Oh
Malaysiaku…Beruntungnya Jadi Bukan Islam
Artikel ini diterbitkan dalam portal Ismaweb. sila rujuk https://www.ismaweb.net/2018/01/15/oh-malaysiakuberuntungnya-jadi-bukan-islam/
SAYA membaca dengan tekun
artikel bertajuk “China demolishes Christian megachurch” yang disiarkan
oleh laman sesawang berpengaruh dunia, pada 13 Januari 2018, mengenai tindakan
kerajaan China merobohkan antara gereja terbesar di negara tersebut, walaupun
mendapat protes daripada jutaan rakyatnya dan dunia keseluruhannya. Kerajaan
China tidak peduli. Tindakan tersebut dibuat kerana ianya dibina secara haram
tanpa mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa. Begitulah tegas pihak
berkuasa Komunis China menggunakan segala peruntukan kuasa yang ada. Kita pula
bagaimana?
Seperti Malaysia, China
mengamalkan kebebasan beragama mengikut perlembagaan, tetapi pihak berkuasa
sentiasa memantau pergerakan kumpulan agama ini dan pembinaan rumah ibadat
terutama gereja, agar tidak dibina sewenang-wenang tanpa kebenaran. Kerajaan
China tidak mahu berlaku campur tangan asing. Mengikut statistik 2014, China
mempunyai 5.7 juta penganut Katolik dan 23 juta penganut Protestan.
Insiden ini mengingatkan saya
akan tindakan Taliban di Afghanistan pada tahun 2001, merobohkan patung Buddha
(Bamiyan Buddhas) di negaranya, memandangkan hampir tiada ada penganut Buddha
di sana. Berita ini terus disensasikan dan umat Islam dilabelkan sebagai orang
tidak bertoleransi. Dalam menjustifikasikan tindakan, pemimpin Taliban, Mullah
Omar berkata:
I did not want to destroy the
Bamiyan Buddha. In fact, some foreigners came to me and said they would like to
conduct the repair work of the Bamiyan Buddha that had been slightly damaged
due to rains. This shocked me. I thought, these callous people have no regard
for thousands of living human beings – the Afghans who are dying of hunger, but
they are so concerned about non-living objects like the Buddha. This was
extremely deplorable. That is why I ordered its destruction. Had they come for
humanitarian work, I would have never ordered the Buddha’s
destruction.(Mohammad Shehzad, 3 March 2001)
Sangat jelas alasan Taliban
ketika itu, orang luar sanggup datang untuk memperbaiki patung Buddha dengan
mengeluarkan belanja yang banyak untuk memperbaiki patung yang ‘mati’, tetapi
membiarkan rakyat Afghanistan yang ‘hidup’, hidup dalam kelaparan dan
kemiskinan. Beliau pasti tidak akan merobohkan patung tersebut jika mereka
turut datang membantu mengurangkan penderitaan rakyatnya atas dasar
perikemanusiaan. Tetapi perkara tersebut tidak berlaku.
Kalaulah di Malaysia, tindakan
yang sama dilakukan, saya tidak dapat bayangkan akan betapa riuhnya berita ini
akan disensasikan dan terus disensasikan berbulan-bulan. Tetapi itulah kerajaan
China, tidak ada tolak ansur dalam perkara yang bertentangan dengan
undang-undang mereka.
Di negara ini, buat sahaja,
rumah ibadat didirikan mengikut suka hati, tanpa meminta kebenaran, hatta dipacak
dan dibina di mana-mana sahaja mereka suka. Bila tiba mahu dirobohkan atas
tujuan pembangunan, maka berkokoklah mereka tidak pernah habis. Kita pun
mengalah kerana takut hilang undi. Inilah yang telah mengakibatkan rumah ibadat
bukan Islam melebihi 500 ribu berbanding dengan surau masjid sekitar 30 ribu.
Terbaharu, kita lihat politik
kotor ultra kiasu yang mempolitikkan isu perobohan kuil milik Persatuan
Penganut Dewa Shree Sivasakthi Shree Sinnakaruppar yang terletak di atas sebuah
tanah milik persendirian, pada 11 Januari 2018 yang lalu, sehingga pihak
kerajaan negeri terpaksa campur tangan.
Menteri Besar Johor berkata,
bahawa perobohan tersebut adalah dilakukan oleh individu pemilik sah tanah
tersebut atas kapasitinya selaku pemilik tanah, dan bukannya oleh pihak
kerajaan negeri atau mana-mana agensi kerajaan.
Kedua, ia sebenarnya dirobohkan
dengan kebenaran perintah mahkamah yang dipohon secara persendirian oleh
pemilik sah tanah tersebut dan tidak melibatkan pihak kerajaan negeri. Ketiga,
kerajaan negeri sebenarnya pernah mencadangkan sebidang tanah baru untuk
menggantikan kuil di tanah persendirian tersebut. Bagaimanapun, cadangan
kerajaan negeri tersebut telah ditolak oleh pihak kuil yang berkeras untuk
kekal di atas tanah milik persendirian di dalam kes ini. Memandangkan isu ini
berlarutan dan mula dipolitikkan, kerajaan negeri ingin sekali lagi menawarkan
kepada pihak pengurusan kuil sebidang tanah baru yang telah dirizabkan sebagai
tapak kuil di Jalan Persisiran, Seri Alam.
