Artikel ini diterbitkan dalam laman portal ismaweb. Sila layari
https://www.ismaweb.net/2018/01/22/mereka-telanjang-perkara-biasa-tapi-kita-mana-nak-letak-muka/
SAYA berasa amat malu apabila
membaca surat Dr June Robertson yang ditujukan khas kepada pramugari syarikat
penerbangan tambang murah berwarna merah. Beliau yang dua kali setahun datang
ke Kuala Lumpur menggunakan pesawat itu begitu berasa jijik dengan pakaian pramugari
merah berkenaan dengan skirt terlalu pendek dan dada terdedah sehingga
menampakkan payu dara.
Antara kandungan surat beliau
berbunyi;
“The air stewardess serving
us in the premium business class seats had her blouse opened and I could see
the top of her breasts. I objected and asked her to close her jacket as she was
bending over us. One of the things we like about Malaysia is the fact that your
women do not dress like prostitutes and the people are very respectful of
others.”
Ternyata, beliau begitu ikhlas
dalam memberikan komen. Beliau yang mengenai Malaysia dengan budaya
ketimurannya sudah tentu tidak mahu pramugari pesawat ini berpakaian lagak
pelacur.
Apakah pihak pengurusan
syarikat penerbangan merah ini fikir, bahawa pelancong yang datang ke sini mahu
melihat betapa modennya pramugari kita. Tidakkah kita sedar bahawa negara
mereka lebih terbuka berbanding kita. Malah, pada mereka bertelanjang itu
perkara biasa.
Apabila tiba di Malaysia, sudah
tentu mereka amat teruja melihat kesopanan dan keunikan yang kita ada. Tetapi
amat memalukan apabila beliau memberikan komen mengenai pramugari kita.
Tidakkah orang Islam antara yang menjadi tulang belakang utama syarikat
penerbangan murah ini tidak terasa terpukul dan terhina dengan nasihat orang
bukan Islam ini.
Malah, Robertson berkata,
pemakaian skirt pendek itu tidak pernah dilihatnya di mana-mana syarikat
penerbangan antarabangsa lain sebelum ini. Syarikat penerbangan Eropah, New
Zealand, Australia atau Amerika tidak memakai skirt pendek seperti itu. Beliau
berasa ianya menjijikkan kerana tidak semua orang menghargai dan menerima
perkara seperti itu.
Beliau memuji, salah satu
perkara yang disukai mengenai Malaysia ialah wanitanya tidak berpakaian seperti
pelacur dan sangat menghormati orang lain. Katanya, antara perkara yang disukai
mengenai Malaysia adalah realiti wanita di negara ini yang sangat menjaga adab
berpakaian dan menghormati orang lain.
Jelasnya lagi, etika berpakaian
yang diguna pakai syarikat penerbangan itu menjejaskan reputasi Malaysia yang
mencerminkan budaya pemakaian yang sopan. Lebih menjengkelkan katanya, pernah
secara tidak sengaja beliau terlihat seluar dalam seorang pramugari syarikat
penerbangan yang membongkok di pasar raya di KLIA2. Menjijikkan.
Perkara ini pernah penulis lontar
beberapa kali. Terbaharu pesanan saya kepada artis Neelofa yang dilantik
sebagai pengarah bebas syarikat penerbangan merah itu. Sampai bila kita mahu
berubah? Teguran demi teguran telah dilontarkan. Jika syarikat penerbangan itu
tidak mahu berubah juga, tidak bolehkah pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen
kepada mereka memberi teguran?
Kita bukanlah terlalu ekstrem
sehingga mahukan mereka bertudung. Cukuplah dengan berpakaian sopan dan tidak
mencolok mata. Sebenarnya, kita mahu berniaga apa? Menjual tiket kapal terbang
atau menjual paha dan buah dada?
Yang elok kita puji, angkat ibu
jari. Yang tak elok kita benci dan kita tegur. Saya tidak ada komen langsung
uniform pramugara mereka, ringkas dan cukup segak. Ini perlu dipuji.
Tetapi, kenapa pramugarinya
terlalu seksi. Lebih memalukan lagi apabila dipakai olah anak-anak orang Islam.
Bukan main lagi lagaknya kadang-kadang ketika berkeliaran di klia2. Begitu
bangga untuk kelihatan seksi. Mahu jadi apa dengan anak-anak Melayu ini?
