(Sinar Harian 30.3.15)
Ahli
parlimen Kuala Terengganu membuat laporan polis berhubung artikel saya minggu
lalu. Sila polis lakukan siasatan. Saya berkata benar, dan akan terus berkata
benar, dalam ruang lingkup kebebasan akademik. Mempertahankan hak kepada yang berhak.
Peliknya,
kenapa tidak ada laporan polis dibuat apabila ultra kiasu membuat serangan terhadap
batang tubuh presiden PAS berkaitan hudud? Kenapa penulisan akademik yang
disertakan dengan bukti dilaporkan kepada polis? Adakah kita terlalu kemarukkan
undi ultra kiasu untuk menang pilihan raya? Berpolitik biar ada maruah.
Berita
Kemahkotaan Sultan Johor, sama pada hari kematian Lee Kuan Yew. Akhbar ultra
kiasu sibuk dengan berita kematian. Akhbar Melayu fokus kepada Kemahkotaan.
Masih percaya ultra kiasu?
Kepada
pemimpin yang mengaku dirinya Islam, apa sumbangan kita terhadap Islam,
terutama ketika Islam dan hukumnya dihina dan dikeji? Sebenarnya kita mahukan
Islam atau tidak? Atau apakah mungkin ada yang beranggapan Islam itu
menyusahkan. Hati-hati.
Macam-macam
alasan diberikan bagi menunjukkan kita tidak menolak hudud. Hudud Pas lah, bukan
hudud sebenar lah dan berbagai lagi hudud lagi. Jadi, di mana hudud sebenar? Jika
tidak ada yang mulakan, macam nak tahu hudud sebenar? Atau mungkin sampai
kiamat baru nak buat hudud?
Lihat
saja evolusi Perlembagaan Persekutuan. Adakah ia muncul tiba-tiba? Mesti ada
yang memulakan. Perlembagaan Malayan Union 1946, diperkenalkan British, ditentang
Melayu dan akhirnya dimansuhkan. Kemudian, lahir Perlembagaan Persekutuan Tanah
Melayu 1948. Kemuncaknya, adalah Perlembagaan 1957, hasil muafakat bersama.
Apabila Sabah Sarawak membentuk Malaysia, Perlembagaan Persekutuan Malaysia 1963
diguna pakai ke hari ini. Pendek kata, tidak akan ada yang sebenar, tanpa ada
yang memulakan.
Hari
ini Pas sudah mulakan. Hudud Pas itu, hududlah. Kalangan yang menggubalnya
adalah pakar. Peliknya kenapa ada pemimpin Pas sendiri pun tidak yakin? Apakah
mereka takut akan dikenakan hudud? Jika ada pun kelemahan dan kekurangan, perbaiki
dan buatlah penambahbaikan selepas itu. Bagaimana nak jadi sempurna (sebenar)
kalau tidak ada yang mulakan?
Sekurang-kurangnya
dengan adanya inisiatif ini, hudud telah menjadi perbualan ramai. Yang tahu
bertambah tahu dan tidak tahu menjadi tahu,. Semua ini ada hikmahnya. Cuma,
yang dibimbangi adalah yang tahu, buat-buat tidak tahu.
Jangan
salahkan atau mangsakan Pas untuk tolak hudud. Saya tidak kata hudud Pas itu
sudah lengkap. Banyak ruang lagi untuk diperbahaskan. Beri peluang. Lagipun di
Kelantan sahaja. Ditakdirkan jika gagal sekali, yang terkesan hanya Kelantan,
negeri-negeri lain masih selamat. Kenapa terlalu bersangka buruk. Bayangkan
selepas ini Pas memang berjaya melaksanakan hudud, dan nampak kebaikannya, adakah
negeri lain akan turut serta? Tidak juga. Sebenarnya pintu hati kita sudah
tertutup.
Sebab itu, saya sangat
teruja apabila MB Terengganu mengucapkan tahniah dan menyokong perlaksanaan
hudud di Kelantan. Beliau mengharapkan Pas akan turut mendapatkan sokongan di
peringkat parlimen kelak. Inilah negarawan sebenar.
Terengganu katanya,
sedia mengikut jejak langkah Kelantan melaksanakan hudud, jika rakyatnya faham dan bersedia.
Buat masa ini, kerajaan negeri mahu memberi fokus tarbiah (Islamisasi) yakni
dengan mendidik masyarakat terlebih dahulu.
Kata-kata ini sepatutnya
keluar daripada setiap pemimpin Umno. Bukan menolak dan ada yang berkata
membuang masa. Apakah mereka yang berkata ini takut akan dihududkan, bila
dilaksanakan nanti?
Saya
bukanlah pengikut Pas, tetapi saya menyokong usaha baik yang dilakukan, apatah
lagi mendaulatkan hukum Allah. Saya akur, ada negara Islam melaksanakan hudud telah
gagal. Itu silap manusia. Jangan salahkan Tuhan. Ajaran Tuhan itu sempurna.
Jika
tidak yakin dengan hudud Pas, kemukakan hudud yang sebenar. Jika tidak mampu,
lebih baik diam. Jangan buat perkara pelik-pelik yang tidak menguntungkan
Islam, seperti pekerja radio BFM.
Bila
sudah jadi sensasi dan kontroversi, sibuk nak cover line, dengan mengatakan ini
hudud Pas, bukan hudud sebenar. Malangnya, si bapa turut memihak kepada anak.
Bincangkan apa yang benar, apa yang salah. Bukan memihak membuta-tuli.
Jika
ditakdirkan hudud yang bakal dibentangkan gagal mendapat sokongan di parlimen,
sekurang-kurangnya Pas telah melakukan sesuatu. Itu lebih baik daripada mereka
yang tidak yakin dan kuat menentang. Apakah kita tidak berasa malu dengan kata-kata Elaine Xian Xian (Cina Kristian)
dalam FBnya.
Hudud, Qisas, Ta'zir. Understand it
before make any statement about Islam law cruel. Hudud tdk kejam. Yang kejam
hanya manusia. Jika you nampak 1 negara itu lakukan hudud kejam, itu dari
pemimpin tdk adil & tdk amanah. And remember that, that is not hudud. Itu
cuma hukuman manusia yang mengaku hudud. Please understand it & jangan
tertipu. Especially for my non Muslim friends. I tegaskan, hudud tdk kejam.
That's why we must understand what is hudud? What is Qisas? What is Ta'zir? For
Muslim, hudud itu penting & pelaksana hudud pun penting. I'm people who's
support hudud. Kerana i nampak undang2 ini adil dengan kajian i. And
congratulation again to Kelantan. May God ease everything. Everything will
become smoothly with full of bless.