Malang sungguh
Bahasa Melayu
Apa
istimewanya pegawai perubatan yang bergelar doktor sehingga dengan mudah
diberikan kelonggaran hanya lulus bahasa Melayu peringkat SPM untuk mendapat
tempat dalam sektor awam berbanding dengan profesion yang lain? Apakah negara
kita berada dalam keadaan kritikal sehingga sanggup matlamat menghalalkan cara?
Apakah benar rugi dakwaan kita akan hilang kepakaran setiap tahun sedangkan
mereka hanya pegawai perubatan sahaja, bukan pakar?
Sedangkan sebelum ini kita pernah didendangkan
bahawa berlaku lambakan graduan perubatan. Setiap tahun hampir 5,000 pelajar di
dalam bidang perubatan tamat pengajian tetapi hospital latihan hanya dapat
menampung kira-kira 3,000 doktor pelatih. Saya amat musykil dengan jawapan yang
mengatakan kita amat kritikal kekurangan doktor pelatih. Apa yang sedang
dipolitikkan disebalik semuanya ini?
Justeru,
saya ucapkan tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri kerana mengambil berat isu
negara ini dan mahukan kementerian berkaitan memberikan penjelasan segera. Alasan
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia bahawa kelonggaran syarat kelayakan Lulus BM
itu adalah bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan
Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di
peringkat SPM adalah tidak masuk akal. Pegawai Perubatan ini warga negara mana?
Afrika atau Malaysia?
Berbanding skim perkhidmatan yang lain, syarat yang
lebih tinggi diwajibkan iaitu Kredit BM sebagai syarat lantikan. Manakala,
calon yang memohon lantikan secara tetap Pegawai Kesihatan di KKM hanya perlu lulus
BM di peringkat SPM. Pendek kata, pegawai perubatan tidak boleh ‘disusahkan’
dengan BM, kononnya perkhidmatan mereka sangat kritikal.
Pergilah
ke negara mana pun untuk melanjutkan pelajaran sekalipun, kita mesti luluskan
bahasa kebangsaan mereka terlebih dahulu sebelum layak untuk meneruskan
pengajian. Peliknya, negara kita langsung tidak mengenakan syarat kepada
pelajar luar Negara yang belajar dan bekerja di sini.
Selepas ini Hua Chong dan Dong Jiao Zong akan
mendesak kerajaan mengiktiraf UEC dan standard BM mereka atas dasar, pelajar
sekolah Cina tidak diwajarkan ‘disusahkan’ dengan BM, sebab mereka terpaksa
menguasai bahasa ibunda. Jika mereka mengaku anak Malaysia, mahu tinggal
di Malaysia, perlulah bersusah sedikit. Ini masalah negara. Jika tidak mahu
bersusah, carilah tempat lain yang lebih menyenangkan, tetapi bukan di sini.
Saya amat yakin, kebanyakan mereka yang terlibat adalah dalam kalangan bukan Melayu, yang tidak menganggap perkara
ini penting.
Keputusan ini sudah tentu akan menambah dan
memburukkan masalah lambakan graduan perubatan yang terpaksa menunggu dari 3
hingga 6 bulan untuk mendapat penempatan di hospital latihan. Pihak bertanggungjawab sanggup mengenepikan agenda negara
semata-mata mahu meraikan pelajar perubatan. Belajarlah daripada Jepun selepas
menjadi padang jarak padang tekukur dalam Perang Dunia Ke-II pada 1945. Jepun mementing
agenda negara dan membina insan. Jepun mengamalkan ‘making people before making product’. Bina insan dahulu sebelum
keluarkan produk,”
Keadaan itu berbeza dengan Malaysia, kita mahu mengeluarkan produk
tanpa membina insan. Inilah malapetaka sedang menanti. Kelayakan asas bahasa
negara adalah isu negara dan tidak boleh dimain-main atau diperjudikan. Jika
beginilah caranya kita membina negara, pasti kita akan keluar menjadi negara
maju yang gagal. Tidak ada erti kemajuan material tanpa disertai dengan
kemajuan pembangunan insan.
Pihak yang bertanggungjawab terhadap perkara ini dan pegawai perubatan
sepatutnya berasa malu. Tidak ada negara yang sanggup membuat keputusan sehina
ini hanya kerana mahu meraikan pegawai perubatan. Berlaku adillah kepada
pegawai perubatan yang belajar sesungguh-sungguh dalam SPM untuk mendapat A
bagi kertas BM. Tindakan ini adalah satu pengkhianatan kepada negara.