Justeru, sudah sampai masanya kita mengambil iktibar.
Pertama, jika syarikat
penerbangan tambang murah buat tidak tahu sahaja, sudah sampai masanya pihak
berkuasa bertindak. Paling kurang nasihatkanlah. Hantar surat peringatan, jika
bukan pun amaran. Apa yang saya diberitahu, memang pada awal, skirt pramugari
merah ini di bawah lutut. Pramugari ini yang memandai-mandai mengguntingnya
sehingga menjadi terlalu pendek, agar kelihatan seksi konon. Mahu jual servis
atau jual apa?
Kedua, orang Islam yang turut
menerajui syarikat tambang murah ini, takkan tiada kesedaran walaupun sedikit.
Tidakkah ada sedikit perkiraan dosa dan pahala, syurga dan neraka. Jika perkara
asas sebegini pun kita masih lagi tidak faham, bagaimana pula untuk
membicarakan rezeki halal dan haram.
Sudah tiba masanya syarikat
korporat diwajibkan mengikuti kursus asas-asas nilai kesopanan yang boleh
diterajui oleh Jakim. Saya sendiri menawarkan diri untuk memberikan input
mengenai nilai-nilai kesopanan orang Timur, jika tidak pun daripada perspektif
Islam kerana takut dilabelkan sebagai Taliban.
Ia bertujuan supaya imej negara
terjaga. Peliknya ketika pesawat ini membawa jemaah umrah atau haji, elok pulak
berpakaian sopan. Apakah ada dalam pemikiran mereka, disebabkan kapal terbang
tersebut menghala ke Makkah dan Madinah, maka pakaian perlu sopan.
Bila menghala ke tempat lain,
maka perlu ‘ditelanjangkan’. Jika ada pemikiran sebegini, kita sudah sampai ke
tahap jahil sejahil jahilnya atau jahil murabab. Bulan puasa jadi baik, bulan
Syawal jadi jahat. Menunaikan umrah dan haji, elok menutup aurat. Keluar
daripada Tanah Suci, aurat entah ke mana. Islam jenis apa yang kita amalkan.
Ketiga, pihak berkuasa perlu
menyediakan garis panduan kepada semua syarikat tempatan agar apa jua tindakan
yang dilakukan tidak memalukan negara. Paling kurang Rukun Negara hendaklah
menjadi panduan. Perkara 1 dan 5, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan serta Kesopanan
dan Kesusilaan, sangat relevan.
Tidak ada agama atau
kepercayaan kepada Tuhan yang menggalakkan pengikutnya berpakaian seksi dan
mencolok mata. Masalahnya hari ini kita, kita terlampau bebas, sehingga menjadi
lebih Barat daripada Barat. Teguran Robertson sepatutnya dipandang serius
kerana tidak ada satu pun katanya syarikat kapal terbang di dunia yang memakai
skirt terlampau pendek dengan dada terbuka luas.
Keempat, uniform pramugari
merah ini hanyalah satu contoh ketara yang memalukan. Syarikat penerbangan lain
pun janganlah berasakan mereka sudah bagus. Dua kali lima juga. Sebenarnya
uniform kebaya putih jarang dan kebaya batik yang tidak berjahit serta skirt
pendek oren pun lebih kurang sahaja.
Lip lap lip lap kain terbelah
dan tertutup bila melangkah. Bagi kain yang tidak berjahit, jahitlah yang mana
patut. Manakala, yang terbuka dada, tutup agar tidak dilabel sebagai pelacur.
Ambil contoh syarikat penerbangan lain yang lebih bersopan seperti yang disebut
oleh Robertson.
Paling baik, lihatlah pemakaian
uniform pramugari Royal Brunei Airlines (RBA). Saya tidak ada komen uniform
paramugara kerana bersetuju dengan pendapat Robertson.
Akhirnya, Malaysia sudah
dikenali dunia sebagai sebuah contoh negara Islam yang berupaya menjadi sebuah
negara maju. Justeru, marilah kita maju dengan acuan Malaysia. Acuan yang
berlandaskan kesopanan dan kesusilaan, jika tidak pun berlandaskan kepada agama
kerana takut dituduh sebagai Taliban.
Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
0 comments:
Post a Comment