahlah untuk diranapkan.
Apakah kita sudah
lupa bagaimana, Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-persatuan Cina
Malaysia (Suqiu) mendesak agar hak
istimewa ini orang-orang Melayu dihapuskan pada tahun 1999?
Belajarlah...ambillah pengajaran wahai
pemimpin negaraku. Lihatlah negara lain bagaimana mereka membina negara bangsa.
Contohilah Brunei dan negara-negara jiran seperti Thailand dan Indonesia.
Brunei mempunyai will power yang tinggi dalam membina
negara. Apa jua perkara yang boleh mematikan ketuanan Melayu Islam di sana,
segera diambil tindakan. Hak-hak bukan Melayu diberikan, tetapi dalam
batas-batas tertentu, bukannya semuanya Malaysia Boleh!
Demi Allah, saya
tidak pernah memusuhi Cina atau bukan Islam yang lain, kerana saya datang
daripada lubuk yang sama. Jangan sama sekali pula ada Melayu memusuhi mereka
kerana membaca artikel ini. Manusia, apa jua bangsanya, mereka tetap makhluk
Allah. Saya hanya mahukan yang berhak diberikan haknya. Manakala, yang tidak
berhak, berpada-pada dalam menuntut hak. Jangan pula kita mendiskriminasikan.
Saya hanya sangat
benci kepada sikap ultra kiasu mereka yang tidak pernah puas dan sentiasa mahu
memutarbelitkan sejarah.
0 comments:
Post a Comment