Soal BM bukan soal keputusan SPM semata-mata. Ia melibatkan banyak
aspek, seperti kenegaraan, jati diri, semangat patriostisme dan lain-lain lagi.
Apakah mereka yang berada dalam bidang perubatan tidak nampak perkara ini? Mudah sungguh kita berkata, tidak menjadi
masalah kepada mereka untuk berinteraksi dengan pesakit dalam BM kerana mereka
rakyat Malaysia. Benarkah rakyat Malaysia baik komunikasinya dalam BM? Buatlah
kajian. Bukti-bukti menunjukkan, hatta wakil rakyat sekalipun BM mereka
berterabur.
Bayangkan bagaimanakah pegawai perubatan ini boleh
memberi rawatan yang berkesan kepada pesakit sekiranya terdapat masalah
komunikasi dengan pesakit? Kerap kali
kedengaran berlaku kesilapan diagnosis dan rawatan kerana doktor tidak dapat
memahami apa yang cuba disampaikan oleh pesakit. Kadangkala saya amat musykil kenapa
kita perlu menyambut Bulan Bahasa Kebangsaan sedangkan BM adalah bahasa yang
sedia termaktub dalam perlembagaan, yang mesti dikuasai oleh setiap rakyat
Malaysia tanpa berkecuali? Sebenarnya, kita tidak sensitif dengan identiti atau
jati diri negara. Kita rasa lebih berlagak kerana dapat memahami bahasa
(budaya) orang lain daripada bahasa (budaya) bangsa sendiri.
Saya masih ingat bagaimana seorang pelajar Jepun Masaya Ono, 21, mahasiswa
daripada Universiti Bunkyo Gakuin, mengakui terkejut apabila menjumpai rakyat
Malaysia tidak pandai bertutur dalam BM. Sebaliknya, pekerja asing lebih fasih
berbahasa Melayu berbanding rakyatnya sendiri. Ono berkongsi ceritanya ketika
bercuti di beberapa negeri di utara Semenanjung seperti Perak dan Pulau Pinang.
Kadangkala saya tidak menyalah bangsa
lain, kerana tidak dapat menguasai BM. Kita sahaja yang tidak mahu menggunakan
peruntukan dan kuasa yang ada untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan ini. Tidak
ada syarat langsung kelayakan BM kepada mereka yang bekerja di sektor swasta? Sama
ada mereka lulus atau gagal, boleh berbahasa Melayu, atau tidak, sudah tidak
menjadi ukuran.
Sehingga hari ini, saya amat
tertanya-tanya, apa yang menjadi masalah kepada kita untuk menguatkuasakan BM
sebagai bahasa negara? Negaranya berasal dari Tanah Melayu, Raja-rajanya adalah
Melayu, mempunyai kuasa ke atas Islam dan Melayu, Tanah rezab Melayu, majoriti
rakyatnya orang Melayu, dan banyak lagi yang berkaitan dengan Melayu yang sudah
sedia termaktub dalam perlembagaan. Sudah terang lagi bersuluh. Persoalannya,
kenapa semua ini seolah-olah ianya boleh terlepasataupun sudahpun terlepas.
Semua ini berlaku disebabkan oleh kita
terlalu banyak berpolitik daripada memikirkan agenda membina negara berasaskan
identiti nasional. Kita terlalu takut kalah pilihan raya, kita terlalu takut
hilang kuasa. Tidak pernah berlaku dalam dunia lain, satu bahasa yang menjadi
bahasa negara tetapi merempat di bumi sendiri.
Lihat sahaja negeri China, Jerman, Jepun,
Perancis, Amerika, Australia, Thailand, Vietnam dan sebagainya, bahasa mereka
begitu mendominasi negara tanpa berkecuali. Kenapa negara kita tidak sedemikian?
Bahasa
Melayu bukan semata-mata subjek wajib lulus peperiksaan, tetapi ia adalah teras kepada perpaduan dan integriti
nasional. Penghayatan bahasa kebangsaan dalam menzahirkan kecintaan yang tidak
berbelah bahagi kepada negara.
Saya
sarankan supaya pelajar yang menjalani persekolahan di luar negara dan menduduki
peperiksaan O-level di sekolah antarabangsa diwajibkan mengambil BM level SPM
yang dikawal selia oleh Lembaga Peperiksaan Negara. Kelonggaran tidak
sepatutnya diberikan meskipun mereka dalam jawatan kontrak.
Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)
Ahli Majlis MAAC
0 comments:
Post a Comment