Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, December 08, 2014

Pentingkan kematangan bukan usia

10:00 AM Posted by RIDHUAN TEE 11 comments


(SH 8.12.14)

Bukan soal muda atau tua yang utama dalam mencari kepemimpinan terbaik, tetapi soal kematangan. Tidak ada gunakan muda jika tidak matang. Tambah serius, tua, kebudak-budakan. Tua atau muda, yang penting matang. Begitu juga soal pemimpin wanita.

Inilah perkara yang perlu difikirkan secara serius oleh Umno dalam mengenengahkan barisan kepemimpinan pada masa akan datang. Bukan usia atau jantina yang menjadi faktor penentu. Ini tidak, pantang didesak sedikit, mulalah melatah. Calon yang benar-benar berkualiti tidak juga diperolehi.

Lebih malangnya, calon tua yang sudah tidak nampak lagi ciri-ciri kepemimpinannya, hanya dek kerana dia banyak duit, maka dia tetap dikekalkan. Daripada orang tua yang sebegini, lebih baik orang muda yang belum matang lagi. Sekurang-kurangnya boleh juga dibimbing. Saya masih berpegang kepada kata-kata, pemimpin yang umur lebih 40 tahun, tidak juga matang atau berubah, maka kayulah dia.

Nabi amat matang pada usia remaja, tetapi Allah tidak angkat menjadi Rasul sehinggalah Baginda berusia 40 tahun. Bukan bermakna saat remaja tidak penting. Allah mahu beri pengajaran.

Saat ini mereka mempunyai tenaga, kekuatan dan berkebolehan, seperti Panglima Muhammad Al-Fateh, usia di bawah 20 tahun, telah berjaya memimpin bala tentera yang besar dan menang dalam peperangan. Kenapa? Usia remaja tetapi pemikiran amat matang. Inilah pendewasaan. 

Hari ini kita bukan hendak meremajakan parti, tetapi mendewasakan parti. Barulah matang namanya. Sekadar meremajakan, tidak sampai kepada matang. Pendek kata, kita mahukan orang muda berfikiran dewasa. Barulah matang. Hodoh sangat orang tua yang mahu kembali remaja atau muda, ketika kemampuan sudah tidak ada.

Nabi menasihatkan kita supaya menggunakan masa muda sebelum tua, sihat sebelum sakit, begitulah seterusnya.

Kita mahu calon yang apabila diletakkan harta, wanita dan takhta di hadapan mata, mereka tidak gelap mata. Malah ketakutannya kepada Allah melebihi segala-galanya. Inilah calon pilihan rakyat.

Sebab itulah, pada hari ini, kita perlu fikirkan bersama, bagaimana mencari pemimpin seperti para khalifah dan sahabat terdahulu, Mahatma Gandhi, Gautama Buddha, Konfucius dan lain-lain. Tidak perlulah saya sebutkan mencontohi para anbiya kerana mereka sangat mulia. Tidak terikut atau tercapainya kita untuk mencontohinya.

Orang yang matang bertindak mengikut akal fikiran, bukan hawa nafsu. Orang matang sentiasa memikirkan soal masa depan berbanding masa kini. Orang matang selalu mendahulukan rakyat berbanding diri sendiri.

Orang matang sentiasa mengutamakan perkara asas daripada rasmi dan protokol. Mereka tidak hairan jika tidak ada gelaran dan pangkat Tun, Tan Sri, Dato dan lain-lain. Ini tidak, pantang tidak dipanggil gelaran itu ketika disapa atau majlis rasmi, maka mengamuklah mereka.

Lebih menjengkelkan lagi, si isteri yang menumpang gelaran suami turut naik tocang apabila tidak dipanggil puan seri, datin dan sebagainya. Hebat sangatkah gelaran tersebut, sedangkan sumbangan tidak seberapa? Kadangkala gelaran tersebut diperolehi atas angin sahaja, bukan kerana jasa atau sumbangan. Hanya dek kerana mereka berharta dan berkuasa, maka gelaran dan pangkat tersebut mudah didapati. Tidak kurang yang dibeli.   

Apalah sangat dunia ini, bila sampai dikubur nanti, malaikat tidak tanya semua pangkat kita itu, termasuk harta, wanita dan takhta. Semua itu akan ditinggalkan. Apa yang kekal dan boleh dibawa bersama adalah iman dan taqwa. Gelaran dan pangkat tidak akan membawa kita ke syurga Allah.

Bagi mereka yang memiliki kematangan emosional, lebih hebat lagi.  Mereka ini lebih mudah untuk menyesuaikan diri dengan baik dan tidak mengalami kecelaruan psikologi.  

Mereka mempunyai kesedaran yang lebih tinggi mengenai kekuatan dan kelemahannya. Sentisa mahu memperbaiki diri, sebab kita manusia biasa.  Mereka juga tidak terlalu egosentrik. Mereka mengambil perhatian akan orang lain.

Kematangan emosi menjadikan mereka dapat mengawal emosi sendiri. Tidak impulsif atau tidak mengikut hawa nafsu. Jiwanya lebih stabil untuk melawan godaan hedonistik dan kemewahan dunia. Emosi mereka stabil. Boleh mengawal amarah dan tidak ekstrem. Juga tidak terlalu bersikap defensif. Bersedia menerima kritikan atau lebih bersedia belajar dari pengalaman.

Pendek kata, menurut Bass (1990) kematangan emosi juga menjadikan kita mudah bekerjasama dengan orang bawahan, rakan taulan dan orang atasan.

Justeru, dalam menentukan kepemimpinan hari ini. Carilah yang matang, bukan usia. Bukan apa, meninjau segelintir ucapan perwakilan, kadangkala kita tidak nampak kematangan tersebut. Sebab itu, janganlah meminta jawatan, jika kita tidak mampu untuk menguasai diri sendiri.

Ingatlah kata-kata Tsun Tzu, kenali diri sebelum kenali musuh, kita akan memenangi ribuan pertarungan. Ultra kiasu sentiasa memerhatikan kita. Menunggu masa untuk menjatuhkan. Satu kesilapan yang kita lakukan, akan dijadikan alat untuk menjatuhkan. Mereka sanggup melupakan seribu kebaikan yang kita buat. Inilah realiti politik hari ini. Justeru, carilah yang matang, bukan usia atau jantina.
 

Monday, December 01, 2014

Hina sangatkah Umno?

9:05 AM Posted by RIDHUAN TEE 16 comments


(Sinar Harian 1.12.2014)

Bermula dari sebelum, semasa dan selepas PAU 2014, boleh dikatakan tidak ada sedikitpun berita baik yang dilaporkan oleh media sosial anti-establishment. Semuanya buruk, seolah-olah Umno ini sangat hina, yang suci adalah ultra kiasu. Ini tidak termasuk kejian, makian dan hinaan dari melalui komen pembaca.  

Saya tidak kata Umno itu semuanya baik. Masih banyak perkara yang perlu diperbaiki, terutama dari sudut integriti. Tetapi liputan yang dibuat amat tidak adil. Kenapa tidak dibuat perkara yang sama kepada parti ultra kiasu? Berita sengaja diputar belitkan untuk lariskan perniagaan.  

Ketika semua parti yang ada memperjuangkan kaum masing-masing, apakah parti Melayu (Islam) perlu keluar dari kepompong itu? Siapa akan mempertahankan Melayu dan Islam jika Umno dan Pas menjadi liberal? Selama ini pun ultra kiasu tidak pernah percaya kepada Umno dan Pas.

Jika PKR yang didewakan sebagai parti untuk semua kaum, saya cadangkan mereka memberi laluan bukan Melayu untuk menjadi Presiden selepas ini. Saya yakin parti ini akan terkubur.

Seperti BN, bukan Melayu menggunakan PKR sebagai batu loncatan untuk mendapat kerusi dan jawatan exco dalam negeri-negeri yang ditawani.

Sama seperti parti komponen BN. Kemenangan mereka di Semenanjung bergantung kepada undi Melayu. Trend pengundian membuktikan bukan Melayu memberikan undi kepada DAP ultra kiasu.

Parti komponen BN tahu, mereka tidak mendapat sokongan kaumnya sendiri. Selain kalah dalam kawasan majoriti Cina, mereka juga akan ditempatkan di kawasan majoriti Melayu. Di sinilah tiket untuk menang dan mendapat kerusi kabinet.

Parti DAP, walaupun mendakwa mereka adalah parti untuk semua kaum, hakikat sebenar tidak. Itu hanya strategi untuk mengaburi dan memenangi hati orang Melayu dan secara halus meminggir dan menyingkirkannya. Malang sekali ada Melayu Islam yang tergoda dengan gula-gula ini.

Saya tidak nampak Perdana Menteri sebelum ini hingga kini, bertindak terlalu kepartian atau kemelayuan sehingga meminggirkan bangsa lain. Jika tidak sudah lama bangsa lain merempat.

Mereka tahu membezakan tanggungjawab selaku ahli politik dan negarawan. Apabila mereka telah memenangi pilihan raya dan menjadi pemimpin utama, maka ketika itu mereka adalah negarawan.

Peliknya, kenapa ultra kiasu menjadikan Umno (tidak ketinggalan Pas) sebagai sasaran? Jawapannya mudah, kedua parti ini tidak dapat lari dari Melayu dan Islam. Kedua parti tidak mahu negara ini diterajui ultra kiasu yang mahu meliberal dan mempluralkan bumi ini agar tidak beridentiti. Mereka tidak mahu agenda Islam, Melayu dan bumiputera mengakar.

Lebih serius lagi, ada yang mahukan sejarah kemerdekaan negara ini ditulis semula, dengan menekankan sumbangan kaum secara sama rata. Tanpa memberikan lebih kredit kepada bangsa Melayu.

Sedangkan sejarah membuktikan, bahawa orang Melayulah yang paling banyak berkorban bermula dari negara ini dijajah sehinggalah mencapai kemerdekaan, dengan tidak menafikan sumbangan kaum lain.

Sumbangan dan pengorbanan bukan Melayu terhadap kemerdekaan, hanya muncul setelah Malayan Union dimansuhkan pada tahun 1946, hasil penentangan orang Melayu sehingga melahirkan Persekutuan Tanah Melayu (PTM) 1948.

PTM ditentang hebat oleh bukan Melayu (termasuk Melayu) yang berhaluan kiri (komunis) dan mahukan ianya digantikan dengan Perlembagaan Rakyat. Nasib baik, British menolak perlembagaan rakyat yang dianggap terlalu radikal.

Untuk makluman, PTM 1948 adalah cerminan kepada PTM 1957 yang dipersetujui British, yang masih mengekalkan kedudukan Islam, Melayu (termasuk bahasa), Raja Melayu dan hak istimewa orang Melayu. Unsur-unsur tradisi inilah yang mengikat dalam kontrak sosial.

Sebab itu, saya amat pelik, kenapa dan mengapa sehingga ke hari ini ultra kiasu sengaja tidak mahu memahami hakikat ini. Terus terang, saya amat mengagumi Henry Sackville  Barlow, Ahli Lembaga Pengarah Sime Darby Berhad, yang kini dimiliki oleh PNB.

Barlow dan Sime Darby tidak dapat dipisahkan, kerana pertalian rapat ahli keluarganya. Sejarah Sime Darby bermula pada tahun 1910, ketika Tanah Melayu dijajah. Peniaga British William Middleton Sime dan Henry Darby menubuhkan Sime, Darby & Co. Bermula dengan sektor perladangan getah, kemudian berkembang kepada sawit, koko dan pelbagai sektor, sehinggalah diambilalih PNB.  

Selaku orang yang tinggal lama di sini dan memahami budaya politik Melayu, Barlow sentiasa mengingatkan Sime Darby agar tidak melupakan agenda Melayu dan bumiputera dalam setiap rancangan ekonomi. Nyata sekali Barlow amat memahami sensitiviti dan budaya politik negara ini.

Peliknya anak penjajah British sangat sensitif dengan agenda Melayu dan bumiputera, kenapa mereka yang sekian lama tinggal di sini sengaja tidak mahu memahaminya, malahan mendesak supaya ianya dihapuskan. Lebih pelik lagi, kalangan kita sendiri turut bersekongkol?

Saya amat mengharapkan PAU 2014 kali ini benar-benar memberikan keinsafan kepada Umno dalam usaha memartabatkan dan memperkasakan pembangunan negara bangsa tercinta ini .  


Monday, November 24, 2014

PAU 2014 - MUHASABAH BUAT UMNO

9:08 AM Posted by RIDHUAN TEE 12 comments


Sinar Harian, 24.11.14
 
Wahai UMNO, masa berjalan begitu pantas. Kini, kamu sudah memasuki PAU ke-65. Masa yang cukup lama, setelah memenangi PRU demi PRU. Menunggu kelangsungan PRU 14, itupun jika menang.

Ingatlah pesanan Konfucius ini, pertama, jika mahu menjadi pemimpin, pertamanya, jaga rumahtangga, anak isteri dengan baik, boleh menjadi contoh, sebab orang memerhatikan kamu. Kedua, nak pastikan rumahtangga itu menjadi baik, pastikan diri sendiri berakhlak mulia dan boleh diteladani, sebab kebaikan rumahtangga bermula dari diri kita. Ketiga, nak pastikan diri sendiri menjadi baik, pastikan hati itu bersih. Keempat, nak pastikan hati itu bersih, asasnya adalah sifat ikhlas.

Persoalan saya, adakah orang UMNO ada sifat seperti itu? Adakah kita  benar-benar mengutamakan rakyat? Terangkatkah memartabatkan agama, bangsa dan negara selama berkuasa? Tepuk dada tanya iman. Saya tidak nafikan ada, tetapi masih banyak yang perlu diperbaiki.

Wahai UMNO, contohilah pemimpin terdahulu, sanggup berkorban jiwa raga. Mahatma Gandhi, seorang pemimpin agong India, sentiasa menaiki keretapi kelas ketiga untuk bertemu rakyat. Apabila ditanya; “kenapa selaku pemimpin besar, menaiki keretapi kelas ketiga, bukan pertama?. Gandhi menjawab: aku memilih kelas ketiga, sebab tidak ada kelas empat”.

Menurut Gandhi, pemimpin yang berdosa adalah pemimpin politik yang tidak berprinsip. Mahu kaya, tetapi malas bekerja. Akhirnya, mengamalkan rasuah. Mahukan agama, tetapi tidak mahu berkorban.

Masih adakah pemimpin seperti Gandhi hari ini? Wahai UMNO! bukan maksud saya selepas ini, kita berpakaian compang-camping atau menjadi papa kedana. Apa yang tersirat dan tersurat, pemimpin mesti bersama rakyat dan menyelami hati nurani rakyat. Susah senang dirasai bersama.

Jangan sampai ada pemimpin yang terlampau kaya, sehingga ada rakyat yang terlampau miskin. Hari ini, seolah-olah kelihatan berlaku. Ada yang berlagak dengan rumah dan kereta besar. Anak-anak dihantar ke sekolah swasta dan luar negara.

Menjadi pemimpin atau ketua bahagian (cawangan) seolah-olah tiket untuk menjadi kaya. Maka, berlaku pertandingan merebut jawatan. Bagi mengekalkan dan memenangi jawatan tersebut, berbagai perkara akan dilakukan, termasuk merasuah. Akhirnya, kita ajar rakyat hidup memberi dan menerima rasuah. Tidak takutkah kita dengan api neraka?

Pemimpin dipilih bukan kerana akhlak dan daya intelektualnya, tetapi pemimpin dipilih berasaskan berapa banyak habuan yang diberi.

Wahai UMNO, kita sudah tidak ada masa lagi. Bangunlah sekarang sebelum terlambat. Telitilah menasihat ini. Pertama, berakhlaklah dengan akhlak Islam. Pastikan diri kita boleh menjadi teladan. Kewujudan kita amat disegani dan dihormati. Pemergian kita nanti akan ditangisi. Jawatan itu amanah, ada perkiraan dunia dan akhirat. Orang pertama yang akan dihisab adalah pemimpin. Adakah kita memimpin rakyat ke jalan takwa?

Kedua, tegurlah pemimpin, termasuk raja, jika mereka melakukan kesilapan dan kesalahan, secara berhikmah. Jangan hipokrit. Jangan bodek mereka. Itu menempah kecelakaan. Rasulullah dan 4 Khalifah kita juga ditegur rakyat. Ingatlah, kita semua manusia biasa, bukan Nabi.

Ketiga, perangi rasuah habis-habisan. Jangan menikam sesama sendiri kerana kita bersaudara. Tolak pemimpin yang mengamalkan rasuah. Rasuah hanya akan menjahanamkan kita.

Keempat, pertahankan hak kepada yang berhak demi pembangunan negara bangsa tercinta, bersumberkan perlembagaan. Agenda kebangsaan mesti diperkasakan, tanpa rasa takut kepada ugutan ultra kiasu.  

Kelima, marilah kita bersama-sama membawa negara ini menuju keredhaan dan keampunan Allah. Jangan undang kemurkaan Allah dengan berbuat dosa dan maksiat.

Akhirnya, marilah kita hayati pesanan Dato' Onn Jaafar, YDP UMNO, ketika PAU 1, 1946. Nasib Melayu hanyalah akan dapat diperkekalkan dengan kesatuan hati sesama mereka.

Meskipun sesama kita berlainan fikiran dan fahaman, taraf dan kedudukan, tetapi hakikat tujuan dan maksud kita hanya satu, iaitu kita hendak meninggikan dan memelihara maruah serta kesopanan bangsa kita. Kita berkehendak supaya tanah air dan bangsa kita terselamat dan kuat, dan hanyalah boleh kuat jika kita bersatu padu.

Marilah kita tunjukkan, hanya dengan persatuan di antara kita, akan lahir satu bangsa yang hebat, boleh berdiri di atas tapak kaki sendiri dan mengambil tempat kita yang sebenar, mengatasi bangsa lain. Marilah kita bersatu dan berusaha bagi faedah bangsa kita. Marilah kita bekerjasama dan menyamakan perusahaan kita itu bagi melayakkan diri kita menjadi satu bangsa yang besar. Bersatulah sebagaimana belum pernah kita bersatu dahulu dan berusahalah sebagaimana belum pernah kita berusaha. Tunjukkanlah bahawa kita ini sebenar-benarnya keturunan datuk nenek kita yang berani menghadapi bahaya dengan bersatu hati (Mac 1946).

Ketika PAU ke-2(1950), Dato’ Onn secara sukarela mengundurkan diri dari takhta kuasa. Beliau meminta supaya dirinya tidak dicalonkan sebagai YDP bagi sesi 1951/52. Nyata sekali Dato’ Onn tidak mengejar dunia. Kuasa bukan segala-galanya bagi beliau. Bukan seperti kita hari ini, kalau boleh mahu mati di takhta kuasa. Bangunlah wahai UMNO sebelum terlambat!

Monday, November 17, 2014

Cara Memartabatkan BM di SJK

8:30 AM Posted by RIDHUAN TEE 10 comments


(Sinar Harian 17.11.14)

Saya ucapkan tahniah atas inisiatif MCA yang telah menubuhkan sebuah jawatan kuasa bertujuan membuat kajian, bagi memandai anak-anak SJKC menguasai Bahasa Kebangsaan (BM).

Jangan lupa masukkan pakar bahasa dan linguistik, terutama dari Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Begitu juga di UKM, tempat presiden MCA hari ini belajar suatu masa dahulu. Jangan asyik fokus dan ambil ahli akademik UTAR sahaja.

Saya menawarkan diri, jika sudi. Begitu juga pakar lain seperti, Profesor Teo Kok Siong. Sebelum itu, izinkan membuat beberapa cadangan.

Pertama, tambahkan waktu BM seperti mana yang telah diarahkan oleh kerajaan dan ditentang hebat oleh Dong Zong dan Jiao Zong (DJZ) serta MCA sendiri.

Sejak dahulu, kerajaan cadangkan agar BM diajar 240 minit seminggu di SJKC. Tetapi tidak pernah dipersetuji dan tidak dilaksanakan. Mereka hanya mahukan 180 minit sahaja. Atas alasan, jika ditambahkan waktu BM, maka mata pelajaran lain akan terjejas. Murid SJKC tidak dapat menguasai Bahasa Cina (BC) dengan baik.

Kenapa tidak mahu bersusah sedikit untuk masa depan negara? Pada saya, 240 minit tidak cukup. Gandakan kepada 600 minit seminggu yakni 2 jam setiap hari.

Kedua, guru yang mengajar BM tidak perlu disyaratkan mesti mendapat  kredit dalam BC peringkat SPM. Interaksi amat penting dalam menguasai BM. Jika pekerja Bangladesh boleh menguasai BM dalam masa yang singkat ketika berada di negara ini, kenapa tidak rakyat negara tercinta ini? BM adalah bahasa paling mudah di dunia berbanding bahasa lain.

Ketiga, beberapa subjek lain seperti sejarah juga hendaklah diajar dalam BM, bukan dalam bahasa ibunda (BC). SJKC tidak wajar beroperasi penuh kecinaan, dalam sebuah negara yang meletakkan BM sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi. Kita tidak perlu menjadi terlampau kecinaan. Cukuplah sekadar boleh bertutur dan berinteraksi dengan baik.

Subjek sejarah yang hanya menekankan sumbangan orang Cina sahaja seperti yang mahu diperkenalkan oleh MCA, tidak sepatutnya diadakan. Alasannya supaya orang Cina tidak lupa akar. Bentuk akar bagaimana yang hendak diingati?  

Rakyat Sabah dan Sarawak, tidak pernah hilang akar dan jati diri kaum mereka meskipun mereka tidak ada sekolah berasaskan kaum. Saya amat bimbang, jika cadangan MCA ini diluluskan, selepas ini semua kaum di Sabah dan Sarawak meminta pula supaya sejarah pemimpin kaum mereka yang tidak kurang pentingnya dalam sejarah untuk ditonjolkan.

Apakah sumbangan pejuang seperti Mat Salleh, Rentap, Antanum, Sharif Masahor dan ramai lagi di Sabah dan Sarawak, tidak sehebat bekas pemimpin MCA?

Keempat, selama ini, silibus BM di SJKC/T berbeza dengan silibus SK. BM di SJKC/T dimudahkan sedikit kerana tidak mahu membebankan mereka. Itupun masih ramai yang gagal. Jika ramaipun yang berjaya, kebanyakan menghafal, bukan dengan kefahaman yang sebenar.

Bukti menunjukkan, ramai yang mendapat keputusan yang baik dalam BM ketika PMR dan SPM, tetapi bila tiba bab lisan atau kemunikasi, berlaku sebaliknya. Puncanya mungkin disebabkan ketika di sekolah rendah, silibus BM dimudahkan. Pertuturan BM dicampuradukkan dengan bahasa ibunda.

Justeru, sudah sampai masanya silibus BM diseragamkan di semua sekolah. Tidak kira di SJKC atau SK. Jika MCA hendak memastikan anak-anak tidak lupa akar, kenapa tidak boleh bersusah sedikit dalam mengakar agenda negara.

Kelima, pimpinan NGO pendidikan Cina seperti Dong Zong, Jiao Zong dan Dong Jiao Zong hendaklah dirombak. Mereka yang terlalu chauvinis dan perkauman hendaklah ditukar kepada yang lebih liberal dan mementingkan agenda negara.

Keenam, jika MCA benar-benar bersungguh-sungguh mahukan murid-murid SJKC pandai dalam BM, saya cadangkan agar menyokong terlebih dahulu inisiatif yang telah dirancangkan oleh Kementerian Pendidikan sejak dahulu lagi untuk memandaikan murid-murid SJKC.

MCA perlu fokus dalam hal ini. Perjuangan MCA akan diingati dan dihargai jika perancangan ini berjaya. MCA tidak perlu membuang masa mencampuri hal ehwal agama Islam, seperti isu memakai tudung di kalangan para pekerja wanita di negeri Kelantan. Itu hak mereka. MCA tidak perlu gatal mulut dan gatal tangan. Jaga kain sendiri, kerana kain sendiri juga berserabut.

Akhirnya, saya masih beranggapan bahawa sekolah satu aliran adalah yang terbaik untuk kita semua. Jika tidak dapat dilaksanakan, jadikan semua sekolah menjadi Sekolah Wawasan (SW) yang menempatkan semua pelajar dalam satu bumbung.

Untuk makluman, sehingga kini, kerajaan telah menempatkan hampir 40 ribu guru terlatih di SJKC. Sebanyak RM 2 bilion dibelanjakan setiap tahun untuk membayar gaji guru-guru dan operasi-operasi mengurus di SJKC di seluruh negara. Daripada hampir 2000 SJKC, sebanyak 455 mempunyai kurang daripada 150 murid. Itupun kerajaan terus bantu.  Peliknya, arahan kerajaan masih diabaikan?