(SH 8.12.14)
Bukan
soal muda atau tua yang utama dalam mencari kepemimpinan terbaik, tetapi soal kematangan.
Tidak ada gunakan muda jika tidak matang. Tambah serius, tua, kebudak-budakan.
Tua atau muda, yang penting matang. Begitu juga soal pemimpin wanita.
Inilah
perkara yang perlu difikirkan secara serius oleh Umno dalam mengenengahkan
barisan kepemimpinan pada masa akan datang. Bukan usia atau jantina yang
menjadi faktor penentu. Ini tidak, pantang didesak sedikit, mulalah melatah. Calon
yang benar-benar berkualiti tidak juga diperolehi.
Lebih
malangnya, calon tua yang sudah tidak nampak lagi ciri-ciri kepemimpinannya,
hanya dek kerana dia banyak duit, maka dia tetap dikekalkan. Daripada orang tua
yang sebegini, lebih baik orang muda yang belum matang lagi. Sekurang-kurangnya
boleh juga dibimbing. Saya masih berpegang kepada kata-kata, pemimpin yang umur
lebih 40 tahun, tidak juga matang atau berubah, maka kayulah dia.
Nabi
amat matang pada usia remaja, tetapi Allah tidak angkat menjadi Rasul sehinggalah
Baginda berusia 40 tahun. Bukan bermakna saat remaja tidak penting. Allah mahu
beri pengajaran.
Saat
ini mereka mempunyai tenaga, kekuatan dan berkebolehan, seperti Panglima
Muhammad Al-Fateh, usia di bawah 20 tahun, telah berjaya memimpin bala tentera
yang besar dan menang dalam peperangan. Kenapa? Usia remaja tetapi pemikiran
amat matang. Inilah pendewasaan.
Hari
ini kita bukan hendak meremajakan parti, tetapi mendewasakan parti. Barulah
matang namanya. Sekadar meremajakan, tidak sampai kepada matang. Pendek kata, kita
mahukan orang muda berfikiran dewasa. Barulah matang. Hodoh sangat orang tua
yang mahu kembali remaja atau muda, ketika kemampuan sudah tidak ada.
Nabi
menasihatkan kita supaya menggunakan masa muda sebelum tua, sihat sebelum
sakit, begitulah seterusnya.
Kita
mahu calon yang apabila diletakkan harta, wanita dan takhta di hadapan mata,
mereka tidak gelap mata. Malah ketakutannya kepada Allah melebihi segala-galanya.
Inilah calon pilihan rakyat.
Sebab
itulah, pada hari ini, kita perlu fikirkan bersama, bagaimana mencari pemimpin
seperti para khalifah dan sahabat terdahulu, Mahatma Gandhi, Gautama Buddha,
Konfucius dan lain-lain. Tidak perlulah saya sebutkan mencontohi para anbiya
kerana mereka sangat mulia. Tidak terikut atau tercapainya kita untuk
mencontohinya.
Orang
yang matang bertindak mengikut akal fikiran, bukan hawa nafsu. Orang matang sentiasa
memikirkan soal masa depan berbanding masa kini. Orang matang selalu mendahulukan
rakyat berbanding diri sendiri.
Orang
matang sentiasa mengutamakan perkara asas daripada rasmi dan protokol. Mereka
tidak hairan jika tidak ada gelaran dan pangkat Tun, Tan Sri, Dato dan
lain-lain. Ini tidak, pantang tidak dipanggil gelaran itu ketika disapa atau
majlis rasmi, maka mengamuklah mereka.
Lebih
menjengkelkan lagi, si isteri yang menumpang gelaran suami turut naik tocang
apabila tidak dipanggil puan seri, datin dan sebagainya. Hebat sangatkah
gelaran tersebut, sedangkan sumbangan tidak seberapa? Kadangkala gelaran
tersebut diperolehi atas angin sahaja, bukan kerana jasa atau sumbangan. Hanya
dek kerana mereka berharta dan berkuasa, maka gelaran dan pangkat tersebut mudah
didapati. Tidak kurang yang dibeli.
Apalah
sangat dunia ini, bila sampai dikubur nanti, malaikat tidak tanya semua pangkat
kita itu, termasuk harta, wanita dan takhta. Semua itu akan ditinggalkan. Apa
yang kekal dan boleh dibawa bersama adalah iman dan taqwa. Gelaran dan pangkat
tidak akan membawa kita ke syurga Allah.
Bagi mereka yang memiliki kematangan emosional, lebih
hebat lagi. Mereka ini lebih mudah untuk
menyesuaikan diri dengan baik dan tidak mengalami kecelaruan psikologi.
Mereka mempunyai kesedaran yang lebih tinggi mengenai
kekuatan dan kelemahannya. Sentisa mahu memperbaiki diri, sebab kita manusia
biasa. Mereka juga tidak terlalu
egosentrik. Mereka mengambil perhatian akan orang lain.
Kematangan emosi menjadikan mereka dapat mengawal
emosi sendiri. Tidak impulsif atau tidak mengikut hawa nafsu. Jiwanya lebih
stabil untuk melawan godaan hedonistik dan kemewahan dunia. Emosi mereka stabil.
Boleh mengawal amarah dan tidak ekstrem. Juga tidak terlalu bersikap defensif.
Bersedia menerima kritikan atau lebih bersedia belajar dari pengalaman.
Pendek kata, menurut Bass (1990) kematangan emosi juga
menjadikan kita mudah bekerjasama dengan orang bawahan, rakan taulan dan orang atasan.
Justeru, dalam menentukan kepemimpinan hari ini.
Carilah yang matang, bukan usia. Bukan apa, meninjau segelintir ucapan
perwakilan, kadangkala kita tidak nampak kematangan tersebut. Sebab itu,
janganlah meminta jawatan, jika kita tidak mampu untuk menguasai diri sendiri.
Ingatlah kata-kata Tsun Tzu, kenali diri sebelum
kenali musuh, kita akan memenangi ribuan pertarungan. Ultra kiasu sentiasa memerhatikan
kita. Menunggu masa untuk menjatuhkan. Satu kesilapan yang kita lakukan, akan
dijadikan alat untuk menjatuhkan. Mereka sanggup melupakan seribu kebaikan yang
kita buat. Inilah realiti politik hari ini. Justeru, carilah yang matang, bukan
usia atau jantina.