Saya sangat kagum dengan sifat
negarawan sebegini. Inilah toleransi yang tidak ada tolok bandingnya. Mana ada
negara di dunia yang bertindak sebegini. Ini tidak termasuk bantuan kerajaan
terhadap rumah ibadat bukan Islam. Hatta, seperti yang sebut dalam artikel
minggu lepas, di negara bukan Islam, rumah ibadat didirikan dengan inisiatif
persendirian tanpa bantuan kerajaan. Apa lagi yang kita mahu? Hargailah
toleransi ini.
Sama juga isu bantuan sekolah
vernakular. Peruntukan yang sama diberikan kepada sekolah agama, juga diberikan
kepada sekolah vernakular. Bayangkan sekolah vernakular yang tidak banyak
bilangannya seperti SJKC dan SJKT.
Sebab itu adalah sangat kelakar
apabila pemimpin besar ultra kiasu Pulau Pinang melawat salah sebuah SJKC di
Yong Peng Johor baru-baru ini, tiba-tiba pihak Sekolah datang meminta bantuan.
Ultra kiasu ini menyalahkan kerajaan negeri dan wakil rakyat di sana kerana
tidak membantu SJKC sehingga terpaksa meminta bantuan daripada ultra kiasu.
Persoalan saya, yang ultra
kiasu gatal melawat ke SJKC tersebut kenapa? Sudah tentulah pihak sekolah akan
mengambil kesempatan. Jika saya selaku YDP PIBG pun saya akan mengambil
kesempatan ini ketika pemimpin besar mahu turun padang. Jadi, apa isu ianya
hendak dipolitikkan? Nak beri, berilah, tak nak sudah. Pasal apa gatal keluar
kenyataan.
Untuk makluman, adalah menjadi
satu amalan di mana-mana sekolah seperti Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG)
apabila pemimpin besar datang melawat, biasalah pihak sekolah atau PIBG akan
mengambil kesempatan untuk meminta bantuan atau derma. Adakah itu salah? Amat
naïf sekali apabila pemimpin ultra kiasu mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Berapa banyak sekolah aliran
kebangsaan yang tidak mendapat bantuan untuk memperbaiki prasarana atas atas
alasan kekangan bajet? Saya berikan satu contoh, SMK Taman Tasik, Ampang, yang
dipimpin oleh adik saya selaku YDP dan saya selaku juru audit. Boleh dikatakan
tidak ada peruntukan membaiki prasarana sekolah diberikan oleh pihak kerajaan.
Padang bola tidak dapat digunakan, sudah lebih 10 tahun. Ia memerlukan belanja
sebanyak RM300,000 untuk memperbaiki kemudahan padang sekolah tersebut.
Siling kantin bocor dan rosak,
macam nak roboh, juga perlu diperbaiki. Semua aduan ini telah dipanjang kepada
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) tetapi sehingga ke hari ini tidak ada tindakan
diambil kerana kekurangan bajet. PIBG hanya mampu untuk membantu memperbaiki
kemudahan dalam ruang lingkup kemampuannya sahaja. Saya mahu jelaskan di sini,
tidak ada bantuan diberikan untuk memperbaiki infrastruktur sekolah yang
saya sebutkan tadi. PIBG hanya berjaya mendapat bantuan sebanyak RM5000.00
sahaja, itupun daripada Ahli Dewan Undangan Negeri PAS kawasan tersebut.
SJKC di Yong Peng dan Ayer
Hitam cukup beruntung kerana wakil rakyat adalah terdiri daripada orang Cina
yang bertanding di kawasan majoriti Melayu. SJKC dijaga dengan baik. Meskipun
bantuan dilaporkan, diberikan sebanyak RM10,000, pada saya itu sudah cukup
banyak. Sekolah kami terpaksa meminta bantuan daripada parti pembangkang.
Saya memohon supaya pemimpin
UMNO (BN) dapat melihat perkara ini dengan serius. Janganlah hanya SJKC
dibantu, Sekolah aliran kebangsaan dibiarkan ibarat kera di hutan disusukan,
anak di rumah mati tak makan.
Justeru, berbalik kepada semua
ini, seperti yang selalu saya syorkan, kita perlu ada garis panduan dalam
menangani semua perkara. Jika tidak, kita akan terus menghadapi masalah yang
sama. Setiap isu akan dipolitik dan peluang menangguk di air yang keruh akan
digunakan setiap masa terutama menjelang Pilihan Raya Umum 14. Siapa yang
untung, siapa yang rugi? Saya tidak nampak politik sebegini menguntungkan
Islam. Fikir-fikirkanlah.
Adakah wajar rumah ibadat di
dirikan di kawasan yang tidak ramai penghuni atau penyembahnya? Apakah wajar
rumah ibadat didirikan berderetan dalam skala besar dalam kawasan yang sama?
Adakah wajar bantuan sekolah agama dan sekolah vernakular diberikan layanan
samarata dan samarasa? Saya pening mencari jawapannya. Apa yang saya tahu,
inilah syurga yang disediakan oleh Malaysia kepada minoriti, terutama bukan
Islam. Apakah kita masih tidak bersyukur? Percayalah, tidak ada sistem di dunia
yang paling bertoleransi terhadap bukan Islam terutama dalam perkara agama dan
pendidikan, melainkan Malaysia. Mahu apa lagi kita?
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment