Semua artikel adalah pendapat peribadi. Anda berhak untuk tidak meneruskan bacaan atau tidak mengakseskan blog ini serta merta jika anda tidak bersetuju dengan pemikirannya. All the articles written are the personal views. You have absolute rights not to continue reading or to discontinue accessing this blog immediately if you are disagreeable with the personal views.

Monday, September 29, 2014

Benarkah stereotaip Melayu Malas?

8:57 AM Posted by RIDHUAN TEE 24 comments


(Sinar Harian 29.9.14)

Setiap manusia (bangsa) yang dicipta dan dilahirkan adalah juara. Tidak timbul soal mereka rajin atau malas. Sikap individu (fikrah) yang menentukan kejayaan seseorang. Inilah kehebatan Allah SWT menjadikan manusia berbanding haiwan. Allah tidak akan mengubah nasib seseorang, sehingga dialah yang berusaha mengubahnya. Jika nakkan sesuatu itu berubah, kita kena berubah terlebih dahulu. Bak kata MuftiMenk, we want to make the world a better place but we are not prepared to improve ourselves.

Saya tidak pernah percaya stereotaip Melayu itu malas, manakala bangsa lain rajin atau pandai berniaga.

Terpulang kepada kita untuk menentukannya. Ramai juga saya jumpa bangsa lain  yang malas. Datuk nenek saya datang dari Negara China, sehelai sepinggang. Tinggal di kampung Melayu, di Kota Stia, Kampung Gajah, Perak. Tidak berapa lama, kehidupan kami berubah.

Berbekalkan sedikit modal yang dikumpulkan, akhirnya bapa saya berjaya membuka satu satunya kedai runcit di kampung itu dan menjadi kaya raya hasil perniagaan tersebut.

Kekayaan menjadi semakin bertambah, apabila orang Melayu suka berhutang. Apabila hutang tidak dibayar, maka gadaiannya adalah hasil bantuan kerajaan yang diberikan kepada Melayu seperti baja, anak benih, peti ikan dan sebagainya, yang dibeli dengan harga murah. Orang Melayu memang pantang melihat duit di depan mata. 

Tidak kurang juga yang menggadaikan tanah kepada bapa saya. Akhirnya, bapa saya kaya raya. Manakala, Melayu hanya kaya sementara. Kedai syarikat (kedai runcit bantuan kerajaan) yang dibuka untuk bersaing dengan bapa saya, juga lingkup kerana kerana duit kutipan yang diperolehi pakat-pakat dibawa lari kerana tidak tahan melihat duit depan mata.

Sama juga seperti rasuah, bangsa lain merasuah Melayu dengan wang sedepok depan mata. Melayu menjadi kelabu mata. Bila dibuktikan rasuah itu, Melayu tertangkap dan masuk penjara, manakala pemberi rasuah bebas kaya raya dengan rasuah yang diberi tidak seberapa.

Saya bukanlah hendak mengiyakan akan kenyataan Melayu itu malas. Tetapi pengalaman membuktikannya. Nak kaya tetapi malas kerja. Melayu mesti tampil untuk berubah. Jika tidak, Melayu tidak akan ke mana-mana. Melayu akan merana di bumi sendiri.

Melayu bukan hanya malas, Melayu mudah lupa diri, lupa jati diri.  Maka, tidak hairan banyak syarikat Melayu telah berubah nama kepada nama bukan Melayu. Dahulu ada Kedai Telekom, kini TM Point. Dulu Bank Bumiputera, kini CIMB dan banyak lagi. Bahasa Melayu langsung tidak didaulatkan di GLC ini. Kalau tidak percaya, pergilah masuk ke tempat tersebut. Berapa patah bahasa Melayu yang digunakan.

Seolah-olah bila letak sahaja nama Melayu, tidak komersial dan tidak glamour. Projek tidak laku dan tidak ramai yang mahu membeli. Melayu merosakkan Melayu sendiri, bukan orang lain. Ini tidak termasuk nama-nama taman atau projek perumahan yang langsung tidak bercirikan jati diri Melayu.

Pergilah melawat ke seluruh dunia. Tidak perlu pergi jauh, lihat masyarakat Siam di Thailand, bagaimana mereka bangsa menggunakan nama-nama Siam.

Saya baru pulang Wellington, Auckland, Sydney dan Adelaide. Bandar mereka amat bercirikan adat Melayu (Islam). Bila menjelang senja, kebanyakan sudah berada di rumah. Bandar mereka mati. Pusat membeli dan kedai sudah tutup jam 5, kecuali beberapa kedai makan dan pusat membeli belah. Di manakah budaya balik senja atau maghrib orang Melayu? Kenapa bandaraya kita hidup 24 jam?

Sikap Melayu mesti berubah. Melayu terlalu mengejar glamour. Kerja-kerja bawahan pencuci, buruh langsung tidak dipandang. Berlagak tidak tentu pasal, memperlekeh orang lain, dengan kata-kata pak guard bodoh, itu dan ini.

Melayu suka merempit. Bila saya bertanya kenapa merempit? Adakah hobi kamu? Dia jawab, merempit kerana dicabar. Kita menyahut cabaran tidak kena pada caranya. Sepatutnya kita menyahut cabaran untuk bersaing dengan orang lain agar kita lebih berjaya. Inilah pemikiran Melayu.

Benarkah Melayu malas? Saya kira tidak? Allah tidak berlaku adil jika hanya menjadikan sesuatu bangsa rajin, sedangkan yang lain tidak? Proses kejadian manusia semua sama.

Apa yang perlu diubah adalah sikap atau fikrah, atau cara berfikir. Ada kajian dibuat, kalangan pelajar Cina dan Melayu yang mendapat straight A dalam peperiksaan bermula peringkat sekolah hingga pengajian tinggi (kelas 1). Namun, bila bukan Melayu ditemuduga, semuanya hancur, kerana kurang EQ (kemahiran insaniah).

Begitu juga dengan pelajar perubatan. 3 tahun pertama peringkat teori, pelajar Cina score A. Tetapi bila sampai peringkat 3 tahun klinikal atau amali, yang memerlukan kemahiran insaniah (EQ) yang tinggi, pada ketika itu, keupayaan pelajar Melayu menyerlah.

Manakah yang lebih penting antara IQ dan EQ? kedua-duanya penting. Tetapi bukti-bukti menunjukkan bahawa mereka yang EQ yang tinggi, lebih berjaya. Siapa Mark Zukerberg (pengasas FB) dan Bill Gates (Microsoft)? EQ mereka sangat hebat berbanding IQ. Jadi, adakah Melayu itu malas, sedangkan EQnya hebat? Semua terpulang kita. Bak kata Pendeta Zaaba, rupa tidak boleh berubah, tetapi perangai boleh!

Monday, September 22, 2014

Apa itu kebebasan akademik?

9:19 AM Posted by RIDHUAN TEE 29 comments


(SH 22.9.14)

Ketika artikel ini ditulis, saya telah terbang ke Australia selama 10 hari. Kecoh satu Malaysia tentang kebebasan akademik. Seolah-olah di negara kita ini langsung tidak ada kebebasan akademik. Akta Hasutan mesti dimansuh dari mengelakkan ahli akademik atau siapa sahaja, dikenakan tindakan.

Artikel saya dalam Sinar Harian, suatu ketika dahulupun disiasat di bawah Akta Hasutan, kenapa tidak ada seorangpun yang tampil membela atas dasar kebebasan akademik? Kenapa para siswa siswi tidak lancarkan hartal bersama pembangkang?

Nampak sangat berlaku double standard di situ. Bila pendapat dan kata-kata kita pro-pembangkang, maka itulah kebebasan akademik. Tetapi, apabila pendapat kita tidak sehaluan, maka itu dikatakan pro kerajaan atau rasis. Tidakkah sepatutnya kita menerima kedua-duanya sekali?

Definisi kebebasan akademik mengikut barat tidak boleh dipakai sepenuhnya, kerana mereka sekular. Menurut Shaharir M. Zain (2004), kebebasan akademik itu bermaksud ialah kebebasan untuk melahirkan pendapatnya dalam sesuatu isu sahaja. Bukannya untuk kita tunjuk perasaan atau memberi pengucapan umum bagi menyatakan sesuatu pandangannya. Kebebasan akademik ini memberi ruang untuk kita nyatakan pendirian kita dalam seminar dan penulisan, itu yang penting. Bukan nak jadi macam ahli politik. Kalau di Malaysia ini, peranan intelektual tidak ada sebab kita telah di bahagi dua sama ada pihak kerajaan atau anti kerajaan, yang di tengah di antara ini tidak ada, dan tidak dibenarkan tumbuh. Itu yang saya selalu cakap, kenapa tidak dibenarkan tumbuh! Kadang-kadang nampak dia bercakap pro kerajaan, kadang-kadang nampak dia bercakap pro-pembangkang. Itu baru peranan intelektual.

Kebebasan akademik tidak membolehkan kita bercakap atau menulis apa yang kita suka sewenang-wenangnya. Kita masih tertakluk kepada undang-undang dan budaya politik setempat. Inilah yang sedang hangat diperbahaskan. Persoalannya, mereka yang terlalu obses menyokong Azmi Sharom mahukan kebebasan yang bagaimana? Sehingga berani mengkritik dan mencemarkan maruah raja-raja. Saya akui raja bukan malaikat dan tidak maksom dan boleh dikritik, tetapi perlu berhemah.

Benar, kita bercakap dari perspektif kepakaran masing-masing. Pada masa sama, kita kena belajar juga budaya politik sesebuah negara. Sekadar pakar dalam bidang, masih belum mencukupi. Tata susila perlu beriringan.

Sebagai umat Islam, kebebasan akademik tertakluk kepada panduan al-Quran dan Sunnah. Kita tidak boleh sama sekali bertindak sewenang-wenang sehingga boleh menimbulkan masalah. Misalnya, menghina atau mengkritik al-Quran dan Nabi Muhammad SAW.

Sebab itu kita lihat, seluruh dunia bangkit apabila musuh-musuh Islam mengkritik agama Islam atau mengkatunkan Nabi Muhammad SAW.

Masalahnya, kebebasan akademik selalu dipolitikkan ultra kiasu. Kenapa mereka tidak tampil memberikan sokongan penuh kepada kerajaan apabila ada isu yang bersifat pro?

Tidak ada yang bebas sepenuhnya dalam dunia ini, hatta negara jaguh demokrasi seperti Amerika Syarikat, Britain, Singapura dan sebagainya. Semua negara ini ada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kenapa kita tidak melakukan protes terhadap mereka? Lebih malang lagi, ISA ini digunakan untuk memangsakan umat Islam dilabelkan sebagai pengganas.

ISA digunakan oleh barat untuk mematikan semangat jihad umat Islam yang kononnya melakukan keganasan. Siapakah yang mengebom menara berkembar? Sehingga kini masih belum berjaya dibuktikan siapakah pelakunya? Tetapi yang menjadi mangsa adalah umat Islam. Termasuk kezaliman yang dilakukan mereka di Iraq dan Afghanistan.

Kenapa pejuang demokrasi, penentang ISA dan Akta Hasutan tidak melakukan hartal atau demontrasi?  

Di negara kita, isu agama, bahasa, hak istimewa dan raja-raja Melayu, tergolong dalam perkara sensitif. Jika mahu menulis atau berhujah, pandang-pandang, jangan terlalu mahu menunjuk pandai, seolah-olah kita adalah pakar segala-galanya, wal hal bukan pakar banyak mana pun.

Ramai juga orang mengkritik atau menyindir raja-raja Melayu, tetapi dibuat secara sinis dan berhikmah.

Saya juga ahli akademik, saya juga pernah dikenakan tindakan dan sedang disiasat berkaitan artikel ‘kesabaran umat Islam ada had’. Saya relaks sahaja, apabila siasatan dilakukan. Saya akan hujahkan kenapa saya menulis sedemikian.

Ditakdirkan saya dikenakan tindakan, saya redha. Tetapi saya tidak mahu mencari publisiti murahan dengan mengeruhkan lagi suasana, seolah-olah kita langsung tidak bersalah dan kita bertindak atas nama demokrasi.

Saya lihat siswa siswi hari ini sudah mula tertipu, terutama orang Melayu (Islam). Mereka tidak kenal agenda jahat ultra kiasu. Saya amat yakin, jika ultra kiasu memerintah, akta yang lebih keras akan digunakan bagi menangani masalah ini. Apakah mereka akan membenarkan kebebasan atau demonstrasi yang boleh merosakkan dan menjatuhkan imej negara? 

Justeru, marilah kita lakukan muhasabah diri. Kita perlu bertanggungjawab apa yang kita buat. Soalan UPSR bocor heboh satu Malaysia, tetapi soalan dalam kubur yang sudah sejak awal bocor, orang buat tidak kisah. Orang tidak mahu ambil tahupun. Mereka sibuk dengan kebebasan akademik. Dunia...dunia...

Monday, September 15, 2014

Berhijrah jika mahu derhaka

1:24 PM Posted by RIDHUAN TEE 15 comments
(SH 15.9.14)

Sultan Selangor murka kepada ultra kiasu di atas keingkaran menuruti titah Baginda yang mahukan setiap parti dalam PR mencalonkan 3 nama, untuk dipilih sebagai MB Selangor, kecuali PAS.  

Tindakan PAS menghantar 3 nama, telah menimbulkan kemarahan ultra kiasu kerana tidak mengikuti jejak mereka. PAS dihentam dan dikritik habis-habisan. Setelah lama bersabar, kali ini PAS tidak berdiam diri. PAS membidas, dengan bertanya apakah hak mereka berbuat demikian?

Ternyata, PAS nampaknya semakin matang dalam memahami percaturan  politik negara ini, kecuali segelintir yang pro ultra kiasu yang perlu disingkirkan. Bak kata Mursyidul Am PAS, Nik Aziz, PAS sudah lama dalam politik Malaysia, berbanding ultra kiasu yang ibarat sebagai penumpang yang baharu belajar, terutama parti ultra kiasu Melayu yang berasa dirinya kuat.

Penyerahan kerusi kepada PAS dalam PRK Pengkalan Kubur, bukan bermakna ultra kiasu melakukannya atas  dasar setiakawan. Hakikat sebenar, ultra kiasu sudah menjangkakan keputusannya untuk terus kalah jika bertanding. Bagi menutupi kelemahan, maka kerusi tersebut diberikan. Harap PAS tidak lena dengan gula-gula ini.

Setakat ini, tindakan PAS mendapat pujian kerana tidak menderhaka kepada titah sultan. Ultra kiasu yang ingkar, bukan sahaja derhaka, malah gagal memahami realiti dan adat budaya politik negara ini, serta tidak selayaknya mereka tinggal atau bertanding di Selangor.

Maka, sudah sampai masanya mereka yang bertanding dalam pilihan raya akan datang, dikenakan beberapa syarat yang mesti dipatuhi.

Pertama, telah tinggal sekurang-kurangnya 10 tahun di kawasan negeri yang ditandingi. Ini bertujuan supaya mereka mahir dengan adat budaya setempat.

Orang luar, tidak boleh bertanding secara tiba-tiba seperti berlaku dalam PRK Kajang (langkah Kajang), semata-mata untuk melunaskan nafsu serakah menguasai Putrajaya.

Pilihan raya bukan perkara main-main. Ia melibat amanah rakyat dan menelan belanja jutaan ringgit. Perletakan jawatan tidak boleh diterima untuk memberi laluan kepada PRK, kecuali jika berlaku kematian, seperti PRK Pengkalan Kubur.

Kedua, setiap calon yang mahu bertanding, perlu mempunyai kelulusan minima, iaitu diploma,  bagi memelihara standard dewan (parlimen). Mereka juga perlu diwajibkan mengikuti kursus asas Sains Politik, termasuk kalangan mereka yang mendakwa pakar dalam perlembagaan dan undang-undang.

Ilmu asas politik dan budaya politik Malaysia, berteraskan payung anak watan (indigeous canopy), bertuankan raja, perlu dihadam dan dikhatam, untuk elakkan penderhakaan.

Ketiga, fasih berbahasa Melayu. Calon ultra kiasu yang tidak boleh berbahasa Melayu, perlu diwajibkan mengikuti kursus bahasa sehingga pandai.

Sekiranya masih pelat, mereka tidak layak untuk bertanding. Bagaimana hendak menjadi wakil rakyat, jika tidak boleh berkomunikasi dengan rakyat, apatah lagi dengan istana? Kalau boleh, kita tidak mahu mendengar bahasa asing dipertuturkan atau ayat “dengan izin”, diikuti bahasa lain.

Keempat, mengikut kursus protokol berada di parlimen, agar tidak memakai pakaian belang-belang. Saya begitu teruja sekali untuk melihat, ketika pembukaan parlimen atau istiadat istana (anugerah pingat bertemu raja), semua wakil rakyat memakai pakaian kebangsaan, berbaju Melayu dan bersongkok. Ingat, baju Melayu bersongkok adalah pakaian kebangsaan, bukan pakaian Melayu. Sama juga bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu tetapi bahasa negara.

Hari ini, terlalu sukar untuk melihat ultra kiasu memakainya. Mereka lebih obses dengan pakaian barat dan baju belang-belang. Hina sangatkah jika berpakaian kebangsaan? Orang Jepun yang saya kenali begitu berbangsa memakai baju kebangsaan kita. Tidak pula hilang kejepunannya?

Perkara ini penting agar mereka yang wakil rakyat mempunyai jati diri dan faham akan budaya politik sesebuah negara (negeri). Tindakan dan kenyataan yang dikeluarkan sentiasa berlapik, bukan semborono atau kurang ajar.

Terus terang, sebagai rakyat jelata, patik amat menghormati institusi raja-raja Melayu kerana itulah asal-usul negara tercinta ini. Masa depan Islam (Melayu) berada di tangan raja (dengan izin Allah). Inilah realiti politik Malaysia.

Ada tindak-tanduk yang saya tidak suka. Sebagai rakyat jelata, patik akan diam dan tidak akan menderhaka dengan mengutuk di khalayak. Jika berkesempatan, satu hari nanti pasti patik akan cuba sampaikan.

Dalam kes MB Selangor, Sultan hanya menitahkan 3 nama. Patuhilah. Selesai masalah. Peliknya, kenapa ultra kiasu terlalu obses dengan 1 nama? Semua ini kerana politik, kroni dan kuasa. PAS diperangkap dan terperangkap, serta berada dalam dilema.

Jika saya berada di tempat PAS sekalipun, saya tidak akan setuju dengan satu nama yang dicadangkan itu. Apakah sudah pupus ADUN-ADUN lelaki dalam parti ultra kiasu? Atau sudah kurang kejantanannya sehingga terpaksa mencalonkan seorang wanita sahaja?


Sejak kecil saya dingatkan, jika masuk ke rumah orang, patuhilah peraturan dan adat budayanya. Sekiranya tidak mahu, carilah tempat lain atau berhijrah ke rumah lain yang boleh memberi keselesaan kepada kita. 

Monday, September 08, 2014

Sejak bila PAS percaya demokrasi?

8:25 AM Posted by RIDHUAN TEE 22 comments


(Sinar Harian 8.9.14)

Sekian lama saya mengenali dan mengkaji  PAS, parti ini hanya percaya kepada sistem Islam bagi mewujudkan negara Islam. Demokrasi selalu dilabelkan sebagai sistem kafir atau thaghut (melampaui batas/ menyesatkan).

Dalam sistem, PAS sentiasa meletakkan Majlis Syura (ulama) pada hiraki yang tertinggi seperti mana tuntutan Islam itu sendiri. Tiba-tiba dalam kes MB Selangor, Syura PAS mula diketepikan.

Keputusan Syura PAS tidak lagi mengikat. Mereka lebih percaya kepada pendapat majoriti, termasuk Muslimat PAS yang menyokong ultra kiasu menjadi MB Selangor. Walaupun ianya dinafikan, tetapi ultra kiasu lebih cekap dengan mengeluarkan kenyataan terlebih dahulu. Muslimat PAS terperangkap.

Apa sudah jadi dengan PAS? Sejak bila PAS ‘beriman’ kepada sistem demokrasi? Bukankah sejak dahulu PAS mengatakan ia sistem kufur? Mereka yang menerima sistem demokrasi adalah kafir. Penyertaan PAS dalam pilihan raya adalah sebagai wasilah, bukan matlamat atau merelakan demokrasi.

Kedudukan Presiden semakin tergugat dengan demokrasi yang dipuja oleh segelintir pimpinan PAS. Undian demokrasi telah menutupi keputusan ulamak. Menunjukkan seolah-olah ulamak PAS tidak faham tahaluf siyasi.

Ya, benar, ciri-ciri demokrasi ada dalam Islam, tetapi dalam soal membuat keputusan, keputusan syura perlu mengatasi demokrasi. Barulah kita berjaya mengIslamkan demokrasi. Islam berada di atas, demokrasi di bawah. PAS berada di atas PR, bukannya PR atau ultra kiasu menguasai PAS.

Nasihat saya kepada PAS, pertama, kembalilah kepada perjuangan asal supaya PAS tidak dilihat sebagai sebagai parti U-Turn. PAS tidak akan rugi banyak jika tidak bersama thaghut, iaitu kalangan mereka yang melampau dan mahu menyesatkan.

Kedua, PAS setakat ini masih dihormati dalam kes kelemut MB Selangor, meskipun di kalangan ultra kiasu, PAS seolah-olah sudah tidak bermakna. Saya tidak pernah risau apa ultra kiasu akan kata kepada PAS, kerana ultra kiasu itu penentang Islam. Paling saya takut, apa yang PAS akan jawab nanti di hadapan Rabbul Jalil nanti kerana mengenepikan syura ulama.

Ketiga, PAS mesti mempertahankan maruahnya. Lihatlah betapa lancangnya ultra kiasu dalam isu PRK Pengkalan Kubur. Meskipun, PAS baharu sahaja mencadangkan untuk bertanding di sana, ditentang habis-habisan oleh ultra kiasu. Pada ultra kiasu, itu kerusi mereka, sedangkan kekuatan tidak ada.

Saya amat yakin ultra kiasu akan kalah dalam PRK Pengkalan Kubur, sebab mereka tidak kuat. Jika PAS tidak mengundi, pasti mereka akan kehilangan wang deposit. Namun, jika PAS bertanding, ditakdirkan kalah, selisih undinya pasti tidak banyak.

Keempat, ahli PAS yang tidak setia dan belot mesti disingkirkan, terutama dua ADUN Selangor yang mendahului keputusan PAS (Ulama). Mereka ini bernafsu besar. Mereka yang belot itu, bukan ahli PAS yang sebenar. Mereka dahulunya adalah kumpulan IRC (Islamic Representative Council) di luar negara. Kumpulan ini juga yang memporak-perandakan parti PAS suatu ketika dahulu. Ulat-ulat ini cukup aktif dalam PAS bagi meluaskan pengaruh mereka.

Kelima, rakyat hari ini amat mengharapkan PAS berperanan besar dalam PR, bukan ultra kiasu. Ultra kiasu amat licik perancangannya untuk menghancurkan Islam. Mereka sangat bongkak dan takabbur. Niat mereka hanya untuk menguasai Putrajaya.

Mereka menggunakan isu UMNO, korupsi dan kroni, bagi memancing hati rakyat. Isu MB Selangor sangat jelas membuktikan. Benar, Khalid ada kelemahan. Tetapi sudah tentu lebih banyak kebaikan. Selangor jauh berubah berbanding dahulu.

Sebagai rakyat Selangor, saya tidak nampak Khalid perlu disingkirkan, seperti keputusan ulama PAS. Tetapi itulah yang terjadi. Kenapa? Jawapannya, mudah. Langkah Kajang telah gagal.

Ultra kiasu begitu bernafsu besar melihat duit Selangor yang banyak dikumpulkan Khalid dan banyak projek tidak jatuh ke tangan mereka. Mereka perlukan duit untuk jadi kuat.

Saya akui, PAS mendapat kejayaan terbesar dalam sejarah PRU yang lalu kerana bersama PR. Persoalannya, adakah kejayaan PAS hanya diukur dengan kejayaan mendapat banyak kerusi atau menafikan majoriti dua pertiga BN atau marahkan UMNO?

Itu politik dendam namanya. Adakah PAS berdendam dengan UMNO, sedangkan Islam mengajar kita memaafkan?

Ingatlah wahai PAS, kejayaan sesebuah gerakan Islam bukan hanya menang pilihan raya. Kejayaan lebih besar, adalah mempertahankan hak dan maruah Islam. Hebatnya Hamas hari ini, bukan kerana pilihan raya yang disertainya, tetapi kejayaan mempertahankan bumi Palestin dan maruah Islam.

Apa guna dapat kerusi banyak dan menafikan dua pertiga BN jika Islam tidak didaulat dan dijunjung. Berdiam diri melihat Islam dipijak dan dienjak. Biar kalah tidak mengapa, asalnya Islam terpelihara.

Saya amat takut jika PAS berubah prinsip. Politik mengatasi segala-galanya. Jika itu yang berlaku, rasa hormat saya dan ramai lagi terhadap PAS akan hilang. PAS pasti akan menerima akibat dalam PRU akan datang.